Rabu, 10 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Warta Pahang: Kerajaan Negeri Umum Pemberian Bonus Setengah Bulan Kepada Kakitangan Awam!

Posted: 10 Aug 2011 01:58 AM PDT

TEMERLOH, 10 Ogos - Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji untuk 12,570 kakitangan awamnya. Perkara itu telah dimaklumkan oleh Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini. Sementara itu, Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara. Dalam pada itu, kakitangan awam di negeri ini diharap dapat memanfaatkan bonus terbabit untuk kegunaan sempenan menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi. Keputusan Kerajaan Negeri Pahang memberikan bonus itu sungguh mengejutkan ramai pihak sebenarnya. Apatah lagi selama ini pihak pembangkang mewar-warkan kononnya kerajaan negeri "bangkrap". Dengan pemberiann bonus ini juga mungkin ia boleh menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak seperti apa yang diperkatakan. Malah ia juga sebagai imbuhan kepada rakyat yang telah menyumbang jasa kepada negeri ini. Semoga kakitangan awam di Pahang dapat bekerja dan menunaikan tanggungjawab mereka dengan lebih cemerlang lagi atas keprihatinan kerajaan ini. Dengan pemeberian bonus tersebut bermakna kakitangan awam di negeri Pahang kini mendapat dua bonus raya, selepas Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian tersebut baru-baru ini.

[Selain Kerajaan Negeri Pahang, turut mengumumkan pemberian bonus hari ini ialah Kerajaan Negeri Terengganu. Nampaknya, dua negeri ini mendahului negeri-negeri lain dalam menjaga kebajikan kakitangan awam mereka. Tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan beberapa negeri yang ditadbir oleh pembangkang telah mendahului penberian bonus ini. Namun kini ia kembali didahului oleh negeri yang diperintah oleh UMNO Barisan Nasional. Apapun, senario ini amat menarik untuk diperkatakan kerana masing-masing kini berlumba-lumba untuk membela kakitangan awam yang telah banyak menyumbangkan jasa bagi membantu pentadbiran kerajaan negeri masing-masing. Semoga kakitangan kerajaan dapat menyambut Aidil Fitri tahun ini dengan lebih ceria lagi hendaknya].

Kerajaan Negeri Kelantan Merancang Bina Lebuh Raya 63 Kilometer Dari Kota Bharu Ke Kuala Krai

Posted: 10 Aug 2011 01:42 AM PDT

KOTA BHARU 10 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan merancang membina lebuh raya empat lorong sepanjang 63 kilometer antara Kota Bharu ke Kuala Krai yang bakal menyaksikan penduduk negeri ini membayar tol buat pertama kali selepas lebih 20 tahun pemerintahan PAS di sini. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (foto) berkata, pembinaan lebuh raya itu dijangka menelan belanja RM1.9 bilion termasuk kos pengambilan tanah. Husam mendakwa, permohonan mereka sebelum ini untuk pembangunannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) tidak mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, justeru kerajaan negeri mengambil keputusan membangunkannya sendiri sebagai jalan negeri secara penswastaan. "Kerajaan negeri mengambil keputusan memulakan sendiri pembangunan lebuh raya ini tanpa menunggu lagi Kerajaan Persekutuan kerana mungkin Kerajaan Persekutuan tidak melihatnya sebagai keutamaan mereka. "Tujuan kita ambil inisiatif ini untuk membantu anak Kelantan terutama yang pulang berhari raya mengelak kesesakan yang teruk, kalau ada jalan terus dari Kuala Krai ke Kota Bharu, kita jangka masa perjalanan hanya akan mengambil masa antara 30 hingga 40 minit sahaja. "Memang ada pihak swasta yang sudah datang sebelum ini dan membuat beberapa cadangan tetapi kita perlu melalui beberapa proses dan penilaian terlebih dahulu," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

[Pengumuman yang pastinya mengejutkan ramai pihak sebenarnya. Jika projek ini menjadi realiti maka ia merupakan satu tamparan hebat buat kerajaan pusat. Tambahan pula, rakyat melihat kerajaan pusat seolah-olah mendera rakyat Kelantan apabila hanya membina Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) hingga ke sempadan negeri itu sahaja. Sebaliknya rakyat Kelantan terpaksa melalui jalan biasa untuk ke ibu negeri Kota Bahru. Malah, jika cadangan ini dilaksanakan kelak maka sudah pasti juga UMNO BN akan semakin sukar untuk merampas semula negeri Kelantan daripada pentadbiran ulamak PAS. Terkadang, bila sesuatu tindakan itu dilihat keterlaluan akhirnya rakyat semakin membenci dan mereka pasti akan merealisikannya dalam pilihanraya umum ke-13 ini pastinya. Fikirkanlah].

Warta Pahang: Sembilan Saksi Di Tuduh Memberi Maklumat Palsu 'Kes Rasuah Norza' Di Bebaskan !

Posted: 10 Aug 2011 12:29 AM PDT

TEMERLOH 10 Ogos - Sembilan saksi yang dituduh memberikan keterangan palsu membabitkan kes dakwaan rasuah bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria (foto) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Majistret Siti Hajar Mustaffa semasa membacakan keputusannya berkata, beliau mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh. Mereka yang dibebaskan ialah Datuk Khadri Musa, 48; Muhammad Anuar Mohd Yunus, 44; Nasaruddin Abdullah, 48; Mohd Sabri Aziz, 46; Yusof Jamaluddin, 54; Jalaluddin Johan, 48; Mohd Taupik Hussin, 41; Nor Azhar Abdul Latip, 49; dan Saiful Azman Mokhtar Affendi, 46. Mereka didakwa memberi keterangan yang bercanggah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh Azuar Che Yusof semasa perbicaraan terhadap Mohamad Norza yang bermula dari 10 Februari 2009 hingga 13 Mei tahun lepas. Keterangan itu didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan mereka kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 20 Januari 2009 dan 23 April 2009 dekat pejabat SPRM Temerloh.

[Satu keputusan yang cukup mengejutkan dikala umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Apapun semoga mereka yang terlibat dapat menerima keputusan itu dengan penuh kesyukuran. Kes ini nampaknya semakin panas dan menjadi perhatian, sedangkan ramai lagi pihak yang dipercayai terlibat dengan kes-kes seperti ini. Justeru itu, semua pihak diminta berhati-hati dalam membuat keputusan dan tidak menggunakan taktik kotor dalam apa jua perebutan jawatan dalam mana-mana parti politik di negara ini. Semoga, kes yang berlaku ini dapat menjadi tauladan yang berguna kepada seluruh rakyat Malaysia. Salam Perjuangan semua!].

Musykil: Apa Motif 'Ezam Mohd Noor' Serta Empat Lagi 'Bekas Pemimpin PKR' Kata Najib Razak Dan Rosmah Itu Tidak Relevan Jadi Saksi Kes Liwat II!

Posted: 09 Aug 2011 04:59 PM PDT

Ramai pihak yang terkejut dengan kenyataan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor (foto) yang beriya-iya kononnya dia sedia menawarkan diri untuk dipanggil menjadi saksi kepada kes liwat Anwar. Kenyataan itu di siarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini atas tajuk "5 bekas pemimpin PKR, setiausaha sulit sedia jadi saksi kes Anwar". Soalnya, kenapa Ezam begitu "desprade" mahu menjadi saksi sedangkan namanya tidak termasuk dalam senarai atau pun "tidak relevan". Apakah beliau mendapat arahan daripada pihak-pihak tertentu agar mengalih perhatian rakyat terhadap tindakan peguam bela Anwar yang mahu menemu ramah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes tersebut. Selain dari Ezam turut dilaporkan menawarkan diri menjadi saksi ialah Bekas Naib Presiden PKR, N. Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin, Dua orang bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari dan Muhamad Rahimi Osman. Rata-rata mereka beranggapan, tindakan peguam bela itu adlah adalah suatu yang tidak relevan kerana kedua-dua mereka (Najib dan Rosmah) tidak ada kena mengena dengan kes tersebut. Soalnya, benarkah Najib dan Rosmah tidak relevan dipanggil sebagai saksi?. Bukankah diawal kes ini dihebohkan dulu Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri ada mengaku yang Saiful ada menemuinya untuk memohon biasiswa. Itu pun selepas beberapa gambar anak muda itu bergambar di hadapan pejabat beliau disebarkan. Malah, najib juga mengaku Saiful datang ke rumahnya dalam keadaan terketar-ketar dan kesejukan untuk mengadu dia telah diliwat Anwar. Itu isunya, dan ini bermakna Najib adalah antara orang terawal yang mendapat tahu "Saiful Bukhari" kononnya telah diliwat.


Sila klik untuk besarkan imej gambar kenyatan DSP Jude Pereira di atas

[Bukti kedua, kenapa Najib dan Rosmah relevan untuk jadi saksi kes liwat II ini ialah kerana nama mereka juga disebut-sebut dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding perbicaraan dijalankan. Kenyataan itu telah dibuat oleh Pegawai Penyiasat kes berkenaan iaitu DSP Jude Pereira. Beliau berkata beliau ada merekodkan kenyataan Rosmah pada 17 Julai 2008 tetapi tidak merekodkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak selepas kejadian itu didakwa terjadi pada 26 Jun 2008. Mohd Saiful Bukhari telah mengadu kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selepas didakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2008, demikian menurut keterangan beliau di mahkamah pada 11 Mac 2011 yang lalu. Maka, dalam hal ini pemilihan Najib sebagai saksi adalah relevan dengan kes. Kenapa mereka semua mengatakan ia tidak relevan?. Kebenaran apakah yang mahu disembunyikan?. Rakyat melihat semua adengan ini sebenarnya. Jika Anwar bersalah maka hukumlah dia dengan seadilnya. Namun, dia juga berhak memanggil saksi yang relevan dengan kes dan bukannya saksi yang mencipta spekulasi seperti mereka berlima].

Memalukan: Tindakan Pegawai Imigresen Pahang Bertindak Kasar Terhadap PATI Amatlah Di Kesali Dan Ia Jelas Jatuhkan Imej Kerajaan Sebenarnya!

Posted: 09 Aug 2011 03:22 PM PDT

KUANTAN, 10 Ogos - Tindakan sebilangan Pegawai Imigresen Pahang mengherdik dan melontarkan kata-kata biadap terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang datang ke pejabat itu untuk mendaftar diri dalam program pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) amatlah dikesali. Mereka bukan sahaja bercakap kasar dan sombong, malah turut melayan PATI yang hadir ke pejabat tersebut seperti "binatang". Perkara ini dimaklumkan oleh orang ramai yang sempat menyaksikan kejadian tersebut baru-baru ini. Mereka terkejut kerana ada pegawai berkenaan yang bertindak diluar batasan, termasuk terjerit-jerit dan melontarkan kata-kata kesat terhadap PATI yang sedang beratur panjang untuk mendaftar. Bukan itu saja, malahan ada juga maklumat mengatakan seorang PATI warga Bangladesh telah dihentak dengan objek keras (telefon) di kepalanya gara-gara jari berpeluh semasa pendaftaran biometrik. Semuanya akibat tidak tahan melayan kerenah mereka ketika berurusan dengan pihak berkenaan. Ramai saksi mendedahkan dan melihat dengan jelas perkara ini. Mereka amat kecewa dengan apa yang berlaku. Malah ada yang hairan kenapa pegawai berkenaan boleh berkelakuan seperti itu di bulan Ramadan ketika mereka sendiri sedang menjalani ibadah puasa. Sepatutnya mereka lebih berhemah pada bulan yang mulia ini. Tetapi, senario yang telah berlaku adalah sebaliknya pula.


Kehadiran PATI yang ramai hingga ke luar pos pengawal Pejabat Imigresen


Inilah dia wajah salah seorang pegawai Imigresen yang dilaporkan biadap itu

Kehadiran PATI yang ramai bukanlah lesen untuk mereka berlaku biadap
Menurut seorang saksi yang membawa beberapa orang PATI mendaftar dalam program itu berkata sikap pegawai berkenaan tidak ubah seperti melayan hamba abdi. "Mereka sesuka hati memarahi PATI dengan kata-kata kesat. Bukan itu saja malahan ada juga yang tergamak cuba memukul mana-mana PATI yang cuba melawan atau menjawab", katanya. "Saya lihat sendiri didepan mata bagaimana beberapa orang PATI terpaksa menungguh begitu lama semata-mata untuk mendaftar. Ada sebilangan mereka datang sejak awal pagi dengan membawa bersama anak-anak kecil, tetapi sehingga jam 2.00 petang nama mereka masih belum dipanggil. Sedangkan pegawai terbabit memberi ruang sebebasnya untuk memanggil nama-nama majikan yang membawa parti masing-masing. Biar pun kita tahu mereka menyediakan kaunter yang berbeza di dalam pejabat berkenaan, tetapi sekurang-kurangnya berilah ruang dan keutamaan kepada orang-orang tua yang uzur terutamanya bagi mereka yang membawa anak-anak kecil", tambahnya lagi.

[Tinjauan kami ke lokasi kejadian mendapati, ramai PATI terpaksa berpanas terik dan beratur panjang untuk mendaftar program itu. Mereka bukan sahaja berhadapan dengan keadaan itu pada bulan Ramadan (bagi yang beragama Islam), malahan terpaksa pula berhadapan dengan karenah pegawai yang tidak berperikemanusian. Amatlah tidak wajar, PATI dilayan sedemikian rupa sedangkan kerajaan sendiri yang menawarkan program itu kepada mereka. Jika ini keadaannya, adalah lebih elok program itu tidak dilaksanakan. Sikap sombong dan angkuh pegawai seperti itu amatlah memalukan dan jelas sekali menjatuhkan imej kerajaan sendiri sebenarnya. Biar pun tidak semua yang bertindak demikian, namun mereka harus sedar akan tanggungjawab masing-masing. PATI juga adalah manusia atau makhluk Allah yang perlu dilayan seadilnya. Jika tidak lebih baik dipunggah kesemuanya dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Tidak perlu berbangga kononnya mereka terpaksa bekerja dari lewat malam hingga siang hari, kerana itulah tanggungjawab dan amanah yang telah diterima. Jika tidak mahu berhadapan dengan masalah, lebih baik mereka yang terbabit berhenti kerja. Di harap pihak yang berkenaan dapat memantau perkara ini demi menjaga imej negara. Di mana konsep mesra dan berbudi bahasa yang telah diwar-warkan selama ini agaknya].

Panas: Kanak-Kanak "Meninggal Dunia" Setelah Makan Makanan Yang Di Beli Di Bazar Ramadan!

Posted: 09 Aug 2011 09:22 AM PDT

KLANG 10 Ogos - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas 12 jam berbuka puasa, manakala keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama. Bapa mangsa Mohamad Ali Khir, 37, berkata, Nurdini, 11, dan keluarganya berbuka puasa dengan otak-otak serta air batu campur yang dibelinya di sebuah Bazar Ramadan berhampiran rumah mereka di Taman Seri Mewah, Fasa 2, Meru dekat sini, Ahad lepas. "Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah berkenaan, perut saya mula berasa tidak selesa, dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah-muntah dan cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air," katanya semalam. Selain Nurdini, anggota keluarga Mohamad Khir yang mengalami simptom sama ialah isterinya, Noraliti Ramli, 37, empat lagi anak mereka iaitu Mohammad Syafiq, 14, Mohammad Irfan, 13, Mohammad Fitri, 8, dan Mohammad Hazimi, 3, serta pembantu rumah yang dikenali sebagai Pati. Beliau berkata, Nurdini dijumpai terlentang di bilik air pada 6.10 pagi semalam dengan suara dengusan kuat seperti lembu disembelih, manakala mata mangsa terbeliak dan mulutnya berbuih. Mohamad Ali kemudian membawa anak perempuan tunggalnya itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan sebaik tiba di situ, mangsa disahkan meninggal dunia. Beliau berkata, sehingga kini, semua anggota keluarganya dirawat di hospital itu dan doktor belum mengenal pasti penyakit yang mereka hidapi. Katanya, sejak awal Ramadan, Nurdini meminta untuk menikmati air batu campur serta otak-otak, namun beliau hanya berkesempatan membeli juadah berkenaan Ahad lepas. Mohamad Ali berkata, jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru di sini selepas waktu Zohor, petang kelmarin. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu manakala pihak hospital tidak dapat dihubungi.

[Kejadian yang sunggh memilukan sebenarnya. Gara-gara membeli juadah untuk berbuka puasa akhirnya keluarga terbabit ditimpa musibah sedemikian rupa. Namun pengajara yang harus diambil daripada insiden ini ialah jangan terlalu taksub membeli juadah di Bazar Ramadan, kerana dikhuatiri makanan yang sudah lebih tarikh terus dijual biarpun tahap kesihatannya amatlah diragui. Sementara itu, kepada para peniaga pula adalah dinasihatkan jujur dan amanah dalam menjalankan urusan perniagaan di bulan Ramadan ini. Jangan dek kerana mahu mengaut untung berlipat ganda, maka makanan yang tidak habis dijual pada hari yang lepas dijual pula pada hari berikutnya. Inilah yang menyebabkan unsur-unsur keracunan itu sebenarnya. Pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan diminta memantau tahap kebersihan makanan yang dijual di Bazar Ramadan, agak perkara sebegini tidak berulang lagi].

Eksklusif: Info Cyber Warta Selangor 08 Ogos 2011

Posted: 08 Aug 2011 08:11 AM PDT

Tiada ulasan: