Ahad, 4 September 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


"Tolong kami" - pelajar kita di Syria

Posted: 04 Sep 2011 10:52 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Tolong kami. Setiap hari kami menanti dengan penuh harapan supaya sesuatu dapat diusahakan membolehkan kami mengeluarkan wang. Sudah seminggu kami menggunakan baki simpanan yang ada dan tidak tahu sampai bila dapat bertahan sedangkan banyak hutang lain perlu dibayar," kata penuntut Malaysia di Syria yang hidup tertekan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kad kredit di negara itu.

Noor Ikhwan Abdul Razak, 23, berkata, selepas Amerika mengenakan sekatan sebagai protes membantah tindakan rejim pimpinan Presiden Bashar Al-Asad mengancam untuk membunuh rakyatnya yang terbabit dengan desakan menuntut beliau meletak jawatan.

Katanya yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, berikutan keadaan yang bergolak itu, pelajar Malaysia terutama di Damsyik kini buntu mencari jalan mengeluarkan wang simpanan di bank menggunakan kad kredit bagi membiayai pelbagai perbelanjaan termasuk yuran pengajian dan sewa rumah.

Noor Ikhwan berkata, dia dan rakannya tidak berani mengambil risiko keluar dari ibu negara berkenaan semata-mata untuk mengambil wang kerana bimbang kemungkinan tidak dapat masuk semula ke sana ketika pergolakan semakin meruncing.

"Ada antara rakan yang memberi cadangan supaya keluar ke Jordan dan Lubnan, namun kami tidak pasti sama ada dapat masuk semula ke sini atau tidak kerana keadaan sekarang tidak menentu. Apa yang boleh kami buat ialah menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih," katanya menerusi perbualan telefon bersama wartawan Harian Metro, di sini,semalam.

Menurutnya, menerusi persatuan pelajar Malaysia di sana, satu perjumpaan dengan pihak kedutaan sudah diadakan dan hanya dimaklumkan pihak berkuasa masih menunggu maklum balas Wisma Putra selain dinasihatkan bersabar sehingga keadaan pulih Perasaan sama turut dikongsi rakannya, Muhamad Fazlan Abd Rahman, 29, yang mengakui gusar dengan keadaan semasa di negara berkenaan sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian kepada pengajian yang sudah memasuki tahun keempat di Universiti Fatah Islami, Damsyik sebelum pulang ke tanah air.

Malah, katanya, rasa bimbang itu turut menghantui lebih 200 penuntut negara ini, kebanyakannya menyambung pengajian di universiti itu menggunakan wang sendiri dikirim ahli keluarga setiap bulan manakala sebahagian lagi memperoleh tajaan agensi tertentu dan kerajaan.

"Bayangkan bagaimana kami hendak meneruskan kehidupan di sini, perbelanjaan purata sebulan pun berjumlah 6000 Lera (kira-kira RM450), tidak termasuk sewa rumah dan perbelanjaan luar jangka yang lain. Duit semuanya dalam akaun tapi tidak dapat dikeluarkan akibat sekatan ini.

" Justeru, kami merayu kerajaan menerusi Wisma Putra mencari jalan agar kami dapat meneruskan kehidupan di sini dan menamatkan pengajian seperti dijadualkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan susulan bagi membantu kumpulan penuntut terbabit kerana krisis di negara itu semakin meruncing. - myMetro

Jenazah jurukamera BERNAMA TV selamat dikebumi

Posted: 04 Sep 2011 02:49 AM PDT

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.

Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan sahaja anggota keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV.

Selepas bacaan talkin disempurnakan, anggota keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat.

Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Antara warga Bernama yang hadir ialah Pengerusinya Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong.

Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain.

Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan anggota keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik.

Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Jenazah Noramfaizul kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah berdekatan untuk sembahyang jenazah untuk kali kedua sebelum disemadikan.

- Bernama

Tiada ulasan: