Isnin, 19 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Keangkuhan Najib Akui Kesilapan Bakal Runtuhkan UMNO BN Dengan Lebih Cepat

Posted: 19 Sep 2011 12:35 AM PDT

Najib enggan akui kesilapan - Pak Samad

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mempersenda pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai "tidak mengakui kesilapan kerajaannya".

A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata, amat malang apabila BN khususnya Najib masih enggan mengakui bahawa pengumuman pemansuhan itu hasil desakan rakyat khususnya anak muda yang mahukan perubahan demokrasi.

"Selama 54 tahun mereka tak terfikirkan pun ISA itu harus dikikis. Tiba-tiba sahaja mendapat ilham, dan tidak mengakui bahawa ini adalah desakan daripada kelompok antaranya anak muda bahawa kita sudah tidak tertahan lagi.

"Perdana Menteri pun dua tiga hari ini mengumumkan...oh, kami...kami sahaja yang meluruhkan ISA tapi tidak diceritakan kerana desakan-desakan itulah yang mendorongnya untuk merubah. Kalau tidak ada desakan-desakan itu, saya tidak fikir (ISA dimansuhkan) kerana itu adalah alat yang sangat bermanfaat untuk menekan (rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran buku Puisi Jadi Senjata yang memuatkan himpunan sajak anak muda sookoong A. Samad Said dan Bersih 2.0 di Dewan Annex, Central Market, dekat sini, semalam.

Pak Samad yang merupakan antara pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghadap Sultan Mizan untuk merundingkan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu juga tidak menafikan puisi anak muda ini turut mempengaruhi tindakan Najib.

"Apa yang dilakukan ini sebenarnya satu keberanian, satu pernyataan yang akhirnya antalogi ini masuk dalam arus massa Perdana Menteri untuk mengumumkan penghakisan ISA.

"Itu saya fikir satu kemenangan yang baik, dan tentunya Perdana Menteri tidak akan mengakui itu. Tapi mahu tidak mahu, ini adalah satu jalur yang menggerakkan dan kemudian menjadi sungai yang besar mengasak, dan itulah yang berlaku," katanya di hadapan kira-kira seratus hadirin, majoritinya golongan muda.

Seni senjata anak muda

Menyifatkan seni khususnya puisi sebagai 'senjata' berkesan untuk menyedarkan pemerintah, Pak Samad mahu antalogi ini disebarluaskan ke serata negeri untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan bahawa puisi ini tidak hanya bergerak di Kuala Lumpur, tetapi tentunya ada teman lain di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Walaupun dalam bentuk kecil-kecilan, pergerakan menyatakan bahawa seni itu senjata sangat penting.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak muda menerbitkan antalogi ini, Pak Samad berkata suara anak muda yang diterjemahkan melalui seni mampu merubah keadaan negara berbanding orang tua yang sudah selesa dengan kedudukan mereka.

"Yang sudah-sudah orang mengatakan seni itu hiburan sahaja, main-mainan sahaja. Tapi di tangan anak-anak muda, puisi menjadi senjata. Saya amat berbangga

"Saya sangat yakin hanya suara anak muda sahaja akan merubah. Orang tua ia sudah bersikap, maksudnya dia tidak mahu diganggu. Tapi yang benar sekarang ini ialah dunia anak muda. Bukan dunia saya lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak terus membiarkan kuasa zalim terus membelenggu rakyat namun harus menghapuskannya melalui undi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya harap suara muda ini membenihkan suatu keazaman untuk regim change. Kalau tidak, bermakna andalah yang membenarkan suatu kuasa itu berterusan dan jangan salahkan orang-orang tua, salahkan diri anda sendiri.

"Saya mengharapkan anak muda tidak hanya menggunakan sajak sebagai senjata tapi menggunakan undi juga sebagai senjata yang sangat bermanfaat," pesan beliau yang mula menjadi ikon anak muda sejak lantang menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan BN melalui karya dan turut turun ke jalanan berdemonstrasi. -HD

Ulasan GB

GB melihat keengganan Najib untuk memperakui pemansuhan ISA adalah dari desakan PR dari perspektif berbeza sedikit.

Pertama, Najib menipu diri sendiri. Kerana selama ini, dunia mengetahui bahawa di Malaysia, Pakatan Rakyat telah lama dan konsisten di dalam desakan supaya ISA dimansuhkan. Justeru, penafian Najib itu adalah laksana cuba menutup kebenaran, awan hitam yang cuba menutup cahaya matahari, tindakan yang sia-sia.

Kedua, Najib melaksanakan apa yang dituntut di dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat. Meskipun Najib menafikan ia meniru apa yang tercatat di Buku Jingga, namun hakikatnya, itulah yang sebenarnya berlaku kerana Buku Jingga telah memperjuangkan pemansuhan ISA.

Satu demi satu apa yang digariskan di dalam Buku Jingga itu dilaksanakan oleh Najib sebelum PR dapat melaksanakannya. Ini bererti kemenangan besra PR sehinggalah satu ketika nanti, Najib dan BN akan diturunkan dari kuasa pemerintahan kerana tidak mempunyai idea lain untuk dilakukan selain dari mencedok idea PR. Tatkala itu hukum kebenaran pun akan mengambil tempatnya: Jika yang dijalankan semua idea PR, maka kamu, BN, sila turun takhta pemerintahan, kerana PR lebih layak memerintah kerana semua yang kamu lakukan adalah Gagasan dan Wawasan PR, bukan BN!


Lagi Kes Pelajar Mati Dihempap Tiang Gol

Posted: 18 Sep 2011 10:50 PM PDT

Klang: "Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya," kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.

Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman (gambar kecil), 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

"Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

"Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan," katanya. -hm


Kronologi maut dihempap tiang

7 Mac 2000

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini mati selepas dihempap tiang gol yang diperbuat daripada besi sewaktu bermain di padang sekolahnya.

30 Januari 2008

SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun empat maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di tepi padang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang (SKTSW) selepas waktu persekolahan sementara menunggu kedatangan bapanya.

4 November 2010

KEPALA BATAS: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas di sini, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya.


Anak Pengarah Di Putrajaya Dicekup Khalwat Jam 3 Pagi

Posted: 18 Sep 2011 08:52 PM PDT

Anak pengarah disyaki khalwat

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan anak perempuan seorang pengarah agensi kerajaan beribu pejabat di sini kerana disyaki berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah hotel murah di Dengkil, dekat sini, awal pagi kelmarin. Gambar fail.

Difahamkan, perbuatan remaja perempuan berusia 19 yang bekerja sebagai kerani dan teman lelakinya berusia 26 tahun itu terbongkar selepas pegawai penguat kuasa JAIS dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyerbu bilik hotel disewa pasangan terbabit, kira-kira jam 3 pagi.

Sumber JAIS berkata, ketika serbuan anggota penguat kuasa JAIS dan MPSepang memberi salam, mengetuk pintu beberapa kali serta menunggu kira-kira setengah, sebelum ia dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Katanya, pihak berkuasa kemudian melakukan pemeriksaan lanjut, sebelum menemui seorang remaja perempuan berpakaian lengkap yang sedang bersembunyi di belakang pintu tandas bilik hotel terbabit.

"Ketika disoal siasat lelaki dan remaja perempuan terbabit mengaku mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram yang sah. Malah, remaja berkenaan meminta dilepaskan kerana dia adalah anak seorang pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya.

"Teman lelakinya pula merayu supaya dilepaskan kerana mereka sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, helah pasangan terbabit terbongkar selepas remaja perempuan terbabit akhirnya mengaku bahawa mereka hanya kawan biasa dan tidak pernah bertunang dengan lelaki berkenaan," katanya ketika ditemui di sini.

Mereka adalah antara enam lelaki dan wanita berusia 19 hingga 27 tahun ditahan anggota penguat kuasa JAIS dan MPSepang dalam operasi cegah maksiat sempena sambutan Hari Malaysia di sekitar daerah Sepang, mulai jam 1 hingga 4 pagi, kelmarin.

Semua pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 29(1) (a) dan Seksyen 29(1) (b) Enakmen jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika didapati bersalah oleh mahkamah. -BH

Mansuh ISA: "Penampar" Ke Muka Najib, Pakatan Bukan Rakyatkah? - TGNA

Posted: 18 Sep 2011 06:30 PM PDT

Pakatan bukan rakyat, soal Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.

Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas. -mk

ISA: BN jangan 'syok sendiri' ambil kredit, kata Mipas

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Persatuan Progresif Kaum India Malaysia (Mipas) mengingatkan Barisan Nasional (BN) jangan sama sekali menafikan peranan Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang mengenakan tekanan secara berterusan sehingga membawa kepada inisiatif pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sehubungan itu Setiausaha Agungnya S Barathidasan berkata, Umno-BN bertindak seolah-olah "syok sendiri" dengan pengumuman mahu memansuhkan ISA manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu kredit berhubung inisiatif itu diberikan kepada BN semata-mata.

Semalam, Najib menegaskan bahawa keputusan untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan pihak lain.

Kata Najib, jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.

"Mipas menggesa agar kredit diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Pakatan Rakyat dan rakyat jelata yang memberi tekanan ke atas kerajaan agar memansuhkan ISA," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, BN tidak akan berubah walaupun selepas lima dekad sekiranya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tidak mengetengahkan suara mereka manakala Pakatan Rakyat pula tidak meletakkan tekanan menerusi Buku Jingganya.

"Sekarang BN-Umno mendakwa mereka mendengar suara rakyat... lembu punya susu sapi dapat nama," sindir beliau.

"Kami tahu jika kerajaan BN tidak memansuhkan ISA, Pakatan akan memansuhkannya jika mengambil alih Putrajaya. Terima kasih kepada rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat yang memainkan peranan mengenakan tekanan (ke atas kerajaan)," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Mipas percaya bahawa rakyat akan memberi sokongan penuh dan mandat mereka kepada Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan ke atas kerajaan.

"Mengapa tidak memberi hanya satu penggal kepada Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

"Tidak salah untuk memberi satu penggal memandangkan kerajaan BN sudah memerintah lebih 50 tahun... jika Pakatan Rakyat gagal, rakyat boleh memilih kerajaan baru,"
katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun lepas.

Kata Najib, perubahan itu akan meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh kerana ia akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan lebih terbuka di samping itu dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

"Kita inginkan keseimbangan di antara keterbukaan dan hak asasi individu di samping menjaga ketenteraman awam dan kepentingan rakyat jelata," katanya. -TMI


Aduh... Mati Tersepit Kerana Terlupa Tarik Handbrek

Posted: 18 Sep 2011 05:21 PM PDT

Maut tersepit 2 jam

KANGAR: "Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terus memegang tangan suami yang sudah sejuk dengan mukanya kebiru-biruan. Mayat arwah ketika itu masih dalam keadaan berdiri," kata Iziatun Mayuzia Che Saad, 35.

Mayat suaminya, Azizan Ramli, 44, ditemui penduduk dalam keadaan berdiri ketika tersepit di antara bahagian hadapan lori dengan dinding sebuah surau di Kampung Perawah, Mata Ayer di sini, dipercayai akibat diheret lori berkenaan yang menggelongsor ke hadapan, kira-kira jam 8.15 pagi semalam.

Lebih menyayat hati, nahas itu dipercayai disedari penduduk kira-kira dua jam selepas mangsa tersepit.

Ketika kejadian, Azizan memeriksa lori terbabit apabila kenderaan itu tiba-tiba bergerak menyebabkan dia dipercayai cuba membuka pintu untuk menarik brek tangan, tetapi gagal menyebabkan dia tersepit.

Iziatun berkata, selepas dimaklumkan jiran, dia bergegas ke tempat kejadian yang hanya 50 meter dari rumahnya.

"Pagi tadi (semalam) saya tidak menyedari bila suami keluar rumah untuk memeriksa lorinya yang diletakkan di depan surau, tapi selalunya dia akan keluar jam 6.30 pagi," katanya ketika ditemui menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Menurutnya, selepas memeriksa lori, biasanya arwah pulang ke rumah untuk mandi dan bersarapan bersama keluarga sebelum keluar memandu lori membawa tanah itu.

Azizan mempunyai lapan anak hasil perkongsian hidup dengan dua isteri, termasuk empat anak berusia tiga hingga tujuh tahun hasil perkongsian hidup dengan Iziatun.

Difahamkan, seorang penduduk yang lalu di hadapan surau itu terkejut apabila menjumpai pemandu lori itu tersepit lalu meminta bantuan jiran mengeluarkan mayat mangsa yang masih berdiri sebelum menghubungi polis.

Iziatun berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu dan menunggu suami bersarapan, tetapi dia tidak juga muncul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata pemandu lori itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hanya disedari penduduk hampir dua jam selepas kejadian.

"Mayat mangsa ditemui seorang jiran dalam keadaan berdiri akibat tersepit di depan pintu lori dengan dinding Surau Kampung Perawah, kira-kira jam 8.15 pagi tadi (semalam)," katanya di sini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada awal pagi untuk memeriksa lori muatan tanah yang diletakkan di depan surau berhampiran rumahnya.

Katanya, tiba-tiba kenderaan terbabit menggelongsor ke hadapan dan mangsa cuba membuka pintu lori untuk menarik brek tangan, tetapi gagal hingga menyebabkannya tersepit antara bahagian hadapan kenderaan dan dinding surau terbabit.

"Mayat mangsa dibawa ke HTF untuk bedah siasat dan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman akibat tersepit," katanya.

Che Man berkata, pihaknya menolak sebarang perbuatan khianat dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut. -hm


Ditemui pucat, tak bergerak

SELAMAT SALLEH menunjukkan lori dicuci sepupunya, Azizan yang maut di Kampung Perawah, Ngulang Kangar semalam.

PADANG BESAR – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui oleh isterinya sudah tidak bernyawa selepas badannya tersepit antara pintu lori dan dinding surau di Kampung Perawah, Ngulang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi, Azizan Ramli, 44, ditemui dalam keadaan muka pucat dan tidak bergerak selepas separuh badannya tersepit antara pintu lori yang bergesel dengan dinding surau yang terletak berdekatan rumah pasangan itu.

Sebelum tragedi itu, Azizan keluar mencuci lori di luar rumah pada pukul 6.30 pagi sebelum kenderaan itu dipercayai bergerak secara tiba-tiba sebelum mangsa cuba memberhentikan lori tersebut.

Azizan yang sudah tidak bernyawa ditemui oleh isterinya, Izyatun Mayuzia Che Saad, 30, yang sebelum itu mencuci pakaian di belakang rumah.

Menurut Izyatun Mayuzia, hatinya tiba-tiba berasa tidak sedap ketika sedang mencuci pakaian yang mendorong suri rumah itu keluar menjenguk Azizan di luar rumah.

"Bila saya nampak suami di pintu lori dengan kepala di dalam lori, ingatkan dia tidak apa-apa. Kemudian saya memanggil Azizan tetapi dia tidak menjawab dan setelah mendekatinya saya terkejut melihat Azizan dalam keadaan pucat dan tidak bergerak lagi," kata wanita itu ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam. -kosmo


AMK Buat Laporan Polis Terhadap Papagomo

Posted: 18 Sep 2011 04:00 PM PDT

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Papa Gomo kerana bertindak menyiarkan satu lagi sedutan klip video fitnah yang menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing.

Timbalan ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.00 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut Rozan, pihaknya juga mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar tampil membuat satu kenyataan rasmi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam menyiarkan satu lagi sedutan klip video itu yang jelas merupakan tindakan terdesak Umno-BN terus-terusan untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang itu.

"Kami ingin seberapa segera Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dari mana Papa Gomo mendapat rakaman ini, sebab itu kami tampil membuat laporan, agar kes ini disiasat segera kerana ia mengancam ketua pembangkang Malaysia," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD Dang Wangi, petang tadi.

Semalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.

Penulis blog Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan
dalam video seks berkenaan.

Dalam CCTV itu juga, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah.

Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu.

Sementara lelaki yang didakwa mirip Anwar itu pula berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.

Sehubungan itu, Rozan mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, namun menjelaskan bahawa rakyat kini sudah bijak menilai kerja-kerja jahat para blogger pro Umno yang secara terbuka mengaibkan Anwar.

"Kami AMK bertindak untuk tidak mahu memberi sebarang penjelasan berhubung isu teknikal, sama ada kesahihan video ini. Isu pakaian sama atau tidak, kerana kami yakin orang ramai bijak untuk menilai sendiri, dan yakin ia adalah usaha blogger seperti Papa Gomo untuk kembali menyerang secara peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Selain itu, AMK dalam laporan polisnya hari ini turut menuntut Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim agar memberi penjelasan segera berhubung perkembangan terkini siasatan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap beberapa pihak yang didakwa terlibat menyebarkan satu video seks di Internet, pada 5 April lalu.

Video seks berkenaan dipercayai merupakan sedutan daripada video lucah yang ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Laporan itu antara lainnya menamakan laman papagomo.com, pisau.net dan juga gerakanantipkr.blogspot.com sebagai pihak yang perlu disiasat berhubung penyebaran video berkenaan. -tvsnews

Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal

Posted: 18 Sep 2011 03:30 PM PDT

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-mana ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah "tidak masuk akal."

"Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

"Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini," kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau," tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong," kata wakil rakyat penggal pertama ini. -tvsnews


PAS Merlimau Adakan Solat Hajat Selamatkan Tanah Markas PAS & PASTI As-Solihin

Posted: 18 Sep 2011 08:20 AM PDT

PAS Merlimau hari ini telah mengadakan majlis Solat Hajat untuk menyelamatkan tanah Markas Pas dan PASTI As-Solihin, Merlimau dari dirampas oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Majlis Solat Hajat berkenaan telah diadakan sempena sambutan Majlis Jamuan Hari Raya peringkat Majlis Tindakan DUN Merlimau di perkarangan PASTI As-Solihin Merlimau.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Tn Hj Major Jasme Tompang yang di dalam ucapannya telah melahirkan rasa dukacita di atas tindakan kerajaan negeri yang sentiasa mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan dan memusnahkan markas-markas PAS di dalam negeri ini.

Tanah tersebut telah dibersihkan dan dibangunkan dari hutan belantara sewaktu beliau memimpin PAS Kawasan Jasin, tetapi akibat daripada kerakusan pihak tertentu, tanah tersebut kini hendak diambil alih oleh Kerajaan Negeri dengan sebegitu mudah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Jasin yang baru, Ustaz Kamaruddin Sidek (gambar) turut menyelar tindakan kerajaan negeri Melaka yang cuba menggunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah markas PAS.

Beliau mengimbau sejarah pengambilan Madrasah Al Falah Kuala Sungai Baru pada tahun 1993/94 dimana selepas pengambil-alihan tersebut, madrasah yang di satu ketika menjadi kebanggaan Parti Islam SeMalaysia akhirnya bertukar entiti dan identiti sebagai sekolah bantuan kerajaan yang sudah tidak lagi mempunyai "roh" perjuangan untuk mendaulatkan Islam.

Semalam, blog ini menyiarkan berita dari akhbar tabloid tindakan Kerajaan Negeri mahu mengambil tanah Markas Pas As-Solihin, Merlimau, di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pemilik tanah berkenaan.

Pemilik, Miah Jani, 74, yang berkata, beliau membantah tindakan itu kerana mendakwa bersusah payah membelinya tetapi dengan tiba-tiba ingin diambil alih Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bukan mudah untuknya memiliki tanah itu yang kini didirikan Markas Pas dan juga Sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) As-Solihin.

"Saya beli dengan bersusah payah dan rancang nak bangunkan, tapi tiba-tiba dirampas pula, tanah ini bukan tanah terbiar.

"Sejak awal sudah ada Pasti As-Solihin dan diimarahkan dengan pelbagai program Pas untuk hidupkan aktiviti masyarakat di sini, saya tidak reda dengan tindakan ini," katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdullah Mohamad, 76, beliau sekeluarga memberi kebenaran tanah itu dijadikan Markas Pas dan Pasti sejak1996 termasuk segala aktiviti yang berkaitannya.

"Saya bantah dan tak setuju kerana saya sudah rancang dengan pemaju untuk bangunkan tanah ini bagi projek perumahan yang sedang dijalankan," katanya.

Ini adalah pengambilan kali kedua Markas Pas Kawasan di Melaka di bawah akta sama dengan menggunakan alasan ingin membina sekolah tahfiz al-Quran. Manakala bagi pengambilan tanah Markas Pas Bukit Katil sebelum ini, bertujuan membina jalan raya.

Makkal Sakhti Terbelah Dua?

Posted: 18 Sep 2011 07:25 AM PDT

Makkal Sakti: Vathemurthy serah surat mahu sertai Pakatan, Muhyiddin pula rasmi AGM

KUALA LUMPUR, 18 Sept — A. Vathemurthy, pemangku presiden salah satu kumpulan yang bersaing mahu menguasai Parti Makkal Sakti, hari ini menyerahkan permohonan mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Permohonan dikemukakan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru pagi ini.

"Vathemurthy, pemangku presiden Makkal Sakti menyerahkan surat permohonan kepada YAB Tuan Guru mewakili ahli-ahli partinya untuk menjadi komponen Pakatan Rakyat.

"Pertemuan berlangsung di Pejabat Menteri Besar Kelantan sebentar tadi," kata Nik Aziz menerusi laman sosial Facebook tengah hari ini.

Di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula merasmikan konvensyen Makkal Sakti yang diketuai oleh presiden pertamanya Datuk RS Thanenthiran.

Konvensyen itu berlangsung di PWTC.

Ia bukan komponen Barisan Nasional (BN) tetapi satu lagi kumpulan saingan telah melahirkan hasrat mahu menyertai perikatan tersebut.

Parti itu yang ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Hindraf, yang telah diharamkan, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober 2009.

Bagaimanapun hanya dua bulan selepas pelancarannya ia berhadapan dengan krisis dengan masing-masing Thanenthiran dan Vathemurthy bersaing menguasai kepimpinan parti.

Ketika itu Vathemurthy merupakan timbalannya dan membawa undi tidak percaya ke atas Thanenthiran yang didakwa menguruskan parti sebagai diktator. -TMI

Nik Aziz harap kaum India kekal bersama Pakatan

KOTA BHARU, 18 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian sebagai respons kepada surat permohonan Makkal Sakti untuk menjadi komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku Presiden Makkal Sakti, A Vathemurthy, menyerahkan surat permohonan itu kepada beliau di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim di sini, pagi tadi.

"Semoga sokongan kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang, insya Allah," katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sijil kepada wakil pelajar cemerlang sempena Majlis Sambutan 100 tahun Peranakan India Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), semalam. -HD



Isu Kewarganegaraan Untuk Bangla: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Untuk Siasat SPR

Posted: 18 Sep 2011 05:20 AM PDT

Bangladesh dakwa diberi kerakyatan mudah M'sia

Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina hari ini menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan telah menerima pengesahan daripada sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia bahawa mereka diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lepas, lapor Bernama.

Menurut laman web itu, Hasina telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menurut sumber dengan kedudukan yang tinggi mendakwa Najib memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010.

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.

Sambil menolak dakwaan bahawa golongan itu juga diberi hak mengundi pada pilihan raya di Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan tidak perlu berbuat demikian apatah lagi jika ia dikaitkan dengan proses pilihan raya.

Katanya kerajaan tidak begitu terdesak sehingga perlu memberikan taraf kewarganegaraan semata-mata untuk meraih undi dan memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

"Kita boleh minta penjelasan dari pihak Bangladesh apakah benar kenyataan itu dibuat oleh Perdana Menteri kerana dari segi soal kerajaan kita tidak buat begitu. Seseorang yang hendak jadi warganegara perlu melalui pelbagai proses, tempoh masa berapa lama dah berada di sini, sama ada dia betul-betul tahu keadaan di sini dan sebagainya sebagaimana yang biasa kita lakukan.

"Tidak ada kita bagi keistimewaan kepada warga Bangladesh. Apatah lagi dikaitkan dengan pilihan raya. Macam kita ini terdesak sangat nak minta orang seperti itu didaftarkan jadi warganegara dan nak suruh dia pergi undi. Kalaupun undi, dia masuk tong dan kita tak tau dia undi siapa pun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia
2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, Muhyiddin berkata beliau akan meminta pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh menyemak perkara berkenaan sama ada ia benar atau tidak, lapor Bernama lagi.-mk


Pengakuan PM Bangladesh Bukti Wujud Penyelewengan Dalam Pentadbiran Najib


Pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi dipersoalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, perkara itu adalah sesuatu yang serius selain memperlihatkan tindakan pentadbiran perdana menteri menyalahgunakan kuasa sedia ada dengan sewenang-wenangnya memberi kerakyatan kepada warga asing demi kelangsungan politik sempit mereka.

"Ini isu nasional, bagaimana mungkin dalam sebuah negara yang kononnya cekap dan canggih dengan kemudahannya boleh mengizinkan pemansuhan terang-terangan, saya mengikuti web site yang mendedahkan Perdana Menteri Bangladesh bahawa ramai rakyatnya diizinkan untuk mengundi di Malaysia, saya minta pengesahan lanjut kerana ia adalah pengesahan yang sah dari laman web kementerian Bangladesh" katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam laporan dibawa oleh Keadilan Daily semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya yang bekerja di Malaysia mudah memperoleh status kewarganegaraan dan layak mengundi.

"Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini. Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan," kata Fuziah yang juha Ahli Parlimen Kuantan memetik pengakuan Sheikh Hasina, yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd — laman rasmi hal ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Maklumat laman itu mendakwa Sheikh Hasina berkata pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu bahawa dakwaan warga asing diberikan kerakyatan adalah tidak benar dan perkara itu akan ditangani oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bakal meneliti pembaharuan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk apabila Parlimen bersidang awal bulan depan.

Kesal dengan situasi ini, Anwar menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang aneh dengan memperjudikan negara apabila bertindak sembrono memberi hak kepada warga asing sebagai pengundi.

"Di Malaysia ini masih ramai, susah payah kita berkempen, perlu adakan pendaftaran dicampur pula dengan karenah pentadbiran yang mempersulitkan urusan pendaftaran kita, tetapi dengan mudah mereka memberi hak kepada warga Bangladesh," tambahnya. -tvsnews




Gempar 7 Sejadah Sujud

Posted: 18 Sep 2011 03:30 AM PDT

Jertih - Orang ramai dan kakitangan Hospital Daerah Besut gempar apabila sejadah di ruang solat surau hospital berkenaan berada dalam kedudukan 'berdiri' dan sujud, semalam.

Kejadian tersebut mula disedari seorang pelawat ke hospital berkenaan yang ingin mengerjakan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pagi semalam mendapati terdapat sehelai sejadah berdiri paling hadapan seolah-olah bertindak sebagai 'imam' manakala enam lagi berada dalam kedudukan dua barisan belakang seperti berada dalam keadaan bersembahyang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada sejadah berdiri dan sujud itu berlaku sendiri ataupun dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menarik perhatian orang ramai.

Seorang wanita yang menjaga keluarga di hospital berkenaan berkata, dia mendirikan solat Subuh di ruang solat wanita bersebelahan dengan tempat kejadian iaitu di ruang solat lelaki.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terserempak dengan dua lelaki berperwatakan lembut di kawasan surau berkenaan pada waktu berkenaan dan mereka membawa pelbagai peralatan solekan.

Bagaimanapun, dia tidak nampak lelaki berkenaan masuk ke surau sebelum kejadian itu disedari.

Sementara itu, orang ramai yang datang menyaksikan kejadian itu percaya ia perbuatan mereka tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menggemparkan orang ramai.

Namun, mereka terpegun kerana usaha meniru mendirikan sejadah berkenaan seperti yang dilakukan gagal kerana ia sukar dilakukan.

Sebelum itu, beberapa kejadian serupa telah berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kelantan namun banyak pihak meraguinya.

Ulasan GB

Wallahu 'alam bissawab.

Tiada ulasan: