Pahang Daily Online |
- Isu Lynas: YB Dr.Che Rosli Akur Keputusan Parti, Sedia Beri Keterangan Andai Di Minta Mengadap Serta Tolak Dakwaan Dia Sokong Projek Tersebut
- Edisi Khas: Ucapan Aidil Fitri, Oleh Ahli Parlimen Kuantan Dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang
- PAS Mahu Agar Putrajaya, Buat Satu Referendum Untuk Mendapatkan Pandangan Rakyat Sebelum Benarkan Kilang Lynas Beroperasi September Ini
- Isu Hina Pejuang: Blogger Cucumatkilau Gesa Mat Sabu 'Mohon Maaf' Serta Tidak Keluar Kenyataan Sesuka Hati Yang Boleh 'Menjatuhkan Imej' Parti !
- Mantan PM Mahathir Akui Pemimpin BN Bersalah Kerana Ubah Dasar Sedia Ada Dalam Pakatan Itu !
- Kontroversi: Isu "Hina Pejuang", Mat Sabu Tidak Mahu Komen Sebelum Teliti Video Ceramahnya !!
Posted: 28 Aug 2011 10:28 PM PDT KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat (foto) berkata akan akur dengan sebarang tindakan parti Islam itu sambil menegaskan, beliau hanya muncul di TV3 atas kapasiti peribadinya sebagai seorang saintis. Menjawab pendirian kontroversi mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan dan desakan agar dikenakan tindakan disiplin, Che Rosli berkata, beliau sebenarnya telah memaklumkan saluran swasta itu bahawa tidak akan hadir sebagai wakil PAS, sebaliknya selaku seorang pakar dalam bidang sains nuklear. Che Rosli mengetepikan kritikan banyak pihak dengan berkata, "seperti Dr Ahmad Termizi Ramli (Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan), saya muncul di TV3 sebagai saintis. Itu sahaja." "Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis," kata bekas pensyarah sains nuklear. Malangnya tegas Che Rosli, beliau telah diatribut sebagai wakil PAS "Ahli Parlimen PAS" sehingga membawa kepada kontroversi sekarang. "Bila saya disebutkan sebagai Ahli Parlimen PAS, maka ia menjadi kontroversi," kata beliau. "Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas," katanya dengan merujuk kepada pandangannya bahawa hanya memberikan cadangan bagaimana sisa buangan loji Lynas boleh diuruskan. "Sekarang sudah jadi isu kontroversi," katanya. Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan perkara sebenar. "Saya akan bertemu dengan presiden parti, tetapi kalau nak saya beri penjelasan... boleh, tiada masalah, sila hantar surat secara formal, melalui surat berdaftar... saya akan pergi, sekarang saya baru dengar melalui akhbar, belum ada surat rasmi," kata wakil rakyat ini sambil menambah, "saya dengar akan dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin, katanya nak panggil saya beri penjelasan" Dalam satu kenyataan Mac lalu, Che Rosli pernah berkata, negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dengan mendahului kerajaan persekutuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini demi masa depan rakyat dan lestari alam. Katanya, jika sisa-sisa buangan ini dijana dengan betul satu penghasilan tenaga baru akan meningkat. PAS Bakal Panggil Dr.Che Rosli Beri Keterangan Semalam, Ketua Penerangan PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) memberitahu partinya akan memanggil Che Rosli, yang dilaporkan menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri. Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS. "Kami akan minta YB Che Rosli agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti," kata Tuan Ibrahim sambil menambah, "setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin." Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan telah memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng. Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas. Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya. PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu. Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah. "Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang dia telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri," katanya. [Sebelum ini, TV3 telah menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh mengatakan Dr Ahmad Termizi dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear. Che Rosli didakwa bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau "malu" dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang tentang alam sekitar]. | |||||||||
Edisi Khas: Ucapan Aidil Fitri, Oleh Ahli Parlimen Kuantan Dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Posted: 28 Aug 2011 09:35 PM PDT | |||||||||
Posted: 28 Aug 2011 07:57 PM PDT KUALA LUMPUR, 29 Ogos - PAS mahu Putrajaya mengadakan satu referendum bagi mendapatkan pandangan rakyat jelata mengenai operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng sebelum ia beroperasi, dijangka mulai bulan depan. Ketua Penerangan PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) berkata meskipun laporan badan penilai antarabangsa sebelum ini pernah memberi 'lampu hijau' tentang aspek keselamatan loji itu, tetapi wujud pandangan berbelah bahagi dengan ada yang menyokong dan ada yang membantahnya. "Jadi, bagi menyelesaikan kemelut ini, saya meminta agar kerajaan mengadakan satu referendum di kalangan rakyat melibatkan kawasan sekitar 70 kilometer. "Jika rakyat bersetuju teruskan, dan jika tidak bersetuju batalkan operasi loji yang hendak dimulakan dalam waktu terdekat ini, saya difahamkan September ini" kata beliau. Beliau turut menegaskan meskipun ada laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diumumkan awal Julai lalu tetapi wujud pandangan berbeza, ada rakyat tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan terus melahirkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan loji tersebut dalam jangka panjang. "Bagi memastikan syarikat Lynas rasa selesa dan rakyat diberi peluang memberikan pandangan, kita mencadangkan agar diadakan satu referendum... jika majoriti rakyat mengatakan mereka terima loji itu, maka kerajaan bolehlah membenarkan operasi loji tersebut," tambah beliau lagi. "Tiada guna jika rakyat terus mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan jika loji ini diteruskan. Lebih baik ia diselesaikan sekarang menerusi satu referendum," kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Kata beliau, kerajaan perlu mengambil kira pandangan orang ramai kerana memang dilaporkan bahawa loji itu selamat buat masa sekarang tetapi "kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ia mula beroperasi. "Semua loji nuklear dan loji nadir bumi memang dikatakan selamat di peringkat awal termasuk di Jepun, tetapi apa yang terjadi selepas sesuatu yang bukan di luar kawalan terjadi?" katanya. [Dalam laporannya diumumkan awal Julai lalu, IAEA mendapati projek Lynas untuk mengekstrak nadir bumi yang akan beroperasi di Gebeng, Pahang, mematuhi piawaian keselamatan radiasi antarabangsa. Laporan setebal 55 muka surat yang dibuat panel bebas sembilan pakar dalam bidang keselamatan dan kesihatan radiologi itu turut mengesahkan dua badan kawal selia iaitu Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memastikan semua aspek projek berkenaan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. Bahkan, dalam sesetengah kes, peraturan di negara ini bukan saja lengkap dan mematuhi piawaian IAEA, malah lebih ketat berbanding piawaian keselamatan diterima di peringkat antarabangsa. Ia turut mengenal pasti 11 cadangan memperbaiki pengurusan kawal selia oleh AELB dan agensi lain yang perlu dilaksanakan sebelum projek Lynas boleh beroperasi untuk peringkat seterusnya. Kandungan laporan IAEA antaranya menjelaskan Lynas perlu mengemukakan rancangan pengurusan sisa jangka panjang yang lengkap kepada kerajaan serta mematuhinya sebelum boleh memulakan operasi]. | |||||||||
Posted: 28 Aug 2011 04:47 PM PDT KUANTAN, 29 Ogos - Ramai yang terkejut dan kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung kenyataannya yang mengatakan pengganas komunis yang bernama "Mat Indera" sebagai "Hero Sebenar" dalam Tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950 dulu. Tindakan Mat Sabu ini jelas sekali mencemarkan nama baik parti PAS sebenarnya. Malah ia juga telah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu. Menurut Aktivis Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) atau lebih dikenali dengan nama Blogger Cucumatkilau, kenyataan Mat Sabu itu tidak kena pada tempatnya. "Biar pun dia adalah pemimpin sebuah parti Islam yang disanjung namun dia harus ingat bukan semua rakyat dan ahli PAS sendiri yang boleh menerima pendekatannya", kata Shukri. "Memang benar, Mat Sabu dalam ceramahnya gemar berjenaka dan amat digemari oleh para penyokongnya. Namun, dia juga haruslah mempunyai protokol dan mengawal tuturkata serta tingkah lakunya agar tidak menjejaskan nama baik partinya. Apatah lagi dia adalah Timbalan Presiden yang merupakan orang nombor dua PAS pada masa ini", kata Shukri lagi. Beliau juga meminta agar Mat Sabu menjaga nama baik PAS dan tidak terikut-ikut dengan pendekatan yang agreasif seperti itu. "Dia perlu ingat, dalam PAS ramai golongan ulamak yang pendekatannya jauh lebih matang dari apa yang Mat Sabu lakukan. Kemenangannya dalam pemilihan PAS baru-baru ini bukanlah bermakna dia boleh diterima sebulat suara oleh seluruh ahli parti itu sendiri. Jika ini keadaannya, lebih baik diberikan sahaja kepimpinan itu kepada golongan ulamak. Dia tidak harus bercakap ikut suka hati biar pun dia merasakan apa yang diperkatakan itu adalah benar belaka", tambah Shukri lagi dengan nada kecewa terhadap apa yang telah berlaku. Mat Sabu Perlu Mohon Maaf Atas Kenyataannya Dalam kenyataan Mat Sabu tentang Tragedi Bukit Kepong itu, dia memberi alasan bahawa anggota polis yang berkubu disitu adalah "Polis British" kerana sebelum merdeka negara kita (Tanah Melayu) diperintah oleh British. Malah, Mat Sabu turut mengatakan bahawa kisah sebenar tragedi itu telah dipadamkan dan skripnya telah diubah oleh Pengarah Filem terkenal Jins Shamsuddin yang merupakan penyokong kuat UMNO. Cerita perjuangan dan semangat waja pasukan polis dan masyarakat tempatan ini telah difilemkan pada tahun 1981 dan memenangi Filem Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-3, tahun 1982. Persoalannya, apa pun yang berlaku dalam tragedi itu beliau seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Persepsi yang tersilap akan menyebabkan dia dituduh sebagai pengkhianat dan penderhaka. Inilah yang berlaku sekarang dan banyak laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS. Kenyataan beliau itu amatlah tidak wajar dan tidak kena pada situasinya. Beliau sepatutnya berceramah dengan lebih kemas dan cermat terutamanya bila membicarakan isu-isu sensitif seperti ini. Tindakannya jelas memalukan dan menjatuhkan imej Parti Islam SeMalaysia (PAS), biar pun dia bercakap atas kapasiti individu. Mat Sabu, tidak wajar bercakap "sembarangan" dalam ceramahnya. Beliau harus sedar, dia bukan lagi pejuang jalanan "kelas tiga" tetapi kini sudah menjadi pemimpin nombor dua sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Maka itu, imej Islamik juga perlulah dipelihara. [Seharusnya, imej yang lebih bersih ditunjukkan dan bukannya dengan bercakap sesuka hati tentang sesuatu isu biar pun dia lebih tahu apa yang terjadi. Jika Mat Sabu itu adalah pemimpin PKR atau DAP, mungkin ia tidak menjadi persoalan. Masalahnya beliau adalah pemimpin parti Islam yang didokongi oleh golongan ulamak didalamnya. Kini, "nasi sudah menjadi bubur", walau benar kenyataan Mat Sabu dia harus memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sekarang. Jika ini keadaannya, maka lebih elok PAS terus dipimpin oleh golongan ulamak yang dilihat lebih berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan biar pun agak panas. PAS perlu berhati-hati memilih kepimpinnnya jika mahu parti itu terus disanjung dan diterima oleh sebahagian besar rakyat pada masa akan datang. Jika tidak, ramai pengundi atas pagar yang akan kecewa dengan parti itu. Bukankah ini merugikan PAS menjelang PRU13 ini nanti]. | |||||||||
Mantan PM Mahathir Akui Pemimpin BN Bersalah Kerana Ubah Dasar Sedia Ada Dalam Pakatan Itu ! Posted: 28 Aug 2011 04:07 PM PDT KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Konsep kerajaan campuran dengan perwakilan semua kaum di negara ini masih merupakan satu "sistem yang baik", kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (foto). Beliau menyalahkan masalah dan rasa tidak puas hati, sejak beberapa tahun yang lalu, bukan kerana sistemnya, tetapi dasar-dasar pemimpin yang mentadbir kerajaan. Katanya, bukan BN yang salah, tetapi dasar-dasar yang diikuti. Beliau menegaskan demikian di majlis pelancaran autografi beliau dalam versi bahasa Cina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. "Di bawah sistem kerajaan campuran, kita hidup makmur selama hampir 50 tahun," tambah Dr Mahathir. Menurutnya, "sistem BN" adalah baik, tetapi apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan, dasar-dasar yang dilaksanakan juga bertukar. Kadang-kadang, tegasnya, perubahan itu adalah untuk kebaikan dan ia memperbaiki keadaan, tetapi Kadang-kadang perubahan itu untuk sebab yang salah dan negara tidak akan makmur. Menurutnya, apabila beliau bersara, dasar-dasar negara mengalami perubahan 190 darjah, menyebabkan ekonomi, malah hubungan kaum, merosot. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir, beliau terus membatalkan projek-projek mega pentadbiran sebelumnya seperti jambatan bengkok Malaysia-Singapura dan projek landasan berkembar. Abdullah juga cuba memperkenalkan beberapa pembaharuan, seperti IPCMC, sebelum berdepan dengan tekanan dari dalam parti tersebut, yang memaksannya berundur dan digantikan oleh timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. [Terkadang kenyataan Mahathir ini ada benarnya, kerana beliau punyai pengalaman yang cukup luas dalam pentadbiran negara sejak sekian lama. Sememangnya, bila pemimpin baru mengambil alih tugas banyak perubahan yang dilakukan termasuk mengubah dasar sedia ada dalam parti. Ini menyebabkan perasaan tidak puas hati akhirnya membuak-buak hingga menyebabkan undi protes meningkat dalam setiap kali pilihanraya. Dalam UMNO sendiri kini, meterealitik dan kemewahan lebih diutamakan daripada membela kebajikan rakyat itu sendiri. Ramai yang mengintai untuk menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan penting dalam parti itu, kerana melihat disitulah kemewahan bakal dikecapi. Akhirnya parti itu tunggang langgang bila diurus oleh individu yang penting diri dari rakyat]. | |||||||||
Kontroversi: Isu "Hina Pejuang", Mat Sabu Tidak Mahu Komen Sebelum Teliti Video Ceramahnya !! Posted: 28 Aug 2011 02:44 PM PDT KUALA LUMPUR 29 Ogos - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (foto) mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung dakwaan akhbar Utusan Malaysia apabila mengatakan beliau menghina pejuang kemerdekaan dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu. Sebaliknya, Mat Sabu menegaskan, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen. "Saya berucap pada 21 Ogos tapi keluar dalam Utusan Malaysia 27 Ogos, saya tidak mahu beri apa-apa komen lagi... saya nak dengar dan lihat balik rakaman video itu dulu. "Saya tidak mahu nafi atau apa, saya nak tengok balik... saya tak tahu apa yang dilaporkan (dalam Utusan Malaysia) sama ada ia betul atau tidak," katanya. Akhbar milik UMNO itu sejak semalam terus menyerang Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kerana menghina perjuang kemerdekaan dengan menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam Tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar kejadian itu. [Media arus perdana akhbar Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya dua hari lalu menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu. Semalam akhbar Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia memperuntukan enam halaman termasuk muka depan mengecam Mat Sabu. Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor 21 Ogos lalu, Beliau turut didakwa menggambarkan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman kononnya tidak layak dianggap sebagai Pejuang Kemerdekaan kerana tokoh berkenaan itu adalah Pegawai British]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan