Khamis, 15 September 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Khalid Ibrahim Buat Umno Selangor Makin Meroyan

Posted: 14 Sep 2011 10:28 PM PDT

Selangor Perkenal Gaji Minima RM1,500 Tahun Depan

SHAH ALAM 15 SEPT: Bermula Januari tahun hadapan, setiap kakitangan anak syarikat kerajaan negeri Selangor bakal menikmati skim gaji minima RM1,500.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, pelaksanaan gaji minima ini adalah di antara pelan-pelan tindakan tiga tahun Pakatan Rakyat 2011-2013 yang akan dilancarkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim esok.

Pakatan Rakyat sebelum ini menerusi Buku Jingga berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja di Malaysia dalam janji 100 hari pentadbirannya di Putrajaya.


"Kini kita terjemahkan janji itu dengan melaksanakannya terlebih dahulu di negeri Selangor," katanya.

Berbagai pelan tindakan telah dirangka yang merangkumi pelbagai aspek; pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Ia merupakan janji gagasan itu bagi menghadapi pilihan raya umum yang mungkin diadakan akhir tahun ini ataupun awal tahun hadapan.

Pelan tindakan ini juga bakal menyediakan peruntukan RM5 juta untuk pembangunan kampung baru di seluruh Selangor.

Tahun lalu, sebanyak RM4.6 juta diperuntukkan bagi membantu 465 kampung melaksanakan program kemasyarakatan di mana sebanyak RM10,000 diberikan untuk setiap kampung membabitkan kampung tradisional dan kampung baru Cina di seluruh Selangor.

Bagi meningkatkan kualiti kemudahan untuk rakyat, kerajaan negeri juga setuju untuk menyediakan dana sebanyak RM4 juta untuk membaiki jalan-jalan di kampung-kampung tradisi di negeri ini.

Sementara bagi hal ehwal keselamatan pula, RM3 juta akan diperuntukkan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang mencatatkan peratusan jenayah yang membimbangkan. Pemasangan CCTV akan dimulakan di Subang Jaya.

Manakala RM1 juta pula akan diperuntukkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bagi kegunaan penyelenggaraan longkang, jalan raya dan jambatan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, kerajaan negeri juga bakal melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan atau pilihan raya kerajaan tempatan bermula tahun hadapan di Petaling Jaya.

-tvsnews-



Bekas Pengarah Cawangan Khas Sahkan Mat Indera Ketua Komunis

Posted: 14 Sep 2011 07:26 PM PDT

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pernah mengakui dan mengesahkan bahawa serangan pengganas di Balai Polis Bukit Kepong diketuai oleh Mat Indera yang juga seorang panglima pemerintah komunis di negeri Johor.

Bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Ab Rahman berkata, perkara itu diceritakan sendiri oleh pemimpin komunis paling berpengaruh itu di hadapan para cendekiawan dalam satu dialog yang diadakan di sebuah universiti terkemuka di Canberra, Australia pada 22 dan 23 Feb 1999.

"Mat Indera pada masa itu dikenali sebagai panglima yang memerintah komunis di kawasan selatan dan utara Johor iaitu di Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan seluruh Melaka.


"Ini bukan cerita yang dikutip di tepi jalan, tetapi disahkan oleh Chin Peng kerana baginya untuk menjadi pengganas mereka mesti menjadi komunis," katanya dalam Forum Merdeka bertajuk "Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan" di Kuala Lumpur malam tadi.

Selain Zulkifli, forum itu turut dibarisi oleh tiga anggota panel yang lain iaitu bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn, pakar sejarah Prof Datuk Ramlah Adam serta Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Prof Datuk Kamaruddin Kachar.

Forum yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu dipengerusikan oleh presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Sehubungan itu, Zulkifli yang berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM dan bertanggungjawab dalam risikan mengenai komunis pada masa itu, berkata dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menyatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, tidak benar dan tidak berasas.

"Macam manalah Mat Sabu berani kata Mat Indera ini bukan komunis, kenapa Mat Sabu pilih Mat Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong padahal dia tidak kenal siapa itu Mat Indera," katanya.

- Bernama



Kalau Saya Jadi Menteri, Habis Bulu Mat Sabu Saya Cabut..

Posted: 14 Sep 2011 06:05 PM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Sambil menggesa pentadbiran Najib mengambil tindakan tegas ke atas Mohamad Sabu berhubung kenyataannya berkaitan tragedi Bukit Kepong, Perkasa berkata timbalan presiden PAS itu "harus dihalang" jika bertanding pilihan raya umum ke-13.

Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata, sehingga hari ini Putrajaya hanya memberi amaran dan tiada tindakan ke atas Mohamad walaupun telah didesak banyak pihak.

"Sebelum ini ada desakan supaya Mat Sabu (Mohamad) ditangkap, namun kita tidak buat begitu kerana kalau kita desak Mat Sabu ditangkap, kita akan ditertawakan.


"Kalau saya jadi Menteri Dalam Negeri, dah habis Mat Sabu . . . sebab itu kerajaan perlu bertindak bijak tapi kita (orang Melayu) perlu bersama, kita mahu tindakan diambil (ke atas Mohamad), jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan jangan sampai rakyat mengambil undang-undang sendiri," katanya ketika berucap menutup Forum Merdeka Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Mat Sabu
Mohamad mencetuskan kontroversi apabila mengatakan bahawa pejuang kemerdekaan telah melakukan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang meragut 25 nyawa semasa pemberontakan komunis pada 1950.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu di Pulau Pinang telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan. Tetapi ia dikecam banyak pihak terutamanya pemimpin Umno.

Semalam, Mohamad memfailkan saman ke atas Kumpulan Utusan berhubung satu laporan berkaitan dengan ucapannya itu.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, rakyat terutamanya orang Melayu perlu menolak pemimpin yang menjual maruah bangsa sendiri terutamanya Mohamad pada pilihan raya umum.

"Kita perlu halang Mat Sabu, caranya mudah sahaja iaitu pada pilihan raya umum ke-13 nanti kita perlu turun beramai-ramai untuk berkempen menentangnya," katanya.

Selain Mohamad, Ibrahim juga mahu tindakan diambil ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga yang didakwa beliau telah mengancam keselamatan negara.

"Perdana menteri dan menteri dalam negeri harus bertindak tegas terhadap semua petualang-petualang ini.

"Sampai bila kita harus begini, kita akan terus berjuang walaupun keadaan semakin genting, kita perlu bangkit dan kita perlu berjuang dan bersatu," katanya.

Terlebih dahulu ketika membuka forum yang disertai empat ahli panel, Ibrahim berkata selama ini pemimpin PAS sentiasa mahu mengubah dasar perjuangan parti mengikut keadaan..

"Mat Sabu telah meminda sejarah, sebenarnya kalau kita amati secara mendalam saya tidak terkejut sebab pemimpin PAS sebelum ini juga selalu meminda amanatnya, PAS telah meminda untuk berkawan dengan orang kafir, menukar perjuangan dan (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) banyak kali meminda fatwa dan terbaru Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) telah meminda laporan perubatan, jadi tidak hairan Mat Sabu meminda sejarah.

"Sekarang kita lihat Mat Sabu cuba mengalih pandangan dengan memusatkan dan membesarkan siapa Mat Indera, pengganas atau pejuang kemerdekaan," katanya.

Jelas beliau, selain mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Mohamad juga telah menghina anggota polis serta dua tokoh penting negara Datuk Onn Jaafar dan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan menuduh mereka sebagai pegawai British.

"Mat Sabu mempertahankan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, kalau kita lihat dan dengar ucapannya di YouTube isu yang sebenar Mat Sabu menghina anggota polis yang terkorban dan tercedera sewaktu mempertahankan Balai Polis Bukti Kepong.

"Mat Sabu juga menghina dua tokoh negarawan Datuk Onn Jaafar, tokoh paling utama yang menggerakkan kebangkitan Melayu menentang Malayan Union seterusnya menuntut kemerdekaan dan Mat Sabu juga menghina Tunku Abdul Rahman apabila mengatakan mereka adalah pegawai British malah Mat Sabu juga tuduh polis yang terkorban adalah alat kepada British," katanya.

Jelas Ibrahim, isu sejarah negara bertambah kucar-kacir apabila jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling yang mengatakan negara tidak pernah dijajah British.

"Isu yang dibawa Mat Sabu menjadi kontroversi dan ada pendapat seperti Datuk Zainal Kling yang mengatakan British tidak menjajah negara, lagi kucar-kacir," katanya.



Siapa Madey Nak Arah Najib.. Kahkahkah..

Posted: 14 Sep 2011 05:33 AM PDT

Apa pula status Mahathir minta Najib lewatkan PRU, sindir Pakatan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Pakatan Rakyat pula menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad agar kembali menyandang jawatan perdana menteri jika pemimpin veteran itu mahu mempertikaikan saranan mereka agar kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang berbincang menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.

"Kalau apa yang kami katakan hendak disindir, maka kami cadangkan Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan kami persoalkan apa hak Dr Mahathir untuk menasihatkan agar Datuk Seri Najib melewatkan pilihan raya umum ke-13," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Salahuddin berkata idea yang dilontarkan oleh mereka sebenarnya bertujuan menjaga kebaikan rakyat dan demi kepentingan negara.


"Malah perkara ini boleh dilakukan dan sedang diamalkan beberapa negara," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini dengan merujuk kepada amalan di Amerika Syarikat dan pendirian kerajaan campuran di Britain baru-baru ini.

"Apa salahnya kami beri pandangan ini?" soal beliau lagi.

Salahuddin berkata Pakatan Rakyat merasakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewajarnya mempertimbangkang perkara ini jika benar-benar mahu membawa pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.

Itu sebab tegas beliau, pihaknya meminta agar pilihan raya umum tidak dipanggil selagi jawatankuasa pilihan khas Parlimen tidak selesai mengadakan mesyuaratnya untuk mengemukakan laporan.

"Jadi saya berpendirian bahawa itu pandangan Pakatan Rakyat... demi kebaikan negara dan rakyat.

"Jika pandangan ini tidak boleh diberikan apa status Dr Mahathir apabila beliau sendiri meminta agar Najib tangguh panggil pilihan raya?" katanya.



Video - Pemuda PAS dakwa kesan lebih 10,000 IC palsu

Posted: 14 Sep 2011 04:51 AM PDT





‘Mahathir ‘mastermind’ jatuhkan Najib’

Posted: 14 Sep 2011 02:15 AM PDT

Tun Mahathir memberi mesej bahawa Najib Tun Razak juga bukan merupakan 'calon boleh menang' dan secara tidak langsung merupakan liabiliti kepada Umno-BN.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'mastermind' yang berperanan untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merujuk kepada kenyataan mantan perdana menteri itu semalam yang menasihati Najib agar pilihan raya umum (PRU) ke-13 dilewatkan bagi meneliti semula senarai 'calon-calon yang boleh menang'.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata nasihat Mahathir itu memberi mesej bahawa Najib juga bukan merupakan 'calon boleh menang' dan secara tidak langsung merupakan liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).


"Umno-BN berhadapan isu calon dan parti…..malah semalam Mahathir bagi mesej jelas bahawa Najib juga bukan calon yang dilihat boleh menang apabila menasihatkan Perdana Menteri itu untuk melewatkan PRU ke-13.

"Najib liabiliti bagi BN. Ini diakui golongan dalaman Umno yang cuba memberi tekanan kepada Najib untuk berundur sebelum PRU.

"Mahathir 'mastermind' Umno. Saya bimbang ada kumpulan yang menjadi telunjuk Mahathir ini seperti gerakan yang dilakukan ke atas Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Panel bebas

Dalam perkembangan lain, Mahfuz turut mencadangkan penubuhan sebuah panel bebas untuk mengkaji semula sejarah. Ini berikutan tercetusnya kekeliruan berhubung pandangan mengenai sejarah Malaya baru-baru ini.

Beliau berpendapat mana-mana pihak perlu bersikap terbuka berhubung kenyataan daripada Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Malaya tidak pernah dijajah.

"Saya tidak kata MPN itu benar tapi mungkin mereka ada fakta tertentu untuk menyokong hujah bahawa Malaya tidak pernah dijajah British.

"Mungkin betul, mungkin tidak…..maka kita perlu kembali kepada saranan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Khaled Nordin) agar melihat kembali sejarah.

"Kita boleh panggil Mat Sabu (Mohamad Sabu) untuk kemukakan fakta sejarah dan bukannya timbulkan perdebatan politik untuk fitnah orang," jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas rakyat, Mahfuz mahu dasar percukaian kerajaan perlu diperbetulkan dan menurutnya, cukai dari lima peratus kepada enam peratus itu tidak wajar.

"Kenaikan cukai perkhidmatan itu merupakan isu besar yang menyebabkan pengguna menjadi tunggang langgang dan kerajaan perlu mengkaji semula fakta-fakta percukaian tersebut yang membebankan rakyat," katanya.

Dipetik dari Free Malaysia Today



Mat Sabu saman Utusan, Muhyiddin dan bekas IGP menyusul

Posted: 14 Sep 2011 01:48 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Selepas memfailkan saman terhadap Kumpulan Utusan dan Ketua Pengarangnya Datuk Aziz Ishak hari ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memfitnahnya kononnya mengagungkan-agungkan komunis.

Pagi ini Mohamad yang diwakili peguam PAS Mohamad Hanipa Maidin telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memfitnah pemimpin nombor dua parti Islam itu melalui artikel muka hadapan Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu.

"Hari ini kita telah failkan saman di atas fitnah yang dilakukan di muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu, saya hanya akan mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah-fitnah terutamanya tuduhan komunis dan pengganas... semua tuduhan lain adalah tuduhan politik yang kita boleh jawab.


"Fitnah-fitnah boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka perlu ambil tindakan undang-undang, saman ini adalah perkara yang ditimbulkan, yang saya langsung tidak sebut dalam ucapan pada 21 Ogos lalu di Tasik Gelugor, Pulau Pinang," kata Mohamad pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Beliau yang mesra dengan panggilan "Mat Sabu" memberitahu saman terhadap Muhyiddin akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Hanipa.

"Beliau (Muhyiddin) kaya, kalau saman pun tidak mengapa," katanya.

Mohamad juga kesal dengan tindakan Muhyiddin yang menolak untuk berdebat mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Jelas beliau, keengganan Muhyiddin untuk berdebat menyebabkan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu.

Selain Muhyiddin, Mohamad juga akan memfailkan saman terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan kerana menyifatkannya sebagai pengganas dan pengkhianat negara.

"Itu kena tanya beliau (Muhyiddin), saya lebih rasa yang baik adalah debat atau dialog sebab tuduhan beliau bersangkut paut dengan akidah.

"Tuduhan ini adalah tuduhan berat, beliau suruh saya bertaubat dan bertaqwa sebab itu kita tawarkan penyelesaiaannya," katanya menjawab keengganan Muhyiddin untuk berdebat.

Muhyiddin sebelum ini berkata Mohamad perlu balik ke landasan betul dan berpegang kepada prinsip takwa menambah sebagai seorang pemimpin Islam beliau patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

Sementara itu Hanipa berkata, saman dibuat ekoran keengganan Utusan Malaysia untuk meminta maaf dan menarik balik artikel bertarikh 27 Ogos yang telah menimbulkan kontroversi.

"Jadi saman ini ekoran notis tuntutan yang kita hantar sebelum ini walaupun Utusan Malaysia ada balas tetapi mereka tidak menyatakan akan minta maaf atau tarik balik fitnah yang mereka buat terhadap Mohamad Sabu.

"Saman ini lebih kepada tuduhan mengaitkan Mohamad Sabu dengan komunis sedangkan tuduhan itu tidak berasas, selepas ini kita akan serahkan salinan writ saman kepada Utusan Malaysia dan saya percaya mereka akan lawan ... mereka akan lawan habis-habisan," katanya.

Kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, tiada jumlah saman dikemukakan sebaliknya menyerahkannya kepada hakim untuk menentukan jumlah saman sekiranya menang.

"Kita tidak letak jumlah saman, biar mahkamah yang tetapkan jumlah sekiranya kita menang, kita juga minta Utusan Malaysia siarkan permohonan maaf selama tiga hari dan tarik balik artikel yang disiarkan.

"Selepas ini saya diarahkan untuk failkan saman terhadap Muhyiddin dan Musa Hassan yang mengatakan Mohamad adalah pengkhianat dan pengganas," katanya.



Tiada ulasan: