Isnin, 26 September 2011

pemuda cheh

pemuda cheh


Pengakuan Raja Heraclius Tentang Muhammad Saw

Posted: 26 Sep 2011 03:35 AM PDT


Potret Hereclius pada syiling lama


Pada masa Perjanjian Hudaibiyah atau gencatan senjata antara kaum muslimin dan musyrikin Quraisy, Rasulullah saw mengutus beberapa sahabat. Mereka dikirim kepada raja-raja bangsa Arab dan bukan Arab untuk menyeru agama Islam. Salah satu sahabat yang diutus adalah Dihyah bin Khalifah Al-Kalbi. Ia ditugaskan untuk menyampaikan surat dakwah kepada Heraclius, Raja Rom.

Kedatangan Dihyah diterima oleh Heraclius dengan sangat baik. Kemudian Dihyah menyampaikan surat dakwah dari Rasulullah saw kepada Raja Rom tersebut. Setelah Heraclius membaca surat Rasulullah saw, Heraclius segera menyuruh pengawalnya untuk mencari orang-orang yang mengenal Muhammad. Ketika itu Abu Sufyan berada di sana bersama serombongan kafilah dagang Quraisy.

Surat Rasulullah kepada Herclius


Para pengawal kerajaan pun melaporkan keberadaan Abu Sufyan dan teman-temannya kepada Heraclius. Kemudian dipanggilnya Abu Sufyan yang masih membenci Islam bersama teman-temannya ke hadapan Raja Rom tersebut.

Abu Sufyan dan teman-temannya datang menghadap Heraclius. Dengan didampingi seorang penerjemah, Heraclius memulakan pembicaraan dengan bertanya, "Siapa di antara kamu semua yang paling dekat dengan garis keturunannya dengan orang yang mengaku sebagai nabi ini?"

Abu Sufyan menjawab, "Saya, Tuan!"

Kemudian terjadilah dialog di antara keduanya di hadapan para petinggi istana Rom. Berikut adalah dialog yang diceritakan oleh Abu Sufyan dan diriwayatkan kembali oleh Bukhari.

Heraclius : "Bagaimana kedudukan keluarganya di antara kamu?"

Abu Sufyan : "Dia berasal dari keturunan bangsawan."

Heraclius : "Adakah di antara keluarganya mengaku Nabi?"

Abu Sufyan : "Tidak."

Heraclius : "Adakah di antara nenek moyangnya yang menjadi raja atau pemerintah?"

Abu Sufyan : "Tidak ada."

Heraclius : "Apakah pengikut agamanya itu orang kaya ataupun orang kebanyakan?"

Abu Sufyan : "Pengikutnya adatah orang lemah, miskin, budak, dan wanita muda."

Heraclius : "Jumlah pengikutnya bertambah atau berkurang?"

Abu Sufyan : "Terus bertambah dari waktu ke waktu."

Heraclius : "Setelah menerima agamanya, adakah pengikutnya itu tetap setia kepadanya ataupun merasa kecewa, lalu meninggalkannya?"

Abu Sufyan : "Tidak ada yang meninggalkannya."

Heraclius : "Sebelum dia menjadi nabi, adakah dia suka menipu?"

Abu Sufyan : "Tidak pernah."

Heraclius : "Pernahkah dia mengingkari janji atau mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya?"

Abu Sufyan : "Tidak pernah. Kami baru saja melakukan perjanjian gencatan senjata dengannya dan menunggu apa yang akan diperbuatnya."

Heraclius : "Pernahkah engkau berperang dengannya?"

Abu Sufyan : "Pernah."

Heraclius : "Bagaimana hasilnya?"

Abu Sufyan : "Kadang-kadang kami yang menang, kadang-kadang dia yang lebih baik daripada kami."

Heraclius : "Apa yang dia perintahkan kepadamu?"

Abu Sufyan : "Dia hanya memerintahkan kami untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya dengan apapun, meninggalkan tahyul dan kepercayaan nenek moyang kami, mengerjakan solat, membayar zakat dan berbuat baik kepada fakir miskin, bersikap jujur, memelihara apa yang diamanahkan kepada kita dan mengembalikan dalam keadaan yang baik, memelihara silaturrahim dengan semua orang, dan yang paling penting dengan keluarga sendiri."

Lalu, seperti dikisahkan oleh Abu Sufyan r.a, Heraclius memberikan tanggapan sebagai berikut melalui penerjemahnya.

Heraclius : "Aku bertanya kepadamu tentang salasiah keluarganya dan kau menjawab dia adalah keturunan bangsawan terhormat. Nabi-nabi terdahulu pun berasal dari keluarga terhormat di antara kaumnya.

Aku bertanya kepadamu apakah ada di antara keluarganya yang menjadi nabi, jawabannya tidak ada. Dari sini aku menyimpulkan bahwa orang ini memang tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun dalam hal kenabian yang diikrarkannya, dan tidak meniru sesiapa pun dalam keluarganya.

Aku bertanya kepadamu apakah ada keluarganya yang menjadi raja atau pemerintah. Jawapannya tidak ada. Jika ada nenek moyangnya yang menjadi penguasa, aku beranggapan dia sedang berusaha mendapatkan kembali kekuasaan keturunannya.

Aku bertanya kepadamu adakah dia pernah berdusta dan menurutmu, dia tidak pernah menipu. Orang yang tidak pernah berdusta kepada sesamanya tentu tidak akan berdusta kepada Allah.

Aku bertanya kepadamu mengenai golongan orang-orang yang menjadi pengikutnya dan menurutmu pengikutnya adalah orang miskin dan hina. Demikian pula halnya dengan orang-orang terdahulu yang mendapat panggilan kenabian.

Aku bertanya kepadamu adakah jumlah pengikutnya bertambah atau berkurang. Jawapanmu, terus bertambah. Hal ini juga terjadi pada iman sampai keimanan itu lengkap.

Aku bertanya kepadamu apakah ada pengikutnya yang meninggalkannya setelah menerima agamanya dan menurutmu tidak ada. Itulah yang terjadi jika keimanan sejati telah mengisi hati seseorang.

Aku bertanya kepadamu apakah dia pernah ingkar janji dan menurutmu tidak pernah. Sifat dapat dipercaya adalah ciri kerasulan sejati.

Aku bertanya kepadamu apakah engkau pernah berperang dengannya dan bagaimana hasilnya. Menurutmu engkau berperang dengannya, kadang-kadang kamu yang menang dan kadang kala dia yang menang dalam urusan duniawi.

Para nabi tidak pernah selalu menang, tetapi mereka mampu mengatasi masa-masa sukar dalam perjuangan, pengorbanan, dan kerugiannya sehingga akhirnya mereka memperoleh kemenangan.

Aku bertanya kepadamu apa yang diperintahkannya, engkau menjawab dia memerintahkanmu untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya, serta melarangmu untuk menyembah berhala, dan dia menyuruhmu solat, bercakap benar, serta penuh perhatian. Jika apa yang kau katakan itu benar, dia akan segera berkuasa di tempat aku memijakkan kakiku ketika ini.

Aku tahu bahawa orang ini akan lahir, tetapi aku tidak tahu bahwa dia akan lahir dari kaummu (orang Arab). Jika aku tahu aku dapat mendekatinya, aku akan pergi menemuinya. Jika dia ada di sini, aku akan membasuh kedua kakinya dan agamanya akan menguasai tempat dua telapak kakiku!"

Selanjutnya, Heraclius berkata kepada Dihyah Al-Kalbi, "Sungguh, aku tahu bahawa sahabatmu itu seorang nabi yang akan diutus, yang kami tunggu-tunggu dan kami ketahui berita kedatangannya dalam kitab kami. Namun, aku takut orang-orang Rom akan melakukan sesuatu kepadaku. Kalau bukan kerana itu, aku akan mengikutinya!"

Untuk membuktikan kata-katanya tersebut, Heraclius memerintahkan orang-orangnya untuk mengumumkan, "Sesungguhnya Raja Heraclius telah mengikuti Muhammad dan meninggalkan agama Nasrani!" Seluruh pasukannya, lengkap dengan senjata serentak menyerbu ke dalam ruangan tempat Hereclius berada, lalu mengepungnya.

Kemudian Pemerintah Rom itu berkata, "Engkau telah melihat sendiri bagaimana bangsaku. Sungguh, aku takut kepada rakyatku!"

Heraclius meleraikan pasukannya dengan menyuruh pengawalnya mengumumkan berita, "Sesungguhnya raja lebih senang bersama kamu semua. Tadi beliau sedang menguji kamu semua untuk mengetahui kesabaran kamu semua dalam agama Nasrani. Sekarang pergilah!"

Mendengar pengumuman tersebut, terbubarlah pasukan yang hendak menyerang Hereclius tadi. Raja Hereclius pun menulis surat untuk Rasulullah saw yang terkandung, "Sesungguhnya aku telah memeluk Islam." Herclius juga menyelitkan hadiah beberapa dinar kepada Rasulullah saw.

Ketika Dihyah menyampaikan surat Raja Heraclius kepada Rasulullah saw, beliau berkata, "Musuh Allah itu berdusta! Dia masih beragama Nasrani."

Rasulullah saw pun membagi-bagikan hadiah berupa wang dinar itu kepada kaum muslimin.

D-Day untuk Najib semakin hampir

Posted: 25 Sep 2011 08:07 PM PDT

September 30 adalah hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penasihat beliau akan tanda pada kalendar mereka. Ia merupakan hari di mana peguam Perancis akan memberi perkembangan terkini mengenai kes rasuah Scorpenes, pembina kapal DCN, Najib, rakan rapat beliau Razak Baginda dan penterjemah Mongolia yang telah dibunuh, Altantuya Shaariibuu.
Cynthia Gabriel, pengarah Suaram, mengesahkan tarikh dengan Malaysia Chronicle, sambil menambah bahawa seorang peguam Perancis terkemukaYusuf Breham akan mengetuai pembentangan yang akan dibuat pada majlis makan malam mengumpul dana di London.
"Ada dua sebab mengapa London telah dipilih. Satu adalah untuk mendekati rakyat Malaysia di sana kerana kami perlu mendapatkan lebih banyak dana untuk membayar perbelanjaan undang-undang yang akan meningkat apabila perbicaraan bermula. Yang kedua adalah keselamatan. Selepas Bourdon dikeluarkan dari Kuala Lumpur, siapa yang akan berani untuk datang ke sini? Najib sekarang adalah PM, ini adalah wilayahnya, ibarat masuk kandang singa, " ujar satu lagi sumber dari Suaram kepada Malaysia Chronicle.
Suaram merupakan NGO Malaysia yang memfailkan aduan di mahkamah Paris, memohon siasatan terhadap DCN, sebuah firma Perancis yang dituduh membayar komisen yang menyalahi undang-undang kepada Najib dan beberapa orang pegawai tinggi Malaysia di atas jaminan perjanjian RM7.3 bilion untuk kapal selam. NGO itu menuntut bahawa sogokan itu telah meningkatkan harga pembelian yang dibayar oleh rakyat Malaysia, dan tawaran sampingan yang mencurigakan di dalam pakej pengambilalihan perkhidmatan bernilai RM570 juta atau 114 juta euro dan kontrak yang diberikan kepada firma Perimekar, yang dikawal oleh Razak Baginda.
Kandang singa dan tangan kuat
Seorang lagi peguam Perancis yang dilantik oleh Suaram, William Bourdon, telah dihantar pulang oleh Kerajaan Malaysia apabila dia datang ke Malaysia untuk memberi tiga pembentangan semasa majlis makan malam pada bulan Julai lepas. Beberapa jam sebelum pembentangan kedua, Bourdon telah dihantar pulang ke Paris; pada hari yang sama Najib telah bergegas balik ke Malaysia seraya memendekkan percutian beliau di luar negara,.
Peguam itu dikatakan bercakap tentang 'orang ketiga' yang misteri yang telah bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya ke Macau semasa rundingan dengan pihak DCN. Disyaki bahawa 'orang ketiga' ini ialah Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dapat dipastikan dengan bukti dokumen seperti tiket penerbangan dan butir tempahan. Ini sudah pasti akan merealisasikan kejatuhan Najib apabila semua ini sudah disahkan. Beliau telah mengangkat sumpah dihadapan Al-Quran bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya, jadi apa-apa percanggahan dengan sumpahan ini akan menuntut peletakan jawatan beliau sebagai pemimpin di sebuah negara Islam.
Selain daripada komisen yang diterima secara rasuah daripada DCN, Najib dikatakan telah menjalin hubungan dengan Altantuya sebelum memperkenalkannya kepada Razak Baginda, yang juga menjadi kekasih wanita itu selepas beliau. Empat tahun selepas perjanjian itu, Altantuya telah dibunuh di Malaysia pada tahun 2006, setelah cuba mendapatkan bahagian komisyennya dari Razak Baginda. Dua bekas pengawal peribadi Najib telah dihukum gantung untuk kematiannya.
Razak Baginda juga dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi dia telah pun dibebaskan melalui cara yang agak kontroversi. Walaupun banyak bukti menunjuk kepada Najib, yang telah meluluskan pembelian kapal selam dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Pertahanan pada ketika itu, layaknya seperti ada kuasa besar yang telah memanipulasi mahkamah Malaysia untuk menyekat apa-apa keterangan yang boleh 'menjatuhkan' Najib, dan dengan itu beliau masih boleh berjaya mendapatkan kerusi Perdana Menteri pada tahun 2009.
Kejatuhan politik
Dengan percubaan kedua di London yang juga di luar kawalan Najib, tidak banyak yang beliau boleh lakukan untuk menghentikan maklumat 'sensitif' dari disebarkan. Dan ini akan memburukkan lagi keadaan apabila perbicaraan bermula di Paris, kemungkinan besar pada bulan Oktober. PM Malaysia yang prestasi buruk itu juga mengalami kejatuhan dalam parti Umno itu sendiri dan tangan yang kuat yang membantu beliau semasa kes pembunuhan Altantuya pada tahun 2007 dan 2008 tidak lagi begitu mesra dengan beliau. Kemungkinan tinggi mereka ini pula akan menggunakan maklumat tersebut untuk menjatuhkan Najib dari jawatan presiden dan mengukuhkan kedudukan mereka.
Populariti Najib susut dengan begitu membimbangkan kepada 6 peratus pada bulan Ogos yang lepas dan terdapat satu paduan suara yang semakin meningkat dalam Umno dan kerajaan campuran BN mendesak Najib untuk meletak jawatan sebelum pilihan raya umum diadakan. Dan ini adalah salah satu sebab utama mengapa Najib, yang pernah memilih untuk menangguhkan pilihan raya sehingga tarikh terakhir, kini bergegas untuk melaksanakannya pada bulan November. Penantian hanya akan memberikan saingan beliau lebih banyak masa untuk menyingkiran beliau.
"Najib kini merupakan liabiliti kepada Umno dan BN kerana kesalahan yang beliau lakukan dari masa lalu. Disebabkan beberapa skandal, beliau ibarat bom berjalan dan boleh membawa bencana kepada Umno dan BN. Penurunan populariti hanyalah sebahagian kecil daripada itu, "beritahu pengarah strategi PKR Rafizi Ramli kepada Malaysia Chronicle.
"Terdapat juga pengurusan ekonomi yang salah, perhimpunan Bersih, perbicaraan kes liwat terhadap Anwar Ibrahim, pemansuhan ISA yang diragui dan desakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah menjadi sebuah tanah jajahan. Semua isu-isu ini telah memakan mereka sediri manakala skandal peribadinya telah tersebar luas termasuk skandal dengan firma media antarabangsa, cincin berlian isterinya dan perjalanan luar negara yang mahal menggunakan wang kerajaan. Semua ini menunjukkan bahawa masanya dalam Umno dan sebagai PM kini sangat terhad "

Tarikh PRU ke 13 yang paling sesuai untuk BN

Posted: 25 Sep 2011 04:25 PM PDT



Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir. Kalau diibaratkan dunia akan kiamat, cuma matahari terbit dari sebelah Barat yang belum berlaku. Analoginya, cuma Parlimen yang belum dibubarkan. Selain dari itu semua petunjuk menggambarkan bahawa pilihanraya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
 
Dalam tradisi politik Malaysia, selain dari Allah SWT yang mempunyai penentuan mutlak terhadap segala sesuatu; tarikh pilihanraya ditentukan oleh Perdana Menteri.

Sekalipun dia seorang yang boleh membuat keputusan namun pilihanraya umum adalah kerja besar yang perlukan penglibatan semua pihak. Dua pihak yang mesti melaksanakan agenda besar tersebut ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan jentera propaganda mereka.

SPR telah selesai mengadakan kursus pengurusan pilihanraya di seluruh negara. Berdasarkan pengalaman yang lalu, pilihanraya diadakan antara tiga hingga enam bulan selepas kursus pengurusan pilihanraya diadakan.

Jentera propaganda BN juga telah memaksimumkan kerja mereka. Serangan ganas bertubi-tubi mereka kira-kira menyamai serangan tetera bersekutu terhadap Saddam Hussein. Apabila media-media elektronik dan akhbar-akhbar harian yang mejadi talibarut BN menyiarkan cerita sensasi politik secara berganda dan saban waktu, hakikatnya kita hanya perlu menunggu tarikh pembubaran Parlimen dari Perdana Menteri.

Ada pihak yang menjangkakan bahawa pilihanraya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana kegawatan ekonomi dunia akan menjejaskan peluang BN, lantaran kesan kenaikan harga barang yang melampau dalam negara. Inflasi tidak mesti berpunca dari pemerintah tetapi kerajaan yang memerintah adalah sebaik-baik tempat rakyat 'melepas geram' jika urusan kebajikan mereka tidak dapat diatasi oleh kerajaan. Banyak kerajaan di dunia yang tumbang kerana tekanan kos hidup, sekalipun pihak yang akan mengganti belum tentu menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Harus diingat bahawa jangkaan kegawatan ekonomi akan bertambah buruk menjelang pertengahan tahun 2012 sehingga ke akhir tahun. Kerajaan BN tidak mempunyai pilihan untuk membuat keputusan yang terbaik berhubung tarikh pilihanraya dalam keadaan tekanan ekonomi semakin menghimpit rakyat. Jadi memilih waktu yang buruk adalah lebih baik dari memilih waktu yang lebih buruk.

Masih ingat pilihanraya umum 1999? Sokongan rakyat terhadap BN, khususnya Dr. Mahathir jatuh merudum. Tetapi Perdana Menteri itu telah mengejutkan dunia pada masa itu memilih membubarkan Parlimen sewaktu hampir dengan bulan puasa sedangkan ramai menjangka ia akan diadakan selepas hariraya. Ramai juga penganalisis menganggap beliau membuat keputusan yang salah kerana memilih tarikh ketika dirinya masih dibenci orang Melayu berhubung isu kezaliman terhadap bekas Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sejarah itulah PRU di mana PAS memperolehi kerusi terbanyak iaitu 27 kerusi sehingga berjaya meletakkan Presiden PAS Dato' Fadzil Noor secara mutlak sebagai ketua pembangkang. Sebenarnya BN masih utuh kerana mengekalkan majoriti dua pertiga, namun jika pilihanraya diadakan hanya dua bulan selepas itu majoriti dua pertiga belum tentu milik BN kerana beratus ribu pengundi muda akan digazetkan nama mereka dalam buku daftar pemilih. Ternyata pada masa isu kecenderungan pengundi muda adalah kepada pembangkang. Ertinya Dr. Mahathir membuat pilihan tepat kerana memilih waktu yang tidak lebih buruk dari tarikh yang dipilih.

Cabaran di zaman Najib pun sama. Selain faktor ekonomi, Umno bergelut dengan isu dalaman yang parah. Pemilihan boleh ditunda demi mengelakkan perpecahan tetapi tidak boleh mengekangnya terlalu lama kerana akhirnya ia akan hampir juga dengan pemilihan baru. Lobi serta konspirasi menjatuhkan lawan pun bermula. Ini yang lebih menakutkan Najib berbanding berperang dengan pembangkang secara berdepan.

Pilihanraya hampir, cuma ia bukan pada bulan Oktober dan November kerana beribu-ribu umat Islam sedang berada di tanah suci. Senario politik mutakhir, BN bergantung sepenuhnya kepada undi Melayu. Di samping Umno juga tidak mahu dituduh pihak pembangkang sebagai mengkhianati kuasa penentu politik dari orang Melayu. Umno merasa sudah lengkap dan sempurna watak ultra Melayunya dengan menggendong semua isu perkauman sempit Melayu. Takkanlah mereka nak biarkan di saat akhir menjelang pembuangan undi, watak asobiyah Melayu ini hendak dicemarkan.

Akhir bulan November dan awal Disember, sekolah-sekolah sibuk pula untuk peperiksaan SPM dan STPM. Ibu bapa akan marah pada BN, jika waktu keemasan anak-anak mereka itu diganggu. Dahulu BN tidak takut akan kemarahan rakyat sekarang tidak lagi. Hujung tahun juga adalah musim tengkujuh di Pantai Timur. Jadi sepanjang tahun ini, ia menjadi tempoh yang tidak munasabah untuk pilihanraya.

Bulan Januari 2012 adalah masa terbaik tetapi rakyat belum selesa kerana poket kering setelah membelanjakan duit untuk urusan persekolahan anak-anak. Najib tidak akan pilih tarikh waktu rakyat tidak gembira.

Pilihan yang terbaik bagi BN ialah antara Februari dan Mac. Ia mungkin mengulangi waktu pilihanraya umum ke 12 lalu. Ada yang meramalkan Najib akan memilih tarikh 11 Februari atau 11 Mac kerana angka 11 sangat diminati Perdana Menteri itu. Ramai kalangan rakyat yang bersetuju angka tersebut untuk dijadikan pilihan Najib, kerana 11 adalah simbol sepasang batu nisan. Simbol kematian Umno ibni Barisan Nasional.

Tiada ulasan: