Isnin, 19 September 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Husam Musa Fail Saman Terhadap Blogger Kickdefella Kerana Didakwa Siarkan Berita Fitnah

Posted: 19 Sep 2011 03:22 AM PDT

KOTA BHARU 19 Sept - Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa (foto) hari ini memfailkan saman terhadap penulis blog Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz atas dakwaan menyiarkan berita yang tidak benar dan tidak berasas terhadapnya. Dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Husam mendakwa tiga artikel bertajuk "Husam telah menipu sahabat dan rakyat" , "Sebelum kita lupa Normala Sudirman" dan "Husam itu pembohong" memfitnahnya. Syed Azidi didakwa secara tidak tepat dan tidak benar mengaitkan Husam sebagai penipu dan perosak negeri Kelantan. Tulisan itu antaranya berkaitan dakwaan kerugian Kelantan ekoran pemberian tanah hampir RM30 juta kepada pemaju tanpa menerima pulangan setimpal selama 99 tahun, pembelian semula Bazar Tok Guru bernilai RM 23 juta dan kerugian apabila terpaksa membayar pampasan kepada UDA Holdings Berhad. Husam berkata, jika dibaca hasil tulisan tersebut, secara jelasnya, ia memburukkan plaintif dan memfitnah kerana artikel itu menuduh dirinya seorang pembohong. Penyiaran artikel itu juga didakwa: Dengan niat untuk menjatuhkan maruah plaintif dan menjejaskan kredibiliti plaintif sebagai seorang wakil rakyat. Segala perbuatan defendan, samada perbuatan atau tinggalan, sehingga tersiarnya dan tersebarnya berita fitnah adalah tidak berasas, berunsur fitnah dengan niat jahat, melulu dan berniat jahat menjatuhkan maruah plaintif sebagai pimpinan PAS, wakil rakyat dan exco Kelantan. Dengan maksud yang jelas menggambarkan bahawa plaintif pemimpin yang salahguna jawatan dan juga kuasa sehingga menipu rakyat Kelantan.


Satu ketika dulu, Kifdefella pernah bersama dengan Husam Musa, tapi kini?

Imej baik plaintif telah terjejas di mata masyarakat. "Walaupun plaintif melalui peguam caranya telah mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut agar defendan memohon maaf secara terbuka daripada plaintif dan membayar ganti rugi yang amat minimal bagi perbuatan fitnah dan tohmahan yang telah dilakukan oleh defendan, namun defendan masih gagal dan enggan dan tidak mahu mohon maaf secara terbuka serta membayar ganti rugi tersebut," writ saman itu dipetik.

[Sehubungan itu, Husam memohon Syed Azidi membuat permohonan maaf secara terbuka dalam laman blognya dan memadam ketiga-tiga artikel yang bertarikh 27 Januari, 3 Februari dan 3 Julai lalu serta mengiklankan permohonan maaf itu dalam harian bahasa Melayu selama sehari. Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, melampau, punitif, dengan kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Husam juga memohon injunksi bagi menghalang defendan dan-atau ejen-ejennya dan/atau pembantu-pembantunya dan-atau sesiapa sahaja dari berkomunikasi, memberi komen, mengulangi dan-atau menyebabkan menyebabkan penerbitan kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif. Husam Musa telah diwakili oleh peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates]. malaysiakini

Panas: 'Prosiding Kes Liwat', Pakar DNA Australia Sahkan Tiada Bukti "Lelaki Y" Itu Adalah Anwar !!

Posted: 19 Sep 2011 01:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept - Pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan profil DNA yang diperolehi daripada "Lelaki Y" datang dari sel sperma. Beliau menambah pihak pendakwaan umumnya gagal mempamerkan maklumat dalam laporan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) mengenai identiti DNA yang disepadankan dengan sampel dalam dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan. Peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menimbulkan keraguan dalam kes fitnah liwat kedua hari ini apabila menyatakan bahawa pakar kimia Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon mengabaikan garis panduan ujian DNA yang ditetapkan makmal. Malah peguam Ram Karpal Singh sekali lagi mencadangkan bahawa mungkin berlaku pencemaran pada sampel yang diujikaji setelah prosedur-prosedur penting tidak diambil kira. "Tidak ada bukti yang dibentangkan yang membolehkan pihak pendakwaan untuk membuat kesimpulan ini. Kita tidak tahu sampel tersebut diambil dari sel mana," katanya di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zabidin Mohd Diah. Ram yang menyoal Konsultan Molekular Genetesis itu sebentar tadi memberi tumpuan terhadap sampel DNA yang diambil di bahagian rektum atas Saiful dan DNA yang diperolehi daripada tuala muka 'Good Morning' ketika Anwar ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.


Dua doktor ini dipercayai menyembunyikan maklumat DNA pihak ketiga

Berdasarkan laporan Seah dan Nor Aidora, DNA pada rektum atas Saiful menunjukkan terdapat tiga profil iaitu pra-dominan "lelaki Y" dan pra-dominan Saiful. Manakala profil terakhir yang diperolehi daripada rektum bawah Saiful menunjukkan bacaan tidak meyakinkan. Justeru pakar dari Australia itu mendakwa Seah dan Nor Aidora telah diabaikan penemuan yang mencadangkan kehadiran sampel DNA ketiga pada ujian tersebut. Nor Aidora sebelum ini memberi keterangan kepada mahkamah bahawa DNA "lelaki Y" adalah sepadan dengan profil DNA yang ditemui pada tuala muka tersebut. "Kedua-dua mereka (Seah dan Nor Aidora) tidak menawarkan apa-apa penjelasan tentang mengapa ujian lanjut tidak dilakukan. Bukti itu tidak memberitahu kita ia datang dari sperma atau air liur," jelas Dr Brian McDonald lagi.

[Nampaknya perbicaraan yang berjalan hari ini semakin panas dengan penemuan maklumat terbaru tersebut. Ternyata, hujjah ramai pihak yang mengatakan kes ini banyak kepincangannya kini mula terbongkar. Mana mungkin ada tiga DNA kemudian doktor terbabit mengesahkan salah satunya ialah milik Anwar tanpa ada pengasingan seperti biasa. Apapun, perbicaraan akan bersambung semula jam 9.00 pagi esok. Ramai pihak yang menjangka Anwar pasti akan ke dalam jua akhirnya. Ia berlandaskan banyak fakta-fakta kes yang dilihat bercanggah tetapi tetap diterima oleh pihak hakim. Ini menyebabkan pembelaan yang dilakukan biar pun ada kekuatannya, namun akhirnya nampak pincang dan gagal. Apapun, segalanya masih berjalan dan rakyat diminta bersabar melihat segalanya].

Bicara Kes Liwat: Pakar Australia Mempersoalkan Kenapakah Dr.Seah Sembunyikan Maklumat DNA Ketiga Yang Di Jumpai Pada Dubur Saiful Bukhari

Posted: 18 Sep 2011 11:04 PM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept - Perbicaraan kes fitnah kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini apabila saksi ke lima konsultan Molekular Genetisis, Dr Brian Mcdonald (foto) mengambil tempat semula di kandang saksi. Peguambela Ram Karpal yang menyoal sejak awal pagi menimbulkan keraguan tentang prosedur standard makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bersabit sampel DNA yang diperolehi daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan. Brian menjelaskan berdasarkan laporan pakar kimia Dr Seah Lay Hong dan pembantu Nor Aidora Saedon telah menemui tiga sampel DNA dari dubur Saiful. Namun Brian mendakwa Seah tidak menyatakan dalam laporannya akan kehadiran DNA individu ketiga yang menyumbangkan bacaan tinggi melalui ujiannya selain daripada Saiful dan lelaki Y'. "Dia (Seah) menemui DNA lain tapi dia tidak melakukan apa-apa," kata Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah. Justeru katanya lagi, pakar kimia itu mengabaikan beberapa garis panduan asas makmal untuk memastikan sampel DNA diasingkan sepenuhnya daripada bendasing. "Dia tidak boleh mengatakan ianya milik sesiapa... hanya jika dia melihat melalui mikroskop dan memastikan sampel hanya mempunyai ekstrak sperma asli," tambah beliau lagi. Sementara itu peguam Sankara Nair yang ditemui ketika mahkamah berehat sebentar menyatakan Seah sedar akan kewujudan individu ketiga pada sampel DNA melalui ujian Electropherogram (EPG) namun beliau gagal melaporkannya. "Mungkin ada individu ketiga dalam laporan Seah dan Aidora. Beliau nampak tapi beliau tidak melaporkannya," jelas Sankara Nair kepada pihak media hari ini.

[Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang Sementara itu Anwar dalam satu kenyataan mengatakan beliau tidak gentar berhadapan dengan satu lagi video fitnah yang dimuatnaik oleh blog pro UMNO. Menurut beliau, tayangan video berkenaan langsung tidak memberi kesan kepada dirinya. Video terbaru itu yang disebar blogger pro-Umno tanpa sebarang tindakan tegas daripada polis, memaparkan Anwar keluar masuk lif bersama Datuk Shazryl Eskay. Eskay dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik adalah sebahagian trio Datuk T yang memfintah Anwar'. Kata Anwar, beliau sudah biasa dizalimi tetapi tidak mahu hak rakyat terus dicabuli kerajaan UMNO BN, sesuka hati. Tunggu laporan seterusnya kes fitnah terbaru Anwar ini].

Panas: Rumah Nak Roboh, Blogger Cucumatkilau Gesa "Kerajaan Negeri" Bertindak Segera Pelihara Peninggalan "Sejarah" Pahlawan Melayu Pahang!

Posted: 18 Sep 2011 07:48 PM PDT

KUANTAN, 19 Sept - Kerajaan Negeri Pahang digesa mengambil peranan untuk membangunkan dan membaik pulih rumah pusaka peninggalan Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Batu Lima, Jalan Gambang dekat sini. Ini kerana disitulah sejarah perjuangan pahlawan itu disingkapkan kembali selapas menghilang diri sejak sekian lama. Laporan akhbar Metro Ahad semalam yang bertajuk "Rumah Nak Roboh: Warisan Pejuang Negara Terabai" sungguh mengecewakan ramai pihak sebenarnya. Mengulas isu ini, Blogger Cucumatkilau (foto) bangkit menyatakan kekesalan itu. Beliau sudah lama memperjuangkan sejarah pahlawan Melayu Pahang ini. "Banyak kali saya mengeluarkan artikel di dalam media arus perdana tentang terpinggirnya sejarah perjuangan pahlawan Melayu di bumi Pahang ini. Namun, ia seolah-olah sengaja mahu dilupakan. Malah, paling menyedihkan apabila program Jejak Mat Kilau yang pernah tersiar di TV dulu pun Kerajaan Negeri Trengganu yang mengeluarkan peruntukkannya. Begitu juga makam Mat Kilau di Pulau Tawar, pemeliharaan disumbangkan oleh agensi swasta dan bukan oleh Kerajaan Negeri Pahang sendiri. Tiada usaha untuk menaikkan lagi tempat-tempat bersejerah peninggalan pahlawan Melayu itu seperti rumah kelahirannya, masjidnya, rumah pembesar British, istana lama Sultan Pahang di Pulau Tawar, lokasi pertemuan an mesyuarat pembesar-pembesar Pahang dengan sultan, tempat Mat Kilau mengajar anak-anak kampung mengaji, bersilat dan sebagainya. Semua ini adalah produk pelancongan sejarah yang perlu dibangunkan", katanya.


Laporan akhbar yang benar-benar telah mengecewakan rakyat
Pahang

Masjid Mat Kilau di Pulau Tawar yang telah menjadi lokasi tempat dia
mengisytiharkan dirinya adalah Pahlawan Melayu Pahang juga terbiar


Laporan akhbar itu sepatutnya memberi pengajaran dan perhatian kepada Kerajaan Negeri Pahang supaya berbuat sesuati. Sungguh memalukan apabila sejarah Pahlawan Melayu Pahang itu dibiarkan layu tanpa pembelaan. Bukankah Mat Kilau itu dianggap sebagai pejuang agama, bangsa dan negara. Maka, kenapalah senario begini berlaku kepada beliau?.

Wakil Rakyat DUN Pulau Tawar Di Gesa Bertindak

Beliau juga hairan dengan sikap "acuh tak acuh" Kerajaan Negeri dalam hal ini. Malah, lebih teruk lagi bila papan tanda yang menunjukkan kawasan sejarah Mat Kilau di Pulau Tawar juga tidak ada di sepanjang jalan dari Maran ke Jerantut melalui Simpang Jengka 8. Semua ini menyebabkan perkampungan yang cukup terkenal satu masa dahulu, kini terbiar layu dan hanya sesekali sahaja dikunjungi oleh para peminat sejarah dari dalam dan luar negeri. Soalnya, kenapa semua ini tidak dijaga?. "Mana pergi Dato Dr.Ahmad Shukri Ismail (foto) yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat di DUN Pulau Tawar? Mana pergi mereka yang sepatutnya memainkan peranan dalam isu sejarah dan pelancongan ini?. Masing-masing menikus dan tidak berani untuk bangkitkan isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebagainya. Akhirnya, inilah yang berlaku bila akhbar mengeluarkan berita sedih tentang peninggalan sejarah tersebut seperti yang dilaporkan oleh Metro Ahad semalam", katanya. "Saya pernah membawa perkara ini kepada pihak atasan, anehnya mereka menegur saya dengan mengatakan bahawa Mat Kilau dan Tok Gajah itu adalah pengkhianat serta penderhaka. Maka apa guna sejara peninggalannya dibangunkan" tambah Cucumatkilau. Itulah jawapan yang diterima apabila isu itu cuba dibawa ke atas. Difahamkan, pada masa ini beberapa persatuan yang berkaitan dengan Mat Kilau telah ditubuhkan bagi memperjuangkan isu ini. Namun, sehingga kini mereka dilihat masih menemui jalan buntu. Cuma difahamkan Kerajaan akhirnya bersedia membina sebuah galeri di Bukit Rang Pulau Tawar seperti yang dijanjikan Wakil Rakyat terbabit. Namun, ia sekadar janji dan perlaksanaan belum tentu. Malah, Menteri Besar Pahang dulu juga pernah berjanji di awal kemunculan Mat Kilau kerajaan sedia memberikan sebidang tanah kepadanya di Kuantan. Namun, hingga kini ia terus menyepi tanpa berita?

Ke Mana Pergi Exco Pelancongan Pahang Agaknya

Bayangkan rumah yang sepatutnya dijadikan produk pelancongan sejarah untuk tatapan generasi akan datang terbiar layu menyembah bumi tanpa ada sebarang usaha oleh pihak berkenaan untuk memulihara dan sebagainya. Perkara ini bukanlah isu baru yang cuba diketengahkan. Sebelum ini memang sudah berkali-kali kisah peninggalan sejarah Pahlawan Melayu Pahang dipandang sepi oleh Kerajaan Negeri, malah langsung tidak ada usaha untuk membangunkan lokasi-lokasi terbabit termasuk di kampung asal Mat Kilau di Pulau Tawar. Ia jauh sekali berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Melaka membangunkan peninggalan sejarah pahlawan Hang Tuah, Hang Jebat dan lain-lain disana. Begitu juga di Perak, Kerajaan Negeri membangunlan sebuah komplek sejarah sebagai kunjungan generasi muda untuk memperingati perjuangan Datuk Maharajalela menentang penjajah British. Begitu juga di negeri-negeri lain, perjuangan Tok Janggut (Kelantan), Abd Rahman Limbong (Trengganu), Mat Salleh (Sarawak) dan ramai lagi. Semuanya dibangunkan agar menjadi destinasi pelancongan bagi negeri terbabit. Malah, Kerajaan Negeri Kedah sanggup membangunkan peninggalan sejarah Mahsuri di Pulau Langkawi, biar pun ia mungkin hanya sekadar lagenda semata-mata. Persoalannya, mana pergi Exco Pelancongan Pahang iaitu Dato' Haji Shafik Fauzan Sharif (foto) yang sepatutnya memainkan peranan ini?. Tambahan pula lokasi tapak rumah Mat Kilau itu adalah berada dalam kawasan DUN Inderapura yang diwakilinya. Masakan beliau tidak ambil tahu hal ini?.

Rumah Pusaka Mat Kilau Wajarlah Di Bangunkan

Sejarahnya, disebabkan Mat Kilau dicop sebagai "penderhaka" oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di rumah tersebut. Semejak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. Dalam bulan Disember 1969, Allah telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya di Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung itu untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatan Kuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis 6 hb.Ogos 1970 Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 123 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita untuk dibukukan buat tatapan kita semua.


Rumah pusaka Pahlawan Mat Kilau ketika awal kemunculannya dulu

Rumah pusaka Mat Kilau kini jatuh menyembah bumi tanpa pembelaan
[Itu sejarahnya, namun kini segalanya tinggal kenangan yang abadi. Persoalannya, kenapakah rumah pusaka peninggal Mat Kilau terbiar layu sedemikian rupa. Sejak sekian lama segala khazanah dan peninggalan pahlawan itu langsung tidak diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan. Malah, kampung asal beliau di Pulau Tawar juga kini terbiar tanpa ada daya tarikan pelancongan. Paling menyedihkan, apa yang berlaku kepada Mat Kilau ini tidak seperti pejuang-pejuang lain di negara ini. Siapakah harus dipersalahkan agaknya. Jika benar kerajaan mengikhtiraf pejuang kemerdekaan dan penentang British, maka sesuatu perlu dilakukan sekarang. Jangan hanya bercakap tapi tak serupa bikin. Semua ini membutikan bahawa jasa-jasa pahlawan terdahulu hanya dikenang namanya sahaja tetapi tidak kepada peninggalan sejarahnya. Inilah yang memusykilkan ramai pihak sekarang. Sepatutnya sejarah peninggalannya itu juga dibangunkan untuk tatapan anak cucu serta generasi akan datang. Jika ini keadaannya, maka kami yakin lama kelamaan ia akan terus hilang].

Program "Clean Up The World - 2011" Anjuran PAS Berjaya, Ramai Hadiri Badar Fund Raising Dinner Di Restoran Sekilau Seafood Kuantan Malam Tadi!

Posted: 18 Sep 2011 05:13 PM PDT

KUANTAN, 19 Sept - Program "Badar Fund Raising Dinner - An Evening With People Leader" di Restoran Sekilau Seafood, Jalan Hj.Ahmad dekat sini malam tadi telah berjaya mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan orang ramai. Antara tetamu kehormat yang dilihat hadir ialah YB Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS & Exco Kerajaan Negeri Kelantan), Tuan Hj Zulkefly Mohamad Omar (Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia & Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan), YB Datuk Mejar Aznizam Abd Rahman (Exco Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri kelantan), Ustaz Yusof Embong (Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang), Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Pusat), Razali Alias (Pengarah Telekomunikasi PKR Pahang), Arutchelvan (Setiausaha Agung PSM), YB Teo Kok Seong (ADUN Bahau), YB Gan Pei Nei (ADUN Rawang), Ustaz Nasrun Amir (Yang DiPertua PAS Indera Mahkota) dan Andansura Rabu (Pengerusi Lajnah Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang). Majlis malam tadi adalah acara penutupan rogram "Clean Up The World 2011" yang telah bermula pada 17 dan 18 September 2011. Program yang diuruskan oleh Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia (LASPAS) itu telah berlangsung di Kampung Sungai Ular dan juga di Kampung Balok sebelum itu.


Galeri foto Badar Fund Rising Dinner di Restoran Sekilau Seafood malam tadi
Ucapan YB Husam Musa tentang Lynas daput sambutan menggalakkan
Pelbagai acara dan aktiviti telah disusun untuk menjayakan program selama dua hari tersebut. Program ini merupakan kempen alam sekitar komuniti sedunia yang bertujuan untuk menyemai kefahaman dan kesedaran di kalangan masyarakat dunia untuk memelihara kebersihan alam persekitaran. Turut hadir dalam majlis malam tadi ialah kumpunan anti Lynas, NGO "Save Malaysia Stop Lynas" dan wakil-wakil penduduk kawasan Balok dan sekitarnya. Secara keseluruhannya, ucapan yang disampaikan oleh beberapa orang pemimpin malam tadi jelas berkisarkan kepada kempen membantah projek kilang memproses rare-earth milik Lynas Corporation yang bakal beroperasi di Gebeng tidak lama lagi.

Galeri foto ceramah umum di Kampung Sg.Ular Cherating malam kelmarin

Sebelum itu, pada 17 September 2011 yang lalu majlis perasmian program berkenaan telah diadakan di Kampung Sg.Ular dekat Cherating yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj. Mohamad Sabu (Mat Sabu). Pada sebelah malamnya, ceramah umum telah diadakan di kawasan terbabit yang dihadiri oleh ribuan rakyat. Turut hadir dalam program ceramah malam itu ialah YB Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah & AJK DAP Pusat), Zakaria Abd Hamid (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Pusat), Samsul Iskandar Md.Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan), Andansura Rabu (Pengerusi Lajnah Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang) serta lain-lain lagi.

[Ramai yang bertanya, kenapa Kerajaan Negeri Pahang tidak anjurkan program yang sama seperti ini". Sedang umum mengetahui bahawa tarik tersebut adalah disambut di seluruh dunia. Apakah kerana takut untuk membersihkan bumi lantaran kerana banyaknya industri berbahaya di bawa masuk ke negeri ini atau sebaliknya. Sewajarnya kerajaan perlu berkerjasama dengan rakyat untuk memelihara alam sekitar. Namun, jika kerajaan sendiri yang cuba mencemari alam sekitar maka sewajarnyalah rakyat bangkit menentang dan menolak apa yang berlaku. Pulihkan kembali alam skitar kita dan jangan biarkan ia dicemari dengan bahan-bahan radioaktif yang akan mengundang bahaya buat diri kita, anak cucu dan juga generasi akan datang. Ubah sekarang sebelum ia jadi lebih parah].

Tiada ulasan: