Isnin, 12 September 2011

.

.


Catatan Petang

Posted: 11 Sep 2011 02:58 AM PDT

Mengunjungi Teman, Kenduri Kahwin,
Rumah Terbuka Pas


Uh... baru sampai rumah. Hari ini berjalan sakan. Start pukul 10:00 pagi turun rumah, baru sampai balik jam 6:00 petang. Badan yang tidak bersemangat sehari dua ini sudah pulih hampir 99 peratus. Perjalanan bermula ke Puchong, menghadiri rumah terbuka kawan lama, Sdr Suhaimi Umi. Berkawan sejak tahun 1985. Masa itu saya berkongsi rumah dengan beberapa kawan di Kampung Baru.

Ketika itu bini tinggal kampung. Bawa diri untuk berjuang dan cari makan. Suhaimi orang Johor yang yang juga berhirjah ke KL mencari makan tetapi profesyen berbeza. Dia seorang kontrektor. Masa itu baru belajar berdagang buat kontrak dengan seorang rakannya yang berpangkat abang bernama Masrum. Rakan itu kini entah ke mana menghilang. Hari ini Suhami sudah berjaya, memiliki rumah sendiri di Puchong.

Masih teringat yang tinggal di rumah itu ada empat orang, lima termasuk saya. Mereka saling bergilir masak. Seorang pegawai di DBKL, adik kepada menteri. Dia ini pandai masak singgam, dan sayur air pucuk paku. Asalnya orang miskin kini sudah kaya.

Seorang lagi sama macam Suhaimi kontrektor kelas F belajar ambil upah sambung rumah. Seorang lagi ingat-ingat lupa, kalau tak silap kini jadi seorang motivator atau fasilitator berjaya kernanya mendidik anak-anak muda jadi usahawan.

Saya pula masa itu jadi wartawan dengan akhbar Minggu Islam. Pejabat di Hulu Klang. Dua minggu sekali pulang kampung untuk jumpa isteri dan anak sulung, Mohd Elham.

Dua dari kawan itu sudah lama tak besuara. Entah hidup atau mati. Tetapi Suhaimi walaupun tidak kerap berjumpa, tetapi perhubungan tidak putus. Sekali setahun, biasanya pada hari raya dia akan datang ke rumah bawah anak-anak dan isterinya atau setidak-tidaknya mengucap selamat hari raya menerusi telefon.

Sembilan tahun lalu isterinya, Umi meninggal. Sejak itu perhubungan kami hampir langsung terpisah. Hidupnya juga tercabar kerana terpaksa membesar empat anaknya sendiri. Namun ada sesuatu yang menyebabkan perhubungan dengannya tidak putus, Suhaimi akan menelefon bertanya khabar dan membawa anak-anaknya ke rumah. Kali terakhir dia bersama anak-anak datang waktu saya adakan kenduri menyambut menantu pertama akhir tahun lepas.

Selepas isterinya meninggal dia tidak kahwin. Tugasnya membesarkan anak-anak. Cinta kepada Umi dan kasih sayang kepada anaknya memungkin dia tidak kahwin. Saya masih ingat macam mana dia selalu membawa Umi ke rumah sewaan dan ada kalanya Umi tolong masak untuk kami.

Hari ini berkat kesungguhan, ketabah mendidik anak, semua anaknya sudah berjaya. Seorang sedang menyiapkan master, seorang menuntut di Jepun, seorang di Uitm dan seorang di kolej sambung ke peringkat digree.

Dari rumah Suhaimi di Puchong saya berkejar pula ke majlis kenduri kahwin anak bekas DJ Popular, Zainal Din Zainal. Majlis diadakan di sebuah restoran ikan bakar di Cheras. Pergi bukan sangat hendak makan, tetapi untuk merai dan memenuhi pelawaan Zainal Din Zainal. Majlis sungguh meriah dan satu pembaharuan saya rasa kerana majlis diadakan di restoran, di mana tidak memenatkan badan. Berbeza kalau diadakan di rumah, pinggan mangkuk dan rumah akan berselerakan kena simpan. Kadang seminggu lenguh badan tidak hilang kalau buat kenduri di rumah.

Dari majlis perkahwinan anak Zainal Din bekerja pula ke Taman Melawar untuk menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Pas Pusat. Tahun lepas saya tidak pergi. Jadi tahun ini terpaksa mencuri masa untuk hadir dan bersalaman dan memohon maaf dengan para pemimpin Pas. Waktu sampai majlis sudah pun hampir tamat jadi tidak sempat jumpa dengan ramai pemimpin. Tetapi orang masih ramai.

Banyak pemimpin Pas sudah pun pulang, Bakar Chik, Mat Sabu dan Ahmad Awang sudah melangkah keluar semasa saya dan Dr Wan Suhaimi Wan Daud sampai. Sempat sembang dua tiga patah dengan Mat Sabu dan Ahmad Awang. Mat Sabu kelihatan seperti biasa, isu Mat Indera dan dikomuniskan oleh Umno tidak pun mengugatkan perasaanya. Mat Sabu jenis pemimpin yang tahan diuji. Itulah kelebihan Mat Sabu.

Sallahuddin Ayub dan Nik Abduh juga masih ada. Nampaknya Sallahuddin macam bertindak seperti tuan rumah menyambut dan melayan tetamu. Di satu meja Viip kelihatan Mustapa Ali dengan pimpinan tertinggi DAP, Lim Kit Siang dan bekas pengerusinya Chan Main Him dan kalau tidak silap ada sama ketua pemudanya, lupa nama.

Nampak racak mereka berbual sambil makan. Sesekali pecah ketawa berderai seakan yakin bahawa dalam pilihan raya akan datang Pakatan Rakyat akan pukul UBN habis-habisan. Saya tidak cuba menghulur telinga untuk mendengar butir bicaranya. Biarlah mereka juga nampak semacam privancy.

Sebenarnya masa majlis itu sudah pun habis. Ia dibuka dari jam 2:00 hingga 5:00 petang saja. Kali ini nampaknya tempoh majlis pendek berbanding sebelum ini biasanya bermula jam 11:00 pagi hingga ke jam 4:00 petang. Apakah ia ada kena mengena dengan kelembaban ekonomi negara di bawah pimpinan Najib Razak?

Masa melangkah keluar Sallahuddin dan Nik Abdul sedang melayan sekumpulan anak muda yang ingin bergambar dengan mereka. Melihat kami bergambar Dr Mariah Mahmud yang kebetulan berlalu untuk ke dalam dewan ikut sama mengambil kesempatan untuk berfoto sama. "Tunggu ana nak tumpang juga, jangan lupa masukan dalam Facebook," katanya.

Saya tidak tahu berapa ramai yang hadir pada majlis kali ini. Tetapi melihat kepada beberapa juadah yang semua licin, pasti jumlahnya menggalakan seperti tahun-tahun sebelumnya. Apakah semua pemimpin utama datang saya juga tidak dapat maklumat dan malas mengarai berita.

Apa yang sangat saya nak lihat ialah wajah bekas timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Hasan Ali, apakah mereka juga hadir atau pun tidak? Saya rasa mereka juga hadir semasa saya belum sampai. Dan mereka perlu hadir kerana sudah lama mereka tidak menjela dalam majlis-majlis Pas sampai saya pernah ditanya oleh seorang pemimpin kawasan, apakah Nasharudin sudah tidak berminat dengan Pas lagi.

Saya tidak menjawab pertanyaan yang sinis itu. Tetapi saya rasa ianya benar. Saya sendiri lama tidak berjumpa dengannya. Kali terakhir berjumpa di Jakarta semas akami sama-sama menghadiri persidangan membela rakyat Palestin. Dan kali terakhir bertembung di pusat membela belah di KLCC dua hari belum raya. Lepas itu tidak ada konteks.

Saya sangat mengharap kedua mereka tidak berjiwa kecil dan lekas mengalah. Jangan kerana kita kalah dalam perlawanan atau tidak dilantik memegang jawatan yang kita kecewa dan beranggapan kita sudah tidak dihargai lagi. Ingat diluar sana masih ramai yang senang dan memerlukan khidmat dan bantuan kita. Seorang pemimpin sejati bukan hanya bermadah tetapi mempraktikan apa yang dimadahkan.

Sama-sama kita tunggu laporan penuh mengenai sambutan majlis berkenaan dalam akhbar lidah rasmi Pas, Harakah takut-takut ada terselit gambar mereka. [wm.kl.6:27 pm 11/08/11]

Tiada ulasan: