Ahad, 11 September 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BENARKAH BAJAU GENERASI PRAMATANG?

Posted: 11 Sep 2011 04:15 AM PDT


Oleh : LAND OF TAPIOCA


TIADA negara di dunia sehebat Malaysia kerana berjaya melahirkan lebih sejuta pengundi segera dalam masa tidak sampai '3 Minit' sebagaimana yang dibuktikan dalam tuntutan Bersih baru-baru ini.

Pengundi yang dihasilkan adalah 'Generasi Pramatang' hasil daripada ujikaji 'Ops Gembleng' pada 1991 untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat di Sabah (PBS) kerana berjaya melahirkan pengundi 'Fixed Deposit' dalam kadar 'segera' tanpa perlu menunggu selama 21 tahun.

Daripada kelompok 'Generasi Pramatang' itu, Bajau Filipina merupakan kelompok terbesar; diikuti Bugis, Pakistan, India dan China.

Bajau Pramatang yang lahir daripada Induk Jabatan Pendaftaran Negara mendominasi bidang ekonomi, politik, sosial dan menjadi Faktor Prima yang memenangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum di Sabah sejak rampasan kuasa 1994.

Mereka telah mendominasi ekonomi; dari perniagaan kaki lima sehinggalah ke hotel lima bintang dan menenggelamkan peluang warga tempatan kerana mereka lebih kreatif, kompetatif, produktif dan proaktif terhadap perkembangan semasa kerana mengintai peluang untuk menjadi pendahulu.

Malangnya, mata wang ringgit Malaysia sentiasa mengalir keluar ke negara Filipina kerana bibit dan pewaris generasi Bajau Pramatang yang terlalu ramai; masih ditinggalkan di kampung halaman mereka.

Kerajaan Malaysia pada hakikatnya memerlukan lebih RM10 juta untuk melahirkan seorang pengundi yang berusia 21 tahun sebelum boleh mendaftarkan mereka sebagai pemilih berdaftar.

Kos berkenaan termasuk kos pranatal, pendidikan, prasarana, subsidi dan segala kemudahan yang perlu disediakan kepada Anak Jati Malaysia, namun 99 % kos berkenaan berjaya diserap dengan mengklonkan warga asing sebagai generasi Pramatang yang kini mengungguli Sektor Daftar Pemilih dan menjadi penentu kemenangan mana-mana kerusi, termasuk Adun dan Parlimen.

Oleh itu, Bajau tempatan bukan lagi menjadi kegerunan di mata Barisan Nasional dan terus dipinggirkan kini mula membuat penentangan terbuka kerana BN menzalimi mereka; sehinggalah BN bertindak menerima United Sabah Bajau Organisation (USBO) sebagai Ahli Gabungan BN; demi untuk memastikan Bajau Tempatan kekal sebagai penyokong Tegar BN.

Namun keghairahan Barisan Nasional menjenamakan Sabah sebagai 'Fixed Deposit' telah memberi kesan yang mendalam kepada pola dan landskap politik Sabah apabila Generasi Pramatang ini cuba berpaling tadah menyokong pembangkang.

Tindakan pantas JPN yang diarah memotong talihayat 16,693 Generasi Pramatang yang mengundi Pembangkang telah mengejutkan banyak pihak kerana tiba-tiba mereka kehilangan kerakyatan dan terpaksa kembali ke Filipina atau Indonesia untuk mendapatkan passport Negara asal masing-masing.

Pada 21 Mei 1996, JPN telah membatalkan lebih 16,693 kad pengenalan melalui surat Bil. JPN.KP (S): H/163/2H (49) bagi semua kad pengenalan siri H 0492001- H 0494500, H 0539801-H 053999, H 0540001-H0553999, yang tergolong dalam kategori 'TIDAK DIIKTIRAF'.

Sementara itu, penglibatan Generasi Pramatang dalam Sindiket Pemerdagangan Orang yang semakin berleluasa memaksa semua pihak menuding jari di atas kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang dibauri rasuah; sehingga seluruh dunia mengecam Malaysia kerana gagal menghapus Jenayah Pemerdagangan Orang; baik domestik, mahupun antarabangsa.

Hampir kesemua penyakit sosial yang kronik seperti penjualan dadah secara terang-terangan, peningkatan belia terlibat dalam penagihan dadah, pelacuran, kanak-kanak jalanan, pengemis dan sebagainya berpunca daripada sikap tidak bertamaddun Generasi Pramatang.

Pelbagai NGO, orang perseorangan dan parti pembangkang lain cuba untuk memainkan isu Generasi PraMatang melalui saluran tertentu demi memastikan akar kepada masalah ini dapat diselesaikan.

Namun sehingga ke hari ini, Kerajaan Malaysia masih gagal menangani isu Generasi Pramatang ini sehingga menimbulkan kesan yang begitu mendalam kepada persepsi rakan Komponen BN terutama di Sabah yang melaungkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja berhubung pemberian kerakyatan secara songsang kepada Generasi Pramatang.

Sekiranya dicadangkan penyelesaian terbaik dengan memadamkan data mereka dalam Suruhanjaya Pilihanraya dan Jabatan Pendaftaran Negara apakah kerajaan Barisan Nasional masih mampu mempertahankan kedudukannya kelak? Persoalannya ialah siapakah dalang di sebalik semua ini yang merupakan kunci untuk melenyapkan ibu kepada segala masalah ini?

Zizie Ezette Rindukan Dunia Lakonan

Posted: 11 Sep 2011 04:13 AM PDT

Zizie Ezette

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun tidak bergiat aktif dalam dunia lakonan, pelakon Zizie Ezette mengakui rindu untuk kembali ke dunia yang dicintainya itu.

Ditemui ketika majlis rumah terbukanya di Ukay Perdana pada Sabtu, Zizie memberitahu dia sedang menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke persada seni lakonan kerana masih menyesuaikan diri sebagai seorang isteri.

"Saya rindukan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya sejak dari dulu lagi cuma kini ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan terlebih dahulu iaitu tanggungjawab kepada rumah tangga.

"Tetapi adakalanya saya akan berlakon di hadapan cermin jika rindu untuk berlakon," ujarnya.

Bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Zizie turut menegaskan dia tidak akan bersara daripada dunia lakonan dan suaminya tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif berlakon.

Namun katanya, jika kembali berlakon kelak dia akan lebih selektif terhadap watak dan peranan yang diberikan oleh pihak produksi kepadanya bersesuaian dengan status yang dipegangnya kini.

"Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak media untuk bersara dari dunia lakonan. Suami saya juga tidak pernah menghalang jika saya ingin bergiat aktif kembali tetapi keputusan untuk menumpukan kepada rumah tangga buat ketika ini dibuat oleh saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai anak, Zizie berkata dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi rezeki belum menyebelahi dirinya dan suami.

"Sudah tentu setiap pasangan yang berkahwin mahukan anak dan tidak terkecuali saya. Saya dan suami masih berusaha tetapi dalam soal ini kita hanya mampu merancang, Tuhan juga menentukannya," katanya.

Sementara itu, Zizie yang mempunyai syarikat sendiri yang diberi nama 2121 Vision Pictures memberitahu dia sedang merancang untuk menerbitkan drama dan telefilem sulung dibawah syarikatnya itu.

"Skrip sudah ada tetapi saya tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan drama atau telefilem kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam menjayakan sesuatu projek," ujarnya yang akan mengambil adiknya, pelakon Shaiezy Sam untuk berlakon dalam projek tersebut.

Terengganu Sedia Hadapi Musim Tengkujuh November Ini

Posted: 11 Sep 2011 04:09 AM PDT

MSTAR ONLINE

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyediakan 112 pusat pengkalan hadapan dengan 347 pusat pemindahan yang boleh menampung sejumlah 51,745 mangsa pada satu-satu masa sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir menjelang ketibaan musim tengkujuh November ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Mohd Tarmizi Dan berkata selain itu, semua jentera yang berkaitan dengan bencana alam itu diarahkan meningkatkan lagi peranan dan fungsi di peringkat akar umbi.

"Jawatankuasa pengurusan dan bantuan bencana negeri Terengganu telah mengadakan mesyuarat bulan lalu bagi membincangkan langkah-langkah dan juga persediaan untuk menghadapi bencana alam itu," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Majlis Keselamatan Negara di sini Ahad.

Beliau berkata daerah Hulu Terengganu menyediakan paling banyak pengkalan hadapan iaitu 32, diikuti daerah Besut (26), Kemaman dan Setiu masing-masing (15), Marang (13), Dungun (9) dan Kuala Terengganu (2).

Mohd Tarmizi berkata sebuah depo simpanan keperluan juga ditempatkan di Pulau Kerengga, Marang bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata kerajaan negeri mewujudkan laman web bagi memudahkan orang ramai mengetahui keadaan banjir iaitu www.etindakan.terengganu.gov.my. - BERNAMA

HASSAN ALI, SERAHKAN SAJA SEMUA KUNCI PINTU MASJID PADA JAIS !!

Posted: 11 Sep 2011 04:03 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS


APA kena dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekarang? Setelah Jabatan ini dilihat seperti `menyerang' Gereja, kali ini mereka mendakwa pula golongan yang ingin berrdakwah yang diwajibkan oleh Ugama Islam. Mereka seperti anti dengan umat Islam yang murtad, tetapi dalam masa yang sama dilihat seperti anti pendakwah Islam. Mainan politik apa ini, wahai JAIS?

Bayangkan, Ahli Parlimen PAS dari Shah Alam, YB Khalid Samad dan juga Pesuruhjaya PAS Selangor sendiri , YB Dr Rani akan didakwa oleh JAIS kerana memberi tazkirah tanpa Tauliah. Mereka bukan mengajar Kitab, cuma berdakwah iaitu dengan pesan memesan, ingat mengingati sesama Islam, takkan dakwah sedemikian pun perlu Tauliah? Ya Allah, celakalah hendaknya golongan yang menghalang kerja dakwah ugama mu ini.


Memetik sumber Harakah, Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 November depan di Mahkamah Syariah Klang. Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan 24 November ini. Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Tauliah saya tamat Ramadhan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais," kata Dr Rani kepada Harakahdaily. Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengapa kita menyusahkan kerja dakwah ini? Jika kedua-dua tokoh ini tiada Tauliah, berikan sahaja Tauliah. Apa masalahnya? Lagi pun, perlu sangatkah Tauliah sekadar Tazkirah, bukannya mengajar Kitab besar yang memerlukan ilmu pengetahuan yang mendalam? Jika ilmu ingin dijadikan ukuran, JAIS juga pernah mengharamkan dua Ulamak iaitu Tuan Guru Nik Aziz, Prof Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus daripada memberi kuliah atau tazkirah agama di seluruh Masjid di Selangor. Adakah mereka ini tiada ilmu? Siapa Pengarah JAIS yang tinggi sangat ilmunya itu?

Ini semua kerana JAIS tidak peka dengan Syariat Islam, mereka sengaja mencari jalan untuk menyusahkan kerja dakwah bukan untuk memudahkan. Adakah YB Khalid dan YB Dr Rani memberi tazkirah yang menyesatkan? Jika benar sesat, dakwa mereka dan jika terbukti benar maka hukumlah mereka dan lojiklah mereka terus diharamkan dari memberi tazkirah. Apa hujah JAIS untuk menghalang kerja dakwah ini? Mengapa golongan dakwah seperti Kumpulan Tabligh berleluasa di merata Masjid dibiarkan? Pernah mereka dipersoalkan tentang Tauliah? Mungkin kerana golongan ini tidak merbahaya kepada kepentingan politik sesuatu pihak?

Seperti kata YB Khalid, beliau hanya memberi tazkirah tentang keadilan Islam dan membawa kisah di zaman Nabi dan para sahabat. Adakah itu ajaran sesat? Di mana sesatnya kisah tersebut? Tidak terfikir oleh kita, seorang Pesuruhjaya PAS dilarang memberikan tazkirah hanya kerana tiada Tauliah. Ertinya, kita memerintah Selangor pun kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk kebaikan Islam kerana adanya pihak yang menentang Islam ini berkuasa penuh. Tetapi apabila berlaku sesuatu isu yang memburukkan imej Islam, puak haramjadah ini akan menuding jari menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila kita melakukan kerja dakwah, banyak pula songelnya untuk menghalang kewajipan dakwah tersebut.

Saya bersetuju jika seseorang yang ingin mengajar Kelas Fardhu Ain, Tafsir, Hadith yang berpandukan kitab besar, dan pengajiannya berjadual eloklah memerlukan Tauliah agar pengajian yang disampaikan itu tidak tersasar dari ajaran Islam. Tetapi, jika sekadar datang ke masjid untuk saling berpesan, ingat mengingati sesama kita, tidak perlulah kepada Tauliah.

Jika beginilah keadaannya, elok juga dicadangkan agar Kerajaan Selangor memansuhkan sahaja jawatan Exco Agama yang kini dipegang oleh YB Dr Hassan Ali. Apa beliau buat di dalam isu ini? Tiada kuasa? Jika tiada, lebih baik tiadakan saja jawatan itu. Buat apa buang duit rakyat untuk membayar gaji dan elaun Exco Agama?

Di dalam kes serbuan Gereja baru-baru ini, kita lihat sepantas kilat Dr Hassan Ali mengulas. Di dalam kes ini di mana menyoroknya Dr Hassan Ali? Dr Hassan Ali tidak tahukah yang mahu didakwa itu adalah ahli Jemaah parti beliau sendiri, bahkan YB Dr Rani itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor iaitu bos beliau juga. Adakah Dr Hassan Ali tidak yakin dengan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh PAS itu? Kita tahu, Dr Hassan Ali pasti akan jawab, itu bukan bidangkuasa dia sebagai Exco Agama. Habis tu, kerja dia apa? Tegur JAIS pun Dr Hassan Ali tak mampu?

Ya Allah, apa nak jadi dengan Islam jika ada badan Islam yang sengaja mahu menyusahkan kerja dakwah seperti ini. Kita sangkakan apabila kita memerintah, kita boleh kembangkan Islam, rupa-rupanya tidak. Kita sangkakan adanya Exco Agama boleh juga menjadi pemimpin dan memandu kita ke arah memartabatkan Islam, rupa-rupanya kerja dia hanya merampas arak dari kedai Seven Eleven. Jika begitu, mansuhkan saja jawatan Exco Agama dan serahkan semua kunci pintu masjid pada JAIS. /wfauzdin.blogspot.com

Posted: 11 Sep 2011 03:57 AM PDT

BN - Barang Naik !!! Isu harga barang naik akan tutup isu Mat Indera

http://www.bloggerrakyat.com/wp-content/uploads/2011/08/Barang-Naik.jpg

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA (Harakah)

Serangan bertalu-talu terhadap Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan PAS sendiri berhubung isu Mat Indera dibuat tanpa henti, setiap hari. Ada pihak dalam Pakatan Rakyat yang sudah panik, nampak macam kertas undi PAS dalam tong undi terbang melayang-layang.
Serangan yang dibuat oleh media talibarut BN secara bersepadu dan bertalu-talu itu adalah salah satu dari kaedah peperangan. Di zaman Rasulullah SAW ia dipanggil Pakatan Ahzab. Ia ditiru oleh semua pakatan ketenteraan hingga ke hari ini. Amerika Syarikat, setiap kali menyerang musuh akan bergabung dengan rakan-rakan sealiran membentuk Tentera Bersekutu. Apa perlunya pakatan, walhal Amerika Syarikat sendiri sudah cukup kuat kalau setakat untuk membelasah Iraq. Ia mahu menunjukkan kepada dunia bahawa tindakannya disokong ramai pihak. Itulah yang dikatakan perang saraf, ia mengiringi perang persenjataan.
Dalam perang propaganda juga begitu. Sejak UMNO menjadikan perunding Yahudi sebagai penasihat, kita dapat melihat keseragaman modus operandi mereka dalam perang saraf. Setiap isu yang dilonjakkan akan dimainkan oleh semua media dan melalui semua medium. Ia akan diikuti oleh himpunan mengangkat sepanduk di seluruh negara oleh pelbagai pihak. Akan terbit kenyataan demi kenyataan oleh pelbagai NGO (yang kesemuanya adalah rangkaian satelit UMNO). Diikuti pula dengan laporan polis yang bercambah di seluruh negara.
Cuba perhatikan rentetan isu yang berlaku dalam negara; isu liwat, video seks Datuk Eskay, pembinaan kuil di Shah Alam, kandang babi di Selangor, penggunaan kalimah Allah, Himpunan Bersih 2.0, serbuan JAIS terhadap gereja, roboh gerai di Pulau Pinang dan terbaru, Mat Indera – modus operandi mereka sama sahaja. Ia tidak berlaku secara spontan melainkan perancangan dan arahan. Mereka mahu merperlihatkan kepada rakyat jelata bahawa ia adalah suatu kebangkitan atau gelombang penolakan terhadap pihak tertentu. Kelebihan mereka ialah mempunyai peruntukan untuk mengupah 'pelakon-pelakon opera politik' itu dan mereka menguasai media utama negara.
Adakah dalam isu yang disensasikan dari kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera ini ia akan menjejaskan PAS? Setakat ini belum ada kajiselidik dibuat terhadap responden berhubung isu tersebut. Tapi kalau penulis diajukan dengan soalan itu, saya berani mengatakan, ia tidak menjejaskan undi PAS!
Pertama, mengaitkan PAS dengan keganasan dan komunis bukan isu baru. Lebih dua dekad lalu para pemimpin Umno silih berganti menyerang PAS dengan tuduhan 'PAS sebarkan ideologi komunis' dan 'PAS lebih bahaya dari komunis'. Antara yang mengeluarkan kenyataan celupar itu ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tapi PAS tidak berkubur dengan pencemaran imej melalui tuduhan komunis. PAS adalah parti Islam yang menolah semua ideologi ciptaan manusia serta melolak semua aqidah yang salah. Justeru menuduh PAS sokong murtad, kristian dan komunis tidak akan berbekas.
Kedua, serangan ala Ahzab hari ini berbeza dengan serangan ala Ahzab lebih dua dekad yang lalu. Meskipun PAS tetap belum menguasai media utama negara tapi PAS berpeluang menggunakan media kedua atau media maya. Dalam media utama dilaporkan Mat Sabu menyokong komunis tapi dalam media maya Mat Sabu cuma menyokong Mat Indera bukannya komunis. Dalam media utama Mat Indera adalah pengkhianat tetapi dalam media maya orang boleh meneliti biodata lengkap Mat Indera siap dengan bukti-bukti perjuangannya. Golongan cerdik, pengingin tahu dan anak-anak muda menjadikan media kedua sebagai sumber maklumat. Golongan ini adalah majority senyap yang mencorak pemikiran masyarakat terbesar di luar sana.
Ketiga, hakikatnya rakyat sudah biasa sangat dengan serangan ala Ahzab terhadap pembangkang. Ia nampak macam gah tapi tak mampu merubah apa-apa melainkan (mungkin) memantapkan keyakinan ahli-ahli dan penyokong mereka sendiri sahaja, terhadap isu yang dibawa. Contohnya serangan ala Ahzab terhadap Datuk Seri Anwar sewaktu beliau bertanding pilihanraya kecil Permatang Pauh. Majoritinya tidak merosot, malah bertambah. Teorinya mudah, kesan besar akan tidak terasa apabila orang menganggap ia perkara biasa.
Keempat, isu tersebut tidak menyentuh hati nurani rakyat yang tidak terbabit. Tidak sampai berapa kerat pihak yang kena mengena dengan Peristiwa Bukit Kepong masih hidup. Ahli keluarga mereka sebaliknya berterima kasih kepada Mat Sabu kerana akibat kenyataan beliau, tak semena-mena balu polis yang terbabit dapat pencen arwah suaminya. Berpuluh tahun mereka tidak dipedulikan, kerana Mat Sabu, mereka mendapat perhatian. Pihak yang tiada kena mengena dengan peristiwa itu pula tidak akan berasa sensitif apa-apa. Pihak yang mengangkat sepanduk dan membuat laporan polis terhadap Mat Sabu adalah orang Umno. Mat Sabu tidak buka mulut untuk berkata apa-apa pun memang mereka dah marah dekat PAS. Itu biasa.
Isu Kenaikan harga barang
Bersama isu Mat Sabu ada satu isu besar dalam negara yang menyentuh hati nurani setiap rakyat Malaysia iaitu peningkatan kos sara hidup atau kenaikan mendadak harga barang. Semua orang terasa sebab semua rakyat Malaysia berbelanja. Satu-satunya isu yang paling berkesan dan mudah difahami rakyat ialah isu yang terkena batang hidung sendiri. Merdeka Centre yang melakukan kajiselidik mendapati sokongan terhadap Perdana Menteri susut 6 peratus, faktor utamanya isu kenaikan harga barang. AJK PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli membayangkan pilihanraya umum tidak akan diadakan pada tahun ini kerana kemelesetan ekonomi yang memberi kesan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup. Hampir semua kerajaan didunia tumbang sama ada melalui demokrasi atau demonstrasi jalanan apabila rakyat dihimpit tekanan ekonomi.
Kenaikan harga barang di Malaysia ada kaitan dengan kemelesetan di peringkat global, tapi orang kampung tak peduli dan tak mahu ambil tahu isu dunia. Bagi mereka kerajaan yang patut kawal kenaikan harga barang. Jika barang terus naik, maka parti yang memerintah kena turun. Proses menurunkan parti yang memerintah itulah mesti digembelingkan.
Semua pihak dalam PR perlu gerakkan gelombang kebangkitan rakyat dengan mengeksploit sepenuhnya isu kenaikan kos sara hidup. Beri penumpuan terhadap isu ini. Lebih berkesan menumpukan isu dari memperbagaikan isu. Gunakan kaedah yang digunakan oleh BN selama ini; bantahan seluruh negara, angkat sepanduk, hantar memo, gerakkan penerangan besar-besaran dari pentas ceramah hingga ke kedai kopi, guna sepenuhnya media maya dan asak bertubi-tubi macam yang dibuat oleh mereka terhadap Mat Sabu – Insya Allah BN akan tumbang di Pusat kerana isu kenaikan harga barang ini. PASPB

MP Mahu Status IWK Dibentang Di Parlimen Bulan Hadapan

Posted: 11 Sep 2011 03:54 AM PDT

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM : Kerajan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membentangkan hal yang berkaitan kepentingan awam melalui saluran yang betul seperti sidang parlimen dan bukannya diketahui melalui "sumber-sumber" tertentu dalam kementerian.

Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, status sebenar syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) yang pernah diselamatkan oleh kerajaan menggunakan duit rakyat sebelum ini, hakikatnya memerlukan penelitian yang serius memandangkan ia pernah merugikan dana awam.

"Saya amat kecewa dengan ketidaktelusan urus tadbir negara seperti IWK ini yang kita tahu pernah diselamatkan kerajaan dengan RM 700 juta dibayar dulu dan hutang sekarang ni RM 1.5 Billion. Jadi kami minta bentang perkara ini ke parlimen, jangan cakap belakang," kata beliau kepada TV Selangor hari ini.

Dr Dzul mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam yang memberitahu bahawa pusat akan menggabungkan IWK dengan sebuah unit kerajaan atas keputusan yang dibuat oleh Majlis Ekonomi Kebangsaan baru-baru ini.

Bagaimana identiti unit tersebut tidak didedahkan Husni.

Terdahulu, portal The Malaysian Insider yang memetik sumber dalamannya melaporkan, IWK akan diswastakan dalam waktu terdekat dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat agensi pelaburan strategik 1MDB.

Difahamkan konsortium yang akan diketuai oleh 1MDB itu turut membabitkan Puncak Niaga.

Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan.

Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta.

Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama kerana ia membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya.

Justeru Dr Dzul yang juga ahli majlis pimpinan PAS pusat menyatakan betapa dolak-dalik kerajaan Umno-BN ini merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya umum.

"Satu perangai saya tengok dekat pilihan raya ini,(pusat) suka cakap berbelit. Contohnya macam 6 peratus prepaid, dia kata Telco buat. Cukai ini bukan Telco tapi kerajaan. Dalam kes IWK ini, kita dengar mengenai 1MDB dan Puncak Niaga dari sumber dalaman, bukan kita reka cerita.

"Ringkasnya, saya kata tak boleh percaya apa. Tampil ke depan, cadangkan dan bentangkan di parlimen. Jangan cuba-cuba sahaja," tegas Dr Dzul lagi
.

Bekas IGP Rahim dakwa Mat Sabu rakus mahu menang PRU

Posted: 11 Sep 2011 03:52 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak harus "rakus" sehingga hanya mahu menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya dan memperkukuhkan pengaruh politik.

Malah Rahim yang menjadi perhatian ekoran insiden mata lebam melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 berkata, beliau juga tidak mahu Mohamad menggunakan polis sebagai modal ataupun bahan politik sehingga menggambarkan mereka sebagai "satu jabatan daripada Umno."

"Saya nasihatkan janganlah rakus nak menang, nak cari pengaruh, nak lebih kerusi dalam Parlimen sehingga polis menjadi bahan untuk anda hentam sehingga ke satu peringkat polis dikatakan satu jabatan daripada Umno," kata beliau dalam wawancara dibawa akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

PAS, terutamanya Mohamad atau lebih mesra dikebali sebagai "Mat Sabu" diserang pemimpin-pemimpin Umno kerana didakwa mengagung-agungkan komunis sejak tiga minggu lalu.

Dalam ceramahnya, Mohamad didakwa berkata bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis pada 1950.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

Mengenai tragedi Bukit Kepong, kata Rahim, "dalam kes membaham Bukit Kepong, polis meluru untuk mempertahankan premis dan mempertahankan diri."

"Bukan kerana membela kerajaan British, bukan juga kerana menjadi hamba abdi British. Tindakan itu adalah kerana undang-undang, jika mereka tidak mempertahankan keadaan siapa pula yang akan mengawal keselamatan di kawasan itu, hanya kerana ketika itu kita belum merdeka maka kerajaan yang ada adalah kerajaan British," kata beliau.

Oleh itu kata Rahim, Mohamad tidak wajar bercakap benda-benda yang tidak benar.

"Kalau tak tahu jangan bercakap, memang bila anda bercakap orang akan tergelak tetapi adakah anda mahu orang tergelak apabila bercakap tentang nyawa polis yang terkorban?" katanya.

Rahim juga mendakwa "orang macam Mohamad Sabu, bila tengok polis tangkap seolah-olah kita anjing British."

Sambil berkata beliau sendiri pernah dikatakan "bapa anjing", kata Rahim, sedangkan tidakkah "anda semua tahu bahawa tugas polis amat universal tidak kira sama ada polis di negara komunis, atau di Amerika atau di Amerika Latin atau di Afrika."

Hujah beliau, sumpah polis pada hari pertama bekerja amat ringkas iaitu untuk taat setia menegakkan undang-undang dan melaksanakannya demi keselamatan serta ketenteraman awam.

"Siapa pun pemerintah kalau guna undang-undang yang sama pasukan polis itu akan melaksanakan undang-undang itu termasuk kalau Menteri Dalam Negerinya ialah Mohamad Sabu.

"Kecuali Akta Polis 1967 dipinda menetapkan perkara-perkara lain, maka polis juga tertakluk kepada pindaan itu seperti misalnya ketua Polis Negara hendaklah timbalan presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri menjadi ketua polis negeri, maka polis akan terima," katanya sambil menambah, "polis tidak akan memberontak, polis tidak kudeta dan juga tidak mengkudeta walaupun kerajaan itu antirakyat atau diktator kerana sumpahnya untuk setia melaksanakan undang-undang demi keamanan rakyat."

PAS cabar Umno buat pendirian Malaysia tidak pernah dijajah

Posted: 11 Sep 2011 03:49 AM PDT



Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) menyambut Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Miles Kupa pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran PAS, hari ini. - Foto oleh Jack Ooi


GOMBAK — PAS mencabar Umno menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak pernah menjadi tanah jajahan British dan tidak dijajah oleh mana-mana kuasa asing lain.

Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, selaku kerajaan pusat yang memerintah negara sejak 54 tahun lalu Umno yang kini diterajui Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian parti itu.

"Umno harus nyatakan pendirian berhubung kenyataan MPN bahawa negara tidak pernah dijajah kerana implikasinya cukup besar... implikasi awam dan implikasi akademik.

"Umno perlu nyatakan pendirian sama ada sokong atau menentang kenyataan MPN itu, Umno tak boleh duduk diam kerana mereka adalah pemerintah, kita cabar Umno nyatakan pendirian.

Kalau betul negara tidak pernah dijajah, kita minta sambutan Hari Pahlawan pada 16 September ini dibatalkan," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Hari Terbuka PAS sempena Aidilfitri di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar di sini.

Tegas Tuan Ibrahim, sejak isu itu dibangkitkan jurucakap MPN Profesor Datuk Dr Zainal Kling beberapa hari lalu, Umno masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

"Umno tak bagi apa-apa kenyataan lagi, apa yang dikatakan MPN itu adalah perkara penting, ia memberi implikasi yang besar kepada negara.

"Kalau Umno masih berdiam diri dan tidak mahu jawab kita boleh anggap Umno tidak bertanggungjawab," katanya.

Jelas beliau, mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah juga akan menjadi masalah sekiranya fakta sejarah negara tidak tepat.

"Bagaimana dengan murid-murid sekolah yang mahu ambil UPSR nanti, mereka jadi keliru.

"Walau bagaimanapun Umno perlu jawab dan nyatakan pendirian mereka dalam hal ini," katanya.

Selain Zainal, beberapa pakar sejarah seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam menegaskan negara tidak pernah dijajah British.

Sebaliknya mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran dengan kedaulatan tetap pada raja.

Penelitian The Malaysian Insider ke atas ucapan dan tulisan bekas perdana menteri dan perdana menteri sejak 1957 menunjukkan perkataan penjajahan British dan negara kolonial ada digunakan.

Hina Islam: Jingga 13 mohon mengadap Agong

Posted: 11 Sep 2011 03:47 AM PDT

Muhammad Faizal


SHAH ALAM: Kegagalan serta sikap lepas tangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani isu sebuah laman web yang menghina Agama Islam serta boleh memesongkan akidah, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum berhubung dengan isu berkenaan.

Jurucakapnya, Fariz Musa yang dihubungi mengesahkan NGO terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.

"Inilah jalan yang perlu kita ambil dan bukan niat kita untuk memanjangkan permasalah tersebut kepada Agong tetapi bila melihat sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan.

"Sehingga sekarang kita belum mendapat apa-apa jawapan dari pihak Jakim mahupun kementerian, jadi kita berpendapat mereka memang tidak mahu bertindak," jelas Fariz

Tambah Fariz lagi pertemuan yang akan diadakan pada 12 September jam 10 pagi itu akan turut disertai pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat.

"Kami bersama semua pemimpin akan mengadakan satu pertemua dengan Yang di-Pertuan Agong di atas penghinaan kesucian agama Islam telah dihina oleh individu yang tak bertamadun di halaman sosial.

"Jingga 13 akan menyerah memorandum tentang gagalnya Menteri menyelesaikan masalah ini walaupun laporan yang telah di buat," sambungnya lagi.

Beliau juga mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat bersama dengan Jingga 13 pada pertemuan tersebut supaya kesucian Agama Islam terus terpelihara.

"Bagi memelihara kesucian Islam dari terus dihina serta mengharapkan agar Jamil Khir mahupun Jakim tidak memandang mudah tentang permasalah ini, saya menyeru mana pihak diluar turut serta bersama dalam pertemuan itu esok," tambah beliau.

Pada 7 September yang lepas, Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet, namun ia gagal diserahkan kerana Jakim memberi alasan bahawa isu menghina Islam itu bukan bidang kuasa Jakim.

NGO berkhidmat untuk Rakyat Malaysia

Posted: 11 Sep 2011 03:45 AM PDT

Kua Kia Soong


1. NGO dan Kepentingan Rakyat

Kewujudan dan pembentukan NGO adalah untuk mempertahankan, memajukan dan mengembangkan kepentingan masyarakat tertentu. SUARAM terbentuk dalam keadaan krisis dalaman parti pemerintah berlaku pada 1987 dan penahanan ISA secara besar-besaran di bawah operasi lalang. Selepas dibebaskan pada tahun 1989, bekas tahanan operasi lalang dan mereka yang terlibat dalam "kumpulan sokongan keluarga tahanan" (families support group) telah mengasaskan SUARAM untuk berkempen bagi memansuhkan ISA dan untuk memantau, mendokumenkan dan untuk mempertahankan hak asasi manusia. Sejak itu, SUARAM menjadi NGO utama yang menentang penahanan tanpa bicara.

Sejak tahun 1989, SUARAM telah menjadi penyelaras utama gerakan anti ISA dan lain-lain akta tanpa bicara seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA). Pejabat kami berfungsi memberi perlindungan kepada mereka yang ahli-ahli keluarganya telah menjadi mangsa penindasan kerajaan. Kami menghantar rayuan segera di seluruh dunia setiap kali berlakunya penahanan (tanpa bicara) atau penindasan hak asasi manusia.

Namun begitu, misi SUARAM sebenarnya jauh lebih daripada itu: "berusaha ke arah masyarakat yang aman, bebas, sama rata, adil dan mampan (berkekalan) dengan memperkasakan rakyat untuk mewujudkan alternatif demokratik progresif baru."

Dalam 22 tahun yang lepas, SUARAM telah beroperasi dengan struktur yang terdiri daripada aktivis dan sukarelawan yang komited. Sokongan kewangan yang kami peroleh digunakan untuk memupuk aktivis muda dalam kerja-kerja hak asasi manusia. Kami mengambil sekumpulan kecil kakitangan muda yang berdedikasi yang telah memilih haluan ini untuk berkhidmat kepada kerja-kerja hak asasi manusia.

Walaupun dengan jumlah kakitangan yang sikit, SUARAM menerbitkan satu-satunya laporan Hak Asasi Manusia yang kredible dan terperinci setiap tahun tanpa gagal sejak tahun 1998. Laporan yang sedemikian adalah satu sumbangan yang tidak ternilai kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan dan juga mendedahkan (keadaan hak asasi di Malaysia) kepada warga seluruh dunia.

Sepanjang kewujudannya di dalam 22 tahun yang lalu, kakitangan dan ahli sekreteriat SUARAM telah terlibat dalam pendidikan hak asasi manusia dan alam sekitar, memberi ceramah, menganjurkan seminar dan menyediakan latihan. SUARAM telah memulakan misi pencarian maklumat (fact finding missions) dan kempen membantah empangan Bakun dan empangan Selangor untuk melindungi kepentingan orang-orang asli, alam sekitar dan kepentingan pembayar cukai di Malaysia. Kami juga memberi sokongan kepada masyarakat terpinggir seperti peneroka bandar, masyarakat ladang dan pelarian (refugees) apabila mereka menghadapi pengusiran paksa dan ditindas oleh kerajaan. Kami juga terlibat dalam kempen menuntut balik pilihanraya kerajaan tempatan.

Cawangan kami di JB (1999) dan Pulau Pinang (2002) telah ditubuhkan supaya kami boleh berkhidmat kepada rakyat di sana dengan lebih baik dan meningkatkan dokumentasi dan pemantauan pencabulan hak asasi manusia di kawasan-kawasan diluar KL.

2. NGO dan Gerakan Rakyat Malaysia

Sejak penubuhannya, SUARAM giat bekerja ke arah gerakan demokrasi yang sihat di negara ini dan kita boleh mengatakan bahawa Gagasan Rakyat dan semua usaha-usaha oleh SUARAM dalam 20 tahun yang lalu telah menghasilkan sistem dua-barisan hari ini dan tsunami politik pada tahun 2008. Sebilangan kecil pemimpin dalam Pakatan Rakyat, pada waktu-waktu berlainan, pernah menjadi ahli Sekretariat SUARAM.

Kami telah berjaya dalam membina rangkaian badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, terutamanya ke atas penggubalan Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 1994, penerbitan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 1998, Gabungan membantah Empangan Bakun pada tahun 1995 dan Gagasan Demokrasi Rakyat pada tahun 1998. Sudah tentu kami adalah sebahagian daripada gabungan BERSIH 2.0. Proses menjalin rangkaian-rangkaian ini adalah sama penting dengan pembentukan jaringan-jaringan ini sendiri dalam misi kami untuk membina sebuah gerakan hak asasi manusia di negara ini.

SUARAM juga telah menjadi sebahagian daripada rangkaian hak asasi manusia serantau kerana kita percaya bahawa cara yang lebih bermakna untuk memupuk persefahaman di kalangan rakyat ASEAN dan Asia-Pasifik adalah untuk menegakkan dan menggalakkan hak asasi manusia di rantau ini. Oleh itu, kami telah memainkan peranan aktif dalam Himpunan Rakyat Asia Pasifik pada tahun 1998, Persidangan Asia-Pasifik mengenai Timor Timur pada tahun 1996, "Myanmar Solidariti" dan lain-lain isu serantau. Ini adalah selaras dengan semangat kesejagatan hak asasi manusia dan anti-imperialisme yang melintasi sempadan untuk setiap masyarakat di bumi kita, termasuk Bosnia, Palestin dan lain-lain. Kempen bagi melucutkan senjata dan membudayakan keamanan juga mesti meliputi seluruh komuniti ASEAN.

3. NGO dan politik Malaysia

NGO boleh dan mesti memainkan peranan yang membina dalam memastikan kepentingan rakyat dilindungi dalam politik Malaysia. Gabungan BERSIH 2.0 baru-baru ini mungkin satu contoh terbaik bagaimana NGO telah membangkitkan tuntutan "kuning" untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia. Kempen alam sekitar Lynas dan Bukit KOMAN paling sesuai mengutarakan tuntutan "hijau" bagi perlindungan alam sekitar dan perlindungan kesihatan orang ramai dalam projek-projek perindustrian. Tuntutan-tuntutan ini tidak akan lengkap tanpa tuntutan "merah" hak-hak sivil dan politik. Inilah yang SUARAM prihatin sejak ia ditubuhkan pada tahun 1989.

Adalah penting bagi demokrasi dan pembangunan mampan Malaysia bahawa komuniti diperkasakan dalam perjuangan mereka menentang projek-projek silap rancang yang diiringi oleh kaedah menindas yang digunakan untuk menjayakannya. Kes kampung-kampung di mana masyarakat berdiri teguh menentang samseng pemaju, pegawai-pegawai penguatkuasa, FRU dan meriam air mereka. Begitu juga dengan kes di Bukit Merah di mana penglibatan dan sokongan masyarakat setempat kekal sepanjang kempen. Mereka berjuangan untuk persekitaran hidup yang selamat yang bebas dari pencemaran radioaktif. Hari ini, masyarakat yang membantah loji nadir bumi Lynas dan lombong emas Bukit Koman adalah barisan hadapan perjuangan ini untuk memastikan kepentingan rakyat didahulukan daripada keuntungan.

Komitmen mereka terhadap perjuangan, kepimpinan dan solidariti masyarakat patut dicontohi oleh segenap masyarakat Malaysia. Mereka telah menunjukkan kepada kita bahawa tindakan secara langsung mampu memperkasakan rakyat untuk bersatu sebagai individu dengan tujuan yang sama, untuk mengubah keadaan secara langsung dengan tindakan kita sendiri.

Realiti di Malaysia adalah krisis ketidaksamarataan yang semakin ketara dalam pengagihan kekayaan di negara ini; antara Timur dan Barat Malaysia; antara kawasan luar bandar dan bandar; antara lelaki dan wanita; penindasan ke atas kumpulan yang terpinggir termasuk masyarakat Orang Asli, peneroka bandar, masyarakat ladang dan lain-lain minoriti; dan pengurangan kawasan hutan, tenaga dan sumber air. Sudah menjadi corak bahawa yang kaya dan berkuasa dengan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik yang akan membuat keputusan mengenai apa yang dihasilkan, sumber mana yang akan dieksploitasi dan berapa banyak keuntungan akan diragut. Dan kebiasaannya, syarikat yang berhubung rapat dengan kuasa politik tertentu yang akan diberi kontrak-kontrak lumayan ini.

Ekonomi kita perlu dirancang berpandu kepada gerakan buruh yang digemblengkan dan tahap penyertaan yang tinggi dari masyarakat madani. Corak hak milik mesti berbentuk majmuk tanpa penumpuan kuasa swasta yang tidak bertanggungjawab, campuran antara rancang dan pasaran serta sektor koperatif dan masyarakat yang bertenaga. Di tempat kerja dan masyarakat umum, penyertaan bercorak demokrasi mesti diwujudkan. Matlamat pengeluaran adalah untuk memenuhi keperluan manusia walaupun terdapat peranan untuk pasaran terkawal seperti barang-barang keperluan, contohnya. pakaian, bahan makanan.

Penentangan terhadap neo-liberalisme ini mesti diteruskan seiring dengan usaha kita untuk memperkasakan rakyat yang ditindas dalam proses membentuk demokrasi penyertaan (participatory democracy). Penyertaan umum secara demokratik bukan sahaja perlu dilaksanakan di institusi-institutsi ekonomi tetapi juga di politik. Terdapat keperluan terhadap campur tangan kerajaan dan menghakmiliknegarakan sumber asas seperti petroleum dan gas, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial. Pindahan modal yang tidak terbatas oleh spekulator dan kapitalis kewangan juga mesti diletakkan di bawah pemeriksaan. Sudah tentu kita tidak memerlukan pengeluaran senjata sebagai sebahagian daripada proses luar pesisiran kepada pengeluar senjata global sebagaimana juga (kita tidak perlu) kompleks perindustrian ketenteraan domestik. Gerakan memelihara alam sekitar pula tidak dapat dipisahkan daripada gerakan rakyat untuk keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Dasar-dasar neo-liberal telah membolehkan syarikat-syarikat multi-nasional dan syarikat-syarikat besar untuk merompak sumber-sumber negara dengan membeli sumber-sumber yang diswastakan pada harga teramat rendah. Sumber dan pasaran kita dikawal mengikut kepentingan kapitalis yang berkuasa yang semakin pesat berembang melalui buruh murah warga Malaysia mahupun buruh asing. Kos untuk ini akhirnya ditampung oleh pekerja-pekerja dan golongan miskin di mana taraf hidup mereka terus ditolak ke bawah.

Kepentingan rakyat jelata mesti meliputi sokongan kepada rakyat negara-negara lain yang menjadi mangsa pencerobohan imperialis. SUARAM juga telah konsisten dalam menentang dan mengutuk imperialisme Amerika/Barat selama ini. Kami telah menyertai "Gabungan Hentikan Perang" dan menyelaraskan demonstrasi anti- Amerika dan protes terhadap pencerobohan Amerika di Iraq dan Afganistan serta kekejaman Israel di Gaza.

4. Kuasa Ketiga Yang Menentang Neo-liberalisme

Oleh itu, badan-badan bukan kerajaan mesti terus berkhidmat kepada rakyat dengan membina kuasa ketiga yang berusaha ke arah mengalahkan neo-liberalisme dan menuntut kembali sumber-sumber Malaysia untuk rakyat Malaysia. Matlamat pertama kuasa ketiga adalah menumbangkan rejim BN yang memecah-belahkan dan menindas rakyat Malaysia sejak kemerdekaan dan berkembang pesat melalui eksploitasi ala kapitalis neo-liberal. Sama seperti dalam pilihan raya umum 2008, kita perlu membentuk pakatan strategik dengan Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan kerajaan BN dan mengembalikan kebebasan asas, demokrasi liberal dan hak asasi manusia.

Dalam membina pakatan strategik ini dan mengetahui hakikat bahawa sejumlah wakil rakyat dari PR telah lompat ke BN selepas pilihan raya 2008, kita berharap bahawa PR akan berkompromi dengan sepatutnya dengan kuasa ketiga dalam pemilihan calon (untuk pilihanraya umum).

Di antara PR, NGO boleh memainkan peranan yang penting dalam menghakimi pemilihan calon-calon (pilihanraya) dan memastikan tidak wujud lagi kodok, keldai atau lembu tolol yang kita lihat selepas pilihan raya umum 2008. Untuk mengelakkan rundingan sukar yang biasa berlaku dan kesan buruknya kepada pembangkang persekutuan, NGO boleh membentuk satu "Jawatankuasa Bebas Pemilihan Calon Rakyat" untuk menilai secara objektif kesesuaian calon-calon rakyat untuk pilihan raya umum ke-13 dan mengelakkan pertarungan tiga penjuru di mana-mana kawasan pilihan raya. Pemimpin NGO yang disegani adalah orang yang paling sesuai dijadikan ahli yang tidak berat sebelah dalam jawatankuasa ini.

Proses ini juga akan membantu PR dengan mengurangkan pertelingkahan yang selalunya berlaku semasa rundingan antara parti (untuk kerusi) sebelum setiap pilihan raya umum. Jawatankuasa NGO ini juga harus mengadili tuntutan-tuntutan oleh parti-parti dalam PR terhadap kerusi-kerusi tertentu.

Selepas kejatuhan BN, perjuangan menentang kapitalisme neo-liberal, seiring dengan perjuangan untuk melindungi hak-hak dan kepentingan rakyat, pasti akan dituju kepada kerajaan PR. PR setakat ini tidak menolak dasar-dasar neo-liberal yang membolehkan syarikat-syarikat multi-nasional dan syarikat-syarikat besar untuk merompak sumber-sumber negara dengan membeli sumber-sumber yang diswastakan pada harga teramat rendah. Sumber dan pasaran kita dikawal mengikut kepentingan kapitalis yang berkuasa yang semakin pesat berkembang melalui buruh murah warga Malaysia mahupun buruh asing. Kos untuk ini akhirnya ditampung oleh pekerja-pekerja dan golongan miskin dimana taraf hidup mereka terus ditolak ke bawah.

Penentangan terhadap neo-liberalisme yang tidak terkawal adalah selari dengan usaha memperkasakan rakyat yang tertindas dalam proses membentuk sosialisme penyertaan demokratik (democratic participatory socialism). Penyertaan umum secara demokratik bukan sahaja perlu dilaksanakan di institusi-institusi ekonomi tetapi juga dipolitik. Terdapat keperluan terhadap campur tangan kerajaan dan menghakmiliknegarakan sumber asas seperti petroleum dan gas, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial. Pindahan modal yang tidak terbatas oleh spekulator dan kapitalis kewangan juga mesti diletakkan dibawah pemeriksaan.

Hanya melalui tindakan secara langsung dan gerakan massa, demokrasi akar umbi sebenar boleh wujud. Kuasa mestilah berasaskan organisasi kendiri pekerja dan lain-lain komuniti dalam perjuangan mereka menentang modal. Majlis-majlis di tempat kerja dan masyarakat setempat yang dihasilkan secara pilihan bertanggungjawab ke atas hal ehwal mereka sendiri dan dikaitkan dengan keputusan keseluruhan masyarakat secara umumnya.

Demokrasi sebenar tidak akan tercapai hanya melalui pilihan raya umum yang berkala dan tidak bergantung kepada parlimen semata-mata. Untuk memastikan kejayaan demokrasi, kita mesti mengemukakan tuntutan dari luar Parlimen. Demokrasi adalah lebih daripada sekadar mengundi lima tahun sekali seperti ada pandangan yang mengatakan bahawa:

"Jika mengundi dalam pilihan raya umum pernah membawa sebarang perubahan, ia pasti sudah dimansuhkan sekarang!"

*Kua Kia Soong (gambar kiri) ialah Pengarah SUARAM. Artikel di atas adalah teks ucapan beliau dalam forum "NGO Sentiasa Berdampingan dengan Rakyat Jelata".

AWER: Cadangan penswastaan Indah Water melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

Posted: 11 Sep 2011 03:35 AM PDT

Piarapakaran.S


Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membantah cadangan penswastaan Indah Water Consortium (IWK) oleh 1MDB (1 MalaysiaDevelopment Berhad) kerana ia memudaratkan keadilan sosial dan ekonomi serta tidak sehaluan dengan undang-undang di Malaysia.

Perkhidmatan air dibahagikan kepada perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembentungan. Akta IndustriPerkhidmatan Air 2006 (WSIA) adalah undang-undang yang mengawalselia semua perkhidmatan air dari segi teknikal, ekonomi dan kualiti perkhidmatan bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Undang-undang ini mula dikuatkuasakan pada tahun 2008.

Objektif utama WSIA adalah untuk mengelakkan SEBARANG JENISPERJANJIAN KONSESI serta operator-operator perkhidmatan air dan perkhidmatan pembentungan dikehendaki untuk bermigrasi ke rejim pelesenan di mana mereka akan dipantau dengan ketat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Undang-undang ini ingin juga mencapai imbangan di antara keperluan ekonomi dan sosial dalam pengurusan perkhidmatan air supaya ia mempunyai kos yang berpatutan dan setaraf dengan standard antarabangsa. Ini akan memastikan penetapan tarif yang SAKSAMA dan pengurusan yang TELUS untuk keseluruhan perkhidmatan air.

Berdasarkan beberapa laporan akhbar tempatan, 1MDB dengan beberapa ahli perniagaan yang tidak bertanggungjawab yang berada di sebalik perancangan ini telah mengelirukan rakyat dan melanggarWSIA.

Penyelesaian-penyelesaian yang dikatakan oleh kumpulan ini adalah sama dengan langkah-langkah yang telahpun dicadangkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan masih menanti persetujuan Kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun yang lalu. Cadangan-cadangan ini bukanlah sesuatu yang baru. Pengurusan IWK sekarang tersepit disebabkan KEGAGALAN PENSWASTAAN sebelum ini. Maka, penswastaan semula menggunakan konsesi seperti yang dicadangkan oleh 1MDB merupakan satu penyelesaian yang salah dan tidak mempunyai ruang di sisi undang-undang selepas WSIA dikuatkuasakan sejak tahun 2008.

Kini, SPAN telahpun menghentikan IWK daripada monopoli pe-nyahenapan kumbahan (desludging) bagi sistem pembentungantidak bersambung dan membuka lesen kepada syarikat-syarikat yang lain. Bagi sistem pembentungan bersambung (yang dibil oleh IWK atau Kerajaan Tempatan),terdapat beberapa rancangan untuk pembangunan sama seperti sektor perawatan dan bekalan air. Hala tuju untuk perkhidmatan pembentungan adalah juga melalui rejim pelesenan. TIADA LAGI PERJANJIAN KONSESI.

Jika mana-mana pihak berkuasa meluluskan cadangan 1MDB ini, AWER tidak akan teragak-agak untuk mengheret mereka ke mahkamah. Berhenti menggunakan cara-cara jahil untuk mendapatkan perniagaan. Apa-apa pelaksanaan yang tidak sehaluan dengan WSIA adalah satu kesalahan.

*Kenyataan media oleh Piarapakaran.S (gambar kiri) selaku Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Dr M: Sejarah di sekolah kurang tepat

Posted: 11 Sep 2011 03:33 AM PDT

MALAYSIA KINI


Matapelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

tunku abdul rahman merdeka declaration 261004Beliau berkata subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam sukatan matapelajaran berkenaan.

"Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

"Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah dan apa yang berlaku dahulu...berlakulah," katanya mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat.

Mohamed Khaled berkata sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya 'Historical fact and fiction'.

mahathir perdana global peace pc 080107 adjustedTun Mahathir berkata sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.

"Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia," katanya.- Bernama

Royalti tak dibayar: Penulis buat laporan polis

Posted: 10 Sep 2011 10:28 PM PDT

MALAYSIA KINI


Kecewa dengan reaksi kerajaan yang gagal menyelesaikan masalah tuntutan royalti sekumpulan penulis yang karya mereka terpilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas), seorang daripada mereka membuat laporan polis.

Rohani Deraman, penulis cerpen berjudul 'Warkah dari Ibu' (2001) dan novel 'Cempaka Putih Untukmu' (2001) membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Johor Bahru Selatan, semalam.

Dalam laporannya, Rohani mendakwa kedua-dua hasil karyanya itu yang dicetak dan digunakan sebagai teks Komsas tetapi tidak dibayar sebarang royalti.

"Tindakan ini saya anggap sebagai penganiyaan dan penipuan terhadap penulis sebagai individu yang menghasilkan karya berkenaan dan berhak mendapat royalti/honorium," petik laporan itu.

"Kementerian Pelajaran sudah meletakkan syarat bahawa penerbit wajib mendapatkan surat izin daripada penulis asal sebelum menerbitkan cerpen/novel Komsas.

"Maka saya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa penerbit mungkin mengemukakan dokumen palsu kepada kementerian pelajaran dan kerajaan, iaitu surat izin yang kononnya ditulis dan ditandatangani saya selaku penulis asal karya berkenaan," petik laporan itu lagi.

muhyiddin yasin muhyiddin yassinRohani berkata beliau juga tidak menolak kemungkinakan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu.

Pada September lalu, Rohani, antara lima penulis yang meluahkan rintihan mereka melalui sepucuk surat terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) selaku menteri pelajaran.

Namun masalah dan rintihan yang dikemukakan sejak 15 Ogos lalu terus tidak dilayan.

Selain Rohani, penulis lain adalah Amy Suzani Mohd Ainuddin atau nama penanya Natasya Puteri, Hazama Harun (Aida Shahira), Mohd Izan Abd Hazes (Mohd Faris Ikmal) dan Erda Roslan Khairi.

MPN ‘dijajah’ BN, terperangkap malu?

Posted: 10 Sep 2011 10:18 PM PDT

KL TODAY



Di sebalik kontroversi kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong, elemen yang menjadi polemik terbaru ialah sama ada negara ini pernah menjadi tanah jajahan Britain dan dijajah oleh kuasa asing.Dua hari lalu, PAS mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Profesor Dr Zainal Kling (gambar) agar menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British.

PAS menegaskan cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil, sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai ahli akademik dalam mahupun di luar negara.

"Kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British," kata parti Islam itu.

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari pula berkata MPN kini sudah masuk perangkap Mohamad dalam isu terbaru ini.

"Kalau kita tak pernah dijajah buat apa sambut merdeka sampai habis jutaan ringgit? Dan lebih sedih lagi Tunku baru sahaja kehilangan gelaran. Sekarang dia cuma bapa kepada Tunku Ahmad Nerang dan adik-adiknya. Bukan lagi Bapa Kemerdekaan," kata beliau mengulas perkembangan semasa.

Khoo dalam satu kenyataan Ahad lalu dan diulangi Jumaat lalu, antara lain berkata, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja.

"Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British," kata beliau dalam satu temu bual dengan akhbar tempatan.

Bertolak daripada pandangan itu, timbul polemik antara tafsiran golongan pengkaji sejarah dan pemahaman rakyat jelata.

Rakyat jelata, bersumberkan buku-buku teks dan kenyataan ahli-ahli politik membentuk pemahaman bahawa negara ini dijajah oleh British.

Penelitian ucapan beberapa perdana menteri dan juga tulisan mereka menunjukkan negara ini dijajah oleh British dan beberapa kuasa Eropah yang lain.

Antara lain, dalam ucapan ketika upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman antara lain berkata, "… hari ini satu bab baru dibuka dalam hubungan kita dengan Britai; status kolonial kita telah diberikan tempat sama rata yang penuh…"

Memoir terbaru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" juga menyenaraikan perkataan kolonial atau penjajahan beberapa kali.

Maklumat yang diperoleh dari laman web pertubuhan Komanwel pula menyebut, "menerusi siri perjanjian antara 1983 dan 1930, pentadbir-pentadbir kolonial British menguasai hal ehwal luar sembilan kesultanan Melayu di Semenanjung.

Laman itu juga menyebut, "reaksi ke atas pemerintahan kolonial bermula awa abad ke-20."

Dr Mahathir ketika membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 juga menyebut soal British dan penjajahan.

Kata Dr Mahathir, "sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri-negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British."

"Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.

"Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana kemelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali," kata bekas perdana menteru keempat ini.

Dalam ucapannya itu, beliau juga dipetik berkata, "di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem kerajaan di Britain, `'King' atau 'Queen' mereka mesti menerima nasihat kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru-baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan. Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat."

Dalam ucapan terakhir sebagai presiden Umno pada 2003, Dr Mahathir berkata, "kita telah dijajah oleh tiga kaum Eropah. Selama 450 tahun, kita telah berada di bawah pemerintahan penjajah. Sekarang kita dan negara-negara Asia yang lain berhadapan dengan kemungkinan dijajah sekali oleh mereka."

Poin yang sama ditekankan dalam perutusan Hari Kebangsaan 2000. Kata Dr Mahathir, "berbanding dengan tempoh kita dijajah, kemerdekaan kita bukanlah lama. Empat puluh tiga tahun adalah amat pendek berbanding dengan lebih kurang 450 tahun kita dijajah. Setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis, kita dijajah oleh Belanda, British, Jepun dan juga Siam. Inilah sejarah kita yang terhina dan memalukan."

Malah katanya, "bagi anak watan nasib mereka adalah lebih buruk. Penjajah mengetepikan mereka dengan memilih jalan mudah membawa masuk orang luar untuk bekerja dan berniaga di Negeri-negeri Melayu. Dengan itu anak watan menjadi rakyat yang termiskin, rakyat kelas dua di negeri-negeri sendiri. Pada suatu masa bilangan mereka kurang daripada kaum pendatang."

"Walaupun British berhak hanya menasihati Raja-raja Melayu, tetapi mereka mengambil alih sepenuhnya kuasa pentadbiran. Demikianlah apabila kita meminta pertolongan orang asing, kita hilang hak sama sekali. Segala urusan yang penting dibolot oleh orang asing sehingga orang Melayu hilang kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri. Mereka tidak pernah secara serius dan terancang mencuba untuk membebaskan negeri-negeri mereka."

Ucapan dasar Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno 2001 berkata, "penubuhan Umno sebagai parti politik pada tahun 1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu dan negeri-negeri Melayu dijajah.

Sebelum ini siapa sahaja boleh menjajah orang Melayu. Mereka tunduk kepada sesiapa sahaja. Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.

"Orang Melayu di zaman penjajah tidak bermaruah dan tidak bersemangat. Mereka anggap diri mereka sebagai manusia kelas dua dan mereka sedia menyerah apa sahaja kepada orang lain yang mereka percaya lebih berkebolehan daripada mereka. Pentadbiran negara, perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya diserah kepada orang asing."


Dalam perutusan sambutan Hari Kebangsaan Ke-25 pada 1982 iaitu setahun selepas dilantik sebagai perdana menteri, Dr Mahathir memulakan ucapan dengan berkata, "Hari Kebangsaan kali ini merupakan peristiwa yang amat penting. Sambutan Jubli Perak ini menandakan sesuku abad kita telah merdeka, bebas dari belenggu penjajahan, dan sesuku abad kita menentukan nasib kita sendiri sebagai bangsa dan negara yang bebas dan berdaulat. Syukur, alhamdulillah, negara kita sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera dan terkawal, dan hari ini, kita dapat menyambut Jubli Perak negara kita dalam suasana aman dan bahagia."

Pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam perutusan Hari Kebangsaan 2007 berkata, "kita menghargai semangat keyakinan yang berjaya disemaikan oleh para pejuang untuk membebaskan warga dari kongkongan pemikiran kolonialisme. Kita menghargai pemimpin pelbagai komuniti yang telah mempamerkan wawasan, hikmah dan ideal untuk membina gagasan yang kukuh lagi berpadu, gagasan yang adil lagi saksama, gagasan yang aman lagi makmur."

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Umno 2007, kata beliau, "rasa bimbang, rasa takut dan rasa terancam dalam minda Melayu berlaku apabila orang Melayu tidak mempunyai persediaan yang cukup. Selagi orang Melayu berfikiran kecil, selagi itulah orang Melayu berasa gentar kepada perkataan meritokrasi. Merasa diri kecil, merasa rendah diri, merasa gentar, merasa kurang upaya, adalah pemikiran beracun yang telah disuntik ke dalam minda Melayu, bermula dari era penjajahan."

Datuk Seri Najib Razak, yang menggantikan beliau, dalam perutusan Hari Kebangsaan 2009, yang pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri keenam berkata, "lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan."

"Pascakemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman penjajah telah beralih ke tangan anak watan," kata beliau.

Malah buku-buku teks sejarah negara ini masih menggunakan perkataan dan istilah penjajahan, bekas penjajah ataupun imperialisme dan kolonialsime, nampaknya ini memerlukan keseragaman penggunaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa mahu pihak MPN melucutkan keanggotaan Profesor Zainal Kling bagi memelihara kredibiliti majlis ini kerana menimbulkan kekeliruan dengan mendakwa Malaya tidak pernah dijajah oleh British.

"Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibiliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran profesor (beliau) ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut," kata pemimpin PAS itu dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, PAS juga menuntut ahli akademik itu menarik balik kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah tetapi sebaliknya hanya dinaungi oleh British.

"Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata rakyat kini musykil sekiranya benar negara ini tidak pernah dijajah, seperti dakwaan Zainal, kenapa perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka.

Najib Salah Guna Dana Awam Bercuti Ke Australia?

Posted: 10 Sep 2011 10:16 PM PDT

SABAH DAILY

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini membuat laporan polis terhadap salah guna dana awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bercuti di Perth, Australia serentak ketika negara merayakan Hari Kebangsaan dan Aidilfitri 31 Ogos lalu.

"Laporan polis telah dibuat serentak oleh Penyelaras SAMM negeri masing-masing di Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan," kata Presidennya Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard.

Beliau berkata pihaknya membuat laporan polis berdasarkan maklumat yang dimuat oleh portal berita Malaysiakini.com pada 2 September lalu yang melaporkan Najib bercuti ke Perth pada 31 Ogos dengan menaiki pesawat rasmi Kerajaan Malaysia nombor pendaftaran 9M-NAA.

Menurutnya, pesawat tersebut yang berlogokan 1Malaysia dimiliki oleh Jet Premier One (M) Sdn Bhd, anak Syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) iaitu sebuah entiti milik Kerajaan Malaysia melalui pegangan saham oleh Khazanah Nasional Bhd.

Ujar beliau, "saya merasakan bahawa amat tidak wajar dan tidak melambangkan semangat patriotik apabila Najib pergi bercuti ke luar negara pada Hari Kebangsaan.

"Namun apa yang lebih penting dari itu ialah adakah di sana terdapat unsur penyalahgunaan harta negara dan dana awam apabila Najib bercuti dengan menggunakan kemudahan awam untuk tujuan peribadi," katanya.

Tegas beliau, "pesawat tersebut bukan merupakan pesawat peribadi Najib di mana segala perbelanjaan dan kos pesawat tersebut ditanggung oleh kerajaan vis-à-vis rakyat.

"Ini menimbulkan tanda tanya kepada saya adakah ianya merupakan suatu unsur penyalahgunaan kuasa oleh Najib untuk kepentingan peribadi," kata beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rembau. -FMT

Isu Mat Indera: PAS Yakin Sokongan Orang Melayu Tidak Terjejas

Posted: 10 Sep 2011 10:06 PM PDT


PAS menegaskan isu pejuang kemerdekaan, Mohamad Indera (Mat Indera) yang menjadi isu kontroversi sejak dua minggu yang lalu tidak akan menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menimbulkan isu tersebut bagi menutup kelemahan mereka sendiri.

"Saya rasa mereka sengaja buat isu ini untuk tutup isu penipuan pilihan raya. Mereka buat isu untuk tutup isu sebenar bagi memulihkan demokrasi.

"Namun kita yakin orang Melayu hari ini bijak dan tidak mudah ditipu dengan permainan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negara Berkebajikan di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Sabtu (Gambar)

Isu pejuang kemerdekaan Bukit Kepong mula panas apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dilaporkan berkata seorang lelaki Melayu, yang dikenali sebagai Mat Indera telah bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Mohamad mendakwa, Mat Indera yang telah membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi itu ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ekoran kenyataan kontroversi itu, lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS itu sebagai mengecam tindakannya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan isu pejuang kemerdekaan yang cuba di bawa oleh BN itu sebagai ketinggalan zaman.

"Mereka gunakan isu yang ketinggalan zaman, kita bawa isu sekarang. Orang Melayu jangan ditipu dengan isu yang sudah 60 tahun," katanya.

Ketika ditanya sama ada Umno bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar, Abdul Hadi berkata: "Ya."

Sementara itu, Tuan Ibrahim sebagaimana di laporkan akhbar online Mstar pula menyifatkan Umno sebagai 'hero Hindustan' yang datang selepas orang lain habis berjuang ketika era kemerdekaan.

"Bila semua dah habis baru dia sampai..sebab nak ambil gambar dan isytihar dialah yang lawan penjajah," katanya.

Zainal Keling Sejarahwan Ular Campur Belut

Posted: 10 Sep 2011 09:49 PM PDT

MSO


PROF Ibnu Keling, maaf Zainal Keling (foto) kata menurut fakta sejarah Tanah Melayu (Malaya) tidak pernah dijajah tetapi hanya dinaungi oleh British saja. Perjanjian Pangkor 1847 tidak mencatat dalam perjanjian British akan menjajah Tanah Melayu, sebaliknya ditulis sebagai melindungi.

Saya ingin tanya profesor yang mahir sejarah dan bukan keturunan Melayu asli itu, apakah yang dilakukan oleh British semasa mereka melindungi Tanah Melayu dalam tempoh itu mereka tidak melaksanakan kerja-kerja menjajah Tanah Melayu. Siapa yang mengawal kewangan, hasil bumi serta menjaga keselamatan? Bukankah pihak British. Apakah pengertian dilindingi berbanding dengan dijajah?

Bukankah British melantik suruhanjayanya di negeri-negeri yang bertindak menjadi Pegawai Daerah yang mempunyai kuasa eksekutif? Apakah hanya kerana tidak ada catatan itu maka ia diterima sebagai Malaya tidak kena dijajah atau digoreng oleh British.

Semudah itukah penerimaan dan pentafsiran kita. Bukankah selama 'melindungi' itu penjajah membunuh ramai pahlawan Melayu, seperti Tok Janggut, Tok Sago dan lain-lain. Atau sejarah baru akan ditulis oleh Zainal dan sekutunya akan membuangkan pengikhtiraf mereka dibunuh penjajah itu sebagai penderhaka atau dalam semangat sehari dua ini komunis? Penderhaka dalam konotasi dimaksudkan Zainal Keling itu sebagai komunis?

Apakah tidak timbul di sini British hanya berdiplomasi mencatatkan perkataan 'melindungi' bukan 'menjajah' untuk megabui Melayu dan cendekiwan Melayu bukan asli seperti Zainal? Orang kita mudah mati dan tersimpul dalam sihir bangsa lain apa lagi kalau orang Inggeris. Kita perlu sedar British adalah bangsa yang lebih awal tamadun dan cerdik daripada kita. Tahap diplomasi mereka juga tinggi manakala tahap IQ kita cukup rendah jadi mudah ditipu dan merasa kagum dengan perbuatan mereka.

Bagaimana pula hakikat negara menyambut hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun. Kenapa tidak disebut atau Prof Keling maaf Zainal Keling mencadangkan kepada kerajaan ditukar menjadi sambutan hari ditidak dilindungi? Seharusnya beliau menerusi sekutunya sudah lama membuat cadangan dan bantahan apa dilakukan kerajaan itu? Selama Malaysia menyambut hari Merdeka maka selama itulah pemerintah UBN mengikhtiraf bahawa negara ini dijajah oleh British.

Anihnya profeseor ini syok arif mengenai sejarah tetapi kenapa baru bercakap dan mendesak kita tidak perlu merasakan kita dijajah selama 400 tahun. Sepatutnya sebagai ahli akademi, ahli sejarahwan terkenal dan dirujuk menimbulkan ini sejak lama dulu. Tetapi apabila ia disenyapkan ini bermakna nilai atau mutu sejarah yang ada kepada profesor Ibnu Keling ini boleh dipertikaikan. Nilai sejarahnya double standard.

Saya nak ingatkan kalau kita hendak meneruni dan menjadi jaguh dalam satu-satu bidang kita jangan masuk sebelah kaki. Kedua belah kaki kita hendak berada atas tapak atau dasar sama. Jangan siang jadi belut malam jadi ular. Kalau sebelah kaki Zainal dalam Umno dan sebelah lagi dalam sejarah, maka apa-apa juga pendapat dan pandangan anda akan tetap pincang selamanya. Sejarah yang bertentangan dengan partinya akan disembunyikan. Sejarahwan demikian adalah sejarahwan munafik! Sejarahwan belut campur ular.

Mengenali anda dari kesempatan yang pernah ada, saya yakin kalau negara ini berubah anda, cara cakap anda juga akan berubah. Nescaya sebelah kaki anda akan terletak di dasar sebelah sini. Satu masa dulu anda kecam kerajaan pimpinan Abdullah tetapi hari ini anda sanjung kerajaan sama dipimpin Najib. Apakah kerana anda sudah mendapat habuan sebagai guru di UPSI? Begitulah dasar orang menggali sejarah dan politik dari lubang perut sendiri.

Sejarah: Fakta, Kritikan Dan Tafsiran

Posted: 10 Sep 2011 09:35 PM PDT

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu: 'history cannot lie'. Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah. Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta.

Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau 'school of thought' yang kita pegang. Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya.

Ketulenan Fakta

Maka dalam Islam, beberapa asas penting diletakkan dalam mengkaji sejarah. Asas pertama ialah kebenaran sesuatu fakta iaitu sejauh manakah sesuatu riwayat (narration) boleh dipercayai (authentic). Maka, Islam amat mengambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik.

Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab 'Rijal al-Hadith' iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narrators). Dikaji sifat amanah perawi, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi. Kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibanding dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai. Demikian susahnya sesebuah hadis hendak mencapai darjat 'sahih'. Malangnya, apabila ilmu hadis tidak diambil berat, ramai penceramah termasuk ustaz dan ustazah yang membaca hadis palsu dalam ucapan mereka.

Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak-pihak tertentu. Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya 'Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu' (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan kajiannya) menyebut:

"Riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syar'i seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang muslim, mempertikaikannya, atau memberikan gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya" (m/s 227. Mesir: Dar al-Wafa/1408H).

Ya, ini sebenarnya berasaskan arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya)

"Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu". (Surah al-Hujarat: 6).

Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah dilakukan. Apatah lagi apabila membabitkan mereka yang sudah tiada, tentu pembohongan lebih mudah dilakukan. Umpamanya, betapa banyak maklumat sejarah yang menipu tentang pertelingkahan yang terjadi antara sahabat Nabi s.a.w sehingga lahirnya mazhab Syiah yang mempercayai fitnah sejarah terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Ramai yang menjadi mangsa diburukkan oleh sumber sejarah yang tidak amanah. Antara yang dimangsa Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang diburukkan oleh sumber sejarah seburuk-buruknya. Sehingga Munir Ghadban menyebut:

"Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah s.a.w dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) mereka ini yang diperburukkan, dibohongi tentangnya dan didustakan kepadanya seperti yang dilemparkan kepada Mu'awiyah ibn Abi Sufyan r.a. (Munir al-Ghadhban, Mu'awiyah ibn Abi Sufyan, m/s 5. Damsyik: Dar al-Qalam/ 1410H).

Begitu juga Khalifah Harun al-Rasyid yang dikaitkan dengan pelbagai cerita buruk dan lucu kepadanya seperti dia sering ditipu oleh Abu Nuwas. Sedangkan Abu Nuwas itu seorang penyair yang sering memuji arak dan wanita. Syair-syairnya memuatkan keruntuhan moral. Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H):

"Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat; mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak, -Allah memelihara daripada itu semua!-. Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua, sedangkan dia dalam keadaan sering melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan sebagai khalifah, seorang yang mendampingi ulama dan auliya`, selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari, selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya". (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m/s 17, Beirut: Dar al-Fikr/t.t)

Sebab itu, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana menfitnah dan menuduh tanpa asas.

Mengkritik Teks

Setelah kita mendapat sumber yang diyakini, maka itu tidak mencukupi sebaliknya kita perlu melihat teks sejarah itu secara kritis. Perawi yang amanah mungkin juga silap dalam periwayatan. Maka, sikap kritis terhadap matan atau teks amat perlu. Bahkan, jika kita tidak mampu mengkaji kesahihan sumber sekalipun, kita boleh menggunakan nilai-nilai kritis dalam menilai sesuatu fakta.

Umpamanya, saya selalu contohkan bagaimana sesetengah penceramah suka bercerita kisah ucapan Panglima tentera Islam di Andalus, Tariq bin Ziyad ketika mengucapkan kata-kata semangat kepada tenteranya: "Ke mana tempat lari? Lautan di belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada bagi kamu-demi Allah- melainkan sifat benar (kesetiaan) dan sabar". Kononnya selepas itu Tariq membakar kapal agar tentera Islam tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan berperang terus. Kisah ini dijadikan kebanggaan sesetengah penceramah. Padahal kisah ini patut dikritik. Hanya mereka yang lemah minda sahaja yang menjadikan kisah dalam versi ini sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan.

Riwayat ini ditolak; pertamanya; cerita bakar kapal tiada sumber yang boleh dipercayai daripada mereka yang berada pada zaman tersebut. Mereka yang selepas itu yang menyebutnya. Keduanya; kisah itu boleh menggambarkan kebaculan tentera Islam yang terkenal dengan kepahlawanan dan kesanggupan menyeberang laut untuk membuka Andalus. Seakan jika Tariq tidak lakukan demikian mereka akan lari dari medan jihad. Ini bukan sifat tentera Islam yang membuka Andalus. Ketiga; Apakah wajar bagi Tariq yang merupakan panglima tentera yang bijak untuk membakar harta kerajaan dan kekuatan tentera Islam iaitu kapal yang boleh digunakan untuk membuka negeri yang lain pula. Kalau Tariq melakukan pembaziran demikian, tentu dia akan diambil tindakan oleh kerajaan Islam. Di sana banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan untuk membuktikan ketidak benaran kisah ini. Justeru itu, Mahmud Syakir yang merupakan tokoh sejarahwan Islam mempertikaikan kisah ini di dalam buku kecilnya Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy. Sesiapa yang ingin pendetilan bantahan terhadap kisah ini boleh merujuk kepada buku tersebut.

Maka ketajaman minda dalam melakukan textual criticism atau kritikan matan adalah sesuatu yang penting dalam mengkaji sejarah. 'Abd al-Rahman Fakhuri dalam membincangkan sejarah pertelingkahan para sahabat mengatakan:

"Sejarah bukan sekadar suatu cerita yang dicampakkan di tengah jalan, yang penulisnya memilih apa yang dia suka dan meninggalkan apa yang dia tidak suka. Sesungguhnya terdapat dua kaedah kritikan yang mesti dibuat terhadap setiap riwayat sejarah sebelum dibuat keputusan untuk menerima atau menolaknya. Pertama: Mengkritik sanad, ini bermakna mengkaji para perawi dan pembawanya. Dipastikan dari sudut kesinambungan sanadnya adalah sahih dan terselamat daripada sebarang kecacatan yang tersembunyi. Perbincangan secara panjang lebar telah diperkenalkan oleh ahli hadis dan para pengkritiknya (pengkaji hadis), tidak mengetahui ilmu ini melainkan mereka sahaja. Kedua: Mengkritik matan (teks)". ('Abd al-Rahman Fakhuri, Muqaddimah Miftah al-Jamaah, m/s 77, Mesir: Dar as-Salam/1990M).

Tafsiran

Setelah melalui dua proses di atas, barulah tafsiran terhadap sesuatu fakta sejarah boleh dibuat. Siapa yang hendak diangkat menjadi wira dan siapa pula yang hendak diangkat menjadi musuh atau pengkhianat, banyak bergantung kepada tafsiran. Setiap orang mempunyai aliran dan sudut pandangan yang tersendiri. Namun, di sana ada perkara yang jelas lagi terang antara baik dan buruk, malaikat dan syaitan, Tuhan dan Iblis yang setiap pihak wajib akur kepada nilai yang sama itu. Di sana ada fakta yang kabur atau sesuatu yang boleh diberikan pelbagai tafsiran. Boleh dilihat baik dari satu sudut, mungkin tidak baik di sudut yang lain. Juga, baik pada sesetengah pihak, buruk pada pihak yang lain.

Umpamanya, dalam masyarakat feudal yang taat membuta tuli kepada sultan dan raja melayu akan menganggap Hang Tuah sebagai tokoh dan wira. Tindakannya menculik Tun Teja juga mungkin dipandang mulia. Namun dalam masyarakat yang merdeka dan bertamadun, Hang Tuah –jika benar watak seperti itu wujud dalam sejarah- akan ditafsirkan sebagai manusia berjiwa hamba, dangkal, tiada bermaruah dan tidak berprinsip. Perbezaan nilai, membezakan tafsiran.

Apa pun seorang muslim yang mengkaji fakta sejarah hendaklah akur kepada firman Allah dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya)

"Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..".

Kita hendaklah akur kepada apa yang benar dalam sejarah dengan memberikan tafsiran yang adil tanpa khianat. Nilai pertimbangannya ialah nilai-nilai keadilan sejagat yang diputuskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. - DETIK DAILY

Ulama muda UMNO terus dipinggirkan

Posted: 10 Sep 2011 09:33 PM PDT

Oleh: sripetaling


"Kuala Lumpur- Kenyataan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, AJK Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU) dalam wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam baru-baru ini bahawa UMNO tidak mempunyai badan tertentu yang mengenengahkan suara Ulamak menyerlahkan lagi bahawa golongan itu dipinggirkan dalam parti tersebut. Biro agama UMNO yang wujud sekarang ini hanyalah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan dalam UMNO.

Kenyataan ini selari dengan kenyataan Ustaz Ahmad Tajuddin Idris, ketua iLMU dalam artikelnya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2011 bahawa UMNO seolah-olah tidak dipacu oleh Ulamak.

Kedua-dua kenyataan ini tidak menjadi perkara yang pelik kerana umum mengetahui bahawa perjuangan UMNO bukan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan yang layak untuk merujuk dua sumber ini adalah para Ulamak. Jika mereka menolak kedua-dua sumber ini maka mereka dengan sendirinya menolak Ulamak.

Apa yang menjadi kepelikan sebenarnya ialah bagaimana mereka boleh terus kekal berada di dalam UMNO sedangkan mereka mengetahui suara mereka tidak didengari.

Hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Fathul Bari dalam wacana tersebut bahawa mereka akan terus menegur parti pemerintah dan memerlukan kesabaran dalam usaha tersebut dilihat terlalu rapuh.

Ini adalah kerana keberadaan mereka dalam UMNO lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan dan membawa fitnah kepada perjuangan untuk menegakkan agama.

Rakyat akan berfikir bahawa UMNO adalah betul dan benar kerana didokongi oleh Ulamak sedangkan hakikatnya perjuangannya tidak berteraskan Islam.

Mereka akan berhujjah bahawa jika UMNO salah maka kenapa ada Ulamak di dalamnya. Itulah sebenarnya tujuan UMNO menerima kemasukan para Ulamak dalam partinya agar dilihat Islamik sedangkan mereka pada hakikatnya meminggirkan Ulamak sebagaimana diakui sendiri oleh Ulamak Muda UMNO ini.

Ulamak tidak boleh menjadi umpama peribahasa Melayu; bagaikan anjing menyalak bukit. Kesabaran sememangnya dituntut dalam Islam tetapi tidak ada gunanya kesabaran tersebut jikalau kita menjadi umpama anjing yang terus sabar menyalak bukit yang diketahui tidak mempunyai faedah.

Ulamak dalam UMNO perlu bijak memilih medium untuk berdakwah supaya akhirnya tidak menjadi alat kepada UMNO bagi mengekalkan kuasa.

Hujjah untuk 'membersih daripada dalam' adalah bertentangan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang melarang ummatnya bersama dengan jamaah atau kumpulan yang menolak Islam sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Huzaifah bin Al-Yaman berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan terdapat golongan penyeru di pintu neraka. Sesiapa yang menyahut mereka akan dicampakkan ke dalamnya." Aku berkata: "Beritahu kepada kami sifat mereka wahai Rasulullah." Nabi bersabda: "Mereka adalah kaum daripada kulit kita dan bercakap dengan lidah kita." Aku bertanya: "Apa yang engkau akan suruh aku jika aku menemui golongan ini?"

Nabi bersabda: "Lazimilah jamaah muslimin dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika mereka tidak mempunyai jamaah dan pemimpin maka pisahkan diri kamu daripada kumpulan-kumpulan tersebut kesemuanya walaupun kamu terpaksa memakan akar kayu sehinggalah engkau mati dan kamu berada dalam keadaan demikian. (Riwayat Ibnu Majah)." - PASPB

" Saman Utusan Malaysia sampai bankrap"- Mat Sabu

Posted: 10 Sep 2011 09:31 PM PDT

PASPB

BUKIT MERTAJAM: "Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekaligus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal," jelas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau ketika berucap di majlis mengutip dana Pondok Turith di Kampung Sekolah, Juru, Bukit Mertajam malam tadi menegaskan, masa yang diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan 'Mat Sabu hina pejuang' sudah berakhir dan saman akan bermula Isnin ini.

Katanya, semua maklumat telah pun diserahkan kepada peguam dan terserah kepada peguam beberapa tuntutan yang harus dikenakan selari dengan fitnah yang tidak henti-henti selama 15 hari berturut-turut.

Tambahnya, tindakan itu bukan untuk mencari kekayaan sebaliknya mahu pengamal media di negara ini bersikap adil dan telus dalam setiap penyiaran berita dan tidak mencipta cerita yang bukan-bukan semata-mata untuk mewujudkan prasangka yang tidak baik terhadapnya, PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya diluku sampai hari ini padahal ceramah saya dah lama dan banyak fakta yang direka merapu dan tak wujud.

"Saya tidak langsung diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar yang ada dalam TV, saya bercakap tak dak suara, macam itik," jelasnya disambut laungan Allahuakbar dan reformasi para hadirin.

Berceramah sama pada malam tadi ialah Pengarah Pilihan raya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amirudin Ahmat.

Caj prepaid 6% : Najib tak payah main wayang, rakyat bukan bodoh

Posted: 10 Sep 2011 09:29 PM PDT

PASPB




Utusan Malaysia melaporkan - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.

Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.

"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri," katanya - sepenuhnya sila baca di SINI

Betoika??

Korang tengok pulak muka Najib ni.. selamba saja di berbohong..

Aku malas nak komen panjang-panjang dalam isu ini…

Selama ini memang pengguna prabayar tidak dikenakan caj 6% ini kerana ianya diserap oleh syarikat telekomunikasi. Tetapi tidak mulai 15 September 2011 bila pengguna dikehendaki menanggung kos cukai perkhidmatan. Dan hak mengenakan caj ini ke atas pengguna memang hak mutlak syarikat telekomunikasi.

Dalam Akta Cukai Perkhidmatan 1975, cukai perkhidmatan ialah cukai kepenggunaan dan boleh dicaj kepada pengguna. Syarikat telekomunikasi dikehendaki melevi cukai perkhidmatan ke atas sebarang perkhidmatan telekomunikasi termasuk talian prabayar.

Jadi kesimpulannya mudah. Ada cukai perkhidmatan sebanyak 6% untuk sebarang perkhidmatan termasuklah telekomunikasi. Cukai sebanyak 6% ini boleh dicaj kepada pengguna oleh syarikat yang memberikan perkhidmatan yang kemudiannya akan dibayar pula kepada kerajaan - lagi di SINI

Sebab apa aku kata Najib selamba saja berbohong dalam isu ini katanya
"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri,"

Sebenarnya memang Najib dan Kerajaan UMNO/BN tidak pernah meluluskan kenaikkan ini tapi mereka telah menetapkannya di dalam Budget yang dibuat pada 15 Oktober 2010..

Sebahagian Budget..

GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PENGENAAN CUKAI PERKHIDMATAN BERDASARKAN PENGUMUMAN BAJET 2011

1. Pendahuluan

YB. Menteri Kewangan melalui pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 telah mengumumkan mengenai cadangan:

(i) menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6% ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali kad kredit dan kad caj.

(ii) mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan Penyiaran Televisyen Berbayar
Kedua-duanya akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011.

2. Peruntukan Undang-Undang

2.1 Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6% ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali perkhidmatan kad kredit dan kad cajPindaan kadar cukai perkhidmatan ini dikuatkuasakan melalui Perintah Cukai Perkhidmatan (Kadar Cukai) (Pindaan) 2010 [P.U. (A) 411/2010].

Dengan pindaan di atas, butiran (a) kepada perenggan 3, Perintah Cukai Perkhidmatan (Kadar Cukai) 2009 [P.U(A) 468/2009] akan dibaca seperti berikut:

"3. Cukai perkhidmatan hendaklah dikenakan dan dilevikan ke atas perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai pada kadar yang berikut:

"(a) dalam hal perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai selain perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai berhubung dengan perkhidmatan kad kredit atau kad caj, 6% daripada harga, caj atau premium perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai yang ditentukan mengikut seksyen 4 Akta; dan"

2.2 Pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar
Jadual Kedua kepada Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975 [P.U.(A)52/1975] telah dipinda dalam Kumpulan G, butiran (b) dalam ruang "perkhidmatan yang kena dibayar cukai" seperti berikut:

"(b) Penyediaan –

(i) perkhidmatan telekomunikasi dalam bentuk telefon, faksimili, telemail, alat keloi, telefon selular, teleks, perkhidmatan lebar jalur atau perkhidmatan nilai ditambah; dan

(ii) perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar"

Pindaan di atas dibuat melalui Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2010 [P.U.(A) 412/2010].

3. Pelaksanaan

3.1 Kenaikan kadar cukai perkhidmatan dari 5% kepada 6%

Dengan pindaan kepada Perintah Cukai Perkhidmatan (Kadar Cukai) 2009 seperti di perenggan 2.1 di atas, bermakna semua perkhidmatan bercukai sebagaimana disenaraikan dalam Jadual Kedua, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975 adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan pada kadar 6% berkuatkuasa mulai 1.1.2011 kecuali perkhidmatan kad kredit dan kad caj.

3.2 Pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar
(i) Orang yang kena membayar cukai ("OKC")
Mana-mana orang yang menyediakan perkhidmatan komunikasi yang berdaftar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] atau yang dilesenkan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000.

(ii) Perkhidmatan yang kena dibayar cukai
Penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar – cukai perkhidmatan dikenakan atas yuran langganan.

(iii) Perkhidmatan yang tidak kena di bayar cukai
Bayaran-bayaran lain yang dikenakan selain yuran langganan.

(iv) Kadar cukai perkhidmatan
Kadar cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah 6%.

Laporan penuh tentang garis panduan ini sila baca di SINI


ASD

Mat Sabu, NGO dan laporan polis

Posted: 10 Sep 2011 09:25 PM PDT

Oleh Haris Zuan


Menjelang sambutan Kemerdekaan & Hari Malaysia seluruh negara terasa kemeriahannya. Tapi kali ini tidak hanya dirayakan secara tipikal dengan melekatkan Jalur Gemilang bersubsidi di kenderaan dan premis masing-masing tetapi disemarakkan dengan isu pejuang kemerdekaan sebenar.

Oh, ya, ketika tulisan ini disiapkan, isian semula prabayar untuk semua rangkaian telefon mudah alih dikenakan cukai sebanyak 6 peratus. Mungkin ini juga termasuk dalam acara sambutan Merdeka.

Mat Sabu – maaf, memperkenalkan siapa beliau hanya akan menghina popularitinya kini – menarik perhatian seluruh warga dengan mengangkat semula tokoh Mat Indera, sebagai pejuang kemerdekaan.

Pastinya ini membikin ribut yang tidak kecil, khususnya di stesten RTM dan TV3, Mat Sabu yang cool ini dihentam semahunya tanpa ada ruang untuk mempertahankan pandangannya. Malangnya, makin dihentam, makin tinggi pula minat warga untuk menyemak kembali dakwaan Mat Sabu ini.

Terima kasih Facebook dan Tweeter

Sikap media kawalan kerajaan UMNO-BN ini sangat mudah untuk dijelaskan; sejak tahun 1957, kerajaan telah mengekslusifkan sambutan kemerdekaan sebagai perayaan mengenang jasa UMNO dan BN (dulunya Perikatan) memerdekakan Tanah Melayu, dan tiba-tiba Mat Sabu mengoncang tradisi ini lalu membuka wacana yang lebih segar dan real tentang merdeka.

Malangnya, sebagaimana maklum, wacana bukan budaya UMNO-BN, maka segala ruang yang ada cuba dikawal dan dihadkan. Terima kasih pada Facebook dan Tweeter.

Dalam pada itu, percakapan Mat Sabu ini mendapat reaksi yang berbeza dalam kalangan mereka yang kelihatannya tidak mendapat manfaat dengan kenyataan Mat Sabu ini.

Entah bagaimana, kini seakan menjadi budaya ikutan yang sangat fashionable untuk mengaku sebagai NGO – kumpulan pendesak, ahli masyarakat sivil – dan membuat puluhan malah ribuan laporan polis, kemudian berdemontrasi kecil di hadapan balai lengkap dengan sepanduk, dihangatkan pula dengan ucapan yang sebahagiannya sangat dangkal, sesak dengan retorik serta kadang-kala separuh mengugut.

Kegemparan dan kegilaan apakah ini? Mana hujah dahulunya yang mengatakan bahawa demonstrasi itu merosakkan imej negara? Kini, Persatuan Bekas Polis dan Tentera juga turut melakukan unjuk rasa. Selangkah untuk demokrasi.

Ya, sebagai kelompok yang mengaku sebagai daripada warga yang prihatin, menjadi hak mereka untuk menyuarakan bantahan dan kecaman terhadap isu yang mereka rasakan menggugat kepentingan segmen masyarakat yang mereka wakili.

Proses politik waras

Namun, mari kita bertanya dengan penuh kewarasan dan rasa sedar, bagaimana siri laporan polis ini membantu proses politik negara?

Dalam teori penglibatan aktif warga (participatory citizenship), kelompok sivil seharusnya berperanan mencetuskan minat awam terhadap isu yang bersangkutan dengan kepentingan umum, menggerakkan wacana-wacana dalam medan yang rasional dan seterusnya membina pandangan awam (public opinion) terhadap isu tersebut.

Melalui proses politik ini, maka masyarakat akan menjadi lebih peka, matang, dan ini pastinya akan membantu mereka menentukan sikap terhadap isu yang dipolemikkan.

NGO dan elemen masyarakat sivil lainnya – sebagimana dalam teori demokrasi liberal – penting untuk menjambatani masyarakat yang rencam (pluralistic) dan terpencar (fragmented) untuk berinteraksi dan menjernihkan isu secara kolektif – bukan hanya disuapkan dengan pandangan elit politik melalui media kawalan mereka sahaja.

Zygmunt Bauman memudahkan huraian ini dengan merumuskan peranan aktif warga ini sebagai "seni menterjemahkan permasalah individu kepada isu awam, dan kepentingan bersama kepada hak dan tanggungjawab individu".

Dialog, bukan kecaman atau laporan polis

Baiklah, kini mari kita tanyakan, Apakah NGO yang tidak diketahui jelas aktiviti lain mereka kecuali ghairah menebalkan fail laporan polis dan mengeluarkan kenyataan kecaman menjalankan peranannya sebagai penggerak masyarakat?

Semangat dan kesungguhan mereka mahu terlibat dalam polemik nasional yang dicetuskan oleh pandangan Mat Sabu harus dipuji dan dirayakan.

Namun, kelihatannya peranan kumpulan pendesak konsevatif ini hanya terhenti setakat siri laporan polis dan marah-marah yang tidak jelas hujung pangkalnya.

Malah, seolah-olah, mereka ini hanya berminat untuk meraih publisiti murahan dengan menahan lukah di air keruh. Semoga tuduhan ini tidak benar.

Selain Ketua Pemuda UMNO yang ada inisiatif untuk berdebat dalam isu ini – sungguhpun kurang kena gayanya – tidak ada organisasi lain yang lantang mengecam Mat Sabu mahu berdialog, diskusi atau berforum sebagaimana Free Public Forum Malaysia (FPF) yang menganjurkan forum di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor.

Maka, besar harapan agar wacana yang dicetuskan Mat Sabu ini berkembang subur dan membantu mematangkan cara fikir seluruh warga.

Apa yang paling penting, bukan untuk mengangkat siapa-siapa, tapi setidaknya, marilah kita berusaha berlaku adil dengan sejarah bangsa kita – bangsa Malaysia. – Roketkini.com

Nota: Baru-baru ini Majlis Profesor Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, hanya dinaungi British.

Jaminan PAS: PM, TPM tetap Muslim jika Pakatan tawan Putrajaya

Posted: 10 Sep 2011 09:24 PM PDT




KUALA LUMPUR - Datuk Mustafa Ali memberi akar umbi PAS jaminan bahawa dua jawatan tertinggi kerajaan pusat - perdana menteri dan timbalan perdana menteri - akan diketuai oleh komuniti Islam jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13.

Parti itu dilihat memberi jaminan bagi mengekalkan sokongan kalangan orang Melayu khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar sementara spekulasi menyebut pilihan raya umum akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Setiausaha agung (gambar) itu mengatakan demikian ketika menjawab kebimbangan majoriti ahli parti Melayu Islam pada konvensyen di sini di sebalik kerjasama PAS-PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat yang wujud sejak lebih tiga tahun lalu.

Pakatan Rakyat dibentuk secara formal selepas pilihan raya umum 2008, tetapi pendaftarannya belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Saya boleh memberi anda jaminan bahawa perdana menteri semestinya seorang yang beragama Islam dan semoga timbalan perdana menteri juga seorang beragama Islam," kata beliau.

"Imam (perdana menteri), Insya-Allah, selamat," kata Mustafa pada Konvensyen Negara Berkebajikan di Taman Melewar, Gombak dekat sini semalam. Input mengenai konsep itu akan dijadikan kandungan manifesto pilihan raya umum ke-13.

Seorang perwakilan yang menghadiri konvensyen sehari itu mengemukakan persoalan, "dalam Pakatan Rakyat, siapa imam? Macam di BN, imamnya ialah dari Umno... Kalau tak tentu imam, plan B pula macam mana?

Perwakilan itu merujuk imam sebagai perdana menteri."

Sejak merdeka, jawatan perdana menteri disandang oleh seorang wakil Umno beragama Islam. Begitu juga jawatan timbalan perdana menteri.

Setakat ini negara sudah memiliki enam perdana menteri.

Mustafa memberitahu perwakilan bahawa konsep Negara Berkebajikan telah dibincangkan dan diterima oleh rakan komponen PKR dan DAP pada sesi pemukiman mereka dua bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, isu siapa yang akan memegang jawatan mana dalam kerajaan alternatif tidak dibincangkan secara khusus.

"Kami tidak membincangkan secara terperinci sebab orang yang akan memegang jawatan perdana menteri mesti menang pilihan raya umum," katanya lagi sambil menambah, perikatan itu akan berhadapan dengan masalah jika calon perdana menteri kalah pilihan raya.

Tambah beliau, kesemua dalam Pakatan Rakyat telah bersetuju bahawa pengundi Melayu dominan seharusnya seorang beragama Islam.

Sementara Perlembagaan Persekutuan mengatakan seorang Melayu seharusnya Muslim, ia tidak menyebut apa-apa mengenai latar belakang agama dan etnik dalam soal pemilihan calon perdana menteri dan menyerahkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kebimbangan mengenai kemungkinan seorang perdana menteri bukan Muslim muncul ekoran laporan muka depan Utusan Malaysia Mei lalu di bawah tajuk "Kristian agama rasmi?"

Akhbar milik Umno itu mendakwa wujud komplot antara DAP dan beberapa pastor untuk meletakkan seorang Muslim sebagai perdana menteri. DAP telah menafikan dakwaan sedemikian.

Evakuasi pelajar Syria, mengapa menari ikut rentak media?

Posted: 10 Sep 2011 09:21 PM PDT

Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman

Kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar Al-Assad ternyata menjadi episod derita yang berlarutan hingga ke hari ini, tatkala kebangkitan umat sebangsa mereka di negara-negara jiran berjaya mencapai hasil yang didambakan. Bermula sebagai rayuan membebaskan tahanan politik oleh ahli keluarga mereka yang terbabit, desakan menghapuskan undang-undang darurat ala-ala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia dan seruan kebebasan berpolitik sejak 16 Mac awal tahun ini, rakyat bertukar angin apabila mula tekad menuntut pertukaran kerajaan setelah tuntutan-tuntutan awal ibarat menggertak dinding batu - buat kering tekak, tapi dinding tidak bergerak.

Saya yang kebetulan terperangkap dalam cetusan demonstrasi pertama tanggal 18 Mac di Masjid Umawi berdekatan Souq Hamidi, tatkala demonstran cuba mengheret Syeikh Ramadhan Buti yang menyampaikan khutbah untuk bersama-sama kelompok mereka sebelum disuraikan secara ganas oleh mukhabbarat rejim, sehinggalah ke tragedi mutakhir Lailatul Qadar Berdarah Ramadhan lalu, di antara dua titik peristiwa besar itu, memerhatikan bahawa graf kebangkitan rakyat khususnya di Dimashq, yang menjadi prioriti penulisan ini, di tahap mendatar.

Selain beberapa keypoint events yang mencuri perhatian dunia, misalnya penangkapan sekelompok remaja yang menconteng graffiti anti-kerajaan di dinding bandar Dara'a, bermulanya kemasukan tentera di sana tanggal 25 April, pembunuhan dan penyeksaan syahid kanak-kanak Hamzah Al-Khateeb pada 29 April, kepungan dan serangan ketenteraan ke atas penduduk Jisr Al-Shoghour tanggal 12 Jun yang menyebabkan 12,000 rakyat Syria lari ke Turki, selain tiga 'ucapan janji kosong' Presiden Bashar Al-Assad kepada rakyatnya dan siri sekatan ekonomi dan ancaman ke atas Syria daripada negara-negara luar, tidak ada tanda-tanda sejarah baru akan terukir dengan mudah dalam masa terdekat.

Berita kematian dan tunjuk perasaan yang disiarkan setiap hari berlaku di beberapa bandar seperti Dara'a, Homs dan Hama tidak dinafikan agak merungsingkan, tetapi bagi menilai isu secara tepat dan adil, lokasi kejadian yang terlalu jauh tidak menjadi ancaman kepada pelajar Malaysia yang kesemuanya berada di Dimashq, sebagaimana rakyat di Pahang dan Perak tidak terusik oleh perang saudara di Selatan Thailand.

Kajian dan analisa terhadap referendum yang dilakukan oleh Security Action Force (SAF), badan yang ditubuhkan khas oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Syria (PPMS) untuk memantau tahap keselamatan pelajar, mendapati bahawa tidak ada seorang pelajar pun yang pernah diancam sejak revolusi bermula awal tahun ini. Pada masa sama, pungutan pendapat pihak berautoriti samada daripada kerajaan, pimpinan masyarakat tempatan, masyayikh dan pihak pengurusan universiti, meletakkan situasi di Dimashq dalam keadaan stabil. Malah lima tanda aras bahaya yang akan menyebabkan berlakunya evakuasi, antaranya berlaku tembak-menembak antara dua pihak di dalam bandar dan kedutaan negara-negara besar ditutup seperti yang ditetapkan oleh kedutaan sendiri awal tahun ini, belum pun berlaku.

Pelajar mampu berulang-alik ke kuliah setiap hari dengan selamat, menduduki peperiksaan, mengadakan dan menerima jemputan ke rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri setiap hari, malah masih boleh mengadakan majlis perkahwinan di sini. Dalam krisis kewangan yang berlaku, ternyata pelajar bijak mencari jalan keluar - sambil memohon cadangan penyelesaian daripada kedutaan - tanpa ada yang mati kebuluran dan merayu pertolongan ke sana ke mari seperti digembar-gemburkan media.

Justeru kami berasa terkejut tatkala Kementerian Luar mengumumkan proses evakuasi pertengahan September ini dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September lepas. Tindakan yang dianggap terburu-buru dan drastik itu, dilihat sebagai tindakan populis untuk menunjukkan betapa kerajaan mengambil berat keadaan pelajar dan mendengar kehendak penjaga di Malaysia yang dukacita dihidangkan dengan maklumat yang tidak tepat, selain hasil tekanan media yang tidak putus menggambarkan seolah-olah pelajar Malaysia di sini berada di ambang kematian. Tidak mengambil pengajaran daripada insiden serupa di Mesir, kerajaan terjelopok ke lubang yang sama untuk kali kedua.

Kami menggesa kerajaan, supaya menghormati keputusan dan tidak mengabaikan keadaan pelajar yang baru mendaftar untuk sesi baru kemasukan ke universiti di sini atau berada di hujung pengajian, dan memilih untuk kekal di Syria bagi meneruskan pengajian dan tidak pulang ke tanahair.

Sungguh, tidak ada yang akan membuatkan kami lebih bahagia daripada dapat pulang ke tanahair dengan tiket 'percuma' untuk menumbangkan pemerintah yang zalim dan menegakkan Islam di segenap ruang yang kami jejaki, tetapi buat masa ini kami sanggup menangguhkan kebahagiaan tersebut demi untuk tidak pulang dengan tangan kosong.

Kepada ibu bapa dan penjaga pelajar yang telah memilih kekal, tingkatkanlah tawakkal dan keyakinan kepada Allah. Anak-anak kalian, manifestasi ilmu dan iman yang bukan sahaja dipelajari malah cuba diamalkan. Bagi yang pulang, tunaikanlah hak kepada masyarakat, kerana tiket 'percuma' tersebut, hakikatnya adalah hasil cukai daripada titik peluh mereka.

Kerajaan boleh memilih untuk menari mengikut paluan gendang sesiapapun, tetapi kami pelajar yang celik mata hati dan peka terhadap perkembangan semasa, memilih untuk terus thabat berpijak di bumi nyata.

Pelajar Malaysia di Syria

PKPIM desak kerajaan kota janji mansuh PPSMI

Posted: 10 Sep 2011 09:16 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai dan mengotakan janji untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, ujarnya cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik adalah sangat mengejutkan.

"PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan sebelum ini tidak dipandang secara serius oleh kerajaan dan keputusan ini boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu seperti Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.

"Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan.

Menurutnya, sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia.

PKPIM, tegasnya komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya PKPIM menyokong pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang mengkritik dan mempersoalkan kajian yang dilakasanakan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkenaan 50% ibu bapa yang mahukan dasar PPSMI ini diteruskan.

"Dapatan yang diperolehi oleh JMM ini tidak melambangkan hasrat sebenar majoriti rakyat yang menolak dasar ini.

"Hal ini disokong dengan adanya kajian ilmiah oleh pelbagai pihak yang merangkumi seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini," ujarnya.

Katanya, keputusan dan rumusan kajian yang telah dilaksanakan ini menunjukkan keputusan sebaliknya selepas dasar ini diperkenalkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa.

PKPIM juga, ujarnya ingin merakamkan kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, tokoh pejuang bahasa yang konsisten dalam memperjuangkan agar dasar PPSMI ini ditamatkan.

"Mewakili suara generasi muda di Malaysia, PKPIM bertegas bahawa semangat perjuangan Allahyarham dan para cendekiawan dalam memastikan fungsi dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dikembalikan semula pada tempatnya," katanya.

Tiada ulasan: