Isnin, 24 Oktober 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: "Kemelut Dalaman", UMNO Pahang Terima Sesiapa Sahaja Calon Yang Akan Di Pilih Wakili BN

Posted: 23 Oct 2011 11:21 PM PDT

KUANTAN 24 Okt - UMNO Pahang akan terus bekerja keras dan menggalas apa jua tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas parti itu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum akan datang. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Mohd. Sharkar Shamsuddin (foto) berkata, UMNO Pahang juga akan bekerja dan menyokong siapa sahaja calon yang bertanding mewakili BN di mana-mana kerusi di negeri ini. "Siapa calon mewakili BN di Pahang bukan persoalannya, apa yang penting UMNO perlu rapatkan barisan dan terus bekerja keras bagi memastikan BN menang pada pilihan raya umum akan datang. "Ini lebih penting dilakukan oleh UMNO selaku parti tonggak dalam BN," katanya baru-baru ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan MCA Bahagian Kuantan untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO negeri bagi menentukan parti komponen mana yang paling tepat untuk mewakili BN dalam usaha merampas kerusi Parlimen Kuantan daripada pembangkang. Pengerusi MCA Kuantan, Dato' Ti Lian Ker pada sidang akhbar baru-baru ini berkata, kerusi itu yang ditandingi MCA sebelum ini boleh diberikan kepada UMNO tetapi dengan syarat ditukarkan kepada kerusi lain dalam daerah Kuantan. Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, apa yang dinyatakan oleh Lian Ker itu hanya pandangan peribadi Pengerusi MCA Kuantan itu. Beliau berkata, soal calon BN di Pahang pada pilihan raya umum akan datang terserah kepada keputusan pucuk pimpinan BN di peringkat Pusat yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. "Apa yang penting, setiap parti komponen BN perlu terima keputusan nanti secara terbuka dan lapang dada," katanya lagi.

[Apapun yang terjadi, sama ada UMNO atau MCA yang bertanding di Parlimen Kuantan nanti maka ternyata ia tidak akan memberi impak yang besar kepada kekuatan pembangkang di kawasan itu. Tambahan pula, majoriti kaum Cina sebenarnya kini sudah mula beralih arah dan akan "swing" undi kepada pembangkang. Ia ditambah lagi dengan isu Lynas yang dibantah oleh mereka. Jika MCA bertanding, pasti penyokong UMNO akan berpaling tadah dengan mengundi pembangkang. Itulah yang berlaku pada PRU-12 lalu. Jika UMNO pula kembali bertanding di situ, maka kaum Cina terutamanya penyokong Ti Lian Ker (foto) pasti akan buat undi protes. Malah, ada laporan mengatakan Pengerusi MCA Kuantan itu sendri sudah menyatakan minatnya untuk bertanding dk Parlimen Kuantan pada PRU-13 ini nanti. Umum masih ingat beberapa pemimpin MCA mengamuk dan hampir menyerang rumah MB Pahang di Jalan Teluk Sisek bila diwar-warkan UMNO mahu mengambil kerusi parlimen itu pada PRU-11 lalu. Malah, Ti Lian Ker sendiri sungguh kecewa bila namanya dikeluarkan dari senarai calon MCA pada ketika itu dan termasuk juga pada PRU-12 lalu. Kini, jika UMNO merampas lagi kerusi itu maka sudah pasti Fuziah Salleh akan menang selesa di Parlimen itu untuk penggal kedua kali ini. Sama-sama kita saksikan permainan politik BN ini].

Panas: Wartawan 'Kontroversi' Rancangan Aduan Rakyat TV3, 'Karam Singh' Dapat Anugerah Dato' !

Posted: 23 Oct 2011 09:30 PM PDT

PEKAN, 24 Okt - Pengamal media dan wartawan penyiaran Eksekutif Kanan TV3, Karam Singh Walia (foto) dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran "Dato" sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Hj.Ahmad Shah ke-81, hari ini. Karam Singh cukup terkenal dengan rancangan "Aduan Rakyat" dan sering membela orang ramai dalam isu-isu berkaitan alam sekitar dan kemanusiaan. Cuma, nama beliau sedikit panas bagi rakyat Kuantan dan Pahang amnya gara-gara tindakannya membela projek kilang memproses rare-earth milik syarikat Australia, Lynas Corporation di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan. Soalnya sekarang, apakah rakyat boleh menerima kenyataan yang Karam Singh dianugerah gelaran setinggi itu?. Sedangkan dalam masa yang sama beliau ternyata gagal membela rakyat Kuantan dalam isu "Lynas" yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini?. Apapun, Sultan Pahang mempunyai hak untuk memberi anugerah kepada sesiapa sahaja yang difikirkannya. Rakyat tidak boleh membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap "Tuanku" atas semua ini. Mungkin, dari persepsi "istana" Karam Singh telah berjaya membela rakyat dan menyelesaikan berbagai isu-isu yang berkaitan dengan mereka selama ini.

[Apapun yang terjadi PDO ucapkan syabas dan tahniah kepada Karam Singh Walia. Semoga dengan anugerah yang diterima itu akan dapat memantapkan lagi perjuangan beliau untuk membela rakyat selama ini. Biar pun ada sedikit kontroversi terutamanya ketika dia mempertahankan isu Lynas. Namun, rakyat harus menerima kenyataan bahawa beliau terpaksa menjalankan tugasnnya. Selama ini, rakyat menerima apa saja pendedahan dan pembongkaran yang beliau lakukan. Tiba-tiba bila ada satu dua perkara yang tidak kena dan sehala dengan perjuangan mereka, apakah kita boleh terus menuduh Karam Singh itu berada di pihak yang salah?. Maka, jalan terbaik ialah meneruskan kerja-kerja seperti biasa tanpa ada perasaan iri hati dan dengki pada pihak-pihak tertentu. Karam Singh kini sudah bergelar "Dato', dan beliau mungkin sudah melakukan sekarang].

Najib: Sesiapa Yang 'Mengagungkan' Komunis Dan Menafikan Tugas Polis, Tidak Layak Di Ampunkan!

Posted: 23 Oct 2011 07:40 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 Okt - Sesiapa yang mengagungkan perjuangan komunis dan menidakkan pengorbanan serta kesetiaan anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara adalah pengkhianat yang dosa mereka tidak layak diampunkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan komunis bukan untuk membebaskan negara ini daripada penjajah, sebaliknya mahu mengambil alih tanah air dan menukarnya menjadi sebuah republik sebelum mengharamkan segala kebebasan rakyat termasuk untuk beragama. Beliau menambah, dalam konteks tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950, kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa lelaki Melayu, Muhammad Indera yang diangkat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai hero sebenar ialah seorang komunis. "Nak kata kepala tak betul dan bangang (bodoh), dia sudah dipilih menjadi pemimpin oleh partinya. Jadi apa muslihat dia? Orang sebegini yang sanggup menidakkan jasa serta pengorbanan para perajurit negara ialah pengkhianat dan dosa golongan seperti ini tidak layak untuk dimaafkan. "Saya sudah membuat siasatan dan pihak polis sendiri mempunyai bukti kukuh Muhammad Indera seorang pengganas komunis. Dia sendiri mengaku kepada pihak polis yang dia merancang serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dan turut bertanggungjawab membunuh beberapa anggota polis. "Chin Peng (SU Agung Parti Komunis Malaya) sendiri dalam sebuah buku mengesahkan bahawa Muhammad Indera anggota komunis. Jadi kenapa kita perlu mengangkat pemimpin sebegini," katanya semasa berucap di majlis Perhimpunan Perdana Pesara dan Bekas Polis semalam. "Golongan yang menidakkan pengorbanan perwira negara yang sudah berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air kita yang tercinta ini ialah golongan yang buta hati. Golongan sebegini tidak boleh dibenarkan jadi pemimpin negara," ujarnya.

Kenyataan oleh anak "Home Guard" yang mengesahkan Bristih mengupah
ayahnya supaya menangkap Mat Indera di Batu Pahat Johor dulu


[Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Sementara itu, ditanya pada sidang akhbar sama ada golongan yang dilabel sebagai pengkhianat negara akan dihadapkan ke mahkamah, Najib berkata, ia terserah kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, namun menegaskan pandangan pihak terbabit mesti ditolak dengan apa cara sekalipun. Mengenai bukti pembabitan Muhammad Indera dalam komunis serta penglibatan lelaki itu dalam tragedi Bukit Kepong, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia mendedahkan perkara itu kepada umum jika keadaan memerlukan. Najib berkata, selain rakaman, buku bertajuk "Dialogues With Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party" oleh C.C.Chin dan Karl Hack, mengesahkan pembabitan Muhammad Indera sebagai anggota komunis].

Sukan: Pelumba Honda Dari Itali Marco Simoncelli Maut Kemalangan, "GPMoto Malaysia" Di Batalkan

Posted: 23 Oct 2011 03:43 AM PDT

SEPANG, 24 Okt - Penunggang Honda, Marco Simoncelli (foto) dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dan kepalanya dilanggar dua pelumba lain pada perlumbaan kategori MotoGP di Litar Sepang petang semalam. Ia adalah kecelakaan besar menimpa MotoGP Malaysia di litar Sepang sebenarnya. Pada lap kedua penunggang pasukan San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli terjatuh dan kepalanya dilanggar oleh dua pelumba lain Colin Edwards serta Valentino Rossi. Penunggang Honda itu dilaporkan meninggal dunia. Super Sic, julukan Marco Simoncelli, gagal mengawal motorsikalnya di selekoh 11 sehingga dia terjatuh di litar. Malangnya, Edward dan Rossi yang datang terlanggar beliau hingga akhirnya kedua-dua penunggang tersebut ikut terjatuh. Edwards dan Rossi masih mampu bangkit. Sementara Simoncelli yang masih terkapar tak sadarkan diri dengan helmet tercabut langsung dinaikkan ke ambulans. Beliau diberitakan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat dilanggar dua pelumba itu, Edward dan Rossi. Bendera merah tanda acara dihentikan juga terus berkibar. Sebelum ini ada berita bahawa acara tersebut akan kembali diteruskan, namun setelah menunggu beberapa ketika pihak penganjur Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports akhirnya umumkan acara semalam secara rasmi dibatalkan. Sementara Edward, dilaporkan derita cedera serius di bahunya.



[Apa yang berlaku dalam tragedi ini sungguh mengejutkan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia. Namun, satu ikhtibar yang harus diambil oleh anak-anak muda yang gemar "merempit" di negara kita ialah sehebat mana pun anda mengemudikan kenderaan anda itu. Namun, jika sudah sampai ajalnya maka terpaksa tunduk jua. Inilah yang sepatutnya menjadi pedoman kepada "Mat Rempit" di negara ini agar senantiasa ebrhat-hati dan berwaspada ketika memandu di jalanraya. Jika pelumba profesional itu pun boleh terbunuh apatah lagi anda yang baru setahun jagung bergiat aktif dalam sukan permotoran itu. Hebat, tidaklah semesti bertahan selamanya].

Tiada ulasan: