Ahad, 4 September 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Jenazah Allahyarham 'Noramfaizul' Telah Selamat Di Semadikan Di Tanah Perkuburan UPM Serdang

Posted: 04 Sep 2011 03:56 AM PDT

SERDANG 4 Sept - Jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor (foto) yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, petang tadi. Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan sahaja anggota keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV. Selepas bacaan talkin disempurnakan, anggota keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat. Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa kebuluran Somalia. Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Antara warga Bernama yang hadir ialah Pengerusinya Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong. Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain. Turut menyambut ketibaan jenazah ialah PM Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa Menteri Kabinet Kerajaan Malaysia yang lain.

[Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan anggota keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir. Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik. Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah iaitu Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian. Najib dan Muhyiddin ialah antara kenamaan yang turut menunaikan solat jenazah buat Allahyarham, yang disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri. Jenazah kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah untuk sembahyang jenazah kedua sebelum disemadikan].

Hj.Hadi Menafikan Dakwaan PAS Mahu MB Kedah Berundur Dan Akui Azizan Masih Kekal Jawatan !

Posted: 03 Sep 2011 05:59 PM PDT

KUALA TERENGGANU, 3 Sept -Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (foto), menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat menyuruh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (meletakkan jawatannya). Dipetik dari portal Harakah Daily, Hadi menyatakan tiada desakan baik daripada beliau atau mana-mana pimpinan PAS Pusat supaya Azizan meletakkan jawatannya. "Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar. Namun buat masa ini beliau masih berehat disebabkan masih dalam rawatan," katanya. Hadi mengulas laporan muka depan akhbar The Star semalam yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat meminta Datuk Seri Azizan meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar. Selain The Star, dakwaan tersebut turut dilaporkan beberapa portal berita, sehingga ia menjadi tanda tanya pelbagai pihak terutama mengenai kesahihannya. Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily hari ini berkata Hadi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Sebaliknya, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut hairan bagaimana dakwaan itu muncul, sedangkan beliau dan pimpinan PAS Pusat tidak pun mendesak Azizan berbuat demikian. "Jadi dengan itu ditegaskan, Presiden PAS menafikan perkara tersebut. Ustaz Azizan tidak pun didesak atau dinasihat pimpinan pusat khususnya Presiden PAS supaya meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar. "Tiada desakan baik daripada Presiden atau mana-mana pimpinan pusat supaya Ustaz Azizan meletakkan jawatan," tegasnya. Sebaliknya, tegas beliau, Presiden PAS memaklumkan bahawa Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi masih berehat buat masa ini disebabkan masih dalam rawatan. Sehubungan itu, beliau berharap supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan laporan tersebut kerana ia jelas sekali tidak berasas.

Tiada ulasan: