Isnin, 1 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Perintah Bayar 'Rais Yatim' RM300,000, Penulis Blog Kemukakan 'Rayuan' Di Mahkamah Tinggi !

Posted: 01 Aug 2011 12:02 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penulis blog, Amizudin Ahmat (foto) hari ini mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap perintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana kesalahan memfitnah beliau. Amizudin, 42, memfailkan rayuan itu menerusi firma guaman Ong Jaya & Co. Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof pada 19 Julai lepas juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais. Pada Januari lepas, Rais, 69, menyaman Amizudin, yang juga anggota exco pemuda Parti Keadilan Rakyat, kerana memfitnah beliau menerusi satu artikel yang tersiar di dalam blog peribadinya, sharpshooterblogger.blogspot, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

[Jika dijejaki punca atau pendedahan awal isu ini ianya telah dimulakan oleh blog Pro-UMNO sendiri iaitu 'Rocky's Bru' dan bukannya blog Sharpshooter itu. Agak menghairankan disini kenapa Amizuddin Ahmat (sharpshooterblogger) yang dikenakan perintah mahkamah bukannya Datuk Ahirudin Atan (Rocky's Bru)? Tindakan yang diambil oleh Rais Yatim disini jauh berbeza dengan apa yang telah dilakukannya apabila anaknya dikatakan difitnah telah mendapat tender yang melibatkan projek komunikasi berharga kira-kira RM1Billion. Rais Yatim telah bertindak memfailkan saman terhadap Datuk Ahirudin Atan (Rocky's Bru) kerana telah menyiarkan artikel yang dikatakan fitnah itu.. Dalam isu Menteri Rogol Amah ini pula, Rais Yatim tidak bertindak memfailkan saman terhadap Datuk Ahirudin Atan yang telah memulakan apa yang dikatakan fitnah terhadapnya itu malangnya Amizuddin Ahmat pula yang mendapat perintah mahkamah yang menghalang beliau dari mengeluarkan perkataan berunsur fitnah terhadap menteri itu. Agak menghairankan bukan? KLIK].

Warta Pahang Daripada Pelbagai Sumber Media

Posted: 31 Jul 2011 11:21 PM PDT

Mulai sekarang Pahang Daily Online (PDO) akan menyiarkan berbagai informasi dan maklumat tentang Pahang menerusi ruangan Warta Pahang yang kami wujudkan. Berita yang dipaparkan adalah berkaitan isu semasa dan hal ehwal dalam negeri Pahang sahaja. Dengan berita ini ia akan mendekatkan lagi rakyat Pahang seantero dunia dengan kampung halaman masing-masing. Kepada anda yang ingin menghantarkan bahan berita dan maklumat yang tidak bertujuan komersial, sila emailkan ke pahangdaily@yahoo.com (sertakan gambar dan maklumat berkaitan) untuk memudahkan segala urusan yang berkenaan. Harap Maklum

PKZ Pahang Ziarah 275 Peniaga Agar Bayar Zakat

KUANTAN - Pusat Kutipan Zakat (PKZ) negeri menziarahi 275 peniaga di beberapa lokasi di daerah ini sebagai usaha menyalurkan maklumat dan membantu golongan tersebut membayar zakat. Ketua Unit Pemasaran PKZ, Zafridan Mohamed Daud (foto) berkata, sempena pelancaran Ziarah Bisnes siri keempat itu, pihaknya menyasarkan 70 pembayar zakat baru membabitkan tiga kawasan iaitu Beserah, Balok dan Gebeng. Menurutnya, berdasarkan siri program ziarah sebelum ini di Bentong, Jerantut dan Rompin, kebanyakan peniaga tidak pernah menunaikan kewajipan itu selain memberi alasan tidak mengetahui cara mengira zakat. "Oleh itu, PKZ mengambil langkah proaktif mendekati dan memberi penerangan kepada mereka secara terperinci cara menunaikan zakat seterusnya meningkatkan kesedaran mereka mengenai kewajipan itu," katanya pada majlis pelancaran program tersebut di sini, baru-baru ini.

Penduduk Kg.Terlang Di Pekan Dapat Surau Baru

PEKAN - Kira-kira 200 penduduk di sekitar Kampung Terlang, Paloh Hinai di sini bersyukur apabila impian mereka mendapatkan surau baru akhirnya tercapai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pembinaan surau baru bagi menggantikan surau lama yang berusia lebih 50 tahun dianggap sebagai hadiah sempena kedatangan Ramadan ini. "Diharap surau tersebut dapat memberi keselesaan kepada jemaah semasa beribadat serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan," katanya selepas majlis perasmian surau tersebut di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Daerah Pekan, Datuk Fadzil Mohd. Kenali dan Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Paduka Sheikh Mohd. Fauzi Sheikh Ali. Beliau berharap penduduk di kampung itu menggunakan surau tersebut dengan sebaik mungkin dan tidak menjadikannya sebagai tempat untuk menabur fitnah. Sementara itu, Ketua Kampung Paloh Hinai, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, beliau mewakili penduduk kampung tersebut bersyukur kerana ada pihak yang membantu mendapatkan peruntukan bagi membina surau itu. "Dengan adanya surau baru ini dapatlah kami berjemaah dan bertarawih pada bulan Ramadan nanti," katanya.

Peringatan: Ponteng Puasa, Denda RM3,000 Atau Penjara Tidak Lebih Dua Tahun Di Negeri Pahang

Posted: 31 Jul 2011 10:39 PM PDT

KUANTAN, 1 Ogos - Umat Islam yang ditangkap oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) atas kesalahan tidak berpuasa pada Ramadan ini boleh dituduh hina Islam dan bakal berhadapan dengan hukuman lebih berat. Ketua Bahagian Penguat Kuasa JAIP, Raffli Abdul Malek berkata, mengikut kesalahan di bawah Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali kerana menghina Islam. Katanya, hukuman melalui Seksyen 137 dan Seksyen 170 terhadap kaki ponteng puasa itu perlu untuk memastikan kesalahan tersebut tidak dilakukan sesuka hati kerana ia mencemar maruah kesucian Islam. "Tindakan lebih berat berbanding sebelum ini turut dikenakan terhadap peniaga yang menjual makanan kepada mereka yang tidak puasa," katanya baru-baru ini Tambah beliau, sebelum ini orang Islam yang disabit kesalahan tidak berpuasa Ramadan didenda maksimum RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-dua sekali, manakala penjual makanan pula berdepan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya mengikut Seksyen 137 enakmen sama.

[Semoga dengan hukuman yang berat ini akan dapat menakutkan umat Islam di Pahang daripada terjerumus kepad aktiviti yang tidak sihat ini hendaknya. Namun begitu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) perlu juga kuatkuasa peraturan melarang umat Islam berkunjung ke premis judi termasuk kedai Empat Nombor Ekor (Magnum ENE), Sports Toto dan sebagainya pada bulan Ramadan ini. Malah, aktiviti maksiat seperti pondan-pondan yang berkeliaran di malam hari ketika orang lain bersolat Tarawih juga perlulah dihapuskan. Apa yang lebih penting, larangan juga perlu dikenakan kepada kaum wanita agar tidak berpakaian seksi hingga menjolok mata atau berkelakuan lucah dikhalayak ramai pada bulan puasa ini. Semuanya itu menjurus ke arah maksiat dan lebih teruk daripada menangkap orang yang tidak berpuasa dan makan secara tersembunyi itu].

Bicara Fitnah Liwat II: Datuk Seri Anwar Ibrahim Kemukalan Permohonan Temubual 10 Saksi Alibi

Posted: 31 Jul 2011 10:17 PM PDT

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan bagi menemubual 10 saksi alibi sebelum mereka memberi keterangan semasa prosiding pembelaan dalam pertuduhan perbicaraan kes fitnah liwat yang membabitkan dirinya. Peguam Anwar mengemukakan permohonan itu hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menambah senarai saksi pembelaan yang difailkan pada 26 Julai lalu. Senarai terbaru itu membabitkan dua nama berprofil tinggi, termasuk bekas pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Mohamad Ariff Abdul Kareem dan Ketua Pegawai Operasi Bursa Saham Malaysia Omar Malek Ali Merican. Pada 26 Julai lepas, Anwar memfailkan satu notis usul memohon pihak pembelaan dibenarkan menemu bual lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos nanti.

[Dalam permohonan itu, selain menamakan Najib dan Rosmah, Anwar turut menamakan tiga saksi yang lain. Mereka ialah pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku, Hasanuddin Abd Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof. Dalam notis itu Anwar menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan kesemua kos ditanggung oleh pihak pendakwaan].

Selamat Berpuasa Buat Semua Pembaca Budiman

Posted: 31 Jul 2011 02:27 PM PDT

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad telah mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari ini Isnin, 1 Ogos 2011, mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Pada 26 Julai lepas, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab. Dengan ini kami di Pahang Daily Online (PDO) mengucapkan Selamat Berpuasa dan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga bulan yang mulia ini akan memantapkan lagi keazaman untuk bersama meneruskan perjuangan.

Tiada ulasan: