Jumaat, 16 September 2011

Muslimeen United

Muslimeen United


Mansuh ISA: PAS tunggu akta baru sebelum respon

Posted: 15 Sep 2011 08:32 PM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" dahulu bagaimana bentuk perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum memberi respon lanjut berhubung pemansuhan akta itu yang diumum perdana menteri malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi kerana ianya akan diganti akta baru.

"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri.

"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respon terhadap pembatalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.

Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.

Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional.

"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya.

PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu menentang akta ISA dan menganggapnya satu akta zalim kerana membuat "tahanan tanpa bicara" kepada mangsa akta itu.

Selain ISA, mereka juga sebelum ini mendesak beberapa akta serupa seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan. -Hrkh

Adakah ini hanya janji dan slogan kosong disaat-saat akhir bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ?

Orang kampung termakan dakyah Utusan?

Posted: 15 Sep 2011 08:29 PM PDT

Menuduh PAS menyanjung perjuangan komunis, apatah lagi daripada segi ideologinya, adalah tidak masuk akal sama sekali. PAS bukan sahaja menolak faham komunisme, malah begitu kritikal terhadap ideologi bikinan manusia yang lain.

Tentulah strategis Umno tidak terlalu bodoh untuk memaksa rakyat negara ini supaya mempercayai parti Islam itu begitu terpesong jauh sehingga menerima fahaman tidak bertuhan dan merestui tindakan keganasan.
Justeru, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa manipulasi media selama hampir 20 hari tanpa henti terhadap ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Tasik Gelugor, 21 Ogos lalu sarat dengan motif politik yang cukup tebal.

Bagi perancang kempen Umno, yang selama ini tercari-cari modal dan bekal politik menjelang pilihan raya umum ke-13, isu serangan Mat Indera di Bukit Kepong pada 1950, yang disebut sepintas lalu dalam ucapan Mat Sabu itu, dilihat senjata paling ampuh untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu.

Sesungguhnya Umno sudah putus harapan dengan masyarakat bukan Melayu, terutama pengundi Tionghua. Keputusan pilihan raya negeri Sarawak semakin memudarkan impian mereka untuk menjinakkan "kemarahan" masyarakat Cina, yang begitu terserlah dalam PRU12 sehingga mencetuskan tsunami politik yang bersejarah itu.

Kini, talian hayat Umno untuk terus menerajui takhta dan menguasai Putrajaya semata-mata tertumpu kepada orang Melayu. Melihat bagaimana Utusan Malaysia dan TV3 secara intensif menimbulkan isu-isu yang membangkitkan sentimen kemelayuan sudah cukup untuk membuktikan Umno terpaksa memperjudikan survival kuasanya.

"Apabila isu Mat Indera dimainkan setiap hari sejak 27 Ramadan lalu, bagi saya, itu petanda Umno sudah bankrap atau muflis isu," kata seorang penganalisis politik, yang juga seorang pensyarah kanan undang-undang sebuah universiti tempatan.

"Ia juga membuktikan segala usaha pembaharuan Najib Razak, terutama berkaitan pakej ekonomi, telah gagal dan langsung tidak membantu memulihkan imej BN. Lalu, tiada pilihan melainkan mencari-cari apa yang dilihat sebagai kelemahan pembangkang, khususnya PAS, iaitu seteru terkuat Umno, untuk digembar-gemburkan," tambahnya.

Kesempatan menemubual Mat Sabu, Isnin lalu, memberi kesempatan untuk saya mencari jawapan di atas "kekeliruan" yang dibangkitkan media Umno. Ternyata beliau cukup yakin dan selesa menjawab pertanyaan kami, malah menjangkakan Umno "menggali kuburnya" sendiri apabila membangkitkan soal sejarah kemerdekaan negara.

Selama ini, tidak kurang ramainya masyarakat Melayu, khususnya golongan yang sudah berumur, yang cukup menyanjung "satu-satunya jasa tidak ternilai Umno" iaitu memerdekakan Tanah Melayu. Persepsi itu diwarisi turun-temurun.

Malah, sebahagian mereka mengakui rekod buruk Umno selama memerintah lebih 54 tahun, tetapi tidak dapat melupakan "pengorbanan pemimpin Umno" untuk menghalau penjajah (walaupun kini diberitahu oleh juak-juak Umno di menara gading bahawa negara tidak pernah dijajah). Dan cara terbaik "membalas budi" Umno itu adalah dengan terus mengundinya dalam pilihan raya!

Walaupun saya tidak begitu mudah untuk meyakini Umno dapat ditewaskan dengan mudah melalui polemik ini, namun saya amat bersetuju jika "pancang kekuatan palsu" parti itu dapat robohkan atau sekurang-kurangnya dilemahkan.

Saya yakin masih ramai sarjana sejarah, yang jujur dengan ilmu mereka, bersedia berkongsi pengetahuan dengan publik, khususnya ketika rakyat cukup dahagakan "kisah benar" yang selama ini terselindung. Dan di pasaran sebenarnya sudah ada buku-buku yang mampu menyingkap "kegelapan" itu.

Percayalah, dalam waktu terdekat, kita akan dilambakkan dengan buku-buku yang mampu "memperbetulkan" sejarah negara, sekali gus mendokong usaha yang dirintis Mat Sabu itu ....

Pada awal bicara kami, Mat Sabu menjelaskan bahawa tema ceramah kontroversinya itu adalah soal sambutan kemerdekaan yang sudah jadi sambutan Umno dan bukan sambutan nasional yang dirayakan rakyat. Temanya adalah pengiktirafan kepada semua pihak yang menyumbang ke arah kemerdekaan, termasuk Umno.

Saya cuba mempersoalkan kemungkinan isu berkaitan keganasan komunis ini akan "mencederakan imej PAS" di kalangan masyarakat Melayu desa atau peneroka Felda. Kebanyakan konstituensi tradisi PAS masih di kampung-kampung, yang agak belum dapat ditembusi terjahan maklumat sepenuhnya.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengakui undi Melayu yang menjadi teras kekuatan politik tanahair perlu dikuasai PAS dalam PRU13, dengan target untuk memenangi 60 kerusi Parlimen. Hampir semua kerusi itu mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Lagi pun kebanyakan anggota keselamatan adalah orang Melayu. Dengan memutar-belitkan ucapan Mat Sabu itu, sambil menonjolkan bukti keganasan komunis seperti kudung kaki akibat jerangkap samar (walaupun tragedi berlaku pada 1970-an dan langsung tiada kaitan dengan penekanan Mat Sabu), Umno yakin undi pesara tentera, bekas polis dan kaum keluarga mereka tidak akan lari daripada BN.

Mat Sabu tidak menolak hakikat itu tetapi menganggapnya satu cabaran besar yang mesti ditukar kepada peluang untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Namun beliau yakin bahawa perubahan dalam mana-mana pilihan raya lebih difaktorkan oleh kesedaran berpolitik masyarakat bandar.

"Saya yakin, anak-anak orang kampung yang tinggal di kota, yang terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi media baru dan berkomunikasi melalui Facebook dan Twitter, dapat menjelaskan isu sebenar kepada ibu bapa mereka.

"Yang penting kita harus menukar apa yang dilihat sebagai tekanan ini kepada potensi untuk meluaskan pengaruh PAS," tekannya. "Ya," pintas saya, "kita seharusnya tidak mudah mengalah, mungkin di peringkat awal isu ini nampak memihak Umno, tetapi jika kempen dan penerangan diberikan secukupnya ke akar umbi, kebenaran sejarah akan terdedah."

"Apa pun, bagi saya," kata Mat Sabu, "kepada masyarakat di kampung, yang lebih penting adalah kesediaan PAS untuk turun bersama rakyat, berdamping erat dengan mereka, merasai susah-payah mereka dan menawarkan bantuan. Isu-isu nasional kadang-kadang tidak begitu mempengaruhi."

Dalam pada itu, beliau sempat menekankan, janganlah kita terlalu merendah-rendahkan keupayaan masyarakat kampung untuk membaca real-politik dan mengesan tipu-helah Umno memutar-belitkan isu ini.

Namun, beliau berulang kali mengingatkan kami tentang batas sempadan yang perlu diberi perhatian, iaitu masa sebelum merdeka dan selepas tarikh 31 Ogos 1957. Polis yang dilihat mempertahankan kepentingan British berada di zaman penjajah ketika bendera UnionJack masih berkibar megah.

Selepas merdeka, Mat Sabu dengan tegas menolak pendekatan militan dan keganasan pihak komunis kerana ruang demokrasi, meskipun diakui sempit, telah terbuka. Dalam kesibukannya, beliau masih sempat mengisi kolum "Membedah Demokrasi" dalam Harakah, yang konsisten mempromosikan usaha penambahbaikan terhadap sistem yang dianggap antara terbaik yang pernah dihasilkan manusia.
Oleh Ahmad Lutfi Othman

Mansuh ISA bukti Najib tertekan hadapi PRU 13

Posted: 15 Sep 2011 05:57 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan langkah mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia yang ditunggu-tunggu itu, Najib mengumumkan rancangan pemansuhan ISA dan beberapa peraturan lain termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, peraturan yang ditentang hebat pengamal media negara ini, terutama yang cenderung pembangkang.

Ekoran pemansuhan ISA, undang-undang lain akan digubal bagi tujuan keselamatan, tindakan yang bakal mendapat perhatian wakil-wakil rakyat pembangkang yang dilihat masih berhati-hati dengan tindakan Najib ini.

Sesetengah pihak turut menimbulkan persoalan tentang satu lagi undang-undang yang mengekang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, yang menjadi satu senjata utama pemerintah mengawal institusi pengajian tinggi.

Tindakan mengejutkan Najib ini menandakan tekanan hebat dihadapi pemerintah di bawah pimpinan beliau, yang mengalami suasana sukar ekoran kemenangan besar pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Pemansuhan ISA dan beberapa undang-undang lain ini juga menunjukkan sejauh mana pentadbiran Najib bersedia untuk melaksanakan perubahan, dan memberi gambaran kesungguhan Najib untuk mengekalkan kuasa Umno dan gabungan parti pemerintah.

Langkah drastik Najib ini sedikit menjejaskan usaha politik pembangkang yang menjadikan ISA sebagai satu alasan utama menentang pemerintahan Umno dan Barisan Nasional, dan menjadi langkah populis terkini pentadbiran Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Apapun analisis akhir isu ini, Najib telah mencatat sejarah sebagai perdana menteri yang memansuhkan ISA dan melaksanakan reformasi yang kritikal, walaupun kelihatan untuk memenuhi tuntutan politik semasa.

Najib kini telah mengurangkan satu isu besar untuk dijadikan bahan kempen menentang pemerintah, dan memaksa pembangkang mencari sudut lain dalam menangani isu ini.

Pembangkang gabungan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan anti-ISA di ibu negara pada 2009, dan dilaporkan merancang mengadakan satu lagi program anti-ISA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Najib berhubung ISA ini walau bagaimanapun dijangka menerima respons negatif sesetengah pihak yang menyokong BN, termasuk pertubuhan yang sebelum ini lantang menunjukkan sokongan kepada undang-undang drakonian itu.

Perhatian selepas ini akan tertumpu pada belanjawan yang bakal memberi peluang sekali lagi kepada Najib untuk menaburkan janji dan habuan kepada rakyat bagi membina sokongan.

Sebelum ini, menjelang Hari Raya Aidilfitri, pentadbiran Najib mengumumkan ganjaran bonus dan habuan lain kepada kakitangan awam, selepas beberapa tahun tidak menerima sebarang bonus.

Siasah

Polis Kantoi lagii.."Suami Saya Kaya" Tak Mungkin Dia Merompak..??

Posted: 15 Sep 2011 05:55 PM PDT

"Suami saya orang kaya, tiada sebab dia perlu merompak," kata isteri kepada seorang ahli perniagaan yang maut selepas ditembak mati oleh polis awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.02 tengah malam itu, Kathir Oli Fakir Mohd, 31, maut ditembak di dada kirinya oleh polis di sebuah pub di Jalan Mustafa Albakry, Pekan Baru di sini.

Kejadian berlaku selepas mangsa bersama tiga lelaki lain dikatakan masuk ke dalam sebuah pub berkenaan sebelum berlaku pergaduhan disusuli kejadian tembakan di luar premis.

Isteri mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan suaminya beberapa minit selepas kejadian.

Dia yang berusia 33 tahun, bergegas ke lokasi kejadian dan mendakwa polis tidak membenarkannya mendekati mayat suaminya di belakang kereta Mercedes Benz milik mereka.

"Saya diberitahu suami bergelut dan ditembak polis kerana mahu melakukan rompakan di pub berkenaan.

"Saya tidak percaya semua itu kerana kami bukan orang susah. Kami mempunyai syarikat lori, pengangkutan, binaan dan pelbagai perniagaan lain," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi semalam.

Menurutnya, keluarganya tidak pernah menghadapi masalah kewangan malah Kathir didakwanya tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kali terakhir dia ada menghubungi saya jam 10 malam kelmarin dan memberitahu ingin keluar makan bersama dua rakan dan dua pekerjanya. "Saya tidak percaya dia pergi merompak pub itu. Ada kemungkinan dia mangsa keadaan atau kecuaian," katanya yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.

Menurutnya, dia akan mendapatkan khidmat peguam bagi mendapatkan keadilan selain mengetahui punca sebenar kematian suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa bersama tiga suspek menyerang anggotanya sehingga cedera di bahagian muka, mata dan calar-calar di badan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan yang kebetulan berada sekitar lokasi kejadian mendengar jeritan pekerja wanita di pub berkenaan dan mendapati empat lelaki cuba menyamun pusat hiburan berkenaan.

"Sebaik tiba di pub, anggota polis diserang dengan parang sebelum berlaku pergelutan. Malah, lebih mengejutkan dua daripada suspek cuba merampas pistol anggota berkenaan.

"Bagi mempertahankan diri dan nyawa, anggota berkenaan mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai dada mangsa," katanya, semalam.

Katanya, anggota berkenaan turut menahan dua suspek lain manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas itu.

Mohd Shukri berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan manakala, tiga suspek ditahan reman selama seminggu malah dan polis juga sedang menyemak sama ada semua suspek mempunyai rekod jenayah.

Tiada ulasan: