Jumaat, 30 September 2011

Addin

Addin


Blogger Tunisia, Mesir dan Pengasas Wikileaks Antara Calon Hadiah Nobel Untuk Tahun Ini

Posted: 30 Sep 2011 06:00 AM PDT


OSLO - Aktivis yang membantu mencetuskan gelombang revolusi di Timur Tengah dan Afrika Utara semasa kebangkitan rakyat di rantau itu mungkin akan dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan tahun ini. Bekas Timbalan Menteri Luar Norway, Jan Egeland berkata, beliau yakin jawatankuasa Nobel tahun ini mahu menyentuh isu antarabangsa terbesar yang menepati definisi keamanan lebih luas. "Secara logiknya, anugerah Nobel mungkin diberikan kepada revolusi Arab kerana tiada detik lain yang lebih penting berlaku dalam tempoh itu," katanya merujuk kepada tunjuk perasaan dan demonstrasi besar-besaran di Timur Tengah yang berjaya menggulingkan beberapa pemimpin kuku besi.


Jika jangkaan Egeland tersebut tepat, aktivis Internet Mesir, Wael Ghonim, Pergerakan 6 April Mesir, pengasasnya Israa Abdel Fattah, dan penulis blog Tunisia, Lina Ben Mhenni akan menjadi antara calon yang boleh dipertimbang sebelum pengumuman anugerah itu, 7 Oktober depan.

Seramai 241 calon dari 53 organisasi seluruh dunia dicalonkan untuk anugerah yang bernilai AS$1.5 juta (RM4.5 juta) tersebut, tahun ini, termasuk pengasas laman pembocor rahsia WikiLeaks, Julian Assange dan pejuang hak asasi manusia Afghanistan, Sima Samar./sh


Bajet PRU 13 : Gaji Sektor Awam Di Jangkakan Naik 30 Hingga 40 Peratus

Posted: 30 Sep 2011 01:00 AM PDT

Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus. Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai "bajet pilihan raya umum ke-13". 

Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek). "Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB," kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu. Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum.

Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus. Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Satu sumber berkata, "langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred." "Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat," kata beliau yang turut merujuk kepada permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB.

Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu. "Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan.

"Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam ... kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing," kata sumber itu sambil menambah, maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan.

"Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus," kata sumber itu lagi. Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana. Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan.

SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam. SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota.

Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi. The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991.

Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.

Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini. Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian./tmi

Tiada ulasan: