Khamis, 1 September 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Tengku Mahkota: Keadaan "Sultan Pahang" Yang Gering Akibat Demam Selasa Lalu Kini Kian Pulih

Posted: 01 Sep 2011 03:14 AM PDT

KUANTAN, 1 Sept - Keadaan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang gering akibat mengalami demam telah kembali pulih. Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah (foto) bertitah ayahandanya mengalami demam pada Hari Raya pertama menyebabkan Sultan Ahmad Shah tidak dapat bersama rakyat menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, Tengku Abdullah bertitah ayahandanya kini telah sembuh namun masih perlu berehat. Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran dalam tragedi yang memusnahkan enam buah rumah era lombong bijih timah di Kampung Baru Seberang, Sungai Lembing dekat sini, Selasa lalu. Turut hadir Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail. Tengku Abdullah yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kejadian itu mengumumkan bantuan berjumlah RM100,000 melalui peruntukan Parlimen Paya Besar untuk membina semula enam rumah yang musnah selain baginda turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa terlibat.

[Sementara itu, baginda turut menyarankan supaya Jabatan Bomba Dan Penyelamat dapat menubuhkan satu unit bomba tetap berbanding bomba sukarela sedia ada untuk beroperasi di sekitar Sungai Lembing. Dalam kejadian pada 5.45 petang Selasa lalu, enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka yang dibina syarikat perlombongan lebih 50 tahun lalu musnah dalam kebakaran tersebut. Kami mendoakan semoga Sultan Pahang cepat sembuh serta dapat kembali bersama rakyat].

Pengerusi "Yayasan Karyawan", Datuk Dr.Hassan Ahmad Telah "Meninggal Dunia" Petang Semalam

Posted: 31 Aug 2011 09:44 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Sept - Pengerusi Yayasan Karyawan dan Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad (foto) meninggal dunia pada jam 2 petang semalam di kediamannya di Petaling Jaya. Anak keduanya, Hasmirawati, 33, berkata bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi itu. Hassan, 74, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur, pagi ini sebelum Zohor. Allahyarham Hassan Ahmad adalah tokoh berpengalaman luas dalam pelbagai aspek penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, serta perancangan bahasa dan sastera. Ini bermakna negara hari ini kehilangan seorang tokoh bahasa yang disegani dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera selepas dilantik sebagai Ketua Pentadbir Institusi itu. Hassan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pontian, Johor pada 1962, namun meninggalkan bidang itu dan menyertai Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963. Sepanjang 13 tahun di DBP, beliau naik setakuk demi setakuk iaitu dari pengawai penyelidik kepada Ketua Bahagian Penyelidikan, Pemangku Pengarah, Pengarah dan akhirnya Ketua Pengarah. Sepanjang tempoh itu, Allahyarham berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

[Beliau bukan sahaja menumpukan terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan. Anak sulung daripada lapan beradik yang dilahirkan dalam keluarga bekas pegawai polis itu menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Selepas itu, anak kelahiran Muar, Johor tersebut melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar sehingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1955. Beliau kemudian diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959. Selepas menamatkan pengajiannya, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian (1962)].

Tiada ulasan: