Sabtu, 13 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Hishamuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nafi Dakwaan Pembangkang Pihaknya Beri Taraf Permastautin Tetap Mudah Kepada Warga Asing

Posted: 13 Aug 2011 06:56 AM PDT

KLUANG 13 OgosKementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa pihaknya mudah memberikan taraf pemastautin tetap (PR) kepada rakyat asing. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (foto) berkata, tuduhan itu tidak berasas malah sengaja ditimbulkan parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang. "Tuduhan ini tidak berasas kerana saya tahu dan saya yang meneliti syor-syor daripada pegawai kita. Kita meluluskan PR mengikut undang-undang. "Kenapa dulu mereka (pembangkang) tidak bangkitkan perkara ini. Jadi saya mahu nyatakan bahawa ini tidak benar," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Sembrong, Abdul Rahman Shahdan, yang menghidap penyakit kencing manis, di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini. Hishammuddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong, berkata, tindakan pembangkang yang membuat pelbagai tohmahan terhadap isu pemberian PR itu jelas menunjukkan mereka bimbang dan takut dengan program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, apa yang dibimbangi ketika ini adalah mudah bagi warga asing tinggal di negara ini dan atas dasar berkenaan, pihaknya melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) untuk merekodkan data mereka.

[Kenyataan Hishamuddin ini dilihat tidak kena pada tempatnya. Tambahan pula pendedahan yang dibuat oleh pihak pembangkang itu ada asas dan bukti-bukti kukuh yang telah didedahkan. Malah, isu ini sememangnya sudah lama dibangkitkan terutamanya melibatkan pilihanraya di Sabah dulu. Ramai warga asing yang bertaraf PR terutamanya dari Filipina dan Pakistan mendapat taraf kewarganegaraan yang membolehkan mereka mengundi BN di sana. Begitu juga dengan apa yang berlaku di semenanjung sekarang ini. Banyak bukti terdapatnya warga asing yang sengaja diberikan MyKad untuk membolehkan mereka mengundi. Malah, di Pahang ini sendiri ia banyak melibatkan warga Kemboja dan Myanmar yang mendiami kawasan Pekan dan sekitarnya. Malah mereka dilihat memiliki MyKad biarpun baru setahun jagung berada di negara ini. Namun, Hishamuddin juga ada hak untuk menafikan apa yang berlaku. Kerana itulah budaya dan amalan politik di negara kita sejak zaman berzaman].

Warta Pahang: Jana Kemenangan Dalam PRU-13, PAS Adakan Konvesyen Pilihan Raya 17 Ogos Ini !

Posted: 13 Aug 2011 05:06 AM PDT

TEMERLOH, 13 Ogos - Dengan jangkaan Pilihan raya umum (PRU) 13 hanya dalam tempoh beberapa bulan dan PAS bersama Pakatan Rakyat pula berpotensi untuk mencipta kemenangan, satu konvensyen pilihan raya akan diadakan Rabu ini. Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang yang dijadualkan pada 17 Ogos itu akan berlangsung di Markas Darul Amin, Sungai Gau bermula jam 8 pagi hingga 12 malam. Menurut pengarah program Abdul Majid Hasan (foto), pada majlis tersebut tiga tokoh PAS Pusat akan membentangkan pengarahan kerja serta motivasi iaitu Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli. "Tema konvensyen yang sangat penting ini ialah 'Sederap Menjana Kemenangan' dan ia lanjutan daripada program retreat pilihan raya yang diadakan di Cameron Highlands baru-baru ini. "Matlamatnya ialah untuk merangsang, menggerakkan dan mengaktifkan jentera serta petugas di semua peringkat parti untuk kemenangan pada PRU 13. Juga menyediakan roadmap bertindak mulai Ogos 2011. "Urusetia menjangkakan 1,000 peserta akan hadir yang terdiri daripada anggota Badan Perhubungan Negeri, Dewan-Dewan, Kawasan PPPP, AIPP, DHPP dan Pimpinan Pakatan Rakyat Pahang," katanya. Abdul Majid yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang berkata, acara pada sebelah siang akan berakhir pada pukul 4 dengan penyerahan buku rumusan bertindak yang disepakati iaitu 'Perincian Gerak Kerja Merujuk Resolusi Retreat'. Pada sebelah malamnya akan diadakan tahlil dan iftar perdana, Solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan diakhiri dengan ceramah perdana.


Tiga pemimpin besar PAS yang bakal berceramah pada malam tersebut
[Dalam pada itu Abdul Majid memberitahu, fokus PAS Pahang ialah untuk mendapatkan undi Melayu dan jika berjaya Pakatan Rakyat boleh mendapat majoriti mudah. Tambahnya, ini tidak mustahil kerana 12 daripada 14 kerusi parlimen di Pahang merupakan kawasan Felda. Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, terdapat 25 kerusi kawasan Felda daripada 43 DUN keseluruhannya. "Dengan peningkatan sokongan dibandar, sokongan bukan Melayu yang masih kekal, lonjakan kesedaran di kalangan peneroka Felda serta pelbagai kelemahan kerajaan negeri yang hangat diperkatakan, maka kita yakin Pakatan boleh membuat kejutan dalam PRU akan datang asalkan pelan gerak kerja dilaksanakan di semua peringkat," tegasnya. Tambahnya, gelombang kebangkitan kemenangan Pakatan di Pahang bermula dengan konvensyen ini nanti].

Datuk Saifuddin Abdullah, Sekali Lagi Menentang Arus Bila Menolak Pendapat Bersih 2.0 Boleh Jadi Rusuhan Seperti Apa Yang Berlaku Dekat London

Posted: 13 Aug 2011 02:38 AM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (foto) tidak sependapat dengan sebahagian besar pemimpin BN dan UMNO bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 boleh bertukar menjadi rusuhan seperti yang berlaku di kota London awal minggu ini. "Saya tidak bersetuju dengan demonstrasi yang menyalahi undang-undang, tetapi saya tidak akan tidak bersetuju dengan tuntutan BERSIH dan saya juga tidak bersetuju bahawa BERSIH dibandingkan dengan rusuhan London," katanya kepada kira-kira 100 orang pada satu forum pagi ini. Menurut Saifuddin, kerajaan telah gagal menangani tindakan BERSIH untuk berarak pada 9 Julai dengan mempertimbangkan kemungkinan satu perhimpunan aman seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). "Kita sepatutnya membincangkan cadangan Suhakam mengenai cara untuk mengadakan perhimpunan secara aman," katanya pada forum "Reformasi Pilihanraya dan Pemurnian Demokrasi" anjuran Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang. Katanya, sesetengah orang tidak seharusnya begitu takut dengan perkataan "demonstrasi" sehingga mendapati bahawa walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi tetapi ia diberi nama atau labelkan dengan perkataan lain. Walau bagaimanapun, Saifuddin pertahankan hujah bahawa Perdana Menteri sentiasa berhasrat mahu benarkan perhimpunan itu diadakan di dalam stadium. "Tetapi ia tidak berlaku. Dan saya tidak akan mengulas lebih dari itu," tambah beliau lagi.

[Nampaknya, Saifuddin Abdullah akan semakin dibenci dan dikritik oleh para penyokong UMNO selepas ini. Beliau yang dilihat lebih bersikap neutral dalam mengeluarkan kenyataan mungkin akan berhadapan dengan bantahan dari kalangan ahli parti itu sendiri. Justeru itulah kita tidak hairan beliau kini sering menjadi mangsa dan kutukan blogger-blogger pro-UMNO. Malah ada yang menuduh dia adalah orang Anwar dalam kabinet Najib. Apapun, kenyataan haruslah diterima dengan hati yang terbuka. Mungkin Saifuddin lebih bersukap terbuka kerana memikirkan kebenaran yang perlu dilakukan dalam amalan pilihanraya di negara kita. Lantaran itulah beliau melihat himpunan Bersih 2.0 itu perlu bagi memperbetulkan keadaan. Ia berbeza dengan apa yang berlaku di London bila rakyatnya merusuh akibat ketidak puasan hati terhadap kerajaan yang menyebabkan ekonomi negara itu kian merudum. Itulah yang membuatkan mereka terpaksa memberontak demi survival kehidupan mereka itu sebenarnya].

Warta Pahang: GiatMara Beri Bonus Raya RM500 Kepada 2,055 Kakitangannya Sempena Aidil Fitri !

Posted: 13 Aug 2011 01:13 AM PDT

RAUB 13 Ogos - Seramai 2,055 warga GiatMara akan menerima bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 sempena sambutan Aidilfitri, kata Pengerusi Giat Mara, Dato' Shahiruddin Ab Moin (foto). Beliau berkata, bayaran bonus itu akan dibuat pada 19 Ogos ini membabitkan peruntukan RM2.5 juta. "Bayaran setengah bulan gaji atau minimum sebanyak RM500 sebagai menghargai peranan dan jasa yang telah disumbangkan pegawai dan kakitangan dalam usaha meningkatkan peranan GiatMara," katanya kepada pemberita di sini. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, GiatMara bercadang membuka lebih banyak cawangan di perkampungan Orang Asli bagi membolehkan lebih ramai belia dan anak Orang Asli mendapat latihan kemahiran di GiatMara. "Sehingga kini terdapat lebih 100 belia Orang Asli mengikuti pelbagai kursus dan latihan kemahiran di GiatMara seluruh negara," kata Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Dong.

[Nampaknya selepas kerajaan berbuat demikian, ia terus diikuti pula oleh lain-lain agensi yang lain. Apapun syabas kepada GiatMara kerana berupaya memberi kelegaan kepada kakitangan mereka. Semoga sambutan Aidil Firi pada tahun ini dapat dijalani dengan keceriaan hendaknya. Mungkin selepas ini, ramai lagi pihak akan berlumba-lumba untuk mengumumkan pemberian bonus raya kepada kakitangan mereka. Rakyat perlu bersyukur atas segala nikmat yang diberikan. Apa yang baik kita perlu sokong dan apa yang kurang baik perlu ditegur. Semoga kita menjadi rakyat Malaysia yang lebih bertoleransi dan bersatu padu satu sama lain].

Warta Pahang: 'Tunku Hajjah Azizah' Kini Makin Pulih Serta Di Jangka Akan Keluar Hospital Esok!

Posted: 12 Aug 2011 04:27 PM PDT

KUANTAN 13 Ogos - Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (foto) yang mengalami kekejangan otot pada bahagian atas badan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak dua hari lalu, semakin pulih dan dijangka keluar dari hospital itu esok. Tunku Azizah mengalami kekejangan otot pada bahagian atas bahu (arms and armpit) selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Umar bin Abdul Aziz di Kampung Seri Ketumbit, Kerdau kelmarin bersama dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah. Baginda kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh sebelum dipindahkan ke HTAA Kuantan. Tunku Azizah berkata, ketika sedang solat, baginda terasa sakit di bahagian lengan ke atas namun keadaan menjadi lebih teruk kerana tidak dapat menggerakkan badan. Sebelum menghadiri majlis bersama rakyat di Kerdau, baginda dikatakan sakit di bahagian dada namun tidak mempedulikan keadaan itu dan meneruskan aktiviti yang dirancang. "Mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk berehat," katanya. Tunku Azizah berkata, kira-kira setahun lalu, baginda mengalami kesakitan di leher dan terpaksa menggunakan pendakap leher.

[Pahang Daily Online (PDO) mendoakan kesejahteraan buat baginda Tunku Hajja Azizah. Baginda adalah "bakal permaisuri Pahang" yang amat disenangi oleh rakyat jelata di negeri ini. Sikap baginda yang mudah mesra dengan rakyat dan gemar melakukan aktiviti kebajikan amatlah dikagumi. Kami juga tidak lupa mengucapkan Selamat Ulangtahun Ke-51 kepada banginda pada 5 Ogos 2011 yang lalu. Semoga baginda dipanjangkan usia hendaknya. Paling mengejutkan baru-baru ini baginda sempat mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat di Padang MPK hadapan Masjid Sultan Hj.Ahmad Shah Kuantan (foto). Kehadiran baginda bersama anakandanya Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (kembar) dan Tengku Putri Nur Jahan Khalsom Athiyatullah telah luangkan masa di padang yang sudah sinonim bagi warga Kuantan. Sesungguhnya, sikap baginda seperti ini amatlah menambat hati rakyat].

Warta Pahang: Majlis Berbuka Puasa IPK Pahang Dekat Kompleks Polis Alor Akar Di Sambut Meriah

Posted: 12 Aug 2011 04:03 PM PDT

KUANTAN 13 Ogos - Seramai 250 pegawai dan anggota polis termasuk ahli keluarga dari Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini mengadakan majlis berbuka puasa di Kompleks Polis dekat Alor Akar di sini, kelmarin. Program tahunan anjuran kedua-dua jabatan itu diadakan bertujuan beramah mesra di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota bawahan dan pegawai atasan. Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani (foto) berkata, program sedemikian menjadi program tahunan sejak beberapa tahun dahulu khususnya di bulan Ramadan. "Selain berbuka puasa bersama dan beramah mesra, kami juga menunaikan solat terawih berjemaah bersama-sama," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

[Turut hadir di majlis itu, timbalan beliau, Datuk Fatimah Ghazali; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Yap Thoon Kuan. Selain itu juga dilihat hadir turut hadir majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supritendan Mohd. Haris Daud dan juga Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri iaitu Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri].

Eksklusif: Info Cyber Warta Selangor 12 Ogos 2011

Posted: 12 Aug 2011 04:25 AM PDT

Tiada ulasan: