Blog-list Malaysia |
- Komunis Ugut Isteri Dan Anak Mat Sabu
- Bayaran Untuk Taik Akan Dinaikkan..
- Keluarga Mat Indera: Kami kecewa dengan MB Johor
- Iktiraf pejuang kemerdekaan tanpa pinggir mana-mana pihak – Aziz Bari
- Burhanuddin ‘lebih popular’ banding Onn Jaafar dan Tunku
- Tunku Tak Layak.. Burhanuddin Helmy Bapa Kemerdekaan Sebenar
- Antara profesor kangkung dan 'kongkang'
- Prof Dr Aziz Bari beri amaran kepada ATM tidak jadi macam Polis!
- Mat Indera Penganas Yang Kejam Dan Zalim - MB Johor
- MB Kedah: Khairy tak layak debat dengan Mat Sabu
Komunis Ugut Isteri Dan Anak Mat Sabu Posted: 08 Sep 2011 12:51 AM PDT Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa menerima SMS ugutan yang mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya. Katanya, kiriman SMS itu diterima semalam dan beberapa hari lalu daripada individu yang tidak dikenali. Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya. Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguam terlebih dahulu dengan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin. Turut hadir dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad. |
Bayaran Untuk Taik Akan Dinaikkan.. Posted: 08 Sep 2011 12:03 AM PDT KUALA LUMPUR — Indah Water Konsortium (IWK), syarikat pembetungan nasional, dijangka akan diswastakan dalam waktu terdekat dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat agensi pelaburan strategik 1MDB, demikian menurut sumber-sumber Kementerian Kewangan. Kira-kira 11 tahun lalu kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat itu selepas syarikat terdahulu berhadapan dengan masalah kewangan. Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider, konsortium diketuai oleh 1MDB itu turut membabitkan penyertaan Puncak Niaga dan langkah itu dikatakan telah menerima lampu hijau oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun difahamkan bahawa Kementerian Kewangan sedang meneliti secara mendalam usaha tersebut ekoran soal kebimbangan dan kebolehlaksanaan bahawa kerajaan kemungkinan terpaksa berhadapan dengan situasi menyelamatkan syarikat tersebut jika ia gagal sekali lagi. IWK kini merupakan syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan. Pada 1994, kerajaan pusat telah menganugerahkan konsesi kepada syarikat untuk mengambil alih perkhidmatan pembetungan seluruh negara. Sejak itu, IWK telah mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua pihak berkuasa tempatan kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak dan Majlis Perbandaran Johor Baru. Di bawah cadangan itu, konsortium 1MDB akan memperoleh IWK dengan bayaran RM1 dan mengambil alih kesemua hutangnya termasuk pinjaman lebih RM1.5 bilion yang ia perlu selesaikan kepada Kementerian Kewangan. Konsortium itu mahukan konsesi selama 60 tahun. Ia juga mempunyai rancangan untuk mengaitkan caj-caj pembetungan dengan bil air. Rancangan itu boleh mencetuskan kontroversi pusingan baru ekoran kurangnya ketelusan berkaitan perundingan itu, dengan pengguna bimbang mengenai perjanjian membabitkan IWK. Sejak dari hari pertama, IWK berhadapan dengan masalah menyakinkan rakyat yang skeptikal untuk membayar bil berasingan, yang sebelum itu diselesaikan bersama bil air. Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan. Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta. Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama sebab membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya. |
Keluarga Mat Indera: Kami kecewa dengan MB Johor Posted: 07 Sep 2011 09:29 PM PDT KUALA LUMPUR, 8 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, berkata pihaknya kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam yang mendakwa dia bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim. Bagaimanapun keluarga itu menegaskan, mereka tidak berputus asa dalam pendirian mereka mahukan kerajaan membersihkan nama Mat Indera. "Saya kecewa dengan apa yang dikatakan (oleh Menteri Besar Johor), tetapi kami tidak akan berundur daripada mendesak kerajaan membersihkan nama abang kami," kata adik Mat Indera, Baharom Shah, kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada forum bertajuk "Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, malam tadi. "Itu pandangan beliau. Usaha kami, kami akan terus desak, kami mahu nama Mat Indera dibersihkan," kata bekas kakitangan Kementerian Pertahanan ini. Semalam, Ghani memberitahu pemberita di Johor Baru bahawa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen Ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu. "Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf dan PKM telah diharamkan "Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno)," katanya. Ghani menambah, "bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British." Pendirian Ghani itu diulangi menerusi rencana khas beliau yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini. Pada satu sidang media tengah hari ini semalam di ibu negara, Baharom berkata, keluarganya mahu kerajaan membersihkan nama Mat Indera agar tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan. Baharom berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan. "Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar. "Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula," katanya yang turut berpegang pada kandungan buku "Pengukir Nama Johor", yang prakatanya disampaikan oleh Ghani sendiri. Justeru kata beliau, "saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya." Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang menggerakkan usaha membantu keluarga Mat Indera pula berkata, Ghani tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan buku tersebut sendiri dikeluarkan oleh kerajaan negeri. "Pada pandangan kami, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sendiri, sebaliknya terima kandungan buku itu dan mengadakan satu debat mengenai hasil penemuaan, bukan terus kata Mat Indera sebagai komunis," katanya sambil menambah, pihaknya akan mengambil tindakan susulan untuk membetulkan fakta sejarah membabitkan Mat Indera. Buku itu diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. The Malaysia Insider |
Iktiraf pejuang kemerdekaan tanpa pinggir mana-mana pihak – Aziz Bari Posted: 07 Sep 2011 08:31 PM PDT KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari meminta fakta sejarah disusun semula bagi mengiktiraf semua pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah, tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Kata beliau, sejarah tidak perlu ditulis semula, sebaliknya kerajaan harus memberikan kebebasan kepada ilmuan sejarah untuk mengemukakan pandangan mereka dari pelbagai perspektif. "Tidak perlu (ditulis semula), Sebab, kerajaan persekutuan yang baru selepas ini, (mesti) memberi kebebasan kepada setiap pakar sejarah mengemukakan pandangan dan hujah masing-masing. "Dengan itu, fakta sebenar sejarah akan disusun semula termasuk mengiktiraf semua pejuang negara tanpa meminggir mana-mana pihak," kata beliau pada forum Mat Indera: 'Pengkhianat atau pejuang' yang dianjurkan oleh Free Public Forum di Kuala Lumpur malam tadi. Dua lagi ahli panel yang turut serta dalam forum berkenaan ialah Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan aktivis sosial, Hishammuddin Rais dan . Menurut Aziz, berbeza di bawah pentadbiran Umno-BN pada masa ini, sejarah ditulis untuk kepentingan politik dan bersifat berat sebelah. Sementara itu, Mat Sabu yang turut bersetuju dengan pandangan itu berkata, ia menjadi punca rakyat Malaysia tidak bersemangat mengibar jalur gemilang setiap kali sambutan perayaan kemerdekaan pada 31 Ogos. Ini kerana katanya, hanya individu tertentu sahaja yang dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan oleh Umno-Barisan Nasional. "Sepatutnya, kerajaan bersikap adil dengan turut memaparkan nama pejuang lain termasuk Dr Burhanuddin Helmi (pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya dan Pas), Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Salleh, Rentap kerana mereka juga merupakan pejuang. "Malah ada antara mereka mati ditali gantung kerana menentang perjuangan British," katanya. Sementara itu Hishamuddin Rais pula berkata, pentadbiran Umno enggan mengisahkan nama pejuang kemerdekaan lain kerana bimbang 'rahsia' mereka terbongkar. "Kalaulah Umno jujur, apa jadi? Rahsia sebenar bahawa bukan mereka yang bermandi darah memperjuang kemerdekaan (terbongkar). "Buktinya, apabila isu Mat Indera dicanang Utusan, rakyat semakin terdedah bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam sejarah negara," katanya lagi. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19932 |
Burhanuddin ‘lebih popular’ banding Onn Jaafar dan Tunku Posted: 07 Sep 2011 07:20 PM PDT KUALA LUMPUR, 8 Sept — Mohamad Sabu yang berhadapan dengan siri kritikan sejak dua minggu lalu menimbulkan beberapa persoalan baru mengenai fakta kemerdekaan malam tadi, antara lain menekankan bahawa Burhanuddin al-Helmy sudah pasti menjadi pilihan rakyat sebagai pemimpin mereka jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan. Timbalan Presiden PAS (gambar) berkata Burhanuddin yang dilahirkan di Kota Baru dan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih diterima berbanding Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar sendiri. Onn menubuhkan Umno dan beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Bapa Kemerdekaan dan perdana menteri yang pertama. "Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin," kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi. ". . . beliau telah disumbat (dimasukkan ke dalam penjara . . . Ahmad Boestamam (sekali) . . . kalau diadakan referendum, (rakyat) akan pilih Burhanuddin," kata beliau sambil menambah, dari awal lagi kesemua pertubuhan dan organisasi telah diharamkan kecuali Umno oleh British semasa mengisytiharkan Darurat. Darurat diisytiharkan pada 1948 dan berlarutan sehingga 1960. "Jadi, dia (Umno) sahaja yang tinggal," katanya yang menimbulkan bahawa tiada persaingan politik ketika itu. Dua anggota panel forum malam tadi lain ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais. Adik Mat Indera, Baharom Shah Indera juga hadir sebagai tetamu khas pada forum itu. Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan "kesatuan politik" Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya. Kepimpinan PAS berpindah tangan kepada Burhanuddin pada 1956. Beliau digambarkan sebagai seorang "nasionalis radikal dan pemikir Islam" dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965. Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959. Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara. Gurney, pesuruhjaya tinggi British ditembak mati pada 6 Oktober 1951 di Bukit Frazer dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat. "Chin Peng (yang mengetuai PKM) yang membunuh Henry Gurney . . . jadi antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa pejuang dan pengkhianat? Saya tak mahu cakap, anda fikir sendirilah... kalau saya cakap kan, nanti mereka kata (saya penyokong komunis) . . . ," kata beliau yang kini berhadapan dengan siasatan polis berhubung kenyataannya tentang tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu. Semalam, polis Pulau Pinang berkata pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara. Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan. Mohamad turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga kelmarin sebanyak 266 laporan polis terhadap Mohamad telah diterima di seluruh negara. Mohamad yang lebih dikenali "Mat Sabu" mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950. Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya. Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010. Malah kata beliau ucapannya mengenai Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad Indera itu juga disokong oleh buku dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan judul "Pengukir Nama Johor". |
Tunku Tak Layak.. Burhanuddin Helmy Bapa Kemerdekaan Sebenar Posted: 07 Sep 2011 06:26 PM PDT Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sekali lagi mencetuskan kontroversi berkenaan Sejarah Kemerdekaan negara dengan mendakwa Tunku Abdul Rahman sudah pasti akan ditolak rakyat jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan bersama pihak British. Akan tetapi, rakyat Tanah Melayu ada ketika itu akan memilih Burhanuddin Al Helmy untuk memimpin ke arah Kemerdekaan. "Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, rakyat pilih Burhanuddin," kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi. Mat Sabu mendakwa ramai yang tidak mengetahui pada awal kebangkitan era kemerdekaan rakyat lebih menerima Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Burhanuddin berbanding parti-parti lain. Akan tetapi, pihak British telah mengharamkan kesemua pertubuhan kecuali UMNO setelah kebangkitan rakyat menuntut kemerdekaan kian memuncak. Maka kata Mat Sabu, UMNO telah dipilih kerana tiada persaingan parti yang mewakili Melayu sebelum ini. PAS telah ditubuhkan selepas pengharaman tersebut. Mat Sabu turut menjulang Burhanuddin Helmy dan Ahmad Boestamam sebagai pejuang sebenar kemerdekaan kerana sanggup dipenjarakan demi memperjuangkan hak orang-orang Melayu sebagai masyarakat peribumi pada ketika itu. Burhanudin Al Helmy juga merupakan Yang Di Pertua (kini Presiden) PAS yang pertama ditubuhkan pada 1956 selepas pengharaman PKMM. Selain Mat Sabu, turut tampil sebagai ahli panel pada majlis malam tadi adalah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais. - klpos |
Antara profesor kangkung dan 'kongkang' Posted: 07 Sep 2011 04:57 PM PDT Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim diselar lagi, kali ini oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sendiri apabila sejarahwan terkenal itu membangkitkan soal asal usul tokoh kontroversi kemerdekaan Mat Indera. Mohamad berkata, dalam membincangkan soal sejarah kemerdekaan, tidak perlu membangkitkan asal usul seseorang seperti kerana perkara itu "tidak elok". "Asal usul ini tak payah sebutlah. Yang bercakap itu (Khoo) pun asal mana? Tak eloklah. "Bila duduk sini kita anggap semua rakyat Malaysialah," kata Mohamad. Semalam, PAS Johor juga mempersoalkan kenyataan Khoo, antaranya yang didakwa menolak kajian ahli akademik lain berkenaan peristiwa Bukit Kepong dan Mat Indera tanpa menghasilkan kajian sendiri, dengan menganggap lelaki itu pengganas. Khoo (kanan) sebelum ini dilaporkan mendakwa Mat Indera bukan pejuang kemerdekaan, menyokong gerakan komunis yang cuba mewujudkan orde baru dunia berdasarkan fahaman itu dan bukan anak tempatan. Sebaliknya, menurut Khoo, Mat Indera berasal dari Indonesia dan bukan rakyat jajahan takluk kesultanan Melayu. Adik Mat Indera – Baharum Shah – bagaimanapun semalam tampil dalam sidang media Pemuda PAS Johor menafikan dakwaan itu. Membahaskan isu yang sedang hangat itu, Khoo berpendapat bahawa sejarah diputar belit oleh ahli politik dari "kedua-dua belah gabungan politik" dan mereka sebenarnya tidak memahami sejarah. Sementara itu, aktivis gerakan mahasiswa sekitar 1970-an Hishamudin Rais berkata, pendirian Khoo yang "tidak sana dan tidak sini" dilihatnya sejak tahun 1974 apabila menuntut jurusan sejarah di fakulti tempat Khoo mengajar di Universiti Malaya (UM). Katanya, ketika beliau menganjurkan forum membincangkan gerakan rakyat Vietnam melawan Amerika Syarikat, dua lagi pemforum dikenakan tindakan keras – termasuk seorang profesor Amerika Syarikat dihantar pulang – Khoo tidak dikenakan sebarang tindakan. "Sejak dulu lagi dia tidak sana, tidak sini. Tarik balik gelaran profesornya. Kalau di luar Malaysia sudah sudah lama dipecat. "Tetapi di Malaysia profesor kangkung dan 'kongkang' terus memperbodohkan rakyat," katanya sambil menyifatkan kesalahan sebegitu sebagai "jenayah" dalam akademik. Malaysiakini |
Prof Dr Aziz Bari beri amaran kepada ATM tidak jadi macam Polis! Posted: 07 Sep 2011 07:51 AM PDT Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru tidak mengikut jejak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang membelakangkan undang-undang dalam menuruti telunjuk kerajaan Umno-BN yang memerintah. Demikian komen Profesor Dr. Abdul Aziz Bari (foto kiri) ketika diminta mengulas kenyataan akhbar Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain Khamis lalu. Aziz berkata Panglima ATM itu aneh bila menyebut soal perlunya rakyat setia kepada ATM. Katanya, ATM - sebagaimana juga polis - adalah sebahagian dari perkhidmatan awam. Mereka tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Mereka hanya perlu setia kepada Raja dan negara. Mereka hanya perlu melaksanakan perintah yang sesuai dengan undang-undang. Beliau menjelaskan ATM dibiayai oleh pembayar cukai, dengan itu mereka adalah milik rakyat. "ATM perlu berkhidmat untuk rakyat, bukan mengampu kerajaan hingga ke tahap melanggar undang-undang. Memangkah kertas undi orang lain adalah kesalahan jenayah dan kalau ada yang memerintahkan berbuat demikian ia tidak boleh dipatuhi. Perintah ketua ada batasnya, ia boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa", tegas Aziz. Aziz menjelaskan, rakyat termasuk parti politik, hanya perlu setia kepada negara. "Panglima ATM mengarut bila menyebut soal kesetiaan dan kepercayaan rakyat kepada mereka. Sebagaimana anggota-anggota perkhidmatan awam yang lain ATM juga adalah hamba rakyat. Ajaran mana yang menuntut supaya rakyat setia atau percaya dengan tentera?" soalnya. Beliau memuji keberanian bekas-bekas tentera tampil ke depan dan menyifatkannya tindakan patriotik. "Keberanian itu baru sejajar dengan kedudukan mereka sebagai pahlawan; yakni berani menyatakan kebenaran", ujar Aziz lagi. Katanya Panglima ATM tidak boleh meremehkan pengakuan itu dan cuba menuduh PAS mengambil kesempatan, sebaiknya beliau tutup mulut atau berjanji akan melakukan penyiasatan rapi. "Kenyataan emosional PAT mendedahkan kelemahan intelektualnya; sama seperti KPN dan Timbalan KPN yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bodoh semasa Himpunan Aman Bersih 2.0 bulan lalu", tambah pakar Perlembagaan itu lagi. Aziz berkata Panglima ATM tidak berhak untuk memaksa rakyat percaya dan menerima bulat-bulat apa yang dikatakannya. Sama ada rakyat yakin atau tidak dengan ATM, katanya, adalah beban yang beliau perlu tanggung dan ini bergantung kepada siasatan rapi serta bukti yang jelas. "Dari apa yang didedahkan, jelas ATM khususnya dan kerajaan amnya berada di dalam keadaan yang defensif yakni mereka perlu buktikan yang sebaliknya", tambahnya. Kata Aziz, apa yang didedahkan ini bukanlah hanya sekali dan ia menandakan perlunya keperluan serius kepada reformasi pilihan raya, khususnya undi pos. Tarmizi Mohd Jam |
Mat Indera Penganas Yang Kejam Dan Zalim - MB Johor Posted: 07 Sep 2011 04:50 AM PDT Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim. Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu. "Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. "Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). "Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor hari ini. Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar. Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera. Abdul Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan. Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan. Mengenai buku "Pengukir Nama Johor", Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri. Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan. - Bernama |
MB Kedah: Khairy tak layak debat dengan Mat Sabu Posted: 07 Sep 2011 04:47 AM PDT ALOR SETAR, 7 Sept – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tidak layak untuk berdebat dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong. Beliau (gambar) berkata, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu lebih layak berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana taraf pangkat mereka sama iaitu Timbalan Presiden parti masing-masing. "Siapa Khairy? Ketua Pemuda sahaja, biarlah yang sama tahap berdebat... kalau Khairy berdebat dengan Mat Sabu sama macam pasukan bola sepak Brazil lawan dengan pasukan bola sepak Tokai (sebuah kampung di Kedah). "Sepatutnya beri peluang pada Mat Sabu untuk dia buktikan siapa Mat Indera ini. Malangnya media pun tak beri peluang kepada Mat Sabu untuk jelaskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini. Dipetik Bernama Online, Azizan mengulas kenyataan Khairy yang hanya mahu berdebat dengan Mat Sabu walaupun telah mendapat jemputan Pemuda PAS, yang mencadangkan satu debat antara Khairy dan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan. Semalam, Khairy dalam mesej Twitternya berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Mat Sabu dan bukan dengan orang lain kerana Mat Sabu merupakan penyebab kontroversi masa ini. Azizan berkata, sebelum ini beliau pernah mencadangkan supaya sejarawan berbincang mengenai perkara terbabit dengan Mat Sabu kerana ia melibatkan persepsi sejarah. "Kenapa tidak orang sejarawan duduk berbincang dengan Mat Sabu... kita belajar sejarah untuk tengok ke hadapan, bukan untuk tengok ke belakang. Lagipun sejarah kita tak 'proper recorded', banyak dari 'hearsay' kecuali al-Quran saja yang tetap," katanya. Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dipetik sebagai berkata pengganas komunis yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan