Ahad, 2 Oktober 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


'Umno, I Know Who You Are' - Nik Aziz

Posted: 02 Oct 2011 01:25 AM PDT

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak mahu 'terjerumus dua kali' untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno BN.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS sudah serik dengan pengkhianatan Umno sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran bersama parti itu pada tahun 1973 yang menyaksikan PAS ditendang keluar pada tahun 1977.

"Kita pernah bersama Umno dulu, saya sendiri sokong PAS bersama Umno sehingga PAS waktu itu pecah empat, kemudian PAS ditendang keluar.

"Sekarang (Umno) ajak kami balik, saya kata I know, who you are," katanya pada sidang media di sini.

Mengimbau sejarah perjuangan PAS lalu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, Umno melakukan jenayah besar kerana mengharamkan lambang bulan dan bintang pada bendera PAS.

Ditanya apa alasan Umno untuk mengharamkan lambang itu, beliau berkata kerana parti nasionalis itu tidak mahu PAS membawa perjuangan agama.

"Ni kena tanya Umno la. Cuma Umno ni tak mahu ugama, bukan stakat hudud, Islam pun dia tak mahu," katanya.

Ditanya lagi adakah pintu hubungan politik dengan Umno ditutup selama-lamanya, beliau berkata PAS bersama Umno jika parti itu menerima Islam dan meninggalkan perjuangan nasionalis.

"(Nak tutup pintu) Selama-lamanya tak boleh lah. Kita berdoa agar Umno berubah dari nasionalis kepada Islam.

"Sekarang, orang bukan Islam pun terima perjuangan Islam PAS sehingga kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS," ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, tidak mustahil PAS akan datang bukan sahaja menjadi Parti Islam Se-Malaysia, malah akan berkembang menjadi Parti Islam Se-Dunia.

"Sikit lagi Parti Islam Se-Dunia sebab Islam bukan untuk orang Islam sahaja tapi untuk semua, rahmatan lil 'alamin," ujarnya. -TGNA



Nahas Pesawat CASA 212: 18 Mayat Penumpang, Kru ditemui

Posted: 01 Oct 2011 11:30 PM PDT

Bahorok (Indonesia): Penyelamat menemui 18 mayat penumpang dan anak kapal pesawat Casa C-212 yang terhempas di kawasan pergunungan di barat Indonesia, kata pegawai semalam.

Pesawat kecil buatan Sepanyol itu dalam perjalanan dari Sumatera Utara ke Aceh apabila terputus hubungan dengan menara kawalan pada awal Khamis.

Beberapa minit kemudian, pesawat itu menghantar isyarat kecemasan sebelum ia terus hilang daripada radar.

Semalam, 13 penyelamat turun menggunakan tali dari helikopter bagi membantu dua rakan mereka yang tiba di situ kelmarin.

Ketua operasi penyelamat, Sunarbowo Sandi, berkata semua mayat ditemui di tempat duduk masing-masing dengan tali keselamatan masih terikat.

"Empat daripada mangsa adalah kanak-kanak," katanya.

Pesawat itu membawa 14 penumpang dan empat kru ketika terhempas. - AP

Inilah Nama Korban CASA 212-200


MEDAN, KOMPAS.com — Badan SAR Nasional sudah mengumumkan bahwa semua penumpang dan awak pesawat CASA 212-200 yang jatuh di hutan Taman Nasional Gunung Leuser, Bahorok, Langkat, Sumatera Utara, meninggal. Berikut adalah nama-nama para korban:

Kru pesawat:

1. Captain: Famal Ishak
2. Co Pilot: Budiono
3. Enginer: Nico Matulessy
4. FOO: B Soetopo

Penumpang :

1. Aisyah (P)
2. Astuti (P)
3. Suriadi (L)
4. Tia Apriliani (anak).
*Suriadi, Astuti, dan Tia adalah ayah, ibu, dan anak
5. dr Suhelman (L)
6. dr Juli Dhaliana (P)
*Suhelman adalah anggota DPRD Kabupaten Aceh Tenggara. Adapun Juli Dhaliana adalah istri Suhelman.
7. Siwa Sanbungan (L)
8. Jefridin (L)
9. Tirnau Karsau (L)
10. Andi Raylan Bangko (L)
11. Ahmad Arief (bayi).
*Andi Raylan dan Ahmad Arif adalah bapak-anak
12. Samsidar Yusni (P)
13. Hamimatul Janah (anak)
14. Hanif Abdilah (bayi)

Rahmawati, keluarga korban Aisyah yang dihubungi tengah berada di Bahorok, mengatakan, keluarga korban kecewa. "Kalau penanganannya cepat, (mereka) bisa diselamatkan," kata Rahmawati. -kompas.com




Waspada: Risiko Tong Gas Boleh Meletup Di Dapur

Posted: 01 Oct 2011 09:25 PM PDT

Kuala Lumpur - Tong gas memasak yang biasanya seberat 14 kilogram (kg) yang boleh dilihat hampir di setiap dapur rumah serta restoran berupaya menyebabkan kemusnahan besar jika berlaku kebocoran gas dan meletup.

TONG gas memasak yang menjadi peralatan wajib dalam setiap dapur boleh meletup dan terbakar jika tidak dijaga dengan rapi.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Zainal Zakaria berkata, disebabkan gas asli cecair itu lebih tumpat daripada udara, gas yang bocor itu tidak akan meresap keluar dengan mudah daripada kawasan tertutup seperti rumah dan premis perniagaan.

"Gas itu sebaliknya mudah tersebar ke seluruh ruang. Jika ada percikan api yang kecil sekalipun, ia dengan mudah boleh menyambar setiap kawasan yang mempunyai sisa-sisa gas berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad.

Beliau diminta mengulas kejadian letupan yang memusnahkan tingkat bawah pusat beli-belah Empire Shopping Gallery di Subang Jaya Rabu lalu. Kejadian pada pukul 3.45 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak di sebuah restoran di situ.

Malah dipercayai saluran gas memasak melingkari hampir sebahagian besar bahagian bawah kompleks beli-belah itu.


Menurut Zainal, insiden letupan gas memasak tidak boleh dipandang ringan kerana berjuta-juta rumah di Malaysia masih menggunakan bahan bakar itu setiap hari.

"Walaupun dapur elektrik atau dapur solar lebih selamat, kos untuk membeli sebuah tong gas adalah lebih murah," kata beliau.

Buat masa ini, harga setong gas memasak 14kg ialah RM27.

Zainal mendedahkan, punca kebocoran gas memasak di rumah selalunya disebabkan kepala gas dipasang dengan cara yang salah ataupun paip getah dapur gas bocor digigit haiwan perosak seperti tikus. -kosmo

Ulasan GB

Moralnya: Sentiasa semak kepala gas dan paip getah dapur gas. Usah lalai dan biarkan bertahun-tahun tanpa diselenggarakan.

Filem Hantu: Majlis Fatwa Rancang Temui PM. Pemuda PAS Pula Hilang Prinsip?

Posted: 01 Oct 2011 07:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Fatwa Kebangsaan mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu yang cukup popular sekarang kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Gambar: Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana. - Syaikh Ismail Muhamad, Imam Besar Masjid Negara

Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata majlis menggesa kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosi kepercayaan karut.

"Kami setuju perkara khurafat seperti ini patut dihapuskan. Kita kena bina pemikiran dan kerohanian masyarakat dengan perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

"Perkara ini juga sudah dibawa kepada pihak berwajib. Namun, mereka tidak peka dan kami bercadang berbincang dengan Perdana Menteri untuk menyuarakan hasrat mufti ini," katanya kepada Berita Minggu ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamad Shukri yang juga Mufti Kelantan mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung berlakunya lambakan cerita hantu di negara ini yang mempromosi kepercayaan karut serta tidak membantu masyarakat menjadi produktif.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad, berkata umat Islam yang terlalu taksub dan mempercayai hantu atau makhluk selain Allah SWT, boleh menjadi syirik.

"Mereka yang syirik adalah berdosa besar sehingga segala amalan baik yang dibuatnya sebelum ini akan terhapus begitu saja hinggalah mereka bertaubat.

"Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman menggesa tapisan menyeluruh yang lebih ketat patut dilakukan ke atas penerbitan dalam dan luar negara yang menolak konsep ketuhanan dan berlawanan dengan akidah serta norma masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Production Sdn Bhd, David Teo pula berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun atau fiksyen.

"Filem hantu untuk hiburan selain mendidik penonton. Ia bukan mempromosi kisah tahyul, sebaliknya pada masa sama nilai agama menerusi watak ustaz yang berperanan mendidik penonton secara tidak langsung.

"Sebelum ditayangkan, filem itu juga perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk menentukan sama ada sesuai untuk tontonan umum atau tidak. Jika unsur tahyul yang ditayangkan keterlaluan, babak terbabit akan dipotong dan tidak ditayangkan di pawagam," katanya. -BH

Ulasan GB

Yang lain ok, cuma di beberapa perenggan akhir dimana penulis berita ini menanya David Teo untuk bercakap mengenal hal syirik, tahyul dan seumpamanya.

Ada skrew yang tertanggal dari kepala penulis berita di atas bila seorang bukan Islam ditanya mengenai hal menyentuh aqidah dan keagamaan.

Mengenai lambakan cerita-cerita hantu berunsur syirik, khurafat dan tahyul ini telah lama GB ulas di SINI. Petikan:

Penyemarakan unsur syirik, khurafat dan tahyul di dalam filem-filem Melayu mutakhir ini sperti cendawan tumbuh yang tidak terkawal.

Kita menjadi hairan dengan sikap berdiam diri para mufti, JAKIM dan lain-lain yang berautoriti di dalam hal-hal keagamaan di dalam negara kita. Lebih malang lagi apabila Lembaga Penapis Filem seperti menggalakkan kehadiran filem-filem tempatan yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Kita boleh saja terima jika filem itu dari dalam atau luar negara yang dihasilkan oleh mereka yang bukan beragama Islam, namun apa yang mendukacitakan ialah filem-filem berkenaan dihasilkan dan dilakonkan oleh mereka yang beragama Islam.

Apa sebenarnya agenda Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan penerbitan dan penayangan filem berunsur syirik itu?


Menyentuh mengenai kontroversi filem Hantu Bonceng yang dihebohkan ada beberapa perkara yang memusykilkan. Lembaga Penapis Filem melalui Pengerusinya Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap mendakwa JAKIM telah meluluskannya. Mana buktinya? Siapa pegawai JAKIM itu? Bila masa dilakukan pertemuaan JAKIM dan Lembaga Penapis Filem? Mana kenyataan rasmi JAKIM?

Kedua, Dewan Pemuda PAS dikhabarkan telah bertemu Ahmad Idham untuk menyelesaikan kes berkenaan. Dewan Pemuda yang sebelumnya lantang mengkritik tetiba menjadi kendur. Apakah Ketua Dewan Pemuda jenis tidak berprinsip yang terubah pendirian hanya dengan satu pertemuan?

Buktinya:

Sebelum pertemuan:
Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut "Ashaduanna Muhammadar ... syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan".

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.
-harakahdaily


Kemudian selepas pertemuan diadakan:

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah menyuarakan hasrat dan memberi penjelasan dari kedua belah pihak. Hasil dari pertemuan itu, pihak Dewan Pemuda PAS dengan Excellent Pictures telah mencapai kata sepakat dan berpuas hati dengan semua penjelasan malah sebulat suara menyelesaikan masalah berbangkit dalam suasana yang cukup mesra. ...

Dalam kesempatan ini juga, kedua- dua belah pihak memohon agar isu berkaitan ini tidak lagi diperbesarkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak kerana isu terbabit telah diselesaikan dalam pertemuan ini. -pemudapas


Teruk punya statement! Tidak mahu diperbesarkan supaya Hantu Bonceng boleh terus ditonton oleh masyarakat dan pihak penerbit terus dapat mengaut keuntungan dengan penyiarannya? Dan Pemuda PAS tiada takut lagi untuk bersubahat dengan tayangan itu?

Janda Dilarikan Lelaki Beristeri Tiga

Posted: 01 Oct 2011 05:15 PM PDT

Cemor: "Dia ghaib sejurus bakal suaminya dibelasah orang kampung kerana menipu pada hari pernikahan mereka. Bakal menantu kami rupa-rupanya beristeri tiga," kata Azizah Gulap Din, 56, ibu kepada Ros Mawati, 31, yang menghilangkan diri bersama dua anak perempuannya sejak lima bulan lalu.

Gambar: HILANG... Muhamad Fadzil menunjukkan gambar anak dan dua cucunya yang gagal dikesan

Menurutnya, dia dan suami, Muhamad Fadzil Nordin, 59, bimbang nasib Ros Mawati dan dua cucu mereka, Arina Batirsha Amirzudin, 1, dan Arisa Balqis Amirzudin, 6, dipercayai dilarikan lelaki itu. April lalu, pasangan warga emas itu berdepan detik memalukan apabila majlis perkahwinan besar-besaran anaknya bersama seorang lelaki mendakwa ahli perniagaan dari Brunei kecoh selepas diserang seorang wanita yang mendakwa isterinya.

Wanita berkenaan turut mendedahkan lelaki itu pernah berkahwin tiga kali menggunakan khidmat sindiket nikah palsu.

Lebih memburukkan keadaan, wanita terbabit merayu lelaki itu mendaftarkan dulu kelahiran anak mereka berusia tujuh tahun yang gagal memasuki sekolah akibat ketiadaan sijil kelahiran.

Akibat kejadian itu, keluarga terpaksa membatalkan majlis perkahwinan itu biarpun dihadiri beratus tetamu.

Katanya, akibat kejadian itu, Ros Mawati bersama dua cucunya lari meninggalkan rumah, dipercayai mengikut lelaki itu pada 19 Mei lalu dengan menaiki sebuah kereta Proton Satria.

Menurutnya, dia dan suami berharap anaknya pulang dan memberi peluang berjumpa dua cucu mereka.

"Saya mengakui malu dengan kejadian itu sebelum membatalkan acara pernikahannya walaupun majlis kenduri dihadiri ratusan penduduk kampung," katanya.

Katanya, Ros Mawati seolah-olah tidak boleh menerima keputusan itu kerana menghalangnya berkahwin dengan lelaki tidak jujur itu yang mengaku masih bujang.

Azizah berkata, Ros Mawati seolah-olah terkena ilmu pengasih dan tidak mahu mendengar nasihat keluarga demi masa depan dua anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, dia bimbang nasib cucunya kerana seorang daripada mereka menghidap asma.

"Kami risau apabila dia dan anaknya hilang begitu saja dan tidak pulang ke rumah sejak lima bulan lalu.

"Kami cuma mahu dia kembali ke pangkuan keluarga," katanya. -hm

[Bergambar] Sekitar Sambutan 60 Tahun PAS : PAS Kini Memasuki Era Baru

Posted: 01 Oct 2011 03:30 PM PDT

PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah."

Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat."

Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut. Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said. -HD

Forum Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Pas





Sumber Gambar : Blog BGM Online


KONGRES SAMBUTAN 60 TAHUN PAS

Timbalan Presiden sedang berucap di muqaddimah majlis

Ucapan Presiden Pas Tuan Guru Presiden Dato Seri Hj Abd Hadi Awang

Dr. Rani, Pesuruhjaya Selangor, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan

Naib-naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub, Husam Musa & Mahfuz Omar

Isteri Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy, Hajjah Suri

Tuan Guru Presiden menyampaikan anugerah Darjah Pahlawan Ummat kepada Hajjah Suri, balu kepada Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy

Sajak dideklamasikan khas untuk Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy oleh A. Samad Said

Tak perlulah lagi diperkenalkan lagi

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz

ADUN Selat Klang, YB Dr Halimah Ali

Bekas Pesuruh PAS Selangor, Hj Subky latif & Sasterawan Negara Pakatan Rakyat, A. Samad Said

Ucapan perasmian penutup oleh Dato Seri Bentara Tuan Guru Mursyidul Am

Antara 5000 hadirin yang memenuhi dewan

Nisa',Gadis-gadis manis ini turut berkawad di luar halaman dewan

Pelapis Unit Amal dari Negeri Pulau Pinang yang diwakili oleh remaja

Sumber : Facebook Pas Ipoh Timur, caption: malaysiaberih


Tak Layan Ugutan Perkasa: Mat Sabu Ke Negeri Sembilan Lagi

Posted: 01 Oct 2011 07:54 AM PDT

Petaling Jaya: Mohamad Sabu yang `diserang orang Perkasa' minggu lalu dijangka kembali ke Negeri Sembilan dalam satu program anjuran yang PAS dan PKR Rembau minggu depan.

Program ceramah perdana isu semasa turut menampilkan pimpinan PAS dan PKR tempatan termasuk Badrul Hisham Shaharim dan bekas pesuruhjaya PAS negeri Dr. Rosli Yaakop.

Ceramah ini bertujuan memberi penerangan isu semasa yang di mana media perdana sedang mengelirukan rakyat, kata Setiuasaha PKR Rembau Norazizi Aziz.

"Kita juga menjemput ahli Umno untuk menghadiri program cemarah Mat Sabu itu, " katanya.

PKR Rembau, katanya memandang serius permbangan politik ganas yang amat membahayakan ini.

Polis digesa bertindak secara profesional, tambahnya.

Norazizi mendakwa Pemuda Umno terbabit dalam serangan ke atas Mat Sabu.

Politik samseng

"Ini ia menunjukkan sikap sebenar mereka dan menambah kebencian orang ramai terhadap mereka.

"Sikap politik samseng ini makin melampau bila Perkasa NS dengan angkuh memberi amaran agar Hj Mohammad Sabu tidak masuk ke bumi N.Sembilan," katanya.

Ceramah Mat Sabu di Ampangan Sabtu mencetuskan kekecohan sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli Perkasa mara ke pentas ceramah.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan.

Laporan sebelum ini:

Ugut Mat Sabu: PAS Mahu Polis Siasat Perkasa (UMNO Juga)

PAS mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan pendesak Melayu, Perkasa ekoran ancaman terbuka mereka untuk 'menyerang' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil menyifatkan ancaman itu boleh mencetus ketegangan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak polis sepatutnya sudah boleh memanggil Perkasa.

"Sepatutnya pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap Perkasa yang membuat ancaman secara terbuka.

"Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi jangan pulak sampai bertindak menghalang hak orang lain berceramah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran Perkasa Negeri Sembilan bahawa mereka akan menganjurkan lebih banyak protes ke atas Mohamad Sabu jika timbalan presiden PAS itu berani menjejakkan kakinya di negeri berkenaan untuk menyampaikan ceramah.

Amaran itu dilontarkan ketuanya Mohd Noor Nordin Abdullah yang dengan angkuh berkata beliau sendiri akan mengetuai protes terhadap Mohamad, jika timbalan presiden PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Sabtu lalu satu pergaduhan tercetus pada ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban.

Pada kejadian itu dua penyokong PAS cedera selepas bergelut dengan ahli Perkasa yang menyerbu pentas ceramah ketika timbalan presiden PAS sedang berucap. -hd

SAH!!! UMNO berlindung dibalik PERKASAM serang ceramah Mat Sabu




Haram Video Klip UNDILAH: Khairy Selar Tindakan SKMM Sebagai Rosakkan Imej BN

Posted: 01 Oct 2011 06:30 AM PDT

Klip Undilah: Tindakan SKMM rosak imej BN, kata Khairy

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melarang penyiaran klip video Undilah menerusi televisyen tempatan satu tindakan yang tidak wajar selain merosakkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Khairy Jamaluddin.

Ketua BN dan Pemuda Umno itu berkata pihaknya masih tidak jelas mengapa klip video itu diarah agar ditarik balik daripada terus disiarkan.

"Reaksi mengelirukan SKMM ke atas klip video Undilah agak memudaratkan kami," kata beliau sambil bertanya, "apa isu sangat (dengan klip itu)."

Ketika ditemui pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Pemuda MCA di sini hari ini, Khairy menjawab soalan berkaitan dengan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kelmarin dipetik Bernama, Rais berkata, klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

"Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak," kata Rais.

Katanya, penarikan semula penyiaran klip video itu dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak," katanya.

SKMM, agensi di bawah portfolio Rais, sebelum ini menyatakan klip video Undilah belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut menjayakan penerbitan klip itu berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat sayap tersebut dan mereka tidak bersetuju dengan tindakan SKMM.

"Ia tindakan tidak wajar. Ia tidak memerlukan tapisan.... ia sangat subjektif, mereka (SKMM) tidak sewajarnya terlalu sensitif.

"Jangan gunakan pemikiran 1950-an untu bertindak ke atas generasi muda," kata Wee. Difahamkan Kementerian Dalam Negeri akan membuat keputusan akhir mengenai perkara tersebut.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Kenyataan SKMM itu menyusul laporan The Malaysian Insider yang menyebut bahan terbitan Pete Teo itu dilarang diterbitkan kerana memaparkan kemunculan beberapa wakil rakyat pembangkang dan juga mesej pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah yang menyentuh bahawa Malaysia berhadapan dengan beberapa masalah.

Difahamkan SKMM memberi arahan kepada stesen penyiaran tempatan minggu ini selepas ia mula ke udara sempena sambutan Hari Malaysia.

Selain Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dari Umno dan Wee, turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ketua Puteri Umno. Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

PAS Tak Akan Paksa Bukan Muslim Terima Undang-undang Islam - Hadi

Posted: 01 Oct 2011 05:15 AM PDT

Kepala Batas, 1 Okt — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan memaksa orang bukan Islam agar menerima undang-undang jenayah syariah Islam seperti mana parti itu tidak memaksa mereka menerima ajaran Islam.

Presiden PAS berkata undang-undang Islam terutamanya hudud telah dimomokkan Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno untuk memberikan gambaran negatif tentang hukum itu.

"Hukum jenayah Islam dimomokkan BN yang diketuai Umno melalui media, walaupun manusia sekarang menghadapi masalah sosial yang tenat dan sebagainya, soal jenayah sepatutnya perlu kembali kepada ajaran Allah.

"Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan memperbodohkan orang Islam," katanya ketika beucap merasmikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium di sini.

Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Rabu lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Menurut Hadi (gambar), undang-undang jenayah syariah mementingkan keadilan dan setiap keputusan yang dibuat perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

"Undang-undang Allah adalah untuk mendidik, untuk menjatuhkan hukuman tidak mudah kerana ada syarat, mesti melalui proses kehakiman, saksi dan hakim yang membicarakan kes jenayah bukan cari jalan untuk jatuhkan hukuman tapi cari jalan untuk bebaskan orang yang dituduh, itu falsafah Islam. "Dalam hal ini, PAS tidak memaksa bukan Islam menerima undang-undang Islam seperti mana kita tidak memaksa mereka menerima Islam," katanya. -TMI

Mahkamah Tolak Hujjah Pendakwa Yang Bergantung Keterangan Polis Semata-mata

Posted: 01 Oct 2011 03:59 AM PDT

Pengecaman kawad cam diragui

Petaling Jaya - Anak Datuk Bandar Petaling Jaya dan dua rakannya semalam dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan menyamun seorang pemilik kafe siber tahun lepas.

Gambar: Kafe siber di Taman Sri Subang, Petaling Jaya tempat anak Datuk Bandar Petaling Jaya dan dua rakan didakwa melakukan samun pada 23 Mac 2010. Bagaimanapun, mereka dibebaskan daripada tuduhan itu semalam.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penuntut kolej, Mohd. Radzak Razali, 22, pemandu peribadi Zulhelmi Mohammad, 23, serta Mohd. Khairul Amir Mohamad Roslan, 23, penuntut kolej yang juga anak kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Rozina dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil pengadu dan mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah, sebaliknya pihak pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan daripada pegawai polis semata-mata.

"Selain itu pengecaman terhadap tertuduh pertama (Mohd. Radzak) dan kedua (Zulhelmi) semasa kawad cam juga diragui kerana berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat Inspektor Zaini Mohamad Piah bahawa tangkapan yang dibuat ke atas kedua-dua tertuduh adalah berdasarkan pengecaman orang awam ke atas kereta dan pengecaman tersebut tidak dibuat berdasarkan individu yang ada di dalam kereta itu," katanya.

Rozina berkata, tiada keterangan mengaitkan tertuduh ketiga iaitu Mohd. Khairul memandangkan tertuduh tidak berada di tempat kejadian. -kosmo

Luarnegara: Baru Saja Dihentam Taufan Nesat, Taufan Nalgae Pula Ancam Filipina

Posted: 01 Oct 2011 01:45 AM PDT

Belum pun selesai lepas serangan angin taufan Nesat di Filipina yang mengorbankan 43 orang dua hari lalu. Pemerintah Filipina memperingatkan warganya akan adanya serangan badai lainnya.

Kesan dari taufan Nesat masih terus dirasakan oleh wilayah yang dihentam badai tersebut. Taufan Nesat yang menyerang Pulau Luzon, Selasa 27 September lalu, menyebabkan jutaan orang dilanda oleh banjir.

"Bila Taufan Nalgae akan tiba di wilayah kami masih belum diketahui. Tetapi taufan tersebut akan melanda di wilayah yang sama dilanda Taufan Nesat beberapa hari lalu," jelas Yumul.

Kini, mereka harus bersiap dengan ada angin taufan lain yang segera datang menyerang.

"Masalah banjir selepas Nesat belum selesai, warga kembali diancam dengan cuaca buruk yang akan segera datang," ungkap Wakil Menteri Sains Filipina Graciano Yumul seperti dikutip ABS-CBN, Jumaat (30/9/2011).

Menurut Yumul, ancaman baru ini tentunya menyebabkan keresahan warga yang sudah dilanda kesusahan akibat banjir yang menimpa sejak Nesat menyerang.

Dewan Pengurusan Bencana Nasional Filipina mengatakan jumlah korban yang maut akibat taupan Nesat terus meningkat. Setelah korban yang maut dikhabarkan mencapai 39 jiwa, saat ini korban dipastikan bertambah menjadi 43 jiwa.

Sementara 30 orang lainnya diberitakan masih hilang. Sebagian besar korban yang dilaporkan hilang tersebut adalah nelayan yang melaut ketika taufan Nesat menyerang Filipina.

Tiada ulasan: