Khamis, 29 September 2011

.

.


Susupan Pagi

Posted: 28 Sep 2011 04:55 PM PDT

Isu Hudu Selesai, Pakatan Keluar Kenyataan Bersama

USAHA dan tektik pihak UBN untuk melihat Pakatan Rakyat retak dan hancur dengan cuba melaga-laga pakatan tiga parti itu; Pas, DAP dan PKR menerusi hukum hudud sebagai isu dan senjata pilihan raya telah gagal.

Mulanya hukum hudud dikira bakal menjadi senjata ampuh UBN untuk meranapkan Pakatan Rakyat apabila isu itu dikecurkan semula. Pakatan Rakyat yang mulanya kelihatan cemas apabila isu hukum hudud seakan sukar dikawal tetapi akhirnya kembali tenang semula hasil dari kewarasan politik dan kepaduan persepakatan di kalangan pemimpin PR dalam menghadapi apa juga isu atau serangan ke atas mereka.

Ini berlaku tidak syak lagi kerana ketinggian dan kewarasan pemikiran politik para pemimpin Pakatan Rakyat yang dipadukan dengan keazaman dan harapan tinggi rakyat untuk melihat akan berlakunya transformasi (pinjam istilah Najib) kerajaan negara ini.

Beberapa hari ini lalu isu hukum hudud mendominasi dan mengambil alih 'kelataan' isu-isu lain termasuk isu Mat Indera dan Mat Sabu yang dinukilkan oleh timbalan presiden Pas Mohamad Sabu.

Isu hudud meletus semula ekoran kurang hati-hati dan 'tersedap' cakap oleh pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan. Ia bermula apabila Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengulangi akan keazaman dan ketegasan Pas untuk melaksanakan hukum Allah itu di Kelantan.

Kenyataan dan penegasan beliau sebagai seorang Islam dan ketua kerajaan itu dilihat sebagai satu 'kedegilan' oleh mereka yang sengaja tidak mahu nmemahami akan kewajiban terhadap suruhan Allah. Menegakkan syariah Allah adalah wajib. Orang atau pimpinan Pakatan Rakyat yang terawal atau 'tersedap' cakap dalam mengulas isu itu ialah Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menunjukkan taring kebenciannya kepada hukum hudud membantah kenyataan Nik Aziz itu.

Bermula dari sinilah pihak UBN yang sudah kekeringan modal dan senantiasa tercari-cari bahan untuk dijadikan isu terus 'menjemput' 'pertelingkahan" itu bagi dijadikan isu. UBN terus menggorengkan isu berkenaan, seperti menggoreng buah berangan dalam kuali panas di tepi-tepi jalan atau pinggir pasar raya.

Media massa penjilat buntut (MPB) pula memainkan peranan bagi menyerlahkan akan pertembungan Pas dengan DAP mengenai hukum hudud. Dalam keadaan yang penuh tektikal pemimpin UBN turut sama memberi komen kononnya menyokong penegasan Nik Aziz itu walhal tujuan disebaliknya bagi menghangatkan lagi keadaan.

Mulanya pembangkitan isu ini agak mencemaksan juga dan ramai kalangan penyokong bawahan PR merunggut bimbang dengan isu itu apa lagi memandangkan pilihan raya umum sudah hampir. Tidak hairan kalau ada seorang pemimpin peringkat bawahan meluahkan kebimbangan itu kepada saya dengan menyatakan; mungkin hudud ini akan menjadi faktor pemecah ikatan Pakatan Rakyat dan menyebabkan UBN akan terus kekal memerintah.

Sayugia nampaknya apa yang dirancang pihak tertentu dan harapan untuk melihat Karpal Singh terus bergomol dengan Nik Aziz sampai terburai serban tidak menjadi kenyataan. Semangat maufakat dan pendekatan membincang sebarang isu di meja bundar telah menyelamatkan keadaan. Malam tadi pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan mesyuarat bagi membincang dan menyelesaikan isu berkenaan dan apa-apa yang berbangkit darinya.

Mesyuarat selama tiga jam itu telah mencapai persetujuan beberapa perkara berkaitan isu tersebut. Satu kenyataan bersama telah dikeluarkan yang melegakan segenap orang yang mahu melihat Pakatan Rakyat terus kental dan utuh. Dengan terzahirnya kenyataan bersama itu jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat benar-benar berazam untuk menumbangkan UBN dan tindakan itu juga dibuat atas kepentingan demi memenuhi keazaman rakyat.

Semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat hadir; Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim, Presiden, Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Pas Abdul Hadi Awang, Pengerusi dan Penasihat DAP, Lim Kit Sing dan Karpal Singh.

Sesungguhnya mesyuarat malam tadi penting dan menjadi tumpuan media massa. Sekiranya mesyuarat malam tadi gagal mencapai sebarang kata putus menyebabkan isu hudud boleh terus bernyawa dan mengancam Pakatan Rakyat. Sujud syukur harus dilakukan oleh semua penyokong PR atas suksesnya rapat malam tadi.

Berikut adalah kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat tengah malam tadi;
"Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat. Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.
[wm.kl.8:34 am 29/09/11]

Tiada ulasan: