WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Bajet 2012 : Pakatan Kaji Tingkat Gaji Minimum
- PRU-13 : Hanya Doa Senjata Terakhir Hadapi BN, Kata Nik Aziz
- 'Burukkan' MP, TV3 Digesa Mohon Maaf
- Belum Daftar Tapi Nama Tersenarai Dalam Sistem SPR
- Isu Gereja : AMK Gesa Cari Dalang Sebenar
Bajet 2012 : Pakatan Kaji Tingkat Gaji Minimum Posted: 27 Aug 2011 07:26 PM PDT PETALING JAYA 27 OGOS : Pakatan Rakyat komited dalam memelihara kebajikan golongan pekerja menerusi penetapan jumlah gaji minimum kepada semua golongan pekerja di negara ini. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diambil bagi menyelaraskan produktiviti yang disumbangkan golongan pekerja dengan pulangan yang diterima oleh mereka. "Kita mengambil kira satu kajian yang diperkukuhkan oleh Bank Negara dimana wujud peningkatan dalam produktiviti dalam negara tetapi tidak selari dengan upah atau gaji,"katanya dalam sidang media selepas siri rundingan gagasan itu dengan Kesatuan Sekerja dan beberapa wakil daripada syarikat ekonomi di Ibu Pejabat PKR, hari ini. Bagaimanapun Anwar berkata, perkara tersebut tidak boleh dilakukan secara berasingan dan ia perlu dijalankan serentak dengan dasar untuk mengurangkan rasuah dan meningkatkan kecekapan, khususnya dalam sektor kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Kami kesal kerana walaupun GLC seperti Proton dan Perodua membayar gaji asas di bawah garis kemiskinan pada RM650 sebulan. "Dengan dasar alternatif untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan, tidak rasuah dan mengurangkan kos melalui tender dan rundingan semula tawaran yang tidak adil seperti tol lebuh raya, kami berharap untuk mempunyai lebih banyak penjimatan dan peningkatan hasil ... yang membolehkan kita boleh untuk membantu pekerja dengan perjanjian yang lebih baik dan lebih adil, "katanya. Selain itu, siri rundingan ini juga mendedahkan bahawa Barisan Nasional selama ini cuba berdolak dalih dan tidak mahu membuat satu penetapan jumlah gaji minimum kepada golongan pekerja di seluruh negara. "Kita telah memutuskan supaya hal ini diberikan perhatian dan kita akan adakan beberapa rundingan tambahan bagi membincangkan hal ini agar ia selari dengan pendirian kita dalam buku jinga."ujarnya. Merujuk muka surat 23 dalam Buku Jingga, Anwar berkata, di bawah dasar bersama Pakatan Rakyat, antara lain berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja Malaysia. Jelasnya lagi, ia juga akan memperkenal Akta Peluang Saksama bagi memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua rakyat, sekiranya gabungan itu mengambil alih Putrajaya. Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa Buku Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga mampu memberi tamparan hebat dalam kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak apabila satu persatu perubahan dilakukan sebagai respon kepada isi kandungan buku tersebut termasuk isu gaji minima yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat. "Kejayaan buku jingga ini berjaya memaksa kerajaan dan Dato Seri Najib Razak untuk membuat beberapa perubahan termasuk pindaan undang-undang bagi memperkenalkan majlis perundingan yang khusus membincangkan soal gaji minima." Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. |
PRU-13 : Hanya Doa Senjata Terakhir Hadapi BN, Kata Nik Aziz Posted: 26 Aug 2011 11:55 PM PDT KUALA LUMPUR 27 OGOS : PAS Kelantan mengadakan munajat pilihan raya di Kota Baru awal pagi tadi dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hanya doa merupakan "senjata akhir" bagi orang Islam berdepan dengan kegentingan menghadapi pilihan raya umum ketika pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor kekal kuasa. Program itu diadakan ketika akhir Ramadan, di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan bila-bila masa selepas sambutan Aidilfitri yang jatuh minggu depan. Berucap ringkas, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS memberitahu, Kelantan terus menegakkan Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini sejak akhir 1990. "Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa," kata Menteri Besar Kelantan dipetik Harakahdaily hari ini. Nik Aziz merupakan Menteri Besar sejak PAS mentadbir Kelantan. Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa. Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di 19 lokasi di seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah. Katanya, di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa. Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar. "Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hamba-Nya," kata beliau dalam satu ucapan pada program diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan. Manjat pilihan raya umum pula diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal pagi tadi. |
'Burukkan' MP, TV3 Digesa Mohon Maaf Posted: 26 Aug 2011 11:53 PM PDT KUANTAN 27 OGOS : Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Saleh menuntut TV3, wartawannya dan seorang ahli politik yang didakwa memburukkannya dalam siaran berita berhubung pusat pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan segera memohon maaf. Peguam Fuziah menghantar tiga notis tuntutan itu semalam dengan menamakan wartawan alam sekitar Karam Singh Walia dan TV3 sebagai responden pertama dan kedua, sementara dua lagi surat dialamatkan kepada Ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker. Dalam surat yang dialamatkan kepada Karam dan TV3, Fuziah mahu penarikan balik dibuat terhadap beberapa siri siaran berita itu yang disiarkan antara 28 Jun dan 30 Jun serta pada 24 Ogos lalu, yang mana beliau mendakwa ia "tidak benar dan kandungannya dilihat untuk memburukkan" Fuziah. Fuziah yang juga naib presiden PKR menuntut Tv3 agar tidak berterusan menyiarkan siaran berita itu pada masa akan datang dan membuat permohonan maaf berdasarkan syarat yang telah disahkan oleh peguamnya. Dalam kes Ti pula, Fuziah menuntut kepada bekas ADUN itu menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf terhadap kenyataan yang disiarkan syarikat televisyen swasta itu. Dalam siaran berita itu, Ti didakwa memetik Fuziah sebagai berkata "pegawai-pegawai kita, pakar-pakar Melayu, pakar-pakar rakyat Malaysia semua tak boleh dipercayai". Dakwaan Fuziah terhadap Ti dinyatakan dalam dua notis tuntutan yang berasingan, yang merujuk kepada dua insiden yang berasingan masing-masing pada 30 Jun dan 24 Ogos apabila Tv3 menyiarkan siri laporan beritanya berhubung plan yang bernilai RM700 juta itu. Ketiga-tiga notis tersebut turut meminta jaminan bahawa tidak ada lagi pengulangan dakwaan demikian terhadap Fuziah dan menuntut kerugian dan tanggung kos guaman. |
Belum Daftar Tapi Nama Tersenarai Dalam Sistem SPR Posted: 26 Aug 2011 11:51 PM PDT SHAH ALAM 27 OGOS : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa berlaku kepincangan baru dalam daftar pemilih ekoran aduan bahawa ada rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, namun nama mereka sudah terdapat dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, rakyat disarankan agar melakukan semakan bagi memastikan maklumat peribadi dalam daftar pemilih lengkap dan betul. "Akhir-akhir ini, Bersih 2.0 telah menerima beberapa kes di mana individu-individu yang belum mendaftar mendapati mereka dimasukkan dalam daftar pemilih. Terdapat juga kes di mana kawasan mengundi telah ditukar tanpa diberi notis," katanya dalam satu kenyataan. Justeru itu, Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan meminta semua rakyat sentiasa peka dan mengambil langkah bagi mengelakkan kepincangan berlaku. "Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ringkas berikut untuk memastikan setiap warga Malaysia memastikan hak anda kepada pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tidak dicabuli. "Semak nama anda dalam daftar pemilih untuk memastikan maklumat anda dalam daftar pemilih adalah tepat, semakan boleh dilakukan di laman web SPR, Kami berharap kepada semua warga Malaysia tidak kira di dalam atau di luar negera untuk menyemak nama dalam daftar pemilih," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0. Selain itu, jawatankuasa Bersih 2.0 juga meminta agar "Individu yang belum mendaftar untuk mengundi juga digalakkan untuk menyemak nama." Kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, sekiranya maklumat peribadi dalam daftar pemilih tidak betul, pihaknya meminta agar dikemukakan aduan kepada badan itu. "Sekiranya anda mendapat tahu kawasan mengundi anda telah ditukar tanpa pengetahuan atau nama anda dilampirkan dalam daftar pemilih walaupun belum mendaftar, sila berikan maklumat terperinci kepada kami di info@bersih.org atau faks kepada 03-77844978. "Sekiranya anda masih belum mendaftar untuk mengundi, sila mendaftar di pejabat-pejabat pos yang terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri, jangan mengabaikan hak mengundi anda! Pastikan anda mengundi ketika pilihan raya nanti," katanya. Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat. Untuk memastikan pembaharuan sistem pilihan raya, pentadbiran Najib memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan dianggotai wakil daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas. Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0. |
Isu Gereja : AMK Gesa Cari Dalang Sebenar Posted: 26 Aug 2011 11:49 PM PDT SHAH ALAM 27 OGOS : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Kerajaan Negeri menyiasat pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam merancang pemeriksaan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya awal pada 3 Ogos lalu. Ketua AMK Selangor, Irwan Ismail berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu ini. Selain itu, AMK Selangor juga mahu agar kerajaan negeri memperkasakan institusi agama di negeri itu termasuk menambahbaik pengagihan bantuan zakat. "Penyiasatan dan pendedahan dalang disebalik isu ini perlu diumumkan dengan kadar segera bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif dikalangan rakyat. "Ini jelas, kerana sumber kepada isu ini masih lagi menjadi keraguan. Jadi kita mahu pihak kerajaan negeri mencari siapa dalang disebalik isu ini. Kita juga berharap selepas pendedahan isu ini masyarakat Malaysia lebih jelas dan faham akan perkara tersebut," tegasnya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK). Jelasnya lagi, AMK menolak sekeras-kerasnya pihak yang cuba menangguk di air yang keruh demi kepentingan agenda politik sempit. Beliau sebelum itu menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya, Faekah Husin. Pada 3 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor(Jais) melakukan pemeriksaan ke atas gereja DUMC ekoran maklumat terdapat beberapa umat Islam menghadiri majlis makan malam muhibah yang dianjurkan oleh gereja terbabit. Pada majlis tersebut, turut kelihatan seseorang sedang berucap sambil menyelitkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran selain terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan