Blog-list Malaysia |
- Zainal Keling Dan Prof. Kangkung Cuba Ubah Sejarah
- Harakahdaily disoal polis isu Mat Indera
- Isu dijajah: Umno dan penyokong dibayangi sindrom penafian, kata pakar
- Soalan Untuk UMNO - Mana Komunis Baik Dan Mana Komunis Bahaya?
- Sila Jawab Mahathir..
- PAS bidas ‘bomoh Umno’ kelirukan rakyat, ahli sendiri
- PKIPM dakwa Majlis Profesor ‘iktiraf’ British, mahu kenyataan ditarik balik
Zainal Keling Dan Prof. Kangkung Cuba Ubah Sejarah Posted: 13 Sep 2011 01:30 AM PDT Kenyataan Profesor Zainal Kling bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British telah menimbulkan pelbagai polemik baru. Kenyataan Zainal setaraf sahaja dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tiba-tiba menukar kenyataannya kepada Mat Indera adalah komunis. Sedangkan, melalui buku 'Pengukir Nama Johor' yang diterbitkan pada tahun 2004 oleh Yayasan Warisan Johor, Mat Indera dinobatkan sebagai salah seorang hero Johor. Buku itu merekodkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis. Namun kerana Umno sudah berpendirian Mat Indera adalah komunis dan bukannya pejuang kemerdekaan, Abdul Ghani terpaksa menukar kenyataan kepada Mat Indera adalah komunis. Semuanya mahu mengesahkan bahawa Umno sentiasa tidak salah walaupun Ghani terpaksa menukar balik kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya sebelum ini. Namun nampaknya pegangan Mat Indera adalah komunis tidaklah sekejap mana, mungkin kerana ia banyak bertentangan dengan fakta sejarah. Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia (gambar) di muka depannya mencatatkan Mat Indera bukan lagi komunis tetapi "lelaki tempatan yang bersekongkol dengan komunis." Kes Zainal Kling pun sama sahaja. Mohamad Sabu mendakwa hero sebenar peristiwa Bukit Kepong adalah Mat Indera bukannya polis yang bertugas di rumah pasong Bukit Kepong itu. Ini kerana, kata Mat Sabu, Mat Indera menyerang rumah pasong British kerana polis ketika itu (tahun 1950) adalah polis British yang sedang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu. Jadi untuk membetulkan versi Umno bahawa polis ketika itu adalah bertugas untuk tanah air, negara dan bangsa, datanglah Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara berkata, negara tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penaung sahaja bukan penjajah. Jika tanah Melayu ketika itu tidak dijajah oleh British maka betullah kata Umno bahawa Mat Sabu telah menghina polis yang berpejuang mempertahankan negara. Inilah cerita yang cuba hendak diberikan kepada rakyat negara ini. Komen Husam Saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam. Bagi Husam, kerajaan khasnya Menteri Pelajaran perlu menarik balik semua buku sejarah di sekolah-sekolah di negara ini jika benar kenyataan yang dibuat oleh Profesor Zainal Kling, negara ini tidak pernah dijajah. "Saya mahu Umno termasuk perdana menteri, timbalan dan khasnya Menteri Pelajaran membuat pendirian, apakah sikap mereka terhadap kenyataan itu. "Jika benar kenyataan itu, semua buku teks sekolah perlu ditulis semula," kata Husam kepada wartawan Harakahdaily. (Lihat video di sini). Beliau mengulas kenyataan Zainal Kling yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi sahaja. Bagi Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu kerana dia ahli Umno. Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara. "Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa. "Prof Zainal kena bertaubat dan jangan melampau dengan memutar belitkan fakta sejarah," kata Husam. Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka. Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah. Bagi Husam, jika kita menganggap orang puteh adalah rakan kita yang sama-sama mentadbir negara ini, ia satu usaha untuk merombak dokumen sejarah. Ini kerana, bagi orang puteh, Tanah Melayu adalah sebahagian dari negara koloni mereka. Jika kita bersetuju dengan kenyataan itu, kata Husam, kita juga kena berkata bahawa JWW Birch, residen British yang dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak adalah rakan kita juga bukannya penjajah. "Orang puteh ini pandai, mereka tidak buang raja tetapi mengaut semua harta negara kita. Kalau mereka buang raja, sudah tentu rakyat negara ini memberontak dan menghalau mereka," kata Husam. Inilah kisahnya dan lihatlah dari perspektif yang betul agar kita tidak tertipu oleh sejarah kerana ada yang berkata "yang menang menulis sejarah, yang kalah menulis pusi". |
Harakahdaily disoal polis isu Mat Indera Posted: 12 Sep 2011 09:51 PM PDT Polis menyoal siasat tiga wartawan akhbar web PAS Harakahdaily berhubung penyiaran sebuah artikel berhubung laporannya mengenai tokoh kontroversi Mat Indera. Ketua pengarangnya Zulkifli Sulong berkata, sehingga 11.55 pagi, Pengarang Azmi Yusof (bawah) dan Pengarang Berita Mohd Nazri Abdullah masih disoal siasat dua pegawai polis daripada ibu pejabat daerah (IPD) Sentul. "Saya sendiri akan disiasat selepas ini. Sekarang masih menunggu giliran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi. Menurutnya, artikel yang disiasat disiarkan dalam web itu pada 5 Ogos. Beliau bagaimanapun tidak ingat judulnya. Artikel itu antaranya mengulas buku keluaran Yayasan Warisan Johor (YWJ) Pengukir Nama Johor yang dipetik Timbalan Presidenn PAS Mohamad Sabu bagi mempertahankan dakwaan bahawa Mat Indera wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong. Polis tiba di ibu pejabat Harakahdaily di Jalan Pahang di ibu negara kira-kira jam 11 pagi tadi, kata Zulkifli. |
Isu dijajah: Umno dan penyokong dibayangi sindrom penafian, kata pakar Posted: 12 Sep 2011 06:06 PM PDT KUALA LUMPUR, 13 Sept ─ Umno dan penyokongnya berada dalam sindrom penafian apabila mengetepikan kenyataan sendiri bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh kuasa asing termasuk British, kata pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari. Merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri semalam, Aziz berkata, "tapi apa yang berlaku beberapa hari ini menunjukkan Umno dan juak-juak mereka tidak berprinsip; mereka berdolak-dalik. Sekejap begitu, sekejap begini." "Semua orang Umno dan para penyokong mereka benar-benar dalam sindrom penafian. Nafi kenyataan dan nafi apa yang mereka sendiri pernah katakan," kata beliau. Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu. Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah "kita dijajah." "Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. "Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah," kata beliau. "Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan," kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat. Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British. Kenyataan itu yang menyusul pandangan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengundang kontroversi baru sementara menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, "fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British)." "Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," kata beliau. Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Penelitian ucapan beberapa perdana menteri dan juga tulisan mereka menunjukkan negara ini dijajah oleh British dan beberapa kuasa Eropah yang lain. Antara lain, dalam ucapan ketika upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj antara lain berkata, "... hari ini satu bab baru dibuka dalam hubungan kita dengan Britai; status kolonial kita telah diberikan tempat sama rata yang penuh..." Memoir terbaru Dr Mahathir berjudul "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" juga menyenaraikan perkataan kolonial atau penjajahan beberapa kali. Maklumat yang diperoleh dari laman web pertubuhan Komanwel pula menyebut, "menerusi siri perjanjian antara 1983 dan 1930, pentadbir-pentadbir kolonial British menguasai hal ehwal luar sembilan kesultanan Melayu di Semenanjung. In 1896 the Federated Malay Sates (Selangor, Negeri Sembilan, Perak and Pahang) came into existence, with Kuala Lumpur as the capital. The sultanates of northern Borneo ─ Brunei, Sabah and Sarawak ─ also became British protectorates. Laman itu juga menyebut, "reaksi ke atas pemerintahan kolonial bermula awa abad ke-20." Dr Mahathir ketika membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 juga menyebut soal British dan penjajahan. Kata Dr Mahathir, "sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British." "Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh. "Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali," kata bekas perdana menteru keempat ini. Dalam ucapannya itu, beliau juga dipetik berkata, "Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan. Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat." Mengulas lanjut, kata Aziz, "dalam isu ini yang jadi punca Umno melatah dan defensif ialah (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) Mat Sabu." "Sedangkan isu pokok yang Mat Sabu timbulkan ialah soal sambutan kemerdekaan yang sudah jadi sambutan Umno dan bukan sambutan nasional, rakyat. "Umno terjerat dan tak boleh jawab, dan buat isu lain seperti Mat Sabu sokong komunis dan lain-lain," kata beliau sambil menambah, dalam proses penafian itu Umno tergamak menuduh Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera sebagai komunis tanpa bukti. Kemunculan Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 menjadi isu apabila nama itu dibangkitkan oleh Mohamad dalam ucapannya di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu. |
Soalan Untuk UMNO - Mana Komunis Baik Dan Mana Komunis Bahaya? Posted: 12 Sep 2011 08:04 AM PDT KUALA LUMPUR, 12 Sept: Sesiapa yang nak mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan mana-mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya. Itu adalah sindiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang menyebut "komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu." "Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka," Najib dipetik sebagai berkata. Ironinya, kenyataan Najib datang pada masa terbongkarnya fakta bahawa Umno baru-baru ini telah mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011 dan pada masa yang sama, melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu atas dakwaan menyokong komunis. Jika mengikut logik Najib, sindir Tuan Ibrahim, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara. "Sekiranya rakyat mengikut logik PM yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara," kata beliau secara sinis, sambil menambah mungkin itulah sebab utama mengapa Najib sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia. Dalam kenyataannya juga, Tuan Ibrahim juga berkata tindakan Umno dalam permainan politik komunis telah melondehkan hipokrisi parti Melayu tersebut untuk dilihat rakyat jelata. "Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bilamana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM (Parti Sosialis Malaysia) dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis. Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri? Sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Akta Ordinan Darurat," soal beliau. 6 tahanan PSM - ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25 telah ditahan selama 28 hari di bawah Akta Ordinan Darurat atas alasan kononnya cuba menghidupkan semula fahaman komunis. sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai 9. Kesemua mereka dibebaskan pada 30 Julai yang lalu. Segala tindak-tanduk ini, kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggambarkan seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain "asalkan bukan Umno", maka komunis itu komunis jahat. Dalam isu kenyataan status negara sama ada pernah dijajah ataupun tidak, Tuan Ibrahim secara sinis berkata persoalan ini rasanya hanya boleh dijawab secara tepat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kemelut samada negara pernah dijajah ataupun tidak, ditimbulkan oleh sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling kelmarin yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British. Setelah menerima sindiran dan kritikan pelbagai pihak, Zainal akhirnya mendapat satu sokongan yang amat kuat daripada Mahathir hari ini, yang mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu. Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah "kita dijajah." "Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini. Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah," kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider. "Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong," bidas Tuan Ibrahim secara sinis. Jika mengikut logik MPN, kata beliau, maka ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu. "Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak. Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi - segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram. Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai," sindir beliau lagi. |
Posted: 12 Sep 2011 07:00 AM PDT Soalan Pemuda PAS Untuk Mahathir SHAH ALAM 12 SEPT : Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan para sarjana sejarah didesak memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau bahawa British tidak menjajah Tanah Melayu sebaliknya 'dijemput' Sultan Melayu ke negara ini. Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kayat menyatakan pelbagai kekeliruan telah timbul berikutan tindakan Mahathir yang mempertahankan kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) melalui jurucakapnya Prof. Zainal Kling, kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah. "Penjelasan itu dapat menjawab pelbagai persoalan yang kita ada. Sebab itu kita nak penjelasan. Hakikatnya siapa yang memerintah, British atau Sultan ? Peristiwa Tok Janggut bagaimana ? Tok Janggut penderhaka atau pejuang? Selepas isu Mat Indera, kemerdekaan dan sebagainya barulah isu ini timbul. Sejak 1948 hingga 1957, masih banyak lagi perkara yang tak dapat konsensus sejarawan dan sarjana- sarjana negara kita," kata Suhaizan kepada TV Selangor hari ini. Pagi tadi, Mahathir telah menyatakan bahawa secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini. Persolan yang dikemukakan Pemuda PAS ialah :- 1. Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957 ? Sultan atau British. 2. Apakah rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh kepada pemintah pada masa tersebut? 3. Apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Baharu pada tahun 1915 ? 4. Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut? 5. Apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 hb Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda Sultan? 6. Apakah salah kita menanggap UMNO sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan? Dalam pada itu, Suhaizan turut menyelar sikap Kerajaan yang seolah bersikap dingin dan tiada perancangan jangka panjang dalam beberapa isu besar. Beliau menyatakan sikap "Seperti Pahat dengan Penukul" ini perlu diubah agar negara tidak dilihat sebagai negara 'ad hoc' yang hanya mengambil kira isu tertentu setelah ia kecoh di kalangan rakyat. "Saya khuatir semua jadi ad-hoc comitee sahaja. Bila sentuh SPR baru nak baiki, bila sentuh sejarah, baru nak baiki. Jadi macam tak ada pelan jangka panjang. Patutnya kerajaan yang stabil ada pelan jangka panjang, banyak kajian harus dilakukan. baru orang tak panggil negara ad- hoc commitee," kata beliau Suhaizan turut menyatakan media sepatutnya memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat dalam masyarakat untuk meransang daya fikir rakyat negara ini terutamanya dalam isu besar seperti ini. Dalam media ni benda remeh selalu masuk. Contohnya untuk sejarah ni, perbanyakkan filem mengenai sejarah. Tak ada filem mengenai Tok Janggut atau Burhanuddin Helmi misalnya. Media kita khususnya media Melayu tak mendidik rakyat untuk cerdik dan berfikir di negara ini. |
PAS bidas ‘bomoh Umno’ kelirukan rakyat, ahli sendiri Posted: 12 Sep 2011 06:01 AM PDT KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sambil membidas "bomoh Umno" nampaknya menentukan bahaya atau tidak seseorang, PAS berkata, rakyat dan ahli Umno sendiri bertambah keliru dengan percaturan politik pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu. "Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini. Kata beliau, apabila terbongkarnya fakta bahawa parti Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (PKM) dengan menandatangani perjanjian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa "komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu." "Jika kita mengikut logik Perdana Menteri, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara. "Sekiranya rakyat mengikut logik Perdana Menteri yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. Tuan Ibrahim juga membidas kepimpinan Umno-BN dengan berkata, mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia. "Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin (Parti Sosialis Malaysia) PSM dalam Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis. "Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?" kata Tuan Ibrahim. Justeru soal beliau, sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat? "Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain asalkan bukan Umno, maka komunis itu komunis jahat. "Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya," katanya lagi. Beliau seterusnya berhujah, "kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (MPN) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong," tambah beliau. Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata bila mana MPN membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu. "Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak. "Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi – segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram," kata beliau. |
PKIPM dakwa Majlis Profesor ‘iktiraf’ British, mahu kenyataan ditarik balik Posted: 12 Sep 2011 05:06 AM PDT KUALA LUMPUR, 12 Sept — Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIPM) menggesa Majlis Profesor Negara (MPN) menarik balik kenyataan pihaknya minggu lalu bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British dan ia seolah-olah mengiktiraf kehadiran kuasa itu di Tanah Melayu. Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya berpandangan kenyataan akhbar MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah dan wajar ditarik balik. "Amatlah malang bagi negara ini sekiranya para ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah. "Sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses-proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi sepertimana lazimnya dilaksanakan oleh para ilmuwan dan pengkaji sejarah yang berwibawa," kata beliau sambil menambah, "justeru, mewakili golongan pelajar dan mahasiswa di Malaysia, PKPIM menuntut MPN untuk menarik balik kenyataan yang mengelirukan ini." Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ahmad Fahmi berkata, PKPIM juga meminta semua pihak termasuklah ahli politik supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang melibatkan fakta dan sejarah. "Dalam kemeriahan semua pihak untuk menjuarai isu membincangkan tema sejarah tanah air yang pada dasarnya dilihat amat positif dalam proses pemahaman asas-asas kenegaraan, mereka juga harus bertanggungjawab di atas kenyataan yang dikeluarkan sekiranya menimbulkan keraguaan dan kekeliruan kepada masyarakat. "Justeru, PKPIM mengingatkan kepada mereka yang berkenaan agar merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar dan berdasarkan sumber yang sahih dan tidak mengeluarkan kenyataan melulu dan songsang yang boleh menimbulkan polemik dan masalah runcitan," katanya lagi. Ahmad Fahmi menambah, PKPIM mempersoalkan kesimpulan MPN menerusi kenyataan akhbarnya tentang Tanah Melayu yang tidak pernah dijajah oleh British. Kenyataan akhbar tersebut dibuat oleh Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudanya, Prof. Datuk Zainal Kling pada sidang akhbar bersama Pengerusi MPN, Prof Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan anggota-anggota jawatankuasa MPN pada 9 September lalu. "Majlis Profesor Negara menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, hanya dilindungi Inggeris dengan meletakkan negeri-negeri Melayu itu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan melalui penguasaan undang-undang Inggeris, pentadbiran bercorak Inggeris, dan ekonomi kapitalis cara Inggeris. "Dalam kata lain, MPN berkesimpulan bahawa dasar 'protectorate' yang diamalkan Inggeris terhadap Tanah Melayu dengan meletakkan residen dan penasihat di negeri-negeri Melayu sebagai satu tujuan murni untuk melindungi dan membantu Tanah Melayu dan pemerintah Melayu untuk memerintah tanah air mereka," kata beliau lagi. Ahmad Fahmi menambah, PKPIM juga mempersoalkan kenyataan MPN yang mendakwa dasar 'protectorate' Inggeris sebagai tidak mencabuli kedaulatan negeri-negeri Tanah Melayu. Jelas beliau, PKPIM merasakan kenyataan MPN sebagai keliru dan tidak objektif apabila majlis itu dilihat gagal memberi tafsiran yang lengkap dan memuaskan tentang konsep "kedaulatan negara." "Ini jelas dalam kenyataannya yang mendakwa bahawa walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain, tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara. "Malah, tesis baru MPN ini kelihatan seolah-olah mengiktiraf kerajaan kolonial Inggeris sebagai wira pelindung Tanah Melayu dan menafikan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan tanah air sendiri daripada kerajaan kolonial Inggeris yang memang dikenali dunia sebagai antara kuasa besar penjajah ketika itu," katanya lagi. Sehubungan itu kata beliau, PKPIM sangat bersetuju dengan Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan dalam karya ilmiah terbaru beliau berjudul "Historical Fact and Fiction" bahawa fakta sejarah seharusnya diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira nilai-nilai dan saling kaitan antara fakta sejarah sehingga membentuk satu rangkaian kesimpulan yang bermakna. "PKPIM juga meyakini seseorang sejarawan bukan sekadar mampu mengutip fakta-fakta sejarah tetapi juga harus punya kekuatan akliyah bagi mentafsir bahan sejarah dengan mendalam dan tepat. "PKPIM berpandangan kenyataan akhbar yang dibuat MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah. Amatlah malang bagi negara ini sekiranya para ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah," kata beliau yang turut menegaskan bahawa, "sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses-proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi sepertimana lazimnya dilaksanakan oleh para ilmuwan dan pengkaji sejarah yang berwibawa." -TMI |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan