Sabtu, 1 Oktober 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Sampai Bilakah 'Pembangkang' Perlu Bergantung Kepada Jentera PAS Pada Setiap Kali Pilihanraya?

Posted: 30 Sep 2011 10:46 AM PDT

Setiap kali berlakunya pilihanraya, baik pilihanraya kecil atau pilihanraya umum maka pasti ada saja yang merungut di "kem pembangkang", terutamanya tentang persediaan jentera dan petugas pilihanraya. Apa tidaknya, setiap kali musim pilihanraya pasti jentera Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang lebih menonjol daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri. Di Pahang, senario ini memang kerap berlaku dan sudah menjadi kebiasaan kepada semua pihak sebenarnya. Persoalannya, apakah fenomena ini harus dibiarkan terus berlaku sampai bila-bila?. Jentera atau petugas pilihanraya adalah penting dalam membantu kemenangan. Maka itu, jentera harus dilatih dan diperkemaskan dengan kemahiran untuk berkerja sebelum, semasa dan selepas sesuatu pilihanraya itu. Mutakhir ini, bagi negeri Pahang apa yang bakal disaksikan masih hampir sama dengan yang terdahulu. Kebergantungan terhadap parti PAS, dilihat sebagai sesuatu yang sudah pasti akan berlaku. PAS yang dianggap "lebih advance" dalam kemahiran berhadapan dengan pilihanraya sering dijadikan alat setiap kali pilihanraya. Alasan yang diberikan cukup mudah iaitu parti lain iaitu DAP dan PKR, masih baru dan tidak mempunyai jentera yang mempunyai semangat jati diri dan komitmen yang tinggi seperti ahli PAS. Jika inilah alasannya, maka sampai bila agaknya ia boleh diubah. Sampai bilakah parti pembangkang lain harus bergantung kepada jentera PAS semat-mata. Malah, ada sesetengah kawasan langsung tidak ada cawangan atau kewujudan parti lain dalam pembangkang selain PAS. Sepatutnya, selepas menang besar dalam menidakkan 2/3 majoriti BN di parlimen pada PRU-12 dulu maka maasing-masing sewajarnya mengukuhkan jentera parti, menambah ahli dan membuka seberapa banyak cawangan (ranting) yang baru. Kini, masa sudah terlalu tipis untuk itu dan kerumitan itu akan bertambah tatkala pembubaran parlimen berlaku bila-bila masa dari sekarang. Anehnya, ada pula parti yang tidak mempunya jentera yang cukup kuat dan bersedia tetapi berusaha melobi untuk bertanding di banyak kawasan sedangkan mereka tahu senario yang berlaku. Akhirnya, jentera PAS terus digunakan atas dasar persepakatan sampai bila-bila.

[Oleh itu, pada PRU-13 ini nanti adalah disyorkan agar mana-mana kawasan yang tidak berwibawa untuk parti lain memberi ruang kepada PAS untuk meletakkan calon mereka. Jika tidak sudah pasti ia akan mengecewakan ramai pihak, seolah-olah mereka diperalatkan oleh rakan-rakan yang lain. Semua ini sebenarnya berlaku di mana-mana di seluruh negara. Terkadang ia ada baiknya, tetapi terkadang buruk padahnya. Jika ia berlaku di kawasan yang ditandingi oleh PAS sendiri, mungkin tiada masalahnya. Bayangkan jika ia terjadi kepada kawasan yang ditandingi oleh parti lain?.Usaha perlu dilakukan lebih awal untuk menambah ahli dan memperkuatkan jentera, bukan sekadar seronok beretorik mahu menawan Putrajaya sedangkan kemampuannya tidak ada. Semoga teguran ini dapat diambil sebagai iktibar oleh semua pihak. Berubahlah sekarang jika benar ingin membawa perubahan buat rakyat. Masa semakin hampir sekarang !!].

Panas: Pertemuan Duta AS Dengan Pembangkang Di Hotel Hyatt, 'Tiada Dalam Jadual' Sebenarnya !

Posted: 30 Sep 2011 10:02 AM PDT

KUANTAN, 1 Okt - Kunjungan Duta Besar Amerika Syarikat, Paul W.Jones (foto) ke Pahang pada Selasa lalu nampaknya menimbulkan kontroversi. Sebelum ini PDO ada mendedahkan berkenaan satu pertemuan sulit antara Duta terbabit dengan pimpinan pembangkang (Pakatan Rakyat) yang diketuai oleh Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman. Difahamkan pertemuan tersebut telah diadakan di Hotel Hyatt dekat sini. Persoalannya yang timbul, benarkah pertemuan yang dikatakan "sulit" itu telah dirancang atau secara tidak sengaja?. Ini kerana terdapat dakwaan daripada pihak tertentu mengatakan pertemuan antara pemimpin pembangkang itu adalah tidak termasuk di dalam jadual rasmi Duta terbabit (Klik Sini). Cuma, beberapa orang pemimpin pembangkang dikatakan telah menunggu kehadiran beliau dilobi hotel terbabit tanpa ada "temujanji" yang sepatutnya. Lantara itulah pertemuan "santai" itu hanya berlaku seketika dan bukanlah secara rasmi seperti yang didakwa. Maknanya, tidak ada apa-apa perkara penting yang dibincangkan dalam pertemuan ringkas terbabit. Cuma gambar-gambar diambil sebagai membuktikan kononnya ada pertemuan khas yang telah dirancang sejak dari awal. Apakah benar dakwaan ini atau itulah hakikat sebenarnya.


Adnan dikatakan telah lebih awal adakan pertemuan dengan Duta tersebut

Gambar pertemuan Duta Amerika dengan pemimpin pembangkang Pahang

[Difahamkan, pada sebelah pagi hari tersebut Duta berkenaan telah terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob di lokasi yang sama. Adnan kemudiannya memandu kenderaan bersama Duta terbabit untuk mengadap Sultan Pahang, Sultan Hj.Ahmad Shah dikediamannya dekat Pekan. Pertemuan Duta itu dengan Sultan Pahang adalah atas dasar hubungan diplomatik dan juga menjunjung kasih memandangkan beliau baru bertugas di negara ini. Persoalannya, apakah benar pertemuan dengan pemimpin pembangkang itu tidak dirancang dan tiada dalam jadual atau pun sebaliknya. Jika tidak dirancang, maknanya gambar-gambar yang diambil di sekitar lobi hotel terbabit mungkin juga adalah sebagai gimik semata-mata bagi membuktikan kononnya ada pertemuan sulit diadakan dengan Duta berkenaan. Walhal ia berlaku secara tidak sengaja agaknya. Semua ini menimbulkan kemusykilan yang cukup kontroversi sekarang].

Tiada ulasan: