Selasa, 16 Ogos 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Tercedok Daging Babi

Posted: 15 Aug 2011 11:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya terpaksa makan sayuran selama dua bulan untuk mengalas perut. Saya tidak sanggup menggadaikan prinsip seorang Muslim dan cukup kecewa bila ada pihak tidak mengikut pekeliling yang dikeluarkan pengurusan tertinggi."

Demikian luahan hati Megat Mohd Hermaen, 25, seorang pekerja yang mendakwa menjadi mangsa diskriminasi sebuah syarikat perkapalan terkemuka di negara ini.

"Terfikir juga untuk mencuba nasib dengan syarikat lain, tapi memandangkan kontrak dengan syarikat selama lima tahun berjumlah RM100,000, saya tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.


Megat Mohd berkata, sejak menyertai syarikat berkenaan yang beroperasi di ibu negara lebih dua tahun lalu, dia dan beberapa pekerja lain terpaksa berdepan dengan dilema apabila dihidangkan makanan tidak halal oleh tukang masak di atas kapal terbabit.

Katanya, biarpun terdapat notis melarang penggunaan bahan tidak halal seperti daging babi dalam menu makanan di atas kapal berkenaan, namun ia tetap dimasak dan dihidangkan secara bufet setiap kali tiba waktu makan.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan rasa kurang senang hampir 1,000 kru kapal beragama Islam dari seluruh dunia yang terpaksa mencari alternatif lain seperti sayuran dan roti untuk mengisi perut dan ada antara mereka membawa sendiri peralatan memasak seperti dapur serta perkakas lain.

"Namun masalah lain pula timbul apabila pekerja warga asing dari negara lain berebut mahu menggunakan dapur yang sama selepas melihat kami berbuat demikian. malah, ada ketikanya berlaku pergaduhan disebabkan berebut dapur di atas kapal," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Paling menyedihkan, katanya, dia yang bertugas untuk memastikan senarai barangan makanan dibawa ke atas kapal tidak dapat berbuat apa-apa ketika melihat daging babi dibawa masuk ke peti ais besar dan diletakkan bersama bahan lain.

Katanya, semua bahan makanan dicampurkan dalam peti sejuk yang sama malah dibiarkan terdedah tanpa diasingkan menyebabkan semua pekerja beragama Islam ragu-ragu untuk makan bufet disediakan kerana bimbang ia tidak halal.

"Pernah beberapa kali saya sendiri tersilap mencedok daging babi ke dalam pinggan namun bernasib baik ditegur seorang rakan. Setiap makanan dilabelkan, tapi kebiasaannya ia dicampur dan diletakkan bersama menyebabkan kami keliru," katanya.

Nekad untuk membetulkan keadaan itu, dia dan rakan sekerja beberapa kali membuat laporan kepada kapten kapal namun kecewa tiada sebarang tindakan diambil, malah ia menjadi semakin teruk selepas tukang masak dimonopoli warga Filipina.

Sementara itu, rakannya, Nazaruddin Umar, 27, berkata, dia yang bercita-cita untuk menjadi jurutera perkapalan sejak kecil mungkin terpaksa melupakan impian itu selepas tidak tahan lagi berdepan dengan situasi berkenaan sejak tiga tahun lalu. Katanya, ketika mula bertugas sebagai jurutera di kapal itu tiga tahun lalu, dia langsung tidak menyangka akan menghadapi masalah seperti itu apatah lagi membabitkan soal hukum halal dan haram.

Cubaan Samun Bertukar Tragedi Rogol

Posted: 15 Aug 2011 08:41 PM PDT

KAJANG: Seorang wanita terkejut apabila dimaklumkan pembantu rumahnya dirogol bergilir-gilir dua lelaki bertopeng yang menceroboh kediaman mereka, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Menurut sumber, wanita terbabit yang terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar bunyi amahnya yang juga warga Indonesia berusia awal 30-an sedang menangis teresak-esak di dapur rumah.


Wanita berusia 51 tahun itu kemudian menanyakan punca sebenar mangsa menangis, namun pembantu rumah itu tidak menjawab dan hanya menangis.

Sebaik didesak, mangsa mengaku diperkosa dua lelaki bertopeng yang mahu menyamun rumah majikannya itu.

"Sebelum kejadian, mangsa yang sedang tidur dikejutkan bunyi salakan anjing majikannya kira-kira jam 2.30 pagi di belakang rumah dan cuba memeriksa apa yang berlaku sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bertopeng yang kemudian mengacu pisau di lehernya.

"Seorang daripada suspek mengugut akan mencederakan mangsa jika membuat bising dan mengarahkannya menuruti segala kemahuan mereka," katanya.

Menurutnya, suspek turut mengugut akan menyamun rumah majikannya itu sekiranya dia enggan memuaskan nafsu mereka berdua.

Suspek kemudian memaksa mangsa membawa mereka ke biliknya sebelum merogol mangsa.

"Mangsa hanya mampu berserah dan membiarkan dua lelaki terbabit melampiaskan nafsu mereka kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku berikutan suspek bersenjata," katanya.

Beliau berkata, selepas selesai merogol, suspek terus beredar meninggalkan mangsa dan rumah berkenaan tanpa mengambil barangan berharga dari rumah itu.

Majikan terbabit yang terkejut dengan kejadian itu terus membawa mangsa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Diseret Suami Berang Dalam Keadaan Bogel

Posted: 15 Aug 2011 05:52 PM PDT

GOMBAK: Akibat menolak ajakan berbuka puasa dengan suami, seorang wanita dibelasah suaminya selain diseret dalam keadaan bogel hingga cedera di badan dalam kejadian di Kampung Nakhoda Kanan, di sini, kelmarin.

Gambar hiasan

Difahamkan, sebelum ini, pasangan terbabit sering bertengkar dan mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun menjadi tempat melepas geram suaminya itu. 

Sumber polis berkata, pada hari kejadian, lelaki berusia 30 tahun itu mengajak isterinya berbuka puasa, tetapi mangsa menolak pelawaannya kerana mahu berbuka di rumah kakaknya menyebabkan suaminya naik angin. 

Akibatnya, mangsa dibelasah sebelum diseret dari tingkat satu rumah mereka ke tingkat bawah dalam keadaan bogel.

"Mangsa menangis dan merayu suaminya tidak bertindak demikian, tetapi lelaki itu tidak mengendahkannya," katanya di sini, semalam.

Dirogol Askar 7 Kali Sehari

Posted: 15 Aug 2011 03:41 PM PDT

LONDON: Anggota tentera Britain yang merogol seorang wanita tujuh kali dalam masa sehari dipecat daripada perkhidmatan dan dipenjara 10 tahun, semalam.

Robert Kariuki, warga Britain kelahiran Kenya menyerang wanita berkenaan ketika mangsa berada di atas katil, menyumbat patung beruang ke dalam mulutnya, menutup muka mangsa dengan bantal sebelum merogolnya buat kali pertama.

Gambar hiasan

Kariuki bertindak demikian kerana cemburu selepas mengetahui mangsa tidur bersama rakannya.

Dia mengancam membunuh mangsa dan melarangnya menggunakan bilik air ketika memperkosa wanita berkenaan tujuh kali dalam tempoh beberapa jam.

Kejadian berlaku Julai tahun lalu.

Mangsa, warga Jerman, mempelawa Kariuki dan seorang rakannya ke kediamannya sebelum kejadian.

Mahkamah diberitahu, dia mengadakan seks dengan rakan Kariuki sementara lelaki itu tidur di sofa.

Tetapi apabila rakannya meninggalkan kediaman itu, Kariuki memasuki kamar mangsa dan mula merogolnya, 

Agensi

Tiada ulasan: