SIASAH |
Plot bunuh duta Saudi, KL tidak nyata pendirian jelas Posted: 20 Oct 2011 01:36 AM PDT Satu kenyataan menteri luar Malaysia yang dilaporkan Isnin lalu, yang mengulas satu isu besar di peringkat antarabangsa kelihatan telah berlalu tanpa diberi perhatian sewajarnya. Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa kerajaan Iran terlibat dalam komplot untuk membunuh duta Arab Saudi di Washington, Adel al-Jubeir. Dua rakyat Iran didakwa mempunyai hubungan dengan pengawal revolusi Iran dikatakan terlibat dengan komplot itu. Seorang daripadanya, Manssor Arbabsiar yang memegang kerakyatan AS telah ditahan manakala seorang lagi, Gholam Shakuri berada di Iran. Kenyataan Datuk Seri Anifah Aman itu, yang dilapor dalam satu berita ringkas lima perenggan oleh Bernama dan turut disiarkan Utusan Malaysia tidak memperlihatkan satu pendirian yang tegas dan bebas. Laporan itu memperlihatkan satu pendirian yang mengelirukan, kerana mengutuk sesuatu yang didakwa dan tidak terbukti, dan bukan menggesa tindakan siasatan dijalankan. Pendirian "mengutuk plot itu jika terbukti" seperti melepaskan batuk di tangga, kerana membuat satu kenyataan isu besar melibatkan hubungan penting Kuala Lumpur dengan negara lain tanpa menjelaskan sebarang hal penting. Pada masa sama, satu kenyataan Anifah yang dipetik dalam laporan itu memperlihatkan pendirian bersungguh yang memperlihatkan Kuala Lumpur meyakini kebenaran plot yang didakwa itu. "Kami mengutuk sekerans-kerasnya sebarang tindakan untuk membunuh seorang wakil diplomatik sebuah negara berdaulat yang merupakan orang yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa," kata Anifah dipetik Bernama. Dakwaan yang ditimbulkan oleh peguam negara AS itu berpotensi meningkatkan lagi ketegangan di wilayah Teluk Parsi dan keseluruhan Asia Barat, dan menimbulkan juga kemungkinan konflik antara dua kuasa serantau itu. Iran, dalam satu kenyataan kementerian luarnya menolak dakwaan itu yang disifatkan sebagai "tidak logik dan semata-mata satu pertunjukan media dan politik." "Tuduhan tersebut dihasilkan oleh seorang agen rahsia yang tersembunyi, tidak dikenali berdasarkan kenyataan, tekaan dan sangkaan oleh individu-individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah!" tegas kementerian luar Iran dalam kenyataannya. Kenyataan rasmi kerajaan Iran itu, dan kenyataan pemimpinnya sebelum ini mengelak daripada mengecam Arab Saudi, memperlihatkan sikap berhati-hati Tehran dalam menangani politik serantau yang sedang menyaksikan potensi perubahan besar. Menurut kenyataan itu, strategi Iran terhadap negara Arab terutama Arab Saudi "didasarkan pada keamanan, persaudaraan dan kerjasama sepenuhnya" untuk mengekalkan keamanan Asia Barat dan Teluk Parsi. Iran dan Saudi ialah pesaing serantau yang sentiasa berusaha mengatasi dan menyekat pengaruh satu sama lain sejak tercetusnya revolusi di Iran pada 1979 yang mengubah rejim dan sistem pemerintahan. Saudi melihat kebangkitan rakyat di Bahrain dan timur Saudi yang majoriti penduduknya Syiah sebagai satu komplot Iran untuk meluaskan pengaruh serantau. Walau bagaimanapun, Iran dilihat cuba mencapai satu bentuk persetujuan dengan Saudi untuk mengelakkan daripada persaingan kedua-dua kuasa serantau tersebut mencetuskan konflik. Pada Julai lalu, Menteri Pertahanan Iran Ahmad Vahidi dilapor berkata bahawa AS "sedang berusaha untuk memecah-belahkan negara serantau" untuk mengelakkan penubuhan sebuah aturan keselamatan serantau, yang berpotensi mengukuhkan pengaruh Iran atau mengawal persaingan Iran dengan Saudi. Kenyataan terbaru Kuala Lumpur ini merupakan yang terbaharu memperlihatkan pendirian yang kelihatan tidak berdasarkan penilaian yang sewajarnya. Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pernah mengaitkan pembangkang Islamis Mesir dengan terorisme, menyokong tindakan keras Riyadh dan negara serantau di Bahrain dan mendakwa dunia akan menjadi lebih aman ekoran kematian Osama bin Laden. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan