BRIGED MP SEGAMBUT |
- Serangan ke Jantung UMNO
- Isu hina Sultan: SKMM siasat profesor
- Mustahil Ratu Elizabeth sengaja berpakaian kuning
- DINAR DAN FULUS...
- PAS hanya ikut telunjuk DAP, PKR, UMNO IKUT TELUNJUK GERAKAN MCA?
- kurang ajar pada raja-raja Melayu?
Posted: 17 Oct 2011 07:30 AM PDT Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada sebelah siang, tidak mengalih pandangan untuk perbincangan soal sejarah yang sekian lama dimanipulasi sebagai alat parti pemerintah. Lebih 120 orang memenuhi ruang dewan yang sepatutnya hanya mampu memuatkan 100 orang sahaja. Rata-rata adalah anak muda selain tokoh politik dan ahli akademik. Memandang keadaan dan minat yang tak pernah terasa begini hebat, terutama sejak Reformasi 1998, subjek sejarah kini menjadi hantu yang bergantayangan di kepala pemerintah. "Mampukah sejarah menumbangkan UMNO-BN?" begitu soalan yang kemudiannya menyusul. Terlebih dahulu saya siapkan halaman karangan yang dibahagi-bahagikan kepada hadirin yang hadir. Allahyarham Mat Indera tak ada peluang menjawab satu pun tuduhan dan kata nista yang dilempar kepadanya. Walaupun beliau punya tempoh setahun terdekam dalam penjara - ditangkap pada 1952 sebelum digantung mati pada 1953 - beliau tetap tak mahu tunduk sujud di bawah telapak duli Inggeris. Betapa pun batang tubuhnya diseksa. Orang yang tak pernah dizalimi, mungkin tak mengerti apa artinya kezaliman; namun aneh andai anak bangsa yang pernah ditindas penjajahan, tak merasa peri-perihnya penjajahan. Sungguh tak dapat dimengertikan bagaimana segelintir orang akademik bergelar "profesor" terbelit dengan persoalan mainan istilah dan semantik sehingga ketepi kenyataan bahawa bangsanya pernah dijajah. Hal ini jadi bahan tawaan orang apabila penyataan "Malaysia tak pernah dijajah" dihembur tanpa bukti kajian dan jilid ilmiah terperinci untuknya. Ia hanya dilontar dalam satu sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) dan disusuli satu-dua forum awam. Tujuannya pula lebih hanya untuk meyakinkan rakyat dalam jangka masa pendek; bukan menyatakan kebenaran dan perincian fakta sejarah yang sesungguh-sungguhnya. Dalam kata lain, MPN melalui dua-tiga orang profesor yang bersekongkol menyatakan "Malaysia tak pernah terjajah" lebih berperanan sebagai "orang politik". Bukan sebagai juru akademik dan ilmuan. Sidang media oleh MPN berhubung isu itu diadakan pada 9 September 2011. 12 hari kemudian, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun dihadap ke mahkamah, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam. Bukan kelaziman polemik sejarah jadi perbicaraan mahkamah. Apakah yang sangat ditakuti dengan kenyataan daripada isi ceramah Mat Sabu (gambar kiri)? Atau mengapa ada yang begitu gementar dengan Mat Indera; seorang lelaki guru agama kelahiran Batu Pahat, Johor yang menganggotai sayap Angkatan Pemuda Insaf (API)? Di bawah direkodkan kembali sepotong kenyataan media oleh MPN yang barangkali boleh membuka kotak pandora untuk menjawab soalan-soalan di atas: Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta. Sejak sekian lama, murid-murid sekolah diajarkan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan dengan "jalan rundingan". Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Bapa Kemerdekaan. Tunku adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sejak 1957, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah perikatan tunggal yang memerintah. Parti itu jua yang dikatakan memperolehi kemerdekaan dari Inggeris, dengan jalan rundingan: "merdeka cara aman". Keperluan menyokong UMNO-BN pada hari ini bukan sahaja kerana UMNO-BN telah berjasa memerdekakan tanahair, tetapi kemerdekaan itu tanpa tumpah darah - di sinilah titik khianat di dalam sejarah yang dipertahan segelintir orang itu. Biar bagaimanapun bobrok kepimpinan elitnya, atau dasar-dasar yang sudah tidak sesuai dengan zaman, namun, tetap UMNO-lah yang harus didukung kerananya Malaysia merdeka. Gambaran ini berderai apabila muncul nama Mat Indera. Di belakang nama Mat Indera, tak dapat ditutup lagi hakikat ada pertubuhan dan parti lain, selain UMNO, yang dibentuk lebih awal daripada UMNO, yang, berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Parti-parti seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin diharamkan Inggeris - bagaimanakah Inggeris boleh mengharamkan parti-parti ini kalau bukan Inggeris yang berkuasa? Ini juga satu bukti bahawa tak punya beza pengertian antara "tanah lindungan" dengan "tanah jajahan" macam yang didakwa. Yang dibenarkan bergerak hanya UMNO: sebuah parti yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2, iaitu tempoh waktu untuk "menyambut" kedatangan Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Orang Melayu sebagai kaum majoriti haruslah disatukan di bawah satu pertubuhan politik bagi tujuan itu. Onn Jaafar, si pendiri UMNO, juga akhirnya terhindar keluar apabila beliau melihat bahawa gagasan parti satu kaum akan mendatangkan mudarat bagi masa hadapan Tanah Melayu. Terutamanya selepas merdeka. Buah fikiran parti pelbagai kaum, bukan idea Inggeris; tidak cocok dengan Inggeris, dan kerana itu Dato' Onn harus dikesamping daripada barisan elit UMNO. Malayan Union digemparkan untuk ditubuhkan. Berserta itu, orang-orang Melayu ditakut-takutkan. Terasa pula bahawa Inggeris seakan tidak serius. Inggeris-dengan segala kekuatan yang ada padanya- boleh sahaja meneruskan gagasan Malayan Union kalau mereka mahu; kala mana kuasa sultan-sultan Melayu berada dalam keadaan cukup lemah. Namun kenyataan sejagat pertengahan abad 20 ialah memiliki wilayah jajahan bukan lagi keutamaan mana-mana empayar Eropah. Ketika sama, Barat sudah cukup matang wacananya mengenai imperialisme, kebebasan, hak-hak asasi manusia dan kerakyatan. Daripada perspektif dan latar ini, mencanangkan Malaya Union tak lebih hanya justifikasi agar UMNO (parti anak emas Inggeris) itu jadi releven. Sementara di mata "golongan kiri", tanpa atau dengan Malayan Union, Inggeris tetap penjajah yang harus dihalau. Pengalaman Indonesia tentulah munasabah untuk dijadikan contoh rujukan. Indonesia merdeka dan terbangun sebagai sebuah negara-bangsa pada 1945; 12 tahun lebih awal daripada kemerdekaan Tanah Melayu. Entah apa yang dimaksudkan "radikal" sepertimana dalam kenyataan media MPN, kalau bukan sebermula kenyataan API iaitu "merdeka dengan darah", yang turut dipetik daripada perjuangan nasionalis sebelum Indonesia merdeka. Ia, sesungguhnya lebih awal dari itu… Saudara Syed Shahir mengutarakan pandangan ketika sesi soal jawab. Kemerdekaan India - satu lagi koloni Inggeris - adalah kemerdekaan yang datang daripada semangat penentangan sama, iaitu menolak kerjasama dengan penjajah. India merdeka pada 1947. Mahatma Ghandi, pejuang dan bapa pendiri India berslogan "lakukan atau mati", yang menjadikan sosok tubuhnya sebagai "senjata". Yang dimaksudkan sebagai "lakukan" ("do") adalah "merdeka". Demikian sembang-sembang mengenai "siapa Mat Indera" membuka selera dan semangat baru kepada kita hari ini untuk selidiki lebih mendalam mengenai sejarah bangsa berhubung perjuangan kemerdekaan. Adalah sesuatu yang angkuh bila dikatakan kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu terputus dengan kesedaran di negeri-negeri lain yang sama terjajah, sama ada Indonesia (Belanda), Filipina (Sepanyol) mahupun India (Inggeris), misalnya. Sendal-sendal dan alang-alang sejarah aliran pemerintah pun ada yang mulai patah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak merdeka, dan sejak itu tak pernah sekalipun anak watan dapat melihat sejarah daripada versi yang bukan versi pemerintah UMNO-BN. Catatan dan buku-buku sejarah yang bukan ditulis dan diterbitkan pemerintah, dianggap tidak berwibawa meskipun ditulis oleh individu pencipta sejarah itu sendiri. Misalan yang ada ialah buku Merintis Jalan Ke Puncak, iaitu memoir Ahmad Boestaman. Buku 188 muka surat ini pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Kejora pada 1972. Sejak penerbitan sulung, tidak ada usaha untuk ulang terbitkannya kembali. Di dalam buku itu, turut diceritakan bagaimana PKMM yang mulanya salah sebuah badan gabungan UMNO, keluar daripada UMNO kerana ingin menentukan lambang atau bendera UMNO. Persoalan yang timbul bukanlah tertumpu sangat kepada Sang Saka Merah Putih sepertimana yang dicadangkan oleh KMM, tetapi sistem undian yang memberi hak satu badan dengan dua undi; tanpa mengira kecil atau besar sesuatu pertubuhan berkenaan. Cadangan PKMM, kalah dengan hanya satu undi. Sidang pertama UMNO itu diadakan di Ipoh, Jun 1946. Maka tidak hairan, bagaimana asas bendera UMNO sepertimana yang wujud hari ini adalah daripada Sang Saka Merah Putih, sama seperti bendera Indonesia. Sama juga seperti bendera PAS mahupun bendera Republik Singapura. Hanya bendera UMNO dibubuh lingkung bulat kuning yang di tengahnya diletakkan imej keris tanpa sarung. UMNO adalah parti aliran kanan. Sebuah parti perkauman yang tidak menjadikan slogan "merdeka" sebagai slogan awal mereka. Slogan awal UMNO ialah "hidup Melayu". Slogan merdeka dibawa awal oleh parti-parti kiri, termasuklah PKMM. Hanya selepas mendapati ada ruang di mana Inggeris mahu memberikan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu, barulah UMNO mengguna-pakai slogan merdeka sebagai slogannya. Dengan yang demikian, tidakkah UMNO secara tak sedar menerima dan mengakui bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah kesedaran awal oleh parti-parti dan tokoh-tokoh lain di luar UMNO? Begitulah sejarah yang jelas nyata ini tak juga selesai, demi survival UMNO khususnya. Atas sebab itu jualah, nama pejuang seperti Mat Indera begitu ditakuti. Membuka kenyataan sejarah ini bakal menjadikan teras sejarah UMNO terbongkar dan tercabut. Kesannya psikologinya ialah, generasi muda takkan lagi terasa terhutang budi untuk terus menyokong sebuah parti yang memerintah Malaysia sekian lama. Mat Indera bukan hanya telah menyerang Bukit Kepong, sepertimana 61 tahun lalu. Dia juga kini sedang menyerang titik tengah kekuatan parti pemerintah. Kepada UMNO, barangkali keadaan inilah yang paling ditakutinya. *Karangan ini asalnya adalah bahan bacaan sisipan bertajuk Siapa Takut dengan Mat Indera? yang disediakan untuk forum awam "Malaysia dan Sejarah yang Belum Selesai" anjuran Akademi Pak Sako di Hotel Quality, Shah Alam pada 7 Oktober 2011 (Jumaat), jam 8 malam. **Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat. Tulisan ini dipetik dari Jalan Telawi. |
Isu hina Sultan: SKMM siasat profesor Posted: 17 Oct 2011 02:09 AM PDT Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memulakan siasatan terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah diraja Sultan Selangor baru-baru ini. "Seorang pegawai SKMM akan datang menemui saya di pejabat di Gombak jam 1030 ini. "Mungkin kerana desakan (kolumnis) Awang Selamat dalam MM (Mingguan Malaysia) semalam," katanya kepada Malaysiakini pagi ini. Awang dalam kolumnya di akhbar Umno itu semalam berkata, ada pihak yang sepatutnya diberi tanggungjawab tidak membuat kerja dengan cekap, tegas dan berkesan. Mengambil kesempatan menempelak kenyataan Aziz, Awang berkata isu sebegini sudah banyak kali dibangkitkan dan orang ramai bosan menunggu penyelesaiannya. "Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia seperti biasa akan ada alasannya," tulisnya lagi. Sehingga berita ini dikemaskini, sesi Aziz dengan SKMM masih belum selesai. |
Mustahil Ratu Elizabeth sengaja berpakaian kuning Posted: 17 Oct 2011 01:05 AM PDT Adalah mustahil Ratu Elizabeth II sengaja memakai pakaian berwarna kuning ketika menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya pada 14 Julai lalu. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata demikian terhadap jawapan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay, yang mengandaikan Ratu Elizabeth sebagai 'ceria, gembira, dan bahagia' ketika memakai baju berwarna kuning itu. "Apakah kerajaan mentafsir tanpa membuat kajian? Atau adakah ia secara kebetulan dan tak memberi apa-apa mesej?," Soal Sivarasa dalam soalan tambahannya di Dewan Rakyat, hari ini. Kuning merupakan warna tema Bersih 2.0 yang mengadakan himpunan pada 9 Julai, namun menerima tekanan hebat daripada kerajaan apabila ratusan peserta ditangkap, manakala ribuan yang lain dibelasah dan disembur dengan gas pemedih mata. Selain di Kuala Lumpur, himpunan sama turut diadakan di puluhan bandaraya di seluruh dunia seperti di Kota London, Perth, Australia, Christchurch, New Zealand dan Seoul, Korea Selatan. Tindakan keras kerajaan menangani perhimpunan itu, telah membawa kecaman hebat dunia antarabangsa, termasuk isyarat oleh Ratu Elizabeth ketika menerima kunjungan Datuk Seri Najib Razak dengan berpakaian kuning, Terdahulu, Sivarasa dalam soalan bertulisnya meminta Kementerian Luar menyatakan sama ada tindakan Ratu Elizabeth II itu menjejaskan hubungan Malaysia dengan United Kingdom. Menegaskan tindakan Baginda Ratu England itu tidak boleh dipandang ringan, Sivarasa berkata, setiap reaksi Ketua Negara yang dilawati mencerminkan pandangannya. "Istana Buckhingam ada protokol dan setiap langkah yang dibuat perlu diteliti. Seminggu iaitu pada 9 Julai sebelum Perdana Menteri ke Britain, telah berlaku himpunan di Malaysia. "Malah semasa Najib sampai ada bantahan dari penduduk London dengan berpakaian kuning. Ia tak boleh dipandang ringan. Kerajaan mesti lakukan siasatan," kata Sivarasa. |
Posted: 17 Oct 2011 12:10 AM PDT Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini. "Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian. Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin. Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali. "Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi," tambahnya. Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat. Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas. Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu. Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya. "Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus. "Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat," katanya. Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti. Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai. |
PAS hanya ikut telunjuk DAP, PKR, UMNO IKUT TELUNJUK GERAKAN MCA? Posted: 16 Oct 2011 10:30 PM PDT PAS tidak konsisten dalam perjuangannya untuk menubuh negara Islam apabila dilihat tidak berani bersuara dalam beberapa isu seperti hukum hudud dan murtad, kata ahli parlimen Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom. Beliau berkata parti itu sanggup diperalatkan DAP dan PKR semata-mata untuk kepentingan politik, dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada PAS benar-benar ikhlas memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam, atau sekadar mengikut telunjuk pembangkang yang lain. "Sejak akhir-akhir ini, PAS hanya mendiamkan diri apabila isu kes murtad dan nasib kaum Melayu dibangkitkan, malah parti itu bersikap 'dingin' apabila Umno berhasrat berunding dengan mereka demi perpaduan Melayu dan kepentingan umat Islam," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam. Mengenai hukum hudud, Johari yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kedah, berkata PAS sebenarnya tidak mampu melaksanakannya di negeri yang dikuasai seperti di Kelantan dan Kedah. "Kenapa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, tidak melaksanakan hukum hudud di negeri berkenaan selepas berjaya menawan negeri berkenaan untuk sekian lama? "PAS sekarang dilihat terlalu terdesak sehingga membangkitkan isu-isu lama seperti hukum hudud, realitinya Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum berkenaan sekarang kerana ia memerlukan pandangan ulama-ulama, golongan pakar dalam perundangan Islam dan pandangan dari bukan Islam," katanya. Sehubungan itu, Johari meminta PAS menghentikan permainan politik mereka dan kembali kepada perjuangan asal mereka iaitu untuk menegakkan syiar Islam dan tidak hanya mengikut arahan DAP dan PKR semata-mata untuk menang dalam pilihan raya akan datang. Kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh pada 24 Sept lalu yang menyifatkan Nik Aziz sebagai orang tua yang inginkan perhatian berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, jelas menunjukkan PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama dalam pakatan pembangkang, katanya. Sehubungan itu, beliau meminta PAS menunjukkan pendirian yang jelas dalam isu berkaitan agama Islam dan tidak hanya mendiamkan diri demi mengejar cita-cita politik mereka serta memegang jawatan jika parti itu menang dalam pilihan raya kelak. - Bernama |
kurang ajar pada raja-raja Melayu? Posted: 16 Oct 2011 08:45 PM PDT pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, hari ini, menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidasnya kerana mendakwa tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah adalah perlakuan kurang ajar. "Kata Mahathir saya bersifat kurang ajar, tidak bermoral terhadap raja-raja. Adakah beliau betul? "Cuba bandingkan, apa yang saya katakan dan tulis (mengenai Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama) dengan apa yang diperkatakan dan dilakukannya pada tahun 1983 dan 1993," kata Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini. Sebagai mengimbas semula, kenyataan Aziz yang bertajuk "Ehhh....look who's talking?" menceritakan bagaimana pada 1983, Mahathir meminda perlembagaan supaya undang-undang boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, kuasa menggistiyharkan darurat juga dipindahkan daripada Seri Paduka kepada Perdana Menteri. Semua pindaan itu mencetuskan krisis, katanya. Menurut Aziz lagi, pada 1993, Dr Mahathir juga melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan mahu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas. "Semua pindaan itu juga menimbulkan krisis. "Dalam kedua-dua peristiwa itu, beliau juga menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja (agar rakyat bangkit menyokongnya)," katanya. Dr Mahathir selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Parit, semalam dilaporkan berkata tindakan Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar. Ahkbar milik Umno, Utusan Malaysia juga memetik mantan perdana menteri itu berkata, walaupun ia mungkin tidak menyalahi undang-undang, tindakan Aziz yang enggan meminta maaf atas kesilapannya itu jelas bertentangan dengan prinsip moral. "Kalau dalam bahasa Melayu, kita kata kurang ajar. Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," kata Mahathir. Bagaimanapun menurut Aziz, terpulang kepada rakyat menentukan siapa sebenarnya yang bersikap kurang ajar kepada raja-raja Melayu kerana umum tahu pendirian Dr Mahathir dan Umno yang seringkali tidak tetap dan akan memihak kepada keputusan yang menguntungkan mereka. "Dua tahun lalu, dia (Dr Mahathir) kata OK bagi pihak Istana menyingkirkan (Menteri Besar Perak Datuk Seri) Nizar (Jamalauddin). "Dan awal tahun ini pula, beliau berkata dirinya tidak pernah merampas kuasa sultan dalam pelantikan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Selangor (selepas Sultan bertitah baginda tidak lagi mempunyai kuasa melantik SUK)." Pada 11 Oktober lalu, kenyataan Aziz yang berkata tindakan Sultan Selangor untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu tindakan yang lazim mencetuskan kontroversi. Katanya, tindakan Sultan Selangor itu tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam. Berikutan itu, pemimpin BN, khususnya Umno dan media-media miliknya memperhebatkan bidasan mendesak Aziz memohon maaf dan dikenakan pelbagai tindakan kerana didakwa biadap dan derhaka kepada institusi raja-raja. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan