WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Pakatan: Bersih 3.0 susul jika Najib gagal bersihkan daftar pemilih
- Kes Scorpene Di Perancis Dapat Perhatian Selepas Peguamnya Diusir
- Kes Fitnah II : Nurul Izzah Desak Najib, Rosmah Ke Mahkamah
- Harga minyak antarabangsa menurun, tapi di Malaysia?
- MB : Kerajaan Negeri Kesal Serbuan, Minta Jais Sedia Laporan
- PAS S'gor Desak Tubuh RCI Siasat JPN
- Pengarang, Wartawan Suara Keadilan Dipanggil Polis
- Bersihkan Daftar Pemilih : Putrajaya Perlu Ikut Langkah Selangor Sedia Dana
- ADAKAH USAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MENCUKUPI?
- Serbuan Jais : Exco S'gor Dipanggil Beri Penjelasan
Pakatan: Bersih 3.0 susul jika Najib gagal bersihkan daftar pemilih Posted: 05 Aug 2011 08:02 PM PDT Pakatan: Bersih 3.0 susul jika Najib gagal bersihkan daftar pemilih August 06, 2011 KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Sambil menegaskan pihaknya tidak meletakkan sebarang keyakinan ke atas pentadbiran Najib bahawa akan menyelesaikan kemelut pengurusan pilihan raya, Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar bersih. Jika tidak, kata Pakatan Rakyat gelombang Bersih 3.0 akan menyusul. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) menegaskan, Najib perlu bertindak segera lalu menyelesaikan semua penyelewengan dan konspirasi yang didakwa wujud demi memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 termasuk terbaru dakwaan pemberian kad pengenalan MyKad kepada warganegara asing. Bagaimana beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk Najib menyelesaikan masalah yang berlaku termasuk isu pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap. "Apa lagi yang kita boleh harapkan pada perdana menteri, Himpunan Bersih 2.0 pun beliau tak boleh nak tangani, macam mana dengan isu yang terbaru ini (pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap). "Tapi sebagai pemerintah, beliau perlu bertindak segera... tuntutan Bersih 2.0 juga perlu dilaksanakan malah isu yang baru ini diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13," kata Salahuddin. Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia. Selain itu Pakatan Rakyat juga mendakwa BN mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar." Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13. Tegas Salahuddin, Najib harus bertanggungjawab terhadap semua penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihan raya selain memberi penjelasan tentang langkah JPN membenarkan pemastautin tetap ditukar status menjadi warga negara Malaysia. "Walau macam mana pun beliau (Najib) harus bertanggungjawab, beliau perlu tampil menyelesaikan semua kemelut yang berlaku ini...beliau mesti bertindak segera dan bertanggungjawab. "Kita tahu apa yang dilakukan ini adalah usaha-usaha untuk membantu BN menang, selagi Najib sebagai perdana menteri beliau perlu tampil menyelesaikan perkara ini kerana ia akan mengancam keselamatan negara," katanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian ini turut mengingatkan pentadbiran Najib agar melakukan segera transformasi pilihan raya sekiranya tidak mahu berdepan dengan Himpunan Bersih 3.0. "Sekiranya masih tiada perubahan sebelum pilihan raya umum ke-13 besar kemungkinan Himpunan Bersih 3.0 akan mengambil tempat. "Kalau perlu kita akan lakukan, apa lagi yang kita boleh harapkan dengan sistem (pilihan raya) sekarang? Kalau SPR kata daftar pemilih bersih dan nafikan lagi, kita ada bukti... kita boleh buktikan, adakah kita mahu terus berdiam diri?," katanya sambil menambah cadangan Himpunan Bersih 3.0 masih belum dibincangkan secara serius. Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Ditanya apa langkah akan diambil PAS selepas ini, Salahuddin berkata pihaknya telah menyediakan beberapa pelan tindakan untuk mendesak Putrajaya. "Saya rasa kita ada pelan tindakan...kita mempunyai beberapa siri pelan tindakan yang harus dilaksanakan dan buat masa ini tempat terbaik untuk mendedahkan semua konspirasi peringkat tertinggi ini adalah di Parlimen sebab itu kita mahu sidang tergempar Parlimen. "Kita juga akan desak kerajaan menubuhkan inkuiri awam untuk kita kenal pasti siapa yang terlibat sehingga ke akar umbi," katanya. Tegas beliau, sekiranya semua pelan tindakan itu tidak dipedulikan Putrajaya, pihaknya terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah terakhir bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan secara bersih dan adil. Ditanya sama ada mempercayai daftar pemilih SPR, Salahuddin bagaimana pun menegaskan "sebab itu kita mahu satu pembersihan dilakukan yang mana ia merupakan perjuangan kita selama ini." |
Kes Scorpene Di Perancis Dapat Perhatian Selepas Peguamnya Diusir Posted: 05 Aug 2011 08:01 PM PDT PETALING JAYA 6 OGOS : Pengusiran peguam Perancis, William Bourdon oleh kerajaan Malaysia, mencetuskan minat lebih besar rakyat Perancis terhadap skandal pembelian kapal selam Scorpene. Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pengusiran tersebut mendapat liputan meluas media Perancis ekoran reputasi cemerlang Bourdon sebagai peguam hak asasi manusia. "Orang Perancis tidak tahu yang beliau mengendalikan (kes ini) di Malaysia, dan ia membangkitkan minat yang besar di kalangan orang ramai," katanya seperti dilapor Malaysiakini. Bourdon "terkenal" kerana antara lainnya, mewakili pihak yang membuat tuntutan terhadap pemerintahan diktator Pinochet dan kes-kes pembunuhan beramai-ramai Rwanda dan pengusirannya telah memburukkan prestasi Malaysia. Beliau diusir ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Julai lalu, ketika mahu menghadiri program makan malam anjuran Suaram yang turut diadakan di Petaling Jaya dan Ipoh. Beliau hanya sempat hadir program majlis makan malam yang diadakan di Bayan baru Pulau Pinang, sehari sebelumnya. Pengusiran beliau menggambarkan ketakutan kerajaan pimpinan Najib kerana beliau sepatutnya dijadual memberikan ucapan mengenai skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia yang dibicarakan di Perancis. Kes melibatkan pembayaran komisen berjumlah 114 juta Euro atau bersamaan RM540 juta, membabitkan syarikat Perimekar Sdn Bhd dan firma pertahanan Perancis, DCNS, selain dua lagi komisen yang akan dibongkar di mahkamah negara itu. Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat milik penuh Abdul Razak Baginda iaitu teman rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terlepas hukuman mati kerana membunuh Altantuya. |
Kes Fitnah II : Nurul Izzah Desak Najib, Rosmah Ke Mahkamah Posted: 05 Aug 2011 07:57 PM PDT KUALA LUMPUR 6 OGOS : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir ke mahkamah bagi kes fitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Izzah berkata, Najib dan Rosmah perlu berbuat demikian bagi membersihkan nama mereka yang terpalit sebagai dalang dan konspirasi dalam kes tersebut. "Seharusnya tidak ada masalah untuk datang ke mahkamah, kemukakan dan bagi bukti. Pada saya, kalau boleh jumpa si pengadu sebelum kes berlangsung, takkan tidak (boleh jadi saksi) , lebih-lebih lagi tampil di mahkamah untuk kemukakan keterangan," katanya. Ditanya sekiranya Najib dan Rosmah berdolak dalik untuk tidak hadir ke mahkamah, beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyifatkan tindakan itu hanya akan memburukan lagi imej pemimpin negara itu yang sememangnya sinonim dengan karektor pemimpin BN. "Dolak-dalik adalah perkara yang konsisten di bawah kerajaan Barisan Nasional, saya tidak begitu optimis, tapi saya mengharapkan respon positif daripada Perdana Menteri," Nurul Izzah berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media dengan Persatuan Komuniti Peniaga Brickfields (BBCS) semalam . Najib sebelum ini bertemu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008, dua hari sebelum beliau membuat laporan polis mendakwa diliwat. Beliau turut bertemu pembantu peribadi Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar seperti mana yang didedahkan pegawai penyiasat DSP Jude Pereira ketika perbicaraan Mac lalu. Kelmarin, Najib dan Rosmah enggan hadir sebagai saksi dalam kes perbicaraan itu, kecuali dengan sepina mahkamah. Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Selain Najib dan Rosmah, Anwar mahu menemubual bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku. Anwar juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum memberikan keterangan pada Isnin. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos. |
Harga minyak antarabangsa menurun, tapi di Malaysia? Posted: 05 Aug 2011 06:07 AM PDT
Harga minyak mentah antarabangsa menurun ke paras USD86 setong pada Jumaat, mencatat magnitud penurunan terbesar dalam seminggu sejak Mei 2011, berikutan kekhuatiran pelabur terhadap ekonomi dunia yang diperlahankan. *Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, terjemah dan disunting dari teks asal. |
MB : Kerajaan Negeri Kesal Serbuan, Minta Jais Sedia Laporan Posted: 05 Aug 2011 02:56 AM PDT KUALA LUMPUR 4 OGOS : Kerajaan negeri Selangor memandang serius tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis menyerbu satu majlis makan malam muhibbah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, malam tadi. Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui kenyataan medianya berkata beliau secara peribadi telah menghubungi Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden tersebut. "Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jais menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan. "Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima," katanya. Justeru, beliau menegaskan kerajaan Selangor sentiasa menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka. Malah, beliau turut mengulangi bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat yang pelbagai agama serta amat menghargai usaha-usaha meningkatkan kefahaman antara agama sekali gus menyatupadukan rakyat. Sebelum ini, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dan terkejut dengan tindakan Jais dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama ekoran satu aduan tidak spesifik. "Sejak kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan insiden di mana orang Kristian menjadi sasaran kepada tuduhan-tuduhan tidak berasas dan prejudis pelbagai kumpulan serta beberapa media arus perdana yang membuat kenyataan-kenyataan berbaur menghasut," kata Pengerusi CFM Biskop Datuk Ng Moon Hing. Kata Ng, pihaknya berharap pihak berkuasa dan juga Sultan Selangor akan perkenan mengarahkan satu siasatan yang menyeluruh berhubung serbuan tidak berasas malam tadi. Ho berkata, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam. Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum. "Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian... ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu," katanya lagi. Pihak berkuasa berkenaan menyoal siasat hadirin tetapi tiada sesiapa pun yang ditahan. |
PAS S'gor Desak Tubuh RCI Siasat JPN Posted: 05 Aug 2011 02:54 AM PDT SHAH ALAM 5 OGOS : Semakin banyak pembongkaran salah laku data daftar pengundi dikesan muktahir ini terutamanya yang melibatkan warganegara asing menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. Dakwaan pemberian status kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu kini mencuri tempat selepas gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat menggerakkan jentera mengumpul segala bukti bagi mengukuhkan dakwaan tersebut. Sehubungan itu, Pas Selangor hari ini mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salahgunakuasa oleh JPN yang dianggap menguggat kedaulatan negara. "Saya yakin selepas insiden ini rakyat merasa sangat keliru dan bimbang dimana keselamatan pengeluaran kad pengenalan kita," kata Setiausaha Pas selangor Mohd Khairuddin Othman pada sidang media tadi. Menurut Mohd Khairudin, pihaknya telah mengadakan sebanyak 1,860 bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ke 2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu. Antara perkara yang disuarakan termasuk SPR sengaja tidak menyertakan alamat lengkap pengundi selain dakwaan terdapat pihak tertentu yang membawa masuk pengundi-pengundi yang tidak berkelayakan ke negeri Selangor. Ini termasuk dakwaan bahawa SPR gagal memasukkan seramai 240 nama pengundi Cina yang telah didafarkan sebagai individu layak memilih. "Melebihi 240 nama yang kita daftarkan tapi tidak keluar dalam rang daftar pemilih untuk suku kedua," katanya. Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata pihaknya baru-baru ini berjaya mengesan kelibat mengedar kad pengenalan biru kepada warga Indonesia dan Kemboja di DUN Paya Jaras. Dalam dua kejadian yang berasingan itu Khairuddin berkata, seorang individu tempatan dipercayai menjadi agen pengedaran kad pengenalan dan borang permohonan warganegara kepada yang lain. Kata beliau, setelah kad pengenalan biru tersebut dimasukkan ke dalam pengimbas cip, nama yang tertera adalah betul namun perkara yang mengejutkan apabila pihaknya menyemak dilaman web JPN, kesemua nama tersebut berstatus Penduduk Tetap (Merah). "Yang peliknya apabila kita ambil kad pengenalan ini dan dimasukkan dalam pembaca kad, ianya dapat dibaca. Tapi bila kita semak dalam laman web JPN, kad pengenalan merah," kata beliau. Pas sebelum ini telah menyenaraikan 610 nama yang dikesan memiliki kad pengenalan berwarna merah di dalam senarai layak mengundi SPR. Berdasarkan pecahan, DUN Semenyeh mendahului dengan 261 pengundi diikuti DUN Paya Jaras 225 pengundi, DUN Kajang 140 pengundi dan DUN Dusun Tua 49 pengundi. Kejadian pada 2 Julai lalu turut disentuh Mohd Khairuddin apabila berjaya mengesan rekod kerakyatan Penduduk Tetap bagi 610 orang warganegara asing bertukar kepada warganegara dalam masa 24 jam setelah Pas mendedahkan perkara tersebut kepada media. Walhal menurutnya, proses menukar status kad pengenalan memerlukan kehadiran secara fizikal individu tersebut untuk diimbas menerusi sistem biometrik. "Tan Sri SPR menyebut bahawa JPN tidak kemaskini data. Kalau data tidak dikemaskini, kenapa nama-nama ini boleh ada dalam Rang Daftar Pemilih yang disebut telah disaring dan diproses?" ujar beliau. Justeru, Pas menyatakan kebimbangan berdasarkan jumlah individu layak mengundi yang memegang kad pengenalan merah kian bertambah saban hari akibat tindakan meragukan oleh JPN dan SPR. Oleh yang demikian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa untuk tampil memberi penjelasan kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara yang semakin membimbangkan. Sejurus sidang media itu tadi, Pas membuat laporan polis terhadap JPN untuk menyiasat dalam disebalik konsporasi yang dipercayai menjaga kepentingan kerajaan. |
Pengarang, Wartawan Suara Keadilan Dipanggil Polis Posted: 05 Aug 2011 02:46 AM PDT KUALA LUMPUR 4 OGOS : Seorang pengarang dan wartawan Suara Keadilan dipanggil polis hari ini berikutan artikel yang mendedahkan kanister gas pemedih mata yang digunakan polis ketika Himpunan Aman Bersih 9 Julai lalu sama seperti yang digunakan rejim zionis Israel. Fazallah Pit dan penulis artikel, Ahmad Fadli Mohd Nazari disiasat di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Turut dipanggil ialah pengarah Biro Khidmat Guaman PKR, Latheefa Koya. Mereka tiba ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri dan N Surendran dari Lawyers For Liberty. Fazallah ketika ditemui selepas soal siasat menyatakan Suara Keadilan menjalankan tanggungjawab kewartawanan dengan baik serta menyelidik terlebih dahulu sumber mereka. "Suara Keadilan pertahankan apa yang kami tulis. Walaupun kenyataan dari pimpinan parti, kami tetap buat semakan dan bila ada asasnya baru kami keluarkan berita. Malangnya kami pula yang disiasat, hal kanister tersebut tidak disiasat," kata beliau kepada wartawan. Menurut peguam beliau, Fadiah, siasatan itu dianggap sebagai usaha untuk menakutkan para wartawan khususnya dari media alternatif dari menulis perkara kritis terhadap agensi kerajaan. "Tiada asas dalam penyiasatan ini melainkan tindakan mengugut wartawan untuk menulis di laman portal atau akhbar," kata beliau kepada wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. Menurut Fadiah lagi, antara soalan yang ditanya Inspektor Yudi Yusoff ialah "tugas sebagai editor, dan adakah artikel itu diedit beliau" yang dianggap tidak relevan dalam penyiasatan. Latheefa turut mempersoalkan tindakan polis yang menanyakan soalan sebegini. "Soalan-soalan ini tunjukkan polis tidak menyiasat penuh perkara ini. "Persoalannya ialah cara penggunaan kanister itu yang boleh sebabkan kematian, itu yang kita persoalkan," tegas Latheefa. Surendran pula mendakwa bahawa semua ini merupakan tindakan balas kerajaan kepada mereka yang mengkritik dan cubaaan menyembunyikan kebenaran. "Guna akta jenayah, guna polis dan peguam negara untuk serang mereka yang kritik...ini amat salah dan perlu dihentikan. "Masalahnya mereka cuba menyembunyikan kebenaran. Dengan guna cara begini mereka ingat rakyat akan senyap," kata Surendran lagi. |
Bersihkan Daftar Pemilih : Putrajaya Perlu Ikut Langkah Selangor Sedia Dana Posted: 05 Aug 2011 02:44 AM PDT KUALA LUMPUR 5 OGOS : Dewan Pemuda PAS Selangor menyarankan kepada Putrajaya supaya mengikut langkah kerajaan negeri itu yang bersedia menawarkan geran RM 1 juta bagi membiayai usaha menfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baru yang mencurigakan. Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam kenyataan medianya berkata, tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan bijak dalam usaha membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR. "Sepatutnya pihak kerajaan pusat mengambil inisiatif mencontohi tindakan kerajaan negeri Selangor dengan menggunakan kuasa eksekutif yang ada pada mereka bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang lebih baik, telus daripada sebarang penyelewengan. "Kami merasakan ini adalah satu tindakan bijak dan murni kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menyemarakkan rasa tanggungjawab rakyat negeri ini untuk bersama-sama membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR untuk suku ketiga bagi tahun 2011 daripada sebarang perkara yang meragukan," katanya. Rabu lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri bersedia menawarkan geran RM 1 juta berikutan pihaknya memandang serius aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi sedia ada dan pengundi baru. "Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negera jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diatasi dengan segera. "Kami berpendapat bahawa rakyat berhak menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka laluan kepada sistem pilihan raya yang bersih dan adil," katanya. Menurut Abdul Khalid, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik. Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia. Tambah Hasbullah, jentera sayap Pemuda PAS di negeri itu perlu membuat persediaan rapi selain mengambil tindakan proaktif jika terdapat keraguan dalam daftar pemilih yang akan dipamerkan Oktober ini. "Sebarang kecuaian dan kelekaan di dalam mempastikan daftar pemilih di kawasan masing-masing dibersihkan daripada unsur-unsur manipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan 'tumbangnya' pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," katanya. |
ADAKAH USAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MENCUKUPI? Posted: 05 Aug 2011 02:40 AM PDT from anillnetto.com Has the Penang state government done enough to ensure adequate availability of low-income housing in the state? Kebelangan ini, nampaknya ada kerisauan di kalangan penduduk Pulau Pinang yang menrungut dan kuatir tentang harga rumah yang melambung tinggi sehingga ramai yang tidak sanggup membeli rumah sendiri. Berikut adalah rekod kelulusan/pembangunan ruman kos rendah and kos sederhana sejak Pakatan mengambil-alih teraju kepimpinan kerajaan Pulau Pinang. It means the state government and its agencies are developing 3421 low- and medium-cost apartments in the state while the private sector is putting up 8175 such homes. (What is the total number of homes being put up by the private sector and has it met its 30 per cent low-cost quota?) If we are looking at just low-cost housing, the stage government/agencies are developing 1194 homes while the private sector is constructing 2612. (Low-cost homes are priced at RM42000 while medium-cost homes are priced at RM72500.) Saya rasa lebih boleh dibuat untuk memastikan bekalan rumah kos rendah mencukupi untuk kalangan pekerja. To prevention speculation in low- and medium-cost housing, tighter criteria should be put in place to ensure no resale of such houses perhaps for at least 10 years. Only those who are really in the low-income group should be eligible for such housing. Dalam tahun tujuh puluhan, PDC telah membina bandar baru dengan banyak rumah kos rendah untuk kalangan pekerja gaji rendah. True, land was plentiful back then, but the state needs to do more to get rid of the perception that new housing in the state is now largely aimed at the upper middle-class and super-rich. Kini saya sedang menunggu untuk melihat sejauh mana Perbadanan Perumahan Pulau Pinang yang baru dapat menangani masalah ini. |
Serbuan Jais : Exco S'gor Dipanggil Beri Penjelasan Posted: 04 Aug 2011 11:38 PM PDT SHAH ALAM 5 OGOS : Pas Selangor akan memanggil Exco Datuk Dr Hasan Ali dalam masa terdekat menuntut penjelasan bersabit isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) keatas sebuah gereja Kristian Rabu lalu. "Saya harapakan ada kebijaksaan menangani isu ini dan kita akan tunggu selepas mesyuarat untuk mendapatkan penjelasan daripada Hasan Ali," kata ahli parlimen Khalid Samad pada sidang media tadi. Khalid seterusnya menyifatkan serbuan oleh hampir 20 orang pegawai penguatkuasa Jais termasuk polis itu tidak berhemah memandangkan Islam menuntut umatnya menghormati rumah ibadat agama lain. Katanya, waran dan maklumat yang lengkap harus dijadikan rujukan utama sebelum sesebuah tindakan diambil lebih-lebih lagi melibatkan isu agama dan bukan bertindak seperti Umno-Barisan Nasional (BN) yang ingin menunjukkan sifat ketuanan. Justeru beliau yakin agama selain Islam sensitif akan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyekat mana-mana tindakan memurtadkan penganut Islam. "Saya yakin gereja sangat memahami peruntukan dalam perlembagaan. "'Kita mahu orang bukan Islam rasa selamat dan dihormati bila duduk dibawah pemerintahan Islam," ujar beliau lagi. Hasan yang dianggap duri dalam daging kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor walau bagaimanapun mempertahankan tindakan beliau berdasarkan maklumat tentang cubaan paderi di Gereja Methodis Damansara Utama menggunakan perkataan "Quran" dan "Solat" berniat memurtadkan sekumpulan kecil Melayu Islam yang hadir ke majlis makan malam di gereja itu. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menyatakan kekesalan atas kejadian tersebut justeru menantikan laporan lengkap dari jabatan agama negeri itu. Paderi gereja itu, Dr Paul Tan Chee Ing kemudiannya menggesa agar Hasan Ali mengemukakan bukti atas tuduhan yang dilemparkan dan sekiranya tidak benar, maka exco Selangor itu serta Jais didesak agar memohon maaf kepada pihak gereja. Khalid seterusnya menjelaskan Pas Selangor berpegang kepada prinsip menghormati rumah ibadat agama lain dengan mengambil pendekatan Rasulullah yang menasihati supaya semua rumah ibadat terkecuali daripada sebarang serangan dan tomahan. Ujarnya, tuduhan tersebut amat serius dan akan memberi implikasi besar terhadap rakyat di negara ini. Oleh yang demikian beliau berkata Jais harus memberi penjelasan sepenuhnya kepada semua rakyat bagi mengelakkan timbulnya suasana tegang bersabit isu agama. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan