Sejak Tahun 1969 Lagi
Umno Kaitan Pas Dengan KomunisKALAULAH Mat Indera baru semalam atau seminggu lepas meninggal dunia, dan kalaulah ada kaedah dengan mengambil DAN boleh menentukan samada ada Allahyarham komunis atau tidak, pasti kubur Mat Indera terletak berasingan di Taiping itu akan digali semula seperti mana kubur bekas pegawai Exco Selangor Teong Beng Hock yang ditemui mati di luar pejabat SPRM, Selangor.
Bedah siasat akan dilakukan dan kemungkinan pakar sejarah dan DAN dunia akan berbondong datang ke Malaysia. Tidak mustahil apabila Mat Indera menjadi perhatian oleh dua pihak Umno dan Pas, dua-dua Melayu "kulai" perkara itu boleh berlaku. Orang Melayu terperasan mereka cerdik walhal dalam tindak tanduk siasahnya lebih kurang kaum berekor saja.
Nasib baik Mat Indera sudah meninggal 57 tahun lalu. Semua anggota beliau telah hancur lebur dan kalau ada pun tulang temulang yang sukar untuk diambil bagi kajian persejarahannya. Tidak mungkin DNA dari tulang dapat menentukan apakah ideologi atau akidah seseorang.
Lainlah kalau di dalam kubur Mat Indera itu ada kopiah atau serban, ia boleh dijadikan asas mengatakan dia Islam. Kalau songkok apa lagi songkok senget belum tentu kerana di Indonesia yang pakai songok senget ada makan babi panggang. Tidak percaya sila ke Brastagi di Tanah Karo.
Pastinya tengkorak Mat Indera masih ada. Sebab tengkorak adalah antara tulang manusia yang paling ampuh. Selamat kamu Mat Indera kerana sudah lama mati dan isu mengenai kamu baru disedari hari ini oleh anak cucu cicitmu! Kalau tidak naaslah kamu.
Begitu juga, kalau Mat Indera mati dalam sebulan dua atau setahun dua ini mungkin sebuah suruhanjaya bebas berupa suruhanjaya Diraja, ditubuhkan untuk menentukan apakah Mat Indera benar seperti tanggapan 'kawannya' Mat Sabu bahawa dia adalah hero sebenarnya atau pun dia adalah komunis seperti mana dikehendaki oleh sesetengah pemimpin dalam Umno termasuk Menteri Besar Johor Ghani Othman.
Menteri Besar Johor Ghani Othman terang-terang mengatakan Mat Indra sebagai komunis yang bertindak kejam ke atas rakyat. Mat Indera menurut Ghani menyertai rejim ke-10 PKM. Dari mana pula sumber dan bukti Ghani temui untuk mengesahkan Mat Indera sebagai komunis. Mungkin dari DNA Umno?
Memang sejak dari kecil lagi saya mendengar cerita bahawa Rejamin ke -10 KPM ini adalah dikenali dengan komunis Melayu. Ada juga cerita komunis Melayu ini melindungi askar di Raja Melayu semasa di dalam hutan. Mereka selalu mengelak dari bertembur. Jadi apakah yang boleh kita hukum mereka adalah kejam? Keadaan itu boleh kita fikirkan apakah jenis komunis mereka itu kalau sengaja mengelakkan diri dari bertempur?
Itu yang saya dengar tetapi bukan ada catatan atau sumber jelas dari askar Melayu dari kampung saya yang kini sudah bersara, itulah yang dituturkan. Tetapi cerita ini sering diceritakan oleh para bekas prejurit kita yang terdahulu. Cuma saya tidak tahu apakah tentera kita yang sudah lama bersara itu berani untuk membuka semula - secara bertulis cerita-cerita pelik dan lisan mengenai peri kemanusiaan Rejamin ke-10 PKM itu.
Apabila Ghani Othman mengiktiraf bahawa Mat Indra sebagai komunis maka Ghani menolak pengikhtirafan yang diberikan oleh buku berjudul "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor yang turut memasukkan nama Mat Indera sebagai salah seorangnya? Siapakah yang menerbit buku berkenaan. Apakah ianya di zaman Udin anak Yassin jadi MB atau siapa?
Saya tidak hairan kalau Ghani Othman menafikan fakta atau sejarah yang ditulis dalam buku Yayasan Wairsan Johor itu kalau buku diterbitkan kebetulan di zaman Muhyuddin Yassin. Kerana umum sudah tahu bagaimana mereka berdua konfrantasi di antara satu sama lain. Tanpa mengikhtiraf Mat Indera sebagai hero secara automatik juga Ghani menolak orang bertanggungjawab menerbit buku itu. Kalau ianya di zaman Udin anak Yassin, maka Udin anak Yassinlah yang dimaksudkan Ghani.
Tetapi adalah sesuatu yang dangkal dan naif sangat, atau 'debek' (tidak cerdik campur bodoh tak sekolah) Ghani untuk menafikan buku berkenaan setelah ianya bertahun-tahun diterbitkan dan dihayati oleh orang Johor. Apa lagi dia sendiri memberi kata penghantar kepada buku berkenaan. Apakah Ghani dalam keadaan koma semasa dia menulis kata penghantar buku itu?
Ghani cuba hendak mengelirukan kononnya buku itu tidak mengikhtiraf Mat Indera sebagai pengukir nama Johor atau hero, hanya antara orang yang dikenali di Johor atau yang terlibat dalam peserjarahan Johor saja.
Nampak di sini Ghani cuba memutar kata dan membelitkan lidah serta menegakkan benang basah di dalam hujan. Lidah Ghani juga telah terjilat air liur munafikin.
Kita terimalah andaian Ghani itu. Tetapi kenapa terlalu lama Ghani untuk mempertikaikan Mat Indera yang dicatatkan dalam buku itu. Dalam konteks dan semangat buku itu diterbitkan ia sebagai merekod mereka yang berjasa kepada negeri Johor. Apakah logik seorang yang jahat, zalim dihimpun bersama tokoh-tokoh yang berjasa? Masakan ini pun Ghani tidak dapat bezakan.
Sebab itu saya merasakan Ghani bercakap tidak berdasarkan fakta tetapi lebih kepada sentimen benci kepada Mat Indera sehingga sanggup menutup fakta untuk senada dengan partinya. Itu namanya orang berjiwa kecil. Sebenarnya juga Mat Indera tidak pun bersalah, tetapi kerana Umno ingin mengaitkan Mat Sabu dengan komunis maka Mat Indera dikaitkan begitu jauh sehingga memerangkap Umno sendiri.
Awal isu ini ditimbul mungkin media massa Umno yang menimbulkan tidak terfikir bahawa sejarah dan latar hidup Mat Indra ini akan digali sedemikian rupa. Apa yang menjadi hajat mereka ialah untuk memburukkan Mat Sabu yang kemudian keburukan itu akan terheret kepada Pas. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan supaya orang Melayu membenci kepada Pas? Itu saja ceritanya.
Usaha atau tektik Umno cuba mengaitkan individu Pas atau Pas sendiri dengan komunis ini bukan baru. Dalam buku
Sejarah Malaysia: Perkembangan Politik (1957-1990) versi internet di muka surat 7 termaktub niat kerja jahat Umno terhadap Pas yang mengaitkan Pas dengan komunis dalam kempen pilihan raya.
"UMNO telah mengatasi perkara ini dengan mengatakan bahawa Pas mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Malaya di Selatan negeri Thai. Ini merupakan satu perkara yang meresap dalam hati sanubari mereka oleh kerana ia senantiasa diingati bahawa NCP mempunyai ahli yang kebanyakannya orang-orang Cina. Umno telah juga menegaskan bahawa Pas telah tidak berbuat apa-apa ekonomi Kelantan. Sungguh pun parti itu menguasai kerajaan negeri sejak tahun 1959. Umno telah menawarkan bantuan kewangan yang banyak untuk pembangunan Kelantan (ini dianggap menangguk di air keruh oleh Yang Dipertua Pas). Jika parti itu mendapat undi yang banyak di dalam pilihan raya dua lagi telah dibuat terhadap Pas untuk mencemarkan nama baiknya dimata orang-orang Melayu. Pertamanya, parti itu telah dituduh mempunyai persefahaman dalam pilihan raya dalam DAP. Dari segi teorinya parti itu bukannya perkauman tetapi dari segi kaca mata orang-orang Melayu parti orang-orang Cina dengan PAP di Singapura. Kedua, Tunku menuntut bahawa parti itu menerima bantuan daripada PAP di Singapura melalui DAP."
Kalau membaca cuplikan pernyataan di atas maka apa yang berlaku dengan isu Mat Indera dan Mat Sabu sekarang ini jelas, bahawa Umno masih mengulangi kerja jahat yang sama sekali lagi. Ertinya UBN khasnya Umno tidak ada modal lain selain dari menggunakan modal lapok untuk memburukkan Pas. Begitu juga kerja menakutkan Pas diwarisi dari dulu lagi. Melaporkan kepada polis dan polis siasat Mat Sabu adalah tektik untuk menakutkan Mat Sabu dan orang Pas.
Tahulah kita kalau sesebuah parti itu sudah tidak ada modal baru lagi untuk digunakan ia menunjukkan parti itu semakin hilang kepercayaan dan keyakinan umum. Pihak yang sudah terdesak dan sudah mulai nampak benang-benang kekalahan akan melakukan apa saja. Mereka tidak akan peduli apakah isu atau hujah yang mereka kemukakan itu palsu, naif atau lemah. Yang penting mereka dapat terus mengeronyok lawan walaupun cara itu meletakkan mereka dalam kedudukan sangat lemah di mata rakyat.
Sayang Mat Maslan kehilangan suara! [wm.kl.7:33 pm 08/08/11]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan