Isnin, 3 Oktober 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


PM Najib Tersilap, Krisis Dalaman MCA Hilangkan Sokongan 'Kaum Cina Terhadap BN' Sebenarnya !

Posted: 03 Oct 2011 01:44 AM PDT

Dalam satu kenyataan ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-58 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan lantangnya mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) amat memerlukan sokongan dan undi daripada masyarakat kaum Cina bagi meneruskan pentadbiran dan kuasa mereka. Malah, beliau yakin kaum Tionghua akan meralih arah untuk mengundi BN pada PRU-13 nanti. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Najib dihadapan perwakilan yang hadir ke perhimpunan tersebut. Namun, persoalannya, apakah Najib sedar dengan ucapan beliau itu?. Beliau harus ingat bahawa orang Cina sekarang ini tidak lagi percaya kepada MCA sebagai wadah politik yang memperjuangkan nasib mereka. Kini mereka beralih arah menyokong DAP yang merupakan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat. Perkembangan terakhir yang berlaku melihatkan lebih 80% kaum Cina sebenarnya sudah menolak MCA dan Barisan Nasional. Mereka tidak yakin lagi dengan perjuangan parti itu. Malah, dalam Pilihanraya Negeri Sarawak sebelum ini, biarpun BN masih berkuasa di negeri itu namun kerusi bandar dikuasai oleh DAP dengan majoriti yang cukup besar. Ini harus diakui oleh BN termasuk Najib sendiri.

PM Najib bersama kepimpinan MCA semasa perhimpunan Agung parti itu


[Umum melihat, sememangnya MCA tidak lagi diyakini oleh kaum Cina atas beberapa faktor munasabah yang menjurus ke arah itu. Mereka lebih selesa untuk membuat perubahan bersama DAP dalam Pakatan Rakyat. Kenyataan Najib itu, mungkin sekadar menyedapkan halwa telingan semata-mata. Sedangkan beliau sendiri tahu krisis dalaman MCA antara Presiden, Chua Soi Lek dan bekas Presiden, Ong Tee Keat kini kian memuncak. Terbaru, Chua secara jelas mencabar Ong keluar MCA dan melepaskan jawatan Ahli Parlimen Pandan jika tidak yakin lagi dengan perjuangan parti itu. Malah, isu gambar Ong selaku bekas Presiden juga menjadi pertikaian mutakhir ini. Soalnya, apa yang berlaku dalam MCA di saat pilihanraya umum semakin hampir sudah pasti akan merosakkan masa depan parti itu. Penyokong Ong pasti akan menggunakan segala jenteranya untuk memastikan Chua Soi Lek terkubur terus pada PRU-13 itu nanti. Maknanya, MCA akan bertembung sesama sendiri dan ia memberi kekuatan kepada DAP selaku parti alternantif kaum Cina di dalam pakatan].

Sultan Pahang Ingatkan Semua Pihak, Agar Tidak Politik Tugas Dan Tanggungjawab Penjawat Awam

Posted: 03 Oct 2011 01:26 AM PDT

KUANTAN 3 Okt - Sultan Pahang Sultan Hj. Ahmad Shah (foto) mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan tugas dan tanggungjawab penjawat awam bagi menjamin kesejahteraan negara. Baginda bertitah, pihak yang berbuat demikian hanya akan melambatkan pembangunan negara dan menyusahkan rakyat. "Penjawat awam juga perlu komited kepada tugas mereka dalam menyokong aspirasi kerajaan yang memerintah," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ke-14 di sini hari ini. Menurut baginda, semangat sayangkan negara perlu ada pada setiap penjawat awam supaya perkhidmatan awam akan menjadi lebih cekap dan berkesan. Pengerusi persidangan, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, suruhanjaya-suruhanjaya perkhidmatan yang memikul tanggungjawab melaksanakan urusan pengambilan dan perkhidmatan, berusaha mencapai hasrat kerajaan untuk menarik lebih ramai pegawai kompeten dan berkepakaran bagi menjadikan perkhidmatan awam lebih kompetitif dan berdaya tahan selain atasi masalah penghijrahan cendekiawan di dalam sektor tersebut.

[Kenyataan dan titah Sultan Pahang ini haruslah dihayati oleh seluruh penjawat awam di negei ini dan di Malaysia amnya. Ramai penjawat awam kini yang menjadi "gunting dalam lipatan" yang menyalurkan maklumat kepada pihak-pihak tertentu, sedangkan mereka masih berkhidmat dengan kerajaan. Tindakan tersebut jelas sekali mencemari profesyen mereka dan tudak wajar dilakukan sama sekali. Namun, ramai yang bertindak demikian akibat tidak tahan lagi dengan wujudnya terlalu banyak penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam agensi terbabit selama ini. Maka itu, mereka bertanggungjawab untuk menyelamatakan wang rakyat yang mengalir masuk ke dalam kantung pihak-pihak yang berkenaan. Adalah lebih elok dihebahkan daripada merahsiakan sesuatu yang wajib diketahui oleh seluruh rakyat. Mereka tidak wajar terus ditipu dan diperdayakan oleh pihak yang berkenaan itu buat selama-lamanya].

Pakatan Lantik Azmin Ali (PKR), Dr.Hatta Ramli (PAS) Dan Juga Anthony Loke (DAP) Sertai PSC !!

Posted: 03 Oct 2011 12:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Okt - Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan nama tiga wakil dari gabungan itu untuk menyertai Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) bagi membincangkan isu reformasi pilihan raya.Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diwakili oleh Timbalan Presidennya Azmin Ali (foto), Anthony Loke dari DAP manakala Dr Hatta Ramli akan mewakili PAS. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui pada sidang media berkata penubuhan jawatankuasa itu tidak boleh dijadikan alasan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengabaikan tanggungjawab berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada. "Pendirian Pakatan Rakyat sepakat untuk beri laluan dan kerjasama. Serta saya ingatkan jangan jadikan alasan melengahkan dan untuk ketepikan tuntutan bersih. "Jaminan belum ada. Kalau Perdana Menteri serius dia patut bangun dan pertahankan prinsip SPR yg bebas dan adil," kata beliau. Sebelum itu Anwar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan peranan SPR yang mengabaikan tanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya secara adil dan bersih. Beliau menyatakan SPR seolah-olah mengambil sikap bersahaja terhadap tuntutan gabungan Bersih 2.0 pada Julai lalu.


Inilah ahli Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) yang telah dipilih itu
[Ramai yang gusar kini, apakah Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) yang dibentuk itu boleh melakukan perubahan terhadap pilihanraya yang bebas dan adil agaknya?. Ini kerana tempoh yang diberikan kepada jawatankuasa itu dilihat agak lama dan desas-desus pilihanraya diadakan lebih awal dai itu kini sedang hangat kedengaran. Ada yang meramalkan, kemungkinan jawatankuasa itu tidak sempat untuk membentangkan hasil laporan mereka kerana PM Najib Razak dijangka akan membuabkan parlimen lebih awal dari itu. Akhinya, rakyat akan berhadapan dengan pilihanraya seperti biasa yang menyaksikan banyak kepincangan dan penyelewengan terus dilakukan sewenangnya. Apapun, ramai yangberharap agar jawatankuasa terbabit dapat bertindak sebelum pilihanraya umum berjalan hendaknya. Jika terlewat, rakyat yang rugi].

Najib: Dua Akta Baru Gantikan ISA Bakal Imbangi Hak Asasi, Kebebasan Sivil & Keteteraman Awam !

Posted: 02 Oct 2011 10:59 PM PDT

KUALA LUMPUR 3 Okt - Dua akta baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal memberi perimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, langkah itu membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dengan lebih baik dan dihormati oleh negara lain. "Jentera kerajaan memang berdiri teguh dan menyokong tindakan kerajaan untuk batalkan ISA dan diganti dengan dua akta baru. Akta baru ini akan mengambil langkah untuk mencari perimbangan antara hak asasi individu, civil liberties dan jaga keamanan awam," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen di sini hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai instrumen atau undang-undang bagi membendung masalah yang sebelum ini diletakkan di bawah peruntukan ISA dan jaminan Perdana Menteri untuk pastikan jentera kerajaan serta perkhidmatan awam berikan kerjasama ke arah itu.

[Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini kemukakan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Kediaman Terhad dan Rang Undang-Undang Buang Negeri untuk Pemansuhan 2011 di Parlimen. Sebelum itu, Dewan Rakyat telah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarham Dr. Lo' Lo' Ghazali dan bertafakur seminit. Rakyat masih tertanya-tanya, apakah akta baru yang dipinda itu sama atau lebih teruk dari ISA. Kenapa perlu akta baru sedangkan negara sudah punyai banyak akta-akta lain yang boleh menjaga keselamatan rakyat sebenarnya. Inilah yang jadi kemusykilan mereka sekarang ini. Apakah akta baru itu dipinda untuk kepentingan rakyat atau sebaliknya].

Ketua UMNO Cawangan Indera Mahkota I Keluar Parti Dan Sertai PKR Bersama Para Penyokongnya

Posted: 02 Oct 2011 01:36 PM PDT

KUANTAN, 3 Okt - Kecewa dengan UMNO, seorang Ketua Cawangan parti itu bersama lebih 50 orang penyokongnya bertindak menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau yang hanya dikenali sebagai "Hassanuddin" merupakan Ketua UMNO Cawangan Indera Mahkota 1, telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam satu majlis di Restoran Saji Rahmat dekat sini petang semalam. Pada majlis itu juga PKR Ranting Indera Mahkota 1 ditubuhkan dan beliau dipilih sebagai Ketua Penaja ranting terbabit. Dalam ucapan ringkasnya, Hassan menegaskan beliau bertindak menyertai PKR selepas melihat UMNO kini semakin tersasar dari arus perjuangan. Ramai pemimpin katanya, sudah mula terpesong dari perjuangan asal untuk membela nasib agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, mereka lebih berselera mengenyangkan tembolok masing-masing dengan mengejar kekayaan peribadi masing-masing. Akhirnya rakyat dipinggirkan dan kebajikan hanya dijaga bila tiba musim pilihanraya seperti sekarang ini. Pada majlis ringkas itu, Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota Lee Chean Chung juga turut menyampaikan ucapan dan mengucapkan syabas kepada Hassan yang berjaya menaikkan semangat PKR di cabang itu. Beliau berharap dengan kemasukan Hassan dan pengikutnya, maka cabang Indera Mahkota akan diperkukuhkan lagi dalam usaha mengekalkan kerusi parlimen itu yang dinenangi pada PRU-12 yang lalu.


Hassan serahkan borang kepada Fuziah, disaksikan Lee Chean Chung
[Turut hadir dalam majlis itu ialah Dato' Fauzi Abd Rahman (Pengerusi MPN Pahang), YB Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Kamarzaman Md Yunus (Setiausaha PKR Pahang) serta lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat. PKR Indera Mahkota sebelum ini dianggap cabang yang paling banyak bergolak apabila krisis kepimpinan parti menyebabkan Timbalan Ketua Cabangnya, Ibrahim Sidek bertindak keluar dan menyertai UMNO. Kemudian berlaku banyak krisis dalaman yang lain semasa pemilihan parti itu Oktober tahun lalu. Namun pemilihan semula tidak dijalankan kali ini memandangkan ia tidak sampai 30% yang dibenarkan. Apapun, peluang untuk kedua-dua parti menang di Indera Mahkota tetap cerah sebenarnya. Tambahan pula perubahan jelas dapat dilihat di sana sini. Cuma strategi sahaja yang perlu].

Warta Pahang: 'Pemilihan PKR', Roslan Md Tahir Di Pilih Sebagai 'Ketua Cabang Pekan' Yang Baru !

Posted: 02 Oct 2011 11:55 AM PDT

PEKAN, 3 Okt - Pemilihan PKR Cabang Pekan menyaksikan Roslan Mohd Tahir (foto) dipilih dan Mohd Kamal Yusof dipilih sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Cabang yang baru parti itu. Mereka menewaskan calon panas Abd Rahman Othman dan Ram Ponusamy dengan majoriti yang agak besar dalam pemlihan yang diadakan di Markas PAS, Felda Chini 3 petang semalam. Pemilihan telah dijalankan secara aman dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Sebelum ini, terdapat dakwaan akan berlaku kekecohan di pemilihan terbabit, namun ianya berjaya diselesaikan secara berhemah akhirnya. PKR Pahang menghantar, Razali Alias (Ketua Penerangan) untuk memantau pemlihan cabang tersebut. Cabang Pekan sebelum ini telah digantung akibat tidak aktif walau pun parlimen Pekan adalah kerusi yang ditandingi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Difahamkan, hanya jawatan Ketua Cabang dan Timbalan Ketua Cabang sahaja yang dipertandingkan, manakala jawatan Naib Ketua Cabang telah dimenangi oleh Jamaluddin Shariff yang menang tanpa bertanding. Manakala jawatan 15 Ahli Jawatankuasa Cabang yang disenaraikan tiada pertandingan. Pengawas pemilihan dari PKR Pusat yang telah hadir ialah Hadi Suhaimi dan juga Puan Maisuri Zainal.

[Mesyuarat Agung Tahunan Cabang pula telah dirasmikan oleh Kamarzaman bin Yunus, Timbalan Setiausaha PKR Negeri Pahang. Di antara usul yang menarik perhatian di dalam MATC kali ini adalah usul daripada Zaidi Ahmad yang mencadangkan agar parti mengubah dasar berkaitan pemilihan iaitu undian dilakukan di peringkat Ranting masing-masing kemudiannya Ranting akan melantik Perwakilan mereka ke pemilihan di Peringkat Cabang. Ini adalah bagi mengelakkan dari kesulitan ahli-ahli untuk hadir mengundi di samping mengurangkan masalah sekiranya tempat diadakan mesyuarat tidak sempurna atau kecil. Cadangan itu telah disokong sebulat suara]. Info selanjutnya klik di SINI

Lynas Corporation Tetap 'Standard Baharu' Yang Belum Pernah Di Lihat Dalam Sejarah Nadir Bumi

Posted: 02 Oct 2011 11:38 AM PDT

Lynas Corporation Ltd akan membina kilang pemprosesan di Gebeng, Kuantan, menurut standard baharu yang belum pernah dilihat dalam sejarah industri nadir bumi. Naib Eksekutif Presiden (Strategi dan Komunikasi Korporat), Dr Matthew James (foto), berkata kilang bernilai RM700 juta itu adalah berdasarkan kepada proses dari China tetapi Lynas telah berusaha meningkatkan prestasi persekitaran pemprosesan berkenaan dengan melabur secara besar-besaran dalam rawatan gas dan sisa air serta pengurusan sisa pepejal. "Dan itulah jenis pelaburan yang tidak berlaku di China kerana mereka belum pernah membina jenis kemudahan seumpama itu menggunakan standard yang sama yang Lynas gunakan."Mereka tidak rawat air sebelum dikeluarkan, dan mereka tidak sental dan bersihkan gas sebelum dikeluarkan," katanya dalam temubual eksklusif di ibu pejabat Lynas di Sydney. Bagaimanapun, beliau menambah yang banyak perubahan dan penambahbaikan telah berlaku di China dengan perbadanan bumi nadir terbesar Baotao, baru-baru ini mengumumkan pelaburan US$150 juta untuk program persekitaran sisa air dan gasnya. China menghasilkan lebih 90 peratus daripada bumi nadir dunia dan telah melaksanakan pengurangan 40 peratus ke atas kuota eksportya untuk 2010, sekali gus menyebabkan kekurangan global dan lonjakan harga. "Kami akan menetapkan penanda aras yang baharu dalam industri," kata beliau lagi. video

[Lynas sebelum ini merupakan syarikat perlombongan emas dalam tahun 1980-an sebelum pengurusan baharu ambilalih dan kukuhkan syarikat itu dalam 2002. Ia akan membina kilang di Gebeng untuk memproses produk bumi nadir, menggunakan bahan mentah yang diperoleh dari lombongnya di Mount Weld, kira-kira 600 kilometer dari Perth. Bahan mentah itu pertamanya akan diproses di kilang konsentratnya di tapak lombong dan kemudian dijadikan konsentrat untuk dieksport ke Malaysia. Konsentrat itu mempunyai 37 peratus kandungan oksida bumi nadir (REO) dan ia akan dihantar ke kilang Gebeng sebaik sahaja Lynas mendapat lesen pra-operasi. James berkata kajian oleh pakar menunjukkan yang kilang Gebeng itu selamat dan tidak akan mendedahkan sebarang bahaya kepada komuniti dan persekitaran. Beliau berkata yang konsentrat yang akan dihantar ke Malaysia tidak membahayakan, tiada radioaktif serta tidak disifatkan sebagai barangan yang merbahaya oleh standard pengangkutan].

Tiada ulasan: