Rabu, 9 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


CCTV Rakam "Lembaga Hitam" Bercumbu Dengan Anak Gadisnya

Posted: 09 Nov 2011 12:25 AM PST

Bongkar misteri 'lembaga hitam'

GOMBAK: Usaha seorang lelaki memasang kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh rumah untuk menjejak 'lembaga hitam' yang sering dikesan di kawasan rumahnya membawa kepada penemuan mengejutkan kerana lembaga itu rupa-rupanya teman lelaki anaknya.

Malah, rakaman CCTV itu turut membuatkan dia menepuk dahi apabila memaparkan anak perempuannya berusia 16 tahun bercumbuan selepas teman lelakinya berusia 21 tahun menyelinap masuk ke bilik tanpa pengetahuan bapanya, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Sebelum ini, lelaki berkenaan dilapor memasang CCTV di seluruh rumahnya di Taman Sri Ehsan di sini, selepas bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga kerana menyangka rumahnya menjadi sasaran pencuri atau diganggu makhluk halus.

Sumber polis berkata, ini kerana beliau sering ternampak kelibat 'lembaga hitam' di kawasan rumahnya terutama ketika lewat malam sejak kira-kira sebulan lalu.

Menurutnya, malam kelmarin ketika menonton televisyen di ruang tamu lelaki itu sekali lagi mengesan kelibat 'lembaga hitam' itu melintas di tingkap rumahnya. -HM

ADUN Batang Kali Diarah Keluar Dewan

Posted: 08 Nov 2011 11:09 PM PST

Kira-kira 30 minit sidang Dewan Negeri Selangor bermula, Speaker DNS Datuk Teng Chang Khim mengarahkan ADUN Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim keluar dewan kerana melanggar arahan speaker.

Mohd Isa bertindak sedemikian ekoran tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung manfaat program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada penjawat awam yang telah bertungkus lumus bekerja membantu dan menjayakan kerajaan negeri.

Teng sebelum itu menjelaskan bahawa pertanyaan tersebut telah dijawab dengan baik oleh Khalid selain menyifatkan soalan tambahan yang diajukan oleh Mohd Isa tidak releven.

Khalid menjelaskan kakitangan kerajaan adalah sebahagian daripada rakyat Selangor dan ia adalah sebahagian daripada komuniti yang turut menerima manfaat dari penganjuran MES.

Bagaimanapun, Mohd Isa tetap tidak berpuas hati dan berkeras untuk tidak duduk.


Sehubungan itu, Mohd Isa diarahkan untuk keluar dewan dan tidak dibenarkan untuk mengikuti sidang dewan selama sehari.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Isa ketika ditemui TvSelangor sejurus selepas keluar dewan berkata tindakan Speaker menghalang dirinya menyertai dewan selama sehari adalah satu penganiayaan terhadap dirinya.

"Saya rasa bagi kerajaan yang berkreadibiliti dan akuantabiliti telah melakukan penganiayaan kerana tidak membenarkan ahli dewan bertanyakan soalan mengenai penjelasan," katanya. -tvsnews



Royalti Itu Sudah Hampir, Kelantan Bakal Nikmatinya 6 Tahun Lagi

Posted: 08 Nov 2011 09:34 PM PST

Kota Bharu – Kerajaan Negeri Kelantan menganggap perjuangan mendapatkan royalti minyak akan membuahkan kejayaan dalam tempoh paling lama enam tahun lagi apabila Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, itulah harapan seluruh rakyat Kelantan selain berusaha mendapatkan hak itu menerusi kuasa politik apabila berjaya menawan Putrajaya.

Katanya, Sultan Muhammad V yang baru dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjadi sandaran rakyat untuk mendapatkan hak royalti selepas baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, 2016 nanti.

"Kita yakin Baginda akan menyebelahi tuntutan rakyat Kelantan kerana umum mengetahui Kelantan berhak mendapat royalti tersebut," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Sukarelawan Green V di Gelanggang Seni di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Green V, Mohd Adilan Mohd Yusof dan timbalannya, Norsham Sulaiman.

Husam berkata, dua pelantar minyak dan gas iaitu Suria dan Bumi berada betul-betul di perairan Kelantan, tidak bertindih dengan mana-mana negara dan negeri mengumpul royalti lima peratus berjumlah RM650 juta.

"Itu belum dikira pelantar minyak lain dan wang royalti itu bukan untuk saya tapi untuk rakyat Kelantan. Saya akan terus memperjuangkannya biarpun suatu masa nanti saya tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan.

"Seandainya kita mendapat hak ini sejak dari pengeluaran hasil pada 1 Januari 2005, pelajar kita tidak lagi dibebankan dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana Kerajaan Negeri Kelantan sudah semestinya bersedia menaja sepenuhnya secara percuma kemasukan pelajar ke universiti," katanya.

Beliau menyelar pimpinan Umno yang menuduhnya memainkan isu royalti minyak untuk mencari publisiti semata-mata.

"Mereka yang menyokong Umno sepatutnya menghormati apa yang dipaparkan secara lisan bekas Perdana Menteri (PM), Tun Abdul Razak dalam Parlimen pada 1975.

"Tun Abdul Razak ketika itu menjelaskan bahawa tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri yang dijual Petronas, agensi atau kontraktornya," katanya. -mk

Ulasan GB

UMNO BN tidak boleh menongkat langit dan tidak boleh berkuasa selama-lamanya. Fitrah setiap yang baru akan musnah dan berakhir, setiap yang zalim akan menerima balasan.

Doa mereka yang tertindas, yang tertekan akan tetap terangkat ke langit. Pertolongan Allah PASTI tiba.

Hal ini pernah GB ulas sebelum ini di SINI. Petikan:

Salah satu sebab yang menyumbang kepada tumbangnya kerajaan Pusat UMNO BN nanti adalah kerana kezaliman mereka menganiaya rakyat Kelantan dengan merompak hasil royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan.

Di dalam keadaan apa sekalipun, kerajaan UMNO BN tidak sewajarnya menganak-tirikan kerajaan negeri yan diperintah oleh Pakatan Rakyat, di dalam konteks Kelantan, diperintah oleh PAS.

Hukum kebenaran akan mengambil tempatnya bahawa yang zalim pasti akan menerima balasannya. Allah tidak akan mengizinkan kerajaan yang zalim itu kekal lama. Bacalah Al-Quran. Di sana ada kisah-kisah pemerintahan Namrud dan Firaun yang zalim. Ada kisah Abu Lahab dan Qarun yang tamak haloba. "Baca" juga di sekeliling kita, tumbangnya Marcos di Filipina dan Thaksin di Thailand adalah kerana kezaliman dan salahguna kuasa. UMNO BN juga pasti tumbang. Itu keyakinan kita. Itu keyakinan orang beriman. Itu keyakinan pejuang kebenaran dan keadilan.

Pemerhatian GB: Dan Allah itu Maha Adil. Apabila orang yang dizalimi itu bersabar, Allah akan mengangkat darjatnya. Dan apabila UMNO BN tumbang, anak Kelantan jugalah yang berkemungkinan bakal menjadi orang penting di dalam kerajaan baru di Putrajaya untuk membetulkan semula semua kepincangan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan UMNO BN.


Sebagai ingat memperingatkan sesama kita marilah kita yakin dengan janji Allah. FirmanNya:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada besertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. Al-Baqarah:214


20 Penjenayah Rompak Enam Sekeluarga Sedang Tonton TV

Posted: 08 Nov 2011 08:00 PM PST

Hutan Melintang – Enam sekeluarga yang leka menonton televisyen dengan pintu rumah terbuka dikejutkan dengan kehadiran kira-kira 20 tetamu tidak diundang merompak rumah mereka di Ladang Alfa Bernam dekat sini kelmarin.

Gambar: Letchumanan yang cedera dirompak ketika menonton televisyen di rumahnya di Ladang Alfa Bernam, Hutan Melintang malam kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 11 malam, M. Letchumanan, 56, cedera parah ditetak di kepala dan dada oleh kumpulan penyamun yang turut disertai empat wanita.

Letchumanan memberitahu, dia, isteri dan empat anaknya tergamam melihat kehadiran penjenayah itu yang masing-masing bertopeng dan bersenjatakan parang atau besi mengepung mereka di ruang tamu rumah.

Penjenayah yang kelihatan bengis itu kemudian mengarahkan dia sekeluarga supaya diam dan mengikut arahan mereka.

"Ketika itu, penjenayah itu menggeledah seluruh rumah kami dan melarikan wang tunai berjumlah RM5,000, barangan kemas dianggarkan bernilai RM5,000 dan beberapa telefon bimbit," kata Letchumanan ketika ditemui Kosmo! di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini semalam.

Sebelum kumpulan penjenayah itu beredar, mangsa memberitahu, dia yang geram melihat rumahnya digeledah cuba melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara dia dengan seorang penjenayah itu.

Namun dalam pergelutan itu, Letchumanan cedera parah akibat ditetak dengan parang di kepala dan dada.

Tiga anaknya juga cedera ringan terkena libasan parang penjenayah terbabit ketika cuba menyelamatkannya.

Letchumanan dikejarkan ke HTI sebelum kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Hutan Melintang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, setakat ini empat wanita berusia lingkungan 26 hingga 57 tahun telah ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, baki 16 lagi suspek sedang diburu dan kes tersebut diyakini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. -kosmo


Bapa Terkejut Anak Gadisnya 15 Tahun Sakit Perut Kerana Hendak Bersalin

Posted: 08 Nov 2011 06:30 PM PST

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anak perempuannya berusia 15 tahun yang mengadu sakit perut ketika menghadiri majlis kenduri saudara di Sungai Petani, Kedah kelmarin sebenarnya sakit hendak bersalin. Gambar fail

Rahsia itu terbongkar apabila doktor yang merawat remaja perempuan berkenaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, mengesahkan sakit perut yang dialami itu kerana hendak melahirkan anak.

Bapa berusia 41 tahun itu hanya menyedari kejadian berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi selepas dimaklumkan doktor merawat remaja terbabit menyebabkan dia kebingungan.

Difahamkan, remaja terbabit dan bapanya yang menetap di Selangor, pulang ke kampung halaman sejak seminggu lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.

Menurut sumber, ketika sibuk membantu keluarga menyediakan persiapan majlis berkenaan, remaja terbabit memberitahu bapanya yang dia mengalami sakit perut.

"Bapa itu membawa anaknya ke sebuah klinik swasta berhampiran rumah mereka sebelum dinasihatkan membuat pemeriksaan lanjut di hospital," katanya.

Sumber berkata, doktor yang merawat remaja terbabit kemudian memaklumkan remaja berkenaan hendak melahirkan anak.

"Terkejut dengan kenyataan doktor itu, bapa terbabit kemudian memaksa anak perempuannya menceritakan kejadian sebenar dan lelaki yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Anaknya kemudian memberitahu pernah menjalin hubungan dengan teman lelakinya hingga terlanjur dan dipercayai berlaku ketika remaja itu tinggal bersama ibunya di Ampang," katanya.

Katanya, remaja itu selamat melahirkan bayi perempuan melalui pembedahan.

Difahamkan, bapa dan ibu kepada remaja terbabit sudah bercerai manakala remaja itu baru menetap bersama bapanya sejak tiga bulan lalu.

Sumber berkata, pelajar terbabit dan bayi berkenaan masih berada di HSAH untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, bapanya membuat laporan di Balai Polis Kuala Muda sebelum kes berkenaan dirujukkan semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu. -hm

Hanya Tahi Lembu Yang Tinggal, Itu Yang Nak Ditawarkan Kepada PR

Posted: 08 Nov 2011 04:23 PM PST

Noh Omar tawar projek NFC kontroversi kepada Pakatan

KUALA LUMPUR, 8 Nov ― Datuk Seri Noh Omar menyatakan kesediaan untuk menawarkan wakil rakyat pembangkang mengendalikan sendiri pusat ternakan lembu ― projek ternakan berkandang kebangsaan (NFC) yang berkontroversi. ― pendirian dibuat ketika bertikam lidah di Parlimen berhubung projek tersebut.

NFC dimiliki oleh suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jali, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya Izran and Izmir.

"OK, saya tawar pusat ternakan satelit ini kepada anda," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ini ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang perbekalan di Dewan Rakyat.

"Saya sedia tawar projek ini kepada mana-mana anggota pembangkang. Saya akan beri kepada sesiapa sahaja yang berupaya untuk mengendalikan projek NFC," katanya.

Noh menjawab soalan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang bertanya mengapa hanya 20 daripada 71 pusat ternakan satelit yang dirancang untuk NFC beroperasi.

Omar juga berjata NFC tidak boleh mengeluarkan kesemua pinjaman RM250 juta yang diperuntukkan untuk projek berkenaan.

Katanya, ada syarat-syarat yang dikenakan untuk dipenuhi sebelum boleh mengeluarkan wang daripada dana tersebut.

Katanya, pengeluaran daripada dana tersebut untuk projek itu perlu diluluskan oleh jawatankuasa teknikal, yang diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Noh menjawab dakwaan PKR bahawa penyata-penyata kewangan yang difailkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan NFC telah mengeluarkan kesemua RM250 juta sehingga 31 Mac 2009. -TMI

MSTAR: Sabtu Oktober 29, 2011
Projek Feedlot Nasional Gagal Kerana Pengusaha Tiada Pengetahuan Asas

Kegagalan projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini disebabkan kegagalan pengusaha tempatan melaksanakan projek tersebut dengan baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kegagalan projek ternakan lembu feedlot tersebut disebabkan rata-rata pengusaha tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang pertanian.

Justeru itu, beliau meminta graduan yang memiliki diploma dan ijazah dalam bidang pertanian menceburkan diri dalam industri pertanian bagi membolehkan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita lihat ramai graduan tidak mahu bekerja di sektor pertanian kerana beranggapan pertanian ini miskin, kerja teruk dan kotor tetapi mereka tidak tahu sebenarnya bidang tersebut mempunyai hasil pulangan yang banyak.

"Mereka perlu ubah gaya pemikiran mereka agar dapat menceburi bidang pertanian bagi membolehkan ilmu yang dipelajari semasa di universiti dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang tersebut," katanya pada sidang media selepas "Program Konvoi Bersamamu Datuk Jo" di Kampung Palas, Tobiar, dekat sini.

Mohd Johari berkata, beliau melihat projek ikan talapia diusahakan oleh sebuah syarikat di China yang dibangunkan selama 10 tahun berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara sehingga mencecah RM1 bilion setahun.

Katanya, kejayaan mereka disebabkan mereka memiliki pekerja daripada graduan dalam bidang akuakultur, dan mereka juga turut mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri.

"Mereka juga boleh tentukan harga pasaran produk mereka kepada negara luar yang berminat untuk membelinya," katanya.

Beliau menyarankan Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya bekerjasama dengan agensi pertanian di negara ini bagi membolehkan pelajarnya banyak melakukan latihan praktikal bersama petani.

Terdahulu itu, Mohd Johari, yang Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, bersama kira-kira 500 Pemuda Umno Kubang Pasu berkonvoi dengan motosikal dari pekan Jitra ke Kampung Palas, Tobiar sejauh 40 kilometer bagi mengeratkan lagi hubungan antara Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu dan Pendang.

Katanya, melalui program ini juga kepimpinan Umno juga dapat menyelami isi hati dan apa yang diperlukan agar mereka agar tidak tersasar dengan matlamat yang dibawa oleh pemimpin negara terutama menjelang 2020. -mstar



Ulasan GB

Timbalannya sendiri sudah mengakui projek itu gagal. Gagal kerana pengusahanya tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang pertanian (penternakan).

Setelah gagal, setelah kebanyakan pusat ternakan satelit itu sudah ketiadaan lembu lagi dan yang tinggal cuma najis-najisnya, baru kini hendak ditawarkan ke PR.

Ini macam punya dembu pun ala....

Belum Sempat Serang PR, Seluar Wak Satim Dah Terlondeh Dulu

Posted: 08 Nov 2011 02:46 PM PST

BN Tumpu Bahas Janji-janji Pakatan Pembangkang Yang Tidak Dikotakan

SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor akan menumpukan perbahasan mereka kepada isu-isu pemungkiran janji oleh kerajaan pakatan pembangkang yang telah memerintah Selangor selama lebih tiga tahun di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok, kata Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman.

Beliau berkata BN selaku pembangkang di Selangor akan mendedahkan dan membongkar pelbagai isu dan penyelewengan pentadbiran pakatan yang dibentuk oleh PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan negeri selama tiga tahun tujuh bulan sejak 8 Mac 2008.

Pakatan pembangkang gagal menunaikan janji-janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum ke-12 lepas, yang menekankan antaranya janji-janji untuk mewujudkan pentadbiran berwibawa, bertanggungjawab, telus, cekap, jujur, amanah dan berintegriti tinggi, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Satim berkata kerajaan negeri juga belum menunaikan janjinya untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus bagi rumah kediaman sehingga sekarang.

"Isu cukai pintu merupakan satu perkara yang amat besar kerana 60 peratus daripada masyarakat di Selangor adalah di bandar dan mengapa tidak turunkan cukai di peringkat pihak berkuasa tempatan," katanya.

Mohamad Satim berkata apa sebenarnya program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sedangkan selama tiga tahun ini tiada kedengaran pelaksanaan projek rumah kos rendah atau kos sederhana rendah tetapi sebaliknya hanya memberikan kupon RM100 untuk warga emas membeli-belah.

Selain itu, urus tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut akan dipertikaikan dan sehingga sekarang laporan audit terhadap operasi PKNS yang didakwa menghadapi masalah dan berlaku penyelewengan, masih belum lagi dikeluarkan, katanya.

Menyentuh hasrat DAP untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam bagi mengurangkan belanjawan kerajaan, Mohamad Satim berkata beliau mencabar DAP bersama PAS dan PKR untuk memulakan tindakan mengurangkan jumlah penjawat awam di negeri-negeri yang diperintah mereka seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu.

Mengenai ketelusan, beliau juga berkata sampai sekarang para Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor (JAIS) belum menerima laporan lengkap mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Gereja Methodist di Damansara Utama, yang menimbulkan kontroversi, Ogos lepas. -- BERNAMA

Ulasan GB

Wah, begitu hebat nampaknya Wak Satim nak asak Pakatan Rakyat di perbahasan DUN Selangor.

Tetapi Wak Satim tak perasan seluarnya dah terlucut terlebi awal sebelum sempat asakan dilakukan, BERNAMA telah melucutkan gelaran Dr. dari Wak Satim dengan hanya menyebut Wak Satim sebagai "Datuk" Mohamad Satim Diman dan bukan lagi "Datuk Dr." Mohamad Satim Diman sepertimana lazimnya.

...kerajaan pakatan pembangkang yang telah memerintah Selangor selama lebih tiga tahun di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok, kata Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman.

Nampaknya benarlah kata-kata GB dulu. Petikan:

Beberapa kes yang melibat orang ternama menggunakan PhD palsu semakin menjadi-jadi. Beberapa bulan lepas, dikejutkan dengan pendedahan Fazley, menantu Rosmah Miliki Ijazah MBA & PhD Palsu.

GB masih ingat di suatu masa seorang Datuk Bandar bernama Datuk Elyas Omar yang menggunakan "Dr." dipangkal namanya sedangkan beliau bukan seorang pemegang Ph D ataupun seorang bekas pelajar perubatan.

Akhirnya terbongkar, memang sahih beliau tidak ada ijazah berkenaan, maka diarahkan beliau menanggalkan gelaran itu daripada namanya. Mujur ada pangkat Datuk, jadi ramai tak perasan mengenai ketiadaan sebutan Dr lagi pada namanya...


GB dah pesan beribu kali: jangan tipu dan jangan lawan hukum kebenaran. Kamu tidak akan menang. Kebenaran itu akan tetap terdedah jua! Firmanullah s.w.t.

Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilanglah yang batil; sesungguhnya yang batil itu akan tetap lenyap. (Surah Al Israa : 81)


Jangan Henti Hambat Menteri Projek Lembu Sampai Masuk Kandang

Posted: 08 Nov 2011 07:50 AM PST

Kerajaan Persekutuan digesa menjelaskan dakwaan penyelewengan wang rakyat di dalam Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diusahakan keluarga menteri dan sehingga kini sudah menelan belanja RM250 juta.

Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Seri Shahrizat Jalil juga harus menjelaskan tentang pembohongan yang berlaku mengenai status pinjaman yang diberikan kepada NFC.

Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli dalam kenyataan medianya berkata, tindakan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berbohong di Dewan Rakyat mengenai status pinjaman yang diberikan kepada NFC adalah perkara serius.

Justeru beliau menggesa Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan tindakan tata tertib sewajarnya kepada kedua-dua mereka atas tindakan mereka yang menghina Dewan Rakyat.

Najib pada 1 November lalu memberitahu Parlimen setakat ini hanya RM181.9 juta daripada peruntukan RM250 juta disalurkan kepada NFC, syarikat milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sementara Noh Omar pada 31 Oktober lalu berkata, RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.

Bagaimanapun menurut Rafizi, rekod kewangan NFC menunjukkan kesemua RM250 juta itu disalurkan sepenuhnya kepada Shahrizat sebelum 31 Mac 2009 lagi.

"Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

"Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC," katanya.

NFC sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila ia dikendalikan syarikat Agro Science Sdn Bhd yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Mohamad Salleh.

Syarikat itu sepatutnya membekalkan 60 ribu ekor lembu dalam masa lima tahun di bawah RMK 9 namun dalam tiga tahun pertama operasinya, ia hanya mampu membekalkan 8,016 ekor lembu.

Menurut Rafizi, kerajaan BN dijangka melupuskan hutang syarikat Shahrizat dengan kerajaan kerana operasi ternakan lembu syarikat itu rugi besar dan tidak mampu membayar kembali pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat.

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009)," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika ini berterusan, kerajaan pusat tidak ada pilihan lain kecuali melupuskan pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada NFC seperti amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain," ujar Rafizi.

Kerugian besar itu juga berpunca tindakan Shahrizat memberikan diskaun besar kepada restoran mewah milik keluarganya sendiri yang membeli daging lembu daripada NFC.

"Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri," tegasnya. -tvsnews

Projek Fidlot Kebangsaan: Kepincangan kewangan dan "Conflict of Interest"

Oleh Rafizi Ramli

KERAJAAN BERBOHONG MENGENAI JUMLAH PERUNTUKAN YANG TELAH DISALURKAN KEPADA NATIONAL FEEDLOT CORPORATION SDN BHD

Saya merujuk kepada dua kenyataan di Dewan Rakyat oleh Barisan Nasional berhubung skandal penyelewengan peruntukan projek pertanian melibatkan Projek Fidlot Kebangsaan.

Kenyataan pertama dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di lobi Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2011 bahawa "pinjaman berjumlah RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya".

Kenyataan kedua dibuat oleh Perdana Menteri pada 1 November 2011 dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang menyebut bahawa setakat 31 Julai 2011, hanya RM181.9 juta daripada geran dan pinjaman berjumlah RM250 juta telah disalurkan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Kedua-dua kenyataan ini adalah tidak benar dan menyelewengkan transaksi sebenar yang melibatkan Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan NFC yang dimiliki dan diuruskan oleh keluarga Shahrizat Jalil.

KEADILAN telah menjalankan kajian lanjut ke atas rekod NFC dan syarikat-syarikat berkaitan (associate companies) dan mendapati perkara-perkara berikut:

1) KESELURUHAN RM250 JUTA PINJAMAN TELAH DISALURKAN KEPADA NFC

-Keseluruhan RM250 juta pinjaman yang menggunakan wang rakyat sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009.
-Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama (first loan drawdown) sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.
-Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC.
-Pada 6 Mei 2009, NFC memindahkan wang dari pinjaman ini berjumlah RM116 juta ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad.
-Penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan badan-badan lain menunjukkan NFC mendapat keuntungan faedah dari simpanan deposit tetap berjumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 (penyata kewangan terkini yang diaudit dan difailkan).
-Jumlah keuntungan faedah dari simpanan deposit sebesar ini hanyalah mungkin sekiranya NFC mempunyai simpanan tetap ratusan juta ringgit.
-Malah, keuntungan faedah dari simpanan deposit berjumlah RM666,952.66 bersamaan 23% daripada perolehan hasil penjualan lembu, seolah-olah NFC adalah sebuat syarikat pelaburan kewangan dan bukannya operator ladang ternakan lembu.
-Status pinjaman RM250 juta yang telah diberikan sepenuhnya kepada NFC ini disahkan oleh carian rasmi di SSM yang menunjukkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, Hutang Jangka Panjang (Non-current liabilities) NFC berjumlah RM256,082,518 yang terdiri dari:

PINJAMAN DARI KERAJAAN RM250,000,000
GERAN KERAJAAN RM6,082,518


-Pendedahan ini membuktikan bahawa Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah berbohong kepada Dewan Rakyat dan seluruh negara dalam usaha mereka melindungi Shahrizat Jalil dan keluarga beliau.

2) KERUGIAN BESAR NFC MENYEBABKAN PINJAMAN RM250 JUTA AKAN DILUPUSKAN OLEH KERAJAAN

-Analisa kepada rekod kewangan NFC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan bahawa operasi ternakan lembu yang diusahakan mengalami kerugian besar dan tidak mungkin berupaya membayar kembali pinjaman RM250 juta yang diberikan Kerajaan Pusat.
-Bagi tahun 2009, kos purata mengimport, menternak dan menyembelih seekor lembu di NFC berjumlah RM4,481 seekor. Kos ini adalah terlalu mahal dan tidak mampu bersaing di pasaran.
-Malah, NFC turut memberikan diskaun berjumlah RM2,964,555 kepada Real Food Company Sdn Bhd (RFC) yang mengendalikan restoran mewah Meatworks milik keluarga Shahrizat Jalil, atas alasan untuk mengurangkan harga jualan memandangkan kos yang terlalu tinggi.
-Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri.
-Bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009).
-Kos operasi yang tinggi bermakna besar kemungkinan NFC akan terus rugi bagi tahun-tahun yang akan datang, apatah lagi apabila sasaran ternakan dan sembelihan tersasar jauh.
-Jika ini berterusan, Kerajaan Pusat tidak ada pilihan lain kecualilah melupuskan pinjaman RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC seperti mana amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain.
-KEADILAN berpendapat jumlah RM250 juta yang telah disalurkan kepada NFC bolehlah dikira hangus memandangkan prestasi kewangan NFC yang buruk.

3) DANA DARI NFC DIPINDAHKAN KE SYARIKAT-SYARIKAT MILIK KELUARGA SHAHRIZAT JALIL

-Penyata kewangan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan berlaku pelbagai transaksi kewangan yang membabitkan pemindahan dana kepada syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil.
-Terdapat dua syarikat bersekutu (associate companies) yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat Jalil dan mendapat manfaat terus daripada dana yang disalurkan kepada NFC, iaitu:

National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd
-Saham-saham dimiliki oleh Dato' Dr Mohamad Salleh Ismail (249,999 saham), Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh (250,000 saham) dan Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh (1 saham).




-Bertindak sebagai syarikat pemasaran daging-daging sembelihan NFC seperti promosi di laman web www.gemasgold.com.my
-Penyata kewangan terakhir yang difailkan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007.

Real Food Company Sdn Bhd
-Saham-saham dimiliki oleh keluarga Shahrizat Jalil sama ada melalui pegangan terus: Mohamad Salleh Ismail (500,000 saham), Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh (500,000 saham) dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh (500,000 saham) atau melalui syarikat yang dikuasai mereka iaitu Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd (1,500,000 saham) dan National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (2,000,000).



-Mengendalikan rangkaian restoran mewah milik keluarga Shahrizat Jalil di bawah jenama Meatworks seperti promosi di laman www.rfc.com.my
-Penyata kewangan terakhir yang difailkan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007.
-Penyata kewangan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan pada akhir tahun kewangan, National Livestock & Meat Corporation Sdn Bhd (NLMC) berhutang dengan NFC sebanyak RM81,222,448.93 walaupun kegiatan NLMC hanyalah untuk tujuan pemasaran daging.
-Jumlah yang besar sebegini (iaitu RM81 juta) sudah tentu datangnya dari pinjaman RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC, memandangkan perolehannya hasil aktiviti menternak dan menjual daging lembu hanyalah RM5,928,512.
-Ini menimbulkan persoalan sama ada pinjaman RM250 juta yang khusus untuk pembangunan pusat fidlot telah diselewengkan ke syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat Jalil.
-Malah, NFC turut memberikan diskaun berjumlah RM2,964,555 kepada Real Food Company Sdn Bhd (RFC) yang secara jelas menyalahi prinsip pertanggungjawaban wang awam, apabila syarikat yang diberi amanah menyalahgunakan wang rakyat untuk mengkayakan perniagaan persendirian milik mereka.

4) PERBELANJAAN LAWATAN LUAR NEGARA DAN KERAIAN YANG TERLAMPAU TINGGI

-Rekod kewangan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan sejumlah RM827,579 wang rakyat digunakan untuk pelbagai lawatan luar negara dan keraian oleh pengarah-pengarah NFC yang terdiri dari suami dan anak-anak Shahrizat Jalil.
-Kalau pun NFC perlu membuat lawatan ke luar negara untuk meninjau lembu dan mengikat perjanjian komersil, jumlah yang dibelanjakan adalah terlalu tinggi dan bersamaan dengan RM511 setiap seekor lembu yang disembelih dalam tahun 2009 oleh NFC.
-Rekod menunjukkan hanya 1,618 ekor lembu yang disembelih dalam tahun 2009. Daripada kos purata penternakan dan penyembelihan sebanyak RM4,481 seekor, 11% (RM511) adalah kos lawatan ke luar negara dan keraian yang dibelanjakan oleh kaum keluarga Shahrizat Jalil.
-Oleh yang demikian, maka tidak hairanlah kos operasi di NFC adalah 22 kali ganda lebih mahal berbanding anggaran kos yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar semasa kertas konsep projek fidlot ini dibuat.

Berasaskan fakta-fakta di atas, saya menyeru Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Shahrizat Jalil tampil ke hadapan menjelaskan secara terperinci sama ada telah berlaku sebarang penyelewengan wang rakyat sepanjang Projek Fidlot Kebangsaan ini dilaksanakan.

Tindakan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berbohong di Dewan Rakyat mengenai status pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada NFC adalah perkara yang berat.

Saya menyeru kepada Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan tindakan tata tertib sewajarnya kepada kedua-dua mereka atas tindakan mereka yang menghina Dewan Rakyat.

Saya juga menyeru supaya Shahrizat Jalil mula tampil ke hadapan meminta maaf kepada rakyat Malaysia memandangkan pendedahan setakat ini benar-benar menimbulkan kemarahan rakyat.





Ulasan GB

Sudahlah menghabiskan wang rakyat beratus juta, kemudian berbohong pula kepada rakyat mengenai status pinjaman yang diberikan kepada NFC yang diboloti oleh keluarga Shahrizat.

Jabatan Audit Negara sendiri mendedahkan adanya penyelewengan dan salahlaku. Jika polis dan SPRM tidak mahu mengambil tindakan, tunggu, masanya akan sampai juga nanti mereka yang terlibat akan menerima bahana dan implikasinya....

Hukum kebenaran tidak boleh dielak. "Lembu-lembu" itu perlu dihambat masuk ke "kandang" penjara.

Masa untuk berdusta, masa untuk berbohong dan menipu ikut suka hati menteri sudah tamat. Ini era Pakatan Rakyat!

Laporan berkaitan
sila klik untuk baca



Iran Pula Dijadikan Sasaran Utama Amerika & Israel

Posted: 08 Nov 2011 07:30 AM PST

Israel, AS cari sokongan dunia

Gambar: ANGGOTA tentera Iran melaung slogan anti-Amerika selepas solat Aidiladha di Tehran, semalam. - Foto REUTERS

TEHRAN: Iran mendakwa Israel dan Amerika Syarikat cuba mendapatkan sokongan dunia bagi satu serangan tentera terhadap kemudahan nuklear negara itu, ketika Russia semalam memberi amaran bahawa ia akan menjadi 'satu kesilapan yang amat besar.'

Ketegangan berlaku menjelang satu keputusan laporan minggu ini terhadap program nuklear Iran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di mana diplomat percaya ia akan menumpukan kepada dakwaan terhadap republik Islam itu memasang bahan nuklear dalam kepala peledak dan membangunkan program peluru berpandu.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam satu temu bual dengan akhbar Mesir, Al-Akhbar disiarkan semalam memberi amaran terhadap serangan tentera Iran dan sekali lagi menegaskan program nuklear Tehran adalah hanya untuk tujuan keamanan.

"Keupayaan Iran semakin meningkat dan semakin berkembang dan untuk sebab itu ia mampu untuk bersaing dengan dunia. Kini Israel dan Barat terutama Amerika Syarikat, bimbang keupayaan Iran dan peranannya," kata Ahamdinejad kepada akhbar harian itu.

"Sebab itu, mereka cuba untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi satu operasi tentera untuk menghentikan peranan (Iran). Mereka perlu tahu bahawa Iran tidak akan membenarkan mereka mengambil sebarang tindakan terhadap kami," katanya.

Ahmadinejad menambah bahawa Washington mahu menyelamatkan entiti Zionis tetapi ia tidak mampu untuk melakukannya.
"Entiti ini (Israel) boleh dibandingkan dengan satu pemindahan buah pinggang dalam satu tubuh yang menolaknya. Ya, ia akan runtuh dan penamatnya semakin hampir," katanya.

Serangan mulut Ahmadinejad terhadap Israel, gerbang musuh Iran, dibuat selepas Presiden Israel Shimon Peres memberi amaran dalam satu temubual televisyen pada hari Sabtu bahawa serangan ke atas Iran berkemungkinan besar akan dilakukan. Ia berikutan satu komen yang disiarkan pada hari Ahad oleh itu akhbar harian Israel, Hayom yang menyatakan: "Kemungkinan satu serangan ketenteraan terhadap Iran kini semakin hampir berbanding pilihan diplomatik."

"Kita perlu terus tenang dan menolak tekanan supaya kita boleh memikirkan setiap alternatif," kata Peres.

Merujuk kepada komen Peres, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberi amaran di Moscow dan menentang serangan tentera terhadap Iran.

"Campur tangan tentera hanya akan membawa kepada meningkatnya kematian dan kesengsaraan manusia. Jika dilakukan, ia adalah satu kesilapan besar," kata Lavrov. – AFP

Tiada Lagi Ruang Bersuara Dalam UMNO - Ku Li

Posted: 08 Nov 2011 06:22 AM PST

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui 'tiada ruang bersuara' dalam parti menyebabkan beliau dan rakan-rakan menubuhkan NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Bercakap pada sidang media mereka hari ini Tengku Razaleigh yang juga presiden NGO itu berkata, beliau tiada ruang untuk menyuarakan pendapat bagi pihak rakyat, berbeza dengan Umno ketika dipimpin oleh tiga presiden terawal dahulu.

"Bagi saya tak ada (ruang) lah," katanya ketika diaju soalan oleh wartawan.

"Sekarang ini nampaknya orang macam saya, Tan Sri (Abdul) Kadir (Sheikh Fadzir) tak ada tempat dah nak bersuara di sana (dalam Umno)," tambahnya lagi.

Turut serta pada sidang media itu dua timbalannya Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau yang juga ahli parlimen Gua Musang berkata, ruang tersebut ditutup kerana Umno sekarang ini hanya bergantung kepada satu idea sahaja.

Katanya, sama juga dalam perhimpunan agung Umno, di mana sesiapa ahli yang mahu bercakap perlu mendapat kebenaran 'orang atasan' termasuk perkara yang hendak dibangkitkan, perlu diluluskan terlebih dahulu.

Sambil menyokong pendapat itu Abdul Kadir pula berkata, zaman dahulu sampai ketika Tun Hussin Onn pun, semua orang bebas untuk bercakap namun sekarang tidak lagi.

"Nak kutuk ke, semua boleh cakap, tak ada masalah.

"(Sekarang) perhimpunan agung Umno untuk perkara-perkara yang sedap didengar sahaja," katanya kecewa.

Amanah dilancarkan Julai lalu dan sudah dilulus Pendaftar Pertubuhan (RoS) dua minggu lalu.

Tambah Tengku Razaleigh juga, pentadbiran Najib telah melakukan banyak program transformasi namun pelaksanaannya masih tidak menampakkan hasil. -HD




Amanah sokong p'raya selepas tugas PSC selesai


NGO yang baru didaftarkan, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, hari ini menyokong tuntutan bagi mendesak kerajaan supaya tidak membubarkan Dewan Rakyat selagi cadangan oleh Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen PSC) belum dilaksanakan.

Amanah diterajui oleh pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan dianggota boleh beberapa beks pemimpin utama BN yang lain.

Pada sidang akhbar hari ini, Tengku Razaleigh, yang mengakui bahawa beliau dan pemimpin Amanah memang dipinggirkan oleh parti-parti masing-masing dan oleh itu perlu terus untuk menyuarakan pendapat mereka di atas platform NGO baru itu.

Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membentuk PSC yang bertujuan membuat cadangan berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini dan berharap pindaan undang-undang yang disyorkan jawatankuasa itu akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Kami berpendapat pilihan raya itu harus diadakan selepas jawatankuasa berkenaan selesai menjalankan kerja-kerja dan syor-syornya dilaksanakan. Jika tidak, tidak ada makna dalam penubuhan jawatankuasa ini," kata bekas menteri pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, yang merupakan seorang daripada enam timbalan presiden Amanah.

"Jika mereka adakan pilihan raya sebelum kerja-kerja PSC selesai, ia nampaknya seperti main-main dan berdrama, ini adalah tidak baik," katanya, sambil menambah perkara itu adalah pendirian dicapai oleh majlis pusat tertinggil Amanah yang bermesyuarat, hari ini. -mk





Mesin ATM Di Taman Midah Dilarikan, RM300,000 Lesap

Posted: 08 Nov 2011 05:02 AM PST

Kuala Lumpur: Sebuah bank di Taman Midah, Cheras kerugian kira-kira RM316,000 apabila satu daripada lapan mesin juruwang automatik (ATM) dilarikan sekumpulan individu awal pagi ini.

Gambar: KESAN mesin pengeluaran tunai (ATM) yang dilarikan perompak di Maybank Taman Midah, Cheras. Kejadian disedari jam 3.30 pagi oleh dua anggota polis semasa membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan. - Foto Abdullah Yusof

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh, berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 3 pagi, apabila kereta peronda polis yang lalu di kawasan tersebut melihat dua bahagian cermin yang menempatkan mesin berkenaan pecah.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mesin ATM itu dilarikan dengan cara mengheretnya menggunakan kenderaan berat.

"Kedudukan mesin yang terletak berhadapan dengan pintu masuk memudahkan suspek melarikan mesin itu. Kemungkinan mesin itu diheret dengan menggunakan lori atau kenderaan jenis pacuan empat roda," katanya kepada pemberita hari ini.

Mohan Singh berkata, siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan oleh lima hingga enam lelaki berusia lingkungan 30-an.

"Kita percaya mereka melakukan kegiatan itu dengan hanya mengambil masa lima hingga 10 minit dan kesemua suspek tidak memakai penutup muka (topeng) bagi menyembunyikan identiti mereka.

"Siasatan awal juga mendapati alat penggera tidak berfungsi dan premis ketika itu tidak diawasi oleh pengawal keselamatan. Bagaimanapun, kita sedang meneliti rakaman CCTV di dalam dan luar premis itu," katanya.

Mohan Singh berkata, mesin itu ditemui semula di Hulu Klang, Ampang dekat sini oleh orang awam, kira-kira jam 11 pagi, namun semua wang tunai berjaya dilarikan.

Beliau berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan secara saintifik, termasuk mengesan semua suspek yang terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92840083 atau hubungi terus Inspektor Aniza Murad di talian 012-5413005," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Nampak macam mudah sangat mesin ATM itu "ditanggalkan" daripada dinding(!)

Apatah lagi polis menyatakan kejadian itu "hanya mengambil masa lima hingga 10 minit".

Mengesan suspek:

1) Ke mana pengawal keselamatan itu pergi waktu tersebut.
2) Ambilkira juga siapa pemasang mesin-mesin ini dulu.

Nicol & Zulfadli Harumkan Nama Negara

Posted: 08 Nov 2011 04:00 AM PST

Pulau Pinang ucap tahniah pada Nicol

Kerajaan Pulau Pinang mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang Ratu Skuasy Dunia, Datuk Nicol David (gambar) yang mencipta sejarah dengan memenangi gelaran perseorangan wanita jaguh dunia untuk kali yang keenam di Rotterdam, Belanda.

"Kejayaan bersejarah ini bermakna anak negeri Pulau Pinang merupakan pemain wanita yang memenangi gelaran juara dunia yang paling banyak kali dalam sejarah skuasy," ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, kebolehan Nicol memang tidak dipertikaikan tetapi yang menakjubkan adalah kemampuan beliau mengekalkan prestasi cemerlang dalam tempoh masa yang begitu lama.

Guan Eng menambah, apa yang lebih mengkagumkan ialah kekuatan mental dan kecekalan semangat berjuang Nicol untuk menang.

Tambahnya, itulah perbezaan di antara jaguh dunia dan jaguh kampung.

"Kerajaan negeri akan menunggu kepulangan beliau ke Pulau Pinang untuk meraikan kemenangan beliau dalam satu jamuan rasmi.

"Pulau Pinang memang bangga atas pencapaian Datuk Nicol David," ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada Zulfadli Zulkifli yang mencipta sejarah Malaysia setelah muncul juara remaja perseorangan dunia badminton daripada Malaysia buat kali pertama dalam pertandingan di Taipei.

Nicol selaku pemain No. 1 dunia, mudah membenam pemain No. 2 dunia, Jenny Duncalf dari England 11-2, 11-5, 11-0 untuk ditabal sebagai juara dunia, semalam.

Sementara, Zulfadli pula melakar sejarah dengan menghadiahkan gelaran sulung Malaysia dalam perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19. -HD

Mana Pergi Peruntukan RM426.5 Juta Untuk Parlimen Pembangkang?

Posted: 08 Nov 2011 03:30 AM PST

Pakatan Rakyat menuntut penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke mana perginya peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang di negara ini, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Menurutnya, jawapan bertulis perdana menteri terhadap soal beliau di parlimen hari ini menyatakan setakat 26 September 2011, dana tambahan sebanyak RM426.5 juta diperuntukan kepada semua kawasan parlimen untuk melaksanakan projek melibatkan kepentingan rakyat.

"Malangnya, peruntukan untuk kawasan parlimen pembangkang tiada kerana sehingga kini kami tidak menerima satu sen pun dari dana tambahan itu," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Salahuddin, ini bukan kali pertama kerajaan Umno BN menafikan hak kawasan pembangkang mendapat peruntukan dan sudah diamal sejak puluhan tahun lalu.

"Secara matematiknya, setiap satu kawasan Parimen BN, mereka mendapat peruntukan sebanyak RM3.025 juta.

"Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang dinafikan hak walaupun kami merupakan ahli parlimen yang sah dipilih oleh rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Pakatan Rakyat memberi jaminan setiap Parlimen akan menerima hak mereka jika gabungan itu diberi mandat sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

Ini kerana setiap wang itu merupakan wang pembayar cukai dan mereka berhak mendapatnya melalui peruntukan kepada setiap ahli Parlimen yang mereka pilih dalam mana-mana pilihan raya
. -KD

Ulasan GB

Kerana pengamalan sistem diskriminasi dan pilihkasih ini, ia akan mempercepatkan proses kehancuran Barisan Nasional itu sendiri - itu hukum kebenaran dan keadilan.

Tiada ulasan: