Pahang Daily Online |
- Warta Pahang: Menteri Besar Nafi Dakwaan Pihak Tertentu Kononnya Akan Berlaku Rombakan Exco
- Warta Pahang: Info Cyber Dari Pelbagai Sumber !!
- Kontroversi: Jika "Media Prima" Boleh Pecat Ustaz Zamri Kerana Bersih 2.0, Maka Mereka Juga Perlu Pecat "Penerbit Iklan Sahur" Kerana Hina Islam !!
- Isu Rakyat: Memalukan, 'MPK' Terus Membiarkan Medan Selera Milik Koperasinya Jalankan Operasi Tanpa Tandas Semenjak Lapan Tahun Yang Lalu !
Warta Pahang: Menteri Besar Nafi Dakwaan Pihak Tertentu Kononnya Akan Berlaku Rombakan Exco Posted: 06 Aug 2011 11:26 PM PDT BENTONG, 7 Ogos - Menteri Besar Pahang Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto) menafikan dakwaan pihak tertentu yang kononnya akan berlaku rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannya. Beliau berkata semua anggota exco kerajaan negeri telah menjalankan tugas dengan baik dan komited. "Soal rombakan Exco tidak timbul sama sekali, saya berpuas hati dengan semua anggota exco dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini yang komited dalam menjalankan tugas mereka," katanya. Beliau menjelaskan demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu terutamanya parti pembangkang yang mendakwa akan berlaku rombakan berikutan kegagalan exco-exco tertentu dalam menjalankan tugas mereka. Adnan berkata tindakan pihak tertentu itu hanyalah untuk memberi gambaran buruk kepada kepimpinan kerajaan negeri. "Ia adalah merupakan permainan politik pembangkang yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat," katanya. Beliau bagaimanapun berkata beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diberi lebih tumpuan "Kita akan bekerja keras bagi mengukuhkan lagi kedudukan BN di Pahang. "Iklim politik kini sudah berubah, pandangan golongan muda, cerdik pandai dan lain lain perlu diambil kira. Kita tidak boleh selesa dan yakin namun kena berusaha dan bekerja keras bagi pertahankan kerusi yang ada serta berusaha untuk rampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang," tambahnya lagi. [Adnan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno dan BN Pahang mahu semua anggota parti dan wakil rakyat BN menjalankan perkhidmatan dengan jujur dan ikhlas bagi membela nasib rakyat. Terdahulu beliau yang juga anggota DUN kawasan Pelangai menyampaikan bantuan wang zakat dan hamper kepada kira kira 1,000 fakir miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak anak yatim di kawasan berkenaan di Kampung Simpang Pelangai, di Bentong. Kenyataan beliau ini mungki akan meredakan hati pihak-pihak tertentu sebenarnya. Tambahan kini, masing-masing sedang membuat percaturan untuk terus kekal dalam kabinet Adnan pada pilihanraya umum akan datang jika BN terus berkuasa di Pahang. Apapun, ada sebahagian daripada Exco senior mungkin wajar dikeluarkan dari senarai tersebut. Muka baru perlu diberi ruang dan kesempatan kerana mereka lebih memahami aspirasi rakyat pada zaman ICT ini. Buat masa ini masih ada beberapa orang Exco yang sudah melebihi empat penggal masih dikekalkan sedangkan ia sepatut sudah pun ditukarkan sebelum ini]. sumber |
Warta Pahang: Info Cyber Dari Pelbagai Sumber !! Posted: 06 Aug 2011 07:17 PM PDT Mulai sekarang Pahang Daily Online (PDO) akan menyiarkan berbagai informasi dan maklumat tentang Pahang menerusi ruangan Warta Pahang yang kami wujudkan. Berita yang dipaparkan adalah berkaitan isu semasa dan hal ehwal dalam negeri Pahang sahaja. Dengan berita ini ia akan mendekatkan lagi rakyat Pahang seantero dunia dengan kampung halaman masing-masing. Kepada anda yang ingin menghantarkan bahan berita dan maklumat yang tidak bertujuan komersial, sila emailkan ke pahangdaily@yahoo.com (sertakan gambar foto dan info maklumat berkaitan) untuk memudahkan urusan yang berkenaan. Terima Kasih-PDO Polis Minta Penduduk Berwaspada Di Musim RayaMedan Perang Politik Malaysia Beralih Ke Internet KUANTAN - Sejajar dengan perkembangan global dan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT), medan perang politik di Malaysia turut berubah dan kini telah beralih ke Internet. Perkembangan ini mendorong pelbagai pihak menggunakan Internet untuk menyebarkan maklumat berkaitan politik, seolah-olah tiada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian. Benarkah keadaan ini tidak boleh dikawal? Sesetengah pemerhati media berpendapat ia memang tidak boleh disekat atau dikawal. "Tiada siapa boleh tapis maklumat yang dihantar melalui Twitter, Facebook atau YouTube," kata anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Ti Lian Ker (foto). Mesej boleh dihantar kepada pembaca di seluruh dunia hanya dengan satu klik dan tiada siapa yang boleh kawal kandungannya, kata beliau."Perkara inilah yang memeningkan kepala para pengawal selia dan kerajaan kerana pengguna dan penghantar sesuatu mesej boleh sembunyikan identiti masing-masing," kata beliau. Ti berpendapat setakat ini banyak masalah berkaitan Internet tidak ditangani sewajarnya. JERANTUT - Polis meminta penduduk daerah ini agar sentiasa berwaspada dengan jenayah membabitkan kes pecah rumah terutamanya ketika pulang bercuti pada musim perayaan di kampung halaman masing-masing. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim, kes pecah rumah dan kecurian antara jenayah yang kerap berlaku setiap kali musim perayaan, khususnya ketika penduduk pulang ke kampung atau bercuti. "Rumah yang ditinggalkan terdedah dengan kejadian jenayah dan untuk itu, polis akan kerap turun padang mendekati masyarakat sambil menyebarkan risalah untuk orang ramai mengambil langkah berwaspada," katanya selepas mengedarkan risalah Bersama Memerangi Jenayah Bersama Polis dan Komuniti kepada pengunjung di Bazar Ramadan di sini, baru-baru ini. Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Jerantut, Wan Norizan Wan Badaruzzaman. Menurut Zakaria, mereka yang ingin bercuti digalakkan melaporkan ketiadaan mereka pada jiran dan balai polis berdekatan supaya kediaman itu dapat diawasi. "Kegembiraan pulang ke kampung untuk memeriahkan sambutan hari raya tidak bermakna jika seseorang itu cuai dan mengambil mudah risiko keselamatan kediamannya," katanya kepada media. sumber Peruntukkan RM22 Juta Di Sediakan Baiki Jalan JERANTUT - Kerajaan memperuntukkan RM22 juta untuk membaiki dan menyelenggara jalan utama yang menghubungkan bandar ini dengan Benta, Lipis, dekat sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, peruntukan tersebut hanya digunakan untuk membaiki dan menyelenggara jalan dan bukannya membina jalan baru. "Jalan Jerantut-Benta rosak teruk dan saya dihujani dengan pelbagai aduan serta tohmahan terutama dalam laman sosial Facebook. "Penduduk menuduh saya tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sedangkan kerja untuk membaiki dan membina jalan baru menggunakan peruntukan banyak dan wang tersebut datangnya dari kerajaan Pusat," katanya semalam. Lau Lee berkata, beliau kesal dan kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang sentiasa membuat tuduhan tidak berasas terhadap wakil rakyat apabila kehendak mereka tidak ditunaikan terutama masalah jalan raya. "Saya mengakui bahawa kerosakan jalan tersebut agak teruk namun, berharap penduduk bersabar kerana peruntukkan untuk membina jalan baru masih belum diterima," katanya. Menurutnya, peruntukan RM5 juta yang diterima sebelum ini digunakan untuk membina dua jambatan baru di Kampung Baharu dan Damak dekat sini. Beliau memberitahu, kerosakan di jalan tersebut disebabkan takungan air setiap kali hujan dan sering dijadikan laluan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan. Katanya, masalah hujan tidak boleh dielak tetapi kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan boleh diatasi dengan adanya pemantauan daripada pihak berkuasa. "Saya menyeru pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemantauan kerana kenderaan berat sering menggunakan laluan tersebut dengan membawa muatan yang tidak sepatutnya dan turut datangkan bahaya kepada pengguna lain," katanya. sumber Buat Laporan Jika Ada Peniaga Letak Harga Tinggi BENTONG - Orang ramai dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah ketika membeli di bazar Ramadan untuk mengelakkan pembaziran. Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perbelanjaan tidak terkawal ketika membeli juadah berbuka puasa akan menyebabkan kos seharian meningkat. Menurutnya, pelbagai langkah boleh diambil termasuk membeli apabila perlu dan memilih makanan atau minuman dari gerai menawarkan harga serta kualiti yang baik. "Sekiranya mendapati harga ditawarkan peniaga tidak munasabah dan membebankan, orang ramai perlu segera melaporkannya kepada pihak berkenaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). "Ia penting supaya pemantauan dapat dijalankan dan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan jualan sedangkan harga barangan kawalan sentiasa dipantau," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Parlimen Bentong bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Bentong. Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan turut mengingatkan orang ramai supaya memilih gerai menjual makanan dan minuman yang bersih supaya tidak berdepan masalah keracunan makanan. Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau peniaga dan makanan serta minuman yang dijual mereka supaya hidangan disediakan itu adalah bersih. sumber KUALA LIPIS - Berpuluh-puluh gerai di tapak pasar malam dan Bazar Ramadan Pekan Sungai Koyan, dekat sini rosak teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat malam semalam. Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, puluhan kanopi berterbangan dipukul angin kencang manakala barang jualan bertaburan di atas tanah dan dalam longkang. Seorang peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, berkata, kejadian ribut itu merupakan kali pertama dialaminya sejak membantu ibu bapanya berniaga di pasar malam tersebut. "Ketika angin kencang, keadaan bertambah kelam-kabut dan kedengaran tangisan kanak-kanak dan ada peniaga melaungkan azan," katanya kepada pemberita di sini semalam. Menurut Norhazimah, dia dan adiknya sempat memegang payung dan kanopi supaya tidak diterbangkan angin kencang. Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, ketika kejadian, dia pulang ke rumah untuk berbuka puasa sebelum menyambung perniagaan di bazar itu. "Selepas berbuka puasa, saya bergegas ke gerai di tapak bazar Ramadan itu ketika angin kencang dan hujan lebat melanda "Saya baharu tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah pendapatan sempena Ramadan ini tetapi musnah dalam sekelip mata sehingga menanggung kerugian sebanyak RM300," katanya. Peniaga minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, dia bersyukur kerana malapetaka berkenaan tidak membabitkan nyawa dan kecederaan ke atas peniaga dan orang ramai. "Ketika kejadian, kebanyakan peniaga bazar Ramadan pulang ke rumah untuk berbuka puasa dan cuma yang tinggal hanya peniaga pasar malam," katanya. Jafri menambah, para peniaga terbabit tidak sempat menyelamatkan peralatan perniagaan dan barangan jualan kerana kejadian tersebut berlaku terlalu pantas. sumber [Artikel yang disiarkan di sini adalah dipetik daripada pelbagai sumber media. Kami tidak mengubah isi artikel terbabit untuk memberi peluang kepada pembaca menilai dan membuat perbandingan isu-isu yang dipaparkan. Kepada pembaca terutamanya rakyat Pahang yang mempunyai apa saja berita menarik di kawasan masing-masing, anda bolehlah menghantar berita dan artikel tersebut ke pahangdaily@yahoo.com untuk disiarkan. Seelok-eloknya, serta sekali gambar-gambar yang berkaitan supaya ia lebih menarik. Harap Maklum]. |
Posted: 06 Aug 2011 04:08 PM PDT Sebelum ini iaitu ketika menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri tahun lalu (2010) umat Islam dikejutkan dengan penayangan Iklan berbaur penghinaan oleh stesyen Tv3 milik Media Prima. Siaran iklan yang menonjolkan imen Santa Claus itu telah mendapat kritikan daripada Umat Islam dan akhirnya ia telah ditarik balik oleh pihak TV3, biar pun penerbit dan pihak yang mencipta iklan itu langsung tidak dibawa ke muka pengadilan mahupun dikenakan tindakan tegas oleh pengurusan stesyen terbabit. Kini selepas setahun bermalu. Media Prima buat hal lagi, bila sekali lagi menyinggung perasaan umat Islam dengan penyiaran iklan sahur di TV9. Iklan tersebut jelas sekali telah menghina sendiri konsep dan fungsi sahur kepada umat Islam di dalam menjalani ibadah puasa. Bantahan telah dilakukan oleh berbagai pihak tentang kontoversi ini kerana iklan berkenaan secara terang-terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar ibadah di dalam agama Islam sehingga menjadi bahan tertawa masyarakat Malahan, Sikap yang ditonjolkan di dalam iklan Ramadhan tersebut juga sangat biadap apabila menunjukkan bahawa jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan mentertawakan jiran apabila jiran tetangganya tidak dapat bersahur seterusnya menunaikan ibadah puas. Sila lihat iklan dibawah kepada anda yang tidak sempat menyaksikannya di kaca TV9 sebelum ini. Amati betul-betul apakah iklan seperti ini mempunyai nilai komersialnya?. Jika pihak Media Prima boleh mengambil tindakan kepada Ustaz Zamri dengan memecatnya daripada rancangan Adik & Al-Quran TV9 hanya kerana dia dilihat hadir ke perhimpunan Bersih 2.0. Maka mereka juga separutnya memecat juga pihak yang bertanggungjawab menerbitkan iklan berkenaan sebenarnya. Bukankan perbuatan mereka yang menerbitkan iklan berkenaan lebih berdosa dari segi agama Islam daripada perbuatan Ustaz Zamri itu sendiri. Jika tidak, Media Prima akan dipersalahkan kerana mengamalkan budaya politik sempit terhadap kakitangan mereka. Sebelum ini pengacara Wardina Shafiyah juga telah dikenakan tindakan gara-gara hadir ke satu program anjuran parti pembangkang. Apakah ini demokrasi namanya?. Hina Islam dilepaskan tetapi hadir ke program parti lawan dikenakan tindakan. Nampak benar pihak Media Prima mengamalkan budaya jahiliah dalam pentadbirannya. [Ini jelas satu penghinaan sebenarnya, namun kenapakah pihak Media Prima sekali lagi terlepas pandang akan perkara ini. Sedangkan mereka berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama selepas iklan raya hina Islam diterbitkan pada tahun lepas. Soalnya, apakah agenda dan motif pihak terbabit agaknya. Ke mana pergi badan-badan berkenaan yang kononnya ditugaskan untuk memantau penerbitan sesuatu rancangan di negara ini. Jika inilah keadaannya, maka sampai bila-bila pun agama Islam itu akan terus dihina oleh mereka yang sengaja mencari jalan untuk berbuat demikian, Dalam hal ini, apakah Media Prima wajar berdiam diri lagi sedangkan ia jelas menjatuhkan imej mereka?. Tindakan tegas perlu dilakukan terhadap pihak yang berada dibelakang tabir iklan berkenaan. Jika tidak, ironinya tetap sama seperti iklan hina Islam dulu. Kes didiamkan dan tiada siapa yang dikenakan tindakan. sedangkan laporan polis telah dibuat terhadap individu yang berkenaan sebenarnya. Apakah kita wajar berdiam diri melihat perkara ini terus terjadi di depan mata?]. |
Posted: 06 Aug 2011 09:13 AM PDT KUANTAN, 7 Ogos - Sebelum ini kami sudah menyiarkan berkenaan isu Medan Selera Taman Sepakat tiada tandas. Sangkaan kami dengan laporan tersebut maka pihak yang berkenaan terutamanya Koperasi Kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (KOSPEK) yang menguruskan 16 gerai disitu akan mengambil tindakan. Namun ternyata ia sekadar pandang sebelah mata sahaja. Ini amatlah memalukan sebenarnya. Bayangkan, sebuah medan selera (foodcourt) tiada tandas. Maka, apakah akan terjadi kepada para pelanggan yang mahu membuang air kecil atah lagi air besar di situ. Sudah pasti mereka terpaksa mencari jalan lain untuk "melepaskan hajat". Ini sememangnya amat memalukan dan tidak wajar berlaku di zaman moden hari ini. Masalahnya kenapa pihak koperasi terbabit tidak mahu membina tandas di kawasan terbabit?. Sedangkan sebelum ini sudah berapa banyak aduan yang dilaporkan dan para peniaga medan selera itu juga telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan dialog dengan pihak terbabit. Namun, jawapannya tetap sama iaitu tiada tindakan yang dilakukan walaupun sudah lebih lapan tahun lokasi itu dibuka. Persoalannya, kenapa kospek begitu sukar untuk mendengar rintihan para pelanggan dan juga peniaga di situ. Kami tidak tahu, apa lagi yang difikirkan mereka kerena pembinaan sebuah tandas awam bukanlah memerlukan kos hingga mencecah jutaan ringgit. Inilah yang sungguh memusykilkan orang ramai. [Banyak pihak yang telah mengajukan perkara ini kepada pihak atasan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sendiri. Namun, isu ini tetap tidak ada jalan penyelesaiannya. Sampai bilakah Medan Selera Taman Sepakat akan terus begini?. Ramai pihak yang kecewa dengan sikap Kospek dan MPK yang tidak peka dengan kehendak rakyat itu. Dalam hal ini juga, kita amat mengharapkan agar Wakil Rakyat kawasan terbabit memainkan peranan untuk membela rakyat terutamanya para peniaga yang sudah naik malu bila diajukan soalan tentang tandas oleh para pelanggan yang berkunjung ke situ. Justeru itu, kami akan membuat satu laporan eksklusif tentang isu ini jika tiada tindakan daripada pihak terbabit selepas ini. Amatlah memalukan, sebuah medan selera yang terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuantan sendiri masih tidak mempunyai tandas walau pun sudah lebih lapan tahun beroperasi. Apa yang lebih meragukan bagaimana kelulusan pelan tapak dibuat sedangkan ia nyata menyalahi peraturan yang telah ditetapkan sebenarnya]. Artikel terdahulu |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan