Rabu, 5 Oktober 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Sister In Islam Tentang Hukum Allah kerana TIDAK ADIL kepada Wanita serta KEJAM dan KERAS kepada Manusia

Posted: 05 Oct 2011 07:40 AM PDT


Saya petik:

[TMI] KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) kekal dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita.

Pengarah Eksekutif SIS Ratna Osman berkata, pihaknya kekal dengan pendirian yang diputuskan sejak 1993 itu - pada tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan enakmen bagi menguatkuasakan perundangan itu.

Terengganu membawa enakmen yang sama 10 tahun kemudian.

Bagaimanapun pelaksanaan terbantut ekoran sekatan pusat atas alasan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, SIS menentang perundangan itu kerana ia akan menafikan hak kaum wanita selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.

"SIS percaya bahawa masyarakat perlu dikawal selia selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah, dan bukannya menerusi penghakisannya dengan hukuman-hukuman kejam dan keras," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.

"Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2002 mengatakan bahawa di bawah Seksyen 9, seorang wanita yang membuat laporan dia telah dirogol boleh dituduh qazaf dan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali jika dia gagal menyediakan bukti. 
"Meskipun pindaan telah dibuat untuk membenarkan bukti situasi, masih wujud kekeliruan," katanya sambil menambah, "sebagai contoh, pihak mana yang perlu menyediakan bukti iaitu polis atau mangsa?"

"Pindaan tidak mencukupi dan keseluruhan undang-undang ini kekal sesuatu yang tidak adil," kata beliau.

Beliau menambah, di bawah enakmen Kelantan pula, seorang wanita yang mengandung atau melahirkan anak disebabkan kejadian rogol, dianggap telah melakukan zina meskipun dia merupakan mangsa dirogol.

"Ketidakupayaan menyediakan empat saksi lelaki akan berakhir dengan (andaian) telah melakukan zina sedangkan perogol pula bebas," kata Ratna.

Sambil menegaskan seorang wanita tidak boleh menjadi saksi, kata beliau, mereka dari kepercayaan yang lain pun tidak boleh menjadi saksi.

"Sebenarnya tiga per empat penduduk Malaysia tidak layak menjadi saksi," katanya lagi.

Justeru kata beliau, enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu melanggar prinsip hak asasi manusia dan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

"Ia memperuntukkan hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan," katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, SIS mahu menekankan pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

"Ia melanggar prinsip-prinsip universal hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas kaum wanita," katanya lagi.
 

 P/s: Lahanatlah SIS!

 
 
 

Mengapalah Sinar Harian Tanya Artis: "Hudud - Wajar atau Tidak?"?

Posted: 05 Oct 2011 05:30 AM PDT

Sinar Harian

Soalan ini tidak sepatutnya ditanya kerana jelas orang Islam wajib melaksanakan hudud bertepatan dengan kehendak Allah dan Islam. Kita berasa pelik kerana editor akhbar ini boleh melepaskan artikel yang sudah pasti menggoncang akidah baik orang yang bertanya ataupun orang yang menjawab.

Kalau anda perhatikan, jawapan yang diberikan oleh artis-artis itu walaupun tidak menolak hudud sepenuhnya, namun menyerlahkan kejahilan mereka, baik yang bertudung litup, mahupun yang sudah di penghujung usia.

Cuba baca komen Datuk Aziz Satar, "...mereka boleh laksanakan di sesebuah negeri dahulu, jika dilihat baik dan memberikan banyak manfaat barulah diteruskan tetapi jika sebaliknya pihak berkenaan perlu menghentikan hukum tersebut. Lagipun banyak penganut agama lain yang menetap di sini, rasanya hukuman sebegini tidak boleh dilaksanakan kepada mereka..." 

Lagi menyedih-melucukan apabila Enot dengan yakinnya mengatakan "Memang zaman dahulu orang Islam menbgamalkan hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina, HUKUMAN SULA akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang, ia tidak lagi sesuai...". Apalah bingainya artis ini? Sudah jahil, menfitnah pula hukum Allah. Sejak bila HUKUMAN SULA dikategorikan sebagai hukum hudud?

Apakah hukum orang Islam yang memperlekeh atau merendahkan atau tidak yakin akan hukum Allah? Anda yang celik ilmu dan hati sudah tentu mengetahui jawapannya!-DCM



P/s: Hudud bukan sahaja perlu dijelaskan kepada orang bukan Islam, malah perlu diterangkan kepada orang Islam yang rata-ratanya masih jahil tentang hukum Allah yang penuh dengan hikmah dan pengajaran itu.


[Wajib Baca] Isu Hudud: Pemuda PAS Jawab Sister In Islam, Gesa Bosnya Bertaubat

Posted: 05 Oct 2011 04:47 AM PDT

Orang ini bercakap tentang Islam...nilaikan sendiri!!!

Saya petik:

[HD] Bagi pihak Pemuda PAS, kenyataan Zainah Anwar (dari Sister In Islam) dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 merupakan kekeliruan yang nyata dari seorang pemimpin NGO Islam yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam. Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman. Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih-sayang, agama yang halus dan lemah-lembut agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat.

Kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa masuk Islam nanti kena potong anunya (berkhatan).

Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam? Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam. Kenapa kita tidak menjelaskan bahawa berkhatan itu adalah untuk mencegah dari kekotoran dan boleh membawa kepada penyakit kanser yang merbahaya, sebab itu Islam mahukan umatnya bersih dan bebas dari segala penyakit. Bukankah amalan berkhatan itu juga wujud sebelum Rasulullah SAW diutuskan membawa Islam lagi? Ia juga menjadi amalan biasa kepada kaum India yang menganut agama Hindu di Malaysia.

Begitulah juga halnya dengan hukuman-hukuman yang terdapat dalam syariat Islam. Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima?

Menjelaskan tentang kebaikan akan hukum Islam secara akademik dengan sokongan statistik seharusnya menjadi keutamaan kerana Islam merupakan agama kesejahteraan. Sudah tentulah hukum-hakamnya untuk memelihara dan memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat. Selain itu Islam juga merupakan agama fitrah. Syariat dan hukum-hakamnya merupakan sesuatu yang selari dengan jiwa manusia. Sebagai contoh, apabila barang anda dicuri dengan jumlah yang besar (yang melayakkan hudud dilaksanakan), apakah hukuman yang anda harapkan dari pemerintah? Apakah anda berharap agar si pencuri itu hanya didenda dan dipenjara? Sudah tentu anda sangat gembira jika tangan si pencuri itu dipotong sahaja.

Bagi seorang pemimpin masyarakat yang perihatin pula, apakah yang mereka harapkan akan hukuman yang patut diberikan kepada si pencuri itu? Sudah tentu potong tangan juga agar si pencuri itu tidak melakukannya lagi dan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut dengan perbuatan yang mengganggu keharmonian itu. Tapi perlu diingat, bukan semua perbuatan curi terpaksa dipotong tangannya. Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan.

Oleh itu, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah Anwar itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang, agama fitrah di mana segala hukum-hukumnya termasuk hukum jenayah (Hukum Hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat.

Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah ia suatu keadilan yang tiada taranya dan membawa manfaat serta pengajaran yang besar kepada masyarakat seluruhnya.

Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu. 
Negara Kes Rogol Tahun 2002 Populasi Penduduk Kes/Populasi  x 1 juta
Kanada 24,350 33,465,300 727.62
Malaysia 1,431 27,730,000 51.60
Jerman 8,615 82,127,000 104.90
Arab Saudi 59 24,735,000 2.39 (LAKSANA HUDUD)
United Kingdom 13,395 61,186,000 218.92
Amerika 95,136 305,975,000 310.93

Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.

Justeru, seorang Islam yang mukalaf, malah beliau sedar bahawa kenyataannya itu merendah-rendahkan Islam seperti yang dilakukan oleh Zainah Anwar, ("It's okay to implement the hudud law because it doesn't affect non-Muslims." So it's okay for Muslims to be brutalised? Ertinya : Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan non-muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?) boleh menjejaskan akidah. Oleh itu, Pemuda PAS menyeru agar Zainah Anwar kembali bertaubat. Malah kita juga bersedia untuk bermuzakarah secara terbuka atau tertutup jika beliau inginkan penjelasan tentang hukum Islam (Hukum Hudud).

* Dr Ghazali Hasbullah ialah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Permuda PAS Malaysia.



P/s: Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok manusia yang mempersenda agama dan hukum Allah.



[Gambar] Fenomena Pengguguran Bayi di Temasek

Posted: 05 Oct 2011 01:27 AM PDT












Sumber gambar dan maklumat lanjut di sini.

P/s: Menyedihkan! 

Berdasarkan maklumat tertera, fenomena yang menakutkan ini berlaku di Temasek. Sila klik pautan di atas untuk membaca maklumat lanjut.


Lelaki Kahwin LEWAT Anak KURANG BIJAK

Posted: 05 Oct 2011 12:45 AM PDT


Saya petik:
Usia bapa jejas keupayaan intelek kanak-kanak: Kajian

[BH] WASHINGTON: Kromosom kanak-kanak daripada lelaki berkahwin lewat didapati tidak normal hingga lemah dari segi intelektual, dipercayai disebabkan usia bapa yang lanjut.

Kromosom tidak normal adalah disebabkan oleh beberapa variasi nombor salinan atau 'CNV', merujuk kepada struktur beberapa keadaan menyebabkan kehilangan atau kesilapan susunan DNA dalam sel. 

Perkara itu boleh diwarisi atau berlaku secara tiba-tiba dan menjadi punca biasa penyakit. Pasukan penyelidik melakukan analisis secara sistematik dan menemui banyak CNV dalam hampir 3500 orang yang hilang upaya intelektual antara 2006 dan 2010.

Mereka mendapati, CNV yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak diwarisi membabitkan 227 orang yang bermakna keadaan itu wujud dua kali ganda daripada biasa sama seperti bagi mereka yang mempunyai autisme dan tiga kali ganda di kalangan mereka yang menghidap penyakit asma.

Analisis seterusnya untuk menentukan CNV asal di kalangan data daripada 118 orang mendapati 90 kes berasal daripada bapa dan tiga suku daripadanya kehilangan turutan DNA.

Penyelidik kemudian membahagikan responden memiliki CNV kepada dua kumpulan iaitu mereka yang mempunyai gen DNA berulang-ulang dan mereka yang tidak mempunyai DNA berulang-ulang.
 
Penyelidik turut membandingkan usia ibu bapa dalam dua kumpulan itu dengan mereka yang tidak mempunyai masalah hilang upaya intelektual.

Kumpulan tidak mengalami DNA berulang-ulang, golongan paling ramai membabitkan lelaki pada usia lanjut yang memberi petunjuk kepada bagaimana memahami sebab CNV terbentuk, kata penulis.

Kesimpulan yang dibuat ialah peningkatan CNV baru tidak hanya disebabkan oleh DNA lelaki tetapi usia bapa juga memainkan peranan, kata penulis.

"Sebagai rumusan, data kami buat pertama kalinya meyakinkan bukti bahawa faktor CNV bapa paling besar menjadi faktor kepada kelemahan intelektual," katanya. Kajian itu disiarkan secara dalam talian oleh Jurnal Perubatan Genetik. – Agensi


[Wajib Baca] Belanjawan Pakatan Rakyat 2012: Kesejahteraan Untuk Semua

Posted: 05 Oct 2011 12:00 AM PDT


Saya petik:

Ucapan Ketua Pembangkang
MUQADDIMAH


1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu."

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri1 jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion2, apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak3.

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 20114 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi5 membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%6.

25. Makanya, tema "Kesejahteraan Untuk Semua" adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:

a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b. Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan7.

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j. Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA

35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI

44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA

49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT

53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan "salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba".

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutak BERSIH 2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.


PENUTUP

60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.


Sumber: HD






Ingat Berita Isteri Didakwa Curang, Mengandung Anak Luar Nikah, Bunuh Diri? Ini Berita Susulannya

Posted: 04 Oct 2011 07:20 PM PDT


Saya petik:
[HM] SERIAN: Seorang ibu yang dipercayai hilang dan disangka terkorban selepas terjun ke dalam sungai Ahad lalu, mengejutkan orang ramai apabila ditemui dalam keadaan terduduk serta kebingungan serta rambut kusut masai di bawah sebatang pokok tidak jauh dari tempat dia terjun di Sungai Serin, di sini, malam kelmarin.

Winni, 30, dari Kampung Sungai Bari, di sini, yang juga ibu kepada tiga anak berusia 18 bulan hingga 10 tahun ditemui seorang lelaki yang juga penduduk kampung berkenaan ketika mahu membuang sampah, kira-kira jam 8 malam.

Menurut sumber, lelaki terbabit kemudian menghantar wanita itu pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Bari, kira-kira 500 meter tempat kejadian.

"Mangsa mendakwa dia berada di tempat terbabit kerana 'disorok' seorang wanita berambut putih selepas cuba membunuh diri dengan terjun sungai dari sebatang pokok di sebuah kebun, petang Ahad lalu.

"Wanita terbabit memberitahu, ternampak seorang wanita berambut putih menariknya ke bawah selepas terjun dan dibawa ke tempat berkenaan," katanya....
 Berita awalnya di sini.


Kasanova Kebas Duit dan Fitnah Mangsanya

Posted: 04 Oct 2011 06:48 PM PDT

KESAL...sebahagian wanita yang mendakwa mangsa kasanova terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.

Saya petik:
[HM] JOHOR BAHRU: "Dia memberitahu suami kononnya saya curang dan menjalin hubungan dengan lelaki lain. Saya pula dia beritahu suami ada hubungan dengan perempuan lain.

"Akibatnya saya diceraikan, namun selepas itu dia pula ajak saya kahwin di Siam," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aimi, 26, mengenai 'permainan' seorang lelaki kasanova untuk memikat mangsanya sebelum mengikis duit mereka.

Aimi berkata, kasanova yang dikenali sebagai Man, 30-an itu amat licik memerangkap mangsa sehingga mampu memikat 20 teman wanita serentak termasuk bekas isteri dan kekasih orang, biarpun kawannya sendiri.

Rahsia Man terbongkar apabila seorang demi seorang kekasihnya tampil membuat laporan polis selepas menyedari mereka dianiaya dan terpedaya.

Menurut Aimi, Man yang juga seorang kakitangan awam beruniform sering menggunakan jawatannya itu untuk memerangkap wanita dan permainan fitnahnya menyebabkan rumah tangga sebahagian mangsanya porak-peranda. "Saya mengenali Man menerusi suami kerana mereka berkawan, namun lama-kelamaan hubungan kami tegang dan selalu bergaduh kerana termakan hasutannya yang mendakwa kami curang.

"Akibat terpedaya dengan fitnah Man, saya diceraikan talak satu oleh suami pada hujung Julai lalu. Sebelum itu, suami juga memukul dan menendang hingga badan saya lebam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Masai, semalam.

Aimi berkata, lebih menghairankan ialah selepas dia diceraikan, Man beria-ia mahu memberikan bantuan termasuk menumpangkannya di rumah seorang rakan wanitanya, selain memberinya wang RM2,000 bagi membolehkannya hidup bersendirian.

Menurutnya, Man yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kemudian menyatakan ingin memperisterikannya dengan berkahwin di selatan Thailand.
"Pelik dengan perangainya itu, saya mula terfikir apa yang dikatakannya kepada saya dan suami sebelum bertemu suami serta berbincang hasil bantuan keluarga.

"Kami rujuk semula selepas mendapati Man berniat jahat memfitnah kami suami isteri sehingga bercerai," katanya.

Seorang lagi mangsa Man yang juga bekas teman wanita lelaki itu, Shima, 30-an berkata, dia menjalin hubungan selama 10 tahun sebelum menyedari ditipu dan diperalatkan untuk mendapatkan wang.

"Sepanjang 10 tahun bersama, saya memberinya lebih RM15,000 wang simpanan saya selepas dia memberi pelbagai alasan untuk menggunakan wang. "Sepanjang tempoh kami berkawan, tidak pernah dia mengaku sudah beristeri dan mempunyai dua anak," katanya.

Shima berkata, Man seorang panas baran dan sering memukulnya hingga terseliuh pergelangan tangan, namun dia tetap bersama lelaki itu atas dasar sayang dan cinta.

"Bagaimanapun, saya mula tidak tahan dengan sikapnya apabila dia sering membawa wanita lain ke kelab malam dan karaoke sedangkan wang simpanan saya habis dikikis," katanya.

Seorang lagi mangsa Man yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 18, berkata sikap romantis Man dengan kata-kata manis, peramah serta prihatin terhadap dirinya pada awal perkenalan menyebabkan dia jatuh cinta kepada lelaki itu sehingga terlanjur.

"Man berlagak romantik dan prihatin selain selalu menunjuk-nunjuk dia berharta hingga pernah memberikan saya ribuan ringgit secara tunai.

"Bagaimanapun, lama kelamaan tembelangnya pecah kerana dia membawa wanita lain ketika kami masih bercinta. Semua itu masih boleh dimaafkan kerana saya cintakannya.

"Namun, lebih dikesalkan ialah dia cuba memperalatkan saya memikat lelaki lain sebelum berpesan supaya saya mengikis wang lelaki itu," katanya sambil memberitahu lelaki dimaksudkan ialah suami Aimi.

Aimi membuat laporan polis berhubung sikap kasanova Man di Balai Polis Masai, 3 September lalu, manakala Shima membuat laporan berhubung penipuan dan ugutan lelaki itu di Balai Polis Scinetx Seri Alam, 26 Julai lalu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.




Peluru Senjata Mereka MEMBUNUH Jurukamera BERNAMA

Posted: 04 Oct 2011 05:40 PM PDT


Saya petik:
[Bernama] MOGADISHU, 4 Okt -- Gambar empat tentera misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) yang bertanggungjawab melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor yang diemailkan oleh Agensi Keselamatan Somalia kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Kelihatan mereka berjalan tanpa membawa senjata yang turut dikawal tentera lain ke suatu tempat yang tidak disebut.

Laporan media sebelum ini menyebut mereka merupakan tentera Burundi yang bertugas dalam AMISOM.
Berdasarkan laporan polis Somalia, pihak AMISOM telah menjalankan penyiasatan dalaman dan mendapati bahawa keempat-empat yang dituduh itu didapati bersalah melepaskan tembakan ke atas Allahyarham Noramfaizul.

Pada Isnin lepas, AMISOM telah memohon maaf diatas kejadian yang telah menimpa jurukamera Bernama TV itu dan melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan akan dihantar pulang ke Burundi untuk dibicarakan.

Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 3 Sept lepas. Kejadian itu turut mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan. 


Sebahagian Besar MLM Tidak Patuhi Syariat Islam, Bagaimana dengan Status Halal MLM yang Anda Sertai?

Posted: 04 Oct 2011 04:30 PM PDT


Saya petik:
[Kosmo] KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini tidak menepati syariat Islam.

Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran.

Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam sistem yang diamalkan.

Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan yang meragukan.

"Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan, pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta etika perniagaan.

"Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan perniagaan dengan beretika," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut.
 
 
P/s: Adakah duit yang anda terima setiap bulan itu HALAL? Berbanggakah anda menjadi jutawan MLM jika duit yang diperoleh diragui halalnya? Sila siasat dan pastikan status MLM yang anda sertai!


Tiada ulasan: