Jumaat, 16 September 2011

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Wabak-wabak dalam organisasi

Posted: 15 Sep 2011 06:56 PM PDT

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN DAN AHMAD TERMIZI MOHAMED

KITA selalu menghalakan tumpuan pada sudut pandang yang kurang tepat apabila melihat sesuatu. Kebanyakan kita melihat sesebuah institusi yang hebat dan gah itu apabila ia mempunyai aset yang besar, keupayaan mendatangkan pulangan yang lumayan, bangunan yang tinggi, kakitangan yang ramai dan nama yang terkenal.

Namun, sebenarnya tidak akan sempurna kehebatan institusi berkenaan tanpa organisasi yang mantap di dalamnya. Membina sebuah institusi yang kukuh dan teguh bukanlah satu perkara yang mudah.

Hakikatnya, membina organisasi yang mempunyai anggota yang bersatu adalah lebih sukar. Sebabnya, membina institusi dari sudut fizikalnya cukup dengan mempunyai dana dan melengkapi prosidur yang ditetapkan.

Sebaliknya, membina organisasi yang mempunyai 'jiwa dan roh' memerlukan kesatuan jiwa dan hati di kalangan anggotanya.

Tuntasnya, hati dan jiwa adalah merupakan komponen diri yang agak seni, tidak mampu dilihat dan disentuh untuk menjalani proses rawatan sekiranya mempunyai penyakit.

Akan tetapi, sekiranya hati anggota organisasi itu bermasalah, maka ia akan menyebabkan wujudnya wabak-wabak dan penyakit-penyakit lain di kalangan mereka.

Sebabnya, apabila wabak hati tidak dirawat, maka Allah SWT akan menambahkan wabak-wabak yang lain dalam hati mereka.

Firman Allah SWT ketika menceritakan perihal orang yang munafik: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). (al-Baqarah: 10).

Inilah cabaran besar kepada pemimpin sesebuah organisasi. Bukan sahaja perlu memastikan anggota organisasinya jelas dengan hala tuju yang disasarkan, bahkan pada waktu yang sama perlu membangunkan hati yang bersih dari sebarang wabak agar dapat mencapai visi dan misi yang disasarkan secara bersama (wehdatul hadaf) melalui gerak kerja secara sepakat (wehdatul amal) yang lahir dari pemikiran yang bersatu (wehdatul fikr).

Justeru, hati memainkan peranan penting dalam membina sesuatu organisasi. Rasulullah SAW mengambil masa lebih kurang 13 tahun di Kota Mekah untuk membina akidah dan hati yang yakin serta mempunyai keimanan yang jitu kepada Allah SWT.

Lalu Baginda SAW dapat melahirkan para sahabat yang mempunyai kesatuan dan perpaduan yang jitu, laksana sebuah bangunan yang berdiri teguh.

Ia sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (as-Saff: 4)

Bayangkan bagaimana Rasulullah SAW boleh menyatukan sahabat-sahabat dari pelbagai latarbelakang sama ada kaya atau miskin, hamba atau merdeka, Arab atau bukan Arab.

Baginda berjaya menyatukan Aus dan Khazraj yang bertelingkah selama beratus tahun. Demikian juga, golongan Muhajirin dan Ansar yang dipisahkan oleh jurang geografi sebelum itu.

Nama-nama sahabat yang hebat seperti Salman Al-Farisi yang berasal dari Parsi, Suhaib Al-Rumi yang berasal dari Rom, Huzaifah Al-Yamani yang datang dari Yaman dapat bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain dalam satu akidah termasuklah Bilal bin Rabah yang merupakan seorang hamba Habsyi.

Mungkin tidak pernah disaksikan berlaku dalam sejarah peradaban manusia dapat menonjolkan kerukunan hidup bermasyarakat sebagaimana yang telah dibangunkan oleh Nabi SAW dan para sahabat r.a.

Dalam konteks syarikat, setiap individu mempunyai posisinya masing-masing. Setiap posisi ini mempunyai tanggungjawab serta peranan yang perlu dilaksanakan dalam menjayakan agenda termasuk visi dan misi yang disasarkan. Setiap posisi juga mempunyai perkaitan di antara satu sama lain.

Kesatuan dalam bekerja

Persoalannya, bagaimana boleh kita wujudkan kesatuan individu-individu yang menjadi warga kerja sedangkan mereka mempunyai latarbelakang yang berlainan serta matlamat berbeza.

Dapatkah mereka membina kesatuan dalam kelainan diri yang ada? Penyelesaian kepada kerangka perbezaan ini mestilah terlebih dahulu bermula dengan hati.

Oleh kerana hati tidak dapat dirawat sebagaimana organ-organ di badan manusia yang lain, maka cara rawatannya mesti dirujuk kepada pencipta kepada hati, iaitu Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)

Antara wabak-wabak hati yang boleh melemah dan merosakkan organisasi yang perlu dihindari oleh setiap anggota dalam organisasi ialah seperti berikut;

* Ego dan sombong

* Riak dan takbur

* Berprasangka negatif

* Cemburu dan iri hati

* Suka mencari kelemahan orang lain

* Kedekut dan tidak suka berkongsi

* Mementingkan diri sendiri

* Suka kepada pujian

Insya-Allah, tulisan-tulisan kami akan datang akan memperincikan wabak-wabak ini dan penawarnya yang telah disediakan oleh Allah SWT sebagai pedoman untuk kita bersama.

Mudah-mudahan ia akan menjadi sebuah muhasabah untuk kita membetulkan diri dari semasa ke semasa bagi membangunkan organisasi kita masing-masing.

Tiada ulasan: