Jumaat, 14 Oktober 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Calon Ketiga Akan Menentukan Keputusan Bagi 'Kerusi Parlimen Serta DUN' Kawasan Bandar Kuantan Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Ini Nanti!

Posted: 13 Oct 2011 06:39 PM PDT

Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) dan Barisan Nasional (BN) bakal berhadapan dengan laluan sengit bagi dua buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bandar ini pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti. Ini difahamkan, kemungkinan terdapat pertembungan tiga penjuru pasti akan berlaku di dua kawasan majoriti "Melayu" yang kini diwakili oleh kaum Cina sebagai wakil rakyatnya. Kawasan terbabit ialah DUN Semambu, Parlimen Indera Mahkota dan DUN Teruntum, Parlimen Kuantan. Apa yang menarik ialah dua DUN terbabit di wakili oleh pemimpin Cina dari MCA iaitu YB Pang Tsu Ming (Semambu) dan YB Chang Hong Seong (Teruntum), manakalah parlimennya pula dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu YB Fuziah Salleh (Kuantan) dan YB Azan Ismail (Indera Mahkota). Azan ketika itu menewaskan Salamon Ali Rizal dengan majoriti 1,027 undi sahaja. Azan mendapat 19,823 undi sementara Salamon 18,796 undi. Bagi kerusi Parlimen Kuantan pula Fuziah mendapat 18,398 undi menewaskan Fu Ah Kiaw yang mendapat 16,572 undi dengan majoriti 1,826 undi sahaja. Maknanya di kedua-dua kawasan terbabit pembangkang hanya menang dibawah paras dua ribu undi sahaja. Manakala bagi kerusi DUN Semambu pula, Pang Tsu Ming mendapat 10,300 undi menewaskan calon PKR, Nancy Khong yang mendapat 8,164 undi dengan majoriti 2,136 undi. Bagi kerusi DUN Teruntum pula, Chang Hong Seong mendapat 8,015 undi menewaskan calon PKR, Siew Fook Chan yang mendapat 7,722 undi dengan majoriti hanya 293 sahaja. Maknanya, kerusi-kerusi terbabit sebenarnya pada bila-bila masa sahaja boleh dikekalkan atau bertukar tangan baik di parlimen mahu pun di kerusi DUN sebenarnya. Oleh itu, pilihanraya umum ke-13 ini nanti pasti akan menyaksikan pertembungan sengit antara ketiga pihak terbabit. Jika tersilap langkah kemungkinan besar calon "ketiga" akan menang dengan undi protes yang besar pada Pilihanraya Umum kali ini.


YB Azan Ismail, YB Pang Tsu Ming, YB Fuziah Salleh dan YB Chan Hong Seong
calon-calon yang telah pun memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu
Berdasarkan kepada peratusan terkini mengikut statistik pengundi di DUN Teruntum danSemambu, kedua-duanya memang mempunyai majoriti pengundi berbangsa Melayu sekarang. Malah peratusan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan peratusan Melayu kini hampir mencecahkan 60%. Maknanya. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat wajar letakkan calon Melayu di kawasan itu sebenarnya. Ramai ahli akar umbi kedua-dua parti sememangnya mahu kerusi itu dikembalikan kepada calon Melayu. Malah terdapat laporan ia juga dibangkitkan dalam mesyuarat agung parti tertentu sebelum ini. UMNO sememangnya berhasrat untuk mengambil semula kerusi Parlimen Kuantan yang menjadi kerusi Melayu sejak zaman berzaman. Malah, Pengerusi PKR Pahang sendiri iaitu Dato' Fauzi Abd Rahman dan Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob adalah bekas Ahli Parlimen kawasan terbabit. Cuma bermula pada PRU ke-11 yang lalu, kerusi itu diambil alih oleh MCA yang meletak Datuk Fu Ah Kiow sebagai calonnya. Lantaran itulah pada PRU-12 yang lalu. ramai ahli UMNO membuat undi protes dengan menyokong Fuziah Salleh hingga menyaksikan Naib Presiden PKR itu menang ke atas Fu Ah Kiow. Keputusan itu jelas satu tamparan hebat buat MCA Pahang sendiri dan seharusnya kerusi Parlimen Kuantan dikembalikan kepada UMNO pada PRU-13 ini nanti. Jika tidak, sudah pasti Fuziah Salleh akan menang dengan lebih selesa kali ini.


Fuziah dan beberapa pemimpin yang pernah mewakili Parlimen Kuantan

Zaid kemungkinan meletakkan calon KITA bertanding di kawasan Kuantan

[Berdasarkan senario di atas, maka kemungkinan besar akan muncul calon "ketiga" di kerusi DUN Semambu dan DUN Teruntum pada pilihanraya umum kali ini. Desas-desus ada mengatakan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim juga berminat untuk meletakkan calon mereka di kedua-dua kerusi DUN itu. Risikan mendapati Zaid akan turun ke Kuantan dalam masa terdekat ini untuk bertemu penyokongnya dan menerangkan dasar serta hala tuju parti itu. Maknanya, harapan cerah untuk KITA meletakkan calonnya kini bukan omongan kosong lagi. KITA dikatakan sedang merisik calon-calon "popular" dan diterima rakyat untuk bertanding di situ. Soalnya, apakah KITA boleh menentukan keputusan di kawasan terbabit agaknya. Calon bebas juga dikatakan amat berminat di kedua-dua DUN terbabit. Ia berdasarkan masalah kepercayaan dan krisis dalaman kedua-dua parti baik pembangkang mahu pun kerajaan yang masih belu berkesudahan hingga ke hari ini. Di atas kertas, pembangkang dilihat ada kekuatan kerana isu "Lynas". Namun, atas padang tidak siapa yang tahu. Andai berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan terbabit, pasti ia akan mengubah keputusan yang memihak kepada pembangkang sebenarnya. Tambahan pula jika calon bebas atau KITA berbangsa Melayu dan diterima rakyat. Pada masa ini, kedua-dua pihak kini sedang berlumba-lumba untuk menentukan calon di kawasan berkenaan. Namun, tidak dapat dipastikan siapakah yang akan terpilih sebenarnya, kerana ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing. Apapun, kini calon bebas dan KITA sudah mula menguatkan jentera dan buat kerja untuk membawa perubahan politik baru bagi rakyat Kuantan. Perubahan besar pasti akan disaksikan pada kali ini!. Selamat berjuang buat semua!].

Panas: Takungan Air Lombong Bijih Besi Pecah Di Maran, Kerajaan Negeri Pahang Di Harap Berhati-Hati Luluskan Permohonan Di Kawasan Tadahan

Posted: 13 Oct 2011 05:40 PM PDT

MARAN, 14 Okt - Kerajaan Negeri Pahang diharap bertanggungjawab sepenuhnya atas musibah yang menimpa lebih seribu penduduk di dua ladang di Sri Jaya dekat sini kelmarin. Ini kerana gara-gara kerakusan kerja perlombongan bijih besi di kawasan terbabit menyebabkan penduduk terputus hubungan akibat banjir lumpur. Kejadian yang telah didedahkan oleh Buletin Utama TV3 malam itu dipercayai berpunca daripada takungan air sebuah lombong bijih besi yang pecah di situ. Kawasan ladang terabit dipenuhi dengan lumpur hingga menyebabkan penduduk terpaksa berhadapan dengan berbagai masalah sampingan yang lain. Tambah menyulitkan jalan dari ladang berkenaan dan pekan Sri Jaya ditenggelami lumpur dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan ringan dan hubungan penduduk terputus sama sekali. Ia menyebabkan kira-kira 50 pelajar sekolah menengah dan rendah dari dua ladang serta kampung berdekatan tidak dapat ke sekolah seperti biasa. Mereka termasuk enam pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Rata-rata penduduk yang dihubungi menyatakan rasa kekecewaan atas kejadian yang berlaku. Malah mereka kecewa dengan sikap Pejabat Tanah Dan Galian Pahang (PTG) yang dilihat gagal memantau aktiviti perlombongan secara telus. Banyak kawasan tadahan air diluluskan hanya kerana ia dipohon oleh "proksi" yang berkaitan. Di fahamkan, lombong berkenaan adalah merupakan kawasan milik seorang tokoh politik setempat, dan kami sedang menjejaki pemiliknya untuk didedahkan kepada umum. Isu lombong bjih besi kini menjadi panas selepas kejadian terbaru ini. Kami juga akan membongkarkan beberapa aktiviti rasuah dan penyelewengan berkaitan enam jabatan dalam memastikan kelulusan yang berkaitan. Malah difahamkan, banyak lombong kini menjadi permainan "adik beradik" kepada beberapa orang tokoh politik dan juga orang kuat di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP). Apakah mereka harus dibiarkan sesuka hati mengaut keuntungan jutaan ringgit, sedangkan rakyat terus dihimpit kemiskinan sekarang ini?.


Lumpur membanjiri kawasan kediaman penduduk di ladang berkenaan

Lokasi kejadian banjir lumpur yang disebabkanoleh lombong berkenaan
Sila KLIK SINI untuk menonton laporan eksklusif Buletin Utama TV3
Rakyat harus tahu semua ini, jika tidak banyak sumber hasil galian di negeri Pahang ini akan dirompak sesuka hati oleh pihak yang sama sejak sekian lama sebenarnya. Mereka sewenangnya menjadikan hasil bumi di negeri ini sebagai "harta mak bapak mereka". Ayuh bongkarkan!. Paling menyedihkan ada pemimpin UMNO di Pahang yang memohon lombong sehingga berpuluh-puluh kawasan atas nama yang berbeza. Difahamkan juga pada masa ini ada lebih dari 4,000 permohonan yang sedang diproses oleh Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Pahang. Itu belum termasuk ribuan lagi yang sudah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diangkat ke Mesyuarat Exco Kerajaan Pahang bagi kelulusan. Pendek kata, rakyat Pahang "makan habuk dan debu", sebaliknya beberapa kerat pemimpin, kroni serta proksi mereka kaya raya.

[Kerajaan Negeri Pahang digesa lebih berhati-hati meluluskan kawasan perlombongan kepada orang ramai. Ini kerana, banyak pihak yang kini menjadi "jutawan segera" akibat kelulusan projerk tersebut. Malah ada diantara mereka langsung tidak mempunyai jasa kepada rakyat dan bermewah-mewah selepas mendapat beberapa konsesi lombong di Pahang. Soalnya, kenapa Kerajaan Negeri Pahang begitu muda meluluskan kawasan berkenaan?. Kes yang berlaku di Sri Jaya ini harus dijadikan ikhtibar kepada semua pihak agar ia tidak berulang kembali. PDO akan membuat laporan eksklusif tentang aktiviti perlombongan bijih besi ini dalam masa terdekat. Kita tidak mahu hasil mahsul rakyat Pahang diberikan sewenang-wenangnya kepada pihak-pihak tertentu. Malah, mereka mengaut keuntungan yang cukup lumayan sedangkan hasil kepada Kerajaan Negeri tidak seperti yang diharapkan. Inilah yang menyebabkan ekonomi negeru merudum sedangkan proksi dan kroni mengaut keuntungan berlipat ganda. Malahan ada laporan mengatakan kegiatan perlombongan itu saja telah mendatangkan keuntungan ratusan juta kepada pihak terbabit, sedangkan Bajet negeri Pahang senantiasa defisit jutaan ringgit. Negeri papa kedana tetapi pihak terbabit kaya raya mengaut untung untuk anak cucu mereka!].

Tiada ulasan: