Ahad, 27 November 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


PAKATAN RAKYAT DISARAN LUPAKAN PUTRA JAYA

Posted: 27 Nov 2011 06:30 AM PST

Seorang pesara menjadi tumpuan pihak pembangkang sewaktu pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya, apabila beliau meminta mereka supaya melupakan sahaja niat untuk menawan Putrajaya di bawah sistem pilihan raya yang ada sekarang.

ng chak ngoon complain to psc 271111Dengan berbekalkan cetakan slaid pembentangannya, Ng Chak Ngoon (kanan) yang menyifatkan dirinya sebagai
seorang pesara, membentangkan kepada anggota panel PSC dengan graf yang menunjukkan 222 garisan, dengan setiap satu lebih tinggi daripada yang lain.

Graf itu, kata Ng  di sesi pendengaran di Kota Kinabalu semalam, digariskan mengikut jumlah pengundi kawasan pilihan raya bagi pilihan raya umum 2008.

"Semua di sebelah kiri (biru) dimenangi oleh BN, di sebelah kanan (merah) dimenangi oleh pembangkang. Kawasan pilihan raya BN sangat kecil dan kawasan pembangkang sangat besar. Jadi, apa yang berlaku di sini?"

Beliau mendakwa, ia bukan secara kebetulan yang semua orang di kawasan yang besar suka pembangkang dan semua orang di kawasan pilihan raya kecil suka BN.

NONESebaliknya, Ang mendakwa kawasan BN dipecahkan menjadi
kawasan yang lebih kecil untuk menambah bilangan ahli parlimen mereka.

Menurutnya, kawasan pilihan raya yang paling kecil - Putrajaya yang diwakili BN - hanya mempunyai 6,008 pengundi - tetapi kerusi Kapar - yang dimenangi pembangkang - mempunyai 112.224 pengundi, iatu 17 kali lebih daripada Putrajaya.

"Jika kita pecahkan Kapar kepada saiz Putrajaya, anda akan mempunyai 17 ahli parlimen dari Kapar dan bukannya seorang sahaja."

Jika semua kerusi sama saiznya, kata Ng, pilihan raya umum lepas akan menyaksikan keputusan di mana BN dan Pakatan Rakyat hanya akan mempunyai perbezaan tujuh kerusi di Parlimen dan bukannya 140 dan 82 seperti dalam keputusan sebenarnya.

Beliau juga menganggarkan jika sesebuah parti bergantung kepada semua kerusi kecil untuk memegang kuasa, maka ia hanya akan memerlukan 15.4 peratus daripada jumlah undi untuk membentuk majoriti di Parlimen.

Oleh itu, katanya, jka pembangkang fikir mereka boleh menawan Putrajaya, mereka boleh lupakan sahaja niat tersebut.

BUKTI UMNO KHIANATI MELAYU?

Posted: 27 Nov 2011 03:42 AM PST

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa urusan kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan pasti menjadi lebih mudah dan "mengindahkan" jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan, disifatkan sebagai salah satu bukti jelas pengkhianatan Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan selama ini.

Sebaliknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau patut malu kerana membuat kenyataan seperti itu kerana ia jelas memperlihatkan sikap sebenar para pemimpin Umno BN yang tidak bertanggungjawab dan ingin lari dari melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan kenyataan Muhyiddin itu jelas menunjukkan Umno BN segaja tidak mahu membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan disebabkan perbezaan parti antara kerajaan negeri yang berada di bawah PAS dan Kerajaan Persekutuan yang kini berada di bawah BN.

Menurut beliau, pada hal tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan undang-undang dan bertentangan sama sekali dengan perjanjian yang telah dimetrai antara Kerajaan Kelantan dan Petronas. 

Katanya, dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan perlu faham dengan perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas itu, tetapi kenyataan Muhyiddin itu jelas membuktikan beliau tidak memahaminya.

"Sememangnya amat memalukan jika seorang Timbalan Perdana Menteri tidak memahami perkara itu sehingga tergamak membuat kenyataan sedemikian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.     

Kelmarin, Muhyiddin dalam sesi dialog pada majlis perjumpaan khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri oleh 1,000 warga pendidik di Pusat Dagangan Kelantan berkata, urusan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pasti akan menjadi lebih mudah "dan mengindahkan" jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan.

Seperti yang dilaporkan media tempatan, beliau berkata, perkara itu akan lebih mudah jika kedua-dua parti dapat bekerjasama tanpa perlu berselisih faham terutama dalam soal pengurusan negeri.

"Ia akan mengindahkan jika kita boleh jadi pasukan bersama," katanya dalam reaksi kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan kawasan Limbungan, Zainuddin Awang Ahmad mengenai bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Muhyiddin itu jelas membuktikan keengganan Kerajaan BN membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan disebabkan tidak berada dalam satu pasukan, tetapi ia pasti menjadi sebaliknya sekiranya kedua-dua pihak berada dalam satu pasukan.

"Disebabkan tidak berada dalam satu pasukan, BN sanggup menganiaya rakyat Kelantan sehingga tergamak memejamkan mata dengan perjanjian sah yang dimetrai antara Kerajaan Kelantan dan Petronas.

"Pada hal Kerajaan Persetuan tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Ini bukan sekadar satu pelarian tanggungjawab, tetapi juga satu perlanggaran terhadap konsep federalisme," tegasnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang amat kesal kerana sebelum ini Muhyiddin juga pernah mengeluarkan kenyataan yang amat memalukan mengenai bekalan air di Kelantan, dengan mengatakan segala masalah berkaitan dengannya boleh diatasi dengan mudah jika Kelantan dirampas oleh BN.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata, punca masalah air di Kelantan itu berlaku disebabkan kerajaan Kelantan tiada wang untuk menyelesaikannya, berbanding Kerajaan Persekutuan yang mempunyai banyak wang.

"Dalam masa yang sama, seluruh rakyat Kelantan khasnya dan rakyat negara ini tahu, Kerajaan Persekutuan sendiri yang sememangnya melakukan pengabaian terhadap bantuan untuk kerajaan Kelantan sehingga kerajaan Kelantan tidak mempunyai banyak wang," katanya.

Itulah sikap sebenar Umno atau Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan, tambahnya, yang sememangnya mencipta pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat Kelantan, termasuk memberikan alasan disebabkan perbezaan parti.

"Pada hal, alasan seperti itu tidak sepatutnya ditimbulkan sama sekali. Sebaliknya dalam masa yang sama, semua orang tahu, segalanya berpunca dari kedudukan Umno BN sendiri yang kini semakin ditolak oleh rakyat, tetapi berpura-pura semakin kuat sehingga Muhyiddin sendiri mengatakan BN boleh mencapai kejayaan cemerlang jika PRU Ke-13 diadakan sekarang," katanya.

Sekiranya benar-benar kuat, tegasnya, Umno BN tidak perlu mencipta alasan itu untuk mengajak PAS bersatu dengannya, tetapi perlu membuktikannya dengan melakukan reformasi dalam pilihanraya di negara ini dengan antara lain melaksanakan 8 tuntutan Bersih. 

CALON BOLEH MENANG

Posted: 26 Nov 2011 05:40 PM PST

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon boleh menang atau "winnable candidate" mestilah seseorang yang boleh diterima majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti.

Perdana Menteri berkata sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa.

"Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti) tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal," katanya kepada Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini Sabtu.

Presiden Umno itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami maksud "winnable candidate" yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya.

"Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau winnable candidate tu ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tak akan berjaya," kata Najib.

Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di peringkat bahagian Umno, tetapi menurutnya, "rumusan calon boleh menang itu adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk menang".

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif.

"Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan," katanya.

Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang.

"Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang). "Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak mengikut selera atau kehendak kita," katanya.

Beliau berkata banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan akhirnya calon akan menang.

"Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa," katanya.

Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada ialah disiplin parti.

"Maknanya bila sampai pada masanya (pemilihan calon), keputusan itu perlu diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti," katanya.

Katanya, kriteria pemilihan calon ini difikirkan wajar berikutan keputusan pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional dan Umno tewas di lima buah negeri dan perlu menjadi pengajaran yang tidak harus dilupakan.

Menggunakan analogi semangat dan perjuangan skuad Harimau Muda yang menggondol pingat emas pada Sukan Sea ke-26 di Jakarta-Palembang baru-baru ini, walaupun menghadapi cabaran sengit, beliau berkata Umno juga perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pilihan raya.

"Kalau kita ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi.

"Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga," katanya.

Mengenai pengundi muda, beliau berkata sudah terbukti dalam pilihan raya kecil sejak dua tahun yang lepas, biasanya majoriti golongan itu menyokong Umno.

"Bererti sudah terbukti bahawa tidak semestinya orang muda bersikap "anti-establishment" (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu parti BN, mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri mereka sebagai orang muda," katanya.

Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri Umno perlu prihatin dalam mereka merealisasikan perjuangan mereka untuk generasi muda.

Beliau memberi contoh projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berbangkit dalam makmal Pemuda BN yang seterusnya dicadangkan kepada kerajaan.

Najib berkata perkara seperti itu memerlukan pertimbangan daripada kerajaan, dan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada kehendak dan tuntutan generasi muda.

"Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda...walaupun saya rasa saya muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi muda sepertimana juga dengan wanita, golongan warga emas, kelas pertengahan dan pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat," katanya.

Tiada ulasan: