Rabu, 7 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Jika Bukti Dari "Pengukir Nama Johor" Itu Lemah, Bakar Atau Haramkan Saja Buku Tersebut

Posted: 07 Sep 2011 01:15 AM PDT

Mat Sabu kemuka bukti lemah

SENAI – Buku Pengukir Nama Johor tidak layak dijadikan bukti bagi mengangkat nama Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan seperti yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Akbal Abdullah (gambar kecil) berkata, buku tersebut bukan bukti dalam ilmu sejarah kerana ia hanya pendapat penulis, Ismail Adnan.

Beliau yang juga ahli panel penulis buku Siri Tokoh Johor berkata, Mat Sabu tidak boleh menggunakan tulisan itu sebagai hujah kerana tidak mampu meletakkan Mat Indera sebagai pejuang.

"Tidak memadai dengan tulisan 10 halaman saja untuk kita anggap Mat Indera pejuang kerana dia (Mat Sabu) sepatutnya baca tesis dan buat penyelidikan sendiri.

"Jika tulisan sebanyak itu dijadikan rujukan, ia terlalu lemah dari segi ilmiah. Saya tak kata lemah hingga perlu kita tolak tapi perlu dibuktikan. Apa lagi menggunakan artikel Mat Indera sebagai hujah adalah kurang tepat dan tidak sempurna dari segi ilmu sejarah," katanya, semalam.

Mohd Akbal berkata, beliau mengenali penulis buku itu, Ismail dan menyifatkannya sebagai seorang yang sangat rajin menulis.

"Apa yang saya tahu, Ismail hanya merujuk kepada Internet tanpa membuka dokumen rasmi kerajaan dan ia dilahirkan daripada pandangan beberapa pihak serta bukan pandangan majoriti," katanya.

Menurutnya, Ismail berkhidmat dengan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan jawatan timbalan pengarah.

Mohd Akbal mempersoalkan, jika benar Mat Sabu mahu mengangkat hero kemerdekaan, mengapa pula beliau menolak perjuangan Datuk Onn Jaafar yang turut ditulis dalam buku tersebut.

"Saya mohon Mat Sabu jangan politikkan buku ini dan kaitkan siapa-siapa (penulis) atau Kerajaan Johor, kerana beliau perlu bertanggungjawab atas kenyataannya mengangkat komunis," katanya.

Buku Pengukir Nama Johor merupakan buku siri ketiga yang diterbitkan iaitu dua siri sebelum ini iaitu Pejuang Terbilang Johor dan Tokoh Ternama Johor yang dimasukkan dalam Siri Tokoh Johor yang mula diterbitkan pada 2002.

Penulis yang dilantik menyumbang karya dalam buku tersebut terdiri daripada Ahli Persatuan Sejarah, Persatuan Penulis, peminat sejarah Johor yang mempunyai kemampuan menulis.

Mohd Akbal berkata, dakwaan Kerajaan Negeri mengiktiraf Mat Indera selaku pejuang menerusi terbitan YWJ yang dinaungi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman adalah tidak benar.

"Buku tersebut merupakan pendapat penulis tentang Mat Indera di mana kami kumpulan penulis dan Ismail dipilih YWJ.

"Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan idea serta segala apa yang ditulis hanya pendapat penulis, bukannya pendapat Kerajaan Negeri dan pasukan penulis Pewaris. Dengan jelasnya, tidak semestinya pendapat penulis dan pendapat Kerajaan Negeri adalah sama," katanya.

Mohd Akbal berkata, kumpulan penulis yang terdiri daripada 20 orang itu telah dibentuk enam tahun sebelum percetakannya yang dipilih dari segi kemahiran dan pengetahuan. -SH

Ulasan GB

Jika hujjah Mohd Sabu lemah kerana bersandarkan kepada buku yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor sendiri, Yayasan Warisan Johor (YWJ), maka sewajarnya buku itu diharamkan atau dibakar saja.

Ini kerana penerbitan buku tesebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan sebelum ianya diterbitkan sepastinyalah ia telah disemak dan diedit berali-kali untuk menentukan kesahihannya kerana ia akan menetapkan kredibiliti penerbitnya sendiri.

Mengapa kini baru dipersoalkan isi kandungannya dan merendah-rendahkan penulis rencana itu?

Apa hebatnya orang yang mengkritik penulis yang telah membuat kajiannya sendiri? Apa bukti yang Ismail Adnan hanya menulis bersandarkan fakta di Internet semata-mata? Apa sandaran untuk menyatakan kajian Ismail itu tidak sahih?

Sesebuah "kajian" tidak boleh dihukum benar atau salah. Itu disiplin di dalam dunia akademis. Tidak boleh menyalahkan hasil dari seseorang pengkaji sekalipun sesuatu kajian itu menyimpang dari penemuan-penemuan majoriti. Tak pernahkah pensyarah yang bernama Mohd Akbal yang menganggap hujjah Mohd Sabu lemah itu ada mempelajari 'RESEARCH METHODOLOGY'?

Sekarang buktikan pula hasil kajian kamu untuk menuduh Mohd Indera itu seorang penjenayah, bukan pejuang. Begitulah sepatutnya cara di dalam dunia akademis untuk menolak hujjah akademis yang lain. Bukan dengan menempelak hasil kajian orang lain melalui kenyataan akhbar semata-mata.

‘Jenazah Mat Indera Berbau Wangi’ & Kuburnya Sentiasa Ditaburi Bunga Kemboja Yang Gugur

Posted: 07 Sep 2011 12:00 AM PDT

Taiping – Secara tiba-tiba nama Mat Indera menjadi sebutan selepas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor 21 Ogos lalu mengangkat pejuang gerila itu sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau dikatakan terlibat ketika serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi watak utama meminta polis menyerah diri kepada komunis.

Rentetan peristiwa itu, Mat Indera menjadi buruan polis dan berjaya ditangkap pada 14 September 1952 sebelum dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak.

Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.

Wartawan Sinar Harian berkunjung ke kampung berkenaan untuk melihat sendiri kubur berusia lebih separuh abad itu.

Menurut penduduk, walaupun sudah lama tidak dikunjungi oleh sanak saudaranya, namun kubur berkenaan sentiasa bersih dan ditaburi bunga kemboja putih yang gugur dari pohon berhampiran.

Batu nisan jenis lama itu kelihatan agak usang dan hampir sukar untuk dibaca namun disahkan milik Mat Indera oleh penjaga kubur, Yaacob Din, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Akob.

Menurut Pak Akob, kubur Mat Indera tidak ditanda atau diletakkan kapok (pagar kecil) bagi mengelakkan perbuatan khurafat.

"Memang saya jaga baik kubur ni. Tapi saya sengaja tak letak sebarang tanda tertentu kerana bimbang ada yang salah gunakan untuk tujuan tidak elok," katanya.

Menurutnya, keluarga Mat Indera sebelum ini sering menziarahi kubur berkenaan tetapi sejak tiga tahun kebelakangan tiada waris yang datang membersihkannya.

"Banyak cerita yang saya dengar tentang Mat Indera ni daripada orang tua-tua dulu, tapi saya sendiri tak berani nak beritahu sebab nanti orang cakap saya membohong," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kisah-kisah yang pernah didengar, ketika meninggal dunia, jenazah Mat Indera berbau harum dan kulitnya begitu lembut.

"Mat Indera dipercayai mempunyai keupayaan keluar masuk dari penjara untuk membeli makanan. Bagaimanapun, kebenaran kisah yang diceritakan itu tidak dapat dipastikan kerana tiada orang lama yang boleh mengesahkannya. Mereka sudah meninggal dunia.

Pak Akob berkata, terdapat tujuh kubur anggota polis yang terkorban ketika menentang komunis di Grik, Perak ketika zaman darurat di tanah perkuburan berdekatan. -SH

Ulasan GB

Penerimaan dan penilaian masing-masing.

Remaja 13 Tahun Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Ibunya Buat Laporan Polis

Posted: 06 Sep 2011 09:50 PM PDT

Hamba seks kekasih ibu akhirnya lapor polis

HULU SELANGOR: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dirogol teman lelaki ibunya sejak dua tahun lalu nekad membuat laporan polis berhubung tindakan keji lelaki terbabit, Jumaat lalu. Gambar hiasan

Difahamkan, pelajar tingkatan satu itu sering diugut lelaki berkenaan yang berusia 40-an jika tidak mahu tindakan sama dilakukan kepada adik perempuannya jika mangsa memberitahu keluarga atau membuat laporan polis.

Namun, rahsia tindakan keji lelaki itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun melarikan diri dari rumah mereka di Rawang, di sini dengan meninggalkan mangsa seorang diri.

Menurut sumber, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, mangsa sering dirogol lelaki terbabit apabila ibunya tiada di rumah. "Lelaki itu merogol mangsa tanpa mengira waktu. Malah, turut mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan perbuatan keji itu kepada ibunya.

"Malah, lelaki itu turut mengugut mahu merogol adik perempuan mangsa sekiranya mangsa enggan melayan nafsunya," katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa hinggalah rahsia itu terbongkar menyebabkan ibu dan adik perempuannya melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa turut melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. -hm

Ulasan GB

Perbuatan jijik seorang "bapa" terhadap anak seperti kes di atas kerap berlaku dewasa ini.

Malah di dalam kes di atas, anak seusia Tkn 1 menjadi mangsa.

Aduhai. Seperti GB katakan sebelum ini aura seks sudah terlalu tebal sehingga sukar dibendung lagi.

Berapa peratuskan sebenarnya keluarga di negara ini yang mempunyai ilmu didikan Islam dan daripadanya pula berapa ramai mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan di dalam rumah seperti solat berjemaah sekeluarga dan sebagainya?

Angka itu sudah pasti sentiasa menurun setiap tahun.... dan kehidupan beragama semakin longgar...

Jika tidak mengamalkan cara hidup Islam, maka bersedialah untuk menerima parasit-parasit seperti kes di atas kerana iblis/syaitan akan sentiasa menggoda anak adam sampai kiamat..

Tetapi di dalam kes di atas, iblis dan syaitan tak payah goda lagi, "bapa"nya itu sudah pun menjadi iblis dan syaitan... bapa yang "tiada pegangan agama", tak semabahyang, tak puasa, tak baca AL-Quran dan tak amalkan hidup Islam, dan bapa sejenis ini ada di dalam kebanyakan keluarga di negara ini! Berwaspada.

Pakatan Rakyat Perlu Bentuk "J/K BERS✔H"nya Sendiri

Posted: 06 Sep 2011 07:14 PM PDT

Pendaftaran 2.3 juta PATI untuk tambah keahlian Umno?

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyatakan kebimbangannya kemungkinan Umno cuba menambahkan keahlian melalui pendaftaran lebih 2.3 juta pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi program pemutihan 6P.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa 2,320,034 PATI telah mendaftar dalam program tersebut yang berakhir semalam.

Pendaftaran itu dilakukan melalui sistem biometrik sejak 31 Ogos lepas meliputi seramai 1,016,908 pekerja asing sah dan seramai 1,303,126 PATI.

"Nampak keadannya seperti kritikal, BN Umno kelihatan seperti cuba untuk menambah bilangan pengundi (yang menyokong mereka)," kata Zuraida yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN.

Zuraida sebelum ini membuat pendedahan tentang kewujudan 'sumpah taat setia' kepada Umno dan Barisan Nasional yang perlu diangkat oleh pendatang asing dan PATI jika mereka mahu nama mereka diputihkan daripada senarai PATI.

Sumpah itu perlu dibuat mereka yang mendaftar untuk program 6P di agensi-agensi pekerjaan di Selangor.

Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata jika pendaftaran lebih 2.3 juta orang PATI itu dibuat untuk menambah keahlian Umno, ia sebenarnya merupakan bukti jelas parti itu tidak mendapat sambutan walau dari ahlinya sendiri.

"Walau pun ahlinya adalah seramai 2.7 juta orang, Umno tidak mungkin kalah di empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat jika semua ahlinya benar-benar mengundi Umno sewaktu pilihan raya umum ke-12 dahulu.

"Ini bermakna, ada di antara ahli-ahli Umno sendiri yang tidak yakin dengan Umno dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu," kata Zuraida.

Justeru, kata Zuraida, perkara paling mustahak buat Pakatan Rakyat untuk terus disokong rakyat adalah terus merangka dan melaksanakan polisi-polisi yang memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Melalui cara itu, mana-mana warganegara yang baru sahaja mendapat kewarganegaraannya akan lebih cenderung untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat bagi membela nasib mereka.

"Kita berharap Pakatan Rakyat diberikan undi oleh mana-mana warganegara baru," kata Zuraida. -KD

Ulasan GB

Mengapakah BERSIH sudah mengendurkan perjuangan untuk pembersihan pilihanraya? Dan Pakatan Rakyat pula seperti lesu di dalam menangani isu ini dan malah sekarang ini lebih terjebak kepada isu-isu semasa yang lain?

Datuk Seri Anwar selaku Ketua De fakto Pakatan Rakyat perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas ala jawatankuasa Bersih di dalam Pakatan Rakyat sendiri untuk meneruskan perjuangan pembersihan pilihanraya sebelum mangkuk itu membubarkan parlimen. PR takkan menang jika SPR dibiarkan melakukan sesuka hatinya memanipulasikan daftar pemilih. Nak tunggu apa lagi?

CEMAS: Bas Express Diserang Di Plaza Tol

Posted: 06 Sep 2011 05:16 PM PDT

Bas disamun sejurus nahas

IPOH: "Saya terkejut apabila dihujani tumbukan dan tidak dapat mempertahankan diri ketika diserang," kata pemandu kedua sebuah bas ekspres yang dibelasah sebelum disamun sekumpulan 'samseng lebuh raya' di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, Trans Liam, 45, cedera di kepala dan anggota badan selepas dibelasah dua lelaki dan dua wanita berhampiran kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira dua kilometer dari Plaza Tol Jelapang, di sini.

Kejadian tidak diduga itu turut mengejutkan 25 penumpang bas ekspres berkenaan selepas mendapati pasangan samseng berkenaan meluru dan terus membelasah mangsa.

PECAH...cermin bas yang rosak selepas diserang sekumpulan empat samseng lebuh raya, malam kelmarin.

Tidak cukup dengan memukul mangsa, empat samseng terbabit turut merampas kunci bas dan mencuri kad Touch n' Go sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

Kejadian berpunca apabila bas Ekspres KKKL terbabit yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Singapura terlanggar belakang sebuah Perodua Alza menyebabkan kereta berkenaan terbalik dan terhumban ke dalam longkang. -hm

Serang bas dekat plaza tol

SEBAHAGIAN daripada 25 penumpang bertindak keluar dari bas ekspres selepas berlaku kekecohan.

IPOH – Seramai 25 penumpang sebuah bas ekspres melalui pengalaman mencemaskan apabila mereka 'ditawan' selama 10 minit oleh sekumpulan empat individu termasuk dua wanita bersenjatakan kayu dan payung dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Jelapang di sini kelmarin.

Kejadian mencemaskan pukul 7.30 malam itu berlaku apabila penyerang terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu bas tersebut kerana didakwa enggan berhenti selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Perodua Alza kira-kira dua kilometer sebelum plaza tol tersebut.

Kejadian itu didakwa berlaku apabila bas tersebut merempuh belakang Perodua Alza terbabit hingga menyebabkannya terbabas ke dalam longkang. Ekoran itu, salah seorang daripada tiga penumpangnya cedera manakala kesemua penumpang bas terselamat.

Pemandu bas tersebut merupakan warga Thailand dan mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Hatyai, Thailand. Rata-rata penumpang dari Singapura dan Hatyai.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, pemandu bas berusia lingkungan 50-an tersebut kemudian meneruskan perjalanan sejauh 1.2 kilometer sebelum berhenti di lorong kecemasan yang lebih selamat dan tidak membahayakan pengguna lebuh raya.

Katanya, sebaik berhenti, sebuah kereta Proton Iswara yang dinaiki empat individu terbabit berhenti berhampiran bas lalu bertindak memecahkan cermin bas dengan membaling batu. -kosmo


BERS✔H Kecam Hanya MP BN Diberi Dana Khas [updated]

Posted: 06 Sep 2011 03:40 PM PDT

Bersih 2.0 membidas Barisan Nasional (BN) sambil mendakwa perikatan itu secara tidak adil menyalurkan dana khas, hanya kepada kerusi-kerusi Parlimen dianggap putih tetapi mengabai bahagian-bahagian yang dikuasai pembangkang.

Gabungan bukan kerajaan yang menuntut pembaharuan pilihan raya ini berkata, rakyat Malaysia seharusnya perlu ada akses adil ke atas dana bahagian pilihan raya tanpa mengira latar belakang parti yang disokong.

"Bersih 2.0 mengecam ia (dana khas) sebagai satu jenayah ke atas demokrasi di mana dana bahagian pilihan raya diberikan kepada wakil-wakil BN berdasarkan pemilihan mereka," kata gabungan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bersih 2.0 juga berkata, menggunakan peruntukan khas seperti ini sebagai alat pilihan raya untuk mendapatkan sokongan adalah tindakan memalukan dan satu bentuk rasuah menyalahgunakan dana awam.

"Ia satu penghinaan terhadap sambutan kemerdekaan, di mana pengundi tidak harus dipaksa untuk mengundi sesebuah parti yang khusus untuk mendapatkan akses kepada peruntukan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Bersih 2.0, pihaknya mahu kesemua kerajaan negeri dan pusat, sama ada BN atau Pakatan Rakyat agar menghormati demokrasi dan menghentikan amalan semasa menyalurkan dana pembangunan bahagian pilihan raya kepada wakil rakyat daripada parti masing-masing.

Katanya, perlu ada undang-undang untuk menghalang dan mengenakan tindakan ke atas kesemua bentuk salah laku yang mengabur sempadan antara parti dan kerajaan atau penyalahgunaan sumber-sumber negara bagi tujuan memihak sesebuah parti.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa wakil rakyat BN disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing - ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai "hitam", di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta – bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

Dalam laporannya, Sin Chew Daily pula menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti "hitam", "kelabu" dan "putih" – di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil – akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan "putih" di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN Julai lalu.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan "kubu" pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing. -TMI

MP BN Dapat Dana Khas Hingga RM2.5 Juta Menjelang PRU 13

Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) memperuntukkan sejumlah besar dana wang tunai khas kepada wakil rakyatnya bagi mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ketika pilihan raya umum ke-13 semakin hangat diperkatakan, lapor The Malaysian Insider.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian.

Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai "hitam", di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya.

Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

"Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing," kata wakil rakyat itu sambil menambah, "malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi."

"Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif," kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

"Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu," kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN.

"Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya," kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian.

"Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti "hitam", "kelabu" dan "putih" - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan "putih" di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN.

The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan setiap ahli Parlimen BN RM100,000 pada satu pertemuan dengan sekitar 100 wakil rakyat BN di PWTC.

Laporan itu menyebut dana itu dijangka disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri akhir Ogos.

Ahli-ahli Parlimen memberitahu Muhyiddin dan menteri-menteri yang lain bahawa kerajaan seharusnya memstikan lebih banyak dana disalurkan kepada bahagian-bahagian diwakili mereka berbanding tumpuan ke atas projek mega seperti Transit Rapid Massa (MRT) sekiranya BN mahukan mandat kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa ahli Parlimen yang menghadiri majlis makan malam itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa rakan-rakan mereka mempersoalkan nilai projek MRT ke atas kempen BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan 'kubu' pembangkang sekarang dan menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang begitu besar.

Justeru ramai ahli Parlimen mahukan lebih banyak peruntukan dana awam khususnya di bahagian masing-masing.






Ulasan GB

Itu petanda UMNO BN bakal berkubur tidak lama lagi.

Menganggap hanya ahli parlimen BN sahaja yang berhak dan layak untuk diberikan dana pilihanraya dan menafikan hak ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Hal yang sama pernah berlaku sewaktu pilihanraya lalu dimana MB Selangor semasa itu menghabiskan peruntukan kerajaan negeri Selangor hanya untuk ADUN-ADUN BN yang kemudiannya membawa kehancuran kepada kerajaan UMNO BN Selangor sendiri.

UMNO BN terlupa hampir separuh pengundi di seluruh negara telah memilih Pakatan Rakyat di dalam PRU 2008 yang lalu. Justeru tiada sebab mereka menganak-tirikan ahli parlimen PR.

Najib akan mendapat nasib seperti Khir Toyo Selangor nanti.

Kezaliman UMNO BN itu pasti ada "harganya" untuk dibayar - kekalahan besar di dalam PRU nanti di seluruh negara!

PAS Gesa Tubuh Panel Khas Kaji Semula Sejarah Merdeka

Posted: 06 Sep 2011 07:39 AM PDT

PAS mahu Najib tulis semula sejarah pejuang kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS Pusat hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menulis semula sejarah kemerdekaan negara sebagai menghargai jasa tokoh kemerdekaan dengan tepat dan adil.

Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata PAS menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar wakil parti itu bagi menyertai jawatankuasa tersebut.

Menurut Salahudin, tawaran tersebut terbuka kepada kerajaan dan mereka perlu ikhlas dalam usaha menubuhkan Jawatankuasa Kabinet itu.

"Umno perlu ikhlas tubuh Jawatankuasa Kabinet dalam menulis sejarah semula. Ini tawaran terbuka. Najib umum tulis sejarah kemerdekaan negara dan sejarah itu perlu ditulis dengan adil dan tepat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Selasa.

Setiausaha Agong Datuk Mustafa Ali pula berkata PAS berpendirian menolak sebarang ideologi dan perjuangan komunis.

Beliau berkata tidak timbul sebarang usaha mahupun kenyataan yang menyokong perjuangan komunis,namun perjuangan oleh Mat Indera juga diiktiraf.

`Pengukir Nama Johor'

"Rasa perasaan Mat Indera bagaimana bila dikatakan komunis? Sedangkan tercatat sejarah mengenai Mat Indera dalam buku 'Pengukir Nama Johor'. Mat Indera perjuang yang tepat dan benar. Umno buat jenayah cakap Mat Indera komunis.

"Tak dinafi pejuang-pejuang Umno tapi sejarah kemerdekaan perlu ditulis dengan tepat.PAS tidak sedikit pun membela perjuangan komunis.

"Pendirian PAS menolak perjuangan komunis. Namun yang penting perspektif sejarah itu kerana sejarahnya perlu ubah. Maka betulkan sejarah,"katanya acap kali berhubung penulisan semula mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia.

Mustafa berkata tindakan Umno itu sebagai menutup penyelewengan mereka dalam perkara seperti daftar pemilih yang disifatkan sebagai 'hangat-hangat taik ayam'.

Menyentuh mengenai buku 'Pengukir Nama Johor' yang tercatat sejarah mengenai Mat Indera, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula berkata orang Johor berbangga dengan tokoh pejuang terbabit.

Malah beliau sempat meluangkan masa bertemu dengan adik Mat Indera di Johor namun dihalang oleh pihak polis.

Bercakap mengenai tindakannya terhadap akhbar Utusan Malaysia,Mat Sabu berkata beliau akan berbincang mengenai hal itu dengan peguam malam ini.

"Saya akan bincang dengan peguam malam ini tentang penyelewengan laporan Utusan yang jauh daripada apa yang saya ucapkan.

"Selain itu, saya nak beritahu mengenai tawaran peguam PAS dari Johor yang mahu membantu keluarga pejuang Bukit Kepong untuk mendapatkan pampasan daripada British..ini bagi membela mereka kerana pada ketika itu bendera adalah Union Jack," katanya. -FMT

Tubuh Panel Khas Kaji Semula Sejarah Merdeka-PAS

KUALA LUMPUR 6 SEPT : Di sebalik kontroversi berhubung dakwaan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Mat Indera atau nama penuhnya Muhammad Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan, parti itu hari ini mendesak Putrajaya membentuk sebuah jawatankuasa Kabinet untuk meneliti semua fakta sejarah.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Umno selama ini telah membohongi umum dengan menggambarkan Mat Indera sebagai seorang komunis.

Menurut Mustafa, sejarah negara perlukan penelitian semula memandangkan versi rasmi hanya mengiktiraf Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

"Perjuangan mendapatkan kemerdekaan tidak bermula dengan Umno... yang menentang British ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)," katanya.

Mustafa berkata PKMM ditubuhkan pada 1945 sedangkan Umno dibentuk setahun kemudian.

Beliau bagaimanapun mengakui peranan pemimpin-pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan sambil berkata pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengambil pendekatan kerjasama dengan menjadi pegawai pentadbiran British.

"Bagaimanapun sejarah telah dilarikan apabila dikatakan bahawa pejuang kemerdekaan hanyalah Umno. Ia tidak betul. Jangan menafikan pejuangan lain yang dimulakan oleh PKMM," kata Mustafa lagi.

Dalam pada itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan untuk menulis semula sejarah kemerdekaan yang sebenar.

"Jika beliau ikhlas, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) boleh mengadakan sebuah jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan," katanya.

Sidang media sama turut dihadiri ahli jawatankuasa kerja Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. -tvsnews









UMNO Takut Benar Mat Sabu Temui Mangsa Tragedi Bukit Kepong

Posted: 06 Sep 2011 06:25 AM PDT

Kira-kira sepuluh lelaki menghalang rombongan PAS daripada bertemu seorang mangsa dalam peristiwa Bukit Kepong, kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Katanya, beliau dan enam anggota parti mengiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang datang dengan konvoi tiga kenderaan ke Skudai Kanan, Johor semalam untuk menemui Jamilah Abu Bakar.

Suhaizan (kanan) mendakwa anggota Umno termasuk dalam kumpulan itu.

"Mereka halang kami dan tuduh Mat Sabu cuba pertahan Mat Indera. Mereka minta dia tarik balik kenyataan itu atau tidak dibenarkan bertemu.

"Mereka tidak rasional," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam ucapannya pada 21 Ogos, Mohammad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa Muhammad Indera yang mengetuai serangan terhadap balai polis Bukit Kepong merupakan wira sebenar dan pejuang kemerdekaan.

Kenyataan itu mengundang serangan hebat, terutamanya daripada pemimpin Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia yang mendakwa Mohamad mengagungkan komunis.


Umno halang Mohd Sabu jumpa mangsa Bukit Kepong

Pemimpin Umno tempatan yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di rumah mangsa tragedi Bukit Kepong.

"Mereka menghalang kami untuk menziarahi Puan Jamilah," kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan.

Jelasnya, bagi mengelak suasana yang tidak selesa berlaku, beliau telah berbincang dengan Mohamad Sabu untuk keluar daripada kawasan tersebut.

Berikut penjelasan penuh Suhaizan.

Pada 4 September 2011 (Ahad), saya telah memohon Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pulai, Johor, Saudara Zaba Bin Ibrahim untuk berjumpa Puan Jamilah Binti Abu Bakar, mangsa Peristiwa Bukit Kepong di rumahnya di Skudai Kanan.

Dalam pertemuan tersebut dia (Zaba) telah mendapat persetujuan untuk mengadakan pertemuan dengan Puan Jamilah pada 5 September 2011 dengan disertai bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu sebaik sahaja sidang akhbar di Johor Bahru.

Zaba juga telah mendapat pengesahan dari Puan Jamilah bahawa Mat Indera telah menghalang pihak pemberontak membunuhnya semasa peritiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang lalu.

Tujuan utama pertemuan semalam adalah:

1. Untuk mengeratkan silaturahim sempena bulan Syawal yang mulia

2. PAS mahu menawarkan khidmat guaman kepada Puan Jamilah bagi menuntut ganti rugi dari Kerajaan British atas kematian ibu dan adiknya

3. Untuk mendapat maklumat lanjut berhubung kejadian Bukit Kepong.

Zaba telah membuat panggilan terakhir sekitar jam 2 petang semalam untuk mengesahkan kehadirannya di rumah Puan Jamilah manakala saya pula telah membawa Mat Sabu ke rumah Puan Jamilah dengan menggunakan kenderaan saya sendiri.

Setibanya saya di lorong masuk rumah Puan Jamilah kelihatan lebih kurang 10 hingga 20 orang sedang menunggu. Salah seorang daripada mereka telah memberi isyarat menghalau perjalanan kami di lorong tersebut.

Zaba mengesahkan kepada saya bahawa mereka adalah pemimpin Umno tempatan di situ yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu di rumah Puan Jamilah. Mereka menghalang kami untuk menziarahi Puan Jamilah.

Bagi mengelak suasana yang tidak selesa berlaku, saya telah berbincang dengan Mat Sabu untuk keluar daripada kawasan tersebut. Lagipun masa sudah agak lewat kerana Mat Sabu juga mempunyai jadual yang agak ketat di sebelah petang hari tersebut.

Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merasa cukup kecewa dengan halangan yang dibuat oleh pemimpin dan ahli-ahli Umno di Skudai Kanan dan meminta mereka membaca buku 'Pengukir Nama Johor' tulisan Ismail Adnan bertajuk 'Mat Indera' pada muka surat 109.

Buku ini diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Editor buku ini adalah Prof Datuk Abu Bakar Hamid dan prakatanya ditulis sendiri oleh Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor.

Niat PAS yang baik ini telah disambut dengan halangan ala-ala penjajah. Saya tidak sangka setelah 54 tahun Malaysia merdeka dan dan anak-anak muda juga sudah banyak terdedah kepada perkembangan isu-isu semasa melalui saluran media baru, rupa-rupanya masih ada lagi pemimpin Umno yang bertindak seolah-olah di zaman penjajah.

Saya mendesak Menteri Besar Johor yang telah menjadi penaung buku 'Pengukir Nama Johor' agar menasihatkan pemimpin Umno Skudai Kanan agar lebih rasional dalam menghadapi isu Mat Indera ini.
-HD


Mat Sabu Tampil Tunjuk Bukti, Utusan Tiada Bukti Tuduh Mat Sabu Pertahan Komunis

Posted: 06 Sep 2011 04:27 AM PDT

Johor Bahru - "Jangan gali kubur sendiri!" Itulah peringatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kepada mana-mana pihak terutama pemimpin Umno yang terus menyerangnya berhubung isu dakwaan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Mat Sabu berkata, beliau bukan bercakap kosong menge­nai perkara itu, sebaliknya mem­­punyai bukti mengang­kat Mat Indera sebagai hero.

Menariknya, kata Mat Sabu, buku yang dirujuknya, 'Pengukir Nama Johor' diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang dinaungi sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Malah Abdul Ghani turut memberi kata-kata aluan pada buku terbitan 2004 itu sekali gus, katanya, membuktikan penerbitan buku yang mengiktiraf Mat Indera itu direstui Kerajaan Negeri.

"Jadi, saya nak nasihatkan Umno supaya jangan gali kubur sendiri; (kepada ahli sejarah) jangan jadi pengampu yang cuba gelapkan sejarah. Rakyat Johor seharusnya berbangga kerana Mat Indera adalah pejuang sebenar menentang penjajah, walaupun akhirnya mati di tali gantung," katanya semalam.

Buku 'Pengukir Nama Johor' yang antara lain, mempunyai potret Mat Indera turut menghiasi kulit depannya, menghimpunkan biografi tokoh-tokoh kelahiran Johor yang ditulis oleh beberapa penulis, manakala kisah Mat Indera dihasilkan Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Selain Mat Indera, turut dikisahkan riwayat mereka dalam buku itu ialah Almarhum Sultan Ismail dan bekas Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah.

Buku itu disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A Hamid, bekas profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002.

Pada sidang media itu, Mat Sabu membaca sebahagian daripada tulisan Ismail mengenai Mat Indera, yang menurutnya, meyakinkannya bahawa Mat Indera bukan petualang tetapi pejuang:

"Walaupun ketokohan Mat Indera masih menjadi kontroversi namun ada satu persoalan besar perlu diberi jawapan sewajarnya. Persoalan kini adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Huraian di atas cukup jelas memberikan jawapan tepat.

"Seperti Datuk Mahara­jalela, Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Dol Said, Rosly Dhoby dan lain-lain, Mat Indera adalah seorang berani berjuang seca­ra terbuka melibatkan jasmani, rohani, intelek dan emo­sinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya.

"Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang dan bukan seorang petualang."


Mat Sabu berkata, Pas menawarkan khidmat peguam kepada waris peristiwa Bukit Kepong yang ingin menuntut pampasan atas penderitaan kehilangan anggota mereka dalam peristiwa itu.

"Ada peguam, yang juga ahli Pas dan anak Johor, menawarkan diri mahu membantu waris mereka yang terlibat dengan peristiwa Bukit Kepong untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan British. Dia sedia bantu. British bertanggungjawab ke atas pasukan mata-mata yang berkhidmat di rumah pasung (balai polis) itu. Kita sedia membawa kes supaya dipertimbangkan pampasan kepada mereka," katanya.

Mat Indera, gerila Melayu yang berpendidikan agama dan disifatkan sebagai individu warak, mengetuai serangan bersama anggota komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong. -SH

PAS akan bukukan biografi Mat Indera

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) akan membukukan biografi pejuang Mat Indera termasuk mewawancara mereka yang mengenali allahyarham terutama keluarga terdekat.

Pengarah operasinya, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, ini ekoran sejak ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan oleh akhbar Utusan Malaysia dan media-media perdana milik Umno, nama Muhammad (Ahmad) bin Indera atau Mat Indera mulai dikenali oleh orang ramai terutama golongan muda.

Katanya, profil ringkas beliau mula terpapar di ruangan maya termasuklah dimuatkan di dalam Wikipedia berbahasa Melayu.

"Ceramah Mohamad Sabu yang telah disensasikan ini, bukan sahaja telah mempopularkan nama Timbalan Presiden PAS tersebut, malah sejarah berkaitan dengan Mat Indera mula disoroti semula sehingga menuntut kepada satu kajian yang lebih mendalam tentang biografi beliau," katanya kepada Harakahdaily.

Berbeza dengan tokoh-tokoh golongan kiri yang lain, katanya Mat Indera tidak begitu dikenali disebabkan beliau meninggal dunia dalam usia yang begitu muda, iaitu sekitar awal 30-an.

Tambahnya, tidak banyak diketahui tentang beliau melainkan melalui sejarah yang ditulis berkaitan dengan peristiwa serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong.

Beliau berkata, di dalam peristiwa tersebut Mat Indera telah dilabelkan sebagai pengganas dan bersubahat dengan komunis seperti yang digembar-gemburkan oleh media-media arus perdana.

Katanya lagi, disebabkan gambaran tersebut, perjuangan Mat Indera keseluruhannya dilihat dari sisi yang negatif sehingga kaum keluarganya dipercayai tertekan dengan tanggapan-tanggapan tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya telah ada usaha-usaha untuk mengkoreksi semula sejarah perjuangan Mat Indera seperti yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor dalam buku "Pengukir Nama Johor" yang diterbitkan pada tahun 2004.

Di dalam buku tersebut, sejarah perjuangan Mat Indera telah dilihat dari sudut yang lebih adil termasuklah memaparkan rentetan perjuangan beliau untuk menuntut kemerdekaan.

"Secara tidak langsung, melalui buku ini ketokohan beliau turut diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Johor apabila Menteri Besar Johor sendiri telah memberikan prakata di muka hadapan buku ini.

"PPP melihat usaha Yayasan Warisan Johor ini merupakan satu langkah yang baik untuk meluruskan semula sejarah berkaitan dengan Mat Indera,
" ujarnya.

Menurutnya, PPP telah mengenal pasti beberapa orang penulis untuk terlibat dengan penulisan buku ini, di samping akan melakukan sendiri kajian melalui kaedah kajian perpustakaan dan kaedah wawancara dengan mereka yang mengenali Mat Indera, terutama kaum keluarga mereka.

Selain daripada itu, jelasnya PPP juga akan menyahut jemputan beberapa orang tokoh sejarah seperti Profesor Emeritus Khoo Kay Kim dan Profesor Ramlah Adam yang bersedia mendedahkan dokumen-dokumen versi mereka.

PPP juga, kata beliau merujuk kepada dokumen sejarah golongan kiri seperti memoir-memoir tokoh mereka, seperti Memoir Shamsiah Fakeh yang antara lain pernah menyebut Mat Indera belum pernah menyertai PKM sehingga beliau dihukum bunuh.

"Penerbitan buku ini merupakan sebahagian kecil daripada usaha PPP untuk meluruskan semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara, setidak-tidaknya memberikan keadilan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang selama ini telah digelapkan jasa-jasa mereka.

"PPP memberi perhatian terhadap Mat Indera bukan sahaja disebabkan nama ini disebut oleh Timbalan Presiden PAS, tetapi juga disebabkan Mat Indera ini merupakan golongan agamawan, malah ada maklumat tidak rasmi yang menyatakan beliau hafiz al-Quran," ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada maklumat tersebut, latar belakang beliau adalah seperti perwatakan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain tokoh agamawan yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.

Tiada ulasan: