Roslan SMS Corner |
Posted: 23 Aug 2011 03:45 AM PDT Saya gembira menerima SMS dari sahabat lama DHUAT yang boleh dilayari blognya di http://kaset79.blogspot.com/ . Beliau SMS bertanyakan khabar dan saya maklumkan padanya memang kebetulan kebelakangan ini saya terfikirkan beliau, begitulah ikatan persahabatan yang ditaut oleh keimanan dan ketaqwaan barangkali. Beliau ini istimewa kerana beliaulah yang telah mendorong saya menghidupkan blog ini pada bulan Mei 2004, subhanallah sudah kira-kira 7 tahun lebih. Blog ini dibina oleh beliau dan binaannya kekal sehingga ke hari ini, saya cuma mengisinya dengan posting hinggalah kesat ini. Beliau berkongsi minat dengan saya dalam mengeluarkan pandangan-pandangan terhadap sebarang dan apa sahaja isu. Kami pernah belumba-lumba membaca buku, kalau berjumpa masing-masing akan update buku apakah yang sedang dibaca, begitulah kami. Minat saya membaca memang tidak pernah berhenti. Saya biasanya membeli buku yang saya minati dan membaca kadangkala dua tiga buah buku dibaca berselang-selang. Sekarang ini untuk pengetahuan adinda DHUAT saya sedang membaca 1) A doctor in the house karangan Tun Dr M 2) Hikayat Abdullah oleh Hamzah Hamdani berkenaan Abdullah Munshi 3) The Golden Chersonese oleh Isabella Bird – berkenaan pelayaran dan catatatn kunjungan penulis ke Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sekitar 1870an. Saya juga dalam bulan Ramadhan ini baru membeli koleksi buku fiqah sebanyak 3 jilid iaitu Alfiqh Alwadhih atau Fiqah Lengkap karangan Dr Muhammad Bakar Ismail sebagai bahan rujukan. Insyallah saya akan berkongsi dengan pengunjung blog ini beberapa penemuan menarik dalam pembacaan saya itu terutama dalam "Hikayat Abdullah" dan "The Golden Chersonese". Munsyi Abdullah ada menulis: "Kata orang arif: Apabila engkau mendapat wang, belikan emas; jualkan emas itu, belikan intan; jualkan intan, belikan manikam; jualkan manikam, belikan ilmu." |
Kemiskinan perlu segera ditangani Posted: 22 Aug 2011 07:59 PM PDT Sebuah hadis Rasulullah saw menyebut bahawa: "Hampir sahaja kemiskinan berubah menjadi kekufuran". Saya sengaja membawa perkara ini apabila membaca dua laporan akhbar yang berbeza pagi ini. Pertama tentang cadangan kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah membantu mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan di dalam Bajet akan datang. Presiden CUEPACS dipetik menyebut bahawa ramai kakitangan awam terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menampung kehidupan masing-masing akibat kenaikan kos hidup yang tinggi. Kedua yang jauh berbeza dari di atas adalah berkenaan rompakan ke atas sebuah kafe siber haram di Sungai Buloh Selangor yang mengakibatkan seorang perompak ditembak mati dan beberapa suspek ditahan. Menurut sumber polis simati dan suspek yang ditahan dipercayai anggota tentera dan ada dianataranya berumur sekitar 20an. Adakah kesempitan hidup kini benar-benar kritikal, suatu isu yang bukan lagi merupakan masalah politik tetapi realiti yang mengancam dan perlu ditangani secara serius oleh semua pihak? Kita tampak gah di luaran tetapi hakikatnya ramai yang terpukul menderita akibat kenaikan kos hidup lantaran ketenatan ekonomi dunia. Faktor kemiskinan boleh menjadi satu ancaman kerana ia mampu mendesak mereka yang lemah iman melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan penderitaan diri dan keluarganya walaupun langkah itu haram atau membahayakan diri dan keluarganya. Semua pihak kena beri perhatian dalam perkara ini. Ini masalah benar yang terlonggok di hadapan kita dan inilah yang perlu diberi keutamaan dan perhatian berbanding isu dan perkara lain kerana jika tidak "kekufuran" akan berleluasa! Semoga Allah swt memberika kekuatan kepada kita dalam bulan Ramadhan ini agar kita mampu bangkit dari masalah besar ini.
|
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan