Kelab Greenboc |
- Pemandu teksi pun nak dikenakan BN...
- Kazakhstan Larang Surau Dalam Pejabat Kerajaan
- Kerajaan Sorokkan Laporan Audit Untuk Rujukan Ahli Parlimen Bahas Bajet 2012
- Lagi Gadis Hilang Ikut Kenalan Facebook
- Jenayah Rogol Menjadi-jadi: Remaja Rogol Amah Sebelum Samun
- [Bergambar & Video] Bali Bergegar Dilanda Gempa Bumi 6.8 Skala Richter
- Prof Aziz Bari Libas Golongan Yang Tak Faham Undang-undang
- Nak Tangkap, Tangkaplah, "Serah Kalah" Tidak Sama Sekali - Bob Lokman
- Terbukti SPR Penipu: Kini Mengakui 40,000 Nama Di Daftar Pengundi Meragukan
- [Bergambar] Satu Pertiga Thailand Diisytihar Zon Bencana Akibat Banjir
Pemandu teksi pun nak dikenakan BN... Posted: 14 Oct 2011 01:10 AM PDT Jika boleh diungkapkan, inilah kemungkinan ayat kerajaan Barisan Nasional kepada para pemandu teksi; senada dengan watak Haji Bakhil yang mengherdik budak-budak yang berada di depan laman rumahnya, "Nah! Ambil gula-gula ini, pergi main jauh-jauh". Perumpamaan dari satu daripada filem legenda P. Ramlee ini mudah difahami semua, setelah kita menghalusi Belanjawan kerajaan BN yang cuba menawarkan sesuatu kepada para pemandu teksi di negara ini. Insentif yang dicadang untuk diberikan, sebagaimana yang ditawarkan oleh Najib Razak adalah: * Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jalan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan. * Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jalan ke atas teksi berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik. * Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian. * Subsidi kadar faedah dua peratus untuk teksi baru buatan tempatan. * Pemberian bantuan menggantikan teksi usang (RM3,000 bawah 7 hingga 10 tahun dan RM1,000 lebih 10 tahun) * Kerajaan BN mendakwa semua insentif ini memberi manfaat kepada pemandu teksi bajet dengan penjimatan berjumlah RM7,560. Jadi, apa pula kaitannya ungkapan Haji Bakhil dengan belanjawan BN ini? Tampi padi untuk dapatkan beras Pengumuman Najib selaku Menteri Kewangan itu sekadar mengurangkan sakit, seperti menelan pain killer, dan ianya bersifat sementara. Kos-kos ini bukan sekadar kos berbentuk wang kertas kerana ia juga melibatkan birokrasi yang sangat rigid dalam proses-proses lain juga. Karenah birokrasi juga memakan kos iaitu masa dan tenaga, dan kadang kalanya melibatkan "duit kopi". Dalam ilmu ekonomi, masa dan tenaga juga akan membawa makna wang, dan dalam bahasa seharian, semua orang tahu apa itu duit kopi. Bagaimana pula dengan pemandu teksi yang tidak ada pilihan lain dalam hidup kecuali memandu teksi sebagai kerjaya mereka? Memang tiada jaminan bahawa karenah birokrasi untuk mendapatkan kelulusan membawa teksi ini tidak berlanjutan. Cukai jalan telah pun diketahui bahawa jumlahnya sudah berpatutan dan murah. Ia bukan satu beban utama kepada pemandu teksi. Ibarat kata, seperti menawarkan diskaun kepada orang tua untuk menaiki LRT dan monorel atau jika imaginasi lebih jauh menjalar, menawarkan diskaun untuk rakyat membeli helikopter, mana-mana kerajaan mana pun sanggup berbuat begitu. Respon pemandu teksi Tinjauan selepas pengumuman Belanjawan BN mendapati salah seorang dari ribuan pemandu teksi di Lembah Klang telah sempat mengirim SMS, katanya "lepas ni aku tak nak 'kayuh' lagi la, duit sewa cab aku masih sama, bajet NR tak bagi impact sangat kat 'pilot' macam aku ni, penat je kayuh cab orang." Bagi yang tidak begitu memahami bahasa SMS pemandu teksi… "kayuh" - memandu/bawa teks "cab" - teksi "NR" - Najib Razak "pilot" - pemandu teksi Kekecewaan pemandu teksi ini rupanya masih berterusan sekali pun insentif kerajaan BN telah diumumkan. Kebanyakan mereka hanya pemandu, bukan pemilik. Yang memiliki teksi ialah syarikat-syarikat; mungkin yang ada kabel politik dengan parti pemerintah. Tanda-tanda jika sesuatu pihak itu tidak ikhlas dan tidak jujur adalah kefahamannya dalam sesuatu situasi. Hairan bagaimana kerajaan BN yang dikatakan cukup sumber untuk mengkaji dan mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat, telah gagal memahami dan melaksanakan keperluan utama rakyat, dalam hal ini pemandu teksi. Tawaran Pakatan Rakyat Bukankah Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatifnya dengan tema Kesejahteraan Untuk Semua telah menunjukkan jalan yang mudah dan jelas tentang apa yang diinginkan oleh pemandu teksi - memberi permit penuh kepada pemandu teksi. Ini bererti PR lebih faham keperluan dan kehendak rakyat, termasuk pemandu teksi. Bagi pemandu teksi, memiliki teksi sendiri adalah serupa seperti seorang petani atau peneroka FELDA mendapat hak milik tanah. Pemandu teksi tidak mahu membawa kereta yang disewa dari syarikat kerana kos sewaan mahal, malah kerajaan tidak ada banyak kuasa untuk menentukan harga sewaan yang dikenakan syarikat tesebut. Kerajaan BN seolah-olah mahu pemandu teksi makan gaji semata-mata tanpa membenarkan mereka berdikari. Kerajaan BN yang gah dengan sebegitu ramai penasihat dan perunding, termasuk dari luar negara yang dibayar berpuluh juta ringgit tetapi berpura-pura tidak faham masalah asas dan penting bagi pemandu teksi. Mengapa permit hak milik teksi ini begitu liat mahu diberikan kepada individu pemandu teksi? Adakah kerana permit-permit ini hanya untuk syarikat yang sudah menjadi kuota kepada ketua-ketua bahagian UMNO? Adakah kerana permit ini masih telah menjadi satu-satunya aset kaum Bumiputera yang mesti dipegang amanahnya oleh segelintir elit UMNO hingga menafikan hak-hak pemandu teksi Melayu sendiri? Malah pemandu teksi berketurunan Cina, India dan lain-lain juga menggigit jari sahaja. Sekali lagi, terbukti Belanjawan BN 2012 hanya ingin mengabui mata golongan berpendapatan rendah (baca: Melayu) untuk jangka masa yang amat singkat, sekadar untuk UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum akan datang. Kalau ada yang masih kurang faham dengan politik UMNO-BN, selain dari tepuk dada tanya selera, luangkan sedikit masa untuk menonton filem klasik yang berwatakkan Haji Bakhil untuk kesekian kalinya. Mungkin ada ilham baru untuk rakyat yang semakin dihimpit tekanan kenaikan kos hidup. -Roketkini |
Kazakhstan Larang Surau Dalam Pejabat Kerajaan Posted: 13 Oct 2011 11:00 PM PDT Almaty: Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev semalam meluluskan undang-undang ketat yang melarang surau dibina di dalam bangunan kerajaan, langkah yang dilihat bertujuan menyekat pengaruh militan tetapi dikecam ulama negara itu dan Barat. Gambar: PM Malaysia Mohd Najib disambut oleh Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev sewaktu lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini. Nazarbayev, 71, memerintah Kazakhstan lebih 20 tahun sebagai pemerintah kuku besi sekular. Sehingga tahun ini, negara yang didiami seramai 70 juta penduduk Islam berusaha mengelak daripada keganasan yang dilihat berlaku di tengah Asia, negara bekas Soviet seperti Uzbekistan dan Tajikistan. Bagaimanapun, pengeboman bunuh diri pada Mei dan penahanan kumpulan yang didakwa merancang keganasan pada Ogos meningkatkan kebimbangan kemunculan militan menyebabkan Nazarbayev melaksanakan undang-undang baru untuk mengekang kelompok ekstremis. Undang-undang yang diluluskan itu mencetuskan perdebatan hangat. Artikel 7 melarang bilik solat di semua institusi negeri. Mufti Kanan Kazakhstan, Absattar Derbisali, berkata undang-undang ini akan mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam dan meningkatkan kegiatan militan. Undang-undang turut mensyaratkan semua institusi dakwah di negara itu mendaftar dengan pihak berkuasa setiap tahun. Kumpulan hak asasi di Barat termasuk Organisasi untuk Kerjasama dan Keselamatan di Eropah, melahirkan kebimbangan mengenai sekatan kebebasan agama. Antara langkah terbaru yang diambil untuk mengekang golongan militan ialah menyekat sementara laman web asing pada Ogos selepas mahkamah memutuskan yang mereka menyebarkan propaganda pengganas dan menyuntik kebencian agama. – Reuters Ulasan GB Sebut Kazakhstan, teringat bakal besan "dia". Di Malaysia, surau dan masjid ada, tapi tazkirah tak dibenarkan, orang-orang UMNO tak apa. |
Kerajaan Sorokkan Laporan Audit Untuk Rujukan Ahli Parlimen Bahas Bajet 2012 Posted: 13 Oct 2011 08:59 PM PDT Ahli parlimen Pakatan Rakyat menimbang untuk mengemukakan usul khas bagi menuntut penjelasan kerajaan kerana masih belum mendapat laporan kewangan untuk tahun 2010. Sedangkan pejabat ketua audit negara telah mengesahkan bahawa laporan audit itu telahpun siap, dakwa ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul. "Mereka terkejut bila ahli parlimen belum dapat (laporan audit) sedangkan ia telah dihantar," kata Johari dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini. Jelasnya, beliau diberitahu demikian ketika menghubungi pejabat ketua audit negara semalam. "Malah mereka gembira kerana mereka boleh siapkan laporan itu jauh lebih baik daripada tahun lepas," katanya. Tambahnya, laporan berkenaan biasanya telahpun disediakan ketika menteri kewangan membentangkan belanjawan. Macam mana nak bahas bajet "Macam mana kita hendak bahaskan bajet jika kita belum lihat laporan sebelum ini," katanya lagi dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini. Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, perkara itu memalukan kerana perbahasan telahpun masuk hari keempat dan laporan itu masih belum diperolehi. "Kalau sangkut di pejabat menteri, itu pelik kerana laporan itu perlu diserahkan kepada parlimen, bukannya ke pejabat menteri. "Yang saya hairan, bagaimana ada negeri yang telah dapat laporan audit daripadada jawatan audit negara berhubung kewangan negeri tersebut. "Selalunya akan dibentangkan (laporan) kerajaan pusat dan kerajaan negeri semuanya akan diberikan kepada kami," katanya lagi. Menurutnya, beliau difahamkan bahawa negeri Kelantan telahpun mendapat laporan kewangan untuk negeri berkenaan. Minta penjelasan PAC Sementara itu ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pula berkata, isu berhubung laporan audit itu telahpun ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbahasannya Isnin lalu. "Beliau telah menempelak kerajaan kerana inilah kali pertama laporan audit tidak dibentangkan sebelum perbahasan. "Tidak pernah berlaku di zaman (Anwar yang juga bekas menteri kewangan). Itupun, hingga sekarang tidak dibawa ke Dewan," katanya. Tambahnya, speaker dewan boleh mencadangkan supaya perbahasan itu tidak dapat diteruskan selagi dokumen tersebut tidak diperolehi. Ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaafar dalam sidang media sama berkata beliau selaku ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) juga tidak pernah menerima atau melihat apa-apa laporan audit. "Saya rayu kepada pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid supaya buat penjelasan," katanya. -mk |
Lagi Gadis Hilang Ikut Kenalan Facebook Posted: 13 Oct 2011 07:16 PM PDT Kangar – Seorang bapa runsing apabila anak perempuannya lari dari rumah dipercayai mengikut rakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial, Facebook sejak tiga hari lalu. Gambar: MOHD. SABRI bersama isterinya, Nur Hafizah Nordin (dua dari kiri) menunjukkan gambar Nurul Nur Syawaltie yang hilang dari rumah di Kangar semalam. Menurut Mohd. Sabri Samat, 35, kehilangan anaknya, Nurul Nur Syawaltie, 14, disedari apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Menengah Putra di sini Rabu lalu. Ujarnya, dia kemudian menghubungi pihak sekolah, namun terkejut apabila dimaklumkan anak sulung daripada lima beradik itu rupa-rupanya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan. "Saya hanya menjumpai basikal anak saya yang ditinggalkan di taman perumahan di sebelah sekolahnya. "Selepas menunggu hingga lewat malam, dia masih tidak pulang ke rumah dan berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Jaafar di sini semalam. Mohd. Sabri berkata, dia mengesyaki kehilangan Nurul Nur Syawaltie ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali oleh anak gadisnya itu melalui Facebook. "Sejak kebelakangan ini, dia kerap bermain Facebook dan sehari sebelum kejadian, saya terdengar dia berbual di telefon bimbit dengan rakan yang mengajaknya berjalan-jalan di Pulau Pinang," ujarnya. Malah, katanya, beberapa orang rakan sekolah Nurul Nur Syawaltie juga memberitahunya bahawa anaknya itu ada meluahkan rasa tidak gembira tinggal di Kangar melalui Facebook. "Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Pulau Pinang lebih lima tahun ketika saya bekerja di sana dan kami baru setahun tinggal di Kangar," ujarnya. Ujarnya, dia percaya anaknya itu menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sekolahnya yang dikenali sebagai Amira. Katanya, orang ramai yang berjumpa atau mempunyai maklumat mengenai Nurul Nur Syawaltie diminta menghubunginya di talian 016-4871042 atau balai polis berhampiran. -kosmo Anak hilang tinggal basikal |
Jenayah Rogol Menjadi-jadi: Remaja Rogol Amah Sebelum Samun Posted: 13 Oct 2011 05:17 PM PDT Kajang: Seorang remaja berusia 19 tahun sempat merogol seorang pembantu rumah warga asing sebelum melarikan dua botol minyak wangi bersama laptop dan wang tunai selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Jaya Baru, di sini. Gambar Fail Dalam kejadian jam 2 petang 3 Oktober lalu, suspek yang tinggal di taman perumahan sama, mengumpil pintu belakang rumah itu sebelum mengacukan pisau kepada mangsa yang sendirian di rumah kerana majikannya bekerja. Sebaik masuk ke rumah, suspek mengikat kedua-dua tangan mangsa berusia 20-an dan merogolnya di ruang tamu sebelum melarikan dua botol minyak wangi, sebuah laptop serta wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM8,000. Bagaimanapun, suspek yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah di Selayang, diberkas di Lorong Haji Taib di ibu negara Ahad lalu hasil maklumat awam. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek dipercayai sudah lama memerhatikan rumah berkenaan dan memilih untuk memecah masuk ketika pembantu rumah terbabit tinggal sendirian. Katanya, suspek direman hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Sementara itu, Ab Rashid berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an yang mempunyai talian persaudaraan dengan seorang warga emas yang dibunuh kejam di Kampung Pasir Baru Peringkat, Jalan Sungai Lalang, di sini, hujung bulan lalu, bagi membantu siasatan. Katanya, suspek yang disisihkan keluarga warga emas itu kerana terbabit dalam penagihan dadah, ditahan di sekitar Semenyih pagi kelmarin dan sedang direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Dalam kejadian jam 12 tengah 27 September lalu, S Danaletchemee, 64, disamun sebelum dibunuh dengan kejam individu tidak dikenali apabila lehernya ditikam dan kepalanya dihentak dengan objek keras di dalam rumahnya. -BH Ulasan GB Tolak hukum Islam, maka kejadian-kejadian seperti di atas akan sentiasa wujud dan berlaku sepanjang masa dimana-mana jua dalam negara. Dengan undang-undang ciptaan manusia, bukan saja menteri, remaja pun tak takut lagi merogol amah, malah samun lagi. Allah tak rugi hukumNya ditolak atau dipersendakan, tetapi kitalah yang bernasib malang apabila terbukti jenayah bermaharajalela, apabila hidup diburu ketakutan dengan kisah jenayah yang berulang-ulang. |
[Bergambar & Video] Bali Bergegar Dilanda Gempa Bumi 6.8 Skala Richter Posted: 13 Oct 2011 10:00 AM PDT Bali: Gempa bumi yang melanda sebuah kawasan percutian popular Indonesia, di sini, Khamis, memaksa orang ramai termasuk pelancong melarikan diri daripada rumah dan hotel dalam keadaan panik. Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. Saksi-saksi di tempat kejadian memberitahu stesen radio dan televisyen tempatan bahawa mereka melihat beberapa buah rumah dan bumbung-bumbungnya roboh, selain beberapa buah kuil di sepanjang persisiran pantai pecah berderai akibat gegaran tersebut. Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gegaran berskala 6.0 magnitud itu bertumpu pada kira-kira 60 batu (100km) di bahagian barat daya pulau itu dengan kedalaman (36 batu) 60km ke paras dasar laut. "Saya terjatuh daripada motosikal akibat gegaran itu," kata seorang penduduk tempatan, Miftahul Chusna. Pegawai perhubungan awam Hotel Sanur Beach, Candy Juliani berkata semua benda di dalam bangunan itu bergegar. "Penginap-penginap hotel melarikan diri dalam keadaan panik. "Kami sebenarnya mempunyai laluan kecemasan khas apabila berdepan dengan situasi sebegini tetapi semua orang menjadi cemas dan mengabaikan laluan tersebut," katanya. Beberapa orang awam melaporkan turut melihat dinding-dinding pejabat dan rumah mereka mengalami keretakan ekoran gegaran itu. Gempa bumi terkuat melanda negara itu pada 26 Disember 2004 telah mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa di Aceh. - AP |
Prof Aziz Bari Libas Golongan Yang Tak Faham Undang-undang Posted: 13 Oct 2011 08:35 AM PDT Shah Alam, 13 OKT : Pakar Perlembagaan Malaysia Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau hanya mempersoal titah seorang Raja Melayu dan bukan menghina institusi Raja-Raja Melayu seperti yang didakwa media pro-Umno. Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata Perlembangan memberinya hak untuk membincang titah tersebut dan mereka yang mengkritiknya sebenarnya tidak faham undang-undang. "Saya tak kata pertikai Tuanku, tak ada. Saya tak kata dia tak ada kuasa. Saya kata kuasa tu memang ada, saya tak pertikaikan. Tiba soal kewajaran, soal keadilan dalam isu ni macam mana. Itu saja." "Iyalah yang dakwa menghina itu dia. Kalau dia faham peruntukan perlembagaan itu dia tak kata begitu. Dia orang sudah melabel kita macam tu, saya nak buat macam mana." Dr Aziz berkata demikian ketika dihubungi TV Selangor apabila diminta mengulas langkah beberapa Ahli Parlimen BN yang mendesak supaya tindakan tegas diambil ke atasnya ekoran rencananya semalam yang disiarkan di portal Malaysiakini yang berjudul "Tidak Salah Kritik Raja-raja". Aziz dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak mempertikaikan kuasa ketua agama. Apa yang diperkatakan ialah kewajaran sesuatu tindakan itu dari segi undang-undang dan Perlembagaan. "Saya dah kata, saya tak pertikaikan kuasa ketua agama. Saya cuma sebut soalnya adakah kewajarannya ada. Itu boleh. Kalau tengok akta hasutan pun jelas. Kalau kita setakat mencuba nak memperbaiki, nak improve kata orang apa salahnya." Beliau kecewa kata-katanya telah dipusing oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan politik. 'Orang ni dah twist sentence.... Itu yang sedihnya. Kalau orang yang macam Zulkifli Nordin yang pernah jadi peguam fikir macam itu. Apa jadinya. Ini nak mengapi-api, nak menghasut namanya. Nak memanaskan keadaan yang tak panas." Dr Aziz memuji sikap terbuka seorang Putera Diraja Negeri Sembilan Tunku Zain Al Abidin Tuanku Muhriz. Tunku Zain dalam kenyataan kepada portal berita Malaysia Kini hari ini antara lain berkata, titah diraja boleh dibincangkan oleh ahli akademik dan media, selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan yang sebenar. Tambah Dr Aziz, beliau memberi komen sedemikian kerana kes siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) membabitkan sensitiviti agama lain. Di dalam titahnya Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata tindakan JAIS menepati skop undang-undang agensi itu. Sebelum ini, siasatan JAIS terhadap DUMC atas dakwaan ia cuba berdakwah kepada orang Islam dikecam oleh ahli politik Pakatan Rakyat dan NGO. "Satu lagi yang kita kena faham ialah soal ini dia melibatkan soal agama lain. Jadi dalam soal itu kita kena tengok jugak. Kalau dah sampai kedudukan agama lain terancam dalam soal ini dalam kedudukan soal gerejanya diceroboh, macam mana. Dan bukti tak ada." Beliau berpendapat jika tidak cukup bukti lebih baik kes sedemikian ditutup kasar, jangan dipanjang-panjangkan kerana ia mempunyai impilasi negatif. "Saya kata macam ini, kalau bukti tak ada tutup saja. Tutup buku. Apa pulak bukti tak ada masih lagi kita seolah-olah melihat orang-orang ini beralah. Macam mana. Itu yang saya kata mana ada dalam dunia ini undang -undang kata macam tu. Kalau tak ada bukt , tutup buku, itu saja. Tang mana lagi kita nak cuba seolah-olah nak menunjukkan orang ini masih bersalah walaupun tak ada bukti. Itu yang saya katakan." Menyentuh tindakan Ahli-ahli Parlimen mencabar beliau menyertai politik, Prof Dr Aziz dalam ketawa berkata bahawa dia tidak berminat menyertai politik dan mencabar ahli politik yang mencabarnya agar menjadi golongan akademik sepertinya. "Nak mencabar saya berhenti pasal apa. Kenapa saya harus berhenti. Saya tak minat poltik. Saya bukan nak kedudukan dia. Kalau dia rasa nak lawan saya masuk ke sinilah, cuba jadi ahli akademik. Apa pulak saya lawan dia. Bila masa saya nak lawan dia. Apa pula timbul soalan berhenti politik masuk bertanding. Ini apa ceritanya." |
Nak Tangkap, Tangkaplah, "Serah Kalah" Tidak Sama Sekali - Bob Lokman Posted: 13 Oct 2011 07:00 AM PDT Penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman hari ini menegaskan beliau tidak akan "menyerah kalah" dengan hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi keterangan, sebaliknya "lebih rela ditangkap" selepas ditahan Isnin lalu kerana memberi kuliah agama tanpa tauliah. Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman memberitahu bahawa beliau tidak akan pergi ke pejabat Jais atas alasan agensi agama itu tidak melaksanakan dasar Islam secara keseluruhan, tetapi lebih memihak kepada dasar pemerintahan Umno-BN. "Kalau nak tangkap saya, tangkaplah, nak heret sekalipun, tapi saya tak kan pergi menyerah kepada mereka," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini. Laporan media hari ini menyebut Jais akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadapnya seandainya enggan hadir memberi keterangan kepada agensi itu. Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, selebriti yang berusia 47 tahun itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir terhadapnya. "Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian. "Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap," katanya. Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat. Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut "mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan." Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor." Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS. Bob Lokman menambah, dengan pergi ke pejabat Jais, perjuangan agama yang dipegangnya selama ini seakan hancur kerana jabatan itu sendiri tidak melaksanakan syiar Islam dengan telus. "Ini soal akidah, prinsip dan kepercayaan, saya yakin dengan perjuangan saya, Bilal Bin Rabbah sendiri menerima tentangan hebat waktu diseksa kerana Islam," kata beliau. Beliau ditahan Jais selepas menceritakan pengalamannya menerima hidayah Islam di Hulu Langat awal minggu ini. "Saya yakin kepada agama, kepada al-Quran, sekiranya saya tidak menentang, mereka tidak akan tahu wujudnya ketidakadilan dalam pentadbiran mereka, sekiranya orang PAS sendiri tidak tidak bersetuju, tak apa... saya yakin dengan kepercayaan saya," tegasnya. Menurut Bob Lokman lagi, dia yakin penguasa Jais dan kadi yang menahannya pada malam itu datang sebagai 'wakil' Umno, yang cuba menghalang usaha dakwah dilakukannya demi kepentingan politik. "Saya bukan nak masuk politik, (atau) jadi wakil rakyat, saya nak bantu orang-orang Islam negara kita ini, mengaku kenal Allah, kenal Islam, tapi sebenarnya Islam pada nama, pada Melayu sahaja," katanya lagi. "Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan kehadiran saya di sana kerana menganggap saya menggugat mereka, tapi saya hanya bercerita soal akidah, berdakwah di jalan Allah, saya juga menolak sikap kadi Hulu Langat yang tidak profesional, yang lebih pentingkan diri daripada membantu mengembalikan akidah dan iman umat Islam di landasan yang betul," katanya lagi. -TMI Ulasan GB Tahniah dan syabas Bob. Demi mempertahankan kebenaran, kita tempuh segala ujian dan cabaran. |
Terbukti SPR Penipu: Kini Mengakui 40,000 Nama Di Daftar Pengundi Meragukan Posted: 13 Oct 2011 05:40 AM PDT SPR akui 40,000 nama di daftar pengundi 'meragukan' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan. "Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya. "Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus di Shah Alam hari ini. Abdul Aziz menyifatkan sebagai kecil bilangan 40,000 nama yang tidak dapat dipastikan kesahihan maklumatnya itu dan SPR dalam proses memperbaikinya. Mengenai persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, beliau berkata proses itu akan dibuat selepas pilihan raya umum ke-13 nanti. Ini kerana SPR memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk berbuat demikian, katanya. Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, Abdul Aziz berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu terutama negeri-negeri yang mempunyai bilangan kerusi negeri yang angkanya genap. "Kita hendak menukarkan DUN yang mempunyai jumlah kerusi genap kepada ganjil bagi mengelak kemungkinan berlakunya situasi kemenangan 50-50," katanya. Abdul Aziz berkata mengikut ramalan SPR, PRU ke-13 akan menjadi lebih mencabar berdasarkan kepada senario politik semasa. "Parti kerajaan memerintah akan berusaha sedaya upaya pertahan kuasa mereka dan parti pembangkang pula akan berusaha sedaya upaya ambil alih pucuk pimpinan negeri ataupun negara. Dalam dua pertembungan ini, kita ramalkan PRU ke-13 akan jalan rancak dan sengit," katanya. Mengenai taklimat hari ini, Abdul Aziz berkata ia bertujuan memberi penerangan awal kepada pegawai pengurus dan penolong mereka tentang tugasan dan tanggungjawab mereka sewaktu menghadapi pilihan raya ke-13 nanti. Taklimat hari ini, yang pertama seumpamanya adalah bagi negeri Selangor. Ia akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat. Abdul Aziz bagaimanapun berkata taklimat itu adalah hanya untuk melatih petugas SPR agar sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dan tidak semestinya bermakna "PRU ke-13 terlalu hampir". Katanya SPR memerlukan sekurang-kurangnya 160,000 petugas untuk pilihan raya umum ke-13 nanti berbanding 150,000 pada pilihan raya umum lalu. - Bernama
Ulasan GB Bukankah pendusta dan penipu namanya tu apabila baru sekarang membuat pengakuan yang 40,000 nama di dalam daftar pengundi adalah meragukan? Sedangkan sebelum ini beliau sendiri yang membuat kenyataan bahawa kesilapan SPR hanyalah 0.0001 peratus berbanding 12.4 juta pengundi? Justeru itu kita merasakan bahawa keseluruhan SPR ini perlu disiasat. Tiada satu pun perkataan mereka boleh dipakai kerana sekali lencong keujian, seumur hidup tidak boleh dipercayai. GB yakin angkanya melebihi 40,000. Malah mungkin melebihi 400,000. Maka sebab itu SPR kini sedia untuk menghapuskan 40,000 nama berkenaan kerana daftar pemilih itu masih belum dibersihkan sepenuhnya. Bersihkan daftar pemilih, malah bersihkan SPR sebelum pilihanraya umum ke 13 dipanggil! |
[Bergambar] Satu Pertiga Thailand Diisytihar Zon Bencana Akibat Banjir Posted: 13 Oct 2011 03:22 AM PDT Bangkok: Thailand pada Rabu mengisytiharkan satu pertiga wilayah negaranya sebagai zon bencana akibat kejadian banjir terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa dekad. Ia turut memaksa pengeluar automobil Toyota di sini memberhentikan pengeluaran kereta-keretanya yang terjejas daripada bencana tersebut. Kerajaan Thailand menyasarkan untuk mempercepatkan operasi menyelamat selepas 281 orang terkorban dan berjuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda sejak dua bulan yang lalu. "Kerajaan telah mengisytiharkan semua wilayah yang terjejas akibat banjir sebagai zon bencana kritikal bagi membolehkan gabenor-gabenor berkenaan meningkatkan penguatkuasaan bagi memberikan lebih banyak barangan dan mengurus belanjawan," kata Timbalan Perdana Menteri Yongyuth Wichaidit. 26 daripada 77 wilayah negara itu kini terjejas teruk manakala ibu kota Bangkok pula dijangka dilanda banjir besar menjelang pertengahan bulan ini. Pegawai-pegawai terbabit telah mendirikan benteng di sekitar lapangan terbang utama dan beberapa kawasan lain bagi melindungi bandar raya yang mempunyai 12 juta penduduk itu. Sebahagian daripada penduduk juga mula menyimpan stok guni pasar, makanan yang tidak mudah rosak dan beberapa barangan keperluan lain sebagai persiapan.Beberapa kawasan di utara bandar raya ini mula dinaiki air sedalam beberapa meter. Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berpesan kepada penduduk yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng itu untuk bersiap sedia menghadapi banjir tersebut. "Jika kawasan dalaman Bangkok dilanda banjir, ia hanya akan terjejas sedikit tetapi kita perlu memikirkan nasib mereka yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng," katanya kepada pemberita yang ditemui di pusat operasi menyelamat mangsa banjir di lapangan terbang, di sini, Rabu. Beliau dijadualkan untuk menghadap King Bhumibol Adulyadej bagi membincangkan krisis tersebut. Pengeluar automobil Jepun itu berkata pengeluaran kereta di tiga buah kilangnya yang terjejas terpaksa diberhentikan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini. Toyota berkata, walaupun banjir itu tidak menjejaskan operasi tiga buah kilangnya di Samrong, Gateway dan Ban Pho secara langsung, ia masih mengganggu pembekalan alat gantinya. Operasi pengeluaran automobil itu diberhentikan sejak Isnin dan syarikat tersebut hanya akan menentukan keputusan untuk menyambung semula operasi mereka pada Sabtu ini. Banjir terburuk itu turut melanda negara jiran termasuk Kemboja sehingga mengorbankan lebih 200 orang. - AFP |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan