Selasa, 20 September 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Bicara Liwat: Panas, Pihak Pendakwaan Tegaskan Saksi "Dr.Brian McDonald" Bukanlah Pakar DNA !

Posted: 20 Sep 2011 07:05 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Sept [10.16 pm] - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kepada Dr.Brian McDonald (foto) bahawa, beliau bukannya pakar DNA sepertimana diputuskan oleh sebuah mahkamah daerah di Australia semasa perbicaraan satu kes jenayah pada 2007. Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden semasa membacakan keputusan mahkamah di Barat Australia itu berkata, mahkamah berkenaan telah mengeluarkan perintah bahawa McDonald tidak dibenarkan memberi keterangan sebagai pakar selepas memutuskan keterangan McDonald tidak boleh diterima. Beliau berkata, mahkamah berkenaan memutuskan tidak terdapat bukti mencukupi untuk menyakinkan kepada mahkamah itu (di Australia) bahawa McDonald ialah seorang pakar DNA dan genetik molekular. Bagaimanapun, McDonald mempertahankan dirinya dengan menyatakan Mahkamah Rayuan telah menukar keputusan itu kemudiannya selepas rayuan. Kepada soalan Mohamed Yusof bahawa mahkamah di Australia itu telah memberikan komen serius mengenai kepakarannya, McDonald menjawab terpulang kepada hakim untuk berikan pendapatnya.

Bicara Liwat: "Pakar DNA Australia" Tidak Setuju Sel Sperma Mampu Bertahan Lebih Dari 100 Jam!

Posted: 20 Sep 2011 12:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Sept [1.30 pm] - Pasukan pendakwaan kes fitnah liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapatkan pengesahan daripada pakar Australia, Dr Brian Mcdonald bersabit tempoh jangka hayat sel sperma mampu bertahan lebih daripada 100 jam. Pada sesi soal balas sebentar tadi Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden merujuk kepada tiga jurnal perubatan kes rogol luar negara yang menyatakan sel sperma mampu bertahan untuk satu tempoh yang begitu lama. Brian yang mempunyai pengalaman selama 30 dalam mengendalikan ujian DNA mendapati perkara tersebut adalah mustahil dan enggan bersetuju dengan cadangan Yusof. Beliau yang disoal Ram Karpal Singh sebelum ini berkata penemuan tersebut amat jarang berlaku dan ianya tidak boleh dijadikan rujukan. Namun beliau tidak menafikan perkara tersebut adalah mustahil. Suasana tegang seketika apabila Yusof dilihat cuba memaksa Brian bersetuju dengan penemuan dalam jurnal yang dikemukakan beliau termasuk menyuruh pakar itu membuat andaian ianya rujukan sahih. "Saya tidak boleh baca kerana ianya tiada rujukan untuk perbandingan. Melainkan ada orang boleh terjemah. Saya yakin orang dalam dewan tidak boleh baca jurnal itu (bahasa Thailand)," katanya di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah. Peguam Ram Karpal kemudian membantah tindakan Yusof. "Anda tidak boleh suruh saksi untuk buat andaian maklumat dalam bahasa Thai," katanya dan dibenarkan oleh hakim.

[Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu spesimen yang diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan telah mencecah tempoh masa hampir 100 jam sebelum diuji makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Malah peguambela mendakwa sampel tersebut tidak dikendalikan dengan baik dan berlaku konteminasi. Namun laporan pakar kimia, Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan sperma berada dalam keadaan baik ketika diuji walaupun telah terdedah kepada persekitaran. Yusof pada sebelah pagi dilihat cuba mempersoalkan kredibiliti Brian merujuk kepada laporan perubatan yang pernah ditolak mahkamah di negara Brunei. Namun Brian pertahankan kedudukan beliau sebagai pakar ujian DNA dengan nyatakan bahawa hakim kes tersebut mengiktiraf beliau sebagai saksi yang benar].

Penduduk Taman Desa Mesra Gesa Pemaju Projek Perumahan Bersebelahan "Selesai Dulu" Masalah Sebelum Merobohkan Dewan Orang Ramai Di Situ

Posted: 19 Sep 2011 10:40 AM PDT

KUANTAN, 20 Sept - Penduduk di Taman Desa Mesra, dekat sini melahirkan rasa kecewa mereka dengan sikap sebuah syarikat pemaju perumahan bersebelahan (foto) dengan kawasan mereka yang mengambil sikap sambil lewa terhadap isu pampasan terhadap perobohan dewan orang ramai di kawasan berkenaan. Mereka menuntut pihak pemaju agar prihatin dan bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi. Menurut salah seorang wakil penduduk taman berkenaan, menegaskan bahawa sikap pemaju terbabit amatlah dikesali. "Kami telah bergotong royong membina dewan ini untuk aktiviti Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) di taman ini, tetapi setelah projek baru yang dalam pembinaan sekarang jadi kami telah memohon untuk mendapatkan pampasan. Difahamkan dewan ini akan dirobohkan dalam masa terdekat maka kami memohon pampasan sekitar RM10,000 hingga RM15,000. Kami juga memberi pemaju terbabit dua pilihan iaitu pilihan pertama alihkan dan bina dewan yang sama ditempat lain. Manakala pilihan kedua ialah bayar pampasan kepada kami untuk kami bina sendiri di kawasan lain", katanya. Difahamkan projek perumahan tersebut sudah terbengkalai sejak sekian lama dan kini diberikan tender semula kepada pihak lain. Pemaju asalnya projek tersebut ialah Roslan AR Properties dan kini ia telah diambilalih oleh Hall Chadwick Corporate Advisary Sdn Bhd yang berpejabat di Kuala Lumpur. Projek baikpulih perumahan terbabit telah dimulakan pada 15 Jun 2011 yang lalu dan dijangka akan siap pada 15 Ogos 2012.


Longkang yang dibina betul-betul melalui bangunan dewan berkenaan

Bahagian dalam dewan yang masih baik dan masih digunakan penduduk

Wakil penduduk bergambar dihadapan dewan yang bakal dirobohkan itu
[Apa yang menjadi pertikaian penduduk ialah, pihak pemaju dikatakan akan membina longkang besar melalui kawasan tapak dewan orang ramai di Taman Desa Mesra yang terletak bersebelahan dengan projek tersebut. Susulan daripada itulah pihak penduduk mahukan pemaju mengambil perhatian terhadap permasalahan mereka. Tambahan pula dewan tersebut adalah dibina hasil titik peluh dan keringat penduduk taman berkenaan sendiri. Makanya, pihak pemaju sepatutnya prihatin dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap kemudahan awam penduduk yang bakal dirobohkan pada bila-bila masa itu. Mereka hanya mahukan hak mereka, soalnya kenapa pemaju berdiam diri dan tidak menunaikan janji-janji yang telah dipersetujui. Jika dewan tersebut dirobohkan tanpa diganti semula atau diberikan pampasan, ia bermakna penduduk yang akan mengalami kerugian. Sedangkan mereka telah mendiami kawasan itu sejak sekian lamanya. Oleh itu pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) digesa mengambil perhatian akan permasalahan ini. Sila selesaikan dan bawa kesemua mereka ke meja rundingan dengan segera. Kami akan melaporkan perkembangan mutakhir berkenaan dengan kes berkenaan selepas ini].

Tiada ulasan: