Selasa, 11 Oktober 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Bekas ketua Umno bebas tuduhan menipu

Posted: 11 Oct 2011 09:25 AM PDT

Bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian Mat Zin Awang hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap tuduhan menipu seorang pengurus besar syarikat sebanyak RM10,000, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Mat Zin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Gua Musang yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan itu.

Hakim Abdul Malik dan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki membenarkan rayuan Mat Zin, yang sekarang merupakan ahli perniagaan, manakala Datuk Azhar Ma'ah menolak rayuan itu.

Mat Zin, yang juga bekas pengerusi eksekutif Kesedar Perkilangan Sdn Bhd, didakwa memperdayakan Rosdy Abd Rahman untuk menyumbangkan RM10,000 kepada tabung Umno Bahagian Kuala Krai, dengan mendakwa ia diminta oleh ketua bahagian Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bazar Gua Musang antara 3 Feb dan 8 Feb, 2000.

Pada 4 April 2004, Mahkamah Sesyen Gua Musang mendapati Mat Zin bersalah terhadap tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun.

Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kota Baharu di mana pada 11 Ogos tahun lepas telah menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Apabila diminta mengulas berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Mat Zin, yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd Bukhari, berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu yang telah membersihkan nama dan imej beliau serta keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi bertindak bagi pihak pendakwaan.

- Bernama

WAJAR TURUN DEMO 3NOV INI

Posted: 11 Oct 2011 04:56 AM PDT


Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket di seluruh negara pada 3 Nov untuk membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu, kata presidennya Mohd Khalid Atan.

Beliau berkata keputusan untuk berpiket di seluruh negara diputuskan malam semalam pada mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil dari lebih 100 kesatuan.

NONE"Kita putuskan untuk berpiket di seluruh negara kerana Kementerian Sumber Manusia berkeras untuk meneruskan pindaan itu walaupun kita minta ditangguhkan agar lebih banyak perbincangan boleh dibuat mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya MTUC membantah dengan kerasnya pindaan itu dan telah menghantar surat meminta menangguhkan pindaan tersebut kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Negara (NLAC) 3 Okt sebelum kira-kira 200 anggota MTUC berpiket di luar Parlimen hari itu.

"Ramai pekerja dan pemimpin kesatuan tidak berpuas hati dengan kementerian itu yang tidak menghiraukan bantahan kita terhadap cadangan pindaan tersebut dan meneruskan pembentangan. Sehubungan itu, kita putuskan untuk mengadakan piket bagi menunjukkan betapa kita tidak puas hati," tambah beliau.

NONEMohd Khalid berkata MTUC akan juga menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyatakan alasan mereka menolak pindaan itu.

Antara bantahan ialah kesatuan sekerja mendakwa pindaan itu membenarkan penggunaan syarikat menyumberan.

Selain itu, MTUC juga mahu cuti bersalin dinaikkan dari 60 hari ke 90 hari dan peraturan mengenai gangguan seksual tidak terdapat dalam pindaan terkini.

Bagaimanapun, Dr Subramanian ketika membentangkan pindaan itu minggu lalu, menerangkan pendirian kerajaan dalam memasukkan peruntukan yang menghendaki pendaftaran kontraktor buruh.

Beliau berkata memasukkannya bukan untuk menggalakkan penyumberan buruh seperti yang dikhuatiri MTUC, tetapi bagi memastikan perlindungan bagi hak-hak pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor khasnya dalam sektor perladangan.

NONEDewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan pada 6 Okt. Rang Undang-undang itu dijadual dibentangkan di Dewan Negara pada persidangan Disember ini.

Kali terakhir MTUC berpiket ialah pada 2007 mengenai isi gaji minimum di sektor swasta.

- Bernama

GENERASI PORNO BAKAL DILAHIRKAN?

Posted: 11 Oct 2011 12:52 AM PDT

Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

NONEMenteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

azlanBerikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Prof Datuk Husin Jazri berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya melibatkan penipuan.

azlanBeliau berkata jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.
Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

"Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang.  Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya.

- Bernama

Hasan Ali lega tindakan JAIS tepat

Posted: 10 Oct 2011 10:11 PM PDT

Titah Sultan Selangor bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak betul ketika pemeriksaan ke atas sebuah gereja di Damansara Ogos lalu, menyangkal dakwaan bahawa pegawai penguatkuasa JAIS membelakangkan peraturan dan undang-undang, kata exco Selangor, Datuk Hasan Ali.

pkr taman ehsan selayang ceramah 020810 hasan aliBeliau yang menyambut baik titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu juga menghargai komitmen baginda dalam mempertahankan kesucian agama Islam di negeri ini.

"Baginda Sultan menzahirkan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap Islam khususnya yang berkaitan dengan akidah ummat.

"Saya juga berasa lega dengan titah baginda sultan, bahawa siasatan JAIS itu telah dilakukan mengikut lunas undang-undang," kata Hasan dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, titah sultan itu juga mencerminkan ketegasan baginda agar tiada lagi insiden pemesongan akidah membabitkan umat Islam berlaku di negeri Selangor.

"Baginda sultan mahukan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung dalam isu ini supaya bertindak secara profesional.

azlan"Saya akan mengadakan pertemuan dengan pengarah JAIS dan Ketua Penguatkuasa Agama bagi menyelami dan mengambil iktibar dari isi kandungan titah tersebut.

"Saya juga akan menentukan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan yang akan dilakukan mestilah menggunakan sistem pengurusan berprestasi tinggi dan peralatan yang canggih supaya setiap kes yang diambil dapat dipertahankan di muka keadilan.," katanya.

JAIS sebelum ini mengesahkan tidak akan mendakwa semua 12 umat Islam yang ditahan semasa pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), 3 Ogos lalu berikutan tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Datin Seri Rosmah tinjau bajet?

Posted: 10 Oct 2011 10:00 PM PDT

PUTRAJAYA: Kehadiran Datin Seri Rosmah Mansor dalam perjumpaan tertutup dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan, menimbulkan tanda tanya dan kecaman pelbagai pihak.
Ia terbongkar apabila nama isteri Datuk Seri Najib Razak tertera dalam senarai kehadiran dalam berita yang dilapor agensi berita rasmi, Bernama pada 6 Oktober lalu.
Mengikut laporan itu, Rosmah hadir ketika suaminya itu meninjau operasi persiapan terakhir Belanjawan 2012 di Kementerian Kewangan, sehari sebelum belanjawan dibentang.
Malah pada berita itu, nama Rosmah mendahului Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, timbalan-timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai.
Perbuatan Rosmah yang selama ini mengaku sebagai First Lady of Malaysia (FLOM), dikecam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan mempersoal kehadiran Rosmah dalam lawatan tersebut.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata tindakan Rosmah semakin melampau kerana mencampuri urusan negara terutama melibatkan ekonomi.
"Ini tak pernah dilakukan mana-mana isteri PM kerana ia membabitkan menteri di kementerian yang berkaitan ekonomi dan hal ehwal negara.
"Saya mendesak supaya Najib maklumkan apa peranan Rosmah. Apakah dia pakar runding? Atau Menteri Kewangan Kedua yang sebenar? Rosmah tidak perlu menyibuk kerana dia hanya isteri dan tidak ada kuasa eksekutif," katanya.
Penglibatan Rosmah itu turut dikecam dalam laman sosial twitter.
"Siapa Rosmah Mansor untuk hadir dalam meeting bajet?" kata seorang pengguna akaun twitter, Emmiza.
"Tak boleh beza Mesyuarat Sulit Belanjawan Negara sampai Rosmah boleh hadiri? Prihatin pada negara agak-agak la sampai mesyuarat sulit kewangan negara diketahui Rosmah," kata pengguna akaun Ikhwan Hafiz pula.

Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam

Posted: 10 Oct 2011 07:07 PM PDT

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata tindakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu tindakan yang lazim.

NONEMenurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

"Seseorang akan berfikir sama ada dengan meletakkan umat Kristian dalam kedudukan itu - sesuatu yang tidak dapat dielakkan berikutan serbuan ke atas DUMC - adalah benar-benar mengikut ajaran Islam.

"Lebih-lebih lagi, campurtangan istana dalam perlembagaan negara amat jarang sekali. Apa yang berlaku di Selangor hari ini bukan sesuatu yang lazim.

"Sebelum ini, pernah terjadi kejadian yang lebih teruk seperti bekas menteri besarnya merobohkan surau tertentu di Selangor. Tetapi pihak istana tidak campurtangan," katanyanya dalam satu kenyataan sms kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, menurut Aziz yang telah menghasilkan tesis, buku dan artikel mengenai peranan monarki dalam Islam dan demokrasi, beliau sependapat dengan biskop Katolik Paul Tan Chee bahawa jika tiada bukti, maka kes berkenaan perlu ditutup.

NONE"Di bawah undang-undang atau sistem undang-undang mana-mana sekalipun, jika tiada bukti, kes ditutup. Tohmahan dan dakwaan lanjut dan sebagainya, mesti dielakkan, khususnya di negara seperti Malaysia," katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan dalam hasil siasatan JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun, titah baginda, bukti yang diperolehi tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Menurut Aziz, walaupun Sultan Selangor dilihat melaksanakan kuasanya, namun tindakan baginda itu dilihat tidak konsisten.

"Yang pasti, baginda menerima kuasanya diambil (oleh kerajaan persekutuan) dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa sebarang bantahan atau aduan. Daripada apa yang dilaporkan, baginda menerima perkara itu sebagai fait accompli.

"Bagi saya, istana perlu melihat kuasanya dengan gambaran yang lebih luas; iaitu peranannya sebagai simbol negeri dan faktor penyatuan yang mesti mengatasi parti politik. Ia tidak boleh mengambil kuasa secara isolation (terasing).

"Apa yang berlaku hari ini, adalah contoh yang baik."

Pakatan mahu bawa isu Kg Baru kepada Agong

Posted: 10 Oct 2011 05:04 PM PDT

Walaupun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar isu berkaitan akta berkenaan diketengahkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melengahkan perkenan baginda kerana perkara itu "menyentuh isu kepentingan penduduk Melayu".

"Dia (kerajaan) lulus, dia boleh lulus. Sekarang ia masih di peringkat Dewan Negara (sebelum digazetkan). Kemudian (perlu) perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berbincang dengan Salahudin Ayub, boleh jadi perkara ini akan diketengahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor untuk melengahkan (supaya) tidak mengeluarkan kelulusan.

"Ini kerana (ia) menyentuh isu (kepentingan dan masa depan orang) Melayu dan penduduk Melayu (di situ)," katanya dalam majlis penerangan "Selamatkan Kampung Baru" malam tadi.

Bagaimanapun Anwar dalam ucapan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru itu, tidak menyatakan bila Pakatan Rakyat yang diterajuinya akan berbuat demikian.

Menyifatkan cadangan itu sebagai "saluran sementara", Anwar berkata apa yang lebih penting tindakan itu dibuat bagi memastikan akta tersebut "tidak sempat dilaksanakan dengan sepenuhnya".

"Kita nak beritahu bahawa rakyat ada pilihan," tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh kira-kira 500 penduduk Kampung Baru yang hadir pada majlis tersebut.

Turut bersama adalah tiga ahli parlimen Pakatan iaitu Salahudin Ayub (Kubang Kerian), Tian Chua (Batu) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak).
Gagal sekat

Rabu lalu, ahli Parlimen Pakatan Rakyat gagal menyekat Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 apabila ia diluluskan menerusi undi belah bahagian.

Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 72 ahli parlimen menyokong manakala hanya 28 yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Dalam ucapannya lagi, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mempersoalkan tindakan kerajaan menarik balik draf undang-undang tersebut yang dibentangkan sebelum ini.

"(Kerajaan) kena dengar pendapat rakyat (terlebih dahulu).  Kena tengok dari segi undang-undang dan apa implikasinya (kepada rakyat)

"(Kehendak rakyat) mesti difahami, sebelum buat sesuatu," katanya sambil menambah tidak perlu  "kuasa mutlak" diberikan menteri untuk membangunkan  di kawasan itu

Sehubungan itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berjanji sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya akan datang, pihaknya akan "membatalkan" undang-undang baru tersebut.

Mengimbau sejarah pembangunan di Kampung Baru, bekas timbalan perdana menteri itu menceritakan  jasa  bekas menteri besar Selangor Allahyarham Datuk Harun Idris membantu membangunkan ekonomi orang Melayu.

Anwar menegaskan sepatutnya pemimpin Umno mencontohi Harun yang berusaha menolong orang Melayu, seperti memberi bantuan dalam bentuk pinjaman kewangan kepada penduduk di situ, yang mana ketika itu Kuala Lumpur berada di bawah Selangor.
MB diminta bantu
Beliau yang juga penasihat ekonomi negeri itu  turut mencadangkan kepada Khalid supaya segera membantu penduduk Kampung Baru melalui anak-anak syarikat, berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar.

Anwar berharap perbincangan antara anak-anak syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor dapat diadakan demi kepentingan penduduk selewat-lewatnya sebelum solat Jumaat.

Beliau mengulas syor Khalid yang berucap sebelum itu, berhubung komitmen kerajaan Selangor untuk memberi "sokongan profesional" kepada penduduk Kampung Baru.

Sementara itu, Salahudin pula menempelak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahtaraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang disifatkan sebagai 'sombong'.

Ini kerana dakwanya, menteri itu tidak memberi peluang kepada pemimpin pembangkang untuk mencelah membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Memanglah mengikut peraturan mesyuarat, nak bagi jalan atau tidak itu hak menteri kepada kita (untuk) membahaskan rang undang-undang itu.

"Memang hak dia, kita tidak menafikan hak dia. Tetapi rang undang-undang yang menentukan masa depan orang Kampung Baru, yang dia adalah menteri wilayah persekutuan," katanya.

Pada sidang media selepas majlis tersebut, Khalid berkata beliau bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bertindak di bawah pejabat menteri besar dengan kerjasama antaranya PKNS dan Perbadanan Negeri Selangor Berhad untuk membantu membangunkan Kampung Baru.

Beliau turut mengumumkan seorang wakil kerajaan negeri yang kini sebagai adalah lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diarahkan memantau sebarang keputusan dewan tersebut berhubung pembangunan di situ.

"Beberapa rakan profesional dari kumpulan peguam menolong jawatankuasa ini untuk memahami dan merancang. Kumpulan perancang yang akan memberi idea perancangan (pembangunan) dan projek analisis," katanya.

Khalid berkata jawatankuasa itu akan bertindang bermula  hari ini (Selasa) atau lusa.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kampung Baru mempunyai hubungan sejarah dengan negeri itu melalui Malay Agriculture Settlement Act yang dibuat semasa kampung itu berada dalam Selangor.

"(Oleh itu) akta tersebut sebagai asas untuk menggembleng pemilik tanah (mengenai) apa yang mereka perlu lakukan dalam usaha pembangunan di Kampung Baru dan masyarakat di situ.

"Daripada pemahaman saya, undang-undang yang dikemukakan sekarang mesti dibaca dengan undang-undang yang sudah ada. Antara undang-undang itu adalah Malay Agriculture Settlement (MAS) Act... Itu asasnya.

"Sebab itu saya rasa ada peluang untuk kita menggunakan akta MAS sebagai asas untuk kita mencari jalan pembangunan yang boleh diterima oleh masyarakat di Kampung Baru," katanya.

Tiada ulasan: