Isnin, 22 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kes Liwat: Anwar Ibrahim Yakin Kebenaran Akan Terbukti Dan Menafikan Tuduhan Jahat Tersebut

Posted: 21 Aug 2011 11:09 PM PDT


KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat yang dilemparkan kepadanya dan yakin kebenaran dalam kes fitnah tersebut akan terbukti kelak walaupun terpaksa mengambil masa yang lama. Anwar berkata demikian ketika memberi kenyataan membela diri dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam kenyataan Bahasa Inggeris sebanyak 32 muka surat yang dibaca Anwar itu menegaskan kembali bahawa tuduhan terhadapnya merupakan fitnah yang telah direka dan berniat jahat. "Saya sama sekali menafikan tuduhan terhadap saya. Saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan saya tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan pengadu, Mohd Saiful. Dakwaannya adalah satu pembohongan terang-terangan, jahat dan ia akan dibuktikan. "Ini ialah satu percubaan buruk dan keji untuk mencemarkan nama baik saya. "Saya mengulangi bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja untuk membunuh karekter, mencemar reputasi dan mengancam saya dengan 20 tahun lagi hukuman penjara, tetapi saya tidak akan menyerah. "Sebaliknya, kebenaran akan terbukti kelak. Apa pun terjadi saya tidak menyerah kalah," kata Anwar Ibrahim lagi.

[Dalam kenyataan itu juga, Anwar menjelaskan secara panjang lebar mengenai kegagalan pihak pendakwa bersikap profesional, hakim yang dilihat berat sebelah dan bukti-bukti dalam kes itu. Antara disentuh termasuk hubungan antara pengadu Saiful Bukhari dengan Timbalan Pendakwaraya, Farah Azila Latif sehingga menyebabkan penggugurannya dari pasukan pendakwa. Ia termasuk kegagalan mahkamah memanggil saksi alibi seperti pemilik kondominum di mana tempat kejadian itu dikatakan berlaku, Hasanudin Mat Isa dan ugutan polis yang diterimanya].

Bicara Kes Liwat: Anwar Ingatkan Hakim Supaya Jalankan Hukum Dengan Adil Berlandaskan Apa Yang Telah 'Di Tetap Oleh Allah' Dalam Al-Quran !

Posted: 21 Aug 2011 09:45 PM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambung hujjah pembelaanya terhadap pertuduhan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam kenyataannya Anwar berkata, mengikut keterangan pengadu dia tiba di Kondominium Desa Damansara pada pukul 2.45 petang untuk membincangkan perkara berkaitan dengan kerja dan menyerahkan dokumen-dokumen yang dibekalkan oleh ketua staffnya Ibrahim Yaakob. "Dia berkata dia menghentikan vannya di pondok keselamatan dan memaklumkan nama kod 'Mokhtar' kepada pengawal keselamatan sebelum dibenarkan masuk."Dia meletakkan kenderaan dan menggunakan lif ke Unit 11-5-1 di mana saya didakwa duduk di meja makan di bilik duduk. Dia mengatakan dia duduk di meja yang sama dan memulakan perbincangan. Dia memberitahu mahakamah saya menggunakan cara kasar untuk meminta agar diadakan hubungan seks," kata Anwar. Anwar menambah, apabila ditanya Saiful menjawab dia marah dan takut, malah tidak sanggup berbuat demikian tetapi patuh kerana "saya kelihatan marah." "Perlu diperhatikan di peringkat ini bahawa pengadu boleh, atas pengakuannya ketika keterangan peringkat utama, tinggalkan bilik kerana tiada bukti bahawa saya cuba untuk tutup pintu dari dalam," kata Anwar. Anwar menambah, Saiful juga mendakwa bahawa dia telah diarah masuk ke dalam bilik tidur serta dia pun masuk kerana rasa takut.

Saiful Punya Peluang Lari Jika Dia Melakukannya

"Malah di peringkat ini, pengadu ada peluang untuk meninggalkan bilik duduk. "Dia tidak berbuat demikian. Keterangan lain berhubung perkara ini dengan jelas menunjukkan bahawa pengadu mempunyai segala peluang untuk keluar (dari kondominimum), tetapi dia tidak melakukannya," kata beliau lagi. "Alasannya ialah dia diselubungi ketakutan," kata Anwar dalam keterangannya sambil menambah, "alasan sedemikian bercanggah dengan fakta." katanya. Ketua Umum PKR ini seterusnya berkata Saiful merupakan seorang lelaki berusia awal 20-an dengan berketinggian "enam kaki" dan mantap secara fizikal, mempunyai hubungan dengan ahli-ahli politik dan pegawai kanan polis. Malah katanya, Saiful juga bekas pelajar yang ada hubungan dengan UMNO dengan menyertai pelbagai latihan kendalian Biro Tata Negara, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. "Dan di sini, saya seorang lelaki berusia 60 tahun dengan ada sejarah sakit belakang, yang telah menjalani pembedahan besar dan tidak memiliki sebarang kuasa."Jika saya telah menggunakan sebarang bentuk pengarauh atau tekanan mental ke atas dia, ini boleh dengan mudah dineutralkan dengan membuat satu panggilan segera kepada pihak-pihak yang ada hubungannya," katanya.

[Anwar yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri telah pun dipecat daripada parti UMNO dan jawatannya dalam kerajaan pada awal September 1998 yang lalu. Mengenai dakwaan Saiful takut kerana dirinya dicederakan, Anwar berkata, ia satu imaginasi untuk mengesyorkan bahawa beliau akan menyebabkan kecederaan fizikal ke atasnya. Diakhir hujahnnya dia mengingatkan hakim dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Maha Mendengar, lagi sentiasa Maha Melihat", Surah An-Nisa'-58].

Anwar Pilih Untuk Beri Keterangan Dari Kandang Tertuduh Supaya Kenyataannya Tidak Di Periksa!

Posted: 21 Aug 2011 08:06 PM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memilih untuk memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan kenyataannya tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah sebelum itu memberitahu Anwar, beliau mempunyai tiga pilihan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Tiga pilihan itu adalah pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan. Walaupun Anwar memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh, dia masih duduk di atas bangku peguam yang mempunyai kelengkapan sebuah mikrofon. Menurut Hakim Zabidin walaupun tertuduh duduk di kalangan peguamnya, tindakan itu masih dianggap sebagai kenyataan daripada kandang (dok). Jika Anwar pilih memberi keterangan dari kandang saksi, beliau boleh disoal-balas pihak pendakwaan dan keterangannya itu dianggap lebih berwibawa.

[Pada kes perbicaraan kes salah guna kuasa dan liwat pertama yang dihadapinya 10 tahun lalu, Anwar membela diri dari kandang saksi. Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa. Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Jika beliau disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat].

HALUAN Pahang 'Rayu Sumbangan' Untuk Bantu Umat Islam 'Somalia' Yang Di Landa Oleh Masalah Kemarau Serta Kebuluran Yang Sungguh Kritikal!

Posted: 21 Aug 2011 04:33 PM PDT


KUANTAN, 22 Ogos - Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) Pahang sekali lagi mengadakan program misi kemanusiaan bagi membantu umat Islam Somalia yang dilanda masalah bencana kemaran dan kebuluran sekarang ini. Misi yang digerakkan itu bertujuan untuk mengutip dana bagi disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat di sana. Projek yang digerakkan oleh Biro Misi Kemanusiaan HALUAN itu kini sedang sibuk mengadakan berbagai aktiviti untuk misi Talian Hayat Pelarian Somalia, seperti proses ceramah penerangan menerusi media elektronik dan media cetak ke seluruh negara. Sementara itu Naib Setiausaha HALUAN Pahang, Abdul Bashir Abdul Ghani (foto) berkata beliau amatlah berharap agar orang ramai terutamanya umat Islam dapat sama-sama membantu dalam menjayakan misi ini. "Kami sedang menggerakkan usaha untuk mendapatkan seberapa banyak sumbangan untuk disalurkan ke sana. Mereka yang prihatin juga boleh terus menyumbang sejumlah RM200 yang kini amat diperlukan bagi menyara keperluan makan satu keluarga (4 orang) dalam tempoh seminggu. Dengan jumlah tersebut antara barangan keperluan asas seperti beras (15 kg), gandum atau jagung (15 kg), gula (7 kg) dan minyak masa (2 Liter)", katanya. Selain daripada itu Bashir turut menegaskan bahawa pihak HALUAN turut menghantar pasukan relawan kemanusiaan ke kem-kem pelarian dimana bilangannya adalah bergantung kepada situasi dan keperluan. Disamping itu, pengagihan barangan asas di kem Dadaab dan juga kem pelarian lain akan dilaksanakan dengan kerjasama NGO antarabangsa yang sedia ada beroperasi. Mereka juga akan terlibat menawarkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan di kem-kem pelarian.


Menurut Bashir lagi masalah kebuluran akibat kemarau yang berpanjangan kini sedang melanda Afrika. Negara yang teruk terjejas ialah di bahagian selatan Somalia yang melibatkan majoriti masyarakt Islam-Sunni. Negara lain yang turut terlibat ialah Ethiopia, Kenya, Djibouti dan Uganda. "Musim kemarau dan paling kurang hujan sejak 60 tahun lalu kini melanda negara terbabit. Ada kawasan yang tidak pernah hujan sejak 3 tahun lalu. Sejak beberapa bulan yang lalu telah mengakibatkan kematian puluhan ribu penduduk. Malah lebih 12 juta penduduk sedang mengalami risiko kelaparan", katanya. Oleh itu sumbangan amatlah diperlukan.

[Berdasarkan fakta Selatan Somalia telah dikategorikan kawasan kebuluran pada 20 Julai 2011 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Ia melibatkan 2.8 juta daripada 3.7 juta penduduk negara tersebut. Lebih 310 ribu kanak-kanak dikategorikan "acutely-malnourished". 1 daripada 3 kanak-kanak tergolong dlm kategori kekurangan zat makanan yang teruk. Setiap hari 6 per 10 ribu kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal Kawasan yg paling teruk kemarau ialah Lower Shabelle, Middle and Lower Juba, Bay, Bakool, Benadir, Gedo dan Hiraam. Difahamkan tiga hingga empar ribu penduduk Somalia meninggalkan kediaman menuju ke Mogadishu sejauh 550 km atau ke kem pelarian Dadaab di Kenya dan Ethiopia. Mereka dipercayai berjalan dibawah suhu 50 C sejauh 400 km ke kem pelarian Dadaab di Kenya dan Ethiopia. Hampir ½ juta mendiami kem itu. Kem tersebut dipercayai hanya layak untuk didiami oleh 90 ribu orang sahaja].

Isu Gereja: PAS Persoalkan Pendirian UMNO-MCA Dan Hairan Kenapa JAIS Melengahkan Tindakan!

Posted: 21 Aug 2011 02:31 PM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Dalam keseronokan menyerang PAS secara bertubi-tubi dalam isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU), rakyat masih tertanya-tanya apakah pendirian sebenarnya UMNO Barisan Nasional dalam isu ini pula. "Apakah pendirian rasmi UMNO Barisan Nasional dalam isu ini? Satu belah, UMNO menuduh PAS tidak menjaga aqidah umat Islam, rakan baiknya MCA pula menuduh PAS untuk perkara sebaliknya sehingga merestui pencerobohan gereja," soal Ketua Penerangan PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto). Masih segar dalam ingatan ialah rakan terbaik UMNO, MCA iaitu parti yang disokong UMNO untuk menyaman kerajaan Kelantan dalam isu mengharamkan judi melalui Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dalam kenyataannya yang secara terbuka mengutuk tindakan Jais dalam menyiasat GMDU sebagai satu tindakan yang memalukan. Dr Chua turut dipetik sebagai berkata JAIS, yang terletak di bawah bidang kuasa anggota exco daripada PAS Datuk Dr Hassan Ali perlu memberi penjelasan tentang isu itu dan memohon maaf kerana menceroboh premis gereja berkenaan serta kelemahan pihaknya mengendalikan perkara itu. "Kejadian ini menunjukkan bahawa PAS tidak liberal seperti yang didakwanya," tambah Chua sebagaimana yang dilaporkan media. Selain itu, Naib presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, tindakan pegawai JAIS itu mencerminkan sikap parti pembangkang yang berfikiran sempit dan tebal semangat kedaerahannya.

Enggan Jumpa PAS, Tapi Bukti Tersiar Di Internet

Sejak penubuhan PAS, kata Tuan Ibrahim, rata-rata umat Islam tahu parti sentiasa berpendirian dengan tegas bagi mempertahankan aqidah umat Islam, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti sehinggakan hari ini UMNO and MCA masih menakutkan umat Islam dan bukan Islam bahawa kita satu parti yang ekstemis dalam mempertahankan aqidah umat Islam iaitu tak boleh judi, tak suka arak, membanteras murtad dan sebagainya. Disebabkan ketegasan PAS dalam isu membanteras murtad, kata Tuan Ibrahim PAS telah mengesa agar JAIS agar mengambil tindakan segera sekiranya cukup bukti selaras dengan peruntukan perlembagaan negara dan undang-undang tubuh Kerajaan Selangor untuk mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah. "Disebabkan kekurangan maklumat, dan juga first-hand news, PAS turut mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua pihak, Jais dan GMDU, tapi malang, kedua-duanya memilih untuk menangguhkan perjumpaan. Akan tetapi, pada masa yang masa, bukti-bukti JAIS pula mula terledak di Internet walaupun ia sepatutnya rahsia sehingga pendakwaan dibuat di mahkamah. Bahkan, lidah rasmi kami Harakahdaily sudahpun melaporkan bahawa terdapat percanggahan antara apa yang dinyatakan oleh pegawai gereja GMDU bahawa majlis makan malam anjuran Harapan Komuniti tidak mempunyai kaitan dengan agama dengan bukti video Jais ketika menyiasat di majlis makan malam GMDU yang kini hangat dipertontonkan di internet," tambah Dato' Tuan Ibrahim lagi.

PAS Persoal, Kenapa JAIS Melengahkan Tindakan

Berikutan ledakan bukti video penyiasatan JAIS di internet, Tuan Ibrahim berkata PAS kini mempunyai dua persoalan utama dalam kontroversi ini. "Mengapa Jais masih berlengah-lengah untuk bertindak, dan juga kesunyi-sepian gereja mengenai percanggahan kenyataan pihak gereja dengan video penyiasatan Jais yang kini tersebar luas , namun keduanya tidak punyai jawapan sehingga ini PAS masih tidak dapat bertemu dengan kedua pihak," soal beliau. Walaupun telah membuat pendirian tegas dalam isu JAIS ini dan juga menunjukkan keadilan dalam Islam sebenar dalam mencari penyelesaian adil dalam isu ini, namun kata Tuan Ibrahim media pro UMNO sehingga hari ini masih mendesak PAS untuk menyatakan pendirian. "Sebaliknya, rakyat masih sehingga hari ini tak tahu apa pula pendirian BN, khususnya UMNO dan MCA dalam isu ini selain sibuk serang PAS? Ada sesiapa dari seberang sana boleh jawab?" tanya beliau.

[Sememangnya dalam isu ini ia agak aneh untuk diperkatakan sebenarnya. Bayangkan pihak JAIS dan Gereja berkenaan tidak mahu berhadapan dengan parti PAS yang dituduh tidak peka dengan insiden berkenaan. Timbul persoalan, bagaimana dokumen seperti gambar dan video boleh terlepas ke tangan blogger-blogger pro-UMNO?. Sedangkan sepatutnya isu ini masih menjadi "fail sulit" pihak yang berkenaan. Apa yang berlaku ini, samalah dengan kes Video Seks Ketua Pembangkang seperti yang didedahkan oleh Datuk T dulu. Video original telah diserahkan kepada pihak polis tetapi anehnya bagaimana pula blogger-blogger pro-UMNO boleh menyebarkannya di blog masing-masing. Malah, video di naikturun ke laman Youtube secara tergesa-gesa dan tidak profesional. Selepas laporan dibuat oleh media arus perdana, tiba-tiba video pada Youtube dikeluarkan oleh pihak terbabit. Nampak benar adengan yang berlaku ini adalah satu sandiwara skrip yang sengaja direkacipta oleh pihak berkenaan untuk tujuan politik semata-mata. Oleh itu, rakyat diminta bersabar atas apa yang berlaku. Segalanya adalah menjurus kepada persediaan pihak berkenaan berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke-13 itu sebenarnya].

Lim Kit Siang Mahu Najib Hentikan Wayang Dolak Dalihnya Untuk Akui Kesilapan Hadapi Bersih 2.0

Posted: 21 Aug 2011 01:49 PM PDT

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua Parlimen Nasional DAP Lim Kit Siang (foto) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan permainan wayang dan dolak-dalih mereka selama dua bulan dengan mengaku bahawa Kerajaan Barisan Nasional silap dalam menangani himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu. Kit Siang, dalam kenyataan medianya semalam sempena ulangtahun 'Yellow Saturday' ke enam menyatakan, pengharaman kerajaan terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 patut dihentikan selain semua tuduhan terhadap lebih 1,600 demonstrasi digugurkan serta-merta. "Tindakan keras kerajaan dan polis pada Himpunan Bersih 2.0 benar-benar membawa publisiti dan imej buruk kepada Malaysia dalam tempoh singkat Najib sebagai Perdana Menteri. "Malah, Perdana Menteri perlu menunjukkan penghargaan kerana Himpunan Aman Bersih 2.0 mengumpulkan kira-kira 50 ribu rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama, umur dan jantina merupakan pertunjukan terbaik dan paling menonjol dalam konsep 1 Malaysia," kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur. Pada 9 Julai lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia hadir berhimpun untuk menyokong tuntutan reformasi pilihan raya tersebut di ibu negara. Bagaimanapun, kerajaan pusat dan polis telah bertindak ganas dalam menyuraikan perhimpunan itu dan seolah-olah cuba 'melenyapkan' perkara tersebut pada paparan media arus perdana. Malah seorang peserta turut terbunuh pada hari tersebut dan beberapa yang lain cedera akibat tindakan pihak polis itu.

[Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor. Oleh yang demikian, Kit Siang tidak mahu BN terus berselindung dengan hujah pilihan raya negara ini adil dan kemenangan di lima buah negeri Pakatan Rakyat merupakan buktinya. Menurut Kit Siang, kenyataannya ialah perkara itu bukan jawapan kepada aspirasi rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang tuntutan Bersih 2.0. Respon mudah dan benar terhadap hujah itu ialah jika tidak kerana sistem pilihan raya yang tidak telus, lebih lima negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan di peringkat Nasional, mungkin hampir untuk menggantikan kerajaan UMNO Barisan Nasional itu sebenarnya].

Warta Pahang: Najib Umum Pekan Jadi Pengeluar Kereta Volkswagen Selewatnya November 2011 Ini!

Posted: 21 Aug 2011 01:33 PM PDT


PEKAN, 22 Ogos - Kilang DRB-HICOM di sini dijangka mula memasang kira-kira 250 unit kereta Volkswagen selewat-lewatnya November ini, pengeluaran pertama yang akan menguji pasaran tempatan dan global, kata Datuk Seri Najib Razak. "Peminat Mercedes dan Volkswagen sudah tentu akan lebih mengenali Pekan selepas ini," katanya sambil berharap DRB-HICOM akan turut menambah kakitangannya kepada 6,000 orang berbanding 2,500 orang ketika ini dalam tempoh empat tahun akan datang. Beliau berucap pada majlis mesra Ramadan bersama lebih 1,000 warga DRB-Hicom dan menerima penyerahan bendera sempena Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan Negeri Pahang di Pekan yang diadakan di Taman Sri Maulana di sini. Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata ia juga akan menjadi platform bagi menjadikan Pekan pangkalan eksport kenderaan itu bermula 2014 dan bandar yang mempunyai hubung kait dengan pengeluaran automotif bagi pasaran antarabangsa. Najib kemudian bersolat tarawih bersama penduduk dan menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin serta ibu tunggal di Masjid Padang Polo, Pekan. Terdahulu beliau menghadiri majlis penyampaian dividen kepada peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Berkelompok (TSK) dan mengumumkan dividen RISDA sejumlah RM179.6 juta bagi 2010 yang akan beri manfaat kepada 42,206 peserta RTBB dan TSK di seluruh negara.

[Dalam ucapannya, beliau mahu semua pekebun kecil di negara ini mengguna pakai teknik terbaik dalam meningkatkan produktiviti hasil getah dan kelapa sawit supaya dapat menambah pendapatan berlipat ganda sejajar prinsip Model Baru Ekonomi (MBE). Perdana Menteri juga yakin usaha berterusan serta penggunaan baja yang betul akan dapat meningkatkan pengeluaran seterusnya menambah pendapatan bulanan golongan berkenaan, sekali gus memastikan sektor perladangan negara terus berdaya saing dan menggalakkan penyertaan lebih ramai generasi muda. "Begitu juga perkara berkaitan membaja perlu diberi perhatian utama... saya minta RISDA lancarkan gerakan di seluruh negara supaya pekebun kecil membaja pokok getah atau sawit mengikut jadual dan dapat meningkatkan hasil serta pendapatan masing-masing," tambah beliau lagi].

Warta Pahang: 'Jabatan Perikanan Negeri' Bawa Masuk "Bekalan Tambahan" Atasi Kekurangan !!

Posted: 21 Aug 2011 12:09 PM PDT

KUANTAN 21 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri akan membawa masuk bekalan ikan dari negeri lain bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu di negeri ini. Pengarahnya, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, pihaknya juga akan mengimport ikan dari luar bagi mengatasi kekurangan bekalan tersebut supaya masyarakat tidak menghadapi masalah untuk mendapat bahan mentah makanan itu. Beliau menjelaskan, masalah kekurangan bekalan itu bermula sejak April lalu dan dijangka berakhir pada akhir bulan ini. "Ia disebabkan perairan laut di negeri ini mengalami kekurangan ikan disebabkan musim bertelur dan tempoh membesar antara April hingga akhir Ogos. "Kita sedia maklum mengenai perkara ini (kekurangan bekalan ikan), namun memang sekarang musim tidak banyak ikan," katanya. Mohamad berkata, pihaknya turut menerima rungutan daripada orang ramai terutama peniaga yang sukar mendapat bekalan ikan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Tambahnya, bekalan itu dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti. "Dijangka hujung bulan ini dan dan awal September nanti, orang ramai serta peniaga akan mendapat bekalan seperti sedia kala," katanya. Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar basah di bandar ini mendapati harga ikan masih stabil bagi setiap satu kilogram termasuk kembung yang dijual RM12, selayang (RM8), selar (RM7) dan kerisi (RM14) walaupun bekalan dibawa masuk dari negeri-negeri lain.

Panas: 'Khairy' Sanggup Terima Keputusan Kalau Perdana Menteri Rasa Dia Calon Yang Akan Kalah

Posted: 21 Aug 2011 11:57 AM PDT

KOTA BHARU 21 Ogos - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (foto) berkata, beliau sanggup menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang. Beliau berkata, keputusan mengenai calon terletak di tangan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kata putus berhubung siapa calon yang membolehkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang. "Jika Presiden UMNO memutuskan saya bukanlah calon yang boleh menang, saya terima keputusan itu," katanya. Khairy berkata, perkara paling penting ialah kemenangan parti dan bukannya kepentingan individu untuk mengekalkan kuasa. Beliau menyarankan agar semua anggota dan pemimpin parti menerima segala keputusan kepimpinan UMNO tanpa wujud sebarang perasaan tidak puas hati terhadap parti.

[Dalam hal ini, Khairy Jamaluddin nampaknya sudah mula sedar yang khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan oleh parti itu. Bermula dari awal kuasa beralih dari "bapa mertuanya Pak Lah" kepada Najib Razak, jelas dapat dilihat Khairy kini umpanan KJ yang terbuang. Beliau merupakan satu-satunya Ketua Pemuda UMNO yang tidak terpilih menyertai kabinet Barisan Nasional. Ia satu penghinaan dalam diam yang tidak disangka oleh ramai pemimpin UMNO sebenarnya. Namun, Khairy seolah-olah masih tidak sedar akan perkara ini. Beliau kini mula nampak tanda-tanda karier politiknya bakal berakhir menjelang PRU-13 nanti. Apakah wajar seorang Ketua Pemuda UMNO tidak terpilih sebagai calon pilihanraya. Jika ini berlaku, maka Khairy sekali lagi menempa sejarah baru dalam politik negara. Apapun, semoga beliau tabah melalui keperitan perjuangan beliau].

Hishammuddin, Kerajaan Punyai Pendirian Yang Jelas Serta Tegas Soal Kelayakan Menjadi Pemilih!

Posted: 21 Aug 2011 08:05 AM PDT

PUTRAJAYA 21 Ogos - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (foto) hari ini berkata, kerajaan mempunyai pendirian yang jelas dan tegas dalam soal kelayakan untuk berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya. Beliau berkata, walaupun proses permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran diselesaikan dengan segera melalui penambahbaikan sejak lebih dua tahun lalu, ia tidak melibatkan perubahan dasar dan syarat-syarat peruntukan undang-undang serta peraturan sedia ada. Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengemas kini rekod-rekod warganegara Malaysia yang sah dan berdaftar sebagai pengundi awal minggu lalu, selaras dengan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen, kata beliau. sumber

Kenyataan Fitnah: Akhbar 'Kompas' Mohon Maaf Kepada Perdana Menteri Malaysia Serta Keluarga

Posted: 21 Aug 2011 07:43 AM PDT

JAKARTA 21 Ogos - Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah. Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan, yang telah dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta, yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah. Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan tentang bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia. "Atas berita tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan keluarga," kata Rikard dalam Kompas Minggu, hari ini, Ahad. Permohonan maaf itu terkandung di perenggan 10, muka surat 10 akhbar tersebut dalam satu laporan bertajuk "PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia", tulisan wartawan kanan Kompas Jimmy S. Harianto. Harianto berkata, beliau sendiri telah menyampaikan permohonan maaf secara lisan kepada Najib apabila beliau bertemu dengan Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Khamis. Semasa pertemuan itu Najib telah menyatakan rasa terperanjat dengan laporan Kompas pada 4 Ogos itu. "Saya terperanjat dengan laporan tersebut. Sebab faktanya, saya tahu itu tidak benar sama sekali," Najib dipetik akhbar itu dalam tulisan Harianto hari ini. "Apa lagi hal ini berkaitan nama Ketua Kerajaan negara jiran, yang mana hubungan kita amat penting sekali," kata Najib. Pada pertemuan itu, Harianto turut mengadakan wawancara khas dengan Perdana Nebteri berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. sumber

Tiada ulasan: