Jumaat, 21 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Bergambar] Demo UIA Tegang, Ketua AMK Ditangkap [updated]

Posted: 21 Oct 2011 12:49 AM PDT

Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin ditahan oleh pasukan pengawal keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebentar tadi.

Menurut beberapa pesanan menerusi Twitter, Shamsul ditahan ketika dalam perjalanan ke tempat mengambil air wudhu oleh lebih 10 anggota keselamatan termasuk polis.

Kini Shamsul diiringi keluar oleh pasukan polis keluar dari universiti tersebut tanpa diketahui destinasi yang dituju.

Nota: Shamsul Iskandar ialah bekas pelajar undang-undang UIA -GB

Bagaimanapun, demonstrasi di hadapan masjid UIAM tetap diteruskan dengan lebih kurang 500 orang membanjiri perkarangan masjid dengan dipantau unit keselamatan universiti dan lebih 20 Siput Babi didtangkan khas dari IPD Gombak.

Sementara itu, polis dan unit keselamatan melarang wakil media dan akhbar daripada masuk ke dalam universiti sehingga melarang petugas media yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat di masjid universiti tersebut.

Media tidak dibenarkan masuk mulai jam 1230 tengah hari tadi dipercayai arahan pihak universiti sendiri atas nasihat polis dan Umno-APCO.

TERKINI!! - Rundingan sedang diadakan antara mahasiswa dengan pihak polis bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sekumpulan mahasiswa hari ini mendesak Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugasnya semalam.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.

Ia akan diserahkan kepada Zaleha selepas perhimpunan membantah tindakan terhadap Abdul Aziz petang ini.

Memondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). - jalanpulang


Demo sokong pensyarah tegang

Beberapa orang pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.

"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini," kata pengawal keselamatan itu.

Tindakan itu dipercayai bagi membantutkan usaha kumpulan mahasiswa yang mahu berdemonstrasi terhadap UIA yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Sementara itu, wartawan Abdul Rahim Sabri yang tiba di UIA sejak pagi tadi, melaporkan kira-kira 700 mahasiswa sedang berhimpun membantah penggantungan Abdul Aziz.

Perhimpunan itu berlansung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat.

Mereka melaungkan "Hidup Ilmu", "Lawan Kezaliman", "Bebas Aziz Bari" dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan.

Mereka berhimpun untuk menyokong dan mendokong Abdul Aziz dan mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Sewaktu mereka hendak berarak menghantar memorandum, berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum kepada rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak berlaku.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam. -MK


1,000 berhimpun tuntut 'bebaskan' Aziz Bari

GOMBAK, 21 Okt: Hampir 1000 orang berhimpun di perkarangan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini bagi membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh universiti itu.

Perhimpunan aman yang bermula selepas selesai solat Jumaat itu majoritinya disertai golongan mahasiswa dipercayai dari pelbagai universiti serta orang awam.

Sejurus imam selesai membaca doa, laungan "Hidup Aziz Bari", "Hidup Ilmu", "Lawan Kezaliman", "Bebas Aziz Bari" mula bergema.

Seorang peserta himpunan kemudiannya cuba memulakan ucapan, tetapi bagaimanapun tindakan itu dihalang pihak keselamatan universiti, dan sedikit kekecohan berlaku.

Ekoran halangan itu, mereka kemudian beramai-ramai berarak dari masjid tersebut menuju ke bangunan pejabat reaktor universiti itu bagi menyerahkan memorandum.

Mereka diketuai pihak penganjur dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa Malaysia (Dema) serta persatuan mahasiswa kampus itu sendiri.

Sewaktu perarakan itu, sekali lagi berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum tersebut menyebabkan tolak menolak berlaku.

Memorandum tersebut akhirnya berjaya diserahkan kepada Timbalan Reaktor UIAM kira-kira jam 2.20 petang.

Dalam memorandum itu mereka menuntut hukuman penggantungan terhadap Aziz Bari agar segera ditarik balik.

Mereka juga menyifatkan tindakan terhadap pakar perlembagaan itu sebagai mengongkong kebebasan akademik di universiti.

Terdahulu, pemeriksaan ketat dilakukan di pintu gerbang universiti itu oleh beberapa anggota keselamtan.

Hanya pelajar dan kenderaan mempunyai pelekat universiti sahaja dibenarkan masuk manakala orang awam termasuk pihak media dihalang walaupun untuk tujuan solat Jumaat. -HD


Bantahan terhadap penggantungan Abdul Aziz Bari semakin hangat

Dalam tempoh sehari, laman sosial "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" berjaya mencapai sasarannya, sementara satu lagi laman sosial bertemakan "Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari" , mencatat kira-kira 6,000 penyokong, pada jam 2 petang, hari ini.

Kenyataan media dari pertubuhan siswa-siswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik masing-masing mengecam keputusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung Profesor Abdul Aziz Bari dari tugasnya sebagai seorang pensyarah Undang-Undang. Pencabulan kebebasan akademik menjadi tema utama ketika pihak berkenaan mengulas isu ini. Malah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah dilaporkan mendakwa dirinya turut "berasa terganggu dan sedih" terhadap kejadian yang berlaku.

Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA) yang sepanjang ini menyokong Abdul Aziz Bari, menyifatkan tindakan UIAM sebagai "tindakan mengampu", malah "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik".

Sebelum ini, ketika Abdul Aziz Bari diserang pemimpin dan media kawalan UMNO-BN, selepas kenyataannya dipetik Malaysiakini dalam laporan berjudul "Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam", Dr.MAZA dalam laman sosial rasminya berkata, "antara perkara yang boleh mengancam akidah orang melayu ialah menganggap titah sultan atau raja itu mesti ditaati secara mutlak..tidak boleh derhaka..tidak mungkin salah..raja dan sultan diberikan kemaksuman sehingga titah mereka bagai al-Quran dan as-Sunnah yang tidak boleh dipertikaikan..ini seakan akidah yang menganggap raja adalah dewa..dalam Islam selain Allah dan rasulNya; boleh dikritik dan dipertikaikan.."

Yang berikut adalah antara sedutan kenyataan-kenyataan berhubung keputusan UIAM menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari:

Bercanggah dengan tradisi intelektual -- Mustafa Kamal Anuar , ahli akademik

"Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Universiti Islam Antarabangsa terhadap pakar perlembagaannya, Prof. Aziz Bari, mengenai isu campurtangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kes serbuan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama itu amatlah mendukacitakan. Ini kerana implikasinya amat serius sebab ini bermakna, antara lain, hak untuk menyuarakan pandangan yang berdasarkan kepakaran tidak digalakkan, lebih-lebih lagi jika pendirian itu kelihatan bercanggah dengan pandangan pihak berkuasa.

Penggantungan Prof. Aziz Bari ini juga bercanggahan dengan tradisi intelektual yang seharusnya diwarisi oleh mana-mana institusi pengajian tinggi yang disegani di mana perbalahan pendapat secara ilmiah dan bertamadun bukan saja dibenarkan oleh pihak berkuasa institusi itu malah disanjung tinggi oleh warga kampus khususnya dan ahli masyarakat amnya."

Beliau melahirkan peguam berjiwa rakyat --S .Arutchelvan, Setiausaha Agung PSM.

"Tindakan menggantung beliau memberi satu amaran keras bahawa hak mengeluarkan pandangan dan hak akademik hanyalah boleh pakai andai kata seorang itu berkata hujah-hujah yang menyokong parti pemerintah. Tindakan ini juga sekali lagi menggambarkan bahawa ada campurtangan politik dalam keputusan menggantung beliau memandangkan desakan untuk mengambil tindakan terhadap beliau datangnya dari UMNO dan kuncu-kuncunya.

Tindakan ini sekali lagi mencetuskan persoalan, 'cakap tak serupa bikin'. Di satu pihak Perdana Menteri berkata bahawa beliau membuat transformasi politik dengan memberikan lebih hak kebebasan dan pentadbiran yang lebih telus. Tetapi pada realitinya,setiap suara pembangkang diambil tindakan dengan pelbagai cara yang anti demokratik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang bebas dan bermaruah. Beliau pernah memberi pelbagai pandangan dan pandangan beliau juga bukannya bias kepada satu kumpulan sahaja kerana beliau juga pernah mengkritik parti pembangkang dan sebagainya. Beliau juga pernah melahirkan peguam-peguam dari UIA yang berani dan berjiwa rakyat. Tindakan ke atas beliau adalah satu tindakan yang cukup memalukan untuk UIA dan untuk Negara kita.

PSM meminta pihak Universiti serta-merta meminta maaf selain dari membenarkan beliau bertugas kembali seperti biasa. PSM bersama gerakan rakyat pelbagai kaum dan agama akan terus memperjuangkan hak dan kebebasan akademik sentiasa dilindungi."

UIAM gadaikan prinsip kebebasan akademik -- Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

"...Tindakan ini mempunyai kesan berpanjangan terhadap imej antarabangsa Malaysia kerana UIAM ditubuhkan sabagai sebuah universiti antarabangsa. Sebagai sebuah universiti antarabangsa, ianya perlu mencerminkan semangat kepelbagaian, keterbukaan, saling menghormati semasa ahli akademik walaupun berbeza pendapat dan sebagainya.

Malahan, ini juga merupakan semangat yang sepatutnya ada pada sesebuah universiti, tanpa mengira sama ada universiti itu mempunyai nama 'antarabangsa' atau tidak.

Malangnya, pihak pengurusan UIAM sanggup menggadaikan prinsip kebebasan akademik sehingga mereka sanggup menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari dan meminta beliau memberi surat tunjuk sebab hanya kerana beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa dalam bidang kepakaran dan kajian beliau.

Daya saingan sesebuah negara amat bergantung kepada taraf pendidikan rakyatnya, termasuk pendidikan tinggi. Apa yang berlaku ke atas Profesor Abdul Aziz Bari merupakan sesuatu yang mengaibkan kita semua.

Bagaimana negara kita boleh mencapai negara maju jikalau pihak berkuasa asyik melenyapkan pandangan-pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa melalui cara-cara yang zalim?

Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIAM terhadap Profesor Abdul Aziz Bari. Saya juga menyeru pihak UIAM supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIAM dengan serta-merta." -MR















Gadis Nafi Kenal Atau Pernah Jumpa Anak Guan Eng

Posted: 20 Oct 2011 11:00 PM PDT

Seorang pelajar perempuan, yang gambarnya digunakan oleh blog-blog pro-Umno untuk mengaibkan anak lelaki Lim Guan Eng kononnya telah melakukan gangguan seksual ke atasnya, hari ini menafikan dia mengenali atau pernah berkawan dengan remaja berkenaan.

Dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan hari ini, juara sukan catur Anya Sun Corke (gambar) menegaskan, gambarnya telah digunakan secara tidak wajar tanpa pengetahuan atau keizinannya.

"Hakikatnya, saya tidak pernah dijadikan mangsa dalam mana-mana keadaan oleh budak ini atau keluarganya," kata Corke lagi.

Corke yang sedang belajar di Wellesley College, Amerika Syarikat, berkata, dia terkejut dan kecewa dengan perkembangan ini.

"Saya berharap bahawa ia tidak akan berulang," katanya lagi.

Dia seterusnya berkata, "saya tidak pernah melawat Malaysia sejak tujuh tahun yang lalu."

"Saya tidak pernah bertemu atau mendengar mengenai mana-mana pihak yang terlibat (dalam isu ini). Saya pun tidak pernah diserang secara fizikal dalam apa jua cara,"
katanya sambil menambah, dia bersimpati dengan remaja terbabit.

Kenyataan Corke dikeluarkan dua hari selepas DAP mendedahkan gambar, yang digunakan oleh blog-blog pro-Umno untuk melontarkan dakwaan serangan seksual terhadap anak lelaki Lim, sebenarnya merupakan juara catur berusia 21 tahun dari Hong Kong.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town, kata DAP kelmarin.

Pemblog-pemblog pro-Umno termasuk ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Ketua Menteri telah mengganggu pelajar perempuan satu kelas dan telah cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Kelmarin, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com.

"Papan catur telah dipadamkan. Tanpa ragu-ragu, ia menunjukkan bahawa dakwaan mereka tidak lain tidak bukan hanya satu pembohongan yang kejam," katanya.

Pengetua sekolah anak lelaki Lim pernah juga telah menafikan dakwaan sedemikian.

Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP awal minggu ini telah mengecam tindakan blog-blog pro-Umno dan beberapa pemimpin Umno yang mengaibkan beliau dan anaknya dengan dakwaan tidak berasas. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Diperkosa Setelah Diperdaya Untuk Buang Sial

Posted: 20 Oct 2011 09:38 PM PDT

Terpengaruh dengan dakwaan dirinya disihir dan perlu dirawat, seorang wanita berusia 42 tahun dirogol seorang lelaki di sebuah hotel di Kepong, di sini, ketika mahu melakukan rawatan bagi membuang sial, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa yang dipengaruhi lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa mempunyai kebolehan membuang sial, bersetuju mengekorinya ke premis berkenaan sebelum dirogol kononnya kaedah berkenaan mampu merawat mangsa.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Menurut sumber, mangsa mengenali suspek kerana dia menyewa bilik di rumah mangsa sejak April lalu.

"Suspek menyewa di bilik berkenaan dengan isterinya dan sejak tinggal di rumah mangsa, lelaki terbabit sering mendakwa mangsa terkena sihir individu yang berdendam dengannya.

"Pada mulanya mangsa tidak percaya namun akibat sering mendengar dakwaan itu, mangsa menjadi takut," katanya.

Sumber berkata, akibat takut mangsa bersetuju mengikut suspek ke sebuah hotel bagi menjalani rawatan.

"Sebaik tiba di hotel, suspek merogol mangsa dan mendakwa kaedah itu mampu membuang sial dan sihir yang ada pada tubuhnya," katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis berhampiran kediamannya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan. -hm


Fitnah Terhadap PAS: Zul Kulim Akan Dirujuk Ke JK Hak Parlimen

Posted: 20 Oct 2011 07:52 PM PDT

PAS akan rujuk Zul Noordin ke JK Hak Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS dan Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul bagi menghadapkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataannya yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Ianya berhubung kenyataan ahli parlimen bebas itu yang mengatakan bahawa "hudud PAS menghalalkan suami meliwat isteri" dan "Mukallaf bagi PAS berumur 18 tahun" ketika membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa merujuk kepada 'draf' dan 'enakmen' Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang dibuat sewaktu PAS memerintah negeri itu.

"Ini satu kenyataan yang cukup memalukan yang dikeluarkan oleh orang Islam untuk memalukan Islam itu sendiri.

"Kita anggap Kulim-Bandar Bharu sebagai pembohong,"
kata Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sidang media di parlimen.

Turut serta pada sidang media itu Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau), dan Azan Ismail (PKR-Indra Mahkota).

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, mereka akan menunggu hansard parlimen esok sebelum mengemukakan usul tersebut di bawah perkara 26 (1b) peraturan mesyuarat.-HD

Isu liwat isteri: Pakatan mahu Zul ke JK parlimen

Ahli parlimen Pakatan Rakyat akan memfailkan usul untuk merujuk ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen kerana didakwa membuat kenyataan berniat jahat di Dewan Rakyat.

Ia ekoran rentetan kepada ucapan Zulkifli di dalam dewan sebelum itu yang antara lainnya menyebut bahawa hukum hudud PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Zulkifli berkata demikian dengan membangkitkan Seksyen 14 Enakmen Hudud, Qisas dan Takzir, 2002.

Kenyataannya itu menyebabkan dewan gamat apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun dan membantah dakwaan berkenaan.

Zulkifli mendakwa beliau membacakan klausa undang-undang itu daripada naskhah enakmen yang diluluskan negeri Terengganu pada tahun berkenaan.

Beliau juga turut mengulangi kenyataanya tersebut dalam sidang media di bangunan parlimen selepas itu.

"Liwat ialah kesalahan merupakan persetubuhan antara seorang lelaki dengan lelaki lain atau seorang lelaki dengan seorang perempuan lain yang dilakukan di luar tabii, melalui dubur.

"Maknanya liwat bagi enakmen hudud PAS ini, lelaki dengan lelaki main ikut belakang, lelaki dengan perempuan main ikut belakang, kecuali isterinya.

"Maknaya main dubur isterinya tidak dianggap liwat. Jadi saya kata ini Islam ke? Takkan liwat isteri tak dianggap hudud. Sebab prinsip liwat ialah main (hubungan seks) ikut belakang (dubur)," katanya lagi.

Beliau juga mengulas dakwaannya berhubung ulasannya ke atas istilah "mukallaf" yang turut menjadi pertikaian di dalam Dewan sebelum itu.

Katanya, mukallaf atau had umur kepada orang Islam yang boleh dikenakan hukum hudud, qisas dan takzir, adalah selepas akil baligh.

Ahli parlimen Pakatan pula, dalam satu sidang media berasingan, menyifatkan kenyataan Zulkifli itu berniat jahat menimbulkan perkara dalam draf undang-undang dan bukannya enakmen yang digazetkan.

"Jelas ianya satu (kenyataan) mala fide apabila saya mendengar dia mengulas. Dan memang benarlah, di akhirnya (Zulkifli) kata (kenyataan itu dibaca) daripada draf (Enakmen Jenayah Syariah Terengganu)," kata ahli parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kalau draf, kenapa dia perlu timbulkan?," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri antara lainnya ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (Balik Pulau) dan Azan Ismail (Indera Mahkota).

Tambahnya, klausa yang menyebut "selain daripada isteri" itu juga merupakan satu kenyataan terbuka.

"Anda boleh membuat interpretasi yang salah. Jadi kita telah keluarkan daripada draf.

"Ia tidak ada (dinyatakan sebegitu) dalam versi muktamad. Saya boleh sahkan, tapi saya perlu semak sekali lagi," katanya.

Mengulas mengenai mukallaf 18 tahun pula, Dr Dzulkefly berkata PAS juga membentuk had umur itu supaya selari dengan undang-undang persekutuan. -mk


[Video & Bergambar] Gaddafi Terbunuh, Perang Di Libya Berakhir

Posted: 20 Oct 2011 05:30 PM PDT

Sirte – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.

"Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala," kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.

NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.

"Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati," tambahnya.

Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.

Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.

NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.

Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.

NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.

Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.

Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: "Jangan tembak, jangan tembak."

Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.

Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.

Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.

"Dia sudah pun mati," katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.


Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.

"Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan," kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.

Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.

Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.

Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.

Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.

Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.

Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.

Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.

Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.

Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.

Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.

Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.

Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.

Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: "Ya, itu adalah betul."

Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.

Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.

Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.

Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.

Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.

Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.

Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.

Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.

Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.

Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.

Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.– Agensi








[Video] Lokman Rela Diperalat Untuk Islam, Berazam Terus Berjuang Bersama PAS

Posted: 20 Oct 2011 04:57 PM PDT

Apa salahnya saya jadi alat Islam - Bob Lokman

KUALA LUMPUR, 20 Okt: "Apa salahnya saya menjadi alat kepada Islam yang merupakan the way of life?" tanya bekas selebriti terkenal, Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman.

Bob ketika ditemui di majlis ceramah anjuran PAS di Taman Melewar malam tadi berkata, tidak timbul soal beliau dipergunakan PAS dan diheret ke setiap ceramah parti itu.

Namun tegasnya, apa yang dilakukan kini adalah atas kerelaan dirinya sendiri yang berazam untuk terus berjuang di lapangan dakwah bersama PAS.

"Soal dipergunakan ini, kita kena tau apa ini dunia. Dunia ini satu lapangan. Lapangan perlukan alat untuk membuka pintu akhirat dan agama alat menuju akhirat.

"Jadi orang kena fahamlah apa itu the way of life. Kalau orang tak boleh faham the way of life, maka dia menyembah dunia.

"Kita menyembah Allah, Islam itu Allah beri kepada kita untuk bagaimana kita nak guna. Bagaimana nak pakai umur, nak pakai harta kita, Islam itulah caranya...dan saya tak salah diperalat Islam untuk buka pintu akhirat," jelasnya panjang lebar.

Selepas menyerahkan borang keahlian PAS Februari lalu, Bob terus aktif menyertai program PAS, kebanyakannya diundang menyampaikan tazkirah dan sesi perkongsian pengalaman bergelumang dalam dunia artis.

Pada 10 Oktober lalu, Bob ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengikut seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.

Ketawa apabila dituduh "degil" dan "tidak sopan" kerana nekad untuk tidak akan hadir ke pejabat Jais, beliau tetap dengan pendirian bahawa Jais bertindak atas arahan Umno.

"Sopan ini termasuk dalam bab akhlak. Akhlak ni kalau bab bersopan mesti dalam keadaan tertentu. Dalam kes (tangkapan Jais) ini, kita nampak Jais buat kerja kerana Umno.

"Jadi kalau saya duduk dalam PAS orang yang panggil saya itu orang Umno saya tak datanglah.

"Kalau dia bersifat neutral saya akan datang. Tapi ada kenyataan Jais menghina bahawa ahli PAS 85 peratus tak boleh baca Quran maka saya tau pendirian dia...maka saya pun kena nyatakan pendirian saya.

"Jadi kita kena tahu pendirian dan orang yang berjuang kena tahu prinsip," katanya bersahaja namun dalam nada tegas.

Cakap ada makna

Sambil mengakui kehidupan sekarang lebih bermakna berbanding ketika menjadi artis dahulu, beliau berkata apa yang dituturkan ini hanya untuk Islam.

"Hari ini pun macam dulu jugak banyak bercakap tapi sekarang cakap ada maknalah. Dari hati, cakap untuk mati," katanya.

Tambahnya, kehidupannya sekarang lebih kepada menguatkan jiwa untuk perjuangan Islam.

"Ini perjuangan yang menggunakan zahir dengan apa cara sekalipun tapi tujuannya ialah memperkukuhkan roh.

"Kalau dulu berlakon cari duit nak makan je. Sekarang bukan berlakon tapi cakap betul...tapi bukan cari duit nak makan. Kadang-kadang bukan dapat duit pun, bukan orang bayar pun," katanya berseloroh. -HD



Muaamar Ghaddafi Disahkan Terbunuh - NTC

Posted: 20 Oct 2011 03:43 PM PDT

Sirte (Libya): Pihak berkuasa Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengesahkan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ditangkap dan kemungkinan terbunuh di bandar kelahirannya, Sirte, dalam serangan yang dilancarkan Pejuang Revolusi negara itu, sebentar tadi.

Menteri Penerangan Libya, Mahmoud Shammam, berkata beliau mengesahkan Gaddafi terbunuh selepas mendapat maklumat daripada Pejuang Revolusi yang melihat sendiri mayat bekas pemimpin negara itu.

"Anggota kami di Sirte sudah melihat mayatnya.... Mustafa Abdul-Jalil (Pengerusi NTC) akan mengesahkan perkembangan terbaru itu tidak lama lagi. Pejuang Revolusi memberitahu bahawa Gaddafi kelihatan menyertai satu konvoi dan mereka menyerang konvoi berkenaan," katanya di sini, sebentar tadi.

Jurucakap operasi ibu pejabat NATO di Naples, Itali, Kolonel Roland Lavoie, berkata pesawat bersekutu melancarkan serangan ke atas dua kenderaan pasukan keselamatan pro-Gaddafi awal pagi tadi, di mana mereka terpisah daripada kumpulan itu sebelum menuju ke Sirte.

Bagaimanapun, pihak berkuasa NATO yang enggan namanya didedahkan berikutan syarat yang ditetapkan dalam undang-undang pasukan keselamatan bersekutu, berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada Gaddafi terbunuh atau ditangkap.

Semua pihak mengambil langkah berhati-hati untuk mengumumkan kematian Gaddafi apabila laporan yang diterbitkan sebelum ini (merujuk kepada kematian ahli keluarga Gaddafi atau penangkapannya) disahkan tidak tepat.

Sementara itu, satu daripada kumpulan Majlis Ketenteraan Misrata, berkata pejuang mereka berjaya menangkap Gaddafi.

Manakala, Komander bagi kumpulan lain dalam Majlis Ketenteraan Misrata pula, Abdel-Basit Haroun, berkata Gaddafi terbunuh dalam serangan udara yang disasarkan ke atas konvoi yang sedang melarikan diri. - AP/BH



Pelbagai Pihak Kecam UIA Gantung Aziz Bari, Mahasiswa Gegarkan Negara Esok

Posted: 20 Oct 2011 08:30 AM PDT

Pelbagai pihak menyelar tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan menyifatkan tindakan UIA itu sebagai tidak bertamadun.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai "satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik", The Malaysian Insider dipetik.

"Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.

"Ternyata perlantikan 'kepimpinan baru di UIA' itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga adalah bekas penuntut UIA berkata, kepimpinan pusat pengajian tinggi itu sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu, sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik.

Prof Abdul Aziz Bari adalah pensyarah Fakulti Undang-Undang UIA dan telah berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.

Tambah beliau, tindakan ke atas Aziz merupakan "sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita." "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Tindakan ini adalah tindakan mengampu," kata beliau lagi.

Asri yang juga tenaga akademik Universiti Sains Malaysia menambah, "setahu saya rektor UIA sekarang merupakan ahli MAIS (Majlis Agama Islam Selangor)."

"Saya bimbang ada kepentingan konflik dalam tindakan terhadap Prof Aziz," kata beliau sambil menambah, Malaysia hanya mencampak diri ke zaman kegelapan Katolik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy kepada agama."

Katanya, sebagai lepasan UIA, beliau rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di universiti itu hari ini.

"UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran," tambah beliau.

Sementara itu harakahdaily pula melaporkan bekas pensyarah kanan di UIA yang kini anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) meluahkan rasa terkilan dan juga menganggap tindakan menggantung Prof Ab Aziz Bari sebagai tidak bertamadun.

"Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza.

"Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.

"Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti," katanya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan UIA yang menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau.

"Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya.

Sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi esok.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin (gambar) menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik', UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat.

"Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik," katanya.

Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu.

Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat.

Dipercayai mengulas sokongan mahasiswa itu, Saifudin juga melalui Twitternya berkata, terpulang kepada mahasiswa tersebut kerana itu hak mereka.

"Sekiranya rakyat dan pelajar mahu memberi sokongan kepada Aziz Bari, itu hak mereka," katanya.

Ulasan GB

Beri sokongan anda kepada Prof Abd Aziz Bari dengan mengklik LIKE di halaman facebook ini:

Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari

Polis Tembak Remaja Di Glenmarie: Ibu Mangsa Fail Kes Ke Mahkamah Cabar KDN

Posted: 20 Oct 2011 07:12 AM PDT

Keluarga tiga remaja ditembak di Glenmarie cabar KDN

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ibu mangsa salah seorang daripada tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa kes itu ke mahkamah bagi membuktikan pihak polis bertindak mengikut peraturan.

Norhafizah Mohd Razali, ibu kepada Allahyarham Muhammad Syamil Hafiz Shapiei yang kecewa dengan sikap lepas tangan KDN mahu kematian Syamil dan dua rakannya diadili mengikut siasatan yang menyeluruh.

"Saya sangat kecewa dan marah dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana kes ini diperkotak-katikkan.

"Saya minta menteri KDN lihat semula laporan bedah siasat ketiga-tiga anak ini dan saya cabar menteri bawa kes ini ke mahkamah kalau betul mereka di pihak yang benar," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Muhammad Syamil, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak polis dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

Ketiga-tiga remaja itu ditembak kira-kira pukul 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.

Hari ini merupakan kali kedua Norhafizah dan ahli keluarga mangsa hadir ke Parlimen ditemani anggota Lawyers for Liberty (LFL) setelah memorandum dan rayuan mereka agar kes ini diadili mengikut saluran perundangan tidak diendahkan.

Norhafizah buat kesekian kalinya menekankan bahawa beliau tidak berpihak kepada anaknya namun kecewa apabila melihat laporan bedah siasat yang mendapati ketiga-tiga mangsa ditembak dalam keadaan mereka sudah melutut, bukan dalam keadaan menyerang seperti yang didakwa polis.

"Berapa kali saya katakan saya terima kalau anak saya benar-benar bersalah tapi sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh," katanya sambil menahan sebak dan marah, lapor Harakahdaily.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada sidang media sama menyifatkan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa hasil siasatan mendapati tindakan polis melepaskan tembakan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang sebagai longgar dan tidak bertanggungjawab.

Hishammuddin dalam jawapan bertulis kepada soalan Gobind di Dewan Rakyat Isnin lalu berkata, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.

"Bagaimana kes yang mendapat liputan meluas di seluruh negara, setahun keluarga minta penjelasan daripada polis dan menteri dan saya sebagai seorang ahli Parlimen tanya soalan secara serius.

"Tapi jawapan menteri hanya satu perenggan, berkata tindakan mengikut lunas undang-undang.Mana faktanya? Mana hujah membantah laporan bedah siasat?" soalnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar berkata Hishammuddin memesongkan Dewan Rakyat apabila berkata kes tersebut ialah cubaan membunuh sedangkan kesemua mangsa mati ditembak.

"Menteri wajib bertanggungjawab dengan kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat.

"Budaya terlepas daripada hukuman dan menembak sembarangan di kalangan sebahagian daripada anggota pasukan polis dibenarkan berikutan sikap Menteri KDN yang melulu mempertahankan polis walaupun mereka melakukan jenayah," katanya yang juga Naib Presiden PKR. -TMI



Sudah Melampau: Bagaimana Bahan Bukti SPRM 'Dapat Kepada Papagomo?'

Posted: 20 Oct 2011 06:04 AM PDT

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad menimbang untuk membuat laporan polis berhubung satu dakwaan yang disiarkan dalam satu blog pro-Umno bahawa allahyarham antara lainnya mempunyai seorang perempuan simpanan.

Blog berkenaan juga mendakwa bahawa allahyarham bukanlah seorang yang bersih, kata seorang anggota keluarga itu, Makhtar Mansor yang menafikan dakwaan tersebut.

Polis perlu menyiasat dakwaan berkenaan, kata Mokhtar, yang turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada SPRM kerana dakwaan tersebut turut melibatkan bahan bukti yang didakwanya diambil daripada siasatan badan itu ke atas kes melibatkan allahyarham.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, Makhtar mendakwa, tulisan dalam blog tersebut turut menyertakan foto yang didakwa sebagai perempuan simpanan berkenaan.

Keluarga allahyarham pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya diraja untuk membolehkan siasatan kes kematian bekas pegawai kanan jabatan kastam itu dibuka semula.

Makhtar mendakwa, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana gambar berkenaan dapat terlepas ke blog berkenaan.

"Macam mana gambar dalam telefon bimbit arwah dapat kepada (blog) papagomo?," soalnya yang mendakwa, foto berkenaan tersimpan di dalam telefon bimbit allahyarham.

Menurutnya, telefon bimbit itu telah dirampas SPRM ketika siasatan dijalankan ke atas pegawai kastam itu.

Makhtar mendakwa wanita di dalam foto berkenaan juga bukanlah seorang wanita simpanan, seperti didakwa blog berkenaan.

Sebaliknya, dakwa beliau, wanita itu merupakan rakan kepada seorang anak perempuan allahyarham.

"Anak arwah telah pinjam telefon arwah untuk rakam gambar tersebut," katanya Makhtar lagi yang juga seorang bekas majistret.

Katanya lagi, pihak keluarga allahyarham telah mengetahui mengenai dakwaan dalam blog tersebut sejak dua minggu lalu.

"Ini yang buat keluarga rasa begitu sedih," katanya lagi. -mk

UIA Silap Langkah Gantung Tugas Prof Aziz, 2 Facebook Diwujudkan Sokong Aziz

Posted: 20 Oct 2011 04:23 AM PDT

UIA gantung tugas Prof Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sehingga siasatan ke atas beliau diselesaikan, berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor minggu lalu.

Perkara itu terkandung dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beliau petang semalam.

Aziz ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan perkara itu.

"Saya serahkan kepada peguam saya," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peguamnya Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan bahawa selain digantung tugas, Aziz juga dilarang berada di UIA dan berhubung dengan mana-mana kakitangan dan mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan universiti itu.

"Berdasarkan surat tunjuk sebab, syarat-syarat ini dikenakan sehingga inkuiri selesai dijalankan," kata beliau sambil menambah Aziz dikenakan tuduhan mengeluarkan satu kenyataan, yang dibawa oleh portal MalaysiaKini, didakwa telah memudaratkan nama baik dasar UIA.

Tuduhan itu dikenakan di bawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti.

"Saya difahamkan ini kali ketiga Prof Aziz Bari diberikan surat tunjuk sebab," kata Dzulkarnain lagi.

Bagaimanapun difahamkan ini kali pertama beliau dilarang menjejaki kaki di kampus UIA.

"Dua surat sebelum ini, Prof Aziz Bari sendiri yang jawab, jadi saya tidak pasti sama ada digantung tugas atas tidak," kata peguam itu yang semalam mengiringi pakar perlembagaan itu ketika disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan di Shah Alam.

Menurut Dzulkarnain, pensyarah itu diberi tempoh sehingga pukul 4 petang 25 Oktober ini untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan semalam.

"Prof Aziz akan menjawab surat tunjuk sebab dalam waktu terdekat," kata beliau lagi.

Semalam, polis memulakan siasatan ke atas Aziz mengikut Akta Hasutan berikutan laporan pemimpin Umno Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat Aziz.

Aziz sebelum ini dipetik berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja terbabit pada 3 Ogos lalu bukan tindakan lazim.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan Selangor sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jais tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Ditanya sama ada syarat-syarat yang dikenakan ke atas Aziz terlalu keras, Dzulkarnain berkata, "ya, saya rasa syarat-syarat seperti ini tidak perlu. Beliau tidak mengganggu sesiapa.. ini bukan kes gangguan seksual."

"Lagi pun beliau ada pelajar-pelajar yang hendak diselia, ada kuliah, ada kelas untuk disampaikan," katanya lagi. -TMI

Penyokong lancar FB sokong profesor undang-undang


Pengguna Internet bangkit menyatakan sokongan kepada Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas sebagai pensyarah, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Petaling Jaya.

Melancarkan laman (page) "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" di laman sosial Facebook, mereka turut menyindir kebebasan akademik di negara ini.

"Kebebasan akademik ala-Malaysia," tulis pentadbir laman itu apabila memuatkan semula pautan berita tentang penggantungan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja dilancarkan, laman Facebook itu disukai (dengan menekan butang like) oleh 602 pelayar (setakat 3.17 petang). 1371 pelayar setakat 4.20 petang -GB

Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang paling kanan universiti itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Belum ada reaksi UIA

Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan Datuk Prof Zaleha Kamaruddin daripada pejabat rektor mengesahkan surat itu dikeluarkan semalam.

Sementara itu, sebuah lagi laman "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" juga diluncurkan.

Setakat berita ini ditulis, ia sudah digemari 882 pelajar.

Pencipta kedua-dua laman ini tidak dapat dipastikan setakat ini.

Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan berhubung pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SKMM dan pihak polis juga menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.-mk


Ulasan GB

Hanya kerana ada laporan polis yang belum tentu benar, UIA sudah mengambil tindakan ke atas Prof. Abdul Aziz Bari dengan menggantung beliau dari tugasnya.

Dan bagi GB, tindakan UIA itu adalah langkah yang silap dan amat memalukan malah mencalarkan imej UIA sendiri. Tindakan yang diambil seolah-olah mengikut telunjuk dan arahan seseorang. Maruah UIA tercampak ke longkang lantarannya.

"A person is presumed innocent until proven guilty" - Seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya. Itu prinsip asas keadilan.

Prof Dr. Abd Aziz boleh mengambil tindakan menyaman UIA kerana mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli akademik yang belum ternyata melakukan apa-apa kesalahan.

Pakatan Rakyat perlu berbuat sesuatu, jangan berdiam diri. Kerana inilah masa untuk Pakatan Rakyat membela mereka yang tertindas. Panggillah mesyuarat tergempar dan keluarkan kenyataan rasmi khusus untuk kes Prof. Aziz. Jangan lembab. GB lemas melayan procrastination PR selama ini.

Beri sokongan anda kepada Prof Abd Aziz Bari dengan mengklik LIKE di halaman facebook ini:

Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari



Tiada ulasan: