Selasa, 27 September 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khir Toyo lakukan terbaik dalam pembelian banglo beliau

Posted: 27 Sep 2011 03:01 PM PDT

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau melakukan yang terbaik dan termampu dalam pembelian sebuah banglo dan dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini pada 2007.

Dr Mohamad Khir, saksi pertama pembelaan yang memberi keterangan dari kandang saksi, berkata beliau bergantung sepenuhnya pada nilai yang ditentukan oleh jurunilai yang dilantik Bank HSBC dan beranggapan harga itu adalah harga yang adil untuk hartanah berkenaan.

Beliau berkata, pembelian hartanah itu juga tidak akan berlaku sekiranya harga terbabit tidak dipersetujui oleh Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni selaku penjual.

"Sebagai pembeli biasa, saya bergantung sepenuhnya pada laporan pakar penilai Rahim & Co yang mengatakan harga pasaran hartanah ialah RM3.5 juta.

"Sebab itulah saya rasakan apa yang saya buat adalah terbaik dan oleh itu, tak tahu kenapa saya dituduh di mahkamah.

"Saya tak nampak jalan lain kecuali laporan yang dibuat penilai profesional. Bagi saya RM3.5 juta adalah harga berpatutan," katanya semasa menjawab soalan peguam yang mewakilinya, M. Athimulan.

Dr Mohamad Khir berkata demikian ketika menyambung keterangannya membela diri atas pertuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai menteri besar Selangor ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Beliau mendakwa Shamsuddin dan pereka laman bebas, Nasir Ismail yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya, ada mereka-reka keterangan yang diberikan mereka sebelum ini yang dilihat menjejaskan kedudukan beliau di mahkamah.

Beliau berkata, ini kerana Shamsuddin pernah dihadapkan ke mahkamah (pada 6 Disember 2010 atas tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir) dan dibebaskan pada 6 Jun lalu sebelum dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Selain itu, katanya, perselisihan faham pernah berlaku dengan Nasir apabila beliau enggan menjelaskan baki bayaran sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah kerana Nasir tidak membuat kerja mengikut spesifikasi.

"Nasir ada berjumpa dengan saya sebanyak tiga atau empat kali, tetapi saya tetap bertegas tidak mahu membayar kerana kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Sementara itu, saksi kedua pembelaan, bekas pembantu khas Dr Mohamad Khir, Hasnah Abu Hassan, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengamalkan rasa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang ingin membuat temu janji dengan Dr Mohamad Khir ketika beliau menjadi Menteri Besar dari 2000 hingga 2008.

Ketika ditanya Athimulan sama ada Dr Mohamad Khir bersikap pilih kasih kepada sesiapa yang ingin berjumpanya di pejabat beliau sepanjang tempoh memegang jawatan itu, Hasnah berkata: "Saya tak kenal kawan baik Datuk dan beliau tidak ada memaklumkannya kepada saya."

Pihak pendakwaan diwakili Abdul Wahab Mohamad dan Masri Mohd Daud.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki disambung 31 Oktober ini. -BERNAMA

Pemuda UMNO minta Seksyen 15 AUKU dimansuhkan

Posted: 27 Sep 2011 02:52 PM PDT

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini meminta kerajaan memansuhkan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang melarang pelajar daripada terbabit atau meluahkan rasa simpati serta sokongan kepada mana-mana parti politik negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata permintaan memansuhkan Seksyen 15 itu disuarakan golongan mahasiswa menerusi kaji selidik yang dilakukan pergerakan itu tahun lalu.

"Kita harap kerajaan teliti Seksyen 15 AUKU ini bagi memberi peluang kepada penuntut di Institusi Pengajian Tinggi terbabit secara langsung dalam politik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Pemuda UMNO di Bangunan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Katanya, Pemuda UMNO menyokong pemansuhan ISA kerana ia dilakukan sebagai menghormati hak-hak kebebasan dan demokrasi di negara ini.

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat EXCO di seluruh negara, bermula dengan Selangor hari ini, dalam usaha melipatgandakan usaha serta menyusun strategi bagi mengukuhkan jentera parti.

Pergerakan itu juga akan menganjurkan sesi penerangan berhubung isu kontroversi yang ditimbulkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang menganggap komunis sebagai hero berbanding pihak polis.

Khairy berkata, sesi penerangan itu akan bermula di Bukit Kepong, Parlimen Pagoh di Johor pada 29 Oktober ini dengan kerjasama beberapa persatuan bekas polis dan askar serta pejuang peristiwa berdarah itu.

"Kita akan terangkan isu ini kerana ia sangat sensitif kepada semua pihak lebih-lebih lagi pejuang kemerdekaan serta perkara yang membabitkan sejarah," katanya. - BERNAMA

Bekas pegawai imigresen antara tujuh ditahan kes curi kereta

Posted: 27 Sep 2011 07:45 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

SERI KEMBANGAN– Seorang bekas pegawai Imigresen antara tujuh lelaki yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes curi kereta di sebuah rumah flat di Taman Bestari Perdana, Serdang dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata Selasa, tujuh lelaki warga tempatan berumur 24 hingga 35 tahun itu ditahan pada pagi Ahad lepas bersama-sama empat buah kereta, keseluruhannya bernilai RM125,000 yang dilaporkan hilang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sejak tiga bulan lalu.

"Hasil maklumat orang ramai, polis menyerbu rumah itu dan menemui kembali empat buah kereta iaitu empat buah Honda Civic termasuk satu Honda Civic EG yang diletakkan di kawasan rumah itu.

"Nombor pendaftaran kenderaan terbabit juga palsu. Polis menemui pelbagai alat ganti kereta yang telah dileraikan untuk tujuan dijual di dalam rumah sewa itu," katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata polis turut menemui pelbagai peralatan pecah kereta di dalam rumah yang dihuni tujuh sekawan yang berasal dari Kedah itu.

"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki itu positif dadah jenis syabu dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Thaiveegan berkata polis juga sedang melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sekiranya kesemua lelaki berkenaan terlibat dalam jenayah lain.

Kesemua mereka yang dipercayai aktif mencuri kereta sejak setahun lepas, direman lima hari bermula tarikh tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri, katanya.

Kes samun: Tindakan tiga pegawai ‘kesalahan serius’, kata SPRM

Posted: 27 Sep 2011 07:43 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengkategorikan perbuatan dilakukan tiga pegawainya, yang disyaki menyamun pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 15 September lalu sebagai "kesalahan serius."

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata, siasatan dalaman bagi kesalahan tatatertib ke atas ketiga-tiga pegawai agensi itu telah selesai dijalankan.

"Mesyuarat Lembaga Tatatertib SPRM yang bersidang hari ini telah membuat keputusan ke atas penjenisan kesalahan iaitu kesalahan serius sebagaimana Peruntukan 37 Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tataertib) 1993," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah, siasatan dan tindakan pihaknya tidak melibatkan atau menjejaskan siasatan pihak polis.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata, pihaknya telah mengambil tindakan tegas menukar tiga pegawainya terbabit ke bahagian pentadbiran jabatan itu.

Tiga pegawai SPRM yang dilaporkan bertugas di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebelum ini ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketiga-tiga pegawai terbabit terdiri daripada pegawai berpangkat Pemangku Penolong Pesuruhjaya (Gred P48), Penolong Kanan Penguasa (Gred P32) dan Penolong Penguasa (Gred P29).

Muhyiddin: BN mula kenal pasti calon PRU-13

Posted: 27 Sep 2011 07:42 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

PARIS – Barisan Nasional (BN) sudah mula mengenal pasti calon bagi pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah awal itu bukan bermakna pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat tetapi bagi memastikan calon yang dipilih nanti berkeupayaan dalam semua aspek, termasuk dalam menjayakan pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Muhyiddin berkata BN akan menggunakan pendekatan baru dalam memilih calon dengan kriteria utamanya ialah bakal calon akan dinilai secara individu dan menyeluruh oleh pucuk pimpinan, selain sumber rasmi dan tidak rasmi.

"BN perlu ubah cara pemilihan calon berdasarkan perubahan landskap politik semasa... tidak boleh secara semberono," katanya di sini hari ini.

Dipetik laporan Bernama Online, Muhyiddin berkata antara kriteria pemilihan bakal calon ialah kebolehan, kewibawaan, latar belakang, status pendidikan, kemahiran tertentu yang selari dengan tuntutan semasa, selain prihatin dan faham kehendak rakyat.

Beliau menarik perhatian bahawa untuk menjadi seorang wakil rakyat pada masa ini adalah amat mencabar dan memerlukan kebijaksanaan berikutan pengundi sekarang sudah matang dan membuat penilaian berdasarkan kewibawaan seseorang.

Sehubungan itu, beliau berkata pemilihan bakal calon terdiri daripada golongan muda dan berkelulusan tinggi akan diberikan pertimbangan sewajarnya, namun pengalaman turut diberikan perhatian bagi mewujudkan keseimbangan antara jumlah pemimpin muda dan berpengalaman.

Keutamaan juga diberikan kepada calon pilihan rakyat, katanya.

Muhyiddin berkata "calon yang boleh menang" yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bukan bermaksud semata-mata yang boleh menang tetapi turut memenuhi semua aspek yang dikatakan itu.

"Ini bermakna walaupun seseorang wakil rakyat itu pernah menang tanpa bertanding, tidak semestinya dicalonkan semula. Semuanya bergantung kepada tuntutan semasa," katanya.

Piket: MTUC tak wajar bangkit bantahan sekarang, kata Putrajaya

Posted: 27 Sep 2011 07:35 AM PDT


KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia mengingatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang bercadang mengadakan tindakan berpiket 3 Oktober ini tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di "saat pembentangan di Parlimen."

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

"Sebanyak 18 kali sejak awal tahun 2010 lagi. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan," kata Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Sehubungan itu, kata kementerian, adalah diharapkan cadangan pindaan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi memelihara kebajikan pekerja dan menjamin keharmonian perhubungan perusahaan.

Kenyataan itu dikeluarkan mengulas laporan The Malaysian Insider semalam dan hari ini memetik Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata mereka akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC kelmarin. Sesi baru Parlimen bermula 3 Oktober ini dan akan berlarutan sehingga pertengahan Disember.

"Jika benar kerajaan meneruskan perbahasan mana-mana rang undang-undang buruh, khususnya Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, MTUC akan mengadakan piket di kawasan Parlimen pada hari pertama persidangan," kata Halim .

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

Difahamkan kementeria juga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Pekerja.

Kenyataan kementerian juga menjelaskan bahawa pindaan Akta Kerja 1955 yang digubal adalah bermatlamat bagi memenuhi keperluan dan perubahan semasa terutamanya dari segi memantapkan penguatkuasaan undang-undang dalam menyediakan suasana perburuhan yang lebih kondusif.

Antara pindaan-pindaan yang telah dicadangkan adalah mewujudkan takrifan kontraktor tenaga kerja bagi memperjelaskan hubungan prinsipal, kontraktor dan subkontraktor yang membekalkan tenaga kerja, memasukkan peruntukan khas bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja, tempoh bayaran untuk kerja lebih masa, kerja pada hari rehat serta kerja pada cuti umum, bayaran upah pekerja termasuk pembantu rumah melalui akaun bank dan faedah cuti bersalin kepada semua pekerja wanita.

Katanya, pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, Rang Undang-undang Kerja telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama.

Bagaimanapun katanya, ia telah ditarik balik dalam sesi Parlimen pada 12 Oktober lalu bagi mengambil kira pandangan saat akhir daripada pelbagai pihak termasuk MTUC mengenai pentakrifan subkontraktor untuk tenaga kerja kepada kontraktor bagi tenaga kerja di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.

"Pindaan takrifan ini adalah disokong oleh Kesatuan Kebangaan Pekerja-pekerja Perladangan (NUPW) yang mana amalan membekalkan pekerja oleh kontraktor tenaga kerja memang sedia berlaku sejak dahulu sehingga kini terutama di sektor perladangan.

"Malahan amalan kontraktor tenaga kerja ini merupakan fenomena global dan Malaysia tidak terkecuali," kata kementerian sambil menambah, "justeru, takrifan kontraktor tenaga kerja bukanlah suatu cadangan yang baru."

Katanya, cadangan pindaan ini tidak sekali-kali menggambarkan hasrat Kerajaan untuk kembali kepada sistem lama tetapi lebih kepada transformasi pengurusan kontraktor tenaga kerja.

"Oleh yang demikian, tidak timbul isu menjejaskan 'security of tenure', menggalakkan kontraktor tenaga kerja atau menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Kementerian Sumber Manusia, pihaknya telah mengadakan enam siri perbincangan bersama wakil majikan dan pekerja khususnya MTUC dan telah mengemas kini rang undang-undang dengan membuat beberapa pindaan berdasarkan pandangan dan maklum balas yang dikemukakan termasuk menggugurkan cadangan pindaan terhadap definisi majikan yang merangkumi kontraktor tenaga kerja yang mana telah mendapat bantahan daripada MTUC.

"Kementerian turut mengadakan dua siri perbincangan khusus berkenaan isu kontraktor tenaga kerja pada 4 Ogos 2011 dan 22 Ogos 2011 serta telah memohon maklum balas secara bertulis daripada wakil majikan dan pekerja terhadap isu tersebut.

"Bagaimanapun, sehingga kini pihak kementerian hanya menerima maklum balas daripada NUPW yang menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pindaan ini. Pihak MTUC masih belum mengemukakan sebarang maklum balas bertulis walaupun telah bersetuju berbuat demikian semasa mesyuarat pada 22 Ogos 2011," katanya lagi.

Berhubung isu wanita kerja malam, kerja lebih masa, kerja pada hari rehat, kata kementerian, ia cadangan pindaan bagi fasa seterusnya yang telah dicadangkan oleh Makmal Inisiatif Pembaharuan Strategik - Pembangunan Modal Insan.

"Cadangan-cadangan pindaan ini masih belum dimuktamadkan. Sehubungan itu, ianya tidak perlu dibangkitkan pada peringkat ini," kata kementerian.

Ia menambah, walaupun isu takrifan kontraktor tenaga kerja ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat NLAC, kementerian masih mengamalkan prinsip tripartisme dengan membincangkan isu ini secara terperinci menerusi mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang disertai oleh wakil majikan dan pekerja.

Kubu Umno di Jeli makin tergugat

Posted: 27 Sep 2011 07:34 AM PDT

M Faqih

JELI: Di segenap penjuru pasar Kuala Balah ribuan orang berdiri tanpa menghiraukan hujan sepanjang program berlangsung malam tadi.

Kawasan laman pasar yang agak lembab tidak dihiraukan, ramai yang kelihatan basah di bahagian punggung. Kawasan yang berbumbung pula sendat dengan manusia, mereka berhimpit-himpit bagi mendengar ceramah Pakatan Rakyat.

Mereka datang tidak diangkut dengan bas seperti biasa berlaku pada program tajaan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mungkinkah ini menggambarkan kedudukan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu dinilai kembali rakyat Jeli selepas dua penggal menguasai kawasan berkenaan.

Ia disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Balah merupakan kubu Umno dan hanya sepenggal dimenangi PAS pada pilihan raya umum 1999.

Sebelum ini Dun berkenaan dikenali Pergau. Malah ada juga penduduk yang datang dari Gua Musang. Paling ramai penduduk tempatan termasuk dari Dun Air Lanas dan Bukit Bunga.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap rakyat Jeli membuat penentuan baru bagi menilai semula anggota parlimen sekarang yang sering berdalih dalam isu royalti minyak.

"Ketika peringkat awal kerajaan negeri menuntut bayaran royalti minyak anggota parlimen Jeli yang juga seorang menteri bermati-matian mengatakan minyak tidak ada di perairan Kelantan.

"Kemudian selepas kita desak juga Perdana Menteri pun membuat pengakuan minyak ada di perairan Kelantan, namun Datuk Mustapa berdalih lagi.

"Katanya telaga minyak yang dituntut kerajaan negeri bertindih dengan Thailand pula," katanya ketika berceramah pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Amran Abdul Ghani dan pemimpin PAS serta PKR tempatan.

Oleh itu Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, rakyat Jeli perlu memastikan parlimen tersebut tidak lagi berada di tangan Umno dan BN.

Katanya, rakyat Jeli perlu menyumbang satu kerusi mewakili kawasan mereka untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk di Putrajaya bagi mendapatkan royalti minyak.

Semasa kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menafikan perairan Kelantan ada minyak.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Perdana Menteri mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan hasil royalti minyak.

Husam berkata, sumber Petronas memberitahu sebuah lagi telaga minyak baru ditemui betul-betul berada di perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan negeri lain.

"Apa yang berlaku sekarang kerajaan BN benar-benar merompak hak rakyat Kelantan. Sebab itulah rakyat Jeli perlu tukar kerajaan yang menguasai Putrajaya sekarang," ujarnya.

Nurul Izzah berkata, Perdana Menteri sekarang tidak memiliki keupayaan sendiri mentadbir sehingga terpaksa mengupah konsultan dari luar.

Katanya, sebelum ini konsultan Apco Worldwide dibayar upah sebanyak RM77 juta, kemudian ABC Media pula diupah RM68 juta.

Dan terbaru pula konsultan yang ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tonny Blair dikatakan dibayar bagi memulih imej perdana menteri.

Ugut Pakatan: DAP tuntut penjelasan dari The Star

Posted: 27 Sep 2011 07:30 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Sambil menegaskan bahawa Setiausaha Agongnya Lim Guan Eng (gambar) tidak pernah membuat ugutan terhadap Pakatan Rakyat kerana kontroversi hudud, DAP hari ini menuntut penjelasan daripada akhbar The Star milik MCA atas laporan palsu terhadap kenyataan yang dibuat Lim hujung minggu lalu.

Dalam satu surat terbukanya hari ini, setiausaha politik Lim, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa Lim hanya berjanji "seluruh ahli jawatankuasa DAP akan meletak jawatan sekiranya ada sesiapa yang boleh membuktikan bahawa hudud akan dilaksanakan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat atau Buku Jingga yang telah dipersembahkan kepada awam."

Kata Zairil, pada 25 September akhbar The Star sememangnya melaporkan kenyataan Lim dengan betul dan tepat.

"Tapi, ini ditukar ke satu versi lain pada 26 September 2011 yang memberikan bayangan salah dan tidak tepat bahawa Lim telah mengugut perletakan jawatan seluruh jawatankuasa parti DAP daripada Pakatan Rakyat jika hukum hudud akan dijumpai dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga," kata Zairil.

Tajuk utama The Star pada 25 September "Guan Eng: DAP top leadership will quit if hudud law included in Pakatan policy" telah ditukar ke satu versi salah dan tidak tepat pada 26 September bertajuk "DAP leaders threaten to quit Pakatan council", tambah Zairil.

"Ia adalah secara kategorinya tidak betul kerana Lim tidak pernah membuat ugutan untuk keluar daripada barisan kepimpinan Pakatan Rakyat atau Pakatan Rakyat secara amnya.

Apa yang Lim kata ialah seluruh jawatankuasa parti akan meletakkan jawatan untuk mengambil sikap bertanggungjawab jika hukum hudud dijumpai masuk ke dalam Dasar Bersama atau Buku Jingga," tegas beliau.

Semalam, para Setiausaha Agung PAS, PKR dan DAP dikatakan sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan semua pimpinan parti masing-masing agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah 28 September ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendiriaan bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat 28 September nanti dalam mesyuarat mereka.

Tegas Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali, dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit.

Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.

"Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar perkara itu dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 28 September ini," terang beliau dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS semalam.

Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat

Posted: 27 Sep 2011 07:27 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan tingkap berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Buktikan siapa yang sokong RUU Kg Baru

Posted: 27 Sep 2011 07:24 AM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pembangunan Kg Bharu (SPKB) mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) mengeluarkan senarai nama penduduk Kg. Bharu yang menyokong penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu (PPKB).

Ia ekoran belum ada perkembangan mengenai borang referendum yang diedar kepada pemilik dan pewaris tanah bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan PPKB Jun lalu.

Setiausaha Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi memaklumkan hanya sekitar 30 peratus sahaja borang dikembalikan dan tidak dapat dipastikan berapa ramai yang menyokong dan membantah.

Namun Raja Nong Chik mendakwa 30 peratus itu bersetuju dengan PPKB dan membuat keputusan untuk membacakan Rang Undang-Undang (RUU) PPKB untuk kali kedua pada sesi Parlimen Oktober depan.

"Kita minta menteri buktikanlah 30 peratus ini semuanya menyokong RUU PPKB," kata peguam yang mewakili SPKB, Zulhazmi Sharif pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang melantik beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam PPKB sedangkan Kg. Bharu sudah ditadbir MAS ejak 111 tahun lalu.

"Kenapa nak libatkan lima NGO ini dalam PPKB? Apa kena mengena NGO ini dengan Kg. Bharu? Saya yakin mereka ada kepentingan masing-masing. Belum apa-apa lagi dah dengar nak projek sana sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPKB, Mohd Nor Hassan mempertikai RUU PPKB yang dilihat banyak membelakangkan mereka sebagai pemilik dan pewaris tanah.

Beliau berkata, majoriti pemilik dan pewaris tanah termasuk dirinya menolak RUU PPKB kerana ia tidak memberi jaminan bahawa hak mereka akan dipertahankan sekiranya bersetuju dengan cadangan itu.

"Perkara yang asal tidak diubah malah dimasukkan semula dalam rang undang-undang...maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata untuk bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru kepada kami.

"Malah ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuas menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan perbadanan boleh rampas tanah kami," katanya yang merupakan generasi kedua Kg. Bharu.

Justeru beliau mahu kerajaan menarik balik balik RUU PPKB dan berbincang dengan mereka secara serius.

Raja Nong Chik Ahad lalu berkata, RUU PPKB akan dibacakan untuk kali ke-2 setelah beberapa kali mendapat bantahan hebat daripada penduduk.

Media perdana bakal manipulasi kenyataan Puad

Posted: 27 Sep 2011 07:23 AM PDT

Muhammad Faizal


SHAH ALAM: Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Puad Zarkashi pada wacana 'Merdeka Wajarkah Sejarah Ditulis Semula' anjuran Sinar Harian hari ini bakal di manupulasikan oleh media arus perdana.

Kenyataan tersebut mengaitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peristiwa Memali yang menyatakan Anwar pernah mengatakan Ibrahim Libya adalah seorang penjenayah sewaktu di luar negara.

Dr. Puad mengeluarkan kenyataan tersebut apabila Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan adakah Ustaz Ibrahim Libya juga dituduh sebagai penjenayah sedangkan beliau hanyalah membantah tindakan kerajaan ingin menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau perjuangan Mat Indera yang berjuang menentang penjajah British kita boleh katakan pemberontak sehingga melabelkan beliau sebagai komunis bagai mana pula kes Ustaz Ibrahim Libya.

"Mengenai peristiwa Memali tidak perlu kita timbulkan kembali kerana ia menjadi sejarah hitam kepada penduduk kampung tersebut. Episod Memali menggambarkan orang kampung bersalah dan ini dimainkan oleh media sebelum ini.

"Kes ini telah lama berlalu biarlah ia menjadi sejarah kepada negara ini yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang ramai, jika ia di timbulkan kembali oleh media arus perdana akan menyebabkan hati penduduk disana terguris, jadi untuk mengelakkan perkara sedemikian tidak berlaku lebih baik senyap," jelas Saifuddin.

Tambahnya lagi, sekarang bukannya masa untuk tuduh menuduh diantara satu sama lain jika tidak mempunyai fakta yang tepat.

"Sekarang bukannya masa untuk kita tuduh menuduh diantara satu sama lain apatah lagi tidak mempunyai fakta yang tepat. Jangan kerana Anwar di dalam PKR maka isu ini ditimbulkan kerana perkara itu berlaku sewaktu beliau di dalam Umno tapi itu belum pasti kebenarannya.

"Kita tidak perlu meletakkan siapa bersalah samada Anwar, Tun Musa Hitam mahupun Tun Mahathir Mohamed kerana politik tuduh menuduh sudah berakhir.

"Apa yang pasti peristiwa sedemikian tidak perlu berulang lagi," sambungnya lagi.

Sementera itu, pakar Sejarah Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Ramlah Adam memberitahu peristiwa Memali itu perlu ada kajian lengkap.

"Pengkajian yang perlu diteruskan dan mesti bersikap adil, ini bagi memberi satu kebenaran dalam peristiwa tersebut.

"Kajian sejarah perlu diberikan penekanan oleh pihak tertentu agar budaya tuduh menuduh dapat dielak.

"Saya bersetuju dan sekarang bukan masa untuk kita tuduh menuduh kerana yang paling penting mencari kebenaran disebalik peristiwa Memali," jelas Ramlah.

Sebelum itu, peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.

Peristiwa itu terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China

Siasatan Bersih 2.0: Suhakam tunggu maklum balas polis

Posted: 27 Sep 2011 07:19 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) masih menunggu maklum balas dari polis berhubung dengan siasatan mereka terhadap perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Ini kerana, sehingga kini, Suruhanjaya sedang menunggu maklumbalas dari pihak Polis atas permohonannya, dan peringatan seterusnya telah dikemukakan berhubung tujuan untuk menemubual Personel Polis yang bertugas semasa perhimpunan 9 Julai awam.

(Antara mangsa tembakan gas pemedih mata polis terhadap peserta perhimpunan Bersih 2.0)

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya hari ini.

Suruhanjaya telah memutuskan untuk mengadakan Siasatan Awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suruhanjaya Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Haji Abdul Majid dan Encik Detta Samen.

Menurut Hasmy, sehingga 27 September, Suruhanjaya telah menyiapkan semakan penghujahan awam yang telah diterima daripada orang ramai dalam bentuk dokumen, kenyataan-kenyataan dan rakaman video, dan telah mengenal pasti saksi-saksi.

Ia kini dalam proses melengkapkan sesi temubual dengan saksi-saksi dan juga sedang mengatur untuk mendapatkan keterangan beberapa saksi yang tinggal di luar Lembah Klang, katanya.

Suruhanjaya, katanya, akan menetapkan dan mengumumkan tarikh pendengaran untuk Siasatan Awam tersebut sehingga proses temu bual berakhir.

Kristian: Sokong Hudud selagi hak orang bukan Islam dihormati

Posted: 27 Sep 2011 07:10 AM PDT

Maria Begum

Walaupun MCA dan Gerakan telah mengutuk PAS kerana menyatakan semula keinginan untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan, pemimpin-pemimpin Kristian berpendapat bahawa tidak ada silapnya dengan rancangan tersebut. Ini adalah kerana semua pengikut bagi mana-mana agama sepatutnya digalakkan berusaha untuk menguatkan lagi pegangan mereka, selagi mereka tidak mengganggu hak orang lain.

"Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan bahawa hak mereka yang berbeza agama dilindungi sepenuhnya. Oleh itu apa salahnya dengan perlaksanaan hudud di Kelantan atau negeri lain pun?" beritahu Ramon Navaratnam, bekas presiden 'Transparency International' dan pemimpin Kristian, kepada Malaysia Chronicle.

"Kita tidak patut mempolitikkan semua perkara terutamanya agama. Adalah perkara biasa bagi seorang Islam dan Kristian mahupun seorang penganut Buddha dan juga Hindu untuk berusaha mengukuhkan pegangan mereka seboleh mungkin dan ini sepatutnya digalakkan. Ia hanyalah salah apabila mereka tidak mengendahkan orang lain dan mula bertindak melampau di dalam perlakuan dan amalan. Selagi rakyat bukan Islam di Malaysia dilindungi sepenuhnya, penganut Kristian dan rakyat Malaysia amnya tidak seharusnya berfikiran cetek dan bimbang tanpa sebab yang munasabah."

Kenyataan Ramon disokong oleh Dr Paul Tan Chee Ing, presiden 'Catholic Bishops' Conference of Malaysia'.

"Saya berpendapat telah tiba masanya untuk membenarkan rakyat Islam di Kelantan, untuk melaksanakan hukum shariah asalkan rakyat bukan Islam dikecualikan daripada perlaksanaannya," kata Paul, yang juga merupakan ketua 'titular' Katholik di diocese Melaka-Johor.

MCA dan Gerakan katakan TIDAK!

Kenyataan pemimpin-pemimpin Kristian bercanggah dengan kenyataan presiden MCA dan Gerakan iaitu Chua Soi Lek dan Koh Tsu Koon, kedua-duanya membangkang keras, walaupun sebab-sebab mereka berbuat demikian tidak jelas.

"Pegangan MCA sangat jelas. Kami bantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA akan menarik diri dari Barisan Nasional – mudah sahaja. Pendirian kami amat jelas. Umno ingin melaksanakan hudud, MCA tidak akan bekerjasama, kami tidak akan terlibat," beritahu Soi Lek kepada wartawan pada hari Jumaat.

"Malaysia adalah Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi dengan minoriti penduduk bukan beragama Islam yang ketara. Asas perlembagaan Negara kita memulihara hak-hak masyarakat majmuk, dan kerana itulah undang-undang punitif adalah sekular dan melibatkan semua pihak. Kami tidak boleh mempunyai undang-undang berlainan untuk setiap lapisan masyarakat," kata Chang Ko Youn, timbalan presiden Gerakan di dalam kenyataannya.

Bagaimana dengan hak-hak orang Islam?

Walaubagaimanapun, seperti yang telah diutarakan oleh masyarakat Islam, kedua-dua ahli politik MCA dan Gerakan tersebut berkemungkinan melakukan apa yang mereka menuduh PAS lakukan - iaitu menghadkan hak-hak masyarakat lain.

"Pernahkah MCA dan Gerakan mengambil kira perasaan masyarakat Islam? Hudud hanyalah untuk orang Islam. Kami mahu dihakimi dibawah hukum hudud kerana ingin menjadi pengikut yang taat. Mengapa MCA dan Gerakan mahu melarang? Undang-undang Syariah telah dipraktikkan di Negara kita dan ia tidak langsung melibatkan masyarakat bukan Islam, jadi mengapa takutkan hukum hudud?" beritahu Khalid Samad, ahli parlimen PAS Shah Alam kepada Malaysia Chronicle.

Khalid juga mengecam Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana mengatakan Umno menyokong hudud tetapi Negara tidak bersedia untuk melaksanakannya.

"Sebagai satu bangsa, kita masih belum bersedia untuk hukum hudud, itu benar. Ini adalah kerana kerjasama Umno dengan MCA dan Gerakan dan parti-parti komponen untuk memburukkan hudud, agar masyarakat bukan Islam dan juga segelintir umat Islam takutkannya. Jika Umno dan BN tidak mempolitikkan hukum hudud, mendidik masyarakat awam mengenainya adalah lebih mudah. Pemimpin-pemimpin agama tidak mempunyai masalah kerana mereka celik agama. Ahli-ahli politik yang memporak-perandakan keadaan," kata Khalid.

Kelantan

Hukum hudud merupakan salah satu cabang daripada undang-undang Islam yang melibatkan 6 kesalahan jenayah, dan ia amat digeruni kerana melibatkan hukuman seperti rejam sehingga mati, pemotongan anggota badan dan sebatan. 6 jenayah hudud adalah mencuri, merompak, berzina, fitnah zina, minum arak dan murtad.

Dalam Pakatan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga merupakan ketua umum PKR, menyokong hukum hudud dan Kelantan patut melaksanakannya selagi hak-hak masyarakat bukan Islam dilindungi sepenuhnya. DAP bagaimanapun tidak bersetuju dangan pendapat beliau.

Keadaan dalam Pakatan bukanlah suatu yang baru dan ketiga-tiga parti telah menyatakannya berulang kali. Jika PAS ingin melaksanakan hukum hudud atau negeri Islam, ia perlu mempunyai majoriti yang mencukupi di peringkat negeri mahupun kerajaan persekutuan. PKR mahupun DAP tidak terikat untuk menyokong cadangan tersebut. Di Kelantan, PAS mempunyai majoriti yang mencukupi kerana hanya 10 peratus daripada penduduknya adalah bukan Islam.

Akan tetapi, Nik Aziz Nik Mat , Menteri Besar Kelantan tidak berupaya berbuat demikian kerana kerajaan persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengeluarkan surat melarang perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. Nik Aziz telah mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk membatalkan surat tersebut, namun, tidak mendapat sebarang maklumbalas. Malaysia Chronicle

Jui Meng: Hentikan rundingan rahsia dan tipu helah dalam Petronas

Posted: 27 Sep 2011 07:03 AM PDT

Wong Choon Mei

Pentadbiran Najib mesti menghentikan fitnah terhadap agenda ekonomi Pakatan Rakyat dan membentuk semula perancangan kewangan Negara yang kukuh, bermula dengan mendedahkan rahsia yang menyelaputi syarikat minyak Negara, Petronas. Ini sahaja dapat menghasilkan berbilion ringgit di dalam tabung Negara, mengaktifkan semula ekonomi dan membantu berjuta rakyat Malaysia di dalam melalui keadaan sukar sekarang ini, kata ahli ekonomi dan ketua-ketua pembangkang.

"Dari 1974 hingga 2010, Petronas melaporkan ia beroleh keuntungan sebanyak RM700 bilion. Ini merupakan satu lawak jenaka. Bagi Petronas untuk menghasilkan keuntungan yang sedikit dalam jangkamasa yang panjang iaitu 36 tahun, merupakan suatu penghinaan kepada kebijaksanaan seseorang. Jika dibandingkan dengan pendedahan WikiLeaks bahawa Petronas merupakan syarikat ke-13 paling untung di dunia, ini adalah amat tidak masuk akal dan ini menunjukkan betapa teruknya rasuah sebenarnya," Chua Jui Meng, Timbalan Presiden PKR memberitahu Malaysia Chronicle.

Dunia minyak yang dibayangi rahsia dan tipu helah kroni

Petronas ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum pada tahun 1974 dan telah menikmati kadar kenaikan harga petroleum yang tinggi pada dekad yang lalu. Petronas mendapat keuntungan pra-cukai sebanyak RM90.5 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac 2011. Selain cukai, Petronas telah membayar kepada kerajaan dividen sebanyak RM30 bilion pada tahun 2009, yang merupakan kenaikan dari RM24 bilion pada tahun 2008, RM20 bilion pada tahun 2007, RM13 bilion pada tahun 2006 dan hanyalah RM9.1 bilion pada tahun 2005.

Tetapi ura-ura mengatakan bahawa minyak merupakan pilihan besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat kroni yang rapat dengan kuasa pemerintahan hebat di dalam parti Umno Najib.Pihak-pihak ketiga ini dikatakan telah diberi keizinan untuk membenarkan pilihan jual beli di dalam pasaran minyak global, yang disokong oleh minyak Petronas sendiri. Disebabkan kenaikan harga minyak yang mendadak sejajar dengan permintaan dunia, ini telah memberi pihak-pihak kroni keuntungan yang besar dan tidak sama sekali akan kembali ke Negara ini.

"Sudah tentu, semua rahsia dan tipu daya ini mesti disiasat dan dihentikan. Ia adalah seperti membenarkan pihak-pihak ini merampas keuntungan yang sepatutnya milik Petronas. Dan ini juga mungkin menyebabkan laporan hasil terkumpul adalah sangat rendah. Siapakah pihak-pihak ini, siapa yang memberi mereka hak-hak ini dan yang penting sekali, hentikan urusan ini dengan kadar segera kerana wang tersebut adalah milik rakyat. Ia merupakan kekayaan bangsa dan sekarang, simpanan minyak kita mula berkurang," kata Jui Meng.

Membuka pekung: Apakah Dr M memimpin reformasi atau sebaliknya?

Baru-baru ini, pembocoran saluran diplomatik Amerika telah membuat pendedahan bahawa seorang pegawai Petronas, Mohd Azhar Osman Khairuddin, memberitahu jurucakap kedutaan mengenai simpanan minyak dan gas Malaysia yang semakin berkurang. Conoco Philips Malaysia juga telah mengesahkan perkara tersebut, tanpa penemuan baru hasil minyak Malaysia akan berkurang pada kadar 10 peratus setiap tahun, dari 550,000 tong sehari pada tahun 2008 kepada 490,000 tong sehari pada tahun 2009 dan 450,000 tong sehari pada tahun 2010.

Jui Meng dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahukan 'Royal Commission of Inquiry' terhadap Petronas. Anwar berkata bahawa kekayaan minyak milik rakyat dan audit yang benar dan menyeluruh mesti diadakan. Beliau meminta Petronas agar menjawab terus ke Parlimen untuk bertanggungjawab dan ketelusan.

Ramon Navaratnam, ahli ekonomi dan ketua masyarakat sivil yang dikenali ramai, bersetuju bahawa sepatutnya terdapat lebih banyak ketelusan diaplikasikan di syarikat minyak Negara. Beliau menyeru penasihat Petronas, Mahathir Mohamad yang juga merupakan bekas Perdana Menteri untuk mengambil tindakan.

"Sememangnya bagi taraf dunia, Petronas dilihat sebagai kurang telus dari segi perolehan keuntungannya dan banyak perlu dilakukan untuk membaikpulih. Tun Mahathir adalah orang yang terbaik di dalam usaha malakukan reformasi di Petronas ini. Akta Pembangunan Petroleum haruslah dikaji semula dan semua klausa yang dimasukkan untuk melindungi rahsia sepatutnya dilupuskan," kata Ramon yang juga merupakan presiden 'Transparency International' Malaysia.

Basmi rasuah untuk tingkatkan hasil pengeluaran

Kedua-dua Jui Meng dan Ramon telah memberi maklumbalas kepada kenyataan yang dibuat oleh Pemandu, sebuah unit ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, di mana pada Hari Jumaat telah berkata bahawa kerajaan persekutuan telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah daripada kira-kira RM1,500 kepada RM4,000 setiap bulan.

Pemandu tidak menyatakan sebarang jangkamasa perlaksanaannya, menyebabkan kedua-dua Ramon dan Jui Meng mengecam usul tersebut. Mereka memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk memberi harapa palsu pada rakyat dalam mempertingkatkan taraf ekonomi mereka hanya akan menimbulkan masalah lebih besar.

Penganalisis kewangan telah bersetuju bahawa perancangan tersebut akan mengambil masa, dan dengan keadaan angin kemurungan ekonomi dunia yang bertiup kencang ke arah Asia dan Malaysia, jawapan kepada penyelesaian segera berada di dalam Petronas sendiri, iaitu dengan menghapuskan segala amalan negatif yang berleluasa, juga mempertingkatkan aktiviti penjimatan yang berfokus kepada pembasmian rasuah. Masalahnya terletak pada keupayaan pihak atasan yang berpengaruh politik kuat untuk melaksanakannya, kata mereka.

"Hakikatnya, membasmi rasuah adalah kunci kepada segala penyelesaian permasalahan. Sebagai contoh Selangor – dalam jangkamasa 3 tahun ini telah berjaya mempunyai simpanan tunai tertinggi di dalam 28 tahun sejarahnya. Penyelesaian yang tidak berkesan pada masa pemerintahan BN berkesan sekarang, ini kerana pentadbiran Pakatan telus dan ikhlas melaksanakan tugas.Tanpa rasuah, seperti Pulai Pinang," kata Jui Meng.

Di dalam Buku Jingga, PKR telah mengusulkan kenaikan pendapatan isi rumah dari RM1,500 kepada 4,000 yang akan hanya berkuatkuasa di dalam jangkamasa 5 tahun. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil, kata Jui Meng, tetapi jangka masa yang munasabah dengan pengambilan langkah serius seperti perlaksanaan pendapatan minima sebanyak RM1,500, memberi peluang kepada pasangan untuk bekerja dari rumah supaya mereka boleh beroleh sumber pendapatan isi rumah kedua, melupuskan dan mengurangkan tol, mengawal kadar bayaran air dan elektrik.

"Kenyataan Pemandu telah dicuri dari Buku Jingga Pakatan, hampir serupa. Terlalu banyak cadangan yang telah dicuri dari kami untuk tampak bagus, akan tetapi, walaupun mudah di dalam bidang kuasa mereka untuk merealisasikannya, kami tidak nampak sebarang usaha drastik dari pentadbiran Najib kearah itu. Baru-baru ini, BN telah mengiktiraf Hari Malaysia dan ia merupakan cadangan kami. Panggilan 16 September hasil usaha Anwar dan ketegasannya agar hari tersebut diberi pengiktirafan menyebabkan BN mengambil langkah serupa," kata Jui Meng.- Malaysia Chronicle

Jho Low: Rosmah bukan "mak angkat" saya

Posted: 27 Sep 2011 06:59 AM PDT

Lim Hong Siang


"Rosmah (Mansor) bukan 'mak angkat' saya. Beliau adalah kawan baik saya," demikianlah "tafsiran" yang diberikan Jho Low kepada Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri, Najib Razak. Rosmah Mansor adalah isteri kepada Najib Razak.

Beliau menjelaskan, "Anak Rosmah (Mansor) adalah rakan saya ketika menuntut di Britain. Saya mengenali anak Perdana Menteri dahulu, sebelum saya mengenali Perdana Menteri. Saya memperkenalkan ramai pelabur kepada Malaysia, justeru itu saya sering bertemu dengan PM."

Malah, Jho Low mendakwa dirinya mengenali ramai "putera" di negara yang berlainan, termasuk Abu Dhabi, Kuwait, Saudi Arab dan sebagainya. Oleh itu, Jho Low berkata dirinya mampu membawa ramai pelabur dari Timur Tengah ke Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Straits Quay, Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 25 September 2011. Laporan ini disiarkan Kwong Wah Yit Poh pada 26 September, pada muka surat A5.

Sebelum ini, Jho Low dikatakan sebagai kenalan rapat dengan anak Perdana Menteri Najib Razak, lantas mencungkil keraguan orang ramai sama ada Jho Low berperanan sebagai proksi, berikutan kemampuan graduan Wharton Business School ini dalam mengumpul kekayaan pada umur 20-an tahun.

Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar (gambar kanan) ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Kongres Nasional AMK yang diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, pada 28 Mei 2010, memetik laporan New York Post pada tahun 2009, yang diulas kemudiannya oleh tabloid tempatan Malay Mail, bahawa seorang pemuda bernama Taek Jho Low membelanjakan USD 50 ribu hingga 60 ribu, atau RM 170 ribu ke RM 205 ribu setiap hari.

Malah, Shamsul Iskandar ketika itu mendesak agar PM menjawab, dan mengesahkan sama ada tuduhan bahawa Jho Low mendapat kontrak pembangunan TUDM Sungai Besi yang bernilai kira-kira RM500 juta, dan memainkan peranan sebagai penasihat di sebalik Terengganu Investment Authority yang mengurus dana royalti minyak itu benar atau tidak.

Baca: Ketua AMK: Negara bankrap kerana rasuah, bukan subsidi

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar yang dirujuk adalah Kwong Wah Jit Poh pada 26 September 2011, wawancara akhbar tersebut dengan Jho Low. Laporan dibuat berdasarkan teks asalnya dalam bahasa Cina.

Di anjung SPRM, ilusi dan realiti saling bergelut

Posted: 27 Sep 2011 06:57 AM PDT

Ng Eng Kiat


Kalau saya boleh cadangkan satu judul buku untuk siri penerbitan Buku Fixi yang diterajui saudara Amir Muhammad, saya ingin supaya "Ilusi" menjadi terbitan seterusnya. "Ilusi" akan mengisahkan misteri kematian Ahmad, seorang pegawai kastam yang dituduh terima rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ringkasannya pada kulit belakang akan berbunyi:

"Ahmad, 56, dijumpai berlumuran darah di gelanggang badminton kompleks bangunan SPRM. Dia baru sahaja datang mengunjung pagi itu, tujuannya ke mari tidak pasti. Yang diketahui, Ahmad seorang pegawai Kastam yand disyaki terbabit dalam kes rasuah. Dia baru dilepaskan dari tahanan satu malam dalam lokap dan sesi soal siasat oleh SPRM. Baginya, pengalaman semasa dalam tahanan ibarat neraka di atas bumi. Kini, kematian Ahmad dalam premis SPRM menjadi mimpi ngeri isteri dan keluarga tersayang.

Realiti hidup Ahmad sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab tiba-tiba menjadi ilusi. Realiti kejadian semasa Ahmad berada di SPRM pada hari malang itu akan dipadamkan dari rekod kamera litar tertutup buat selama-lamanya. Realiti kematian Ahmad akan terpendam, sekali gus diputuskan sebagai suatu nahas akibat cubaan untuk melarikan diri. Pergelutan berlaku antara ilusi dengan realiti, antara yang benar dengan yang palsu, dan antara keadilan dengan kezaliman."


Malang sekali, Ahmad Sarbaini Mohamed bukan watak rekaan semata-mata, misteri kematiannya juga bukan hasil imaginasi penulis ini. Namun, bagi pembaca yang mengikuti perkembangan inkues Ahmad Sarbaini yang selesai hari kelmarin, misteri ini belum selesai sungguhpun koroner Aizatul Akmal Maharani memutuskan bahawa Allahyarham terjatuh selepas cuba keluar dari tingkap pantri tingkat tiga bangunan SPRM.

Mengapakah Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap tingkat tiga? Kata koroner selepas mendengar keterangan saksi dan meneliti bukti, Allahyarham mungkin sedang melarikan diri daripada ditahan semula oleh SPRM dan dalam proses itu tersilap menganggar jarak antara tingkap dengan bumbung yang menjadi destinasi dirancang. Kesilapan Ahmad Sarbaini itu dikatakan hasil suatu fenomena ilusi optik, ataupun keadaan di mana imej visual pada mata kasar berbeza dengan realiti objektif.

Peguam mewakili SPRM, Muhammad Shafee Abdullah (gambar kiri) melahirkan rasa gembira dengan keputusan inkues atas sebab keputusan tersebut "dapat membersihkan sebarang salah laku di kalangan pegawai SPRM". Namun, tiada sebab untuk SPRM bersorak riang sekarang, kerana dalam jangkamasa dua tahun yang lepas, sudah dua nyawa (termasuk mendiang Teoh Beng Hock) terkorban dalam bangunan mereka.

Perkara ini merupakan realiti yang tidak akan hilang, tanpa mengira ilusi yang cuba digunakan untuk mendaifkan mereka yang masih mencari kebenaran.

Kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini tidak harus dilihat berasingan. Keputusan inkues Ahmad Sarbaini yang diselesaikan kelmarin sebenarnya mirip dengan keputusan inkues Teoh Beng Hock. Dalam keputusan inkues itu, koroner tolak bahawa mendiang Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh tetapi juga menyingkirkan kemungkinan dia membunuh diri. Namun, selepas penyiasatan oleh satu Suruhanjaya DiRaja, kematian Teoh Beng Hock dikatakan kes bunuh diri yang terpaksa.

Inkues Ahmad Sarbaini lebih kurang sama keputusannya, kerana kematian yang dikatakan "nahas" oleh koroner tiada elemen pembunuhan mahupun bunuh diri. Persoalannya, adakah suatu Suruhanjaya DiRaja pula akan sekali lagi membongkar maklumat baru mengenai kematian Ahmad Sarbaini? Mampukah 22 jam rakaman kamera litar tertutup bangunan SPRM yang dipadamkan muncul semula?

Koroner dalam kedua-dua inkues Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kelakuan pegawai SPRM dan keadaan di mana bukti fizikal boleh dihilangkan dengan begitu mudah sekali. Bukankah sesuatu yang perlu disyaki apabila 22 jam rakaman pada hari kejadian itu hilang begitu sahaja? Teoh Beng Hock sudah mati berjam-jam semasa masih dalam jagaan SPRM, barang peribadinya seperti telefon bimbit dan dompet masih dipegang SPRM apabila tragedi itu terjadi, tetapi SPRM menipu dan bertegas bahawa mendiang Teoh sudah dilepaskan dan sendiri mahu berlegar di premis mereka.

Persoalan di atas tidak diberi pertimbangan yang setimpal, tetapi teori yang melepaskan SPRM daripada sebarang tanggungjawab diterima dengan mudah, lantas diulangi hampir kata demi kata. Ingat, teori hanyalah pandangan yang tidak atau belum dibuktikan dengan kukuhnya. Maka, jika sesuatu teori itu dijadikan keputusan sesuatu kajian atau siasatan tanpa disokong bukti dan hukum logik, perkara itu hanya suatu ilusi.

Di anjung SPRM, ilusi dan realiti saling bergelut. Apakah motif sebenar Teoh Beng Hock dipaksa ikut SPRM ke pejabat mereka untuk disoal siasat? Apakah dakwaan RM2,500 disalahguna majikannya hanya ilusi optik? Mengapakah telefon bimbit Ahmad Sarbaini diambil jika dia bukan dalam tahanan? Ilusi optik juga? Oh ya, rakaman kamera litar tertutup juga hilang kerana ilusi optik.

Mengapa begitu sukar untuk perkara yang benar menang dalam pergelutan ini? Sukar sangatkah sistem pengadilan kita mencari dan menafsir realiti suatu peristiwa? Sebaliknya, kita lebih cenderung bergantung kepada penjelasan yang berasaskan ilusi, imaginasi, dan konspirasi.

Rakyat Malaysia mahukan negara yang bersih daripada rasuah dan penyelewengan. SPRM mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan perkara ini suatu realiti dan bukannya terus bermain dengan ilusi. Berbagai-bagai persoalan sudah dilemparkan tetapi belum dijawab. Kerajaan Jerman sudah mulakan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud, tetapi bagi SPRM, ini mungkin ilusi optik juga. Di Perancis, mahkamah sedang menyiasat kes pembelian kapal selam scorpene oleh negara Malaysia. Ilusi optik lagi? Apakah tidak ada seorang pun dalam SPRM yang mengenali dan ingin mendampingi realiti?

Apakah SPRM juga ilusi optik semata-mata? Apakah harapan rakyat supaya suatu badan yang bebas, bersih, dan professional untuk membanteras gejala rasuah tidak kesampaian, lantas jatuh berkecai atas lantai? Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock sudah tiada. Jadikanlah tragedi mereka tragedi kita bersama. Jangan biar ilusi terus mengaburi mata kita.

*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Isu Hudud: AMK dan Pemuda PAS hormat sebarang keputusan Pakatan Rakyat

Posted: 27 Sep 2011 06:52 AM PDT

AMK dan Pemuda PAS


Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan dan kesepakatan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat melalui Setiausaha-setiausaha Agung parti-parti komponen KEADILAN, PAS dan DAP dalam isu hudud yang kembali dihangatkan mutakhir ini.

Kesepakatan agar semua pimpinan ketiga-tiga parti diarah tidak mengeluarkan kenyataan sehinggalah Kepimpinan Pakatan Rakyat bersidang pada 28 September dengan jelas sekali merupakan satu tindakan proaktif yang bijak agar para pemimpin kembali fokus kepada agenda memperjuangkan hak rakyat, dan Pemuda Pakatan berpandangan ia wajar dihormati tanpa kompromi.

Ini sekaligus harus menjadi satu ingatan kepada Pakatan Rakyat agar kembali memfokuskan kemaslahatan rakyat sebagai agendanya. PRU-12 2008 menyaksikan rakyat memberikan harapan kepada Pakatan Rakyat. Dan ini sewajarnya tidak boleh disia-siakan sewenangnya dalam situasi genting menghadapi PRU-13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sebaik sahaja Perdana Menteri mendapat ilham.

Dalam masa yang sama Pemuda Pakatan mengutuk tindakan UMNO-BN melalui media khususnya Utusan Malaysia yang bersungguh-sungguh mempolemikkan isu seumpama hudud ini di saat Pakatan Rakyat dilihat semakin ampuh menggempur Putrajaya. Adalah sesuatu yang mengaibkan dunia kewartawanan, di saat sebuah akhbar seperti Utusan Malaysia memainkan peranan aktif sebagai batu api untuk melapor secara salah apa jua isu bersabit Pakatan Rakyat.

Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadith :

"Orang mukmin tidak boleh disengat dua kali dari satu lubang" - Sahih Bukhari Muslim

Hadith ini dengan jelas menunjukkan keperluan kita selaku barisan hadapan rakyat sentiasa peka dengan corak permainan kotor musuh yang sememangnya seronok melaga-laga Pakatan Rakyat agar dilihat lemah di mata khalayak. Inilah yang menjadi kerja harian UMNO-BN melalui media kelolaan mereka, mendatangkan ragu di kalangan rakyat melalui fitnah dan mehnah berpanjangan.

Di sinilah kita selaku kepimpinan Pakatan Rakyat harus lebih berwaspada dengan taktik kotor musuh ini dengan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

Pengalaman mendewasakan. Dan ini harus menyemat satu tekad di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat agar mengekalkan fokus untuk menjulang agenda rakyat dengan menjatuhkan UMNO-BN di dalam PRU-13 akan datang.

Pemuda Pakatan percaya kebijaksanaan pimpinan Pakatan untuk menyelesaikan polemik ini di dalam satu suasana muhibah. Yang nyata ia sangat berbeza dengan UMNO-BN yang tidak membuka ruang perbezaan pendapat hatta di kalangan kelompok parti gabungan mereka sendiri.

Kapal mereka sedang bersedia untuk karam, maka Pakatan Rakyat harus mempersiapkan diri menjadi kemudi baru rakyat Malaysia. Untuk merealisasikan hasrat rakyat ini, pastinya, ia menuntut kebijaksanaan menyelesai masalah secara hikmah.

*Kenyataan media bersama oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Nasruddin Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

‘Hudud ujian kepada Pakatan Rakyat’

Posted: 27 Sep 2011 06:50 AM PDT

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chow berkata, jika isu hudud ini tidak boleh diselesaikan mengikut keperluan dan kemahuan rakyat, sudah tentu isu-isu besar lain akan gagal ditangani.



PETALING JAYA: Isu hudud yang mencetuskan kontroversi antara PAS dan DAP adalah untuk menguji kebijaksanaan Pakatan Rakyat menangani isu-isu besar yang akan berlaku dalam negara, kata Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chow berkata, jika isu hudud ini tidak boleh diselesaikan mengikut keperluan dan kemahuan rakyat, sudah tentu isu-isu besar lain akan gagal ditangani.

"Perlu diakui bahawa hudud bukan isu kepada Pakatan Rakyat tetapi menguji bagaimana isu ini diselesaikan.

"Kalau isu hudud ini tidak boleh diselsaikan tentu isu besar lain tidak akan berjaya diatasi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Orang kuat PAS di kalangan bukan lslam itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu hudud yang kini sedang mengoncang Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat saling perang mulut hingga Pakatan Rakyat terpaksa mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu itu.

Perang mulut PAS-DAP

Bagaimanapun, Hu menegaskan, pelaksanaan hudud di negara yang berbilang kaum ini sudah tentu memerlukan perbincangan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Masa yang paling sesuai untuk membincangkan isu tersebut ialah setelah Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

"Kerana orang Islam tidak boleh membantah hudud secara terbuka," katanya sambil menambah undang-undang Islam itu tidak masalah di kalangan orang bukan Islam di Terengganu dan Kelantan.

Hu juga menegaskan, agama telah menjadi satu isu yang hangat di Malaysia dalam kempen politik di Malaysia berbanding di negara-negara lain.

Katanya, ia tidak berlaku di negara lain kecuali Malaysia.

Perdana Menteri baru-baru ini memberitahu, Malaysia tidak akan melaksanakan undang-undang Islam.

Pewaris gesa Rang Undang-Undang Kg Baru ditarik semula

Posted: 27 Sep 2011 06:49 AM PDT

"Kami menentang 100 peratus rang undang-undang ini, majoriti membantahnya," katanya.



KUALA LUMPUR: Pewaris tanah Kampung Baru hari ini menggesa agar rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru di sini ditarik balik dan dibincangkan semula sebelum dibaca dalam sesi parlimen akan datang.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, Mohd Nor Hassan, 56, berkata sejak bacaan kali pertama rang undang-undang itu pada Disember lalu, majoriti pemilik dan pewaris tanah membantah cadangan itu namun tidak diendahkan kerajaan.

Mohd Nor yang juga merupakan generasi kedua Kampung Baru berkata penolakan rang undang-undang itu disebabkan tiada jaminan hak mereka akan kekal walaupun bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata akan bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru bertemu dengan kami.

"Malah ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuasa menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda, perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan boleh merampas tanah kami," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Ujar beliau kerajaan tidak ikhlas untuk membincangkan tentang hala tuju rang undang-undang itu sehingga memutuskan untuk terus bawa ke Parlimen untuk bacaan kali kedua.

Tidak nampak keikhlasan

"Kami tidak nampak keikhlasan kerajaan, tarik balik rang undang-undang ini dan bincang balik dengan kami kemudian baru bawa masuk balik..kami tidak tentang pembangunan tetapi kami menentang cara kerajaan yang nak mengambil alih dengan cara yang tidak elok, guna parlimen untuk ambil alih hak kami.

"Kami menentang 100 peratus rang undang-undang ini, majoriti membantahnya," katanya.

Selain itu, beliau juga mahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mendedahkan perkembanga terkini tentang referendum yang diserahkan kepada pemilik dan pewaris tanah membuat keputusan.

Pada Jun lalu hanya 30 peratus borang referendum itu telah dikembalikan namun tiada keputusan tentang jumlah yang menyokong atau menentang.

"30 peratus ini dari mana? Siapa yang hantar? Sehingga kini tiada rekod…dan untuk rekod terdapat 4,000 pemilik dan pemaris tanah tapi ramai yang sudah tidak duduk di Kampung Baru malah semasa penjelasan dibuat tentang pindaan itu hanya segelintir sahaja yang hadir.

Sementara itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula berkata langkah kerajaan meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen kelak adalah bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris di tanah berusia 111 tahun itu.

Borang referendum

"Menteri juga sebelum ini berkata referendum akan menjadi asas tama sama ada rang undang-undang ini akan diteruska atau tidak, borang referendum telah dihantar dan saya difahamkan pada Jun hanya 30 peratus yang telah mengembalikan borang itu," katanya.

Justeru jelas beliau, langkah terbaik yang harus diambil kerajaan adalah menarik semula rang undang-undang itu dan dibincangkan semula dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibahaskan semula di Parlimen pada sesi Jun lalu.

Bagaimanapun pada akhir Jun lalu, majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua memandangkan respons ke atas referendum melibatkan pemilik tanah eksekutif orang Melayu itu dingin.

"Kalau prihatin dengan rakyat cara paling baik tarik balik, duduk semula dengan penduduk Kampung Baru dan bincang semula kemudian masuk balik dalam Parlimen," katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah wakil peguam Zulhazmi Shariff.

Hudud bukan bermusim, kata menteri agama Jamil Khir

Posted: 27 Sep 2011 06:35 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau berkata sehubungan itu mana-mana pihak terutama parti politik tidak seharusnya menggunakan isu perlaksanaan hukum Islam untuk meraih sokongan pada musim pilihan raya sahaja.



JITRA: Perlaksanaan hukum Islam (hudud) bukanlah bermusim, sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara berterusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata sehubungan itu mana-mana pihak terutama parti politik tidak seharusnya menggunakan isu perlaksanaan hukum Islam untuk meraih sokongan pada musim pilihan raya sahaja.

"Apabila berbicara soal hudud, kita kena faham skop… bukan hanya cakap-cakap retorik, tapi kena ada perlaksanaan.

"Dalam perundangan negara, kita sentiasa ingin lihat Mahkamah Syariah berkembang seiring dengan mahkamah lain dan perjalanan ini memerlukan penyatuan umat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata semua umat Islam perlu mengetepikan pegangan sempit dalam konteks parti, puak atau kaum demi kepentingan sesuatu pihak.

Katanya umat Islam harus bersatu untuk melihat transformasi agama di negara ini serta menerima semua hukum dan cari hikmah yang baik di sebaliknya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, arangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud, jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini

Tutp mulut

"Inikah demokrasi yang diperjuangkan mereka? Semua mesti tutup mulut?" kata beliau di Bentong ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam agar pemimpin pakatan pembangkang mengunci mulut berhubung isu itu dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga satu pendirian rasmi dibuat pada mesyuarat khas esok.

Perbalahan antara pembangkang timbul apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas dilaporkan berkata hukum hudud akan tetap dilaksanakan di negeri itu tetapi ini dibantah keras oleh Pengerusi DAP Karpal Singh.

Shafie berkata pakatan pembangkang terdiri DAP, PAS dan PKR sentiasa berkata mereka memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun mereka sendiri sebenarnya menyekat hak untuk bersuara bagi anggota mereka.

"Sistem demokratik apakah ini? Mereka sebelum ini begitu lantang di Parlimen kononnya memperjuangankan kebebasan bersuara, tetapi hakikatnya mereka tidak boleh duduk semeja pun untuk membincangkan isu berkenaan," katanya.

Shafie berkata rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa pakatan pembangkang tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan dan kemakmuran di negara ini.

"Dalam isu ini pun mereka gagal mencari kata putus dan sering bertelagah," katanya.-Bernama

Piket: Akta Kerja tetap ke Parlimen, MTUC jumpa menteri Khamis

Posted: 27 Sep 2011 02:35 AM PDT


KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan pelan mengadakan piket pada hari pertama sidang Parlimen memandangkan Kementerian Sumber Manusia kekal dengan pelannya mahu membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 untuk bacaan kali kedua.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, maklumat diterima mereka semalam menunjukkan kementerian sudah pun memutuskan untuk membahaskan rang undang-undang itu dan pihaknya juga telah menerima satu naskhah.

Sehubungan itu, Halim berkata MTUC akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam pada Khamis ini dan akan memutuskan tindakan susulan selepas itu.

"Khamis ini, Menteri Sumber Manusia dan Ketua Setiausaha telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan pertemuan dengan kami. Jika mereka masih mahu meneruskan bacaan kali kedua rang undang-undang ini dan tidak mengadakan perbincangan di NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan), bermakna MTUC akan meneruskan piket yang telah pun diputuskan oleh majlis am kongres," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sekretariat MTUC pula mengadakan mesyuarat hari ini bagi meneliti kandungan rang undang-undang itu sama ada perkara yang dibangkitkan oleh pihaknya sebelum ini diterima ataupun sebaliknya.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa MTUC akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC kelmarin.

Sesi baru Parlimen bermula 3 Oktober ini dan akan berlarutan sehingga pertengahan Disember.

"Jika benar kerajaan meneruskan perbahasan mana-mana rang undang-undang buruh, khususnya Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, MTUC akan mengadakan piket di kawasan Parlimen pada hari pertama persidangan," kata Halim dipetik dalam laporan semalam.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Dr Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam NLAC, yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja.

Halim menambah, MTUC berpendapat bahawa pandangan pekerja khususnya pendirian kongres itu tidak dibelakangkan sama sekali.

Oktober lalu, Kementerian Sumber Manusia menarik balik Rang Undang-undang Kerja daripada bacaan kedua bagi membolehkan beberapa perubahan dilakukan serta menambah beberapa pindaan lain tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Ketika itu, Dr Subramaniam menafikan penarikan itu mempunyai kaitan dengan piket yang dijangka dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di tujuh lokasi, pada hari keputusan menarik balik diputuskan, bagi membantah cadangan pindaan terhadap beberapa rang undang-undang di bawah kementerian itu.

Dr Subramaniam berkata rang undang-undang itu akan dibentang semula pada persidangan Oktober-Disember 2010 selepas perubahan dilakukan tetapi terus ditangguhkan sehingga kini.

Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada 8 Julai 2010 meliputi peruntukan mengenai gangguan seksual di kalangan pekerja dan majikan dan kebajikan pembantu rumah.

Bagaimanapun MTUC menyedari pindaan itu membawa kerugian ke atas kebajikan pekerja dalam jangka panjang khususnya sistem kontraktor pekerja diperkenalkan.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

Difahamkan kementeria juga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Pekerja.

Kartun jenakakan hudud diselar

Posted: 27 Sep 2011 02:34 AM PDT

MALAYSIA KINI


PAS Melaka menyelar siaran kartun dalam akhbar Umno Utusan Malaysia semalam yang didakwa menjadikan hukum hudud sebagai bahan jenaka.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Melaka Muhamad Aizat Bahrudin berkata, tindakan itu keterlaluan kerana mempermainkan-mainkan hukuman Allah merupakan dosa besar.

"Hudud adalah hukuman yang disyariatkan Allah. Ia bukan hukum buatan manusia tetapi ia datang dari Allah.

"Penghinaan terhadap sesuatu yang datang dari Allah itu adalah sama dengan penghinaan kepada Allah," kata Muhammad Azizat.

Muhammad Azizat menggambarkan kartun itu menunjukkan lelaki berserban, yang merujuk kepada Musyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang mendengar lagu sambil berbaring.

Karikatur tersebut juga menggambarkan irama yang keluar dari alat muzik tersebut dengan perkataan: " Hu..hu..hu..dudd..dudd.."

Pandangan akal

Menurut Muhammad Azizat, karikatur itu cuba menggambarkan bahawa Nik Aziz sedang membangkitkan isu lama.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menyifatkan hudud kini digambarkan dengan wajah yang begitu hodoh, seolah-olah perlaksanaannya merupakan "jenayah".

"Akhbar arus perdana begitu hebat mempolemikkan isu ini dengan pelbagai tafsiran dan pandangan akal.

"Satu demi satu penghinaan dilakukan terhadap undang-undang Islam. Jika sebelum ini Utusan menghina hukuman zina, hari ini kepada hudud pula.

"Esok lusa hina Allah dan Rasul pula secara terang-terangan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Melaka mendesak akhbar harian itu memohon maaf terhadap umat Islam atas "penghinaan" itu, kata Muhammad Azizat lagi.

Isu nilai pasaran sebenar rumah Khir jadi pertikaian

Posted: 27 Sep 2011 02:31 AM PDT

MALAYSIA KINI


Isu nilai pasaran sebenar dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam yang dibeli bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo terus menjadi topik pertikaian pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad ketika menyoal balas Dr Mohamad Khir, yang menjadi saksi pertama pihak pembelaan yang memberi keterangan dari kandang saksi, menuduh beliau berpakat dengan penilai profesional Rahim & Co yang dilantik pihak bank dalam menentukan harga rumah berkenaan.

Menyambung keterangannya hari ini, Dr Mohamad khir sebaliknya menegaskan hartanah yang dibelinya dinilai sebanyak RM3.5 juta mengikut harga pasaran oleh penilai profesional Rahim & Co yang dilantik oleh Bank HSBC pada 14 Mei 2007 dan harga itu dipersetujui Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni.

Ditanya Abdul Wahab sama ada beliau pernah berpakat dengan Choy Yue Kwong (pegawai penilai dari Rahim & Co dalam menentukan harga rumah), Dr Mohamad Khir manjawab: "Tidak pernah".

Dr Mohamad Khir turut menafikan dakwaan Abdul Wahab yang menyatakan Shamsuddin bersetuju menjual rumahnya kepada beliau kerana beliau adalah Menteri Besar ketika itu.

Dr Mohamad Khir berkata demikian ketika membela diri atas pertuduhan mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember, 2004, pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Dr Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei, 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki.- Bernama

PKR: Keputusan inkues Sarbaini sukar dipercayai

Posted: 27 Sep 2011 02:29 AM PDT

MALAYSIA KINI


en PKR, N Surendran menyifatkan keputusan mahkamah koroner semalam yang mendapati kematian penolong pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu sebagai nahas kerana terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM sebagai sukar dipercayai.

NONE"Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.

"Mahkamah koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Surendran, tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV selama 22 jam dipadam, yang mana ia memaparkan detik-detik di mana Sarbaini menemui ajalnya.

Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes berkenaan. Ini kerana katanya, sebagai institusi awam yang dibiaya sepenuhnya dengan wang rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran perkara berkenaan, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

NONESebaliknya, kata Surendran, SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk membersihkan nama institusi itu walau dengan cara apa sekalipun.

"Perlu diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009," katanya yang juga seorang peguam.

Dalam kedua-dua contoh, katanya SPRM bertindak menyerang reputasi mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues dijalankan.

Surendran berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap dakwaan berkenaan.

"Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.

azlan"Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada," katanya lagi.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri kedua-dua individu itu.

Tambahnya, kedua-dua mereka merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia dengan tragis.

Kerajaan, ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.

NONEKata Surendran, keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca sebenar terhadap masalah ini.

"Kami menyeru kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.

"Skop suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana," katanya.

Hantu Bonceng: PAS, pengarah anggap selesai

Posted: 27 Sep 2011 02:26 AM PDT

MALAYSIA KINI


Setelah bantahan keras sebelumnya, Pemuda PAS dan pengarah filem Hantu Bonceng Ahmad Idham Ahmad Nadzri mencapai kata sepakat bahawa isu "penghinaan" Islam dalam filem itu dianggap selesai.

hantu bonceng the movie"Dalam kesempatan ini juga, kedua-dua belah pihak memohon agar isu berkaitan ini tidak lagi diperbesarkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak kerana isu terbabit telah diselesaikan dalam pertemuan ini," demikian menurut kenyataan bersama dewan itu dan penerbit Excellent Pictures Sdn Bhd.

Dalam pertemuan itu, Pemuda PAS diwakili ketuanya Nasrudin Hassan.

Nasrudin pada 19 September lalu mendakwa filem yang dibintangi pelawak terkenal Zizan - atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak - mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Dua hari selepas itu, mereka juga menyerahkan memorandum bantahan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana beranggapan Hantu Bonceng tidak mengendahkan panduan penerbitan berhubung dan "unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah".

hantu bonceng the movieDalam kenyataan yang disiarkan dalam web Pemuda PAS itu semalam, dalam pertemuan Pemuda PAS dan penerbitan Hantu Bonceng, kedua-dua pihak saling memberi dan mendengar penjelasan, selain mengenali satu sama lain.

Siswa: Sastera itu luas

Menurut kenyataan itu, Ahmad Idham merasakan pertemuan itu memberikan hasil positif, menunjukkan keterbukaan kedua-dua pihak, sekali gus mampu memperbaiki penghasilan filem akan datang.

Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Idham memberi penerangan kepada dewan itu berkaitan senario industri perfileman tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan aktivis mahasiswa juga mengadakan pertemuan dengan Ahmad Idham berhubung isu itu dan mendapati babak kontroversi yang dibangkitkan tidak salah kerana "sastera itu nilainya sangat luas".

NONE"Saya harap mahasiswa perlu mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang persepsi dan tanggapan negatif terhadp sesuatu perkara," ujar Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Syahid Mohd Zaini.

Dalam sesi tidak formal itu, Ahmad Idham menjelaskan, dalam dunia perfileman, ruang dakwah dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan sangat luas dan perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah.

Turut hadir Pengerusi Soladiriti Mahasiswa Malaysia(SMM) Ahmad Syukri Ab Razab.

Tiada ulasan: