Pahang Daily Online |
- Bantahan "Projek Berisiko Di Pahang", Rakyat Di Jemput Hadir Ke Himpunan Hijau 109 Pagi Esok !
- Bajet 2012: 'Belanjawan Tranformasi' Malaysia, Di Bentangkan PM Najib, Satu Tamparan Hebat Buat Pembangkang Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13
- Shamsul: Tiada 'Penafian Konkrit', Serta Jawapan Berbeza, PM Harus Beri Keterangan di Mahkamah
- Kes Liwat II: Berdasarkan Ujian, Serta Keputusan MRI Maka Tidak Mungkin Anwar Ibrahim Meliwat
- Datuk Zaid Ibrahim Tolak Provokasi Media Konon KITA Bergolak & Harap Rakyat Terima Kenyataan Parti Itu Juga Adalah Pembangkang Di Negara Ini
Bantahan "Projek Berisiko Di Pahang", Rakyat Di Jemput Hadir Ke Himpunan Hijau 109 Pagi Esok ! Posted: 07 Oct 2011 08:40 AM PDT KUANTAN, 7 Okt - Satu perhimpunan besar-besaran yang dinamakan "Perhimpunan Hijau 109" bakal diadakan di Taman Gelora dekat sini pada pagi Sabtu (8 Oktober). Program yang akan bermula dari jam 6.00 hingga 9.00 pagi itu adalah satu himpunan Soldariti Rakyat yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap penggunaan Cyanide di lombong emas Bukit Koman Raub, pembinaan inssinerator di Blue Valley Cameron Highlands dan pembinaan kilang memproses nadir bumi di kawasan perindustrian Gebeng Kuantan. Dengan hasrat untuk "Mendokong Deklarasi Earth Charter" himpunan terbabit dipercayai adalah untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat di Pahang menyatakan luahan hati mereka terhadap sikap Kerajaan Negeri Pahang yang membenarkan kesemua projek ini dilaksanakan tanpa mengambilkira sensitiviti rakyat itu sendiri. Dengan temanya "Bebaskan Bumi Pahang Daripada Pencemaran Yang Boleh Membawa Musibah Dan Berbahaya" maka ia dijangka akan dapat menarik ribuan rakyat terutamanya penduduk Kuantan untuk hadir. Sebelum ini sudah ada beberapa program seumpama demikian diadakan di lokasi yang sama, namun ia lebih menjurus kepada bantahan Lynas yang dianjurkan oleh NGO Save Malaysia Stop Lynas (SMSL). Program kali ini dijangka lebih besar dengan menggabungkan lebih banyak badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti politik dalam Pakatan Rakyat. [Difahamkan pada program itu nanti, satu rekod "Cap Tangan Bantahan Terbanyak" bakal dicipta sebagai sokongan kepada himpunan ini. Segalanya adalah ditangan rakyat "Bantah Tetap Bantah" biar pun kesemua projek berisiko berkenaan sememangnya akan terus dan sudah pun dijalankan di negeri Pahang ini. Justeru itu semua rakyat Pahang dan Kuantan terutamanya yang ingin menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan ini, bolehlah datang beramai-ramai ke Taman Gelora pagi esok. Sokongan semua adalah diharapkan untuk memeriahkan lagi "Perhimpunan Hijau 109" ini nanti. Sila buat hebahkan kepada semua!]. |
Posted: 07 Oct 2011 02:30 AM PDT KUALA LUMPUR, 7 Okt - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (foto) membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat tepat pukul 4 petang tadi (Jumaat). Belanjawan kali ini disifatkan Najib sebagai satu belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia itu jelas sekali menepati ramalan ramai pihak sebenarnya. Banyak imbuhan, elaun dan kebajikan rakyat telah diberikan atau dimansuhkan. Biar pun Bajet 2012 ini dikatakan bertujuan untuk memancing undi pada Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang, namun bagi rakyat biasa mereka tetap berbangga dengan keprihatinan kerajaan itu sebenarnya. Banyak faedah yang diterima oleh rakyat di bandar dan luar bandar yang antara lain bagi mengurangkan bebanan mereka. Jumlah keseluruhan bajet 2012 ialah RM232.8 bilion, manakala perbelanjaan operasi RM181.6 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM51.2 bilion. Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung melalui stesen-stesen utama radio dan televisyen. Belanjawan 2012 dilihat sebagai dokumen yang menggariskan strategi kerajaan dalam menjayakan agenda transformasi negara ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Setelah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, Prorgam Transformasi Ekonomi dan langkah transformasi politik, pembentangan Belanjawan 2012 dianggap sebagai memenuhi keperluan menjayakan hasrat Gagasan 1Malaysia. Dewan Rakyat dijadual bahaskan Bajet 2012 itu minggu depan. [Secara umummnya jelas sekali kandungan bajet menjurus kepada tekanan yang dihadapi oleh rakyat. Banyak elemen mengurangkan bebanan kehidupan, sektor luar bandar, menggerakkan inovasi bagi mempertingkatkan penghidupan masyarakat luar bandar. Bajet yang dilihat banyak mengurangkan kos sara hidup dan menyenangkan rakyat. Berbagai cara dan banyak yang telah diperkenalkan. Bajet yang penuh dengan isu transformasi terutamanya bagi sektor awam dan sektor ekonomi dan sebagainya jelas sekali akan diterima oleh semua. Soalnya sekarang, apakah Bajet 2012 yang dibentangkan oleh PM Najib Razak ini dapat diterima oleh Pakatan Rakyat. Atau mungkin juga apa yang diumumkan ini adalah satu strategi bagi mengembalikan semula sokongan rakyat kepada BN pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Semua ini boleh berlaku. Soalnya, apakah sokongan rakyat akan kembali berpihak kepada kerajaan BN selepas ini, atau rakyat juga melihat ia sebagai "gula-gula pilihanraya". Segalanya pasti akan dibuktikan pada PRU-13 ini nanti?]. |
Shamsul: Tiada 'Penafian Konkrit', Serta Jawapan Berbeza, PM Harus Beri Keterangan di Mahkamah Posted: 07 Oct 2011 01:36 AM PDT KUALA LUMPUR, 7 Okt - Datuk Seri Najib Razak sehingga kini belum ada penafian konkrit berhubung jawapan berbeza berkaitan pertemuan Perdana Menteri itu dengan pengadu kes Fitnah II, Saiful Bukhari Azlan. "Beliau mengaku Saiful ada berjumpa dengannya untuk memohon biasiswa tapi dalam respon kali kedua menyatakan Saiful mengadu hal kononnya diliwat."Dari segi fakta (kertas pertuduhan), fitnah yang dibuat Saiful berlaku dua hari selepas pertemuan itu. Tiga tahun berlalu, hal ini masih belum dinafi," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin (foto) hari ini. Najib sebelum ini dilapor mengadakan pertemuan itu pada 30 Jun 2008 dan 3 Julai 2008 yang turut disiar media arus perdana secara besar-besaran tetapi kini mengelak dari memberi keterangan dalam kes berkenaan. Mengulas lanjut, Shamsul sifatkan kegagalan Najib dan isterinya untuk disepina memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat betapa kes Fitnah II hanya konspirasi politik sekali gus mengulangi kes Fitnah I. "Keputusan panel hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang benarkan permohonan mereka untuk tidak jadi saksi di dalam perbicaraan dilihat "prejudge" pembelaan Anwar dan peguam bela bahawa wujud konspirasi," katanya. Beliau hairan kerana Najib ditawar sebagai saksi pada peringkat awal tetapi kemudian, kehadirannya tiba-tiba dianggap tidak relevan. "Bagaimana dengan keterangan Rosmah yang direkodkan ikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah? Di manakah asas untuk katakan mereka tidak relevan jika keterangan ada direkod." Ini, katanya, secara tidak langsung buka ruang dan asas baru kepada peguambela untuk fail semula permohonan membatal hakim berikutan keputusan tidak konsisten dengan fakta kes itu. [Ramai yang musykil dengan tindakan Najib dan Rosmah untuk tidak mahu disepina dalam kes ini. Sedangkan terdapat bukti-bukti kukuh yang mangsa iaitu Saiful Bukhari Azlan mengaku berjumpa mereka sebelum laporan polis dibuat terhadap dakwaannya itu. Malah, Najib sendiri mengaku Saiful ada bertemu beliau kepada media. Persoalannya, kenapa beliau takut untuk jadi saksi di mahkamah?. Memang mudah menggunakan kuasa yang ada untuk melepaskan diri dari menjadi saksi, tetapi sedarkah beliau yang rakyat melihat semua ini. Tindakan untuk melarikan diri dari tanggungjawab sebagai saksi, jelas sekali satu tindakan yang tidak wajar berlaku sebenarnya. Namun, inilah amalannya di Malaysia, semuanya boleh belaka. Apakah tindakan ini dapat diterima oleh rakyat gamaknya !]. |
Kes Liwat II: Berdasarkan Ujian, Serta Keputusan MRI Maka Tidak Mungkin Anwar Ibrahim Meliwat Posted: 07 Oct 2011 12:52 AM PDT KUALA LUMPUR, 7 Okt - Prosiding perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberitahu, berdasarkan ujian ke atas ketua pembangkang itu dan keputusan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), adalah tidak mungkin bagi tertuduh meliwat. Menurut pakar bedah orthopaedik Dr Thomas Hoogland (foto) yang menyambung keterangannya hari ini, penilaiannya dibuat dengan mengambil kira usia Anwar. "Bekalan darah adalah masalah utama apabila berlaku kerosakan kepada saraf... "Apabila kita andaikan hubungan seksual, ia tidak mungkin boleh dilakukan. "Berdasarkan pemeriksaan ke atas Anwar dan keputusan MRI, ini mustahil dilakukan (tindakan meliwat) kerana usianya," kata Hoogland. Menjawab soalan Peguam Cara Negara II Yusof Zainal Abiden, Hoogland berkata meskipun pembedahan dijalankan dan terdapat perubahaan, namun ia tidak sembuh sepenuhnya. [Jika dilihat pada zahirnya, memang tertuduh (Anwar) tidak berupaya untuk melakukan perbuatan seks apatah lagi meliwat mangsa (Saiful Bukhari Azlan). Namun, ramai yang masih menganggap tertuduh berupaya melakukannya jika dalam keadaan tertentu. Soalnya, kontroversi ini kini semakin membingungkan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang mengikuti perjalanan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini. Apapunm segalanya hanya hakim yang arif lagi bijaksana boleh membuat keputusan. Jika tertuduh iaitu Anwar Ibrahim didapati bersalah maka dia akan kembali dihumbankan ke Penjara Sg.Buloh dan begitulah sebaliknya]. |
Posted: 06 Oct 2011 05:14 PM PDT JERANTUT, 7 Okt - Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim (foto) berharap agar rakyat menerima kenyataan bahawa partinya itu juga adalah parti pembangkang di negara ini dan bukannya parti dalam gabungan Pakatan Rakyat semata-mata. Beliau berkata demikian dalam majlis penerangan parti KITA yang diadakan di Jerantut Hill Resort dekat sini petang semalam. Dalam majlis itu, selain sesi penerangan, majlis dialog turut diadakan. Berbagai persoalan dan kemusykilan yang sering bermain difikiran rakyat telah dihuraikan satu persatu oleh Datuk Zaid dalam majlis semalam. Majlis yang dianjurkan oleh Ketua KITA Cawangan Pahang, Md Nor Jaafar itu telah mendapat sambutan hangat dari kalangan hadirin dan wartawan yang hadir. Masing-masing percaya jika KITA mengotakan apa yang dijanjikan, maka nescaya satu hari nanti parti itu bakal menjadi sebuah parti yang akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Zaid dalam ucapannya menegaskan sikap sesetengah orang yang masih menganggap bila dikatakan parti pembangkang itu mestilah parti PAS, DAP dan PKR sahaja. "Orang lain tidak layak belaka. Itu tak betul", katanya. Beliau menjelaskan parti KITA adalah merupakan parti pembangkang baru yang juga mahu melihat kerajaan itu berubah melalui dasar-dasar yang dibuatnya. "Tengoklah, kalau PAS buat tak betul di Kelantan maka kita akan tentanglah PAS tu... Begitu juga kalau Kerajaan Kedah buat tak betul, kerajaan Lim Guan Eng (Pulau Pinang) tak buat betul, kita kena bersuara. Janganlah kerana parti tu yang memerintah adalah kerajaan yang sama dengan parti kita maka kita diamkan je", kata Zaid. "Saya rasa itu politik zaman dulu bolehlah, tapi sekarang perlu berubah. Asal kumpulan kita semua betul, kalay kumpulan lain semua salah. Kalau group BN semua salah, tak boleh .. ada jugak yang BN lakukan itu betul kita kena sokonglah", tambah beliau lagi. Zaid turut menegaskan pendekatan parti KITA adalah apa yang dia (kerajaan) buat. "Kalau dia buat betul, kita sokonglah. Katalah Bajet yang akan dibuat oleh kerajaan esok (hari ini). Kalau ada bajet yang menguntungkan kepada rakyat, kita sokonglah. Yang membazir tak tentu hala tu kita tak sokong. Bukan maknanya kita berpihak kepada parti Barisan Nasional (BN)", kata Zaid lagi. KITA Sokong 'Dasar Yang Terbaik' Untuk Rakyat Sementara itu, Zaid turut menegaskan bahawa beliau menyokong keputusan Perdan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebab itulah yang diperjuangkan oleh beliau selama ini. Malahan, beliau sanggup letak jawatan menteri untuk membantah akta tersebut. "Saya sokong tindakan PM itu, sebab itulah perjuangan saya sejak 10-20 tahun dulu. Jadi bila orang buat kebaikan, kita sokonglah. Tidak kira yang buat itu Najib ke, Hj.Hadi ke, Anwar Ibrahim ke. Lim Guan Eng ke atau siapa. Kita kena sokong apa yang kita ubah. "Kalau dulu PAS tduh UMNO assobiyah. UMNO pula tuduh pas assobiyah. Semua sama. Jadi saya rasa politik macam ini tak sihat. Sikap berpuak-puak ini tak sihat. Penilaian tak betul. Kalau benda ni dari kumpulan kita semua betul. Politik ni adalah kerajaan, kerajaan buat dasar. Bila dia buat benda tak betul, tak kiralah parti apa pun ia tetap tak betul. Ini yang saya nak cuba wujudkan di negara kita ini. Politik yang melihat sesuatu benda tu secara objektif (ternilai). Kita jangan terlalu taksub dengan kumpulan kita, orang lain semua tak betul. Apa orang kita kata betul, apa orang lain kata tak betul", tambah beliau lagi. Beliau turut berharap untuk melihat politik yang lebih sihat, berasas dengan perjuangan dan kepentingan rakyat yang sebenarnya. "Saya tak kira, dan kalau boleh saya akan beri kerjasama kepada semua pihak samada BN atau pembangkang. Tapi kena buatlah benda yang betul. Mungkin cara kita baru dan cara ni tak biasa orang dengar. Pendekatan ni tak biasa kita dengar", tambah Datuk Zaid Ibrahim. Krew PDO, Blogger Cucumatkilau sempat bergambar dengan Ketua KITA Datuk Zaid Ibrahim dan Md.Nor Jaafar (Ketua KITA Cawangan Pahang) |
You are subscribed to email updates from PDO :: Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan