Selasa, 30 Ogos 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Konspirasi media dalam kes DSAI

Posted: 30 Aug 2011 11:24 PM PDT

Salam kawan kawan.

Dalam musim bermaaf-maafan ini, saya nak ceritakan konspirasi peguam Umno tersohor, Shafee Abdullah, dengan penasihat media Jabatan Perdana Menteri, Jalil Hamid, dalam liputan kes liwat Anwar Ibrahim.

Walaupun falsampah politik saya tak selari dengan Anwar Ibrahim, saya sebagai wartawan Malaysia muak dengan konspirasi konspirasi untuk menggunakan media untuk menjatuhkan ahli politik.

Sudah lama dah. Dari zaman Utusan Melayu di ambil alih 1961 sampai sekarang. 50 tahun. Cukuplah Umno dan Umno Baru. Sedarlah sikit.

Konspirasi yang terbaru ni sama seperti konspirasi memburukkan Raja Petra Kamarudin beberapa tahun dulu + SETERUSNYA

Memori Merdeka

Posted: 30 Aug 2011 11:07 PM PDT

JARUM jam menunjukkan hampir pukul 3 petang. Sejak dari tengah hari, Siti Rahmah Kassim yang ketika itu berusia 29 tahun kelihatan sibuk menguruskan kehadiran ratusan peserta rombongan yang berkumpul di kawasan padang berhampiran pekan Rembau.

Biarpun agak keletihan, wanita itu tetap meneruskan tugas-tugasnya. Selaku penganjur, dia mahu semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Lapan buah bas yang ditempah khas juga sudah sedia di satu sudut. Kunjungan mereka ke Kuala Lumpur pada petang 30 Ogos 1957 itu bukan untuk bersuka ria, sebaliknya mahu menyaksikan satu peristiwa paling penting dalam sejarah negara.

Siti Rahmah sememangnya sudah lama menantikan tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu. Perjuangannya bukan bemula sehari dua, tetapi sejak 1945 lagi melalui Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO.

Dalam ceramahnya, dia banyak memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan wanita tentang kepentingan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah.

Kini berusia 86 tahun, dia merupakan orang pertama menyerahkan barangan kemas bagi membantu rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk menuntut kemerdekaan.
Kisah Siti Rahmah dipukul oleh ibunya sehingga bajunya berlumuran darah kerana memberi gelang perkahwinan pemberian ayahnya pada sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir Melaka juga mendapat liputan luas akhbar-akhbar di Tanah Melayu.

Lamunannya terhenti, tindakan sekumpulan peserta lelaki yang tiba-tiba turun dari bas menarik perhatiannya.

Rupa-rupanya, di dalam bas itu bukan sekadar peserta tetapi ada beberapa anggota polis cawangan khas British ditugaskan untuk menggagalkan rombongan berkenaan.

"Mereka cuba menakut-nakutkan segelintir peserta bahawa orang putih akan menjatuhkan bom menggunakan kapal terbang ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka di Stadium Merdeka.

"Tidak hairanlah, ada peserta yang terpengaruh dan mahu pulang ke rumah, namun saya berjaya memujuk mereka kembali. Itu semua taktik jahat orang putih dalam usaha mengagalkan kemerdekaan negara," cerita anak kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan itu.

Selepas melalui perjalanan panjang dan berliku-liku, rombongan dari Rembau itu akhirnya tiba di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur ketika malam menjelma.

Siti Rahmah berkata, ibu negara seakan-akan berubah wajah dengan kehadiran ribuan orang ramai dan kenderaan yang datang dari segenap pelosok tanah air.

"Menjelang malam, suasana di sekitar Kuala Lumpur penuh meriah diterangi lampu jalan. Semua orang berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor sambil membawa sepanduk dan bendera Persekutuan.

"Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan begitu gah diterangi lampu- yang berwarna-warni. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri," ujar bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Terentang (Rembau) itu.

Laungan Merdeka

Katanya, tepat pukul 11.55 malam, Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli Perikatan bermotosikal dan polis pengiring pun tiba.

Ujarnya, Tunku telah disambut oleh Datuk Abdul Razak Hussein dan beberapa pemimpin daripada ketiga-tiga parti Perikatan yang mengiringinya ke pentas di tengah padang. Suasana yang sebelum itu riuh-rendah bertukar sunyi sepi, masing-masing tidak sabar menanti detik 12 malam yang menandakan tarikh kemerdekaan negara.

"Tepat pukul 12 malam, jam di menara berbunyi. Secara spontan laungan Merdeka berkumandang daripada ribuan rakyat jelata yang memenuhi segenap penjuru padang," jelasnya.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, saat yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bendera Union Jack mula diturunkan dan lagu God Save The Queen dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu.

Katanya, ketika itu air matanya mencurah-curah. Dia bagaikan tidak percaya Tanah Melayu akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan selepas hampir 170 tahun dijajah British.

Pada malam itu juga, buat pertama kalinya lagu kebangsaan, Negaraku, diperdengarkan kepada umum. Ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang dikibarkan, semua orang memberikan tabik hormat.

"Saya lihat wajah Tunku begitu berseri-seri selepas upacara malam itu, begitu juga dengan wajah-wajah rakyat jelata yang hadir.

"Masing-masing kelihatan begitu beremosi. Saya juga tidak terkecuali, ternyata perjuangan saya selama ini menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kemerdekaan telah berbalas," ujarnya yang kini bergelar Datuk dan memegang jawatan Pengerusi Tetap Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan.

Episod kemerdekaan negara tidak terhenti begitu sahaja. Keesokannya, kira-kira 20,000 rakyat jelata berkumpul di Stadium Merdeka untuk menantikan pengisytiharan kemerdekaan negara secara rasmi.

"Malam itu saya dan suami menginap di rumah seorang kenalan lama di ibu kota. Tepat pukul 5.30 pagi, kami sudah berada di pekarangan stadium sambil menantikan upacara bersejarah yang bakal diadakan.

"Ketika itu terbit kebimbangan mengenai kisah serangan bom seperti didakwa oleh polis-polis cawangan khas British benar-benar terjadi, bagaimanapun dari mula hingga akhir majlis berjalan lancar," jelasnya.

Menurut Siti Rahmah, upacara penuh simbolik di hadapan tetamu-tetamu kehormat seperti wakil kerajaan British dan wakil Raja-Raja Melayu jelas menandakan penjajahan British telah berakhir.

"Di atas pentas, saya melihat Tunku begitu segak dengan pakaian berwarna hitam Muskat ketika membaca watikah kemerdekaan. Ia diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali.

"Saat itu tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Saya hanya mampu mengucapkan syukur kepada Allah di atas apa yang berlaku.

"Biarpun negara kini telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, tidak bermakna perjuangan saya telah selesai. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan," ujar serikandi terbilang itu. - KOSMO


Benarkah Mat Sabu hina bekas tentera M'sia dan agungkan komunis?

Posted: 30 Aug 2011 09:52 PM PDT

Bekas tentera jangan termakan dakyah Umno
Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 29 Ogos: Sambutan Merdeka sudah menjadi perayaan Umno tidak lagi dirayakan sebagai sambutan terulung negara ekoran banyak fakta mengenainya diselewengkan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ini, katanya dengan menafikan golongan yang bersama menentang penjajah sebaliknya hanya mengagungkan kepimpinan Perikatan dan Umno yang diiktiraf oleh penjajah.

Beliau ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Taman Kuala Bekah, Penaga semalam juga menafikan apa yang ditulis dalam media pro kerajaan kononnya beliau menghina pejuang negara dengan menyokong penganas dalam kopeni pasukan ke 4 Parti Komunis Malaya (PKM).

Baginya, sejarah sebenar tentang serangan terhadap tragedi Bukit Kepong telah diselewengkan apabila mengambarkan serangan dilakukan oleh PKM padahal ia diketuai oleh Muhamad Indera yang menentang polis yang dianggap bersekongkol dengan penjajah.

"Banyak fakta sejarah telah diselewengkan terhadap serangan Bukit Kepong sedangkan serangan sebenar diketuai oleh Mohamad Indera dengan puaknya yang tidak menyenangi penjajah atau polis yang menjadi alat penjajah," jelasnya yang hadir bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan rombongan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan daif.

Menurutnya, akibat fakta yang tidak kena pada filem 'Bukit Kepong' arahan Jins Shamsuddin membuatkan ramai orang terkeliru apabila cerita sebenar diceritakan semula di khalayak ramai.

Apa yang diperkatakan memang betul sambungnya, sebab waktu itu negara bukan lagi merdeka, polis yang bertugas adalah polis yang bersekongkol dengan penjajah.

Golongan yang menyerang penjajah pukul ratanya dianggap komunis walhal ramai anak muda Melayu ketika itu tidak menyenangi golongan yang bersubahat dengan British.

Untuk menyokong komunis nyata tidak sama sekali kerana komunis itu sendiri telah hancur dan hanya menjadi pameran di muzium.

"Contohnya pandangan Imam Khomeini sendiri jelas tentang Komunis. Semasa hayatnya dia sendiri mengatakan blok komunis bakal tinggal kenangan dalam muzium. Hari ini benar-benar berlaku," katanya.

Sepatutnya nama seperti Pak Sako, Tok Janggut, Mak Kilau, Dato' Bahaman, Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam dan orang yang seangkatan denganya diberikan penghormatan bukan sahaja nama-nama besar Umno sahaja.

Kepada bekas anggota tentera pula terangnya, usah termakan dakyah Umno yang cuba memburukkan namanya dengan menyifatkan beliau menghina pejuang negara.

"Saya tetap puji tentera selepas negara mencapai kemerdekaan kerana perjuangan mereka untuk mempertahankan maruah negara berbanding di era sebelum merdeka sebab polis ketika itu bekerja dengan penjajah," tegasnya.

Mat Sabu pemimpin terbaru berkonfrantasi dengan Utusan

Posted: 30 Aug 2011 09:51 AM PDT

Mat Sabu, komunis dan PRU 13

Mohamad Sabu menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang berkonfrontasi dengan Utusan Malaysia, akhbar harian dikuasai parti pemerintah, Umno.

Ucapan timbalan presiden PAS itu yang didakwa pengkritiknya sebagai mengina pejuang kemerdekaan kini menjadi isu besar yang diwacanakan media propemerintah menjelang kemerdekaan.

Mohamad bukan individu pertama yang cuba memberi penilaian semula sejarah negara melibatkan persaingan ideologi dalam perjuangan menentang penjajah dan kemerdekaan. + SETERUSNYA

SANTAI : TERmasuk bilik air perempuan

Posted: 30 Aug 2011 05:25 AM PDT

Wan Ahmad ni pun besaq punya kaki putaq alam, ingat rakyat buta, rakyat tak dak otak ..

Posted: 30 Aug 2011 01:10 AM PDT

Wan Ahmad: 'SPR tidak manipulasi pilihan raya, memihak BN'

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus berhadapan dengan kritikan pihak tertentu mempertahankan agensi itu sambil berkata, pihaknya tidak pernah "memanipulasi pilihan raya" dan tidak bertindak bagi pihak Barisan Nasional (BN).

"Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan," kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Menerusi tulisan terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia, Wan Ahmad berkata, semasa pilihan raya negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi.

"SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit," katanya lagi.

"Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah 'membeli undi' dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut," katanya lagi.

Katanya, ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan sikap pilih kasih dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini.

"Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil," kata Wan Ahmad lagi.

Wan Ahmad memberi pandangan terbaru ini ketika jawatankuasa pilihan khas bagi pembaharuan pilihan raya bakal ditubuhkan Oktober ini.

Jawatankuasa itu dijangka akan mengemukakan syor kepada SPR untuk melaksanakannya.

Dilihat merujuk kepada syor-syor itu, kata Wan Ahmad, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya.

Katanya, SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau akta-akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara.

"Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain.

"Kadangkala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini," kata beliau lagi.

Wan Ahmad menambah, apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR.

Lazimnya menurut beliau,parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.

"Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya lagi.

Selain parti-parti politik, tambah beliau, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya.

"Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa-apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit," kata Wan Ahmad lagi.

"Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan. SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal," katanya lagi. - TMI

Tiada ulasan: