Khamis, 1 September 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Mat Sabu dikecam tanpa usul periksa : DSAI

Posted: 01 Sep 2011 10:51 PM PDT

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk mempertahankan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung kenyataannya mengenai Bukit Kepong dan membidas media milik Umno yang terus menyerang pemimpin itu.

Katanya, Mohamad sepatutnya diberi ruang untuk menerangkan keadaan sebenar terlebih dahulu sebelum dikecam tanpa usul periksa oleh media arus perdana.

Anwar berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas ke majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kubang Semang, Penanti, Permatang Pauh, petang semalam.

Menurut beliau lagi, media arus perdana tidak langsung memberi peluang kepada Mohamad untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Mereka bersama pimpinan Umno terus menyerang Mohamad Sabu tanpa diberi ruang untuk membela diri di atas dakwaan yang dimainkan oleh media milik mereka.

"Serangan demi serangan ini seolah-olah tidak langsung memberi keadilan kepada Mohamad, kerana beliau bukan saja ditekan tanpa diberi peluang, tetapi diasak bertubi-tubi tanpa ruang.

"Mekanisme yang digunakan oleh media milik pemerintah ini, adalah antara agenda dan serangan yang diaplikasikan menjelang pilihan raya umum yang akan datang," katanya yang juga ketua umum PKR.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Dalam pada itu, Mohamad pada sidang akhbarnya pada 29 ogos lalu berkata laporan Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.

Menurut Anwar, isu itu sengaja dimainkan oleh media milik Umno sebagai usaha memberi imej buruk kepada masyarakat dengan memberi label yang menyimpang kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sepatutnya Mohamad diberi ruang untuk membela diri dan bukannya dikecam sebegitu rupa oleh media arus perdana milik Umno sekiranya benar-benar mereka adalah media yang adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat negara ini," katanya lagi. - malaysiakini

Kunta Kinte original: Raya, merdeka ke mana arah kita

Posted: 01 Sep 2011 06:11 PM PDT

2011/09/02
DALAM kita masih merayakan eid mubarak – perayaan yang diberkati – dan baru saja mengingati ulang tahun kemerdekaan, Kunta Kinte nak cakap sikit mengenai dua peristiwa ini.

Pasal raya puasa, Kunta Kinte tengok dah sangat berlainan daripada zaman Kunta Kinte budak-budak dulu. Hari raya dulu dan sekarang dah tak sama lagi. Dulu sepasang pakaian baru belum tentu mampu. Kunta Kinte masuk sekolah menengah baru dapat kasut kulit. Sebelum tu, paling-paling hebat pun kasut kanvas Bata. Kalau tidak, kasut Fung Keong saja. Tu pun dah cukup bagus pasal ramai lagi yang pakai selipar atau kaki ayam saja. Duit 10 sen besarnya sama dengan roda kereta lembu. Masa itu, kereta lembu dan kereta kerbau ada lagi. Bas Mara belum ada. Jadi, kalau nak berjalan jauh kena naik basikal atau tumpang 'prevet' – kereta persendirian yang angkut penumpang. Teksi belum ada lagi.

Sekarang, pakaian berjenama, Iphone, Ipad, Skype dan teks dah jadi perkara biasa. Orang tua-tua pun Kunta Kinte tengok dah terbawa-bawa. Ada yang lebih asyik dengan mainan komputer dan SMS daripada layan tetamu. Cukup tak sedap.

Makan tak kira lagilah. Tak hairanlah bangsa kita dah lebih daripada gemuk. Dah boroi dan obes. Nak cari anak dara pinggang ramping dan badan langsing pun dah susah. Kalau tak jaga, satu hari nanti, satu Malaysia boleh kena penyakit kronik sebab terlebih makan dan makan tak jaga.

Jadi, dalam kita seronok raya, Kunta Kinte harap kita janganlah lupa, bukan apa, cuma takut-takut Melayu tak hilang di dunia tapi hanyut di Malaysia. Pada bulan Ramadan, Kunta Kinte pergi solat waktu dan tarawih di beberapa buah masjid dan surau. Di Masjid KLCC, Melayu hampir-hampir hilang di dunianya sebab penuh dengan pendatang dan pelawat asing.

Malaysia dah jadi sangat kosmopolitan – dibanjiri orang asing. Ada yang halal, ada yang makruh dan ramai yang haram. Buatlah pemutihan ka, pengampunan ka, maaf cakaplah, Kunta Kinte nampak sama saja. Pi mai pi mai tang tu sebab walhasil balik asal, itu pasal tak hasil.

Takut-takut daripada kosmopolitan jadi syaitan.

Ngam-ngam 31 tahun lalu, masa dalam penerbangan pergi-balik Kuala Terengganu dengan kapal terbang eksekutif Kerajaan Malaysia, Kunta Kinte bincang hal yang sama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri waktu itu, Tun Musa Hitam.

Dalam hal kemasukan pendatang dan cara kita urus atau lebih tepat, tak urus mereka, Kunta Kinte nampak tak ada banyak perbezaan di antara dulu dan sekarang. Cakap banyak, aksi kurang.

Jadi, orang Utara kata, dah magli bila dengar ikrar dan janji pasal isu pendatang ni. Dah tak tahu dan tak berani nak komen sebab macam-macam dah jadi, tapi tak selesai-selesai lagi. Yang Kunta Kinte tengok, kita makan nasi sepinggan, pendatang India makan tiga pinggan sekali jalan. Tak hairanlah import beras subsidi kita naik dari tahun ke tahun dan harga barang melambung.

Kunta Kinte tak tahulah kalau pemandangan di masjid, pasar raya dan pusat beli-belah itu berupa pratunjuk kepada apa yang akan terjadi kepada Malaysia pada masa akan datang – ditakluki pendatang.

Adakah orang Melayu akan terus jadi tuan rumah, duduk di serambi atau jadi fakir terperosok di ceruk dapur merayu simpati? Wallahualam.

Di kawasan tempat Kunta Kinte tinggal, majoriti penduduk adalah Cina. Rumah mereka dan kereta mereka lebih besar daripada rumah dan kereta Melayu. Selepas lebih 50 tahun mereka, ekonomi mereka gemilang, ekonomi Melayu masih layu, tapi Melayu saja yang kibar Jalur Gemilang.

Seelok-eloknya, biarlah orang Melayu terus duduk di serambi, kekal makmur di buminya sendiri dan, seperti kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia. Tapi soalnya, Melayu macam mana?

Balik kepada eid mubarak, sebagai ayah, Kunta Kinte bersyukur walaupun berasa sayu pasal tiga daripada lima anak Kunta Kinte tak ada di sisi untuk bermaaf-maafan dan memberi ciuman sayang pada hari raya.

Dua ada di Switzerland – seorang menetap di sana bersama suami dan tiga anaknya dan seorang lagi ke sana untuk temu duga permohonan pengajian lepasan ijazah. Yang ketiga sedang belajar di Australia.

Kita semua ada suka dan duka hari raya. Namun kita masih boleh bersyukur sebab dapat sekali lagi berpuasa Ramadan dan berhari raya dalam suasana aman dan gembira.

Akhir kalam, Kunta Kinte ucapkan selamat hari raya dan mohon maaf kalau ada sikap dan salah. Wassalam - BH

Mat Sabu : Pasai apa saya nak minta maaf? Biar polis siasat

Posted: 01 Sep 2011 04:16 PM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong kerana perkara itu hanya putar belit Utusan Malaysia dan dijadikan isu oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Sebaliknya Mohamad (gambar) berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis yang telah pun menghubunginya untuk disoal siasat.

"Pasal apa saya nak minta maaf, biar polis siasat," kata beliau dipetik Harakahdaily lewat petang ini.

Mohamad juga berkata beliau telah pun dihubungi pihak polis berhubung siasatan yang akan dijalankan terhadapnya.

Bagaimanapun katanya, belum ada tarikh khusus ditetapkan untuk sesi soal siasat.

"Saya telah terima panggilan telefon daripada pihak polis nak panggil beri keterangan. "Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya lagi.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan kenyataan Mohamad yang dikatakan menghina pasukan polis baru-baru ini.

Menurut Khalid, kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

"Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh," kata beliau.

"Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong," katanya.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara - TMI

Solat Aidilfitri di Russia (gambar)

Posted: 01 Sep 2011 05:17 AM PDT



Lagi gambar-gambar di sini

Pelajar ditembak : 3 anggota polis ditahan

Posted: 01 Sep 2011 02:42 AM PDT

2011/09/01

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta di Taman Seri Rampai, Setapak, di sini Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ketiga-tiga anggota itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal.

"Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman dan seorang lagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Khamis.

Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergeseran kenderaan, namun siasatan masih lagi dijalankan.

Selain tiga anggota polis itu, tiga lagi yang ditahan semalam adalah rakan mangsa berumur antara 20 dan 27 tahun.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 4 September bagi membantu siasatan.

Pelajar lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilaporkan cedera parah akibat ditembak di hadapan sebuah kelab malam pada 6 pagi.

Pelajar itu bersama tiga lagi rakannya baru sahaja memasuki kereta untuk meninggalkan kelab malam berkenaan apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki. - BERNAMA

Tiada ulasan: