Khamis, 6 Oktober 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Saya tertidur dua tiga minit sajeeee... kata Brahim Ali..

Posted: 06 Oct 2011 04:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 6 Okt. — Setelah gambarnya tertidur semasa Dewan Rakyat bersidang semalam disebarkan dalam Internet, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) hari ini menjelaskan bahawa beliau terlelap seketika akibat mengambil ubat disebabkan demam dan tidak sihat.

"Saya tertidur dua tiga minit sahaja tapi gambar itu tersiar di seluruh negara seolah-olah saya ini selalu tidur di Dewan Rakyat.


"Punyalah tidak ada modal untuk menyerang saya dan begitu marah dengan Perkasa (yang dipimpinnya), saya tertidur dua tiga minit pun mahu diambil gambar," katanya pada persidangan dewan itu hari ini.

Ibrahim yang membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011, berkata beliau kasihan dengan individu yang cuba menyerangnya menerusi penyebaran gambar itu, sedangkan umum tahu beliau merupakan antara Ahli Parlimen yang aktif.

"Kalau nak burukkan saya pun carilah isu yang munasabah, tetapi apa pun serangan, ini merupakan penghormatan kepada saya," katanya sambil tertawa.

Perbuatan mengambil gambar Ibrahim itu mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, yang berkata ianya adalah satu kesalahan. — Bernama


Anwar sukar bongkok, pergerakan pinggang terhad – Pakar tulang

Posted: 06 Oct 2011 04:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pakar tulang belakang yang merawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jerman pada 2004, mengesahkan Ketua Pembangkang itu masih mengalami sakit belakang.

Ia menyebabkan Anwar sukar untuk membongkok dan mengehadkan pergerakan belakang dan bahagian leher beliau.

Dr Thomas Hoogland, menjelaskan perkara itu ketika dipanggil sebagai saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.


Menurutnya, beliau membedah Anwar pada 6 September 2004 di kliniknya di Munich, Jerman. Anwar berada selama tiga minggu bermula tarikh itu hingga 27 September 2004.

Tiga bulan selepas itu pada Febuari 2005, Anwar sekali lagi datang ke kliniknya dan beliau mendapati Anwar masih mengalami sakit belakang.

Hoogland berkata, Anwar mengalami kemerosotan tulang belakang, yang memberi kesan kepada kaki dan tangan pesakit. Saksi itu berkata semakin lama saraf terganggu, semakin besar kemungkinan ia akan menyebabkan kehilangan fungsi berikutnya.

Menurut diagnosisnya, laluan saraf pada (lumbar) cakera tulang belakang Anwar yang dikenali sebagai C5 dan C6 semakin mengecil.

Malah, fungsi tulang belakang Anwar juga semakin merosot menyebabkan kehilangan sebahagian fungsi pada lumbar tulang belakang keempat dan kelima, dan juga kemerosotan saraf, kata Dr Hoogland.

"Ada masalah stenosis pada cakera C5 dan C6. Beliau mengadu sakit pada bahagian belakang.

"Kerosakan saraf, stenosis mengehadkan pergerakannya, dan kerosakan kepada sendi (tulang belakang) juga menyebabkan masalah berterusan," kata Dr Hoogland.

Ketika ditanya samada masalah itu akan berulang semula, Hoogland berkata ia pada kadar 5 hingga 20 peratus.

Hoogland berkata, kemerosotan tulang bukan satu proses semula jadi, tetapi ia adalah perkara biasa.

Menurutnya lagi, Anwar mempunyai masalah untuk membongkok ke hadapan dan melakukan pergerakan, justeru itu beliau menasihati Anwar supaya melakukan solat secara berhati-hati dan perlahan.

Ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini, laporan perubatan dan pembedahan yang dijalankan pakar itu turut ditandakan sebagai bahan bukti.

Hoogland telah menulis sebanyak lima buku mengenai pembedahan tulang belakang dan merupakan ahli Persatuan Orthapaedik Jerman.

Beliau tamat pengajian perubatan pada tahun 1972 dan memulakan latihan ortopaedik di Amerika Syarikat pada tahun berikutnya.

Sehingga ke hari ini, beliau memberitahu mahkamah sudah menjalankan kira-kira 14 ribu pembedahan tulang belakang.


http://www.keadilandaily.com/?p=21475

BN Boleh Kalah Dalam PRU13 - Chandra Muzaffar

Posted: 06 Oct 2011 03:44 AM PDT

Barisan Nasional (BN) bukan sekuat yang disangka. Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar yang berkata demikian menjelaskan, BN boleh dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jika pembangkang menggunakan strategi yang betul.

"Pada 2008, pembangkang sudah berjaya menafikan penguasaan dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat. Ini kali pertama berlaku dalam sejarah negara, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.

"Pada saya, kekalahan BN di banyak kerusi pada masa itu bukan atas sebab pembangkang kuat tetapi kerana berlaku masalah dalam BN sendiri," katanya.


Antara sebab itu, kata Chandra yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada PKR) ialah kerana pemimpin BN sering menganggap mereka berada dalam zon selesa dan akan sentiasa mendapat sokongan rakyat.

"Mereka terlupa pada masa itu faktor ekonomi tidak berpihak kepada mereka. Kenaikan harga minyak menyebabkan hidup rakyat semakin terhimpit, menyebabkan mereka marah kepada kerajaan. Undi protes banyak membantu memenangkan calon pembangkang pada pilihan raya itu," katanya.

Chandra berkata, pemimpin BN bagaimanapun kini dilihatnya sudah tersedar bahawa mereka perlu sentiasa mendekati rakyat untuk memastikan apa yang berlaku pada PRU-12 tidak lagi berulang.

"Kita dapat lihat keadaan semakin baik bagi BN yang dibuktikan menerusi kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini," katanya.

Menurut Chandra, undi orang Melayu yang kembali semula kepada BN semakin meningkat, begitu juga orang India.

"Ini menunjukkan BN berada di landasan yang betul," katanya.

Berbanding kerusi Parlimen yang menurutnya BN berpeluang untuk kembali menguasai majoriti dua pertiga, Chandra bagaimanapun mengakui sukar untuk meramal keupayaan BN merampas semula pemerintahan negeri yang kini di bawah PR.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan meramalkan peluang BN untuk menang dan kekal berkuasa jika PRU-13 diadakan dalam masa terdekat, boleh dianggap tipis.

Katanya, ini berikutan masih wujud pelbagai gejala negatif dalam parti komponen utama BN, Umno seperti budaya cantas mencantas yang kini berada pada tahap kritikal.


Sinar Harian

Tiada saksi, polis langgar SOP dilepaskan

Posted: 05 Oct 2011 09:15 PM PDT



Pihak polis telah mengenal pasti anggotanya pada perhimpunan BERSIH 2.0, 9 Julai lalu didakwa menggunakan kekerasan yang berlebihan dalam usaha cuba menyuraikan penunjuk perasaan itu.


Ketika dihubungi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Ku Chin Wah berkata laporan polis telah dibuat ke atas anggota itu - yang didapati memakai bandana (kain tutup muka) semasa perhimpunan itu - tetapi tiada pendakwaan akan dilakukan.

"Perkara ini telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan tiada tindakan selanjutnya boleh diambil terhadapnya kerana ketiadaan saksi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang menyatakan "menyerang atau menggunakan kekerasan yang berlebihan kecuali diprovokasi secara serius" adalah suatu kesalahan.

Di bawah undang-undang ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 ringgit atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun, pegawai yang ingkar itu akan tertakluk kepada tindakan tatatertib kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menyuraikan orang ramai.

Berikutan perhimpunan itu, gambar-gambar dan video berhubung penyalahgunaan kuasa polis membanjiri internet, terutamanya pada laman web rangkaian sosial popular Facebook.

Antara gambar yang dirakamkan menunjukkan seorang anggota polis yang memegang sepasang gari dalam genggaman beliau dengan mukanya ditutup dengan sehelai sapu tangan yang besar, atau bandana.

Menurut beberapa pengguna Facebook, polis bertopeng yang digambarkan itu juga tidak mempunyai nama atau nombor keanggotaannya yang disulam pada pakaian seragamnya.

Video yang dimuat-naik di laman web perkongsian video YouTube kemudian menunjukkan 'apa yang kelihatan seperti orang yang sama' menumbuk dua peserta perhimpunan sebanyak dua kali di bahagian perut mereka.

Lelaki itu dilihat menyerang mangsanya tanpa berlaku sebarang provokasi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan individu itu adalah orang yang sama yang dirujuk oleh Ku.

Malaysiakini juga tidak dapat memastikan sam ada individu berkenaan adalah orang yang sama yang akan menghadapi tindakan disiplin seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berhubung kejadian di Hospital Tung Shin.

Isnin lalu, siasatan dalaman Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa pihak polis telah melanggar garis panduan operasi polis (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam, berkata anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.

Laporan itu juga mengesahkan bahawa meriam air dan bom asap polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin.

Malaysiakini

Pakar Tulang Dr Thomas Hoogland dipanggil sebagai saksi Anwar

Posted: 05 Oct 2011 08:22 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak permohonan mengenepikan sepina oleh Perdana Menteri dan isterinya supaya hadir menjadi saksi perbicaraan.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu dengan menyatakan kedua mereka tidak relevan sebagai saksi dalam kes berkenaan.


Permohonan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor itu dibuat menerusi peguam mereka dengan mendapat sokongan penuh pihak pendakwaraya.

Bagaimanapun peguam yang diketuai Karpal Singh membantah permohonan itu dengan menegaskan bahawa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah berjumpa Najib, empat hari sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun 2008.

Selepas hakim membuat keputusan, pakar tulang belakang dari Jerman, Dr Thomas Hoogland dipanggil sebagai saksi peguam bela. Beliau dijangka akan memberi keterangan berhubung tahap kesihatan dan fizikal Anwar.

Berikut kronologi perbicaraan di mahkamah hari ini:

9.29: Galeri awam dipenuhi hadirin dan juga wartawan.

9.35 pagi: Mahkamah bersidang. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membacakan keputusan beliau terhadap permohonan mengenepikan perintah sapina oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Permohonan Najib dan isteri dibenarkan mahkamah.

9.44 pagi: Mahkamah terus bersidang untuk kes Fitnah II. Peguam-peguam yang mewakili Najib dan Rosmah beredar meninggalkan mahkamah.

9.45 pagi: Saksi ketujuh pembela, pakar tulang dari Jerman, Dr Thomas Hoogland mengambil tempat di kandang saksi.

9.46 pagi: Dr Thomas mengangkat sumpah dan memberitahu beliau berumur 66 tahun.

Beliau tamat pengajian perubatan pada tahun 1972 dan pada tahun 1973 memulakan latihan ortopaedik di Amerika Syarikat.

Sehingga ke hari ini, beliau memberitahu mahkamah beliau sudah menjalankan kira-kira 14 ribu pembedahan tulang belakang.

9.54 pagi: Menurut Dr Hoogland, beliau pernah memberi keterangan dalam mahkamah sebelum ini dan keterangan beliau diterima mahkamah.

Kali terakhir beliau memberi keterangan di mahkamah adalah sekitar bulan Julai lalu di County Court Oklahoma City.

9.57 pagi: Dr Hoogland menerangkan struktur tulang belakang manusia menggunakan model rangka tulang manusia dalam mahkamah.

Menurutnya, tulang belakang manusia ada 7 vertebra, 12 torasik dan 5 vertebra lumbar.

10.17 pagi: Dr Hoogland pertama kali merawat kecederaan tulang belakang Anwar dalam bulan April 2001.

Rawatan seterusnya adalah pada bulan September 2004 selepas Anwar dibebaskan dari penjara.


http://www.keadilandaily.com/?p=21417

Tuduhan Liwat : Najib dan Rosmah diselamatkan Mahkamah.

Posted: 05 Oct 2011 07:45 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

"Justeru, saya benarkan permohonan itu dan arahkan perbicaraan disambung," katanya.

Najib dan Rosmah diwakili oleh peguam Ghazi Ishak, Hisyam Teh Poh Teik, Salehuddin Saidin, M Athimulan dan Affifuddin Mohd Afifi.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Malaysiakini

Lihatlah wahai sahabat!! Inilah hasil tarbiyah UMNO!!

Posted: 05 Oct 2011 10:24 AM PDT



Tulis seorang sahabat yang bergerak aktif dalam Hizbut Tahrir Malaysia..

Walau apa sekalipun alasan manis yang diberikan oleh pemerintah di dalam menolak hudud, hakikatnya sejak dimerdekakan oleh British pada tahun 1957, tidak ada satu usaha atau langkahpun yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan hudud dan syariat Islam yang lainnya.


Inilah sebenarnya halangan utama untuk menerapkan Islam dalam sesebuah negara yakni keengganan pemerintah Muslim itu sendiri untuk menerapkannya.

Semua orang tahu bahawa kuasa untuk menerapkan sesuatu undang-undang itu ada di tangan pemerintah.

Merekalah pihak yang menentukan sama ada ingin menerapkannya atau tidak. Walaupun terdapat sedikit sebanyak halangan dari orang-orang kafir, baik dari dalam mahupun luar negara terhadap penerapan Islam, namun halangan yang terbesar hakikatnya datang dari pemerintah Muslim itu sendiri.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan adanya ulama yang dibayar gaji oleh pemerintah untuk bercakap 'senada' dengan apa yang pemerintah mahukan.

Walaupun bergelar ulama, namun mereka sering mengeluarkan fatwa atau pendapat yang menyokong kerajaan sekular di dalam mengekalkan sistem secular yang sedia ada yang sekaligus menunjukkan keengganan dan penolakan halus mereka terhadap penerapan hukum Allah.

Baik umara'(pemerintah) mahupun ulama yang ada, kedua golongan ini seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkan Islam, namun apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar mengeluarkanalasan itu dan ini untuk tidak menerapkan Islam.

Betapa buruknya mereka! Dengan alasan-alasan inilah mereka telah mempengaruhi masyarakat agar sama-sama tidak menerapkan Islam sehingga berapa ramai dari kalangan kaum Muslimin sendiri yang telah mengemukakan alasan yang sama untuk tidak menerapkan hukum Allah.

Lihatlah wahai sahabat!! Inilah hasil tarbiyah UMNO..

Kenyataan beberapa artis mengenai perlaksanaan Hukum Hudud..

"Rasanya ramai terkejut mendengar berita ini,jika ia benar-benar dijalankan di Negara kita satu masa nanti. Hukum Hudud memanglah sudah termaktub dalam undang-undang Islam, tetapi susah juga kalau kita nak ikut. Banyak perkara perlu diambil kira kalau hukum Hudud dilaksanakan nanti, macam manapun kita tak boleh haling sekiranya ia berlaku" Ayu Raudah.

"Memanglah zaman dulu orang Islam mengamalkan hukum Hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina hukuman sula akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang ia tak sesuai, Malah kita wajar memberi peluang kepada pesalah untuk berubah. Kalau hukum hudud dijalankan, Pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya. Bagaimanapun semua ini tidak menjamin mereka akan insaf sepenuhnya." Enot

"Kalau nak melaksanakan hukum Hudud banyak perkara perlu diberi pertimbangan dan penilaian. Kita kena lihat keberkesanan hukum ini dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, mungkin di Negara Arab ia sesuai dijalankan kerana mereka sudah biasa mengamalkannya sejak dahulu lagi. Tetapi jika kita baru hendak melaksanakannya di sini, pasti ramai tak dapat terima. Bagaimanapun hukum hudud ditetapkan dalam Islam dan perbezaan zaman banyak meninggalkan impak terhadap hukuman ini" Heliza AF.

"Bagi saya, bila isu ini mula diperkatakan, rasanya ramai tidak setuju untuk melaksanakan hukum Hudud sekarang. Memang tidak dinafikan hukum Hudud sudah tertulis dalam agama kita tetapi tidak wajar dilaksanakan terus. Mungkin ia boleh dicuba terlebih dahulu oleh pihak berkenaan, contohnya mereka boleh laksanakan disesebuah negeri dahulu. Jika dilihat baik dan memberi banyak menafaat barulah diteruskan, tetapi jika sebaliknya pihak berkenaan perlu menghentikan hukum tersebut. Lagipun banyak penganut agama lain yang menetap disini, rasanya hukuman sebegini tidak boleh dilaksanakan kepada mereka lagipun kita sama-sama hamba, Allah S.W.T. yang berikan kita peluang untuk berubah" Aziz Sattar

Alasan yang mereka berikan kebanyakkannya datang dari Propaganda UMNO..

Ringkasnya, apa yang wajib kita ikuti adalah "nas", bukannya "keadaan". Kita perlu tunduk kepada nas, bukan kepada keadaan. Pihak yang mengemukakan alasan bahawa perlu wujud suasana kondusif baru boleh diterapkan Islam, hakikatnya telah meletakkan Islam itu 'tunduk' kepada suasana, walhal suasana (dan manusia) itulah yang wajib tunduk kepada Islam!!!

Sebagai Muslim, kita wajib ingat bahawa hukum Allah yang wajib diterapkan itu bukanlah hudud semata-mata dan kita wajib meyakini bahawa hukum Allah, apa sekalipun ia, baik kecil mahupun besar, baik ibadat mahupun akhlak, baik hudud mahupun muamalat, kesemuanya adalah sesuai diterapkan pada setiap masa, tempat dan suasana, dari mula Islam diturunkan hinggalah ke hari manusia dibangkitkan.

Firman Allah, "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal (hukum) siapakah yang lebih daripada hukum Allah, bagi orang-orang yang yakin" [TMQ al-Maidah (5):50].

Setelah jelas ayat-ayat Allah kepada kita semua, mengapakah masih ada umat (dan gerakan) Islam yang masih terus memberi alasan dan masih terus mempertikaikan kesesuaian penerapan hukum Allah.

Ittaqullah ya ayyuhal Mukminun, ittaqullah....

Tiada ulasan: