Rabu, 17 Ogos 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Nuzul Al-Quran Dan Hubungkaitnya Dengan Lailatul Qadar

Posted: 16 Aug 2011 10:36 PM PDT

Bulan Ramadhan telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah penurunan al-Quran pada suatu malam di dalam bulan Ramadhan.

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." - Surah Al-Baqarah; ayat 185.

Sebab itu juga kita digalakkan mempertingkatkan bacaan dan bertadarus al-Quran pada bulan Ramadhan ini iaitu sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadhan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suci-Nya diturunkan.

Manakala dalam bulan Ramadhan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

[3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

[5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadhan kerana jumhur ulama' menyifatkan demikian.

(Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadhan. Wallahu'alam.)

Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 dalam Surah al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadhan.

Nabi Musa A.S bermunajat, berpuasa menunggu turunnya Taurat

Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad S.A.W dengan Nabi Musa A.S itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad S.A.W, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa A.S, iaitu Bani Israel.

Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa A.S pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas sebuah bukit. Baginda A.S juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut.

"Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri)." - Surah Al-Baqarah; ayat 51.

Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa A.S sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, Baginda A.S berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri.

Sikap marah Nabi Musa A.S itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun A.S. Allah S.W.T merakamkan kejadian tersebut.

Nabi Harun A.S menjawab:

"Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" - Surah Taha; ayat 94.

Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa A.S kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal.

Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa A.S bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata.

Ia menjawab:

"Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku". - Surah Taha; ayat 96.

Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang gilakan kuasa secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihirnya yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur.

Sikap Muslimin terhadap Lailatul Quran

Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad S.A.W menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj.

Rasulullah S.A.W pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka Nabi S.A.W meminta kita membaca doa,

"Allahumma inna nas alukar ridhoka wal jannah, wa na'uzubika min sakhatika wan nar..."

Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta roh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain.

Biarlah kita memohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, memperbanyakkan amalan bersedekah dan lain-lain.

Dan jika kita mendapat sesuatu projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek tersebut sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita asing.

Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh Baginda S.A.W tadi -

"Allahumma inna nas alukar ridhoka wal jannah, wa na'uzubika min sakhatika wan nar.."

Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat.

Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdhal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah..

-ibnumustafa-

Nuzul Al-Quran Merubah Sikap Muslim..

Posted: 16 Aug 2011 05:29 AM PDT

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran bermaksud:
"Kami (Allah) akan tunjukkan tanda-tanda kebesaran Kami pada alam semesta ini (pada segenap ufuk) dan pada diri manusia sendiri, hinggalah menjadi bukti yang jelas bahawa Al-Quran ini datangnya daripada Allah S.W.T. Wahai manusia, tidakkah cukup bagi kamu bahawa Tuhan kamu sendiri menjadi saksi terhadap segala sesuatu".
- Surah Al-Fussilat; ayat 53.

Assalamu'alaikum & Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran..

Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab R.A yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah S.A.W. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat al-Quran daripada Surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah S.A.W termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah S.W.T yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah S.A.W sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah S.W.T menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai "Lailatul Qadr", pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril A.S. turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di Kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah S.A.W ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah S.W.T dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 Surah al-Maidah :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad S.A.W) dari Allah S.W.T dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah S.W.T menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah S.W.T mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus."

2- Dalam ayat 9 Surah al-Hadid :

"Dialah (Allah S.W.T) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad S.A.W) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam)."

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah S.W.T melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadith Nabi Muhammad S.A.W :

"Dari Ali K.W, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda S.A.W menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah S.W.T; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah S.W.T; Ia adalah tali Allah S.W.T yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadith mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan Baginda S.A.W. seperti dalam hadith di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah S.W.T, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad S.A.W dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah S.W.T menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud:

"Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad S.A.W) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran)."

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadith tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman."

ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah:

"Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah S.W.T."

Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah:

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu."

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah S.W.T yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah S.W.T menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud:

"Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah S.W.T. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar."

Sesungguhnya di kalangan hamba Allah S.W.T yang diwariskan Allah S.W.T al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah S.W.T yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah S.W.T yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta'zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah S.W.T.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah S.W.T lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali 'Imran yang bermaksud:

"Bagaimana kamu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?"

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah S.A.W berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: "Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya."

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah S.W.T memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah S.W.T.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadhan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam satu hadith (hadith yang ke-36 dalam hadith 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah R.A., dari Nabi S.A.W bersabda:

"Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah S.W.T, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah S.W.T, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah S.W.T akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya."

Menurut hadith di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Apa yang penting, Ramadhan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadhan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadhan cemerlang pada kali ini, Amieen..

Rujukan

1- Kaifa Nahya Bil Quran – Nabih Zakariya Abd' Rabbih – Dar al-Haramain, Mesir – 1983.

2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf – Muhammad Rejab Farjani –Dar al-'Itisom, Mesir 1976.

3- www.islamonline.net

4- www.islamweb.net

5- www.islam-qa.com

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: