Selasa, 6 September 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Posted: 06 Sep 2011 07:24 AM PDT

Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Er Teck Hwa | Sep 06, 2011

Tragedi Bukit Kepong bukan hanya sekadar membuktikan siapa benar atau siapa salah semata-mata. Peristiwa telah pun berlaku, sejarah telah merekodkan tragedi ini. Lebih daripada itu, Bukit Kepong menuntut perhatian masyarakat betapa tapak warisan sejarah kemerdekaan Negara ini telah dibiarkan sepi dan terbiar tanpa perhatian sesiapa.

Menyelusuri tapak Rumah Pasung Bukit Kepong tersebut kita akan dapat melihat warisan sejarah ini menjadi usang. Sejak dilanda tragedi Banjir Besar tahun 2006, tidak kelihatan tanda-tanda usaha pemuliharaan serius terhadap tapak warisan ini. Bahkan, terdapat perancangan untuk membaikpulih tapak warisan sejarah ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Tetapi, entah mengapa perancangan itu telah tidak menjadi kenyataan.

Walaupun saya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, namun saya amat menyedari kepentingan warisan bersejarah Negara kepada tatapan generasi akan datang. Atas keinsafan tersebut maka saya telah mengadakan lawatan ke tapak tesebut dua minggu selepas Bencana Johor 2011 dan membuat pertanyaan mengenai isu pembaikpulihan di dalam Sesi Perbahasan di Dewan Rakyat berhubung perkara ini pada bulan Mac. Malah Timbalan Menteri secara sinis mengatakan beliau tidak menyediakan jawapan lisan sambil tertawa. (Rujuk kepada DR 11.03.15 Mukasurat 38 dan DR 11.03.21 Mukasurat 142)

Jawapan bertulis yang diberikan oleh pihak Timbalan Menteri adalah isu ini bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi sebaliknya merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Persoalan, adakah Jabatan Warisan Negara terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri?

Di manakah keseriusan kita mempertahankan khazanah warisan sejarah Negara? Atau kita hanya menjadi jaguh retorik yang menjerit mengalunkan lagu perjuangan hanya untuk kepentingan politik sendiri sahaja? Cukuplah bersandiwara. Jangan jadikan nasib Balai Muzium ini seperti sebiji bola yang boleh ditendang kepada sesiapa sahaja. Tindakan pemuliharaan perlu dilakukan segera.

Jika di Eropah, kawasan-kawasan warisan Sejarah ini akan dipelihara dan dipulihara agar generasi akan datang dapat melihat sendiri monument atau bangunan bersejarah tersebut sama ada untuk membuat kajian ataupun sekadar menziarahi. Malahan, terdapat satu Istana di Cornwall (Tintagel Castle), United Kingdom yang dijaga rapi sebagai tapak warisan sejarah King Arthur walaupun kisah King Arthur ini masih menjadi perdebatan sama ada ia benar-benar berlaku ataupun lipur lara masyarakat.

Di Malaysia, sebuah Negara yang telah mengecapi erti Kemerdekaan selama 54 tahun, aspek pemuliharaan monumen atau tapak bersejarah sering tidak mendapat tempat di hati Pemerintah. Tidak diangkat sebagai tapak warisan Negara. Contoh popular adalah kompleks Penjara Pudu yang telah menjadi mangsa kerakusan kapitalis tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak terbabit. Akhirnya kini, Penjara Pudu akan hanya tinggal dalam teks-teks sejarah sahaja.

Pemerintah hari ini dan Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi melalui Jabatan Warisan Negara perlu lebih serius dalam memulihara tapak bersejarah Bukit Kepong ini. Sangat menyedihkan dan malang sekali tatkala kita hebat berbahas di laman maya, di kedai kopi mengenai siapa benar atau siapa salah semasa tragedi Bukit Kepong tetapi monumen dan segala khazanah bersejarah yang tersimpan di Balai Muzium Bukit Kepong tersebut terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya.

Polemik dan perdebatan siapa benar dan siapa salah ini tidak akan berkesudahan, tetapi nasib Balai Muzium Bukit Kepong ini dan khazanah berharga Kemerdekaan Negara di dalamnya akan terus menjadi mangsa kealpaan dan sikap lalai kita.

Andainya tiada usaha pemuliharaan tapak ini, kemungkinan satu masa nanti anak cucu kita akan hanya mengingati cerita Bukit Kepong melalui penulisan buku ataupun filem Jins Shamsudin sahaja.

Dan apalah yang dapat anak cucu kita nanti untuk melakukan kajian sejarah terhadap peristiwa ini melainkan hanya melalui teks-teks dan gambar-gambar sahaja. Akhirnya, sejarah Negara tidak dapat diperkayakan, yang tidak bersalah tidak dapat diperjuangkan dan Negara kehilangan satu sumber kekayaan sejarah kebangkitan rakyat menentang penjajah Inggeris. Hayati petikan kata-kata ini "Bangsa yang tidak menghargai sejarah sendiri, ia tidak akan menjadi bangsa yang berjaya".

*Kenyataan media oleh Er Teck Hwa (gambar kiri) selaku ahli parlimen Bakri-DAP.

Posted: 06 Sep 2011 05:57 AM PDT




KUALA LUMPUR 6 SEPT : Di sebalik kontroversi berhubung dakwaan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Mat Indera atau nama penuhnya Muhammad Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan, parti itu hari ini mendesak Putrajaya membentuk sebuah jawatankuasa Kabinet untuk meneliti semua fakta sejarah.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Umno selama ini telah membohongi umum dengan menggambarkan Mat Indera sebagai seorang komunis.
Menurut Mustafa, sejarah negara perlukan penelitian semula memandangkan versi rasmi hanya mengiktiraf Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

"Perjuangan mendapatkan kemerdekaan tidak bermula dengan Umno... yang menentang British ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)," katanya.

Mustafa berkata PKMM ditubuhkan pada 1945 sedangkan Umno dibentuk setahun kemudian.

Beliau bagaimanapun mengakui peranan pemimpin-pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan sambil berkata pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengambil pendekatan kerjasama dengan menjadi pegawai pentadbiran British.

"Bagaimanapun sejarah telah dilarikan apabila dikatakan bahawa pejuang kemerdekaan hanyalah Umno. Ia tidak betul. Jangan menafikan pejuangan lain yang dimulakan oleh PKMM," kata Mustafa lagi.

Dalam pada itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan untuk menulis semula sejarah kemerdekaan yang sebenar.

"Jika beliau ikhlas, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) boleh mengadakan sebuah jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan," katanya.

Sidang media sama turut dihadiri ahli jawatankuasa kerja Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Aziz Bari : 'Secara Teknikal Tidak, Pada Hakikat British Jajah Kita'

Posted: 06 Sep 2011 01:58 AM PDT



KUALA LUMPUR 6 SEPT : Pakar perlembangaan Prof Abdul Aziz Bari berkata meskipun negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya telah "dijajah kerana pentadbiran negeri dikawal" oleh kuasa Eropah itu sehingga negara merdeka lima dekad lalu.

"Pendeknya dari segi teknikal memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah... hatta pentadbiran agama pun dipantau oleh British," kata beliau, dipetik dari portal The Malaysian Insider.

"Secara teknikal memang betul bahawa kita tak pernah dijajah; negeri-negeri Melayu hanya negeri lindungan. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah," kata beliau.

Bagaimanapun menurut ahli akademik ini, negeri-negeri Melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas mengadakan hubungan luar.

"Raja-raja, contohnya, dipaksa menerima kejatuhan Empayar Uthmaniah yang dihancurkan oleh British dan sekutu-sekutunya pada 1924. Ini semua berlaku kerana Raja-raja di bawah tangan British meskipun mereka tidak dijajah.

"Selain itu meskipun di sisi undang-undang, yakni secara teknikalnya, mereka berdaulat kita semua tahu dasar dan undang-undang semuanya ditentukan oleh British," kata beliau sambil menambah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak harus membesar-besarkan kedudukan teknikal itu sehingga menafikan hakikat yang berlaku ketika itu.

Aziz mengulas mengenai kritikan beberapa pihak ekoran pandangan tokoh sejarah itu bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya berada di bawah naungan negara Eropah itu.

Khoo melahirkan pandangan itu dalam satu temu bual dengan akhbar arus perdana kelmarin ketika kontroversi berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hangat diperkatakan sehingga ada yang mahu fakta sejarah diteliti semula.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 bersama hari pembentukan Malaysia — buat julung kali pada 16 September ini.

Menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad bahawa Allaharham Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan pejuang kemerdekaan sebenar kerana mereka pegawai British, Khoo berkata: "Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu tidak pernah menjadi jajahan British. Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali sebagai Negeri Melayu Naungan iaitu di bawah perlindungan British, tetapi tetap diperintah oleh Raja."

Katanya, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja.

"Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pegawai British utama di Negeri-Negeri Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan Melayu dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi.

"Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan Melayu: 'They were, they are and they must remain Malay states. These states were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies. And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the system of government'," katanya lagi.

Kata beliau, dalam undang-undang ada dua keadaan iaitu 'de jure' dan 'de facto'.

"Datuk Onn mula-mula bekerja dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Raja masih ada banyak autonomi.

"Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima oleh British sebagai presiden Umno yang diakui British sebagai parti politik orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union. British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga Umno untuk menentukan sistem lebih sesuai," kata Khoo lagi dan menambah, "akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan."

Mengulas lanjut, Aziz berkata, Khoo perlu faham beza antara kedudukan teknikal dan formal dengan kenyataan atau hakikat, yakni sesuatu yang benar-benar berlaku.

"Sama seperti hari ini, Raja-raja adalah ketua agama. Soalnya apakah mereka benar-benar ketua agama dalam erti kata yang sebenar? Tidakkah pentadbiran agama dijalankan oleh kerajaan?" kata beliau lagi.

KJ Sahut Cabaran Debat Kaji Semula Fakta Kemerdekaan

Posted: 06 Sep 2011 01:47 AM PDT



KUALA LUMPUR 5 SEPT : Hasrat PAS Kelantan untuk mengadakan sesi debat bagi menggesa agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara, disahut Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau dilaporkan menyatakan kesediaannya itu menerusi laman sosial Twitternya semalam.

Sesi debat itu dijangka akan diadakan pada akhir bulan ini di Balai Islam, Kota Baru.

Bagaimanapun jemputan debat itu tidak dapat dipastikan disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam atau dari kerajaan negeri Kelantan, memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

"Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

"PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar 'pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno' tanpa ruang untuk menjawab," katanya.

Gesaan agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara tercetus apabila Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown pada 21 Ogos, menyifatkan tentera komunis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong tidak diiktiraf sebagai pejuang negara walaupun mereka tatkala itu berjuang menentang penjajah British ditanah Melayu.

Malah mereka menjadi mangsa serangan propaganda media perdana pro- Umno yang memomokkan kononnya tentera komunis itu adalah pengkhianat dan pengganas yang perlu dihapuskan.

Kenyataan Mohammad Sabu itu bingkas diputar belit media arus perdana dengan mendakwa pemimpin PAS itu mendewakan komunis dan tidak menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.

Natijahnya Mohammad Sabu diserang bertali arus tanpa langsung diberikan ruang untuk memberikan penjelasan bagi setiap tomahan yang dilontarkan kepadanya.

Beliau menerusi satu kenyataan media menganggap serangan bertali arus media arus perdana terhadap dirinya bermula 27 Ogos lalu sebagai amat keterlaluan dan menjijikkkan.



Mat Sabu : Kisah Mat Indera Makin Popularkan Saya

Posted: 06 Sep 2011 01:46 AM PDT

SHAH ALAM 6 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Mat Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menganggap pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya berhubung isu Mat Indera tidak sama sekali menjejas kedudukannya dalam bidang politik, sebaliknya lebih meningkatkan popularitinya.

Menurut beliau, sejak isu Mat Indera yang disifatkannnya sebagai pejuang sebenar kemerdekaan, beliau menerima pertambahan sokongan dari kalangan blogger yang menyokong pendiriannya itu.

Menyentuh mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein agar sesiapa yang merasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu, Mat Sabu berkata, beliau sedia menerimanya.

" Tak ada masalah, kalau mereka nak saman itu hak mereka, kita pun sudah menawarkan peguam untuk mereka kalau mereka nak tuntut pampasan dari kerajaan British. Kita sanggup menyediakan peguam.

"Ada peguam yang sanggup membela mereka tuntut pampasan daripada kerajaan British , mereka dulu bukan dalam kerajaan Malaya, kerajaan British,"katanya kepada Tv Selangor.

Hishamuddin semalam berkata, tindakan saman di mahkamah mungkin antara yang boleh dilakukan oleh pihak yang tersinggung terutamanya anggota keluarga pejuang kemerdekaan negara serta persatuan-persatuan bekas polis.

"Saya rasa pihak yang berkepentingan perlu mengambil tindakan kerana kadangkala nak tunggu siasatan dari pihak polis dan Peguam Negara mengambil masa.

"Ramai yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu, dan saya sendiri sebagai cucu Datuk Onn (Jaafar) terasa terhadap dakwaan-dakwaan yang berunsur politik, tapi ada had dan batasan dalam nak politikkan sesuatu. lebih-lebih lagi bila ianya bersandarkan kepada sejarah," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, muka tujuh Utusan Malaysia hari ini turut menyiarkan berita bertajuk "Persatuan Bekas Polis Malaysia Kuantan labelkan Mat Sabu sebagai komunis era baru".

Mengulas laporan akhbar itu, Mat Sabu menerimanya dengan hati terbuka dan sekali lagi menegaskan, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bahkan katanya, PAS sendiri pernah dicop sebagai komunis oleh mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

" Mereka cop (PAS), tak ada masalah, Tuan Guru Bakar Bakir dulupun dicop komunis. Dr Burhanudin mereka tuduh komunis. Itu bukan perkara baru,ulang siaran daripada British,"tambah beliau.

Menyentuh soal debat berhubung isu ini, Mat Sabu berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya pun tak tau kalau (saya kena) debat dengan Khairy (sebab) selama ini Khairy bukannya maki saya,tetapi yang maki saya Timbalan Perdana Menteri, kalau nak debat pun biarlah dengan dia,"tambah beliau lagi.

Ujarnya, Umno kini menggali lubang sendiri dan akhirnya akan memakan diri sendiri dalam usaha menguburkan karier politiknua.

" Makan diri.. mereka sedang gali lubang. Macam dalam kes Mat Indera dia telah kalah. Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang oleh negeri Johor.

" Memanglah, Umno itu pengampu British. Orang menghentam British duduk dalam penjara, orang Umno tidak dipenjarakan kerana dia pengampu,"katanya lagi.

Lapan Fakta Tentang Muhammad Indera

Posted: 06 Sep 2011 01:43 AM PDT

SHAH ALAM 6 SEPT : Individu yang dilabel sebagai Komunis, Muhammad Indera (yang dianggap pejuang kemerdekaan sebenar Pakatan Rakyat) didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah Muhammad Indera juga dikatakan hampir menikahi kakak kepada Muhyiddin, namun dihalang bapa Muhammad Indera, dedah Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.
"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak Timbalan Perdana Menteri, Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan.
Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan adik kandungnya, Johan Shah di Penjara Air Molek, Johor Bahru.
"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tegas Suhaizan.
Dibawah adalah beberapa fakta mengenai Muhammad Indera yang kurang diketahui umum :-
1- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.
2- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.
3- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.
4- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.
5- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.
6- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali sebagai Tuan Guru Fadil.
7- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.
8- Mat Indera tidak pernah berkahwin.

Biar Pemuda PAS Berdepan Dengan Khairy - Suhaizan Kayat

Posted: 06 Sep 2011 01:41 AM PDT




SHAH ALAM 5 SEPTEMBER : Sebaik sahaja Ketua Pemuda Umno menyatakan kesanggupannya untuk berdebat mengenai kebenaran fakta sejarah kemerdekaan negara, kali ini Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat pula menyatakan kesediaanya untuk berdebat dengan Kahiry Jamaluddin.

Suhaizan menegaskan, pemimpin tertinggi PAS seperti Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu tidak perlu melayan cabaran Khairy sebaliknya cukup sekadar dirinya yang berdepan dengan Ahli Parlimen Rembau itu.

"Saya menegaskan disini, jika sekadar isu 'Mat Indera' ini yang menjadi modal 'pentas patriot' Khairy untuk menyerang PAS, biar Pemuda PAS Johor sahaja yang berhadapan dan 'selesaikan' perkara ini," kata Suhaizan.

Beliau berkata, Mohammad Sabu dan pimpinan tertinggi yang lain mempunyai banyak misi nasional untuk dipantau termasuklah isu lapan tuntutan BERSIH 2.0 terhadap penambahbaikan sistem pilihan raya negara, kenaikan harga barang, peningkatan tarif elektrik, kontroversi komisyen pembelian Scorpene, dan sebagainya.

Suhaizan berkata pihaknya akan menyediakan pentas dan mengesyorkan sesi debat itu diadakan di daerah Muar, Johor tempat dimana terjadinya tragedi Bukit Kepong.

"Isu ini berlaku di Johor (Bukit Kepong). Mat Indera kami angkat sebagai hero kemerdekaan anak Melayu dari Johor dalam perjuangan menyingkirkan penjajah. Saya sendiri orang Johor. Jika Khairy anak jantan, turun ke Muar Johor, kita akan sediakan pentas debat untuk cari kebenaran sejarah ini!," tegas Suhaizan.

Debat itu penting bagi merungkai kontroversi yang menyelubungi Mohammad Sabu dan pimpinan Pakatan Rakyat yang ditomah media arus perdana kononnya mereka mendewakan fahaman Komunis dan tidak menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Sejak 27 Ogos bulan lalu sebanyak 49 laporan polis dibuat diseluruh negara, menggesa polis melakukan siasatan dan media arus perdana berhempas pulas menyerang Mohammad Sabu tanpa langsung memberikan peluang untuknya membela diri.

Selain itu, Suhaizan memberi jaminan akan menggerakkan seluruh jentera Pemuda PAS Johor untuk mengadakan pentas-pentas penerangan bagi memastikan kebenaran fakta berkaitan Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong ini sampai ke pengetahuan rakyat khasnya rakyat di negeri Johor.

Suhaizan berkata, Pemuda PAS arif dengan modus operandi Umno yang bertindak membangkitkan isu Komunis demi mengalih pandangan rakyat daripada terus mempersoalkan pendirian kerajaan pemerintah bersabit banyak isu termasuk jawapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan pimpinan Najib berhubung lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Tidak kurang juga pegangan kabinet Perdana Menteri Najib Razak berhubung komitmen Jawatankuasa Khas Parlimen yang ditubuhkan untuk mengkaji perjalanan sistem Pilihan Raya negara.

Dan terbaru, apakah jawapan Najib akan ketiadaannya di Malaysia tatkala rakyat menyambut kemerdekaan yang ke- 54 dan keseriusannya dalam membela nasib rakyat apabila besenang- lenang bercuti di Perth, Australia dikala rakyat mengikat perut merayakan Aidilfitri dalam keadaan harga barangan asas semakin meningkat.

Tiada ulasan: