Rabu, 14 September 2011

jiwo kelate

jiwo kelate


Timbalan Presiden PAS fail saman keatas Utusan Malaysia

Posted: 14 Sep 2011 01:57 AM PDT

Harakahdaily melaporkan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk “Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong” yang didakwanya sebagai fitnah.

“Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

“Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang,” kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laporan itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti 'awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.'

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya.

Beliau yang mesra dengan panggilan "Mat Sabu" memberitahu saman terhadap Tan Sri Muhyiddin akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Hanipa.

"Beliau (Muhyiddin) kata, kalau saman pun tidak mengapa," katanya.

Mohamad juga kesal dengan tindakan Muhyiddin yang menolak untuk berdebat mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Jelas beliau, keengganan Muhyiddin untuk berdebat menyebabkan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu.

Selain Muhyiddin, Mohamad juga akan memfailkan saman terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan kerana menyifatkannya sebagai pengganas dan pengkhianat negara.

"Itu kena tanya beliau (Muhyiddin), saya lebih rasa yang baik adalah debat atau dialog sebab tuduhan beliau bersangkut paut dengan akidah.

"Tuduhan ini adalah tuduhan berat, beliau suruh saya bertaubat dan bertaqwa sebab itu kita tawarkan penyelesaiaannya," katanya menjawab keengganan Muhyiddin untuk berdebat.


Tubuh Panel Kaji Sejarah – Mahfuz

Posted: 14 Sep 2011 01:53 AM PDT

Harakahdaily melaporkan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyuarakan pendapat dalam mencari satu usaha penyelesaian kerajaan perlu mewujudkan satu Panel Jawatankuasa Khas bagi membincangkan kembali sejarah negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Zainal Kling itu perlu dirungkai kembali dan saya tidak mengatakan ia benar tetapi setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh setiap pihak perlu diambil perhatian dan kita sendiri tidak pasti mungkin kenyataan yang diutarakan oleh Zainal itu menpunyai fakta yang selama ini kita tidak ketahui.

“Jalan yang terbaik untuk jalan penyelesaiannya ialah kerajaan perlu menubuhkan satu Panel Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji balik sejarah negara ini dengan membuat rujukan yang mana kita tahu sejarah negara ini ditulis berasaskan dari barat belum pasti kesahihannya. Maka kita melihat ada permasalahan dalam sejarah negara ini dan ia perlu dilihat kembali.

“Panel ini perlu melihat dari semua sudut dan pandangan dari pelbagai pihak sama ada politik, ahli akademik mahupun sejarawan malah ia juga boleh disertai oleh MPN seperti Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim begitu juga Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mempunyai pendapatnya sendiri,” jelasnya

Tambah Mahfuz lagi, panel ini perlu ditubuhkan dengan segera kerana untuk membuat kajian semual ia memerlukan masa yang agak lama tetapi penjelasan perlu dipercepatkan agar kekeliru yang berlaku sekarang dapat diatasi.

“Walau masa perlu diberikan oleh panel tersebut tetapi penjelasan perlu dipercepatkan kerana kita tidak mahu kekeliruan tentang sejarah ini menjadi semakin kusut.

“Saya bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin dalam isu ini yang mahukan subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta yang hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya ‘Historical Fact and Fiction’.

“Syed Naquid mempersoalkan mungkin terdapat beberapa sejarah penting tidak dicatit sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

“Seperti juga kenyataan khalid yang meminta kajian semula kedatangan Islam ini tidak dimasukkan dan apa yang berlaku umpama mengelapkan sejarah kedatangan Islam dan apatah lagi sejarah negara kita. Bagi memulihkan kembali fakta sejarah maka kajian semula perlu dilakukan dan kerajaan perlu bertindak segera,” katanya lagi.

Isu kemerdekaan dan sejarah negara muncul apabila kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak pernah dijajah British serta diikuti beberapa kenyataan yang dikeluarkan pakar sejarah dan terbaru bekas perdana menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.


Tiada ulasan: