Rabu, 14 September 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Baru 3 Tahun Jadi Menteri, Jamil Khir Sudah Mampu Miliki Rumah Jutaan Ringgit..

Posted: 13 Sep 2011 11:42 PM PDT

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir menjelaskan rumah mewahnya yang dianggar menelan jutaan ringgit. Keraguan timbul apabila menteri yang baru dilantik 3 tahun oleh Perdana Menteri dan hanya memiliki gaji tidak menjangkau RM15,000 itu, mampu memiliki kediaman mewah dalam masa yang singkat.

"Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri)," katanya mengulas isu yang didedah oleh akhbar Suara Keadilan semalam.


Khairul berkata ia bukan perkara memeranjatkan kerana menjadi kebiasaan menteri yang ditadbir Kerajaan Barisan Nasional (BN) hidup mewah. Beliau merujuk kes bekas Menteri Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mencetus kontroversi kerana kos kediamannya dikatakan melebihi kemampuan sebagai menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

"Rakyat pun tidak terperanjat dengan isu yang sudah dianggap biasa ini. Oleh itu, jika beliau (Jamil) ada sedikit rasa tanggungjawab dengan imej dan kedudukannya, beliau perlu tampil memberi penjelasan. "Walaupun (dia) Jamil Khir merupakan Menteri Agama namun ia bukanlah jaminan beliau berperangai seperti Menteri-menteri lain" katanya kepada Keadilandaily.

Sebelum ini KEADILAN pernah mempersoalkan kehilangan RM32,000 wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) didakwa membiayai yuran guaman Jamil Khir dan Pengarah Jabatan Islam (JAWI), Datuk Che Mat Ali. Ia terbongkar melalui kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, beberapa bulan lalu.

Wang zakat tersebut didakwa digunakan bagi menghalang permohonan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Jamil dan Che Mat tidak tergolong dalam kategori yang layak menerima zakat./kd

Dipetik dari Addin



Cukai GST - Rakyat Akan Lebih Menderita Jika UBN Menang PRU13

Posted: 13 Sep 2011 07:38 PM PDT

Najib: GST kemungkinan selepas PRU-13

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri telah diminta untuk memastikan segala sistem sudah bersiap-sedia. Katanya, isu sekarang ialah masa yang sesuai bagi pelaksanaan berkenaan.

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini.


"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Beliau berkata adalah penting untuk bersedia memandangkan akan terdapat gangguan dan penilaian semula apabila tiba masa pelaksanaannya.

"Saya percaya apabila sesuatu sistem diperkenalkan, tidak kira betapa rapi persediaan dilakukan, tetap akan ada kesilapan dan kelemahan dalam pelaksanaan nanti," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan juga mendakwa penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST semakin meningkat.

Daripada 12 juta rakyat, hanya 1.2 juta yang membayar cukai, katanya.

"Rancangan kami ialah untuk mengurangkan defisit fiskal kami daripada 5.6 peratus kepada 5.4 peratus tahun ini dan turun kepada kira-kira tiga peratus dalam masa beberapa tahun akan datang. Jadi, apabila kami mngurangkan defisit fiskal kami, akan terdapat lebih keyakinan dalam ekonomi serta kami akan dapat menyaksikan asas yang lebih kukuh di Malaysia," kata Najib.

Malaysiakini



Isu Burukan Mat Sabu Tidak Banyak Untungkan UBN

Posted: 13 Sep 2011 05:47 PM PDT

SEMALAM seorang rakan yang akhir-akhir ini begitu permis terhadap Pas memberi tahu dan bertaya saya, apakah saya sudah dengar atau tidak rakaman perbualan Mohamad Sabu dengan Norma Abdul Rahman yang pernah dihadapkan ke mahkamah syariah Kota Bharu kerana dituduh berkahlwat?

Saya sedikit terpinga mendengar pertanyaan dan pemberitahuan kawan itu. Tetapi sedikit pun tidak merasa pelik kerana saya sudah menduga bahawa kisah di hotel perdana itu akan muncul juga.

Saya tidak bertanya panjang dengan persoalan itu sebaliknya kawan itu cuba memperpanjangkan cerita berkenaan. "Berat kali ini Pas?" katanya menanti sambutan daripada saya terhadap isu itu.


"Nak jadi timbalan presiden Pas macam mana kalau lagu tu. Mampus Pas," katanya lagi mahu menarik perhatian saya. Saya tetap juga tidak peduli. Kawan ini nampaknya sudah juak benar dengan Pas gara-gara Mat Sabu yang diperbesar-besarkan untuk tujuan politik itu.

"Iya ke?" Itulah reaksi saya sengaja mahu mengambil hatinya kerana beriya sangat menceritakan hal itu.

"Ana dah kata musuh Pas akan terus mainkan isu mengenai Mat Sabu. Mat Sabu adalah modal untuk mereka damagekan Pas. Bukan baru niat jahat musuh Pas ini lama dulu," kata saya.

"Jadi macam mana kalau lagu tu?" soal kawan itu. "Pas kena tanggunglah..masa sekarang bukan masa untuk membelasah Mat Sabu. Buruk ke baik ke, suka tidak suka dia adalah timbalan presiden Pas," balas saya.

Dalam posting sebelum ini saya sudah senaraikan apa-apa yang akan dibangkitkan tentang Mat Sabu. Isu Mat Indera hero bukan komunis ini adalah permulaan pertama menjelang gelanggang sebenar pilihan raya dibuka. Saya yakin selepas ini banyak lagi kisah buruk Mat Sabu akan didedahkan. Tidak mustahil juga gambar Mat Sabu akan dilukis di atas langit untuk tonton 28 juta rakyat Malaysia.

Tengoklah hari ini semua orang bercakap mengenai Mat Sabu dan cuba membawa imej buruk. Bukan saja orang politik tetapi bekas ketua polis yang diserang angin ahmar juga cuba berlatih memburukkan Mat Sabu. Yang belum komen hanya sembilan raja-raja Melayu saja lagi. Apakah raja-raja juga akan turut sama memberi komen? Tidak mustahil di dalam politik semua orang akan jadi lalat dan langau bila ada sesuatu isu yang dibangkitkan oleh parti UBN.

Antara isu yang disenaraikan untuk memburukkan Mat Sabu dan mengheretkan Pas antaranya isu tangkapan kahlwat Mat Sabu dengan Norma di hotel perdana. Media penjilat butut akan sebar isu ini semula peristiwa berkenaan. Musuh tidak akan peduli apakah ia sudah menjadi bahan sejarah atau tidak. Politik demokrasi memang bersifat macam biawak memakan apa saja bangkai.

Rakaman perbualan di antara Mat Sabu dengan Norma yang diberita tahu kawan itu adalah segmen dalam isu berkenaan.

Saya tidak dengar rakaman perbualan sex itu. Bukan ianya tidak benar, tetapi alasan saya mudah kerana saya tidak berminat dengan perkara-perkara jorok begitu. Usahkan rakaman perbualan sex (oral) video lucah melibatkan Anwar Ibrahim yang kecur seluruh dunia baru-baru ini pun saya tak tonton. Pada saya haram menontonnnya. Mereka yang menontonnya video lucah dan mendengar hal-hal yang diharamkan Allah, mereka bukan orang beriman dan bertakwa.

Selepas isu dengan Norma, musuh Pas akan mainkan pula isu Mat Sabu kononnya penganut syiah. Saya dah kata, musuh akan cari apa-apa saka buktikan, dan kalau tidak ada mereka akan buat untuk didedahkan kepada umum. Jangan kisah hari ini bukti boleh dibuat dengan mudah, dan mahkamah pula boleh menerima kenyataan dan bukti palsu!

Tidak pelik lepas ini Mat Sabu akan diheret pula dengan isu mutaah. Akan dilakar cerita Mat Sabu mengamalkan mutaah. Akan didedahkan kononnya dia kahwin satu sampai sembilan orang setiap kali mengujungi ke negeri-negeri syiah di Iran, Syaria, Lebnon dan mana-mana. Gambar perempuan Arab banyak dalam internet dan boleh dipadankan dengan Mat Sabu. Tidak mustahil juga kalau tiba-tiba keluar dalam tv1,2,3,4,,5 dan 100 pengakuan seorang gadis sunti berbangsa Arab bahawa Mat Sabu ialah abuyanya. Jangan pelik.

Selepas isu mutaah, akhirnya Mat Sabu akan dihadapkan dengan tuduhan paling besar selepas ini. Dia akan dituduh sebagai hendak melakukan revolusi berdarah ke atas kerajaan Yang di-Pertuan Agong. Mat Sabu akan dituduh menolak demokrasi. Mat Sabu akan dilakukan seperti mana Mohamad Amin (al Mauna), Ashaari Muhammad, (Arqam) Ibrahim Libya (Memali) atau pun penjenyah-penjenayah lain lakukan. Jadi semua itu jangan dirasakan pelik dan terkejut.

Kalau Mat Sabu masih dilihat bahaya besar dan segala isu yang didedahkan ini tetap tidak memberi laba kepada UBN tidak mustahil Mat Sabu akan ditangkap. Jangan pelik. Berbagai tuduhan jenazah boleh dibuat, polis negara ini atas nasihat orang politik pakar dalam membuat tuduhan palsu. Saya ingatkan kalau ini timbul nanti jangan sesekali rasa pelik.

Dan sesuatu yang musuh Pas ingin dengar ialah adanya mana-mana orang dalam Pas ataupun pihak meminta agar Mat Sabu melepas jawatan kononnya Mat Sabu sudah menjadi liabiliti kepada Pas. Inilah kemuncaknya. Kalau ada cadangan ini cukup dari bekas ketua cawangan Pas, ia akan dijadikan isu besar akan diheret dan disiarkan berhari-hari dalam media. Kalau tidak ada bekas ketua cawangan Pas meminta cadangan ini mungkin juak kaki lompat dan perut buncit boleh dijadikan jurucakap untuk membuat cadangan berkenaan. Orang tidak aada muka sanggup menghidu pantak kerbau.

Tunggulah apa yang saya katakan sejauh mana benar dan tidaknya! [wm.kl.8:03 pm 13/08/11]

Mohd Sayuti Omar



Muhyiddin pertahan kerjasama Parti Komunis China, isu Mat Sabu tiada kaitan

Posted: 13 Sep 2011 07:57 AM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kehadirannya pada satu majlis makan malam yang diadakan bersama Parti Komunis China sebagai satu pertemuan dengan rakan perdagangan utama Malaysia, yang tidak harus dikaitkan dengan isu Mohamad Sabu.

Beliau (gambar) akan menghadiri majlis makan malam bersama Setiausaha Agung Parti Komunis China Sun Zhenglai di sebuah hotel di sini malam tadi.

"Hubungan diplomatik kita dengan China adalah yang terbaik buat masa sekarang dan yang kedua dari segi eksport global. Kita ada hubungan yang rapat dalam perdagangan dan industri, pelaburan. Saya tidak melihat isu sedemikian sebagai satu halangan.


"Hubungan antarabangsa adalah normal, bukan hanya bagi Malaysia. Negara-negara demokrasi yang lain seperti Amerika juga ada hubungan (dengan China) kerana hubungan antarabangsa boleh membawa manfaat yang besar, bukan kita menganuti ideologi mereka. Itu hak merekan, urusan negara mereka," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan anugerah bagi program tawaran baru untuk guru besar dan pengetua di bawah Bidang Ekonomi Utama Kebangsaan (NKRA) sektor pendidikan di sini hari ini.

"Tiada apa-apa kaitan dengan isu itu (Mat Sabu). Hubungan negara kita dengan China adalah yang terbaik. Persoalan mengenai komen Mat Sabu adalah isu dalaman," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Di sebalik kontroversi Mohamad menyentuh tragedi Bukit Kepong dalam ceramahnya di Pulau Pinang bulan lalu dan serangan pemimpin-pemimpin Umno ke atasnya, PAS mendakwa parti teras Barisan Nasional itu bersikap hipokrit kerana mengadakan hubungan dengan Parti Komunis China tetapi mendakwa mereka mengagung-agungkan komunis.


PAS anggap Tun M hina Raja-Raja Melayu

Posted: 13 Sep 2011 06:38 AM PDT

TEMERLOH, 13 Sept: PAS menganggap kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa British dijemput ke tanah air untuk menjadi penasihat pentadbiran adalah memperlekeh dan menghina Raja-Raja Melayu.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada hakikatnya penjajah Inggeris itu bukanlah baik tetapi menggunapakai strategi tertentu sehingga sebahagian orang Melayu boleh merasa senang berlindung di bawah mereka.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Dr Mahathir semalam yang mengatakan sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke tanah air dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri.


Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling sebelum ini bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British.

Menurut Tuan Ibrahim, British sememangnya penjajah tetapi mereka masuk ke Tanah Melayu dengan pendekatan yang tidak seeprti Belanda.

"Ketika British menjajah India, mereka menggunakan pendekatan serangan dan membuang raja-raja di sana mengakibatkan tentera mereka mengalami banyak kekalahan.

"Apabila datang ke Tanah Melayu mereka menukar strategi dengan menyebelahi anak-anak raja tertentu. Sebab itu kita tengok kebanyakan negeri-negeri Melayu berlaku perbalahan sesama anak raja yang semuanya didalangi British. Orang Melayu yang tidak menyebelahi mereka diburu dan dibunuh.

"Kita mahu gambarkan bahawa British bukanlah baik, bukannya rakan perlindungan seperti digambarkan. Sebagai contoh Perjanjian Pangkor diadakan di atas kapal perang dan terdapat unsur pemaksaan," katanya dalam sidang media di pejabat Perhubungan PAS Pahang di sini hari ini.

Justeru tambah Tuan Ibrahim, pendapat Dr Mahathir British dijemput untuk menjadi penasihat dalam pemerintahan hanyalah memperlekeh raja-raja Melayu.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa komunis Cina baik sebaliknya komunis di Malaysia dulu jahat, hanyalah untuk menutup perhubungan intim Umno dengan Parti Komunis China.

"Bukan setakat hubungan kerajaan, apa yang berlaku ialah terdapat penjanjian persefahaman (MoU) antara Umno dengan Parti Komunis China yang mengadakan pertukaran lawatan antara pemuda parti masing-masing," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang akan mengadakan program Jejak Pejuang Kemerdekaan yang akan menemui dan mengumpulkan balik pahlawan-pahlawan Melayu yang pernah menentang penjajah Inggeris pada zaman masing-masing.


Ratus Juta Dibazirkan Untuk Sambutan Merdeka Selama 54 Tahun

Posted: 13 Sep 2011 05:58 AM PDT

Sambut merdeka hanya sia sia. kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR 13 SEPT : Sambutan Hari Kemerdekaan selama 54 tahun ternyata sia- sia jika benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah, seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa hakikat kehadiran British di Malaya adalah kerana mereka bertindak seperti penjajah sekali gus bersetuju dengan kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British, tetapi menegaskan hakikatnya, sultan-sultan akhirnya bertindak mengikut arahan British.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan Mahathir itu juga disifatkan hanya mahu mempertahankan MPN sekali gus sebagai cubaan meyakinkan rakyat yang semakin keliru dengan sejarah tanah melayu.


"Andaian itu adalah cubaan mereka (Umno) untuk lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah. Sekirannya itu andaian mereka, sambutan hari kemerdekaan adalah sambutan yang main-main selama ini," katanya ketika ditemui diluar perkarangan Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES), hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. Apa yang kita lakukan adalah sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke mari dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.
"Seperti di Pulau Pinang, kita dibayar supaya memberikan mereka stesen untuk berdagang... Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka beroperasi seolah-olah kita dijajah.
Jumaat lalu, Zainal berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemerintahan British sebelum ini hanya bertindak sebagai Perdana Menteri yang menasihat Sultan.

"Ia hanyalah andaian Tun Dr mahathir, seperti negara kita hari ini, Yang Dipertuan Agung adalah pemerintah dan penasihatnya adalah Perdana Menteri, tetapi yang menjalankan tugas eksekutif adalah Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agung adalah penaung, begitu jugalah situasinya pada zaman dahulu, apabila British bertindak sebagai penasihat jadi mereka adalah pemerintah kepada negara kita dahulu." kata beliau.

Katanya lagi, kenyataan Mahthir itu bukan sahaja mengelirukan malah ia memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ekoran keliru dengan fakta dan kesahihan teks pelajaran mereka.

"Situasi ini amat mengelirukan, saya cadangkan agar peperiksaan SPM dan lain-lain ditangguh supaya sejarah dikaji semula kerana pelajar menjadi keliru apabila profesor-profesor yang pakar dalam sejarah kononnya memberi pandangan bertentangan dengan apa yang ada dalam teks pelajaran mereka," jelasnya.

sumber disini


Muhyiddin Mengaku Tak Tahu Sejarah Negara Dan Tak Mahu Debat

Posted: 13 Sep 2011 02:28 AM PDT

Muhyiddin tidak akan berdebat dengan Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa individu yang layak berdebat dengan Mohamad Sabu adalah pakar-pakar sejarah dan bukannya beliau.
Ditanya mengenai tindakan saman yang akan dibuat oleh Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekiranya beliau enggan menyahut cabarannya, Muhyiddin berkata: "Tak apalah, saya tunggulah dia saman saya."

Muhyiddin, yang sebelum itu menghadiri majlis Tawaran Baru kepada Pengetua (Sekolah Menengah) dan Guru Besar (Sekolah Rendah) Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini berkata, Mat Sabu tidak seharusnya memutarbelitkan fakta sejarah demi mengejar cita-cita politiknya kerana sejarah tidak ada kena mengena dengan politik dan apa yang dibangkitkannya boleh memporak-perandakan negara.


"Mat Sabu sebagai seorang pemimpin politik seharusnya menarik balik kenyataannya bahawa pengganas komunis adalah hero sebenar dalam tragedi Bukit Kepong dan meminta maaf secara terbuka," katanya.

Mengenai majlis makan malam beliau bersama Setiausaha Agung Parti Komunis Republik China, Sun Zhenglai malam ini, Muhyiddin berkata, hubungan diplomatik Malaysia dengan China adalah baik dan Malaysia menghormati pandangan ideologi negara itu.

"Malaysia tidak mengkritik China kerana berfahaman komunis tetapi mengutuk tindakan kejam pengganas komunis sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu.

"Hubungan dua hala Malaysia dan China adalah penting kerana negara itu menjalinkan hubungan dalam sektor perniagaan, dalam perdagangan, perindustrian dan pelbagai sektor lain," katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya pun turut menjalin hubungan diplomatik dengan China.

"Maka kita perlu pragmatik dalam perkara ini dan tidak menimbulkan isu politik mengenainya," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan: